Pro Tajdid mengumpulkan tulisan terpilih tentang fenomena tajdid yang melanda dunia Islam.
Apa itu tajdid? Tajdid bagaimana yang kita mahu? Selongkari arkib blog ini untuk jawapannya!

Dengan melanggan blog ini secara e-mel atau RSS, anda akan diberitahu secara automatik apabila ada entri baru di sini.
Anda mempunyai bahan-bahan menarik berkaitan isu tajdid yang mahu dikongsi di sini? Hubungi protajdid [at] gmail [dot] com.
01 Ogos 2009

Pupus Bahasa

Oleh Aqil Fithri

Dewasa ini, frasa "Bahasa Melayu Bahasa Ilmu" sudah kian asing. Apa yang terpapar sekarang ialah, Bahasa Melayu tidak lagi digunakan dalam pengungkapan yang tinggi, dan dituduh tidak mempunyai kekuatan bagi diperkasakan sebagai bahasa yang penting. Hatta, Bahasa Melayu turut dikritik habis-habisan kerana gagal untuk bertahan dalam era globalisasi, serta tersisih apabila berhadapan dengan cambahan istilah-istilah baru, terutamanya yang terdapat dalam sub-bidang baru yang muncul di dalam sains, teknologi, matematik, komunikasi, komputer dan lain-lain lagi.

Selain itu, Bahasa Melayu juga dikatakan tidak mempunyai kekuatan sejarah dan falsafah bagi dibangunkan sebagai bahasa moden, sekalipun bukan sebagai antara bahasa utama dunia, meskipun secara geografinya jumlah penutur bahasa ini demikian banyak. Memang, hasrat kewujudan Bahasa Melayu bukanlah untuk mengalahkan Bahasa Inggeris–yang memang begitu berkuasa pada abad ini–tapi bahasa ini tetap saja dilihat terpuruk berbanding bahasa-bahasa moden lain, seperti Bahasa Perancis, Bahasa Jerman, Bahasa Sepanyol, Bahasa Jepun, dan lain-lain lagi.

Di samping itu, ada juga yang berhujah bahawa ketika ilmuan Perancis sedang membincangkan hubungan antara "minda dan jirim" sewaktu Zaman Renainsans Eropah, maka ketika itu orang Melayu masih lagi sibuk bercucuk tanam. Demikian juga, ketika ilmuan Jerman sedang membincangkan hubungan antara "fizik dan metafizik" sewaktu Zaman Pencerahan Eropah, orang Melayu masih lagi membaling tombak melawan penjajah. Kalangan ini memperlekeh, jika tamadun dari bangsa-bangsa Eropah ini telah pun melahirkan Rene Descartes, Immanuel Kant, dll, maka gerangan manakah sarjana yang dilahirkan oleh Tamadun Melayu?

Memang, "Seminar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Intelektual" yang diadakan hasil dari kerjasama Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) dan Pusat Dialog Peradaban, di Universiti Malaya, serta dirasmikan oleh Prof. Dr. Azizan Baharuddin, Pengarah Pusat Dialog Peradaban, baru-baru ini bukanlah jawapan muktamad pada segala persoalan tersebut. Ini sepertimana yang dirumuskan oleh Prof Ir. Dr. Hj. Wan Ramli Wan Daud, Presiden ASASI, sewaktu ucapan pembukaan seminar ini, "gagasan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu bukanlah baru. Waima, idea ini banyak tersekat ekoran zaman penjajahan, dan kekurangan kesungguhan kalangan kita sendiri."

Walaupun begitu, di satu sisi yang berbeza, seminar tersebut sewajarnya mencelikkan ramai pihak, bahawa Bahasa Melayu tidaklah miskin. Terdapat tiga kertas akademik yang telah dibentangkan. Bezanya, ketiga pembentang bukannya ahli bahasa, tapi lebih tergolong dari kelompok filsuf sains/filsuf-saintis. Ini termasuklah, Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar (UM), Dr. Shaharir Mohammad Zain, dan Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir (UKM).

Dalam makalah pertama, yang bertema, "Ilmu Falsafah dan Ilmu Keagamaan sebagai Pemangkin Kemajuan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmiah," Osman Bakar, yang juga Felo Penyelidik Kanan Pusat Dialog Peradaban, cuba untuk memaparkan hubungan akrab antara falsafah dan agama dan kaitannya dengan martabat atau mutu bahasa yang digunakan dari kalangan bangsa dan agama tersebut. Sudah tentu, apa yang diungkapkannya ini dapat dicerna baik sekiranya kita merujuk kembali kepada beberapa bahasa utama yang terdapat dalam Islam, seperti Arab dan Farsi, yang memang diketahui begitu kaya dengan kamus kosakatanya dan ini semua membantu dalam mempermudahkan kefahaman ilmu yang terdapat dalam bidang falsafah dan agama.

