Pro Tajdid mengumpulkan tulisan terpilih tentang fenomena tajdid yang melanda dunia Islam.
Apa itu tajdid? Tajdid bagaimana yang kita mahu? Selongkari arkib blog ini untuk jawapannya!

Dengan melanggan blog ini secara e-mel atau RSS, anda akan diberitahu secara automatik apabila ada entri baru di sini.
Anda mempunyai bahan-bahan menarik berkaitan isu tajdid yang mahu dikongsi di sini? Hubungi protajdid [at] gmail [dot] com.
Memaparkan catatan dengan label tamadun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tamadun. Papar semua catatan

Pupus Bahasa

Oleh Aqil Fithri

Dewasa ini, frasa "Bahasa Melayu Bahasa Ilmu" sudah kian asing. Apa yang terpapar sekarang ialah, Bahasa Melayu tidak lagi digunakan dalam pengungkapan yang tinggi, dan dituduh tidak mempunyai kekuatan bagi diperkasakan sebagai bahasa yang penting. Hatta, Bahasa Melayu turut dikritik habis-habisan kerana gagal untuk bertahan dalam era globalisasi, serta tersisih apabila berhadapan dengan cambahan istilah-istilah baru, terutamanya yang terdapat dalam sub-bidang baru yang muncul di dalam sains, teknologi, matematik, komunikasi, komputer dan lain-lain lagi.

Selain itu, Bahasa Melayu juga dikatakan tidak mempunyai kekuatan sejarah dan falsafah bagi dibangunkan sebagai bahasa moden, sekalipun bukan sebagai antara bahasa utama dunia, meskipun secara geografinya jumlah penutur bahasa ini demikian banyak. Memang, hasrat kewujudan Bahasa Melayu bukanlah untuk mengalahkan Bahasa Inggeris–yang memang begitu berkuasa pada abad ini–tapi bahasa ini tetap saja dilihat terpuruk berbanding bahasa-bahasa moden lain, seperti Bahasa Perancis, Bahasa Jerman, Bahasa Sepanyol, Bahasa Jepun, dan lain-lain lagi.

Di samping itu, ada juga yang berhujah bahawa ketika ilmuan Perancis sedang membincangkan hubungan antara "minda dan jirim" sewaktu Zaman Renainsans Eropah, maka ketika itu orang Melayu masih lagi sibuk bercucuk tanam. Demikian juga, ketika ilmuan Jerman sedang membincangkan hubungan antara "fizik dan metafizik" sewaktu Zaman Pencerahan Eropah, orang Melayu masih lagi membaling tombak melawan penjajah. Kalangan ini memperlekeh, jika tamadun dari bangsa-bangsa Eropah ini telah pun melahirkan Rene Descartes, Immanuel Kant, dll, maka gerangan manakah sarjana yang dilahirkan oleh Tamadun Melayu?

Memang, "Seminar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Intelektual" yang diadakan hasil dari kerjasama Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) dan Pusat Dialog Peradaban, di Universiti Malaya, serta dirasmikan oleh Prof. Dr. Azizan Baharuddin, Pengarah Pusat Dialog Peradaban, baru-baru ini bukanlah jawapan muktamad pada segala persoalan tersebut. Ini sepertimana yang dirumuskan oleh Prof Ir. Dr. Hj. Wan Ramli Wan Daud, Presiden ASASI, sewaktu ucapan pembukaan seminar ini, "gagasan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu bukanlah baru. Waima, idea ini banyak tersekat ekoran zaman penjajahan, dan kekurangan kesungguhan kalangan kita sendiri."

Walaupun begitu, di satu sisi yang berbeza, seminar tersebut sewajarnya mencelikkan ramai pihak, bahawa Bahasa Melayu tidaklah miskin. Terdapat tiga kertas akademik yang telah dibentangkan. Bezanya, ketiga pembentang bukannya ahli bahasa, tapi lebih tergolong dari kelompok filsuf sains/filsuf-saintis. Ini termasuklah, Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar (UM), Dr. Shaharir Mohammad Zain, dan Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir (UKM).

Dalam makalah pertama, yang bertema, "Ilmu Falsafah dan Ilmu Keagamaan sebagai Pemangkin Kemajuan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmiah," Osman Bakar, yang juga Felo Penyelidik Kanan Pusat Dialog Peradaban, cuba untuk memaparkan hubungan akrab antara falsafah dan agama dan kaitannya dengan martabat atau mutu bahasa yang digunakan dari kalangan bangsa dan agama tersebut. Sudah tentu, apa yang diungkapkannya ini dapat dicerna baik sekiranya kita merujuk kembali kepada beberapa bahasa utama yang terdapat dalam Islam, seperti Arab dan Farsi, yang memang diketahui begitu kaya dengan kamus kosakatanya dan ini semua membantu dalam mempermudahkan kefahaman ilmu yang terdapat dalam bidang falsafah dan agama.

Secara sejarahnya, hubungan bahasa Arab dan Farsi dalam falsafah dan agama adalah sesuatu yang lazim, dan umumnya sudah maklum. Tapi, bila beliau cuba membawa soal ini ke dalam kes sejarah Bahasa Melayu, memang sesuatu yang jarang diungkapkan. Barangkali sesuai dengan latarnya sebagai murid Seyyed Hossein Nasr, beliau telah menerangkan bahawa falsafah adalah ilmu yang sangat penting, yang selalu dianggap sebagai "ilmu segala ilmu"–manakala mutu ilmu yang diolah adalah sejajar dengan pemartabatan bahasa yang digunakan. Ini kerana, ketika persoalan-persoalan tingkat tinggi yang diwacanakan, seperti epistemologi, metafizik, etika, dll, adalah juga merujuk kepada mutu kandungan bahasa yang digunakan.

Mithalnya, beliau yang juga timbalan ketua pegawai eksekutif, Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia ini memberikan contoh sewaktu Tamadun Melayu begitu semarak dengan penyebaran dan perkembangan Islam, dan sewaktu itulah terhimpun dan terhasilnya kajian kepustakaan Melayu yang sangat tinggi kandungan ilmunya. Ini dapat kita semak saja menerusi karya-karya yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri, Ahmad al-Fathani, dll, yang begitu kaya dengan ilmu, lalu tersuai dengan corak masyarakat di Alam Melayu ini. Barangkali, antara kelebihan bangsa di Alam Melayu sebelum ini ialah, mereka lekas menyesuaikan diri dengan keadaan baru, serta kreatif dalam mengolah kehadhiran agama-budaya-bahasa baru.

Kenyataan ini mungkin lebih dekat jika kita menelusuri salah satu aspek klasik yang ketara tercermin dari sumbangan Ibn 'Arabi terhadap Alam Melayu. Tidak seperti belahan yang lain, Alam Melayu tampaknya mampu menyerap kehadhiran aliran sufi ini dengan penuh sintesis sekali—antara usuluddin dan falsafah, atau antara kalam dan tasawwuf. Ini jelas diperlihatkan dari beberapa tulisan Hamzah Fansuri, yang tebal dengan wehdatul wujud-nya.

Justeru, kerana pengaruh aliran ini dari belahan dunia luar, maka kosakata ilmu yang terdapat dalam Alam Melayu kemudiannya bertambah, sebab ada keperluan untuk mengungkapkan soal falsafah mistikal ini. Lantaran itu, inilah antara sebab kenapa Bahasa Melayu ada wibawa untuk menjadi bahasa ilmu pada waktu tersebut, kerana kemampuan bahasa ini mampu menjadi bahasa falsafah-agama.

Selain daripada itu, beliau yang juga pengarang buku Tawhid and Science, menghamburkan pujian pada Tafsir al-Azhar yang ditulis dalam bahasa Melayu. Bayangkan, bila Hamka sendiri meraikan Bahasa Melayu dalam karangan tafsir-nya, yang dianggap antara tafsir yang baik, maka sudah tentu ini membuktikan bahawa Bahasa Melayu memang mampu menghurai kandungan agama secara sempurna, meskipun diakui terdapat beberapa peminjaman dari bahasa Arab.

Justeru, hakikatnya, Bahasa Melayu sejarahnya sudah cukup bagus, ekoran keupayaannya untuk mengungkapkan perkara-perkara yang bertaraf hikmah dan ilmu, bukan hanya bertakuk pada taraf maklumat semata-mata.

Sebenarnya, hubungan Bahasa Melayu dalam Islam turut disentuh oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam "Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu." Diketahui, Bahasa Melayu telah terbangun sebagai salah satu dari lima bahasa Islam, selain dari bahasa Arab, Farsi, Urdu dan Turki. Bahkan, hal ini jelas tersemak dari kesamaan aksara yang digunakan, meskipun akhirnya Bahasa Melayu dan Bahasa Turki kecundang dalam pengaruh aksara rumi. Fakta inilah yang membezakan bahasa kita dengan bahasa Farsi, yang menurut Osman Bakar, telah menjadi begitu maju sehingga terganding dengan bahasa Arab sebagai bahasa utama dalam pengungkapan Islam, lebih- lebih lagi setelah zaman Hujjatul Islam Imam al-Ghazzali.

Kemudian, kertas akademik kedua diteruskan menerusi Shaharir Mohamad Zain dengan tema makalah, "Bahasa Melayu Bahasa Ilmu: Telah, Lani dan Kelak." Sekilas, barangkali pertanyaan pertama yang muncul ialah, mengapa beliau mengunakan kosakata "Telah, Lani dan Kelak." Seperti memahami persoalan yang terbenak ramai ini, mantan Timbalan Naib Canselor UKM ini menyatakan bahawa tiga kosakata tersebut sebenarnya adalah serangkai, dan masing-masing beretimologi dari perkataan Lani, yang asalnya perkataan lama, yang akhir-akhir ini hanya digunakan di kalangan masyarakat Melayu utara.

Ternyata, judul makalah ini sengaja direka demikian, bagi menunjukkan bahawa sesuatu yang kuno bukanlah rendah mutu ilmunya, dan sebaliknya sesuatu yang baru tidaklah semestinya tinggi mutu ilmunya. Malah, kalau kita insaf, sikap ini juga adalah suatu kritikan bawah sedar kepada mereka yang sering memakai kosakata pinjaman secara literal, sedangkan dalam khazanah bahasa kita sudah pun mempunyai aneka kosakata yang lebih sesuai dan asli. Mithalnya, kita kerap menemukan mereka yang terhegeh-hegeh menggunakan perkataan "kualiti" berbanding "mutu," "koloborasi" berbanding "usahasama," "dialog" berbanding "randau," dll.

Sebab itu, dalam makalah ini juga beliau–yang memang diketahui berjasa dalam menyumbang kosakata Melayu dalam bidang sains dan teknologi–turut memperkenalkan istilah janapada (bahasa wacana), yang dipinjamnya dari Bahasa Sanskrit, suatu bahasa yang dahulunya dekat dengan kebudayaan Melayu. Beliau menerangkan, janapada ini merupakan padanan kepada perkataan "nation", atau nasion. Sebaliknya, tidak perlulah ada yang resah dengan rekaan kosakata baru, kerana ini amalan biasa dalam sosiolinguistik, malahan langkah ini sebenarnya boleh mengayakan lagi khazanah pengetahuan sendiri.

Justeru, dengan adanya kekayaan tamadun sendiri ini, maka tidak perlulah kita merendah diri dengan sejarah. Tak perlu gentar dengan perkataan "lama", "kuno" dan "klasik", di samping tak perlu mudah terpersona dengan perkataan, "maju", "membangun", dll. Sewaktu awal pembentangan makalahnya ini, beliau yang juga pengarang buku "Pembinaan Semula Teori Kepimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu" yang terbit baru-baru ini, telah menunjukkan bahawa terdapat 40 buah negara maju di dunia, yang data ini dipetiknya dari sumber PBB. Maka, di kalangan negara maju ini, semuanya adalah menggunakan bahasa sendiri sebagai bahasa kebangsaan sekaligus sebagai bahasa janapada-nya juga, kecuali Singapura, Ireland dan Amerika Syarikat.

Maknanya di sini, bahasa kebangsaan adalah bahasa pengantar/rasmi negara tersebut, manakala bahasa janapada adalah bahasa yang berkeupayaan untuk berwacana tinggi, atau dalam isitlah yang lain, bahasa yang berangrasana. Masing-masing digunakan secara serentak. Malah, seraya menyindir barangkali, beliau membandingkan, "malah, Mongolia pun turut menggunakan bahasa sendiri sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa janapada, meskipun mereka bukanlah sebuah negara maju."

Demikian juga kalau ada yang berhujah bahawa taraf sesebuah negara itu untuk bergelar negara maju adalah kerana mereka mencipta sains, maka dari senarainya tersebut, terdapat 20 buah negara maju yang sudah terkeluar, kerana negara tersebut bukan negara pencipta sains. Jadi, teori cetek yang cuba diwar-warkan bahawa bahasa setiap negara maju mestilah mencipta sains kini adalah termansuh dengan sendirinya!

Selain itu, tatkala membicarakan kedudukan Bahasa Melayu yang telah/lepas, pengarang kini sedang menyiapkan buku "Kritikan Teori Kenisbian Einstein dan Teori Quantum" cuba untuk menghimbau kembali beberapa catatan sejarah awal Tamadun Melayu, dalam rangka mencungkil mutu ilmu yang terdapat dalam Tamadun Melayu asal. Menurutnya, Tamadun Melayu yang terawal yang dikesan setakat ini ialah di Funan, yang kini menjadi sebahagian dari Kemboja, di mana bahasanya ketika itu lebih dikenali sebagai Kun Lun. Kemudian, baru tamadun ini digantikan dengan Chenla, dan seterusnya.

Malah, sumber dari Tiongkok–panggilan kuno Alam Melayu terhadap China sebelum ini–turut mengesahkan maklumat ini. Ini ditambah lagi terdapat catatan Yunani pada abad ke-2M yang memanggil Bahasa Melayu ketika Tamadun Funan tersebut sebagai Kolan sahaja. Dan, ketika tamadun inilah, terdapatnya prasasti (batu bersurat) yang menunjukkan bahawa Bangsa Melayu di Funan itulah yang mencipta angka sifar, bukannya seperti yang termaktub dalam buku-buku teks, yang didakwa berasal dari Tamadun India. Selain dari membelek kekuatan ilmu Melayu yang terdapat pada Zaman Funan, makalah beliau turut menyelitkan kandungan ilmu Melayu yang terdapat pada kerajaan Champa dan Srivijaya, dan Zaman Melayu-Islam.

Manakala, untuk Bahasa Melayu dalam waktu lani, mantan professor matematik-fizik ini berkata, ekoran penyingkiran aksara Jawi dalam tradisi pendidikan kita, keadaan ini telah mendorong kepada penghakisan identiti bitara (unik) yang terdapat dalam Bahasa Melayu itu sendiri. Memang, perumian Jawi pertama kali dilakukan pada abad ke-16, oleh Pegafetta, iaitu salah seorang pencatat dalam pelayaran Magellan. Namun, penghakisan Bahasa Melayu Jawi ini kemuncaknya berlaku setelah aksara tersebut terbuang dari sistem pendidikan Malaysia pada 1960-an.

Di samping itu, Bahasa Melayu yang terdapat di Pattani, dan di Singapura, dan di Mindanao, kemudiannya langsung tidak dibangunkan untuk menjadi bahasa ilmu. Sebaleknya, hanya Bahasa Melayu di Indonesia, dan di Malaysia sahaja secara bersungguh dilakukan perancangan bahasa ke arah menatijahkannya sebagai bahasa yang beragrasana.

Walau bagaimanapun, kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia akhirnya tergugat setelah kerajaan mula melaksanakan dasar PPSMI yang mundur, di mana wibawa Bahasa Melayu dalam sektor pendidikan telah mulai terhakis sama sekali. Jadi, Bahasa Melayu Malaysia, yang satu ketika dahulu telah mengalahkan Bahasa Indonesia dari segi pengungkapan ilmunya, kini kembali ketinggalan, barangkali suatu waktu nanti Bahasa Melayu Malaysia hanya akan menjadi salah satu dari rumpun bahasa Indonesia sahaja.

Dengan keringnya penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan, ini menjadikan bahasa ini bukan lagi sebagai bahasa ilmu. Sebab, prasyarat utama untuk sesebuah bahasa memperoleh taraf bahasa ilmu, atau bahasa janapada, atau bahasa berangrasana ini, ialah bahasa tersebut seharusnya terpakai sepanuhnya dalam sistem pendidikan. Meskipun kita mempunyai ITNM, DBP dan universiti-universiti, serta sekolah kebangsaan, namun kebanyakan dasar yang dirumuskan sebenarnya amatlah meminggirkan Bahasa Melayu, terutamanya dasar PPSMI—yang hari ini terkenal sebagai dasar yang sangat bebal.

Justeru itu, ketika menyimpulkan pembentangannya, mantan Presiden ASASI ini menjangkakan bahawa kedudukan Bahasa Melayu Malaysia nanti takkan lagi digunakan dalam mentakrifkan ilmu, meskipun maseh wujud lagi Bahasa Melayu Indonesia, yang memang diketahui meluas dituturkan di wilayah-wilayah dalam pengaruhnya. Bahkan, beliau turut meramalkan Bahasa Melayu Malaysia akan menjadi senasib dengan Bahasa Melayu Pattani, dan Bahasa Melayu Champa dalam tempoh 30 tahun mendatang. Lebih mendukacitakan lagi, para mereka yang kononnya mengaku pejuang Bahasa Melayu sebenarnya tidaklah begitu bersungguh mempertahankannya, bukan sahaja dalam tingkat sistem pendidikan tinggi, malah aras sekolah rendah sekalipun!

Keluhan yang diutarakan oleh Shaharir Mohamad Zain ini memang dirasai rapat oleh ASASI, yang memang terkenal dengan gagasan pengislaman dan pemeribumian sains, serta kental mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Atas kapasiti sebagai Setiausaha Agong ASASI, Mohammad Alinor Abdul Kadir meneruskan pembentangan menerusi makalah yang bertema, "Sumber Bertulis Terawal Pengetahuan Rumpun Melayu."

Makalah ini membincangkan sorotan kekayaan pengetahuan Melayu yang diperoleh dari prasasti, serta manuskrip-manuskrip lain. Walau bagaimanapun, penyelidik gigih ini tetap mengakui bahawa masih terdapat halangan untuk kita memunggah kekayaan pengetahuan terawal ini memandangkan kekurangan ahli akademik yang berminat, serta ketiadaan displin ini secara khusus di universiti-universiti—untuk serius menyelidik dan menelaah bahasa-bahasa Melayu kuno.

