Pro Tajdid mengumpulkan tulisan terpilih tentang fenomena tajdid yang melanda dunia Islam.
Apa itu tajdid? Tajdid bagaimana yang kita mahu? Selongkari arkib blog ini untuk jawapannya!

Dengan melanggan blog ini secara e-mel atau RSS, anda akan diberitahu secara automatik apabila ada entri baru di sini.
Anda mempunyai bahan-bahan menarik berkaitan isu tajdid yang mahu dikongsi di sini? Hubungi protajdid [at] gmail [dot] com.

Tersungkur di Hiwar Ke-3

Balik Malaysia memang seronok. Macam-macam benda boleh di buat, yang utamanya ialah makan, makan dan makan. Memang Malaysia bumi yang baik 'baldatun toyyibah' tetapi bila tengok keadaan masyarakat, tidak tahulah samada aspek 'wa Rabbun ghafur' itu pula ada atau tidak. Gerak hati berkata tiada melihatkan ramai remaja bahkan mereka yang di umur senja pun, terkinja-kinja dengan pelbagai hiburan; realiti TV terutamanya.

Aku balik ke pondok beberapa kali, membaharui hubungan yang bertahun-tahun terputus kerana aku tidak balik ke Malaysia. Geram bila mendengar tok-tok guru disantau orang-orang yang hasad dan dengki. Pemikiran jahiliyyah yang tidak sepadan dengan berkembangnya tamadun ilmu di Malaysia.

Lain dari itu aku ke tanah suci sebentar buat mengerjakan umrah. Sudah lama teringin hendak pergi tetapi dihalang mehnah kehidupan. Kali ini berjaya juga masuk senarai Tabung Haji walaupun permohonan asal cuma berjaya ke senarai menunggu.

Di sanalah, di awal Rejab yang mulia, aku bukan setakat menemui ribuan (kalau tidak jutaan) umat Muhammad yang membanjiri dua tanah haram, bahkan juga seorang ustaz bernama Abdul Manan. Dia sebenarnya mutawwif yang dibayar oleh Tabung Haji untuk jemaah kami. Asal dari Indonesia. Yang seronoknya dia juga anak murid kepada Syeikh Muhammad 'Alawi al-Maliki.

Aku berkesempatan berdua-dua sahaja dengan ustaz Abdul Manan di satu petang di Madinah. Asalnya waktu yang lapang itu hendak aku guna buat ke Pasar Kurma tetapi direncanakan supaya aku dan ustaz Abdul Manan sama-sama ke perkuburan al-Baqi'. Di waktu itulah hubungan kami terus menjadi rapat sampai akhirnya bertukaran hadiah buku dan alamat dengan janji mahu mengekalkan hubungan.

Balik dari al-Baqi', ustaz mengajak aku ke bilik hotelnya sebab dia ingin menunjukkan risalah yang baru dari hiwar ke-3 ulama Sa'udi yang dibuat beberapa bulan yang sudah. Hiwar ini pertama kalinya menjemput seorang tokoh Sunni, dan pertama kalinya juga dalam 20 tahun menjemput Syeikh 'Alawi ke suatu perhimpunan umum. Hal ini disinggung sendiri oleh Syeikh 'Alawi di permulaan risalah tersebut:

Setelah saya menerima jemputan ke hiwar ini, saya tidak tahu samada saya patut pergi atau tidak. Sebenarnya saya sudah lupa bagaimana prosedur hiwar ini kerana sudah lama sekali saya meninggalkan atau ditinggalkan daripadanya.

Hiwar yang ke-3 ini bertajuk 'al-Ghulu', transliterasinya ialah 'Extremism'. Menurut Ustaz Abdul Manan, hiwar ini telah berjaya dari banyak segi untuk pihak Syeikh 'Alawi. Pertamanya ia menandakan kemunculan semula tokoh-tokoh Sunni dalam masyarakat Sa'udi, dengan menerima sambutan hangat daripada umat di sana. Keduanya, masyarakat sangat terkesan dengan kebolehan ulama Sunni seperti Syeikh 'Alawi mengupas tajuk tersebut. Ketiganya, ia telah menjadi medan berhujah di antara golongan Sunni di Sa'udi dan golongan yang menentang mereka dan akhirnya ternyata hujah golongan Sunni ternyata hebat dan mantap.

Dalam Hiwar ke-3 itu Syeikh 'Alawi dengan jayanya telah membongkar dan menyangkut-pautkan asbab-asbab kepada terjadinya peristiwa 9/11 dan ke'extremism' golongan tertentu dalam menangani isu terrorist antarabangsa kepada ideologi yang diterimapakai oleh pemerintah Sa'udi dan ulama-ulama mereka. Satu persatu isu-isu ini dikupas. Dalam muqaddimahnya, Syeikh 'Alawi membawa pendengarnya menerokai permasalahan pemikiran ini dengan mengupas isu bid'ahnya melawat maqam Saidina Muhammad ar-Rasul di Madinah, sebagai satu contoh bagaimana keterlampauan pemikiran ini menulari segenap aspek dalam ideologi mereka hinggakan penganutnya menjadi totok terhadap tokoh tertentu dan melanggari prinsip-prinsip ilmu hadis dan al-Qur'an, sekaligus terbabas pula melanggar slogan dan idea puritanism mereka.

