Pro Tajdid mengumpulkan tulisan terpilih tentang fenomena tajdid yang melanda dunia Islam.
Apa itu tajdid? Tajdid bagaimana yang kita mahu? Selongkari arkib blog ini untuk jawapannya!

Dengan melanggan blog ini secara e-mel atau RSS, anda akan diberitahu secara automatik apabila ada entri baru di sini.
Anda mempunyai bahan-bahan menarik berkaitan isu tajdid yang mahu dikongsi di sini? Hubungi protajdid [at] gmail [dot] com.

Pengenalan Tentang Tajdid

Tajdid ialah suatu proses pembaharuan dalam umat Islam, yang mengeluarkan umat Islam dari kepincangan kepada kondisi yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Konsep tajdid ini merupakan senjata kekuatan umat Islam sejak zaman berzaman, di mana, setiap kali umat Islam mengalami kemunduran, maka Allah s.w.t. akan melahirkan individu atau golongan dalam umat Islam, yang sanggup menggadaikan hidup mereka demi membaikpulih umat Islam dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam.

Sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud:
"Allah s.w.t. akan mengutuskan bagi umat ini (umat Islam), setiap seratus tahun orang yang akan memperbahrui (tajdid) agamanya (agama umat Islam."

(Hadis riwayat Abu Daud, Al-Hakim, Al-Baihaqi, Al-Hasan bin Sufian, Al-Bazzar, At-Tabrani, Abu Nu’aim dan sebagainya).

Realiti Umat Islam: Keperluan kepada Golongan Mujaddid

Suatu fenomena yang amat menggembirakan, apabila timbul ramai golongan yang cuba merealisasikan konsep tajdid ini, khususnya pada zaman ini, di mana umat Islam dirundung seribu satu macam kepincangan, di segenap aspek kehidupan mereka.

Dari sudut kerohanian, ramai umat Islam yang tidak menjalinkan hubungan yang baik dengan Allah s.w.t., samada dengan mentaati perintah-Nya mahupun dengan meninggalkan larangan-Nya. Apa yang disuruh, itulah yang ditinggalkan dan apa yang dilarang, maka itulah yang dilakukan (na'uzubillah).

Benih-benih keimanan sudah hilang dari dada mereka. Akar-akar ketaqwaan sudah kian rapuh dimamah seribu satu maksiat dan dosa. Mereka hilang hala tuju, tidak pasti ke mana mahu dituju. Apa yang pasti, bagi mereka, hidup hanya sekali, sekurang-kurangnya itulah peluang untuk berhibur. Keimanan tentang alam selepas kematian, baik alam kubur mahupun alam darain (dua rumah, iaitu syurga dan neraka) telah pudar. Hijab antara mereka dan Tuhan mereka semakin menebal.

Adaupun dari sudut kebendaan, umat Islam turut tersenarai di kalangan negara-negara mundur ataupun membangun. Bahkan, umat Islam seolah-olah perlu menjadikan tamadun Barat sebagai guru dalam kemodenan. Kayu pengukur sesebuah tamadun juga ialah tamadun Barat, sedangkan masyarakat Islam yang sepatutnya menjadi umat manusia yang terbaik, seolah-olah sudah hilang identitinya.

Dari sudut kemasyarakatan pula, umat Islam menghadapi kepincangan yang amat dahsyat. Segala penyakit kemasyarakatan dapat disaksikan dalam umat Islam secara umumnya. Institusi kekeluargaan masyarakat Islam juga kian rapuh, di mana seorang isteri sudah lagi tidak menghormati suaminya dan seorang anak sudah tidak lagi mempedulikan ibu bapanya.

Dari sudut ekonomi, ketenteraan dan ilmu pengetahuan pula, umat Islam tidak ketinggalan dalam menjadi umat yang ketinggalan, jauh di belakang negara-negara Barat. Bertolak dari itu juga, umat Islam semakin ditindas saban hari dalam segenap aspek. Pelbagai serangan dilancarkan ke atas umat Islam, samada serangan berbentuk ketenteraan, serangan ekonomi mahupun serangan pemikiran.