Secara sejarahnya, hubungan bahasa Arab dan Farsi dalam falsafah dan agama adalah sesuatu yang lazim, dan umumnya sudah maklum. Tapi, bila beliau cuba membawa soal ini ke dalam kes sejarah Bahasa Melayu, memang sesuatu yang jarang diungkapkan. Barangkali sesuai dengan latarnya sebagai murid Seyyed Hossein Nasr, beliau telah menerangkan bahawa falsafah adalah ilmu yang sangat penting, yang selalu dianggap sebagai "ilmu segala ilmu"–manakala mutu ilmu yang diolah adalah sejajar dengan pemartabatan bahasa yang digunakan. Ini kerana, ketika persoalan-persoalan tingkat tinggi yang diwacanakan, seperti epistemologi, metafizik, etika, dll, adalah juga merujuk kepada mutu kandungan bahasa yang digunakan.

Mithalnya, beliau yang juga timbalan ketua pegawai eksekutif, Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia ini memberikan contoh sewaktu Tamadun Melayu begitu semarak dengan penyebaran dan perkembangan Islam, dan sewaktu itulah terhimpun dan terhasilnya kajian kepustakaan Melayu yang sangat tinggi kandungan ilmunya. Ini dapat kita semak saja menerusi karya-karya yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri, Ahmad al-Fathani, dll, yang begitu kaya dengan ilmu, lalu tersuai dengan corak masyarakat di Alam Melayu ini. Barangkali, antara kelebihan bangsa di Alam Melayu sebelum ini ialah, mereka lekas menyesuaikan diri dengan keadaan baru, serta kreatif dalam mengolah kehadhiran agama-budaya-bahasa baru.

Kenyataan ini mungkin lebih dekat jika kita menelusuri salah satu aspek klasik yang ketara tercermin dari sumbangan Ibn 'Arabi terhadap Alam Melayu. Tidak seperti belahan yang lain, Alam Melayu tampaknya mampu menyerap kehadhiran aliran sufi ini dengan penuh sintesis sekali—antara usuluddin dan falsafah, atau antara kalam dan tasawwuf. Ini jelas diperlihatkan dari beberapa tulisan Hamzah Fansuri, yang tebal dengan wehdatul wujud-nya.

Justeru, kerana pengaruh aliran ini dari belahan dunia luar, maka kosakata ilmu yang terdapat dalam Alam Melayu kemudiannya bertambah, sebab ada keperluan untuk mengungkapkan soal falsafah mistikal ini. Lantaran itu, inilah antara sebab kenapa Bahasa Melayu ada wibawa untuk menjadi bahasa ilmu pada waktu tersebut, kerana kemampuan bahasa ini mampu menjadi bahasa falsafah-agama.

Selain daripada itu, beliau yang juga pengarang buku Tawhid and Science, menghamburkan pujian pada Tafsir al-Azhar yang ditulis dalam bahasa Melayu. Bayangkan, bila Hamka sendiri meraikan Bahasa Melayu dalam karangan tafsir-nya, yang dianggap antara tafsir yang baik, maka sudah tentu ini membuktikan bahawa Bahasa Melayu memang mampu menghurai kandungan agama secara sempurna, meskipun diakui terdapat beberapa peminjaman dari bahasa Arab.

Justeru, hakikatnya, Bahasa Melayu sejarahnya sudah cukup bagus, ekoran keupayaannya untuk mengungkapkan perkara-perkara yang bertaraf hikmah dan ilmu, bukan hanya bertakuk pada taraf maklumat semata-mata.

Sebenarnya, hubungan Bahasa Melayu dalam Islam turut disentuh oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam "Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu." Diketahui, Bahasa Melayu telah terbangun sebagai salah satu dari lima bahasa Islam, selain dari bahasa Arab, Farsi, Urdu dan Turki. Bahkan, hal ini jelas tersemak dari kesamaan aksara yang digunakan, meskipun akhirnya Bahasa Melayu dan Bahasa Turki kecundang dalam pengaruh aksara rumi. Fakta inilah yang membezakan bahasa kita dengan bahasa Farsi, yang menurut Osman Bakar, telah menjadi begitu maju sehingga terganding dengan bahasa Arab sebagai bahasa utama dalam pengungkapan Islam, lebih- lebih lagi setelah zaman Hujjatul Islam Imam al-Ghazzali.

Kemudian, kertas akademik kedua diteruskan menerusi Shaharir Mohamad Zain dengan tema makalah, "Bahasa Melayu Bahasa Ilmu: Telah, Lani dan Kelak." Sekilas, barangkali pertanyaan pertama yang muncul ialah, mengapa beliau mengunakan kosakata "Telah, Lani dan Kelak." Seperti memahami persoalan yang terbenak ramai ini, mantan Timbalan Naib Canselor UKM ini menyatakan bahawa tiga kosakata tersebut sebenarnya adalah serangkai, dan masing-masing beretimologi dari perkataan Lani, yang asalnya perkataan lama, yang akhir-akhir ini hanya digunakan di kalangan masyarakat Melayu utara.