Ketika menyampaikan makalah ini, beliau yang merangkap pensyarah sains matematik UKM, menyebut beberapa keistimewaan pengetahuan Melayu kuno. Ini termasuklah, keperluan kita untuk mendapatkan kembali buku-buku Funan yang dihadiahkan kepada kerajaan China pada 546M. Ketika itu, Paramartha dan Gunaratna dari kerajaan Funan telah pun dihantar untuk membawa 240 buah karya pengetahuan bagi diterjemahkan ke dalam bahasa China, malah sebelum itu sudah ada 76 buah lagi buku dalam Bahasa Sanskrit dan Kunlun yang diterjemahkan ke dalam bahasa China oleh sarjana Melayu Funan. Justeru, tugas yang patut dilakukan sekarang ialah untuk mencari kembali buku-buku tersebut, kemudiannya menyaring kepenggunaan bahasanya, lalu ditarik segala ilmu-ilmu yang terkandung dalam karya-karya tersebut.

Di samping itu, beliau yang kini merancang untuk membentuk pasukan penyelidik kajian Melayu kuno turut memaklumkan bahawa Atisa, seorang agamawan besar Buddha, yang pernah menuntut ilmu di Sumatera, di bawah bimbingan Dharmakirti pada abad ke-11M, lalu kemudiannya membawa ilmu dari Alam Melayu tersebut untuk merevolusi agama Buddha di Tibet. Sesuai dengan tradisi keilmuan, Atisa juga telah menerjemahkan banyak buku-buku dari Tamadun Melayu, mithalnya kitab agung Buddha dalam Bahasa Melayu iaitu Tripatika, ke dalam Bahasa China. Soalnya di sini, apakah memang benar kita tandus sarjana sendiri, dan tidak mempunyai longgokan pengetahuan sendiri? Atau barangkali kita sudah terlalu selesa untuk mendeduktifkan segala-galanya pada sejarah Islam semata?

Selain dari itu, beliau yang juga penyelidik bersekutu INSPEM (UPM) turut mengemukakan fakta bahawa di antara sempadan Greek dan Albania, terdapat rumpun Melayu Champa yang mendiami di perbatasan tersebut, yang mana mereka ini mungkin dibawa ke sana oleh para penjajah bagi tujuan pemindahan pengetahuan yang terdapat di Alam Melayu. Kehadiran bangsa Chameria ini, boleh menimbulkan satu hipotesis, bahawa sebenarnya terdapat hubungan lama antara Tamadun Melayu dengan beberapa Negara Eropah Timur. Namun, sudah tentu, suatu penyelidikan mendalam haruslah digarap untuk mengesahkan hipotesis ini.

Sebenarnya, dari ketiga-tiga kertas akademik ini, dengan insaf sekali menunjukkan bahawa betapa kurangnya kesungguhan kita dalam merayakan khazanah sendiri. Jika dalam tamadun lain sudah begitu giat mengkaji tamadun-tamadun kuno mereka, seperti Yunani, Farsi, Eropah, dll, tetapi sayangnya para penyelidik tanahair kita nampaknya lebih gemar terhenti pada 'kegemilangan' tamadun Melayu-Islam semata, tanpa berusaha untuk pergi lebih jauh lagi. Hakikatnya, kajian kuno ini seharusnya dapat menambah-nilai kepada pengetahuan kita yang sedia ada, serta mengukuhkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang sarat ilmunya—sama ada dari sudut sejarah, falsafah ataupun tamadunnya.

Justeru, tanpa mengembalikan semula kekuasaan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, maka bukan sahaja impian untuk melihat Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu akan gagal, tetapi cita-cita untuk meraikan hadharah sendiri juga turut musnah! Akhirnya, Bahasa Melayu hanya bertaraf pasar, kerana kita lebih lazim menggunakan Bahasa Inggeris untuk berwacana sesama kita. Lantas, mengenang keadaan ini, maka tidaklah wajar untuk dibentuk sebarang anugerah bagi kesarjanaan Melayu, kerana yang berhak menerima panggilan sarjana Melayu hanyalah mereka yang sudi berkarya dalam Bahasa Melayu, iaitu sekurang-kurangnya berkarya secara seimbang di samping karya-karyanya dalam bahasa-bahasa lain.

Jelas, mesej ini selari dengan apa yang dikeluhkan oleh Shaharir Mohammad Zain sewaktu seminar ini, bahawa 'sarjana' kita yang demikian ramai berkubu di universiti-universiti sekarang hanya lebih berminat berkarya—secara bergaya—dalam Bahasa Inggeris sahaja, tetapi memandang rendah kegiatan peterjemahan dan penulisan dalam bahasa sendiri. Sewajarnya, sarjana kita dewasa ini harus belajar dari para sarjana Melayu silam, seperti Ahmad al-Fathani, yang bukan sahaja berkarya dalam bahasa Melayu dan Arab secara seimbang, tetapi turut menguasai bahasa Urdu dan Farsi dengan fasehnya. Hanya sikap inilah yang boleh menekalkan Bahasa Melayu bila berdepan dengan arus globalisasi yang deras melanda mutakhir ini.

Wawancara oleh Aqil Fithri


Bagi mereka yang pernah membaca Retorik Sains dan Teknologi di Malaysia dan Daripada Sains Yunani Kepada Sains Islam, mereka tentu tahu bahawa pengarangnya bukanlah calang-calang, terutamanya jika mahu dibandingkan dengan para cendikiawan lain di Malaysia. Sebenarnya, di Malaysia tidak ramai cendikiawan yang mampu menulis dengan baik, apatah lagi secara prolifik dapat menghasilkan karya-karya yang agak baik.

Sebagai individu yang bertanggungjawab mengasaskan Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Sains di Universiti Malaya—dan kini bertugas sebagai Timbalan Presiden di Asia e University—Prof. Dr. Hairuddin Harun merupakan antara cendikiawan yang dihormati dalam bidang Sains Islam. Perspektif yang dikemukakan beliau lazimnya menarik, terutama sewaktunya membandingkan pemikiran antara Seyyed Hossein Nasr dengan Syed Muhammad Naquib al-Attas. Hal ini dapat dicermati menerusi wawancara di bawah, di mana beliau cuba menanggapi beberapa persoalan yang dikemukakan dengan cukup baik. Elok kita sorotinya pemikirannya tentang Sains Islam ini:


Dari sudut bahasa, apa bezanya sains, ilmu, al-’ilm, knowledge, science, dan Scientia? Apakah terjemahan yang tepat untuk “Islamization of knowledge” yang dianjurkan oleh Ismail Faruqi?

Daripada segi etimologi, “science” telah didefinisikan dalam pelbagai cara, sama ada oleh pemerhati, pengkritik atau pengamalnya. Pelbagai kupasan tersebut misalnya boleh dilihat dalam buku-buku falsafah sains yang membawa tajuk “what is science?”. Namun, umumnya, “science” difahami sebagai gagasan ilmu alam tabii yang di kumpul melalui tatacara kaedah tertentu yang biasanya melibatkan pendekatan (i) empirik, (ii) logik dan (iii) matematik. Kita perhatikan yang ditekankan di sini ialah tatacara kaedah empirikal, logikal dan matematikal.

Dalam sejarah intelektual Melayu moden khasnya dan Nusantara amnya, pengertian “sains” kerap dipadankan dan dipengaruhi oleh istilah “science” dalam bahasa Inggeris, atau dalam perkataan lain; untuk memahami makna istilah “sains” semasa kita perlu juga memahami sejarah intelektual Inggeris dan perkembangan faham “science” di Eropah.

Dalam konteks faham semasa, khususnya dalam pengajian moden, istilah “ ilmu” dan “knowledge” digunakan dalam konteks dan maksud yang sama. Istilah “scientia” yang berasal dari bahasa Latin kuno, dan bermaksud “ilmu,” hampir tidak digunakan kini melainkan dalam keadaan terhad oleh para ahli falsafah dan epistemologi. Begitu juga istilah “al-‘ilm” yang digunakan hanya oleh para ahli bahasa Arab atau dalam konteks teologi Islam; yang mana maksud dan ertinya di kandung oleh pengertian dalam bidang tersebut.

Walaupun kita ketahui bahawa kekayaan erti “al’ilm” seperti yang telah dikupas dalam sejarah ilmu Islam telah cuba diketengahkan oleh para ilmuwan Islam semasa, namun, kejayaan usaha tersebut masih lagi amat terhad dan ditenggelami oleh faham ilmu moden. Walau pun begitu, ramai para ilmuwan berpendapat bahawa maksud asal “scientia” banyak dipengaruhi oleh erti dan istilah “al-‘ilm” seperti yang kupas oleh para ilmuwan dan ahli falsafah Islam terdahulu. Para ahli etimologi pula berpendapat bahawa istilah “science” bahasa Inggeris dipadankan daripada “scientia” dan istilah “ilmu” dalam bahasa Melayu berasal dari “al-‘ilm”.

Namun, suatu yang agak jelas ialah dalam konteks epistemologi semasa terdapat jurang makna yang jauh tentang faham “science” kini dengan faham asal “scientia,” dan juga antara faham istilah “ilmu” dengan faham “al-‘ilm”.

Jika kita ingin memahami secara adil teras ide “Islamization of knowledge” seperti yang diketengahkan oleh Ismail al-Faruqi, kita tidak boleh tidak harus merujuk sekurang-kurang kepada tiga karya utama beliau berikut:

  • (1982) Islamization of Knowledge. Herndon, VA: IIIT
  • (1982) Tawhid: Its Implications For Thought And Life. Kuala Lumpur: IIIT
  • (1986) The Cultural Atlas of Islam. New York: Macmillan
Sekiranya saya diminta untuk mengulas ide beliau tersebut dalam satu rangkap yang singkat, maka saya akan katakan begini: asas hujah dan epistemologi Ismail al-Faruqi ialah paradigma Tawhidic . Proses pengislaman ilmu bagi beliau pada asasnya ialah mencari jalan untuk mengetengahkan atau mengintegrasikan paradigma Tawhid ke dalam cabang-cabang ilmu moden. Bukti keupayaan dan kejayaan ini yang ketara bagi beliau ialah dalam kesenian Islam.

Namun begitu, Ismail al-Faruqi adalah seorang ilmuwan Islam, yang jelas dididik dalam acuan ilmu moden semasa. Akal budi beliau dibentuk dalam acuan budaya ilmu abad ke-20 dan fahaman Islam beliau juga dalam acuan pemikiran semasa. Oleh demikian, beliau tidak menolak ilmu moden Barat kerana umumnya beliau percaya ilmu tersebut terbuka untuk di Islamisasikan, atau pada prinsipnya semua ilmu moden boleh diterapkan dengan elemen Tawhid.

Beliau, nampaknya tidak mempunyai masalah dengan sains moden. Bahkan beliau pernah mendakwa bahawa Islamlah yang telah menegaskan dan mengasaskan konsep alam tabii yang sekular dan profan tanpa sebarang unsur-unsur “sacredness” seperti yang difahami dalam kosmologi sebelum Islam. Bagi beliau, rasionaliti dan kosmologi Tawhid tidak membenarkan adanya unsur simbolisme animisme, sacredness atau perkongsian unsur ketuhanan pada objek kejadian atau makhluk, melainkan fenomena yang jelas wujud sebagai sifat tabii. Oleh demikian bagi beliau, asas kosmologi sains moden pada prinsipnya tidak bercanggah dengan kosmologi tabii Islam, atau sekurang-kurangnya kosmologi sains moden terbuka kepada suntikan paradigma Tawhid.

Pandangan beliau tentang keserasian antara kosmologi sains moden dengan kosmologi Islam jelas agak berbeza dengan pandangan ilmuwan seperti SH. Nasr dan mungkin juga dengan SM Naquib al-Attas.


Bagaimana sejarah dan kemunculan gagasan Pengislaman Ilmu? Apakah peranan dan sumbangan Sayyed Hossein Nasr dan Syed Muhammad Naquib al-Attas pula dalam gagasan ini? Dan, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan gagasan Pengislaman Ilmu, atau Sains Islam ini?

Gagasan usaha yang disebut sebagai “Pengislaman Ilmu” bukanlah suatu yang baru berlaku pada zaman ini sahaja. Usaha tersebut terserlah giat pada zaman “generasi al-Quran” yang pertama lagi. Hanya kebanyakan perbincangan Sejarah Pengislaman Ilmu semasa tertumpu kepada zaman mutakhir ini. Kita perlu peka bahawa sekiranya kita bermula dengan pertembungan ilmiah antara umat Islam pertama, iaitu selepas Al-Quran di tanzilkan, maka sejarahnya agak panjang.

Dalam pertembungan tersebut tidak semua ilmu yang datang daripada tamadun terdahulu, misalnya Yunani, Sabean atau Mesir kuno, serasi dengan kosmologi dan metafizik al-Quran. Para ilmuwan awal Islam peka tentang hal ini dan betapa perlunya usaha memastikan setiap cabang ilmu harus serasi dengan risalah Islam. Kesedaran seperti inilah sebenarnya yang menjadi teras kepada faham dan proses pengislaman ilmu ketika itu dan juga kemudiannya.

Bahkan apa yang berlaku kemudiannya dalam abad ke 20 banyak mengambil iktibar daripada apa yang dilakukan oleh para ilmuwan awal Islam terutama pada zaman-zaman khalifah. Kita mungkin tidak mampu memperincikan kesemua hal tersebut di sini, lagi pun hal ini telah banyak di kupas oleh ahli sejarah ilmu Islam dan saya juga turut telah mengupasnya dalam buku saya “Daripada Sains Yunani kepada Sains Islam” yang diterbitkan awal 1990an.

Sekiranya kita harus mencari titik tolak sejarah moden kesedaran sains di dunia Islam, maka pergerakan kebangkitan yang dikenali sebagai an-Nahda adalah salah satu daripadanya. Pergerakan tersebut memberi kesan kepada kebangkitan intelektual Islam moden khususnya di Mesir dan turut memberi kesan kepada sejarah kebangkitan intelektual Islam termasuk di rantau ini. Tokoh pemikir seperti Rifa’a el-Tahtawi (1801-1873) yang pergi ke Paris pada tahun 1826 untuk mempelajari kaedah pendidikan dan sains barat merupakan penggerak penting an-nahda. Hanya, perkembangan tersebut lebih menjurus kepada kebangkitan kesedaran masyarakat Islam kepada kepentingan sains moden barat dan betapa daifnya ilmu tabii yang ada pada mereka.

Namun, arus kesedaran yang dibawa pada pertengahan dan lewat abad ke-20 oleh S.H. Nasr dan Naquib al-Attas adalah amat berbeza sekali. Keduanya lebih cenderung untuk mengetengahkan keunggulan kosmologi dan epistemologi Islam. Dari segi perbincangan tentang sains Islam di Malaysia, pengaruh S. H. Nasr adalah amat penting khususnya dalam wacana sejarah sains Islam. Manakala pengaruh Syed Naquib al-Attas amat menonjol dalam perbincangan epistemologi Islam khususnya dari segi sains sosial dan pendidikan.

Pengaruh kedua-dua mereka, terutamanya, adalah jelas kelihatan dalam wacana-wacana tokoh ilmuwan tempatan yang bercakap tentang sains Islam terutamanya mereka yang menganggotai Akademi Sains Islam (ASASI).

Namun begitu, kekuatan dan pengaruh kedua-dua tokoh tersebut ada sedikit kelainan; S.H. Nasr berlatar belakangkan sains, beliau pernah mendapat latihan dalam bidang geologi dan fizik, selain daripada sejarah sains. Oleh demikian beliau amat peka tentang sifat dan ciri sains moden dan juga mahir dalam historiografi sains. Karya beliau yang dianggap terpenting dalam mencorakkan perbahasan tentang sains Islam ialah “Science and Civilization in Islam” dan ”An Introduction to Islamic Cosmological Doctrines”. S.M. Naquib al-Attas pula terlatih dalam bidang sosiologi dan antropologi ilmu. Antara karya beliau yang mewarnai wacana sains Islam di rantau ini ialah “Islam and Secularism” dan “Islam and the Philosophy of Science.”

Saya cenderung untuk mengatakan bahawa di kalangan para ahli sains pengaruh dan tulisan Nasr lebih menonjol, manakala Naquib al-Attas mendapat perhatian lebih daripada mereka dalam bidang sains sosial atau sastera.


Apakah Pengislaman Ilmu cuba melakukan pemadanan sains dan Islam sepertimana yang dilakukan oleh Harun Yahya, Abdul Razzaq Naufal, dan kalangan ‘Bucaillisme’ yang lain? Sebab, terdapat kecenderungan di kalangan ini yang mendakwa bahawa banyak penemuan teori-teori besar adalah milik asal Islam. Ini dapat kita lihat keseronokan mereka yang mendakwa teori dentuman besar, teori kenisbian, dll adalah Islamik dan serasi dengan al-Qur’an. Apakah begitu?

Atau, ini satu perampasan identiti penemuan Sains Barat di sebalek kemalasan/kelambatan umat Islam untuk menyelidik? Atau juga, bukan kedua-duanya? Atau, bagaimana?


Sekiranya kita mengupas sains daripada sudut falsafah sains Islam dan historiografi sains Islam, saya berpendapat bahawa usaha Harun Yahya dan Bucaillisme yang lain mempunyai tempatnya yang tersendiri. Ia merupakan pendekatan yang mempunyai hujah yang tersendiri, satu mazhab ilmiah yang sah.

Sama ada hujah dan pendirian mereka itu lengkap dan yang terbaik, itu merupakan soalan yang lain. Pendekatan yang mereka bawa itu mungkin ada kelemahan yang ketara. Antaranya, ialah apabila memadankan teori sains secara literal dengan ayat-ayat tertentu daripada Al-Quran. Sedangkan kita peka bahawa sifat sesuatu teori sains itu bukan mutlak, dan konsep kebenaran dalam sains moden, khususnya, ialah bersifat sementara dan boleh berubah-ubah mengikut penemuan dan interpretasi semula. Sekarang ini pun kita tahu ada kalangan ahli fizik yang mempersoalkan tentang teori “Big Bang” itu, dan telah ada teori-teori saingan diketengahkan.


Bukankah rahmat teknologi yang kita nikmati dewasa ini adalah hasil daripada kekayaan ilmu yang diolah dari Tamadun Barat? Dan ternyata, Islam menerusi ummatnya tidak dilihat pun dapat menyaingi kemajuan Barat tersebut. Malah, kita sentiasa mengekorinya saja. Jadi, bukankah kita hanya menumpang/menikmati kelebihan sains dari Barat, di mana Sains Islam tidak pun dapat menawarkan apa-apa teknologi yang menarik pada hari ini?