Realiti ini mengetuk pintu-pintu hati mereka yang perihatin tentang Islam dan umatnya. Ada di kalangan umat Islam yang turut terpanggil untuk melakukan perubahan dalam mengembalikan kedaulatan Islam dan umatnya. Ramai di kalangan mereka yang menyeru kepada proses reformasi umat Islam dalam konteks tajdid.

Bertolak dari itu, timbullah pelbagai gerakan-gerakan tajdid dalam masyarakat Islam, yang membawa wadah pembaharuan dalam umat Islam. Gerakan-gerakan tersebut mula menyusun langkah dalam agenda pengstrukturan semula umat Islam. Pelbagai pendekatan dilakukan dalam mendaulatkan Islam semula, dalam masyarakat Islam, kerana kunci kebangkitan umat Islam ialah pada Al-Qur'an dan As-Sunnah. Umat Islam tidak akan mampu untuk menjadi umat yang terbaik, sehinggalah mereka berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah dan mengamalkannya dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Apa yang kita lihat melalui fenomena munculnya pelbagai gerakan Islam ini, seolah-olah ianya merupakan suatu perkembangan yang positif dalam mengembalikan semula kedaulatan Islam. Namun, dari sudut yang berbeza, kita dapati juga, ada segelintir golongan yang turut menyertai gelombang tajdid umat Islam tersebut, namun tidak memahami terlebih dahulu prinsip-prinsip tajdid itu sendiri.

Di Sebalik Nama Tajdid

Kita terlebih dahulu amat menyokong gelombang tajdid dan reformasi dalam masyarakat ini, dan semoga Allah menjadikan kita termasuk dalam golongan yang membawa panji-panji Islam dan terlibat dalam gelombang tajdid dan islah tersebut.

Namun, nasihat itu memberi manfaat kepada umat Islam (insya Allah). Apa yang ingin diperkatakan di sini ialah, tentang sikap dan tindakan segelintir golongan yang mengaku sebagai pendokong tajdid, namun bertindak dalam bentuk yang berlawanan dengan apa yang didokongi tersebut.

Fokus penulis ialah tentang segelintir manusia yang gagal mengenalpasti punca kelemahan umat Islam, lantaran itu, secara tidak langsung membuka pintu-pintu baru dalam menambah kerosakan umat Islam.

Atas nama tajdid, golongan tersebut membawa isu-isu remeh seperti perkara-perkara khilafiyah, ke tengah-tengah masyarakat awam Islam, seterusnya membawa kepada gejala perpecahan dan saling menyalahkan antara satu sama lain.

Golongan ini cuba membela pendapat-pendapat ulama' dan ketua mereka, lantas menyerang dan menjatuhkan mazhab-mazhab para ulama' yang bercanggah dengan mereka. Fenomena ini merupakan suatu realiti yang berlaku dalam masyarakat Islam.

Golongan tersebut wujud dalam pelbagai nama yang berbeza, tetapi manhaj mereka tetap sama, walaupun ada di kalangan mereka cuba menafikan perkaitan mereka dengan yang lain.

Kemunculan Wahhabi

Secara umumnya, golongan tersebut dikenali sebagai golongan Wahhabi. Mereka merupakan golongan yang terpengaruh dengan gerakan dakwah dan pemikiran seorang penda'i Islam, Muhammad bin Abdul Wahab. Slogan perjuangan mereka ialah untuk menyucikan Tauhid umat Islam yang sudah tercemar dengan pelbagai pencemaran, termasuklah daripada ajaran-ajaran tarikat dan kesufian.

Pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap golongan sufi secara umumnya, walaupun kita tidak menafikan bahawa, ada sebahagian dari mereka (golongan sufi) yang sesat. Tetapi, "pukul sama rata" dalam menuduh golongan sufi secara keseluruhannya adalah sesat merupakan suatu jenayah ilmiah dan suatu fitnah yang besar.

Golongan ini tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan mereka juga menyerang dan menyalahkan pendapat-pendapat dan mazhab-mazhab fiqh yang tidak bersesuaian dan tidak menepati mazhab dan pendapat mereka dalam masalah fiqhiyah. Bukan setakat itu sahaja, bahkan ada di kalangan mereka juga yang turut membid'ahkan golongan-golongan yang tidak sehaluan dengan mereka, samada dalam masalah fiqh, aqidah mahupun akhlak.

Dalam perkembangan yang sama, ada di kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan gelaran Wahhabi, lantas menukarkan nama gerakan dan mazhab mereka sebagai Salafi, yang bermaksud, golongan yang mengajak kepada manhaj Salaf yang hidup dalam 3 kurun yang pertama dalam sejarah Islam.

Baik Salaf mahupun Wahhabi, manhaj dan kaedah dakwah mereka sama. Mereka bermati-matian menyerang golongan sufi secara keseluruhan dan menyerang pendapat-pendapat dan ijtihad para ulama' yang bercanggah dengan ijtihad guru dan ketua mereka, seperti Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab dan Sheikh ibnu Taimiyah.

Ta'asub mazhab mereka terlalu menebal, walaupun mereka mengaku tidak bermazhab dan menolak tradisi bermazhab dalam umat Islam. Bagi golongan ini, kebenaran adalah bersama mereka dan selain dari mereka adalah sesat dan bid'ah. Bahkan, lebih kritikal daripada itu, mereka terlalu mudah mengkafirkan umat Islam yang tidak sehaluan dengan mereka khususnya golongan sufi.

Wujudkah Wahhabi di Malaysia?

Setelah kita fahami sedikit sebanyak tentang golongan tersebut, dapatlah kita fahami bahawa, mereka sebenarnya membawa kepada gelaja perpecahan dan kemelut umat Islam yang lebih besar, atas nama tajdid.

Hendaklah kita fahami bahawa, golongan tersebut cuba menebarkan pengaruh mereka ke serata dunia. Kalau di Mesir ini, mereka bergelar sebagai Ansor Sunnah. Golongan tersebut telah membawa pelbagai kemelut dan perpecahan dalam umat Islam di Mesir sehingga memaksa para ulama' Al-Azhar menjawab segala pertuduhan mereka terhadap umat Islam secara umumnya, dan golongan sufi khususnya.

Kita tidak mahu aliran Wahhabi ini menyelinap masuk ke dalam negara Malaysia yang dicintai, agar kesatuan masyarakat Islam di Malaysia dapat dipertahankan. Walaupun tidak ada golongan atau individu di Malaysia yang mengaku sebagai Wahhabi, tetapi ingatlah bahawa, Wahhabi itu bukan pada nama, tetapi pada fikrah dan kaedah golongan tersebut.

Kalau kita perhatikan di Malaysia, tiada golongan yang jelas Wahhabinya, namun ada individu atau segelintir golongan yang mendokong fikrah dan wadah perjuangan mereka (golongan Wahhabi).

Ada yang berselindung di dalam universiti-universiti awam, ada yang berselindung dalam medan penulisan, ada yang berselindung dalam dunia internet, ada yang berselindung di sebalik nama PROTAZ, bahkan ada juga yang berselindung di dalam jamaah-jamaah haraki di Malaysia. Apa yang pasti, fikrah mereka sama dengan fikrah dan agenda para Wahhabi.