Ternyata, judul makalah ini sengaja direka demikian, bagi menunjukkan bahawa sesuatu yang kuno bukanlah rendah mutu ilmunya, dan sebaliknya sesuatu yang baru tidaklah semestinya tinggi mutu ilmunya. Malah, kalau kita insaf, sikap ini juga adalah suatu kritikan bawah sedar kepada mereka yang sering memakai kosakata pinjaman secara literal, sedangkan dalam khazanah bahasa kita sudah pun mempunyai aneka kosakata yang lebih sesuai dan asli. Mithalnya, kita kerap menemukan mereka yang terhegeh-hegeh menggunakan perkataan "kualiti" berbanding "mutu," "koloborasi" berbanding "usahasama," "dialog" berbanding "randau," dll.

Sebab itu, dalam makalah ini juga beliau–yang memang diketahui berjasa dalam menyumbang kosakata Melayu dalam bidang sains dan teknologi–turut memperkenalkan istilah janapada (bahasa wacana), yang dipinjamnya dari Bahasa Sanskrit, suatu bahasa yang dahulunya dekat dengan kebudayaan Melayu. Beliau menerangkan, janapada ini merupakan padanan kepada perkataan "nation", atau nasion. Sebaliknya, tidak perlulah ada yang resah dengan rekaan kosakata baru, kerana ini amalan biasa dalam sosiolinguistik, malahan langkah ini sebenarnya boleh mengayakan lagi khazanah pengetahuan sendiri.

Justeru, dengan adanya kekayaan tamadun sendiri ini, maka tidak perlulah kita merendah diri dengan sejarah. Tak perlu gentar dengan perkataan "lama", "kuno" dan "klasik", di samping tak perlu mudah terpersona dengan perkataan, "maju", "membangun", dll. Sewaktu awal pembentangan makalahnya ini, beliau yang juga pengarang buku "Pembinaan Semula Teori Kepimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu" yang terbit baru-baru ini, telah menunjukkan bahawa terdapat 40 buah negara maju di dunia, yang data ini dipetiknya dari sumber PBB. Maka, di kalangan negara maju ini, semuanya adalah menggunakan bahasa sendiri sebagai bahasa kebangsaan sekaligus sebagai bahasa janapada-nya juga, kecuali Singapura, Ireland dan Amerika Syarikat.

Maknanya di sini, bahasa kebangsaan adalah bahasa pengantar/rasmi negara tersebut, manakala bahasa janapada adalah bahasa yang berkeupayaan untuk berwacana tinggi, atau dalam isitlah yang lain, bahasa yang berangrasana. Masing-masing digunakan secara serentak. Malah, seraya menyindir barangkali, beliau membandingkan, "malah, Mongolia pun turut menggunakan bahasa sendiri sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa janapada, meskipun mereka bukanlah sebuah negara maju."

Demikian juga kalau ada yang berhujah bahawa taraf sesebuah negara itu untuk bergelar negara maju adalah kerana mereka mencipta sains, maka dari senarainya tersebut, terdapat 20 buah negara maju yang sudah terkeluar, kerana negara tersebut bukan negara pencipta sains. Jadi, teori cetek yang cuba diwar-warkan bahawa bahasa setiap negara maju mestilah mencipta sains kini adalah termansuh dengan sendirinya!

Selain itu, tatkala membicarakan kedudukan Bahasa Melayu yang telah/lepas, pengarang kini sedang menyiapkan buku "Kritikan Teori Kenisbian Einstein dan Teori Quantum" cuba untuk menghimbau kembali beberapa catatan sejarah awal Tamadun Melayu, dalam rangka mencungkil mutu ilmu yang terdapat dalam Tamadun Melayu asal. Menurutnya, Tamadun Melayu yang terawal yang dikesan setakat ini ialah di Funan, yang kini menjadi sebahagian dari Kemboja, di mana bahasanya ketika itu lebih dikenali sebagai Kun Lun. Kemudian, baru tamadun ini digantikan dengan Chenla, dan seterusnya.

Malah, sumber dari Tiongkok–panggilan kuno Alam Melayu terhadap China sebelum ini–turut mengesahkan maklumat ini. Ini ditambah lagi terdapat catatan Yunani pada abad ke-2M yang memanggil Bahasa Melayu ketika Tamadun Funan tersebut sebagai Kolan sahaja. Dan, ketika tamadun inilah, terdapatnya prasasti (batu bersurat) yang menunjukkan bahawa Bangsa Melayu di Funan itulah yang mencipta angka sifar, bukannya seperti yang termaktub dalam buku-buku teks, yang didakwa berasal dari Tamadun India. Selain dari membelek kekuatan ilmu Melayu yang terdapat pada Zaman Funan, makalah beliau turut menyelitkan kandungan ilmu Melayu yang terdapat pada kerajaan Champa dan Srivijaya, dan Zaman Melayu-Islam.

Manakala, untuk Bahasa Melayu dalam waktu lani, mantan professor matematik-fizik ini berkata, ekoran penyingkiran aksara Jawi dalam tradisi pendidikan kita, keadaan ini telah mendorong kepada penghakisan identiti bitara (unik) yang terdapat dalam Bahasa Melayu itu sendiri. Memang, perumian Jawi pertama kali dilakukan pada abad ke-16, oleh Pegafetta, iaitu salah seorang pencatat dalam pelayaran Magellan. Namun, penghakisan Bahasa Melayu Jawi ini kemuncaknya berlaku setelah aksara tersebut terbuang dari sistem pendidikan Malaysia pada 1960-an.