Kalau kita maksudkan teknologi secara umum yang terhasil semenjak 200 tahun yang lepas, ya, mungkin kita harus berterima kasih kepada barat. Tetapi sekiranya kita maksudkan dari segi variasi “teknologi sosial” semasa, maka jawapannya lain sedikit. Kita tidak perlu menafikan sumbangan ilmu barat dalam teknologi moden, namun apa yang penting ialah kita harus faham bahawa ilmu tersebut juga di asaskan atas ilmu yang diolah oleh tamadun sebelumnya terutamanya tamadun Islam.

Kita ambil contoh, misalnya, teknologi unggul semasa iaitu komputer. Kebanyakan daripada kita menjangka bahawa idea pengkomputeran hanyalah berteraskan kepada idea yang dikemukakan oleh ahli falsafah matematik bernama Alan Turing pada awal abad ke-20. Apabila sejarah komputer di ambil kira pula, paling awal dicatatkan hanyalah nama-nama tokoh seperti Boole, dari segi perisian komputer, dan Charles Babage, dari segi perkakasan komputer. Namun, para ilmuwan mengakui bahawa antara teras teknologi komputer yang terpenting ialah konsep algoritma, dan ia telah diasaskan oleh al-Khuwarizmi.

Bahkan konsep sifar, yang menjadi teras logik binari Boolean dan bahasa mesin komputer, juga diasaskan oleh al-Khuwarizmi. Bukan sahaja dalam perisian komputer bergantung kepada idea asas dalam tradisi ilmu Islam, sebahagian daripada idea perkakasan komputer yang sering hanya dikaitkan dengan Charles Babage itu sendiri dapat disasilahkan juga daripada mesin astrolab al-Battani abad ke-8 dan ke-9 masehi.

Walau pun demikian, sesuatu hakikat yang kurang diketahui umum ialah tentang kompleksiti hubungan antara sains dengan teknologi. Bahkan bukti ilmiah berulang kali merumuskan bahawa tidak adanya korelasi terus antara sains dan teknologi. Justeru itu, kemajuan teknologi sesuatu tamadun itu tidak semestinya bererti akibat kehebatan sainsnya. Bahkan dalam sejarah sains dan teknologi terdapat tamadun yang menghasilkan teknologi yang tinggi tanpa memperlihatkan kemajuan yang sama dalam sains mereka.

Tamadun Roman, misalnya banyak merakamkan hasil teknologi yang tinggi berbanding sains mereka; sebaliknya tamadun Yunani pula mencatetkan kemajuan sains yang tinggi berbanding dengan teknologi mereka. Bahkan dalam sejarah teknologi moden telah terbukti banyak ledakan kemajuan teknologi yang terhasil tanpa bantuan atau hubungan terus dengan kemajuan sains. Hubungan kompleks antara sains dan teknologi tersebut memperingatkan kepada kita supaya berhati-hati dalam membuat sebarang hubungan mudah antara keduanya dalam konteks kemajuan budaya ilmu sesuatu tamadun.

Sesungguhnya hal tentang, “mengapa sains Islam tidak dapat menawarkan apa-apa hari ini?”, adalah lebih merupakan persoalan persepsi. Jawapan mudahnya jika ada, ialah tidak ada sains Islam dewasa ini, iaitu sains yang berteraskan kosmologi Islam serta metafizik Islam secara menyeluruh dan nyata, diamalkan secara aktif dan sepadu.

Yang ada, ialah ilmuwan Islam yang mewacanakan ciri-ciri sains Islam sebagai sains alternatif dan mengamalkan sains moden pula, pendeknya, yang wujud kini ialah saintis beragama Islam. Walau pun kita akur ada usaha yang dilakukan secara terpencil di negara seperti Iran. Kita hanya boleh merasa lega sedikit dengan sains Islam apabila telah wujud satu universiti yang menjadikannya sebagai asas kurikulum dan penyelidikannya; atau wujud pasukan penyelidikan aktif dengan dana yang mencukupi; atau wujud penerbitan dan wacana dinamik terus menerus dalam konteks paradigma sains Islam.

Soal mengapa sedikit sekali saintis beragama Islam memberi sumbangan kepada sains semasa, ada kaitannya dengan soal (i) kesediaan intelektual, (ii) keadaan ekonomi dan (iii) kekuatan politik umat Islam semasa. Hal ini perlu penelitian yang cermat dan sudah tentu memerlukan kupasan yang lebih panjang,


Kenapa kita sepertinya tidak pernah dengar terdapat sains yang cuba dikaitkan dengan agama, atau unsur-unsur kepercayaan lain. Mithalnya, tidak pernah kita mendengar adanya Sains Lao-Tze, Sains Budhha, Sains Hindu, atau Sains Zoroaster, dll. Bahkan, Barat tidak pula menamakan sains mereka yang hebat pada hari ini sebagai Sains Kristian. Tapi, Islam atau muslim umpamanya, begitu ‘istimewa’ dan ‘terhegeh-hegeh’ untuk melekatkan sains dengan agama. Jadi, mengapa sains perlu disandarkan kepada Islam, yang jelas sesuatu tindakan yang tidak dilakukan oleh agama dan kepercayaan lain?

Bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang sejarah dan falsafah sains, atau sejarah idea, istilah-istilah sains Cina, sains Yunani, sains Mesir dan sepertinya biasa digunakan. Walaupun mungkin takrifan yang diberikan kepada istilah tersebut mungkin berbeza-beza, namun pada umumnya ia merujuk kepada ciri budaya fikir sains yang di amalkan secara meluas atau kosmologi sains dominan dalam tamadun-tamadun tersebut.

Oleh itu, misalnya, Sains Cina merujuk kepada gagasan ilmu alam tabii yang berpremiskan kosmologi Cina, sama ada berasaskan ajaran Toaisme atau Konfusiusme, yang diamalkan oleh tamadun Cina ketika itu. Suatu hakikat sejarah yang tidak harus dilupakan ialah sains dalam tamadun-tamadun lepas adalah amat berbeza daripada sains sekular moden yang diamalkan kini; sains tamadun lampau diadun dalam simbolisme dan kosmologi kepercayaan semasa serta keagamaan yang dominan ketika itu.

Soal kenapa Barat tidak menamakan sains yang diamalkan kini sebagai sains kristian, ialah kerana sains barat semasa sememangnya berasaskan kosmologi sekular dan jelas bukan berteraskan kosmologi kristianiti. Namun, di Amerika Syarikat terdapat juga ahli sains yang cuba mengetengahkan Sains Kristian dan antara mazhab yang lebih dikenali ialah “Creationist Science.” Ahli sains daripada mazhab ini terutamanya menolak Teori Darwinian dalam Biologi moden dan juga asas kosmologi sekular sains moden. Hanya, suara mereka kerap terpinggir dan jarang kedengaran dalam wacana arus perdana sains moden.

Jawapan anologi mudah tentang keperluan umat Islam kepada sains Islam, adalah sama dengan keperluan umat Islam kepada ekonomi Islam, perundangan Islam, makanan Islam dan seumpamanya. Soal “orang lain tak buat mengapa kita harus ‘terhegeh-hegeh’ buat,” merupakan persoalan lain yang kurang relevan dengan teras wacana sains Islam.

Namun, jawapan ringkas mengapa umat Islam terdahulu dan semasa peka tentang perlunya “sains Islam,” ada kaitannya dengan (i) epistemologi Islam, (ii) tuntutan ‘Iqra’ dan (iii) risalah Tawhid. Pendeknya, “keistimewaan” (meminjam istilah penyoal, dengan izin) sains Islam, berbanding dengan sains semasa atau yang lampau, ialah kerana ia berteraskan “kosmologi al-Quran.” Konsep- konsep asas tersebut harus difahami oleh setiap para ilmuwan Islam.

Hal ini kerana konsep asas seperti itu adalah intipati dan pendorong utama sekitar wacana sains Islam. Sekiranya konsep itu kurang difahami maka wacana sains Islam akan menjadi sukar diikuti. Oleh sebab itulah kita lihat banyak salah faham semasa berlaku tentang hujah sekitar sains Islam terutamanya tentang kepentingannya kepada umat Islam semasa.


Dikatakan sains itu tidak bebas nilai. Tapi, apakah bezanya sains di Barat dengan sains yang difahami dalam Islam? Sebab, tiada nampak beza antara nombor “1″ dalam Islam dengan nombor “1″ dalam Barat? Begitu juga, apa bezanya fizik kuantum/geometri/anatomi-manusia di Barat, dengan fizik kuantum/geometri/ anatomi-manusia dalam Islam? Bukankah semua ilmu adalah sama di mana-mana, dan pada bila-bila masa?

Mereka yang mendakwa sains itu bebas nilai secara ilmiah adalah segelintir sahaja. Namun pandangan ini telah meresap dalam wacana arus perdana sains moden. Hanya pandangan “sains bebas nilai” itu sukar dipertahankan secara ilmiah terutamanya apabila kita merujuk kepada sejarah sains ataupun sejarah idea dalam tamadun sebelum abad ke-19 Eropah. Semua sains tamadun lampau jelas diresapi oleh nilai-nilai semasa.

Pengalaman kita dengan sains sekular moden barat memang menjadi seseorang itu cenderung untuk mempercayai bahawa sains moden ialah bebas nilai dan bersifat universal. Tetapi kepercayaan seperti itu telah pun disangkal terutamanya oleh seorang ahli sains moden dan sejarah sains, Thomas Kuhn, dalam tulisan beliau “The Structure of Scientific Revolutions.” Pendeknya, menurut Kuhn, walaupun sains moden sekular kerap berpura-pura sebagai “bebas-nilai”, hakikatnya ialah ia tidak terlepas daripada pengaruh unsur-unsur nilai dan pengaruh faktor sosiologikal semasa.

Merujuk kepada contoh yang dikemukakan oleh pewawancara tentang persamaan nombor “1” sains barat sekular dan Islam. Jawapan ringkasnya, dari segi sifat simbol kuantitatifnya memang simbol tersebut membawa erti yang sama. Namun, simbol “1” atau “Ahad” dalam Islam juga membawa erti simbol Tawhid atau keEsaan Tuhan. Sekiranya konsep nombor dan simbolisme dalam sejarah intelektual Islam diteliti kita akan dapati bahawa terdapat penekanan yang ketara kepada keseiringan simbolisme kuantitatif dan kualitatif.

Apa yang berlaku pada zaman Kebangkitan (Enlightenment) apabila budaya ilmu barat menyerap ilmu matematik Islam ialah, hanya elemen kuantitatif sahaja yang diserap dan dipupuk oleh barat. Sehubungan dengan itu, kita dapati hal yang sama berlaku apabila merujuk kepada bagaimana sains sekular melihat fenomena alam tabii sebagai hanya dimensi fizik, tanpa roh, dan tanpa unsur ghaib.

Sains Islam pula merujuk fenomena yang sama sebagai sekurang-kurang terdiri daripada gabungan dua dimensi iaitu fizik dan metafizik. Oleh sebab itulah dalam epistemologi Islam, fenomena alam tabii kerap dirujuk sebagai “ayat” dan alam tabii pula sebagai “kitab terbuka” atau “al-Quran terbuka.”

Fizik kuantum, geometri dll dalam sains moden yang diamalkan di Eropah dan di negara Islam memangnya sama. Sains moden yang diamalkan oleh orang bukan Islam dan orang Islam jelas sama. Soalnya apakah mungkin ada perbezaan antara fizik, kimia, biologi dan matematik seperti dalam tradisi sains moden dengan apa yang mungkin yang terdapat dalam tradisi sains Islam?

Berasaskan penjelasan yang terdahulu, walau pun, jawapan berikut buat masa ini hanyalah “akademik”, kita menjangkakan bahawa: (i) ada aspek sains tersebut yang sama terutamanya yang merujuk kepada unsur kuantitatif dan fizikal, (ii) juga, ada aspek teori sains yang ketara berbeza antara keduanya terutamanya apabila merujuk kepada unsur kualitatif, premis metafizikal dan kosmologikal. Dan,(iii) kita menjangkakan ada perubahan dalam penjelasan teori-teori tertentu tentang fenomena tabii alam mengikut perubahan masa, zaman dan tradisi ilmu semasa seperti yang diperlihatkan dalam sejarah sains barat dan juga sains Islam.


Definisi sains yang dikemukakan oleh Shaharir Mohamad Zain dalam Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains ialah, “sains berupa analisis fenomenon secara bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai.” Jadi, adakah Pengislaman Ilmu bertujuan untuk memasukkan aspek-aspek metafizik, ketidakmantikan, dan diluar-kerasionalan? Tapi, bukankah pula sukatan dan kaedah ilmu yang digunakan oleh sains dalam definisi tersebut paling disepakati oleh semua pihak, kerana Sains Barat ternyata sangat empirikal dan mudah dipercayai. Tidak begitu?

Definisi yang diketengahkan oleh Prof. Shaharir adalah generik yang sememangnya diterima dalam konteks sains moden dan serasi pula dengan epistemologi Islam. Kita dapati definisi di atas bukan sahaja merujuk kepada dimensi kaedah empirikal tetapi juga kaedah yang berteraskan rasio.

Sepintas lalu definisi tersebut merujuk kepada penggunaan fakulti fizik dan fakulti akal sahaja, tetapi jika diteliti dengan rapi ia juga merujuk keperluan penggunaan mantik (perhatikan bahawa istilah mantik digunakan dan bukan logik) bagi menghasilkan ilmu yang boleh dipercayai. Kepercayaan yang dihasilkan melalui mantik adalah sangat dituntut dalam tradisi ilmu Islam, dan kita maklum bahawa dalam budaya ilmu Islam mantik dan kepercayaan adalah subjek fakulti naql dan bukan sekadar fakulti aql atau rasio sahaja.

Hujah tersebut akan menjadi lebih jelas apabila sejarah mantik dalam tradisi Islam diteliti dan dibandingkan dengan sejarah logik dalam budaya ilmu barat. Seperti yang ditegaskan tadi, perbezaan ketara antara kedua-duanya bukan dari segi istilah sahaja tetapi juga konotasi yang dikandungi oleh istilah tersebut, dalam budaya ilmu Islam, mantik ialah subjek fakulti naql manakala dalam budaya barat logik adalah subjek fakulti rasio semata-mata.

Oleh demikian definisi sains yang diketengahkan oleh Shaharir tersebut menuntut penggunaan ketiga-tiga fakulti secara holistik dan bukan hanya dua fakulti yang biasa diamalkan dalam tradisi sains moden sekular.

Tuduhan bahawa pengislaman Ilmu “bertujuan untuk memasukkan aspek-aspek metafizik, ketidakmantikan, dan diluar-kerasionalan” sebenarnya timbul daripada kekeliruan atau kurang pengetahuan tentang usaha tersebut.

Pengislaman ilmu jika dirujuk kepada sains moden lebih menjurus kepada gagasan salah satu usaha berikut: (i) peningkatan kesedaran kepada kosmologi sains Islam berteraskan al-Quran (ii) menghidupkan budaya “iqra” (i.e. “membaca” alam tabii dalam konteks Ketuhanan), (iii) menggalakkan usaha memadankan penemuan baru, khususnya dalam teori fizik atau kosmologi moden, dengan konteks metafizik dan kosomologi Islam, dan (iv) menggalakkan penerbitan serta penyelidikan peringkat primer atau sekunder tentang persoalan alam tabii semasa daripada sudut kosmologi atau dengan premis Islam, dan (v) memperbanyakkan kupasan serta kajian sejarah idea sains yang lampau dan semasa daripada sudut historiografi sains Islam.


Jadi, apa yang boleh disumbangkan oleh Sains Islam kepada dunia keseluruhannya? Dan di mana kerugiannya jika kita melanggan Sains Barat?

Potensi sains Islam adalah banyak. Antara yang ketara ialah sumbangan dalam memperkayakan budaya intelektual semasa. Sumbangan ini boleh berlaku daripada tiga sudut asas: (i) epistemologi (ii) kosmologi dan (iii) etika profesional. Kita tahu bahawa sains barat telah pun dipasak oleh ketiga-tiga asas tersebut berteraskan paradigma dan falsafah sekularisme yang dimantapkan pada abad ke-19.

Namun itu tidak bererti semuanya telah beres dan sempurna. Kekusutan dan kerapuhan sains moden amat dirasai bagi mereka yang mengikuti perbahasan, khususnya di peringkat falsafah sains atau di peringkat fizik teoretikal atau fizik kuantum. Sememangnya sukar bagi kita untuk memperincikan satu-persatu dengan tepat bagaimana sains Islam mampu mengatasi setiap permasalahan yang wujud dalam sains moden. Kita hanya mampu untuk menoleh kepada rakaman sejarah tentang episod yang pernah berlaku apabila budaya ilmu Islam membuat sumbangan kepada barat.

Sejarah telah merakamkan dengan jelas bagaimana sains barat kuno telah diperkayakan oleh sains Islam klasikal sehingga mampu mencetuskan kebangkitan budaya ilmu sains barat yang kemudiannya melahirkan sains moden semasa. Hakikat ini di akui oleh ilmuwan dari pelbagai pihak, sama ada Islam atau yang bukan, dan banyak penulisan telah terhasil daripada penelitian tentang episod tersebut.

Namun sama ada sains Islam moden boleh menjadi kenyataan dan mampu mengulangi kembali apa yang pernah dilakukan oleh sains Islam klasikal adalah suatu persoalan yang amat menarik. Saya percaya kemungkinan ia menjadi kenyataan suatu hari nanti adalah pasti. Mungkin apa yang pasti buat waktu ini ialah sekiranya sains Islam, atau sains yang berteraskan kosmologi al-Quran menjadi sains arus perdana beberapa persoalan dan kekusutan asas dalam sains moden pasti dapat dihuraikan.

Dalam huraian kita pada awal wawancara ini, telah dijelaskan bahawa sains barat hanya menekankan dimensi empirikal, kuantitatif dan rasional sahaja. Oleh demikian penghuraian fenomena alam tabii oleh sains moden hanyalah terhad kepada sudut tersebut sahaja. Namun begitu kita dapati kosmologi moden dan fizik semasa cenderung untuk mencari jawapan kepada persoalan asas dan persoalan yang biasanya dianggap berada dalam dimensi metafizik.

Misalnya, soal tentang apa yang berlaku pada detik alam mula tercipta, apakah unsur paling asas, dan bagaimana manusia mula wujud, merupakan antara gagasan persoalan asas tersebut. Apakah sains moden akan mampu memberi jawapan kepada persoalan seperti itu, terutamanya jawapan yang serasi dengan jiwa Muslim, dengan hanya menggunakan kaedah sains sekular, menjadi suatu tanda tanya besar. Namun, hakikatnya kita tahu bahawa menjelang awal abad ke-21 budaya ilmu barat sudah pun mengeluh.