Untuk mengenalpasti golongan "Neo-Wahhabi" di Malaysia, ada beberapa ciri antaranya:
Mereka sering mengarang tulisan-tulisan dan buku-buku dalam usaha menyebarkan pendapat-pendapat baru dalam fiqh Islam, seterusnya menghimpunkan dalil-dalil untuk menolak dan mengingkari pendapat-pendapat fiqhiyah yang diamalkan oleh para mufti masyarakat awam dan di Malaysia, sejak dahulu lagi (mazhab Syafi'e), seperti menolak bacaan Qunut setelah solat Subuh dan sebagainya.

Ada juga yang cenderung untuk menyerang golongan-golongan sufi, dan menyesatkan keseluruhan golongan sufi tanpa membezakan antara golongan sufi yang sesat ataupun yang benar. Bahkan, ada juga yang sampai menolak istilah tasauf itu sendiri.

Ada juga di kalangan mereka yang menimbulkan kecelaruan di tengah-tengah masyarakat awam Malaysia dengan mengetengahkan persoalan-persoalan khilafiyah (diperselisihkan ulama' mengenainya), seperti masalah tawassul dan sebagainya.

Kita tidak nafikan juga, ada di kalangan mereka yang sering mengadakan pelbagai seminar tentang manhaj dakwah Salafi samada dalam masyarakat awam mahupun dalam masyarakat intelektual, bagi bertujuan untuk menerapkan fikrah-fikrah yang memecahbelahkan umat Islam.

Dari ciri-ciri tersebut, kita bukanlah ingin membuat kesimpulan bahawa, setiap yang melakukan perkara-perkara tersebut adalah termasuk dalam golongan Wahhabi, tetapi kita ingin menyatakkan bahawa, kemungkinan, mereka yang melakukan perkara tersebut, sekurang-kurangnya, sudah terpengaruh dengan gagasan pemikiran Wahhabi (dan boleh jadi juga tidak).

Mengapa Wahhabi atau Neo-Wahhabi Perlu Ditolak?

Kita dapati bahawa, fikrah Wahhabi boleh memecahbelahkan masyarakat kerana mereka menutup ruang perbezaan pendapat di kalangan umat Islam. Mereka terlalu mengagung-agungkan pendapat mereka sehingga berani menyalahkan atau membid'ahkan pendapat dan ijtihad yang bercanggah dengan pegangan mereka. Ini boleh membawa kepada sebuah masyarakat yang saling salah-menyalahkan dan akhirnya membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam.

Golongan ini juga cuba menerapkan perbincangan-perbincangan yang bercanggah dan pertentangan dengan praktis dana amalan masyarakat Islam awam khususnya di Malaysia, yang mana, muftilah yang menjadi tempat rujukan agama bagi masyarakat awam. Budaya mengetengahkan kelainan pendapat dalam agama dalam masyarakat Islam, serta menolak pendapat, ijtihad, mazhab dan amalan masyarakat awam di Malaysia yang diambil daripada para mufti mereka, merupakan suatu usaha yang bakal membawa kepada perpecahan dan kekeliruan.

Bahkan, fikrah Wahhabi juga bukanlah suatu fikrah yang menyeru kepada tajdid, tetapi ianya menyeru kepada tajmid (menjumudkan), kerana ia menolak sebarang pembaharuan yang diada-adakan walaupun ianya demi kemaslahatan umat Islam dan tidak bercanggah dengan nash-nash dari Al-Qur'an dan As-Sunnah, hasil dari salah faham mereka terhadap hadis Rasulullah s.a.w. tentang bid'ah.

Mereka juga menolak konsep pembahagian bid'ah kepada bid'ah hasanah dan bid'ah dholalah, yang menjadi pegangan kebanyakkan para ulama' Islam. Lantaran itu, mereka bersikap keras dalam masalah yang diperselisihkan para ulama' mengenainya, seolah-olah mereka sahaja yang memahami nash-nash Islam, sedangkan yang bertentangan dengan mereka tidak memahaminya, walaupun pada hakikatnya, golongan yang bercanggah dengan mereka (Wahhabi) lebih kuat hujahnya berbanding mereka.