Di samping itu, Bahasa Melayu yang terdapat di Pattani, dan di Singapura, dan di Mindanao, kemudiannya langsung tidak dibangunkan untuk menjadi bahasa ilmu. Sebaleknya, hanya Bahasa Melayu di Indonesia, dan di Malaysia sahaja secara bersungguh dilakukan perancangan bahasa ke arah menatijahkannya sebagai bahasa yang beragrasana.

Walau bagaimanapun, kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia akhirnya tergugat setelah kerajaan mula melaksanakan dasar PPSMI yang mundur, di mana wibawa Bahasa Melayu dalam sektor pendidikan telah mulai terhakis sama sekali. Jadi, Bahasa Melayu Malaysia, yang satu ketika dahulu telah mengalahkan Bahasa Indonesia dari segi pengungkapan ilmunya, kini kembali ketinggalan, barangkali suatu waktu nanti Bahasa Melayu Malaysia hanya akan menjadi salah satu dari rumpun bahasa Indonesia sahaja.

Dengan keringnya penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan, ini menjadikan bahasa ini bukan lagi sebagai bahasa ilmu. Sebab, prasyarat utama untuk sesebuah bahasa memperoleh taraf bahasa ilmu, atau bahasa janapada, atau bahasa berangrasana ini, ialah bahasa tersebut seharusnya terpakai sepanuhnya dalam sistem pendidikan. Meskipun kita mempunyai ITNM, DBP dan universiti-universiti, serta sekolah kebangsaan, namun kebanyakan dasar yang dirumuskan sebenarnya amatlah meminggirkan Bahasa Melayu, terutamanya dasar PPSMI—yang hari ini terkenal sebagai dasar yang sangat bebal.

Justeru itu, ketika menyimpulkan pembentangannya, mantan Presiden ASASI ini menjangkakan bahawa kedudukan Bahasa Melayu Malaysia nanti takkan lagi digunakan dalam mentakrifkan ilmu, meskipun maseh wujud lagi Bahasa Melayu Indonesia, yang memang diketahui meluas dituturkan di wilayah-wilayah dalam pengaruhnya. Bahkan, beliau turut meramalkan Bahasa Melayu Malaysia akan menjadi senasib dengan Bahasa Melayu Pattani, dan Bahasa Melayu Champa dalam tempoh 30 tahun mendatang. Lebih mendukacitakan lagi, para mereka yang kononnya mengaku pejuang Bahasa Melayu sebenarnya tidaklah begitu bersungguh mempertahankannya, bukan sahaja dalam tingkat sistem pendidikan tinggi, malah aras sekolah rendah sekalipun!

Keluhan yang diutarakan oleh Shaharir Mohamad Zain ini memang dirasai rapat oleh ASASI, yang memang terkenal dengan gagasan pengislaman dan pemeribumian sains, serta kental mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Atas kapasiti sebagai Setiausaha Agong ASASI, Mohammad Alinor Abdul Kadir meneruskan pembentangan menerusi makalah yang bertema, "Sumber Bertulis Terawal Pengetahuan Rumpun Melayu."

Makalah ini membincangkan sorotan kekayaan pengetahuan Melayu yang diperoleh dari prasasti, serta manuskrip-manuskrip lain. Walau bagaimanapun, penyelidik gigih ini tetap mengakui bahawa masih terdapat halangan untuk kita memunggah kekayaan pengetahuan terawal ini memandangkan kekurangan ahli akademik yang berminat, serta ketiadaan displin ini secara khusus di universiti-universiti—untuk serius menyelidik dan menelaah bahasa-bahasa Melayu kuno.

Ketika menyampaikan makalah ini, beliau yang merangkap pensyarah sains matematik UKM, menyebut beberapa keistimewaan pengetahuan Melayu kuno. Ini termasuklah, keperluan kita untuk mendapatkan kembali buku-buku Funan yang dihadiahkan kepada kerajaan China pada 546M. Ketika itu, Paramartha dan Gunaratna dari kerajaan Funan telah pun dihantar untuk membawa 240 buah karya pengetahuan bagi diterjemahkan ke dalam bahasa China, malah sebelum itu sudah ada 76 buah lagi buku dalam Bahasa Sanskrit dan Kunlun yang diterjemahkan ke dalam bahasa China oleh sarjana Melayu Funan. Justeru, tugas yang patut dilakukan sekarang ialah untuk mencari kembali buku-buku tersebut, kemudiannya menyaring kepenggunaan bahasanya, lalu ditarik segala ilmu-ilmu yang terkandung dalam karya-karya tersebut.