Alex Schiller, misalnya dalam artikel beliau “A History of Western Civilisation” yang ditulis menjelang abad ke-21, telah menyenaraikan penemuan asas utama budaya ilmu barat. Mengikut beliau, antara penemuan terpenting ialah (i) penemuan Darwin tentang manusia sebagai salah satu spesis haiwan, (ii) Freud mendapati manusia semuanya kurang siuman dan gila seks, dan (iii) tidak ada kebenaran mutlak, yang ada ialah kebenaran sains yang bersifat relatif, sementara dan berubah-ubah.

Pendeknya, mengikut Schiller, budaya ilmu barat menjelang abad ke-21 hanya mampu merumuskan bahawa manusia tidak ada identiti hakiki, tidak ada roh, serta tidak ada kebenaran di samping tidak perlu kepada keimanan pada Tuhan dan akhirat.

Pada akhir pengamatan tersebut beliau meluahkan kekesalan dengan ungkapan berikut … “macam mana kita boleh sampai di tahap kegilaan seperti ini?.” Keluhan tentang krisis dalam budaya ilmu barat telah juga dibayangkan lebih awal oleh T.S. Eliot melalui satu puisi: Where is the Wisdom we have lost in Knowledge? Where is the knowledge we have lost in Information? Alas, Where is the life we lost in living?


Akhir sekali, apa halangan yang masih wujud dalam memperkasakan lagi gagasan Pengislaman Ilmu ini?

Seperti yang saya sebutkan awal tadi bahawa kita harap suatu hari nanti akan wujud universiti-universiti yang menjadikan sains Islam sebagai asas kurikulum dan pengajarannya, lengkap dengan barisan profesor serta pasukan penyelidikan aktif yang disokong melalui dana yang mencukupi, di sambut dengan penghasilan penerbitan dan wacana dinamik yang terus menerus.

Namun kita sedar sebelum kita dapat melihat itu semua sebagai kenyataan sains Islam harus mengharungi banyak halangan dan cabaran. Antara cabaran yang harus diharungi ialah (i) halangan intelektual, (ii) halangan kepakaran, (iii) halangan tenaga, (iv) halangan prasarana, (v) halangan dana, dan (vi) halangan politik.

Jawapan kepada soalan (i) dan (ii) telah saya ringkaskan dalam awal wawancara ini. Jawapan yang lebih panjang telah saya buat dalam tulisan saya terdahulu, misalnya dalam tulisan saya “Daripada Sains Yunani kepada Sains Islam” dan sepertinya. Manakala penjelasan tentang persoalan (iii) hingga (vi) memerlukan jawapan yang agak panjang.

Saya khuatir tidak mampu berlaku adil dalam memberi jawapan kepada persoalan tersebut pada kesempatan kali ini. Namun persoalan yang sama telah saya cuba huraikan dalam beberapa tulisan dan buku saya sebelum ini. Oleh itu buat kali ini izinkan saya mengesyorkan agar huraian saya tersebut dirujuk kembali, misalnya dalam buku berjudul “Retorik Sains dan Teknologi di Malaysia.”


Terima kasih dan Jazakallah khairan kathira.

Sila ambil perhatian bahawa:

  1. Kertas kerja ini asalnya dalam Bahasa Indonesia. Maka ia telah dilakukan sedikit perubahan dari segi istilah, tatabahasa dan struktur ayatnya untuk memudahkan pembacaan dan pemahaman penutur Bahasa Malaysia.

  2. Nota kaki kertas kerja ini ada 25 semuanya. Namun tidak diketahui mengapa sumber asal kertas kerja ini hanya memiliki 13 sahaja.

  3. Sebarang kekeliruan bolehlah dirujuk kepada kertas kerja yang asal, yang mana nampaknya ia juga bukanlah betul-betul yang asal. Saya masih mencari-cari sumber asal kertas kerja tersebut.
---

Oleh: Hamid Ja'far al-Qadri [1]

Seorang ahli falsafah Yunani bernama Harqls yang hidup sebelum Masihi pernah berkata:
Kita tidak akan mandi sebanyak dua kali di dalam sebuah sungai, melainkan hanya dengan air baru yang mengalir di sekitar kita.

Kata-kata inilah yang menjadi permulaan timbulnya sebuah aliran dalam falsafah yang di antara ajarannya adalah fahaman evolusi, yang dalam bahasa Arabnya disebut Shairurah. Evolusi adalah satu kenyataan yang tidak boleh diingkari oleh pemikiran manusia. Semua yang ada di dunia ini pasti mengalami evolusi. Hari ini tidak mungkin sama dengan hari kelmarin. Manusia sekarang tentu berbeza dengan manusia satu abad yang lalu. Begitulah seterusnya, alam dan manusia sentiasa mengalami perubahan dan pembaharuan. Hal inilah yang disebutkan oleh al-Quran dalam Surah ar-Rum, ayat 54 dan Surah al-Hadid, ayat 20. [2]

Oleh kerana itu manusia sentiasa dituntut melakukan perubahan pada hal yang lebih baik dalam mengikuti proses evolusi alam dan hidup. Perubahan inilah yang disebut tajdid. Dan hal ini berlaku dalam segala sendi kehidupan manusia; baik dalam ekonomi, sosial, politik dan pemikiran keagamaan. Jika tidak, maka manusia akan dimakan oleh sistem yang dia berada di dalamnya.

Namun tajdid bagaimana yang harus dilakukan terutama dalam masalah pemikiran keagamaan yang sedang kita bincangkan ini? Di sini kami akan cuba mengkaji pembaharuan pemikiran keagamaan dalam sejarah peradaban manusia, kerana menurut kami hal ini adalah akar permasalahan utama dalam sejarah pembaharuan.

Selayang Pandang Sejarah Peradaban

Kalau kita membincangkan tentang masalah peradaban secara terperinci tentu kita akan memerlukan berjilid-jilid buah buku. Di sini kami hanya menyentuh sepintas lalu tentang sejarah peradaban mulai dari abad ke-6 hingga ke-7 Masihi.

Ini kerana puncak dari kehancuran dan kemusnahan nilai-nilai kemanusiaan terjadi pada abad-abad ini. Manusia yang hidup di masa itu benar-benar berada dalam kekalutan. Mereka lalai pada Sang Pencipta dan bahkan pada dirinya sendiri. Kemampuan untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk telah tiada. Para tokoh agama enggan mengikuti aktiviti kehidupan, mereka lari dari kenyataan dan hidup dalam angan-angan serta bersendirian. Lantas ini menyebabkan para pemerintah dan kaki tangannya melakukan kezaliman kepada manusia.

Agama-agama besar hanya menjadi sebuah simbol dan permainan yang kehilangan fungsinya, sehingga pati dan hakikatnya menjadi hilang. Agama Nasrani misalnya, yang waktu itu merupakan agama majoriti dunia, hanya memiliki peranan yang sangat kecil dan terbatas dalam membangunkan peradaban dunia. Bahkan para pendeta dan tokoh-tokoh gereja sendiri telah mempermainkan kemurnian ajaran Nasrani itu sendiri. Ini seperti yang dilakukan oleh Bulis dan Qiestentein.

Elemen kurafat falsafah Yunani, atiesme bangsa Rom dan falsafah Plato telah mempengaruhi dan mewarnai ajaran-ajaran agama ini. Campur tangan para penghuni gereja dalam manhaj ajaran Kristian ini telah diakui sendiri oleh pakar-pakar Eropah sendiri, seperti yang disampaikan oleh Sale's tranlition tentang kenyataan kaum Nasrani yang menyembah tokoh-tokoh gereja dan Strot mail yang mengakui bahawa ajaran Nasrani saat ini bukan ajaran Nabi Isa. [3] (Penterjemah: Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan dengan Sale's tranlition dan Strot mail yang terdapat dalam kertas kerja itu)

Sedangkan agama Yahudi yang pemeluknya tersebar di pelbagai penjuru dunia seperti di Eropah, Asia dan Afrika, adalah umat yang paling kaya dalam ilmu pengetahuan dan material. Cuma politik dan peradabannya sahaja yang tidak berpengaruh kepada bangsa-bangsa lain. Bahkan sebaliknya bangsa Yahudi menjadi bangsa yang cuba dijauhi oleh bangsa-bangsa lain. Orang-orang Yahudi menjadi sasaran ancaman dan kekerasan anak cucu Adam waktu itu. Hal ini kerana bangsa Yahudi merasakan bahawa mereka adalah umat terbaik dan menganggap bangsa lain sebagai jijik. Kefanatikan kepada bangsanya sendiri telah menjadikan watak dan perangai Yahudi menjadi sombong, munafik dan menghalalkan segala cara. [4]

Kehidupan manusia berputar di pelbagai sendi kehidupan, baik dalam aspek sosial, budaya, ekonomi dan politik. Dan hal ini hampir terjadi di seluruh dunia. Abul Hasan an-Nadwi dalam bukunya Madhahasira al-'alam bi Inhitat al-Muslimin telah menggambarkan secara terperinci tentang keadaan dunia di masa itu. Mungkin umat yang paling berbudaya waktu itu adalah bangsa Arab. Oleh sebab itulah bangsa Arab menjadi bangsa yang paling sesuai untuk menerima kedatangan seorang Utusan. Cuma sifat-sifat keji dan kebodohan masih berleluasa di kalangan masyarakat Arab.

Cahaya Terang

Dalam keadaan yang kacau-bilau, di samping pengakuan para pakar dan ahli falsafah akan ketidakmampuan mereka untuk mencipta sebuah sistem yang mampu membangunkan peradaban dunia, maka dengan kasih sayang-Nya Allah telah mengutuskan seorang Utusan termulia, untuk membuka era baru dalam sejarah peradaban dunia. Dengan berbekalkan manhaj yang diterima dari Allah, Nabi Muhammad sallahu alayhi wassalam mampu membawa dunia pada tahap yang sempurna. Jati diri manusia sebagai khalifah Allah benar-benar tercapai, dan nilai-nilai kemanusiaan kembali tertanam setelah sekian lama menghilang.

Bermula dari jazirah Arab, anak Abdullah ini menyebarkan cahaya kebahagiaan ke seluruh penjuru dunia dengan suatu agama yang bernama Islam. Pelbagai kemajuan telah dicapai oleh anak cucu Adam setelah kedatangannya, baik dalam aspek kerohaniaan (baca: keagamaan), sosial, politik dan ekonomi.

Nampaknya tidak perlu saya sampaikan di sini tentang latar belakang kejayaan Rasulullah ini. Namun rahsia dari semua ini adalah kerana manhaj Rasulullah itu berasal dari manhaj Rabbani yang tertera di dalam al-Quran dan Sunnah.

Tidak adil rasanya kalau hanya umat Islam sahaja yang mengakui akan kejayaan Rasulullah ini. Dr Amir Skib Arsalan dalam bukunya Hadir 'Alamil Islamiy telah mengungkapkan pengakuan para orientalis dan pakar dari Barat tentang kekaguman mereka kepada Rasulullah yang telah mampu membawa dunia kepada era baru. Mereka sangat kagum kepada bentuk dan ajaran Rasulullah disebabkan beberapa hal.

Di antaranya adalah bagaimana cepatnya bangsa Arab bangkit untuk memperkasakan peradabannya setelah kedatangan Rasulullah. Menurut mereka, bangsa Arab (baca: Islam) mencapai kemajuan dalam jangka masa 80 tahun sahaja, sedangkan bangsa Rom melakukannya dalam masa 800 tahun. Sebahagian lagi mengatakan bahawa bangsa Arab mampu menguasai separuh dunia hanya dalam jangka waktu setengah abad sahaja.

Seorang orientalis yang bernama Grousset berkata:
Muhammad di saat membawa risalahnya adalah seorang pemuda yang budiman, mengajak bangsa Arab yang sedang menyembah berhala untuk menyembah Allah semata-mata. Dia mahu mencipta sistem pemerintahan demokrasi yang bersatu, yang mana sebelum ini bangsa Arab adalah bangsa yang saling bermusuhan. Sebelum kedatangannya, bangsa Arab adalah bangsa yang keras dan liar. Namun setelah itu bangsa Arab berubah menjadi satu bangsa yang beradab dan lemah lembut.

Glodzher yang merupakan seorang lagi orientalis Barat berkata:
Muhammad telah menetapkan nilai dan ajaran yang membawa manusia menuju ajaran dan nilai-nilai yang dikehendaki Ilahi. Muhammad membawa ajaran ini dengan jujur dan amanah. [5]

Maka sejak saat itulah umat Islam semakin maju dan berkembang dari masa ke semasa. Berbagai-bagai kemajuan telah dicapai dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan teknologi, sehingga bangsa Arab menjadi kiblat kepada bangsa-bangsa lain dalam sejarah peradaban dunia.

Kebangkitan dalam sains dan teknologi yang bermula sejak Dinasti Umaiyyah, yang kemudian ia menuju ke zaman puncaknya di zaman Dinasti Abbasiyyah, tidak perlu kami sebutkan secara terperinci di sini. Ini kerana ia memerlukan kepada perbincangan yang lain. Yang jelas di masa keemasan itu, umat Islam telah mampu memberi manfaat ke seluruh penjuru dunia.

Bahkan bangsa Eropah sendiri mula mengambil ilmu daripada bangsa Arab sejak satu abad sebelum mereka mampu mencapai kemajuan dalam bidang ilmu pengetahuan. Sekolah-sekolah dan universiti Islam yang tersebar di berbagai buah kota seperti di Basrah, Kuffah, Baghdad, Kaherah dan Cordoba telah dikunjungi oleh para pelajar dan mahasiswa dari berbagai belahan bumi termasuk dari Eropah dan sekitarnya.

Bahkan di Cordoba tidak sedikit dari sekolah-sekolah umat Islam yang dihuni oleh siswa yang beragama Nasrani dan dari Sepanyol sendiri. Inilah bagaimana falsafah Arab mula menerobos dunia Eropah. Falsafah Ibnu Rusyd mula dipelajari di universiti-universiti Perancis, universiti Oxford dan maktab perguruan tinggi yang berada di Itali. [6]

Pada tahun 656 Hijrah, umat Islam telah mengalami musibah besar, iaitu apabila masuknya tentera Tartar ke dalam Baghdad yang menjadi pusat pentadbiran Islam waktu itu. Tentera Tartar telah memporak-perandakan kota Baghdad sehinggalah pada tahun 677 H, umat Islam masih lagi tidak memiliki seorang pemimpin yang mampu mengangkat kembali seorang khalifah. [7]

Menurut Dr Ihsan Taufik, penyebab utama dari kekalahan umat ini adalah disebabkan tersebarnya rasa fanatik mazhab di kalangan masyarakat Baghdad. Waktu itu di Baghdad terdapat tiga mazhab yang sering bertentangan di antara satu sama lainnya, iaitu mazhab Shafii, mazhab Hanbali dan mazhab Syiah. Ketiga-tiga kelompok ini terus berselisih hingga sampai tahap mengkafirkan satu sama lain. [8]

Zaman Kemunduran

Sejak jatuhnya Baghdad disebabkan serangan tentara Tartar ini, kepimpinan umat Islam mulai terpecah. Di sebahagian daerah sehingga ada yang menuntut kemerdekaan daripada kepimpinan Khilafah Islamiah. Sejak saat itulah kekuatan umat Islam mulai rapuh.

Meski pun setelah itu lahir seorang pahlawan besar Islam yang bernama Salahuddin al-Ayubi yang telah menyatukan kembali kekuatan umat Islam, namun para pemimpin yang datang sesudah beliau tidak mampu mencontohi kepimpinan pahlawan besar ini. Di samping itu pula Barat mula melebarkan sayapnya dan umat Islam sendiri semakin terlena dalam angan-angan duniawi.

Maka sejak saat itu umat Islam mulai lemah. Menurut Habib Abu Bakar al-Masyhur, zaman ini disebut Zaman Ghutsa' (Penterjemah: Ghutsa' bermaksud buih). Pada zaman inilah berbagai musibah dan fitnah meracuni pemikiran dan akidah umat Islam. Ada pun penyebab utama dari bermacam-macam fitnah ini yang telah disimpulkan oleh Habib Abu Bakar dapat diringkaskan seperti berikut:
  • Terpengaruh dengan peradaban Barat dan cenderung mengikuti tuntutan Syahwat;

  • Cendiakawan dan ilmuwan Islam lebih suka mengadakan perbincangan dengan orang-orang Eropah dan terkesima dengan kebebasan ala Barat;

  • Orang-orang Yahudi mulai menguasai politik global sampai pada batasan penetapan feto (qarar). Mereka melakukan propaganda melalui organisasi-organisasi dunia untuk menghancurkan kebudayaan;

  • Timbulnya rasa fanatik kebangsaan seperti yang dihembuskan oleh orang-orang Yahudi, seperti gerakan Ataturk dan sebagainya;

  • Banyaknya pejabat-pejabat kerajaan yang terpengaruh dengan gerakan sekularisme yang dihembuskan oleh Barat, di samping kebangkitan Eropah baru. [9]

Perubahan Peradaban Barat Di Abad Pertengahan [10]

Di saat kekuatan umat Islam menjadi lemah dalam berbagai bidang ini, bangsa Eropah pula mula mengalami kemajuan. Petikan berikut ini adalah sekilas dari sebab-musabab perubahan dan pembaharuan yang dicapai oleh bangsa Eropah sebagaimana yang ditulis oleh teman kami, Ismail Alatas dalam salah satu makalahnya:

Yang harus kita telaah dengan kritis adalah faktor-faktor yang menyebabkan pemikiran Eropah dapat sampai ke zaman moden ini. Dengan berakhirnya abad pertengahan, Eropah menyaksikan lahirnya generasi baru yang mula mengajukan pemikiran-pemikiran segar, setelah trauma yang berkepanjangan.

Generasi ini dihiasi oleh para penjelajah, ilmuwan, pemikir serta sasterawan yang siap membedah dunia baru dan maju ke tempat yang belum pernah dilalui. Mereka mula melihat institusi gereja, yang selama ini mendiktasikan segala sesuatu di Eropah, dengan suatu penglihatan yang baru. Bagi mereka, gereja turut sama bertanggung-jawab ke atas kerosakan yang terjadi di Eropah selama ini.