Kita tidak menolak Wahhabi kerana dendam kesumat, bak kata Dr. Asri, tetapi kita menolak Wahhabi kerana ianya membawa kepada perpecahan dan i'jabul mar'i bi ra'yihi (taasub seseorang dengan pendapat sendiri).

Kita tidak menolak Wahhabi kerana gurunya ialah Muhammad bin Abdul Wahab. Kita akui, ada di kalangan ulama' yang memujinya, walaupun ramai juga di kalangan ulama' yang menolaknya. Kita tidak menolak Wahhabi kerana mereka cuba membersihkan masyarakat Islam dari kepincangan. Masalahnya, perjuangan Wahhabi itu sendiri, hasil dari salah faham mereka terhadap prinsip-prinsip Islam dan realiti umat Islam.

Wahhabi menyeru umat Islam supaya kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, sedangkan Al-Qur'an dan As-Sunnah itu sendiri terdapa banyak kefahaman mengenai isi-isinya. Sedangkan dalam bidang Al-Qur'an sendiri, kitab-kitab tafsir yang menafsirkan ayat-ayatnya amat banyak. Begitu juga kitab-kitab hadis, di mana Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim juga disyarah oleh para ulama'. Ini menunjukkan bahawa, nash-nash Al-Qur'an dan As-Sunnah juga ditafsirkan dan disyarah dalam pelbagai pendapat dan tafsiran. Ini menunjukkan juga bahawa, para ulama' turut berselisihan dalam memahami nash-nash Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Namun, apa yang diseru oleh Wahhabi ialah, kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, tetapi menurut kefahaman siapa? Kebanyakkan umat Islam sebelum kewujudan para Wahhabi juga telah berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah dalam bidang fiqh, aqidah mahupun tasauf. Buktinya, para ulama' sebelum kehadiran Wahhabi juga menjadikan seluruh hidup mereka untuk berkhidmat kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah samada melalui kitab-kitab mereka mahupun dalam majlis ilmu mereka. Mereka saban hari menyeru umat Islam di zaman mereka berpegang kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah di samping menjelaskan kefahaman-kefahaman Al-Qur'an dan As-Sunnah kepada masyarakat.

Kemunculan Wahhabi yang mengajak kepada "berpegang kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah" merupakan suatu ajakan yang kosong kerana umat Islam sebelum kedatangan Wahhabi juga telah berpegang kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, walaupun ada yang terpesong (tetapi majoritnya masih lagi menggunakan Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai rujukan).

Jika begitu, umat Islam yang setelah sekian lama berpandukan Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai panduan mereka dalam hukum dan sebagainya, sebelum kedatangan Wahhabi, mengapakah para Wahhabi tiba-tiba muncul menyeru kepada perkara yang sudah dilakukan oleh majoriti umat Islam (iaitu berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah)?

Kita boleh menyimpulkan beberapa andaian dari kemunculan Wahhabi yang menyeru supaya kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah sedangkan umat Islam sudahpun menggunakan Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai sumber hukum, adalah seperti berikut:

Pertama:
Kemunculan gerakan Wahhabi yang menyeru kepada "berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah, kerana mereka memerhatikan segelintir daripada umat Islam tidak berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Hal ini menyebabkan mereka membawa gerakan-gerakan secara besar-besaran dalam menyeru umat Islam seluruhnya kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah. Apa yang kita lihat, seruan Wahhabi ini sepatutnya bersifat juz'i (cabang) kerana bukan semua umat Islam tidak berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah. Hanya segelintir daripada mereka sahaja yang tidak berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah seperti golongan fasiq, golongan sufi yang sesat, golongan falsafah yang menyeleweng dan sebagainya.

Tetapi, mengapa mereka yang sepatutnya melakukan gerakan yang bersifat juz'i (cabang), tiba-tiba membesarkan skop gerakan mereka sehingga memperjuangkan mazhab-mazhab imam mereka, lantas menolak mazhab-mazhab yang bercanggah dengan mazhab imam mereka?