Di samping itu, beliau yang kini merancang untuk membentuk pasukan penyelidik kajian Melayu kuno turut memaklumkan bahawa Atisa, seorang agamawan besar Buddha, yang pernah menuntut ilmu di Sumatera, di bawah bimbingan Dharmakirti pada abad ke-11M, lalu kemudiannya membawa ilmu dari Alam Melayu tersebut untuk merevolusi agama Buddha di Tibet. Sesuai dengan tradisi keilmuan, Atisa juga telah menerjemahkan banyak buku-buku dari Tamadun Melayu, mithalnya kitab agung Buddha dalam Bahasa Melayu iaitu Tripatika, ke dalam Bahasa China. Soalnya di sini, apakah memang benar kita tandus sarjana sendiri, dan tidak mempunyai longgokan pengetahuan sendiri? Atau barangkali kita sudah terlalu selesa untuk mendeduktifkan segala-galanya pada sejarah Islam semata?

Selain dari itu, beliau yang juga penyelidik bersekutu INSPEM (UPM) turut mengemukakan fakta bahawa di antara sempadan Greek dan Albania, terdapat rumpun Melayu Champa yang mendiami di perbatasan tersebut, yang mana mereka ini mungkin dibawa ke sana oleh para penjajah bagi tujuan pemindahan pengetahuan yang terdapat di Alam Melayu. Kehadiran bangsa Chameria ini, boleh menimbulkan satu hipotesis, bahawa sebenarnya terdapat hubungan lama antara Tamadun Melayu dengan beberapa Negara Eropah Timur. Namun, sudah tentu, suatu penyelidikan mendalam haruslah digarap untuk mengesahkan hipotesis ini.

Sebenarnya, dari ketiga-tiga kertas akademik ini, dengan insaf sekali menunjukkan bahawa betapa kurangnya kesungguhan kita dalam merayakan khazanah sendiri. Jika dalam tamadun lain sudah begitu giat mengkaji tamadun-tamadun kuno mereka, seperti Yunani, Farsi, Eropah, dll, tetapi sayangnya para penyelidik tanahair kita nampaknya lebih gemar terhenti pada 'kegemilangan' tamadun Melayu-Islam semata, tanpa berusaha untuk pergi lebih jauh lagi. Hakikatnya, kajian kuno ini seharusnya dapat menambah-nilai kepada pengetahuan kita yang sedia ada, serta mengukuhkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang sarat ilmunya—sama ada dari sudut sejarah, falsafah ataupun tamadunnya.

Justeru, tanpa mengembalikan semula kekuasaan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, maka bukan sahaja impian untuk melihat Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu akan gagal, tetapi cita-cita untuk meraikan hadharah sendiri juga turut musnah! Akhirnya, Bahasa Melayu hanya bertaraf pasar, kerana kita lebih lazim menggunakan Bahasa Inggeris untuk berwacana sesama kita. Lantas, mengenang keadaan ini, maka tidaklah wajar untuk dibentuk sebarang anugerah bagi kesarjanaan Melayu, kerana yang berhak menerima panggilan sarjana Melayu hanyalah mereka yang sudi berkarya dalam Bahasa Melayu, iaitu sekurang-kurangnya berkarya secara seimbang di samping karya-karyanya dalam bahasa-bahasa lain.

Jelas, mesej ini selari dengan apa yang dikeluhkan oleh Shaharir Mohammad Zain sewaktu seminar ini, bahawa 'sarjana' kita yang demikian ramai berkubu di universiti-universiti sekarang hanya lebih berminat berkarya—secara bergaya—dalam Bahasa Inggeris sahaja, tetapi memandang rendah kegiatan peterjemahan dan penulisan dalam bahasa sendiri. Sewajarnya, sarjana kita dewasa ini harus belajar dari para sarjana Melayu silam, seperti Ahmad al-Fathani, yang bukan sahaja berkarya dalam bahasa Melayu dan Arab secara seimbang, tetapi turut menguasai bahasa Urdu dan Farsi dengan fasehnya. Hanya sikap inilah yang boleh menekalkan Bahasa Melayu bila berdepan dengan arus globalisasi yang deras melanda mutakhir ini.

¶ Teruskan membaca »
27 Julai 2009

‘Salafi’ di Yaman Masuk Politik

BINGKISAN DARI YAMAN
Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@ yahoo.com)



Salafi adalah satu istilah yang merujuk kepada golongan tertentu yang beriltizam mengamalkan sunnah dan mengikut jalan dan manhaj salafus-soleh dalam perkara akidah, fiqh dan tazkiah al-nafs (akhlak).

Hal ini adalah sangat baik kerana kita sedang hidup pada satu zaman yang cukup mencabar dan seruan untuk kembali kepada manhaj salaf adalah satu perkara yang dirasakan sangat perlu.

Akan tetapi, kita juga perlu melihat realiti zaman yang sudah banyak berubah. Maka, seruan untuk kembali kepada manhaj salaf dan berhadapan dengan realiti zaman di mana kita berada perlu diimbangi dengan kaedah-kaedah syarak demi maslahah umat dan menolak mafsadah serta kerosakan yang lebih teruk.