Oleh kerana itulah generasi baru ini, mula mencari-cari cara beragama yang baru. Mereka tidak berniat untuk menghancurkan agama, namun mereka menganggap bahawa ada cara beragama yang lain, selain yang dikhutbahkan oleh para paderi. Pemikiran generasi yang baru ini, lebih dilandasi oleh karakter ilmiah dan pragmatis yang sebelumnya tidak diketahui oleh bangsa Eropah. Sepanjang abad pertengahan, pemikiran rakyat Eropah hanya dilandasi oleh fahaman konservatif pihak gereja. Dengan landasan pragmatis yang baru inilah, Eropah mula menyaksikan kebangkitan sistem kapitalis di tengah-tengah masyarakat yang mula mengubah pandangannya dari masa lalu menuju masa hadapan. Dengan sendirinya, bahasa yang digunakan oleh masyarakat pun turut berubah.

Penulis Karen Armstrong mengatakan bahawa pada dekad 1660, kata 'probable' mula berubah maksudnya. Dahulu, perkataan ini bermaksud "disokong oleh autoriti". Namun seiringan dengan berubahnya benua Eropah, makna kata ini berganti menjadi, "sepertinya, menurut semua bukti yang ada" [11]. Jelaslah di era yang baru ini, autoriti, khususnya autoriti keagamaan sudah tidak dianggap sebagai sesuatu yang penting lagi.

Dengan berlangsungnya proses menuju kemodenan ini, benua Eropah menyaksikan 2 perubahan fundamental dalam sistem kemasyarakatannya. Perubahan yang pertama adalah perubahan sosial. Proses modenisasi yang didukung oleh aktiviti para kapitalis, telah dengan sendirinya membuka peluang-peluang kerja yang baru. Contohnya apabila Johann Guttenberg mencipta mesin cetak, perusahaan-perusahaan percetakan pun mulai tumbuh. Hasil dari munculnya sistem perusahaan baru adalah bertambahnya peluang pekerjaan kepada masyarakat [12].

Namun, kerana tahap kekompleksan pekerjaan baru adalah cukup tinggi, maka rakyat memerlukan tahap pendidikan yang lebih tinggi juga. Oleh kerana itulah, beberapa kerajaan di Eropah telah membangunkan sekolah-sekolah bagi rakyat jelata, yang mana ia berjaya mengurangkan jumlah golongan buta huruf, yang belum pernah tercapai sebelumnya [13].

Dari sini jelaslah bahawa sistem pendidikan di Eropah mula memasuki babak baru iaitu babak Utilitarianisme. Pendidikan yang dahulunya dirangka untuk para pencinta ilmu pengetahuan, sekarang telah mengalami perubahan karekteristik. Demi kelancaran gerakan modenisasi, maka pendidikan dirancang supaya menghasilkan pekerja-pekerja yang mahir bagi meningkatkan lagi produktiviti. Sistem pendidikan yang menghasilkan para profesional inilah, yang selanjutnya menjadi ciri khas sistem pendidikan Barat.

Generasi baru yang berpendidikan ini selanjutnya menjadi penggerak modenisasi. Hasil dari pendidikan yang mereka terima inilah, yang menjadikan mereka mula berfikir lebih jauh tentang kehidupan mereka. Oleh kerana itu, sistem pemerintahan yang baru harus difikirkan bagi memenuhi keperluan golongan terdidik tersebut. Dari sinilah proses evolusi tata negara mulai berkembang sehingga menghasilkan sistem demokrasi Barat yang mana suara rakyat menjadi penentu hala tuju tertinggi di sesebuah negara [14].

Proses modenisasi yang ditandai dengan meningkatnya sistem kapitalisme ini juga memerlukan banyak tenaga kerja. Atas dasar inilah, golongan yang dahulunya ditindas di Eropah, seperti bangsa Yahudi, harus mula digunakan demi memastikan proses modenisasi berjalan. Untuk itu diperlukan sebuah prinsip yang dapat menarik bangsa Yahudi di Eropah ke dalam proses modenisasi ini. Dengan demikian, lahirlah prinsip 'Hak Asasi Manusia' yang percaya akan kesama-rataan setiap manusia.

Dengan cara inilah bangsa Yahudi dapat turut menjayakan gerakan modenisasi. Hasil dari sistem demokrasi dan hak asasi manusia adalah keinginan setiap individu untuk dapat hidup merdeka dari semua jenis kekangan, baik kekangan agama [15] dalam bentuk autoriti gereja mahu pun kekangan monarki dalam bentuk autoriti kerajaan yang mutlak [16].

Perubahan yang kedua adalah perubahan agama. Perubahan agama ini terjadi sebagai kesan langsung dari perubahan sosial yang telah diutarakan di atas. Dengan berubahnya karekter masyarakat, aktiviti keagamaan pun harus berubah. Rakyat yang telah terdidik tidak ingin lagi diperbodoh-bodohkan oleh pendeta yang dahulunya memegang kuasa mutlak tradisi intelektual. Oleh sebab itu gereja pun harus mengubah dirinya supaya lebih efisien.

Inilah, para pembaca yang budiman, sebuah lumrah yang terjadi kerana setiap tradisi bermula dengan berdasarkan konteks yang ada pada saat tradisi tersebut bermula. Dengan berubahnya konteks yang ada, tradisi yang menyandarkan dirinya pada konteks tersebut pun dengan sendirinya hancur berkeping-keping [17]. Inilah yang terjadi pada gereja.

Tradisi-tradisi keagamaan yang ada telah dibangunkan di atas kebodohan rakyat, di mana gereja memonopoli sistem pendidikan dan kesarjanaan. Namun setelah kebodohan hilang dari tubuh rakyat, maka monopoli intelektualisme gereja pun terhenti dan dengan sendirinya rakyat mula mempersoalkan tradisi-tradisi gereja yang tidak sesuai dengan pemikiran mereka.

Tentangan terhebat yang dialami gereja pada masa ini adalah apabila datangnya seorang tokoh reformis yang berasal dari Jerman, Martin Luther. Luther menyatakan bahawa setiap individu harus memiliki kebebasan untuk membaca dan menafsirkan kitab suci sebagaimana yang mereka mahu, tanpa harus dipengaruhi oleh pihak gereja. Tentu sahaja Luther hanya dapat mengatakan sedemikian kerana hasil dari perubahan sosial yang telah berlaku. Hak untuk membaca kitab suci tidak akan dapat wujud tanpa adanya tahap cerdik membaca yang tinggi di kalangan para penganut agama.

Dengan meningkatnya tahap cerdik membaca akibat sistem pendidikan yang baru ini, maka Luther dapat mengatakan betapa pentingnya bagi setiap penganut Kristian untuk membaca kitab suci mereka. Kebebasan untuk menafsir kitab suci juga merupakan hasil langsung dari perubahan sosial yang terjadi. Seperti telah dijelaskan di atas, perubahan sosial telah memperkenalkan rakyat kepada konsep demokrasi dan hak asasi manusia, yang pada akhirnya menghasilkan hasrat untuk bebas dari segala rantai yang mengikat. Salah satu perkara yang wujud dari hasrat ini adalah hak kebebasan untuk menafsirkan kitab suci mengikut pandangan para pemeluknya sendiri.

Lebih jauh lagi, Martin Luther berpendapat bahawa Tuhan telah mengundurkan diri dari dunia, sehingga apa yang tinggal di dunia ini hanyalah kejelekan semata. Oleh kerana kejelekan dunia yang berlawanan dengan kebaikan/keindahan Tuhan, maka Luther mengatakan bahawa gereja harus berjalan sendiri dan terpisah dari negara. Dan inilah, para pembaca yang budiman, titik awal permulaan gerakan sekularisme di Eropah yang dimulakan oleh goresan pena Martin Luther [18].

Setelah melihat perubahan sosial dan agama, marilah kita melihat perkembangan yang terjadi dalam dunia ilmu pengetahuan. Perubahan besar ilmu pengetahuan yang terjadi ketika Nicolaus Copernicus mengemukakan hipotesis heliocentrik yang menyerang doktrin gereja yang didasari oleh teori Ptolemy. Hipotesis ini kemudian dibuktikan secara matematik oleh ahli fizik German yang bernama Johannes Kepler.

Bagi melengkapi Copernicus dan Kepler, seorang ahli astronomi yang berasal dari Pisa pula yang bernama Galileo Galilei telah menguji teori tersebut dengan memerhatikan susunan planet-planet melalui teleskop yang telah disempurnakan olehnya. Walaupun ketiga-tiga ilmuwan di atas adalah orang-orang agama yang tidak ingin melawan gereja, namun teori heliocentrik telah berjaya menggoncang pemikiran intelektual di Eropah [19]. Sejak itu, masyarakat berfikir bahawa kepercayaan terhadap persepsi sudah tidak dapat dipercayai lagi. Tampaknya setelah saat itu, persepsi sudah menjadi bukan satu-satunya cara untuk manusia mengetahui kebenaran.

Kesan dari penemuan sains tiga ilmuwan di atas adalah lahirnya generasi baru yang sangat skeptikal terhadap persepsi. Salah satu dari mereka adalah seorang ilmuwan masyhur bernama Sir Isaac Newton dari England yang berjaya menghasilkan sebuah penemuan baru dari penemuan-penemuan saintis sebelumnya dengan menggunakan kaedah eksperimen dan deduksi. Sejak saat itulah, kedua-dua kaedah ilmiah tersebut menjadi penggerak kemajuan intelektual Barat.

Walaupun Newton adalah seorang yang cenderung beragama, namun beliau mengatakan bahawa betapa perlunya usaha untuk membersihkan ajaran Nasrani daripada mitos dan tahyul. Newton berpendapat bahawa Tuhan dapat difahami secara logik dan dengan demikian agama harus juga berdasarkan logik. Pemikiran ini disimpulkan oleh Newton setelah merumuskan teori graviti yang menurutnya bertanggung-jawab ke atas susun atur cakerawala ini. Dengan adanya tarikan graviti inilah, planet-planet yang ada tidak berlanggaran. Oleh sebab itu menurut Newton, ini tidak terjadi dengan sendirinya, namun tentunya berlaku kerana mengikut perintah Tuhan. Dari cara berfikir inilah, Newton akhirnya menyimpulkan bahawa Tuhan dapat dicapai melalui logik ilmiah [20].

Kaedah ilmiah yang digagaskan oleh Newton, iaitu eksperimen dan deduksi telah memberikan pengaruh yang sangat besar terhadap generasi selanjutnya. Inilah saat-saat di mana Eropah menyaksikan kelahiran beberapa pemikir besar: Francis Bacon, David Hume, Rene Descartes, John Locke dan Immanuel Kant. Francis Bacon dengan tegas menolak metafizik ala Aristoteles yang berdasarkan kepada pemikiran spekulatif. Dalam bukunya Advancement of Learning, Bacon mengatakan bahawa hanya indera kitalah yang dapat dipercayai dalam usaha mengetahui kebenaran [21].

Bacon telah mengasaskan sebuah fahaman yang terkenal dengan nama empirisme. Baginya pengetahuan empirik dapat membawa kita menuju kepada pemahaman hukum alam yang pada akhirnya mampu meningkatkan lagi kawalan manusia terhadap alam. Tentunya, kesedaran seperti ini sangat dipengaruhi oleh semangat utilitarianisme dan kapitalisme yang menganggap ilmu sebagai alat untuk mengawal alam semesta demi kepentingan manusia, bahkan mungkin hanya segelintir manusia. David Hume, seorang ahli falsafah dari Scotland telah meneruskan pemikiran Bacon dan malah telah pergi lebih jauh lagi dengan menyerang konsep-konsep pemikiran metafizik sebagai kata-kata kosong belaka kerana ia tidak dapat dicerna oleh pancaindera kita [22]. Dari pemikiran kedua orang ilmuwan inilah, gerakan empirisme mula membahana di benua Eropah.

Dengan demikian, perkembangan, seperti yang berlaku di Barat hanyalah satu lumrah jika ia terjadi kepada peradaban yang mana sistem pemikiran serta nilai-nilainya didasarkan kepada elemen-elemen falsafah dan budaya, serta dibantu oleh perkembangan ilmu pengetahuan yang terus berkembang dan menjadi subjek dari roda sejarah.

Sikap Umat Islam dan Gerakan Tajdid Pasca Kebangkitan Barat

Melihat kemajuan yang dicapai oleh bangsa Eropah, sebahagian umat Islam mulai sedar dari kelalaiannya dalam bidang ilmu pengetahuan. Maka bermulalah gerakan tajdid yang dimulakan dari para sarjana dan ilmuan Islam untuk boleh bangkit menyaingi kemajuan bangsa Eropah. Cumanya kemajuan Barat masih sangat berpengaruh, dan sikap umat Islam dalam hal ini pula masih berada di antara pro dan kontra.

Dalam hal ini pengusung gerakan tajdid secara global terbahagi menjadi tiga kelompok.

Pertama adalah kelompok yang beranggapan bahawa kemajuan umat Islam boleh dicapai dengan membuang jauh-jauh budaya dan falsafah yang datang selain dari Islam. Kelompok ini cenderung ke arah radikal dan tidak boleh menyesuaikan diri dengan perubahan. Dari kelompok inilah selalunya timbul gerakan Islam haraki seperti Taliban dan sebagainya.

Kelompok kedua adalah kelompok yang cuba untuk berkompromi di antara kebudayaan Islam dan kebudayaan Barat. Gerakan ini dipelopori oleh Muhammad Abduh dan kelompoknya, Rifaah Tahtawi misalnya yang telah mengajak untuk mempelajari dasar-dasar kemajuan Barat dengan menepis ajaran falsafahnya yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah. Sedangkan al-Maududi dan Sayyid Qutub pula mengajak untuk berguru kepada Barat dalam ilmu-ilmu kebendaan.

Sedangkan kelompok ketiga yang pada hakikatnya berasal dari kelompok kedua, adalah gerakan tajdid yang menjadikan Barat sebagai kiblat utamanya. Dari kelompok inilah muncul gerakan anti-turats (Penterjemah: anti-tradisi). Tokoh utama kelompok ini di abad pertengahan adalah Taha Husain dan gerakan tanwir hingga saat ini, dan hari ini tokoh utamanya adalah al-Jabiri, Muhammad Arkoun, Hasan Hanafi dan yang lainnya.

Sebuah Neraca

Setelah kita perhatikan dari ketiga-tiga kelompok ini, ternyata para pengusung gerakan tajdid ini masih tidak lepas daripada pengaruh Barat, termasuklah kelompok pertama juga yang secara zahirnya adalah anti dan memusuhi Barat. Namun pada hakikatnya sikap mereka lahir dari emosi yang telah dipengaruhi Barat. Dalam erti kata lain, seandainya Barat tidak mencapai kemajuan tentu mereka tidak akan bergerak dengan simbol tajdid dan sebagainya. Bukti dari sikap emosi ini adalah mereka tidak menerima hal-hal yang datang dari Barat meskipun ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Sedangkan dua kelompok berikutnya adalah kelompok yang berusaha menggabungkan dua hal yang mustahil terjadi dengan mengkompromikan dua peradaban yang berseberangan yang mana Islam bangkit kerana ajaran agamanya dan Barat pula bangkit kerana meninggalkan agamanya.

Lantas tajdid bagaimana yang sesuai untuk waktu ini? Di sini ada Muhammad Iqbal seorang ahli falsafah dan sasterawan Muslim terkenal yang menawarkan sebuah konsep tajdid kontemporari dengan kembali pada prinsip dan mabadi' agama Islam. Namun bukan bererti beliau meninggalkan peradaban dan falsafah Barat dengan emosi atau atas dasar fanatik. Sebaliknya beliau menganjurkan untuk tidak mengekor kepada Barat kerana dalam Islam itu sendiri telah terdapat petunjuk Ilahi yang merangkumi segala sendi kehidupan.

Menurutnya, umat Islam di saat ini harus kembali pada pada dua perkara. Yang pertama adalah al-Quran. Ketika beliau menghadiahkan kitab suci kepada salah seorang penguasa, beliau berkata: "Al-Quran adalah sandaran kebenaran. Di dalamnya terdapat ruh dan kehidupan. Permulaannya membawa kepada kejayaan dan dengannya Ali membuka pintu Khaibar". Dalam syairnya beliau menulis, "Kitab ini adalah kitab abadi, hikmahnya tenggelam di zaman Azali dan terus beraksi hingga dalam keabdian. Al-Quran telah membongkar rahsia tercitanya kehidupan dan menguatkan si lemah yang mulai tergelincir dengan kata-kata yang kukuh." [23]

Yang kedua menurut Iqbal adalah sejarah perjalanan hidup baginda Nabi Muhammad saw. Beliau berpendapat bahawa cinta dan menjadikan Rasulullah sebagai tauladan adalah perkara yang dapat membawa suatu perubahan dan pembaharuan. Dengan bangga Iqbal yang hidup dan kaya dengan pendidikan Barat ini berkata "Kemajuan ilmu pengetahuan Barat tidak membuatkan aku terkesima dan buta kerana aku telah memakai celak Madinah." [24]

Sedangkan roda kepada dua dasar itu adalah ijtihad, sebagaimana yang beliau ungkapkan dalam ceramahnya Reconstruction of Religious Thought in Islam (Tajdid al-fikr al-Dini fil Islam).

Senada dengan Iqbal adalah Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buthi melalui bukunya al-Din wa al-Falsafah yang menawarkan sebuah konsep pintar dalam melakukan pembaharuan sesuai dengan proses evolusi. Beliau berkata,
"Saya telah lama memerhatikan musibah dan permasalahan yang menimpa umat Islam. Namun setelah aku teliti secara saksama ternyata akar dari permasalahan itu adalah Diya'u Dzat (kehilangan jati diri)."

Umat Islam boleh terlepas dari kemunduran dan boleh juga untuk melakukan pembaharuan apabila jati dirinya telah ditemukan. Hawiyah yang telah tiada dari jiwa umat Islam ini yang menyebabkan mereka tidak mampu membangunkan kembali peradabannya. Yang dimaksudkan dengan dzat di sini adalah pemikiran, akidah dan suluk. Jika ketiga-tiganya tercapai maka kejayaan yang kita dambakan akan tercapai juga [25].

Kesimpulan

Proses evolusi yang terjadi di muka bumi ini menuntut manusia untuk sentiasa melakukan pembaharuan dalam segala hal. Bukankah dalam dunia Islam kita mempunyai pijakan kukuh yang berasal dari manhaj Ilahi? Dengannya, umat Islam mampu membangun dengan sebuah peradaban pada bila-bila masa, kerana proses evolusi dan dasar-dasar agama ini berasal dari satu Pencipta iaitu Allah.

Dari realiti inilah saya kira pertanyaan panitia yang pertama dan yang kedua telah terjawab. Kita percaya bahawa Imam Shafii dan Imam al-Ghazali adalah mujaddid di zamannya. Namun apakah keduanya melakukan pembaharuan dengan merubah pemikiran keagamaan secara total? Jawapannya tentu tidak. Dan masalah ini telah dijelaskan dengan panjang lebar oleh para ulama.