Apa yang jelas bagi mereka takkala mereka melakukan sedemikian ialah, mereka menganggap hanya mazhab mereka sahaja yang sesuai dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah dan menepati kehendak dan kefahaman nash-nash yang ada, sedangkan mazhab-mazhab yang lain tidak benar. Ini membawa kepada usaha menyerang ijtihad-ijtihad yang tidak sehaluan dengan mereka, dalam usaha memertabatkan mazhab mereka.

Ini merupakan satu jenayah yang amat besar dalam umat Islam. Mereka cuba menutup pintu khilafiyah dan membawa kepada perpecahan umat Islam, kerana mereka lantaran itu, menyalahkan dan membid'ahkan mereka yang tidak sesuai dengan pendapat mereka (Wahhabi).

Kedua:
Kemungkinan juga, Wahhabi mucul dengan slogan "kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah", kerana tidak faham dengan apa itu Al-Qur'an dan As-Sunnah dan fahaman sempit mereka tentang Al-Qur'an dan As-Sunnah itu sendiri.

Hakikatnya, mereka bukanlah menyeru kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, tetapi mereka menyeru kepada kefahaman mereka terhadap Al-Qur'an dan As-Sunnah. Mereka mahu seluruh umat Islam memahami nash-nash sesuai dengan kefahaman mereka! Ini merupakan suatu agenda yang amat bahaya dan merosakkan institusi ijtihad umat Islam. Ini kerana, kebanyakkan daripada nash-nash dari Al-Qur'an dan As-Sunnah bersifat Dzonniyah Ad-Dhilalah (tidak jelas petunjuknya). Maka, dari situlah Allah s.w.t. membuka ruang berijtihad kepada para ulama' untuk menggali hukum sekadar kefahaman mereka, sesuai dengan ilmu dan akal yang mereka miliki.

Hal ini membawa kepada perbezaan pendapat di kalangan para ulama' dalam memahami sesuatu dalil tersebut. Berdasarkan pada perbezaan fahaman inilah, timbulnnya perbezaan hukum tentang suatu masalah, sesuai dengan ijtihad para ulama'.

Apa yang (nampaknya) menjadi agenda golongan Wahhabi bukanlah mengajak umat Islam kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah (yang begitu luas pemahamannya), tetapi mereka menyeru umat Islam supaya berpegang dengan kefahaman mereka ataupun kefahaman imam mereka dari Al-Qur'an dan As-Sunnah, dan meninggalkan pendapat-pendapat, kefahaman-kefahaman dan mazhab-mazhab yang bertentangan dengan mazhab dan kefahaman mereka.

Buktinya, kita dapat lihat sendiri tentang pelbagai isu yang cuba ditimbulkan, contohnya seperti isu tawassul, dan sebagainya, yang merupakan isu khilafiyah yang diperselisihkan ulama' mengenainya. Mereka (dalam bab tawassul) menghentam dan menyalahkan golongan yang bertawassul dengan orang yang telah mati, sehingga ada yang menuduh golongan yang bertawassul adalah golongan yang syirik, sedangkan golongan yang membenarkannya mempunyai dalil dari Al-Qur'an dan As-Sunnah juga (bahkan lebih kuat dari dalil Wahhabi yang menolaknya).

Pelbagai lagi contoh yang dapat kita lihat dalam karangan-karangan mereka, di mana mereka menghentam golongan yang bercanggah dengan pegangan mereka, bahkan para ulama' sekalipun tidak terlepas dari hentaman mereka.

Kalaulah mereka menyeru kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, sepatutnya mereka mengajak golongan tidak berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah kepada kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, bukan mengajak orang kepada kesempitan dalam menggali hukum dari Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Mereka yang hanya berpegang kepada pendapat mereka dan menghentam pendapat golongan lain dalam masalah khilafiyah sehingga ada yang sanggup mengkafirkan dan membid'ahkan mereka (golongan yang tidak sehaluan dengan pendapat Wahhabi), tidaklah melainkan menyeru umat Islam kepada taasub kepada sesuatu mazhab.