Kembali kepada istilah ‘salafi’, berpunca daripada salah faham dan kejahilan umat, maka gelaran yang mulia ini telah mendapat reaksi yang agak negatif dari kalangan masyarakat Muslim di mana-mana negara dan Malaysia juga tidak terkecuali.

Ini kerana, apabila disebut gelaran ‘salafi’ atau ‘wahhabi’ atau golongan ‘sunnah’, kebiasaan yang tergambar dalam pemikiran masyarakat ialah golongan ini menolak berpegang dengan satu-satu mazhab, amalan tahlil, bacaan Yassin pada malam Jumaat, talkin di atas kubur dan lain-lain perkara yang disifatkan sebagai furu’ iaitu cabang dalam agama.

Saya tidak ingin terjun dalam membincangkan fitnah ini. Terlalu banyak kontroversinya. Lagi pun sudah ramai ilmuwan agama di negara kita yang telah menghuraikannya dari sudut pro dan kontra. Bahkan, hari ini ramai juga yang sudah faham hakikat sebenar istilah ‘wahhabi’ yang dituduh sesat dan menyeleweng dari akidah Ahlul-Sunnah wal-Jamaah.

Satu perkara yang kurang diketahui tentang golongan ‘salafi’ ini ialah tentang pegangan mereka dalam bidang politik yang mengharamkan pilihanraya untuk memilih pemimpin negara kerana ianya dibuat mengikut acuan demokrasi. Sedangkan demokrasi adalah suatu yang bukan berasal dari syariat Islam.

Pengamal demokrasi atau kepartian sering dituduh sebagai sesat, menyeleweng, malah dikafirkan oleh golongan yang agak keras. Bukan sekadar itu, mana-mana golongan yang menentang pemerintah dalam pilihanraya akan dihukumkan sebagai bughah yang menderhaka dan memerangi pemimpin kaum Muslimin. Perbuatan ini adalah haram dan termasuk dalam dosa-dosa besar.

Kerana itu, akhbar-akhbar berhaluan bebas di Yaman mula mempersoalkan pendirian kelompok ‘salafi’ di Yaman yang sudah mula terjun ke dalam medan politik dengan menyokong parti pemerintah secara terang-terangan.

Dalam pilihanraya presiden tahun 2006, ramai para pemerhati melihat bahawa mereka telah dipergunakan oleh pihak pemerintah supaya mengeluarkan fatwa melarang rakyat Yaman mengundi calon-calon daripada parti pembangkang terutamanya Parti Islah yang berhaluan Islam. Kerana perbuatan itu termasuk menentang pemerintah muslim dan dikira sebagai dosa besar.

Ketika itu, mereka menyebarkan buku-buku yang menerangkan haramnya menentang pemerintah dengan dana yang cukup besar. Malah mereka juga mempergunakan mimbar khutbah untuk memberi amaran kepada rakyat agar tidak menyokong pihak pembangkang.

Di pihak pemerintah pula, fatwa golongan ‘salafi’ ini telah disebarkan melalui SMS Yemen Mobile. Maka dengan jelas, golongan ini telah masuk ke dalam kancah politik demokrasi yang dahulunya dikecam sebagai sesat, kufur dan syirik.

Syeikh Abu Hassan al-Ma'rebi adalah di antara tokoh ulama salafi yang dilihat rapat dengan Presiden dalam jangka masa kempen pilihanraya di Ma'reb. Mereka hanya berpegang bahawa menentang pemerintah adalah haram tanpa menyedari bahawa pemerintah yang dipertahankan itu juga lahir daripada sistem demokrasi yang haram sebagaimana dakwaan mereka.

Sebenarnya terdapat ramai para ulama berhaluan ‘salafi’ yang mengambil pendirian sederhana dalam persoalan ini. Malah terdapat di kalangan mereka yang berada dalam Parti Islah walaupun mereka kurang percaya pada ketelusan sistem demokrasi dan pilihanraya. Syeikh Muhammad as-Sodeq Abdullah Mughlis adalah salah seorang tokoh ulama salafi dalam Parti Islah dan beliau pernah berperanan sebagai ahli parlimen.

Di antara tokoh-tokoh salafi yang dikenali keras menentang pilihanraya dan demokrasi ialah Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Imam, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan Syeikh Muqbil bin Hadi – rahimahullah Ta’ala.

Dalam sebuah buku karangan Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Imam berjudul Tanwir al-Zhulumat bi Kasyf Mafasid wa Syubuhat al-Intikhabat, beliau telah menyenaraikan 45 kerosakan dalam pilihanraya. Di antaranya ialah perbuatan keluar menentang pemerintah muslim adalah haram dalam agama Allah (hal.171).

Beliau mendatangkan dalil daripada hadis-hadis yang sahih bagi menyokong pendapatnya. Di antaranya ialah, hadith Ummu Salamah r.anha tentang golongan pemerintah yang tidak dibenci oleh rakyatnya. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah boleh kami memeranginya?" Jawab Rasulullah s.a.w: “Tidak, selagi mana mereka masih bersolat.” (Riwayat Imam Muslim, al-Tirmizi dan Abu Daud).