Setelah kita mengkaji proses evolusi manusia melalui peradabannya tadi, maka bentuk tajdid yang sangat relevan untuk saat ini adalah mengembalikan jati diri dan hawiyah umat ini yang telah sekian lama menghilang.

Tajdid adalah sebuah fitrah alam yang tidak boleh lepas dari kehidupan ini. Akan tetapi tajdid terbaik adalah tajdid yang telah digariskan oleh Allah. Di sinilah saya mengajak tajdid keagamaan dengan konsep di atas dalam tiga rukun agama iaitu Islam, Iman dan Ihsan.

Wallahu muwaffiq.

NOTA KAKI

[1] Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam diskusi ilmiah Tajdid Dalam Perspektif Islam yang diadakan oleh FOMIL (Forum Komunikasi Mahasiswa Indonesia Universitas al-Ahgaff), Tarim, 1 Ogos 2006. Penulis adalah alumni PPS, saat ini mengikuti program tahassus fiqih wa usulihi di Darul Mustafa Tarim, Hadramaut.

[2] Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi, Hadhihi Musykilatuhum, Hal 44-45.

[3] Lihat Abul Hasan al-Nadwi, Madha hasiral 'alam bin hitatil muslimin, Hal 48 dan Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi, Hadhihi Musykilatuhum, hal 19.

[4] ibid

[5] Dr Amir Skib Arsalan, Hadir 'Alamil Islamiy,1/24

[6] ibid 1/139

[7] Habib Abu Bakar al-Masyhur, Attalid wa Tarid, Hal 155-156

[8] Dr Ihsan Taufik, al-Tsabit wa al-Mutaghayyar fil Quran, Hal 15.

[9] Habib Abu Bakar al-Masyhur, Attalid wa Tarid, Hal 168

[10] Diambil dari makalah Ismail Alatas yang berjudul Mengapa Umat Islam Mundur? Sebuah Fefleksi Histories.

[11] Karen Armstrong, The Battle for God: Fundamentalism in Judaism, Christianity and Islam (London: HarperCollins, 2001) p. 63.

[12] Stephan Fssel, Guttenberg and the Impact of Printing (Aldershot: Ashgate, 2003).

[13] R. A. Houston, Literacy in Early Modern Europe: Culture and Education, 1500-1800 (Harlow: Longman, 2001).

Kertas yang dirujuk merupakan suatu usaha untuk memaparkan sejarah perkembangan kefahaman agama di tanah air kita, ianya adalah suatu usaha yang diharapkan dapat mendatangkan kebaikan dan meluruskan kefahaman kita tentang perkara yang dibincangkan.

Hanya terdapat beberapa ‘tanda-tanya’ di dalam kertas tersebut yang sekiranya ia dapat dijawab dengan baik oleh Dr. Farouk, maka kertas tersebut akan merupakan suatu sumbangan kepada pemurnian kefahaman sejarah bangsa kita. Dan sekadar usaha tambahan agar nilai kertas tersebut menjadi lebih baik, maka dibawah diperturunkan beberapa pengamatan awal tentang ‘tanda-tanya’ yang dimaksudkan, semoga Allah mentaqdirkan natijah yang sebaiknya serta mendapat respon yang hangat mesra dari penulisnya Dr. Farouk dan kira-kira di sisi Allah ianya sebagai suatu usaha islah yang diberi manafaatnya di Hari Akhirat nanti. Amin.


1- Definisi tajdid.

Dipetik definisi yang dikatakan diberi oleh Syaikh Yusuf al-Qardawi, yakni tajdid “ialah memperbaharui agama dan mengubahnya agar sesuai dengan zaman”.

Secara amnya kita semua bersetuju maksud tajdid itu ialah memperbaharui semula aqidah, amalan dan semangat agama yang mana-mana telah luntur agar segar semula berdasarkan aqidah, amalan dan semangat agama yang ada pada zaman Rasulullah SAW dan salaf as-soleh.

Tetapi ‘mengubahnya agar sesuai dengan zaman’ itu adalah suatu keganjilan walaupun kita memang menerima keanjalan ajaran Islam serta kesesuaiannya sehingga akhir zaman, ini adalah suatu takrifan yang sukar dihadam kerana bagaimana hendak kita fahamkan kedudukannya dengan isyarat-isyarat al-Quran yang jelas yang bermaksud “kamu sekali-kali tidak akan dapati Sunnah Allah (termasuk ketentuan agama-Nya ) berubah (istilah tahwila atau tabdila)”. (al-Fatir:43)

Perubahan pada perkara-perkara teras agama, baik dari segi aqidah, amalan dan semangat adalah suatu proses decadence dan bukannya evolution (pertukaran yang bergerak ke arah penyesuaian dan kesempurnaan). Takrifan ini walaupun datangnya dari seorang ulama yang kita semua hormati, perlulah diletakkan di atas qistas al-mustaqim, agar kita berlaku adil kepada sejarah kita; apa lagi apabila ianya dipetik dari tulisan terjemahan. Semoga ianya didatangkan dengan niat mencari kemurnian faham bukan untuk memenangkan aliran-aliran tertentu.

Apakah kita perlu terikat dengan ketat kepada takrifan seorang ulama yang dihormati, sedangkan nas-nas yang kita fahami tidak selari dengan takrifan tersebut? Sudah tentu Dr. Farouk boleh bersetuju agaknya, sekiranya kita dianjurkan oleh ‘gerakan tajdid’ supaya tidak terikat kepada huraian ulama mazhab, maka sudah tentu perbincangan tentang ‘Sejarah Gerakan Tajdid’ juga perlu kembali kepada ‘primary dan secondary sources’ yang boleh dipertanggung-jawabkan, bukan sekadar bertaqlid kepada penulis-penulis terdahulu. Itu piawaian yang diterima oleh golongan yang masih bermazhab seperti pencatit ini. Mungkin munasabahnya, piawaian Dr.Farouk lebih ketat dan lebih cermat lagi.


2- Dalam perkara 2, 'Sejarah Ringkas Gerakan Tajdid di Tanah Melayu', Dr.Farouk menyebut:

“Sejak kehancuran kuasa politik ummat Islam di Laut Mediterranean, tamadun Islam juga turut hancur”

Siapakah selain daripada Dr. Farouk yang seberani beliau untuk mengumumkan bahawa tamadun Islam telah hancur? Apakah Dr. Farouk menghalusi maksud perkataan ‘hancur’ dan juga maksud ‘tamaddun’? Pihak pengkaji dan cendiakawan barat yang membincangkan tamadun-tamadun dunia hari ini masih menyebut tentang ‘Islamic civilization’, umpama dalam tulisan yang Samuel Huntington iaitu The Clash of Civilization. Mungkin penganut Islam telah kehilangan kuasa politik, mungkin umat Islam terkebelakang dari segi kemajuan dan pengetahuan, tetapi ummah ini masih mempunyai tamadun yang hidup.

Tentang pengertian tamaddun, yang dihurai oleh Dr. Naguib al-‘Attas mungkin terlalu klasikal bagi Dr. Farouk, tetapi memadailah huraian Dr. Albert Schweitzer dalam buku masyhurnya Ethics and Civilization yang membezakankan fenomena ‘material progress’ yang berpaksikan kebendaan dengan ‘civilization’ yang berpaksikan kemanusian. Lihatlah juga tulisan Toynbee dalam Civilization on Trial sebagai perbandingan, walaupun Dr. Farouk mahu berijtihad dalam bidang ini sekalipun!

Kemudian Dr. Farouk menterjemahkan ayat 140 Surah Ali-Imran sebagai:
Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran).

Terjemahan Dr. Farouk ini adalah terjemahan yang agak ganjil, bahkan ianya lebih merupakan tafsir Dr. Farouk sendiri terhadap ayat ini, yang mungkin sesuai dengan apa yang dia ingin canangkan. Dr. Farouk mungkin dapat berhujjah dengan terjemahannya dari ayat ini, tetapi pengertian ayat ini sendirilah yang menerima akibat dari ijtihad Dr. Farouk itu. Ayat ini dan ayat sebelumnya mungkin lebih adil diterjemah sebagai:
Dan jangan kamu merasa lemah (dalam menghadapi serangan orang kafir) dan jangan pula bersedih hati (di atas musibah yang menimpa kamu), padahal kamu adalah orang-orang yang tertinggi kedudukannya) sekiranya kamu adalah orang-orang yang beriman. Jika kamu mendapat luka-luka (kecederaan dalam peperangan Uhud), maka sesungguhnya golongan kafir itupun telah mendapat luka-luka (cedera) yang serupa. Dan demikianlah hari-hari itu Kami pergilirkan (masa menang dan kalah) di antara manusia, supaya Allah mengetahui (secara lahiriah) orang-orang yang beriman (secara ikhlas dan yang tidak) dan supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.

Sudah tentu di dalam ayat ini, hampir semua pihak dapat memahaminya dengan melihat kepada asbabu an-nuzul dan urutan ayat-ayat di sekitarnya. Ianya merakamkan naik-turun dalam perjuangan dan kehidupan, ada masa kalah ada masa menang, ada hari senang ada hari susah, musim kuat dan musim lemah; begitulah kitaran kehidupan. Tetapi yang menentukan kedudukan secara hakikinya ialah ‘ketulusan di dalam iman’ dan ‘sikap sedia untuk berkorban kerana agama’. Ayat ini merupakan ayat kaunseling, ayat yang memberi ketahanan dan ketenangan kepada orang yang beriman ketika menghadapi hari-hari muram. Tidak terbayang secara zahirnya dari ayat ini tentang dua keadaan yang extreme ‘kejayaan atau kehancuran’ yang dimaksudkan oleh Dr. Farouk itu.

Seakan-akan Dr.Farouk mengambarkan keadaan ummat ini hanya dalam dua suasana, berjaya atau hancur, berada di nombor satu atau paling tercorot, tanpa pertimbangan untuk meletakkannya pada suasana lemah, tidak memuaskan, kalah atau seumpamanya. Apakah yang dapat diharapkan pada ummat dan tamaddun ummat yang telah hancur? Tentunya segala usaha ijtihad dan tajdid tidak akan memberi apa-apa kesan, kecualilah kita merubah paradigma itu kepada yang lebih mempunyai variasi, yakni menerima ummat kita berada di dalam keadaan mundur, terkebelakang dan lemah, tetapi belum hancur dan masih mampu dipulihkan sebagaimana yang telah terdapat isyarat-isyaratnya di dalam hadith Rasulullah SAW.

Lagipun agar sukar untuk dihadam oleh pemikiran seorang yang sederhana pendiriannya yang ummat yang disebut Allah sebagai ‘Khairu al-Ummah’ dan ‘Ummatan Wasatan’ yang dijadikan ‘syuhada ‘ala an-nas’ itu telah menemui kehancurannya, sedangkan kitab mereka disebut Allah:
Sesungguhnya Kami yang menurunkan az-Zikra (al-Quran), dan sesungguhnya Kami yang menjaganya”.(al-Hijr:9) Ummat ini juga diisyaratkan di dalam hadith-hadith fitnah di akhir zaman yang mereka akan terus berjuang di atas kebenaran. Mereka akan memperolihi ketinggian sekali lagi sehinggalah kepada masa yang ditentukan oleh Allah sebelum berlakunya Qiyamat.

3- Dalam bahagian ke 3, ‘Tokoh-tokoh Generasi awal Gerakan Islam’, Dr. Farouk sekali lagi membuat penyataan yang disesuaikan oleh beliau mengikut lenggok perbahasan yang beliau kehendaki, tanpa sangat memberi tumpuan untuk menentukan apa yang diungkap beliau itu tepat dan benar. Beliau mengatakan :
Gerakan tajdid berusaha menentang pencemaran agama Islam oleh pengaruh adat resam serta taqlid buta, serta penentangan terhadap segala bentuk penjajahan baik yang merupakan penjajahan pemikiran mahupun penjajahan tanah air.

Apabila kita berbicara tentang usaha tajdid dan sejarah para mujaddid, kita akan jumpai sebahagian besar ulama beranggapan yang Saiyyidina Umar bin Abdul Aziz RD, khalifah Umayyah itu sebagai mujaddid yang pertama bagi ummat ini, kemudian ramai di kalangan ulama yang beranggapan Imam as-Syafi’e RD sebagai mujaddid kurun kedua bagi ummat ini. Di manakah kita mahu meletak mereka berdua dan juga ulama-ulama lain yang dianggap mujaddid pada kurun mereka masing-masing sekiranya digunakan criteria yang dikemukan oleh Dr.Farouk tersebut?

Di antara tulisan semasa yang membicarakan tokoh-tokoh mujaddid dalam sejarah ummah ini ialah buku 'The Saviour Of Islamic Spirit' oleh Maulana Abu Hassan an-Nadwi, tulisan ini dijadikan rujukan dan tersebar di dalam belbagai bahasa. Sudah tentunya perbincangan buku tersebut lebih berautoriti dari kriteria yang dikemukaan oleh Dr. Farouk, paling kurangnya.

Dr. Farouk meneruskan lenggokkannya dengan mengatakan:
Tajdid dan reformasi yang dipelopori oleh Ibnu Taimiyyah (1263-1328M) dan diikuti oleh muridnya Ibnu al Qayyim al Jauziyyah (1292-1350M), kemudian dihidupkan kembali oleh Muhammad Abdul Wahab (1703-1787M)…

Di awal tulisannya, Dr. Farouk telah mendatangkan hadith Rasulullah SAW, yang diterjemah oleh beliau sebagai:
Sesungguhnya Allah akan mengutuskan kepada umat pada awal setiap satu kurun, orang yang mentajdidkan bagi umatnya agamanya

Berdasarkan pengertian yang kita fahami dari hadith ini, sudah tentu agak kekok untuk membincangkan tentang usaha tajdid di kalangan ummah ini dengan memulainya dengan seorang tokoh besar kurun ke 8 Hijrah yang disebut oleh Dr.Farouk ‘tajdid dan reformasi yang dipelopori oleh Ibnu Taimiyyah; tanpa melihat kepada tokoh-tokoh yang terlebih awal kerana usaha tajdid adalah usaha yang ‘cyclic’, yang berlaku pada setiap awal kurun. Kemudian digambarkan usaha tajdid di kalangan ummah ini terputus untuk hampir 400 tahun, hanya kemudiannya dihidupkan semula oleh Syaikh Muhammd Ibn Abdul Wahab.


4- Dalam bahagian ke 4, Dr.Farouk membincangkan 'Perjuangan Para Mujaddid di Tanah Melayu'.

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah kerana terdapat orang yang mempunyai sangka-baik, seperti Dr.Farouk, terhadap ahli ilmu agama di tanahair kita sehingga beranggapan yang mereka ini juga mencapai tahap mujaddid. Semoga sangka baik itu dapat bertepatan dengan keadaan yang sebenar, bukan waham yang terdorong oleh semangat ‘berpasukan’.

Dr.Farouk membuat pengamatan:
Di antara seruan utama gerakan tajdid ialah dalam membebaskan pemikiran ummat daripada belenggu taqlid buta. Para mujaddid tersebut telah mengemukakan ide memerdekakan fikiran, membebaskan diri daripada belenggu adat-resam budaya dan masyarakat, kerana selama seseorang itu dibelenggu, selagi itulah akalnya buta dan jumud serta suka bertaqlid. Perjuangan mereka memerdekakan umat adalah penting kerana kemerdekaan politik, ekonomi dan masyarakat, bertitik tolak daripada pemikiran yang bebas.

Sekali lagi apakah benar seruan utama gerakan tajdid yang kita fahami dari isyarat hadith itu ialah membebaskan pemikiran ummat daripada belenggu taqlid buta? Sebelum itu apa yang dimaksudkan dengan ‘taqlid buta’? Apakah beramal ibadat dengan menggunakan huraian suatu mazhab yang tertentu sahaja itu taqlid buta yang harus diperangi, walaupun huraian itu murupakan huraian yang rajih (yang terpilih) di kalangan ulama mazhab tersebut?

Apakah seorang yang menemui nas-nas al-Quran dan hadith, tetapi beramal mengikut faham daripada dalil-dalil yang dikemukakan oleh ulama yang terdahulu, kerana mereka mengetahui terdapat perbezaan di antara nas dan dalil itu juga dianggap taqlid buta? Apakah ulama yang menemui nas tertentu tetapi tidak mengeluarkan pendalilan yang sendiri dari nas tersebut, malah mengikut huraian ulama terdahulu kerana merasakan huraian ulama terdahulu itu lebih tepat dan lebih mencakupi jangkauannya dianggap taqlid buta? Atau adakah orang awam yang tidak terdedah kepada ilmu-ilmu yang perlu secara mencukupi dan bersikap memada dengan huraian ulama mazhabnya dianggap taqlid buta yang harus diperangi?

Ketergantungan kita kepada huraian kefahaman dan analisa ulama terdahulu adalah sesuatu yang hampir-hampir tidak dapat ditanggalkan, sekiranya kita hanya memada dengan nas-nas al-Quran dan hadith untuk beramal , maka untuk menentukan kedudukan sesebuah hadith, sama ada sahihnya sehingga kepada maudu’nya, kita juga terpaksa bergantung kepada huraian ulama yang mengkaji rijal (perawi-perawi hadith); dan kita ‘telan’ apa yang mereka catitkan tentang perawi-perawi di dalam sesuatu sanad hadith itu.

Dan pada hari ini, ramai daripada golongan yang anti taqlid itu bertaqlid kepada huraian Sheikh Nasiruddin Albani di dalam menentukan kedudukan sesuatu hadith, walaupun sebahagian kenyataan Albani telah disanggah oleh ulama hadith yang lain, bahkan Albani sendiri pun mempunyai pandangan-pandangan yang bercanggah tentang satu hadith, atau seorang perawi yang sama di dalam kitab-kitabnya yang berbeza.

Apakah benar apabila seseorang itu tidak bertaqlid kepada mana-mana mazhab feqah, maka dia akan berfikiran merdeka dalam hal-hal lainnya? Adakah seseorang itu apabila dia bertaqlid dengan sesuatu mazhab feqah yang tertentu, maka fikiran dia akan terjajah dalam hal-hal lainnya? Adakah semua adat resam Melayu kita perlu dirungkai, bukankah sudah ada pengaruh Islam yang menyerap dan menjadi darah daging kepada adat-resam Melayu? Bukankah Rasulullah SAW sendiri tidak merombak adat-resam dan kebiasaan masyarakat Arab jahiliah yang tidak bertentangan dengan Islam, malah ianya diraikan dan dijernihkan berdasarkan ajaran Islam sehingga ia menjadi lebih halus dan berseni?