Kalaulah benar mereka ingin menyeru umat Islam kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, maka fahamilah dahulu bahawa terdapat banyak nash-nash dari Al-Qur'an dan As-Sunnah bersifat dhonniyah ad-dilalah yang menjadi tempat perselisihan para ulama' dalam memahaminya dan menggali hukum daripadanya. Kalaulah seruan mereka kepda Al-Qur'an dan As-Sunnah, mereka tidak sepatutnya memperbesarkan persoalan-persoalan khilafiyah dan tidak perlu menghentam pendapat-pendapat yang tidak selari dengan mereka, selagimana pendapat-pendapat yang lain juga ada sandarannya dari Al-Qur'an, As-Sunnah, Ijmak dan Qiyas.

Sikap menyerang dan saling menyalahkan antara satu sama lain merupakan sikap yang boleh membawa kepada perpecahan dalam umat Islam. Ia bukanlah konsep tajdid tetapi tidak lain melainkan ianya merupakan suatu usaha tafsid memusnahkan umat Islam.

Adakah ini Islam yang Rasulullah s.a.w. bawa? Adakah ini yang dikatakan rahmat buat sekalian alam?

Golongan Wahhabi sudah tersasar jauh dari prinsip-prinsip kelapangan Islam di mana mereka bukanlah suatu golongan yang memperbaiki umat Islam atau mengajak umat Islam kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, tetapi mereka memecahbelahkan umat Islam dengan sikap kejumudan mereka dalam masalah khilafiyah dan mengajak umat Islam kepada "kefahaman mereka" terhadap Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Jadi, demikianlah sedikit sebanyak penjelasan, tentang persoalan "mengapa kita perlu menolak Wahhabi"?

Kita amat meraikan gerakan tajdid dalam umat Islam, tetapi kita perlulah bezakan yang mana itu tajdid dan yang mana yang dikatakan sebagai tafsid? Ini kerana, ada golongan (seperti Wahhabi) yang berselindung di sebalik nama tajdid padahal agenda mereka hanyalah ingin memecahbelahkan umat Islam, samada secara sengaja atau tidak.

Garis perbezaan antara gerakan tajdid dan gerakan tafsid ialah, sejauhmana mereka merealisasikan tajdid dengan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah yang betul. Gerakan tajdid yang sejati adalah mereka yang meraikan keterbukaan dan perselisihan dalam lapangan ijtihad fiqhiyah di samping memahami konsep kesatuan Islam dari perselisihan tersebut iaitu:
"Kita bersikap tegas terhadap perkara yang disepakati oleh para ulama' dan kita bersikap terbuka dan memaafkan (berlapang dada) dalam perkara yang diperselisihkan oleh para ulama' mengenainya".

Imam Hasan Al-Banna (yang dahulunya seorang sufi Tarikat As-Syazuliah Al-Husofiyah) suatu ketika dahulu berjaya memahami konsep tersebut lantaran itu berjaya menbentuk jamaah yang berkesan dalam usaha tajdid ini. Namun, golongan Wahhabi yang gagal memahami konsep ini, membawa kepada perpecahan dalam masyarakat hasil dari sikap saling salah-menyalahkan dalam masalah cabang dan khilafiyah.

Semoga Allah s.w.t. membantu kita dalam memperjuangkan Islam dan membersihkan umat Islam dari kepincangan yang berlaku.

Wallahu a'lam.

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Ghani Al-Kabir
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
Al-Azhar, Mesir

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

 
Setiap tulisan yang ada di sini adalah digalakkan untuk disebarkan. Pro Tajdid direkabentuk oleh Tawel Sensei sambil melayan Radio IKIM.