Dalam hadith Ibnu Abbas pula, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibencinya pada pemerintah, maka hendaklah dia bersabar. Maka sesungguhnya sesiapa yang memecahkan jamaah sebanyak satu jengkal, lalu dia mati dengan kematian jahiliyyah.” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Kedua-dua hadis ini melarang umat Islam daripada memerangi pemerintah selama mana mereka masih solat dan hendaklah bersabar ketika menghadapi perbuatan zalim daripada pemerintah.

Tetapi, adakah boleh dikiaskan hadith ini dengan tindakan menukar pemerintahan melalui pilihanraya? Di mana pihak pemerintah sendiri yang membuka jalan agar jawatan pemerintah ini dipertandingkan. Malah pemerintah itu juga turut sama bertanding untuk menyandang kembali jawatan tersebut. Dalam keadaan pemerintah itu sendiri redha jawatannya itu dipertandingkan, adakah tindakan parti pembangkang meletakkan calon untuk bertanding mendapatkan kerusi pemerintahan dikira sebagai bughah, fasik, berdosa besar atau kafir?

Persoalan ini akhirnya menjerat kembali golongan ‘salafi’ dengan fatwa-fatwa mereka dan pendirian mereka berhubung dengan pilihanraya dan demokrasi. Sekiranya mereka sudah iltizam bahawa ianya adalah sesat dan keluar daripada sumber-sumber Islam, maka mengapakah mereka kini semakin menzahirkan diri dalam kancah politik di Yaman?

Menurut tokoh-tokoh salafi yang sederhana dalam Yayasan al-Hikmah dan al-Ehsan di Yaman, mereka juga menyeru dan menyokong Presiden Ali Abdullah Saleh kerana beliau telah dipilih oleh rakyat dalam pemilihan pada tahun 1978. Tetapi mereka sendiri terpaksa menyedari hakikat bahawa proses pemilihan itu juga bukanlah bersifat syura yang dianjurkan dalam Islam.

Yang jelas, golongan ‘salafi’ di Yaman ini terpaksa berhadapan dengan realiti negara republik ini dan dalam masa yang sama mereka perlu bersikap berkecuali sekiranya benar-benar berpegang dengan prinsip mereka.

Bukanlah suatu yang pelik, di negara saya sendiri terdapat golongan yang mengaku berpegang dengan manhaj salaf begitu keras menolak pilihanraya dan demokrasi, akan tetapi sangat kuat juga menyokong dan berdampingan dengan pemerintah yang berhaluan sekular dan kebangsaan. Pastinya, mereka juga berdalilkan hadith-hadith di atas sebagai hujah. Lalu adakah tindakan menentang pemerintah dalam pilihanraya umum di Malaysia juga dikira sebagai bughah dan berdosa besar?

¶ Teruskan membaca »
18 Julai 2009

Tajdid: Antara Makna Islami dan Agenda Pembaratan

Isu tajdid dan kemodenan telah menjadi aliran baru yang didorong oleh tujuan-tujuan dan matlamat yang kadang-kadang boleh memperdayakan sesetengah orang. Ini menjadikan persoalan apakah akar pokok tajdid dan apa dimensinya, persoalan yang memerlukan jawapan segera.

Definisi yang sebenar kepada perkataan tajdid sebagaimana yang dibawa oleh sunnah yang suci dan diperkatakan oleh ulama' Islam yang thiqah dan fuqaha'nya ialah:

Menghidupkan batu tanda agama setelah ia tertimbus, menyambung apa yang terburai, menerangkan sunnah daripada bidaah dan menghidupkan amalan yang dipelajari daripada kitab dan sunnah.

Berkata Syeikh Al Ghazali dalam menerangkan makna sebenar kepada istilah ini:
"Tajdid ialah mempertahankan usul daripada apa yang merobeknya, menggilapnya daripada kesamaran yang menyelubung, menjernihkannya daripada kekeruhan. Ia seperti membasuh pakaian sehingga hilang segala kotoran atau menyapu debu yang melitupi gambar yang terbiar lama tanpa penjagaan."

Dalil yang membuktikan wujudnya istilah tajdid dalam kamus perbendaharan kata umat ini merujuk kepada hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya Allah akan membangkitkan untuk umat ini di permulaan setiap seratus tahun, seorang mujadid yang mentajdid agamanya".

Tajdid dalam Islam ialah kembali kepada asal yang unggul yang menjadi sumber kemuliaan manusia iaitu kitab dan sunnah. Ia tidak mungkin difahami kecuali dengan mendekatkan diri dengan tokoh-tokoh ikutan yang bebaskan diri hanya untuk kebenaran, menjulang panji-panji ini. Mereka adalah pelopor kebaikan dan rahmat kepada manusia. Mereka adalah ukuran keadilan dan neraca kemuliaan kepada umat manusia.