Apakah ianya sentiasa betul yang perjuangan memerdekakan pemikiran umat adalah penting kerana kemerdekaan politik, ekonomi dan kemasyarakatan bertitik tolak daripada pemikiran yang bebas?. Kemerdekaan dituntut oleh orang yang berjiwa patriotic, pejuang kemerdekaan tidak dibatasi atau ditentukan oleh sikap taqlid mazhab atau tidaknya. Kemerdekaan ekonomi adalah bab yang lain daripada ijtihad dan taqlid fiqhi. Sehingga sekarang belum ada kajian dan perangkaan yang menunjukkan bahawa kemerdekaan ekonomi, ataupun pencapaian ekonomi seseorang individu atau kelompak mempunyai hubung-kait dengan sikap terhadap taqlid dan ijtihad fiqhi Malah ada orang yang sangat berjaya pencapaian ekonominya daripada golongan bermazhab, ada dari golongan tidak bermazhab, ada dari golongan ajaran sesat dan ramai daripada golongan orang kafir, begitu jugalah disebaliknya


5- Dr. Farouk menyebut yang gerakan tajdid di tanah air adalah kesanimbungan perjuangan yang diasaskan oleh mujaddid ulung, Sheikh Muhammad Abduh serta muridnya Sayyid Rashid Redha.

Adalah agak keterlaluan untuk diungkapkan yang Sheikh Muhammad Abduh adalah mujaddid ulung. Lebih adil agaknya dikatakan Sheikh Muhammad Abduh adalah seorang ulama terkenal yang mengambil tempat sebagai seorang ulama yang berfahaman modernist dan bukanlah beliau seorang ulama berfahaman salafi. Beliau mengkagumi kemajuan kebendaan dan perkembangan kebebasan pemikiran yang berlaku di barat, sehingga terdapat tulisan-tulisan yang ‘menuduh’ beliau dan mentornya, Syaikh Jamaluddin al-Afghani, seorang tokoh yang masih diselimuti tanda-tanya. Termasuklah persoalan adakah mereka berdua benar-benar ahli lodge freemason? Lihat sebagai contoh buku yang ditulis oleh Dr. Abdul Naim Husnain, ketua jabatan bahasa timur di Universiti Ain Sham dan mantan dekan kuliah Bahasa dan terjemahan di Universiti al-Azhar 'Haqiqatu Jamaluddin al-Afghani'. Buku ini mengandungi salinan-salinan asli surat-menyurat Syaikh Jamaluddin al-Afghani. (diterbitkan oleh Dar al-Wafa, Mansurah, Masir. Cetakan pertama 1986).

Ramai juga cendiakawan Islam yang resah dengan sebahagian tafsir al-Quran yang dilakukan oleh beliau yang dilihat sebagai percubaan untuk menyesuaikan Islam dengan sains moden secara tohoran dan meminggirkan fahaman-fahaman tentang perkara-perkara ghaib. Hal ini berlainan dengan Syaikh Rashid Reda , walaupun merupakan pengikut Syaikh Muhammad Abduh, tetapi beliau menunjukkan kecenderungan salafi yang jelas dan antara lain telah menyusun kitab Majmu‘atu al-Hadithi an-Najdiyyati yang merupakan ta’liq kepada sembilan risalah dengan empat risalah ini daripada tulisan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab.

Dr. Farouk menyebut:
Setelah kematian Sayyid Muhammad Rashid Reda, ‘al-Manar’ telah diteruskan oleh Hassan al-Banna. Beliau menjadi penyambung gerakan tajdid…

Kita tidak mengetahui sejauh manakah kebenaran dakwaan yang Imam Hassan al- Banna adalah penerus perjuangan Syaikh Muhammad Abduh dan Syaikh Sayyid Rashid Reda. Agaknya Dr. Farouk telah bertaqlid kepada penulis-penulis sebelum beliau, dan tidak membuat penilaian dengan menyelunsuri tulisan-tulisan Imam Hassan al-Banna itu sendiri. Imam Hassan al-Banna menghuraikan aqidah di dalam Majmu ar-Rasail-nya dengan huraian sebagaimana huraian ulama tradisional, bahkan menolak pegangan yang berdasarkan makna-makna zahir ayat-ayat tentang Sifat Allah, beliau mengambil sifat tafwid (menyerahkan makna dan kaifiat Sifat-Sifat Allah yang dipertikaikan) mengikut huraian Imam Abdul Rahman Ibnu Jauzi di dalam kitabnya yang menolak aliran hasyawiyyah mujassimah ‘Diffu as-Syubhah’.

Imam Hassan al-Banna juga di dalam kitab ‘Usul al-‘asyrin, jelas menggarap masalah taqlid dan ijtihad, khilafiyyah, tawassul dan lain-lain isu yang dipertikaikan dengan selayak dan selari dengan huraian ulama tradisional. Kemudian lihatlah juga di Majmu ar-Rasail-nya, Hadith ath-Thulatha yang sangat jelas mencerminkan pegangan dan perjalanan pemahaman serta dakwah Imam Hassan al-Banna. Kemudian eloklah dirujuk kepada tulisan-tulisan Imam Hassan Hudaibi untuk lebih menjadi jelas intipati perjuangan Ikhwan al-Muslimin.

Tidak hairan golongan salafi, seperi Syaikh Rabi al-Mudkhali, atau laman web seperti Allahuakbar.com yang diselenggara oleh golongan ini serta beberapa lagi tulisan dan laman-laman salafi yang lain telah menghentam Imam Hassan al-Banna dan Ikhwan al-Muslimin keseluruhannya, termasuklah hentaman ke atas Syaikh Said Hawwa, Syaikh Yusuf al-Qardawi, Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan Sayyid Qutb (bahkan mereka yang terpengaruh dengan Sayyid Qutb dinamakan aliran Qutubiyyah yang mereka sesatkan).


6- Adapun tentang Pendita Za’aba, kita semua akui sumbangan beliau yang besar kepada perjuangan bahasa dan bangsa Melayu.

Kita terhutang budi kepada beliau di atas jasa beliau yang cuba menyelaraskan ejaan jawi, yang sehingga kini dirujuk sebagai ejaan jawi Sistem Za’aba. Beliau adalah seorang cendiakawan besar bangsa kita. Kita akui kecenderungan beliau kepada fahaman ‘kaum muda’ dan sukakan pembaharuan serta beliau berkawan dengan A. Hassan Bandung. Bagaimanapun beliau bersikap liberal dan ‘agak longgar’ dalam fahaman dan amalan Islam. Sekiranya kita membaca riwayat hidup Za’ba serta tulisan-tulisan beliau, agaknya amat sukar untuk kita membuat kesimpulan beliau adalah seorang yang berfahaman salaf. Sepatutnya kita bertindak jujur terhadap sejarah dan pegangan seseorang itu, tanpa mengheret soal sebenar kerana mahu ditundukkan mengikut selera kita. (Antara lain saya manafaatkan buku ‘Pendita Za’ba Dalam Kenangan’ tulisan Abdullah Hussain dan Khalid Hussain, Terbitan DBP, 1974)


7- Dr.Farouk dalam tajuk Pembebasan Daripada Khurafat dan Bid’ah telah memetik Sheikh Abu Bakar al-Asya’ari yang menunjukkan haramnya beramal dengan amalan bid’ah dan khurafat. Sudah tentu keharaman kedua perkara ini telah disepakati oleh para ulama dan orang awam yang berpengetahuan secara amnya. Apa yang berbeza di kalangan ulama ialah kefahaman terhadap :
i- apakah semua perkara yang Rasulullah SAW tidak perentah itu haram untuk diamalkan?

ii- apakah yang dimaksudkan dengan ‘kullu’[semua] di dalam hadith tentang kesesatan bida’ah? Apakah semua tanpa pengkecualian, atau kesemua dengan ada pengkecualian?

iii- apakah bid’ah yang terlarang itu terkhusus di dalam rubu ibadat sahaja atau kesemuanya?

iv- apakah kedudukan qiyas di dalam penentuan hukum di dalam syara?

v- apakah terdapat perbezaan di antara zahir nas dan pendalilan daripada nas tersebut?

vi- apakah ijtihad dan amalan khalifah ar-Rasyidin yang tiada warid jelas daripada Rasulullah SAW itu boleh dijadikan dalil syara?

Sudah tentu kita boleh mengambil sikap dan pendirian kita terhadap perkara-perkara yang disebut, tetapi kita patut terima memang terdapat kefahaman yang berbeza di kalangan ulama tentang perkara-perkara ini. Agaknya jika ada polemik yang ingin diteruskan pun tentang perkara-perkara ini, penyelesaiannya sukar dicapai sebagaimana ianya tidak mampu diselesaikan oleh ulama-ulama terdahulu daripada kita.


8- Di bawah sub-tajuk Kesedaran Pendidikan, Dr.Farouk bersemangat dalam menegaskan ‘Perjuangan gerakan tajdid di mana sahaja di atas muka bumi ini akan mendokong cita-cita untuk merubah masyarakat setempat’.

Ini adalah cita-cita besar dan slogan yang berani; kerana tidak ramai yang mempunyai kudrat untuk merubah masyarakat. Tetapi setiap Muslim sama ada mujaddid atau tidaknya berkewajiban secara fardu kifayah untuk mengislahkan masyarakatnya sedaya mungkin. Usaha mengislah masyarakat tidak sama dan tidak serupa dengan usaha merubah masyarakat. Merubah adalah kerja-kerja menukarkan sesuatu secara total (semada keseluruhan atau sebahagian) kepada sesuatu yang sama sekali lain dan mungkin pertukaran itu ke arah kebaikan atau keburukan. Ianya biasanya berbentuk revolusi . Pengislahan ialah kerja-kerja mengelokkan, meluruskan, membetulkan apa-apa yang tidak elok, tidak lurus atau tidak betul serta membiarkan elemen-elemen lainnya yang baik untuk berterusan bahkan mungkin ada elemen-elemen sedia ada yang disuburkan lagi. Sebagaimana yang dirakamkan di dalam al-Quran: ‘Tiada yang hamba inginkan kecuali pengislahan sedaya mungkin’. (Hud:88)

Kita hormati cita-cita besar Dr. Farouk dan rakan-rakan beliau, dan didoakan agar Allah membimbing kita semua di dalam memahami tabiat agama kita yang suci ini.

Adapun penekanan kepada kepentingan ilmu, terutama kepada ilmu-ilmu yang berkaitan kemajuan dunia bukanlah merupakan suatu yang khusus kepada kelompok gerakan tajdid sahaja, bahkan tokoh Melayu yang lebih awal dan lebih jelas memberi tekanan kepada penguasaan ilmu ialah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani (m.1908). Syaikh Ahmad menulis perkara ini di dalam kitabnya yang masyhur Hadiqatu al-Azhar, beliau menyarankan agar raja-raja Melayu, pembesar-pembesar serta hartawan agar membuka madrasah bagi pengajian lelaki dan perempuan.

Beliau menulis tentang peri-penting mempelajari bahasa-bahasa selain bahasa sendiri, termasuklah mempelajari Bahasa Inggeris. Beliau menekankan perlu pendokumentasian dan penyelidikan perubatan dan kegunaan pokok-pokok perubatan yang terdapat di Tanah Melayu sebagai yang ditulis di dalam Taiyyibu al-Ehsan. Beliau menekankan peri-pentingnya pembakuan Bahasa Melayu untuk mengelak ianya menjadi rosak, peri-pentingnya pendokumentasi sejarah bangsa dan perlunya dilaksanakan usaha-usaha untuk memajukan bangsa sebagaimana yang diungkap dalam syair yang dikarang indah yang ditujukan kepada Sultan Zainal Abidin II.

Beliau juga menekankan keberkesanan strategi di dalam gerak-kerja siyasah. Syaikh Ahmad bercita-cita untuk melihat negeri-negeri Melayu menjadi ‘bendaharaan ilmu, perladungan kepandaian’ (the treasure of knowledge and the reservoir of technologies). Antara jasanya yang besar ialah beliau merintis jalan bagi kerja-kerja percetakan bagi kitab-kitab Melayu dengan memohon izin daripada Sultan Abdul Hamid Kedua di Istanbul, dan kitab pertama dari usaha besar ini ialah Sabila al-Muhtadin karangan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang dicetak di percetakan milik kerajaan Uthmaniyyah.

Gagasan Syaikh Ahmad itu teruskan oleh murid-muridnya terutamanya di Kelantan, mereka telah membuka pondok-pondok, memulakan Madrasah Muhammadiyyah pada tahun 1918 yang mempunyai tiga aliran; Melayu, Arab dan Inggeris. Kelas Inggeris ini telah mendahului sekolah Inggeris kerajaan, Ismail English School, yang ditubuhkan pada tahun 1936. Mereka memulakan kerja-kerja penerbitan dengan menubuhkan Matbaah al-Miriyyah al-Kelantaniyyah, kemudian cambahlah aktiviti pengeluaran bahan bacaan di Kota Bharu, dan yang paling menonjol ialah Matbaah Majlis Agama Islam. Majlis Agama juga telah mengadakan jabatan penterjemahan yang khusus dipimpin oleh Tuan Guru Haji Omar Sg. Keladi bagi kerja-kerja menterjemah kitab-kitab dari bahasa Arab dan Inggeris. Kemuncak bagi kerja penerbitan ini ialah Majalah Pengasuh yang dikeluarkan pada 1918 dan dipimpin oleh Tok Kenali. Za’ba juga merupakan di antara penyumbang awal bagi isi kandungan majalah ini. Majalah ini telah menjadi gelanggang bagi perbincangan isu agama, pengetahuan, politik dan sosial yang terkedepan pada masa itu.


9- Kemudian Dr. Farouk membicarakan Pembebasan dan Emansipasi Wanita.

Dr. Farouk banyak memanafaat tulisan Dr. Farish Noor tentang peranan Syed Syaikh Al Hadi, yang disifatkan beliau ‘seperti para mujaddid yang lain pada zamannya berjuang untuk mematahkan monopoli golongan agama dan membuka semula pintu ijtihad’. Kemudian beliau menyebut ‘kritikannya [Syed Syaikh Abdul Hadi] pada ulama tradisional yang berkuasa adalah dalam bentuk penulisan yang kritis dan tajam seperti novel Hikayat Faridah Hanum. Di dalam kisah ini, Faridah Hanum digambarkan sebagai wanita yang rasional, progresif dan moden yang mampu melaksanakan kebebasan dan memilih dan menggunakan pemikirannya secara rasional. Faridah Hanum juga memiliki kekuatan memelihara diri dan kehormatannya serta mempunyai kawalan terhadap kehendak batinnya’.

Sudah tentu bagi orang yang pernah membaca Hikayat Faridah Hanum akan bersetuju yang mesej novel ini lebih kepada idea pembebasan wanita secara standard dan nilai barat daripada penonjolan wanita muslimah sebagaimana yang dituntut oleh syara sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Pengaruh gerakan emansipasi wanita secara kebaratan yang berkembang semasa itu di Masir telah mempengaruhi penerbitan novel ini lebih daripada ajakan untuk mentajdidkan agama dengan kembali kepada nilai-nilainya yang semurninya itu , iaitu sebagaimana yang difahami dan dihayati oleh generasi salaf. Bagaimana boleh tergamak kita senaraikan novel ini sederet dengan hasilan-hasilan ulama mujaddid seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Imam Syafi’ie, Imam Ghazali, Imam Sayuti, Imam Ahmad Sirhindi yang dikenali sebagai Mujaddid Alif Thani atau Imam Syah Waliyullah al-Dehlawi?

Dr. Farouk menyambung dengan nada tulisan yang yakin kepada diri sendiri:
Sekiranya bukan kerana usaha dan perjuangan gerakan tajdid yang moden lagi progresif ini, niscaya masyarakat Melayu Islam yang berada di bawah kekuasaan golongan ulama tradisional tidak akan berubah sama sekali.

Apalah bezanya keadaan masyarakat Melayu di negeri Perlis yang dibawah kekuasaan (meminjam istilah Dr. Farouk) ulama golongan tajdid berbanding dengan masyarakat Melayu di negeri-negeri lain yang berada di bawah kekuasaan ulama tradisional? Seruan supaya bangsa Melayu memajukan diri dengan mengadakan madrasah yang mengajar belbagai ilmu, serta dibincangkan fadilat ilmu perubatan, fadilat ilmu tawarikh, fadilat mengetahui bahasa selain bahasa sendiri, fadilat ilmu siyasah dan tadbir, fadilat mempelajari sains dan teknologi semasa sebagai sumber kekuatan agama, mengesyorkan supaya berusaha memerentah tanahair sendiri merupakan seruan-seruan yang dibuat oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani. Syaikh Ahmad menyeru agar bangsa kita bergerak ke arah kemajuan ilmu dan kemahiran yang sentiasa berkembang serta mengekalkan kefahaman dan amalan amalan agama yang memang bersifat perennial.

Tidak hairanlah Majalah Pengasuh yang mendukung fahaman agama secara tradisional itu telah dijadikan medan untuk melontar dan memperkembang perbincangan untuk penubuhan universiti di tanah air, mengadakan bank yang berjalan di atas dasar syariat dan reformasi social di dalalm masyarakat pada awalam 1920-an lagi.

Dr. Farouk masih dengan nada yang yakin menyatakan:
Merekalah yang telah mengajar bahawa kekuasaan barat tidak dapat dikalahkan dengan jampi serapah dan tangkal azimat. Atas usaha mereka itulah maka Gerakan Melayu Islam mula tersusun dalam bentuk Organisasi dan parti politik yang memperjuangakan kemerdekaan tanahair.

Dr. Farouk tidak menyebut rujukan bagi dakwaan hebatnya ini. Sedangkan sehingga kini yang kita ketahui mungkin antara gerak kerja orang Melayu secara berorganisasi bermula dengan penubuhan Jam’iyyatu al-Fataniyyah’di Makkah pada akhir kurun ke 19, yang kemudian menjadi model kepada penubuhan Jamiyyatu ar-Riyawiyyah di Pulau Riau dan Jamiyyatu al-Asriyyah di Kota Bharu pada awal kurun ke 20. Organisasi awal ini dianggotai oleh ulama-ulama tradisional.