Isu bid'ahnya melawat ke maqam Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah isu baru yang wujud hanya di abad ini, bahkan adalah antara agenda yang dibawa oleh kerajaan Sa'ud sejak awal kewujudan mereka lagi, iaitu semenjak ideologi Muhammad Abdul Wahab didokongi mereka. Bagi golongan ini, para jamaah tidak boleh mengatakan yang mereka mahu ke Madinah untuk melawat maqam baginda rasul kerana pekerjaan ini bid'ah. Yang boleh disebut ialah melawat ke masjid an-Nabawi. Pokok pangkal masalah ini adalah kerana mereka menolak hadis yang menyatakan tentang keutamaan melawat ke maqam Nabi s.a.w.

Pokok pangkalnya yang lain ialah kejahilan mereka dalam ilmu hadis. Syeikh 'Alawi menerangkan dalam risalah itu bahawa hadis yang didakwa oleh mereka sebagai dhaif itu memang sebenarnya dhaif kerana ada perawinya yang dikira oleh sesetengah ulama hadis sebagai perawi yang lemah. Bagaimanapun hadis ini telah dikira sahih pula oleh beberapa ulama besar yang lain seperti Imam Ibnu Hajar dan as-Suyuti. Perkiraan sahihnya hadis ini bukan terhenti setakat perkiraan lemah-kuatnya perawi, tetapi mengambil kira juga amalan salafus-sholeh terutamanya dari golongan sahabat Baginda, dan kesepakatan para ulama zaman berzaman dalam hal ini. Hakikatnya isu ini sudah selesai dan haruslah golongan yag tersasul membid'ahkan lawatan ke maqam Nabi s.a.w. kembali ke pangkal jalan.

Tetapi, walaupun isu ini sudah berzaman disingkap dan dijelaskan oleh para ulama Sunni, kedegilan ulama barisan oposisi ini tetap berlanjutan sebagai akibat daripada sikap melampau mereka yang sudah menjadi darah daging, sepertimana sifat bahramiyah yang akhirnya menjadi tabi'at bila berulangkali dikerjakan.

Kalau dalam hal-hal sebegini yang terang dan mudah diapati dalilnya sudah begitu susah untuk ditegur, apatah lagi bila berlaku hal-hal seperti 9/11 yang benar-benar merupakan satu kejadian yang menggugat emosi dan aqal waras mana-mana manusia.

Kepada para jamaah dan bakal jamaah haji atau umrah dari Malaysia, sayugialah aku pesankan supaya berhati-hati dengan dua buah buku yang aku dapati banyak dijual di Makkah dan Madinah, terutamanya di hotel-hotel penginapan para jamaah. Dua buah buku dalam bahasa Melayu ini menceritakan sejarah kedua-dua kota besar ini dan memang merupakan satu usaha baik dalam mengisi kekosongan penerbitan dalam bahasa Melayu untuk karya sejarah Makkah dan Madinah. Kedua-duanya adalah hasil buah tangan seorang penuntut Malaysia Universiti Madinah dan dijual antara 10-20 riyal sebuah. Penulisnya bernama Abdul Basit bin Abdul Rahman.

Aku sendiri membeli kedua-dua buah naskhah ini dan telah berbincang mengenai isinya dengan ustaz Abdul Manan bilamana dalam penelitian aku mendapati buku-buku ini banyak sungguh mengambil sumber dari golongan neo-khawarij ini, lalu tidak hairanlah jika penulisnya turut sama membid'ahkan lawatan ke maqam Nabi s.a.w. Menurut Ustaz Abdul Manan, edisi baru ini sudah banyak di'tawar'kan oleh pengarangnya, kerana edisi asalnya lebih keras lagi membid'ahkan itu dan ini.

Pesanku yang pendek diakhir kalam ini ini sebenarnya bukan berhati-hati kepada buku-buku tersebut tetapi berhati-hatilah kepada kandungannya yang menyeleweng. Bukunya boleh dibaca dan diambil mana yang benar. Tetapi idea-idea al-ghulu yang tersisip disana sini itu cuba-cubalah untuk dihalusi baik-baik dan ditanyakan kepada mereka yang mengetahui. Bagi kita masyarakat awwam ini, elok benar kalau menggunapakai petua orang tua-tua bahawa 'hanya jauhari yang mengenal manikam'. Jangan kita pun turut tersungkur di pintu Baitullah.
---

Ditulis oleh Anak Alam.

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman Utama

 
Setiap tulisan yang ada di sini adalah digalakkan untuk disebarkan. Pro Tajdid direkabentuk oleh Tawel Sensei sambil melayan Radio IKIM.