Tetapi sekitar akhir kurun ke-19 dan semenjak awal kurun ke-20, muncul makna baru kepada istilah tajdid berlainan dengan makna asal sebenar seperti yang kami sebutkan. Telah muncul apa yang boleh kita istilahkan sebagai pemikiran Islam liberal beracuan barat. Atau dengan kata lain pemikiran yang seiring dengan aliran pemikiran barat atau pemikiran orieantalis.

Ia membawa tajdid yang memelihara akidah Islamiah, tetapi tersimpan di atas rak atau di muzium sebagai satu benda yang amat unggul dan sangat suci. Pada hakikatnya ia adalah sekular yang bermotifkan untuk memisahkan agama daripada kehidupan, dan mengambil sistem barat yang diimport untuk menggantikan syariat Islam. Tajdid yang memberi makna mensia-siakan Islam dan melampaui batasannya, memperlekehkan penghasilan lalu dan menundukkan Islam kepada konsep pemodenan.

Mereka mengatakan menggantung perlaksanaan Islam adalah satu tuntutan kemestian (dorurat) sosial. Di bawah tekanan suasana kehidupan yang sentiasa baru, Islam tidak akan mampu menyesuaikan tuntutan pemodenan dengan kandungan pengajarannya. Berkeras dengan ajaran Islam bermakna memencilkan diri daripada kehidupan, ketinggalan dalam menggunakan wasilah kemajuan dan cenderung untuk memilih kemiskinan, berpenyakit dan kejahilan. Begitulah sangkaan mereka.

Mereka mengatakan lagi, kemajuan adalah "kanun kehidupan umum" yang tidak boleh tidak mesti dipatuhi. Kerana itu pada sangkaan mereka, orang Islam harus menggunakannya dalam kehiupan keIslaman mereka supaya ia dapat berjalan seiring dengan kemodenan dunia barat dan dengan itu mereka akan selamat daripada punca-punca kelemahan dan kemunduran. Jadi mereka hendaklah memajukan Islam sebagai agama.

Atau dengan ungkapan yang lebih jelas: orang Islam atas nama ilmu, kemajuan dan tajdid hendaklah mengubah agama mereka dan memajukannya dengan cara memperbaharui pemahamannya, menjauhkannya daripada politik dan negara, serta mengusirnya dari masuk campur hal ehwal hubungan antara individu.

Islam juga hendaklah menyelamatkan diri mereka dari terkait dengan apa-apa bentuk pemilikan sumber kekuatan, meninggalkan masalah ketuanan iman yang menolak wala' kepada bukan Islam atas kepentingan Islam dan menolak perkahwinan muslimah dengan bukan muslim.

Selain itu Islam juga perlu melupakan perbezaan lelaki dan wanita dalam menerima pusaka, hak talak, tidak masuk campur dalam urusan hubungan kemasyarakat antara sesama muslim, dan hubungan muslim dengan masyarakat antara bangsa, sebagaimana Islam tidak perlu masuk campur dalam urusan menentukan hubungan antara modal dalam perindustrian, hubungan perdagangan antara pemodal dan pekerja atau antara pemilik harta dengan golongan fakir untuk menghalal dan mengharam atau memaksa pembayaran zakat dan sebagainya.

Ini bukan suatu perkara baru. Semenjak zaman dahulu lagi mujaddid palsu yang mensejajarkan syariat dengan nafsu manusia cuba mentafsir riba dengan tafsir yang tidak diketahui daripada salaf ass soleh, tidak sejajar dengan nas-nas Quran, juga dengan hadis-hadis sahih dan tidak juga dengan ijma' umat semenjak zaman silam hingga zaman yang hampir ini.

Berkata Syeikh al Ghazali dalam mengulas perkara tersebut:
"Perjalanan mujaddid palsu ini penuh mengecewakan, mereka mematikan Islam bukan mentajdidikannya. Sesungguhnya mentajdid pemikiran Islam menuntut akal yang lebih matang, hati yang lebuh bersih, memahami kesilapan sejatah, kegelinciran rijal (pemuka-pemuka), ilmuan yang arif tentang kitab-kitab, bukan sekadar banyak membaca, mahir tentang hadis, bukan sekadar meriwayatkannya, fakih tentang syarak, bukan sekadar pengikut, tahu selok belok tarbiah dan pengajaran, bukan sekadar pengikut pemimpin dan pemilik sijil yang tidak berilmu."

Kita tidak menolak tajdid tetapi memperingatkan pembaca dari percubaan untuk menyelewengkan agama atas nama tajdid, tetapi ia hendaklah dilakukan dalam ruang lingkup Islam dan iltizam dengan hukum hakamnya.

Adapun tajdid yang dijadikan helah untuk mengahalalkan pergaulan bebas, riba, faedah bank, membuka aurat, lebur identiti dan mempermainkan orang beriman maka ia bukannya tajdid, sebaliknya penyelewengan, kesesatan dan kerendahan akhlak.

Pertama kali dipos di UmmahOnline.

¶ Teruskan membaca »

Catatan Lama

 
Setiap tulisan yang ada di sini adalah digalakkan untuk disebarkan. Pro Tajdid direkabentuk oleh Tawel Sensei sambil melayan Radio IKIM.