Apakah adil untuk mengambarkan yang ulama tradisional mengajar orang awam yang kekuasaan barat dapat dikalahkan dengan jampi serapah dan tangkal azimat? Siapakah di antara ulama tradisional yang dimaksudkan oleh Dr. Farouk? Seandai yang dimaksudkan adalah seumpama kitab Urwatu al-Wusta karangan Syaikh Abdul Samad al-Falembani yang memuatkan wirid dan bacaan yang dianjurkan untuk diamalkan sebagai persiapan untuk jihad fi sabilillah, maka apakah itu tidak termasuk di dalam anjuran ‘dan apabila kamu bersemuka dengan gerombolan musuh, maka tetapkan pendirian dan berzikirlah kepada Allah dengan banyak semoga kamu akan memperolehi kemenangan’ (al-Anfal:45)

Syaikh Abdul Samad al-Falembani sendiri telah mengetuai pasukan jihad kerajaan Kedah menentang penaklukan Siam sehingga sampai ke kawasan Chenok, di utara Pattani. Di sanalah beliau menemui kesyahidannya dan sehingga kini kubur yang disemadikan kepalanya yang dipenggal itu masih terpelihara di bawah naungan cengal yang besar.

Begitu jugalah dengan sebahagian ulama tradisional yang telah berjuang dengan gigih menentang penjajahan seumpama Syaikh Daud Abdullah al-Fatani dan barisan ulama Pattani, para ulama Acheh bergenerasi, Syaikh Yusuf Taj al-Khalwati al-Makasari dan pengikutnya yang terbuang sehingga ke Ceylon dan Afrika Selatan, Raja Ali Haji yang masyhur dengan keberanian di medan tempur sehingga menmui syahid di Tanjung Ketapang, Syaikh Abdul Rahman Limbong, Terangganu yang dibuang negeri oleh pihak Inggeris ke Makkah. Mereka adalah ahli zikir, mereka adalah ahli kerohanian yang mengamalkan tariqah tertentu, mereka bertaqlid kepada kepada mazhab Imam Syafi’ie dan mereka adalah para mujahid yang berjuang. Perjuangan mereka tidak didesak dan dipengaruhi oleh tulisan-tulisan kaum muda, bahkan kepatuhan mereka kepada ajaran Islam secara tradisional itulah yang telah menjadi ruh kepada perjuangan dan jihad mereka.

Dr.Ibrahim Abu Bakar dari UKM telah membuat beberapa penelitian terhadap tulisan Syed Syaikh Al-Hadi, di antaranya di dalam kertas ‘Pemikiran Politik Muslim Modenis beranggapan dan Fundamentalis –Satu Perbandingan Ringkas’, Dr. Farouk mengambarkan seolah-olah yang Syed Syaikh al-Hadi dan ‘gerakan tajdid-nya yang bertanggung-jawab meniupkan semangat perjuangan kemerdekaan. Dr. Ibrahim mengatakan:

Di samping alasan ekonomi, keselamatan dan kebebasan kepada Muslim berada di bawah pemerentahan Inggeris di Malaya, al-Hadi juga menggunakan beberapa ajaran Islam untuk memberikan justifikasi dan legitimasi kepada sikap dan pandangannya supaya Muslim di Malaya tidak menentang Inggeris dan memikirkan kebaikan yang dibawa oleh pemerentahan Inggeris kepada mereka.

Pertama, ajaran Islam supaya berlaku adil dan menegakkan keadilan. Islam mewajibkan pemerentah berlaku adil menegakkan keadilan. Al-Hadi melihat keadilan dan keamanan dan kebebasan wujud di bawah pemerentahan Inggeris di Malaya. Beliau menyamakan Inggeris dengan tentera Tuhan yang dikirimkan ke Malaya untuk menyelamatkan Muslim di Malaya daripada penindasan dan kezaliman pemerentah yang beragama Islam dan berfahaman feudalisme. Al-Hadi menyatakan Inggeris adalah satu kumpulan tentera daripada Tuhan seluruh alam yang telah memerentah mereka datang untuk membebaskan kita daripada kegelapan, penjara kejahilan, kezaliman dan kejahatan dan daripada kekejaman ketua-ketua kita sendiri (ibrahim 1994:159). Persepsi negative al-Hadi terhadap ketua-ketua Melayu berfahaman feudalisme ini membawa pengertian yang sama dengan penjelasan Shaharuddin Maaruf yang menulis “in the Malay feudal history there were frequent wars among the rival chiefs. Besides causing loss of lives, these wars caused economic distruption and poverty among the subject” (Sharuddin 1984:29)

Kedua, al-Hadi merujuk kepada al-Quran, surah al-Anbiya (21:105) yang mengatakan bumi diwaisnya oleh hamba-hamba-Ku yang salih. Salih dalam fahaman al-Hadi termasuk berlaku adil dan menegakkan keadilan di bumi atau di dunia. Al-Hadi memberi tafsirannya kepada konsep hamba yang salih sebagai mereka yang berupaya dan mampu memerentah dengan baik dan betul, memberikan kemakmuran dan menarik lebih penduduk dengan keadilan dan persamaan dan dengan penyebaran ilmu dan keamanandi daerah pemerentahan mereka sekalipun mereka adalah musyrikun. (ibrahim 1994:159-160)

Ketiga, al-Hadi merujuk kepada Quran, Surah Hud (11:117) yang mengatakan bahawa Tuhan tidak memusnahkan perkampongan dengan zalim sedangkan penduduknya adalah muslihun(orang salih). Tafsiran al-Hadi kepada Quran (11:117) adalah Tuhan tidak akan memusnahkan negeri-negeri kerana kemusyrikan atau kesyirikan penduduknya sedangkan mereka tidak menambah kepada kesyirikan itu kezaliman dan kemusnahan tetapi mereka melakukan kebaikan dan keadilan di kalangan mereka. Kezaliman diberi tafsiran kesyirikan. Semata-mata kesyirikan wujud di kalangan penduduk di sesuatu negeri. Tuhan tidak memusnahkan penduduk di negeri berkenaan selama mereka adalah muslihun (ibrahim 1994;160-161)

Keempat, al-Hadi merujuk kepada Quran, Surah Rum (30:30) yang mengatakan mengenai fitrah Allah yang dijadikan manusia di atas fitrah itu. Fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah kepada manusia ditafsirkan al-Hadi sebagai peraturan Allah kepada manusia di dunia ini. Peraturan itu meliputi sifat semulajadi manusia mahu mencari kelebihan di dunia, dan manusia mesti berusaha dan berjuang untuk kesurvivilan mereka di dunia. Bnagsa-bangsa Eropah termasuk Inggeris telah mengikut fitrah manusia berkenaan, di mana mereka mencari kelebihan dan ketinggian melalui akal yang waras, ilmu yang luas dan kuasa. Mereka mencapai kekayaan, penghormatan dan sedemikian rupa kerana mereka telah mengikut fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah kepada manusia. (Ibrahim 1994:163-164)

Dr. Ibrahim membuat kesimpulan:
Mereka [golongan modenis; Syed Ahmad Khan di India. Muhammad Abduh di Masir dan al-Hadi dii Malaya] akhirnya menaja dan menyebarkan politik berbaik dan bekerjasama dengan penjajah Inggeris untuk kemajuan Muslim di dalam bidang pendidikan dan ekonomi dan mereka tidak mahu Muslim menentang pemerentah Inggeris. Ketiga-tiga Muslim modenis berkenaan tidak mengemukakan idea atau wawasan Negara Islam “Islamic State” atau kerjaan Islam “Islamic government” sebagai jalan keluar kepada kelemahan Muslim di bawah penjajahan pemerentahan Inggeris. Mereka mahu Muslim berfikir mengenai kebaikan yang mereka telah perolihi dan akan perolihi daripada penjajahan dan pemerentahan Inggeris di negeri atau Negara mereka. Untuk itu, tiga Muslim modenis berkenaan tidak menggunakan ajaran atau sejarah Islam untuk menentang Inggeris atau menuntut kemerdekaan daripada Inggeris. Malahan mereka menggunakan ajaran Islam dan peristiwa-peristiwa dalam sejarah Islam untuk Muslim berbaik sangka dan bekerjasama dengan pemerentahan Inggeris untuk kebaikan Muslim sendiri. Mereka tidak menjadikan pengaruh dan penguasaan asing iaitu Inggeris sebagai musuh utama dan musuh ketat mereka. Sebaliknya, ketiga-tiga Muslim modenis itu menjadikan penyebab utama kemunduran dan kelemahan umat Islam adalah Muslim tradisionalis, Muslim konservatif, ketua-ketua Muslim yang feudalis dan Muslim yang tidak mengamalkan suruhan-suruhan Islam dalam kehidupan mereka.

Sengaja dipetik tulisan Dr. Ibrahim Abu Bakar dengan cara yang agak detail ini untuk menunjukkan yang agak sulit untuk diterima bahawa semangat penentangan terhadap pihak Inggeris, perjuangan kemerdekaan itu datangnya dari tokoh yang sangat mengkagumi Inggeris itu sendiri, kecuali Dr. Farouk mendatangkan bukti-bukti yang nyata untuk menjelaskan kefahamannya itu. Kita boleh sahaja tidak bersetuju dengan pandangan Dr. Ibrahim sekiranya terdapat petunjuk-petunjuk yang nyata menyalahi pandangan beliau. Itulah semangat tidak bertaqlid yang ingin kita sama-sama suburkan.

Dr. Farouk mengatakan ‘penjajah Inggeris amat berwaspada dengan parti ini ekoran tuduhan oleh Dato’Onn Jaafar yang mengatakan parti itu berdamping rapat dengan kominis. Sikap Dato’Onn itu digambarkan dalam ucapannya: “Bahaya di gunung itu masih ada lagi ditambah pula satu bahaya lagi (Hizb al-Muslimin) supaya orang Melayu terhapus kerana sebenar-benarnya parti Islam itu merah”

Kita tidak perlu bersetuju dengan pendirian Dato’ Onn yang kritikal terhadap Hizb al-Muslimin, tetapi kita mengakui dari segi catitannya yang majlis penubuhan Hizb al-Muslimin telah dihadiri antara lain oleh pemimpin-pemimpin utama Melayu dari Parti Komunis Malaya. Selain daripada kehadiran pemimpin Melayu yang dianggap golongan kiri yang lain di dalam majlis tersebut. Dalam kita menyanjungi langkah penubuhan Hizb al-Muslimin oleh Ustaz Abu Bakar Baqir itu, kita masih sulit untuk menerima bahawa langkah itu merupakan suatu usaha tajdid yang telah diisyaratkan di dalam hadith Rasulullah SAW sebagaimana yang disebut oleh Dr. Farouk sendiri. Kita harapkan usaha yang lebih jernih dan lebih murni daripada yang telah berlaku itu, iaitu langkah yang lebih hampir kepada kemurnian Islam sebagaimana yang difahami dan diamalkan oleh salaf as-soleh daripada ummah ini. Itulah yang kita fahamkan sebagai usaha tajdid dan yang menjayakannya itu adalah adalah mujaddid.

Dr. Farouk menyatakan: ‘Al Ihya al Syarif lahir pada tahun 1934. Ia diusahakan oleh Ustaz Abu Bakar al Bakir Bin Muhammad Said. Penglibatan Al Ihya dalam bidang politik bukan merupakan satu perkara asing. Ini kerana kedudukan Gunung Semanggol berdekatan dengan Pulau Pinang yang pada waktu itu kuat dipengaruhi oleh aliran Kaum Muda’. Hanya terdapat sedikit penjelasan lanjut yang perlu dibuat oleh Dr. Farouk untuk menyakinkan kita yang Ustaz Abu Bakar al Baqir terpengaruh dengan aliran Kaum Muda, ini memandangkan Ustaz Abu Bakar Bakir disenarai Oleh Dato’ Ahmad Badawi sebagai murid awal Syaikh Abdullah Fahim yang belajar di rumah Syaikh Abdullah Fahim seawal tahun 1330H. Syaikh Abdullah Fahim adalah tokoh besar dalam memperjuangkan seruan kemerdekaan untuk tanah airnya. Perkara ini dicatit antara lain oleh Ustaz Ismail Awang di dalam artikel yang dimuatkan di dalam buku Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu Jilid ke 2. Syaikh Abdullah Fahim juga sangat tegas menentang aliran Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah. Syaikh Abdullah membuat catitan:

Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu se-Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadi-qadi, ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekelian mereka bermazhab dengan mazhab al-Imam asy-Syafie ijma’an, tiada seorangpun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafie… (kemudian beliau menyenaraikan kitab-kitab rujukan bagi ulama Melayu).

Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya [dan daripada] segala hukum-hukum di dalamnya , kesemuanya mustanbat [diambil] daripada Quran dan hadith yang [di] halusi dan ditapis oleh ulama ajilla, diamal dengan dia sudah lebih daripada seribu tahun dan diterjemah kepada Bahasa Melayu beratus-ratus tahun [sudah lamanya].

Dr. Farouk menambah rentetan kepada sejarah perjuangan politik Islam di tanah air:
Pengharamannya (Hizb al-Muslimin) bukan bermakna perjuangannya telah terkebur. Keadaan ini ternyata dengan kelahiran parti politik yang memperjuangkan Islam selepasnya, iaitu kemunculan Parti Islam se-Malaya (PAS) pada atahun 1951 di Kelab Melayu Bagan, Seberang Perai. Idealogi yang diperjuangkan oleh parti baru itu tidaklah terkubur tapi sebenarnya adalah sambungan kepada perjuangan Islam oleh Hizb al-Muslimin yang telah diharamkan oleh Inggeris.

Sekiranya kita bertanya secara jujur apakah PAS itu benar-benar merupakan sambungan kepada Hizb al-Muslimin di Gunung Semanggul itu? Atau lebih dekat lagi untuk dikatakan cetusan PAS itu ialah daripada bekas beberapa pemimpin sayap ulama di dalam UMNO yang telah keluar parti beserta Dato’ Onn telah bergabung dengan tokoh-tokoh yang mempunyai kecenderungan keagamaan lainnya dalam menubuhkan PAS, iaitu singkatan Persatuan Islam se-Malaya. Penubuhan asalnya bukanlah sebagai sebuah parti politik, bahkan sebagai badan keagamaan, lihatlah risalah yang dinamakan ‘Ketetapan Majlis Muzakarah Ulama SeMalaya’, yang diterbitkan berikutan suatu muzakarah yang diadakan di Kepala Batas pada 4/1/1953 di antara ahli-ahli ilmu dari seluruh Malaya di bawah anjuran PAS.

Risalah ini telah dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang pada tahun 50’an dengan kata-kata aluannya oleh Ustaz Ahmad Fuad bin Hassan, Yang DiPertua PAS yang pertama. Dalam kata-kata nya, Ustaz Ahmad Fuad antara lain menyatakan:

Dan kami mengingatkan hendaklah tuan-tuan memetik akan ilmu-ilmu agama itu daripada tempat yang muktabar iaitu kitab-kitab yang telah termasyhur diterima pakai dan diakui oleh ahli-ahli ilmu yang muktabar.

Awaslah daripada tiru-tiru yang menghendaki supaya tuan-tuan hanya mengambil hukum-hakam agama daripada al-Quran dan hadith dan mencampakkan segala kitab-kitab ulama di belakang tuan-tuan.

Ketahuilah bahawasanya kandungan-kandungan kitab-kitab yang muktabar semada feqah, usul dan tasauf itu semuanya mempunyai sandaran kepada al-Quran atau hadith, dan ulama itu tiada sekali-kali berani mengada-ngadakan perkara agama, tetapi harus pembaca-pembaca bagi kitab ulama itu tiada dapat menyelidiki tempat-tempat sandaran bagi qaul-qaul demikian, maka terus ia mengatakan pula ulama itu tidak bersendikan Quran dan hadith, tatkala itu bukanlah ulama-ulama yang terkenal itu yang tersalah tetapi pembaca-pembaca yang sedikit pengetahuannnya itulah yang salah.

Sementara persoalan-persoalan yang dibincangkan di dalam risalah khusus ini ialah dalil-dalil yang didatangkan bagi amalan seperti bacaan ‘bismillah’, azan pertama pada hari jumaat, sekurang-kurang 40 orang sebagai syarat sah jumaat, melafaz usalli, membaca saiyyidina di dalam tahiyyat, berdiri ketika membaca marhaban, sunnat membaca talqin selepas pengkebumian, hukum bertaqlid dan lain-lain lagi.

Sudah tentu kita dapat fahami yang pendirian PAS sekurang-kurangnya pada tahun 1953 adalah tidak selari dengan perjuangan kaum muda. Bagaimana Dr. Farouk agaknya dapat mengatakan yang PAS itu adalah penerusan kepada ‘usaha tajdid’ Syeikh Syed Hadi?

PAS sebagaimana yang diketahui umum didaftarkan di Pejabat Pertubuhan Pulau Pinang hasil daripada perjumpaan dan persidangan alim ulama pada 24hb November 1951 di Butterworth.. Alangkah eloknya sekiranya kita dapat berlaku adil kepada sejarah dan segala artifaknya tanpa dipengaruhi oleh rasa kepuakan yang melulu.

Sudah tiba masanya kita mengalu-alukan minat terhadap agama dan sejarah ummah serta bangsa yang ada di kalangan professional, sokongan kita itu ialah dengan cara kita memberi sumbangan agar minat itu akan jadi lebih matang dan lebih bermakna melalui perbincangan yang disulami rasa hormat serta kasih-sayang sesama Islam dalam kita mencari kebenaran. Semoga Allah merahmati kita semua dan memberi keberkatan ke atas perkerjaan serta usaha kita. Semoga yang benar dan berfaedah akan kekal di bumi serta yang batil dan karut akan hilang seumpama buih di permukaan. Semoga Allah mentakdirkan kita bersama dengan kebenaran yang membawa kebahagiaan dan menjauhi kebatilan yang mendatangkan penyesalan

Memadailah Allah tempat berserah, tiada daya dan tiada upaya kecuali Daya dan Upaya Allah, serta selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Saiyyidina Muhammad Nabi yang ummi, keluarga baginda yang bersih, para sahabat yang terpilih dan ummat baginda sebaik-baik ummat yang dibangkitkan sebagai saksi ke atas sekelian manusia sehingga Hari Qiyamat.


Alhamdulillah, selesai mencatit pada awal Syawal 1427. Selepas memulainya di penghujung Ramadan yang penuh berkat. Semoga dikira-kira sebagai suatu pertaruhan untuk Hari yang tiada keamanan kecuali yang datang kepada-Nya dengan hati yang sejahtera.
- Abdullah Zaidi Bin Hassan

*** Kertas ‘Sejarah Perkembangan Gerakan Tajdid Di Tanah Melayu’ oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Farouk Musa ini pertama kali di bentang Dewan Sime Darby, KL dan keduanya di UIA pada 7 Oktober 2006.

---
Sumber dari laman web Tradisional Islam

Catatan Lama Laman utama

 
Setiap tulisan yang ada di sini adalah digalakkan untuk disebarkan. Pro Tajdid direkabentuk oleh Tawel Sensei sambil melayan Radio IKIM.