Pro Tajdid mengumpulkan tulisan terpilih tentang fenomena tajdid yang melanda dunia Islam.
Apa itu tajdid? Tajdid bagaimana yang kita mahu? Selongkari arkib blog ini untuk jawapannya!

Dengan melanggan blog ini secara e-mel atau RSS, anda akan diberitahu secara automatik apabila ada entri baru di sini.
Anda mempunyai bahan-bahan menarik berkaitan isu tajdid yang mahu dikongsi di sini? Hubungi protajdid [at] gmail [dot] com.

Ulama Mesti Berani Nyatakan Kebenaran

Firman Allah:

Dan sesiapa yang tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab, walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapa pun selain Allah, sebagai pelindung yang membelanya, mereka yang demikian sifatnya adalah dalam kesesatan yang nyata. (al-Ahqaaf: 32)

Setiap tahun pada tanggal 12 Rabiulawal umat Islam menyambut Maulidur Rasul di seluruh dunia. Di Malaysia, sambutannya amat dirasai malah kerajaan memberi cuti umum pada tarikh tersebut.

Sesuai dengan tema sambutan tahun ini iaitu Menjana Ummah Gemilang, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, SAHARUDIN ABDULLAH menemu bual pensyarah Syariah, Kulliyah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Md. Hashim Yahaya bagi membahaskan isu ini.



Selalunya kita sambut hari lahir semasa individu itu masih hidup tetapi berlainan dengan Rasulullah. Apa signifikannya?

MD. HASHIM: Pada asasnya, sambutan hari lahir Rasulullah S.A.W bukan seperti menyambut hari lahir kita. Ia lebih kepada memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad.

Baginda adalah satu anugerah Allah yang sangat besar kepada manusia yang kemudiannya diangkat menjadi rasul membawa ajaran yang benar bagi menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.

Ini turut dijelaskan menerusi firman Allah:
Tidak kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam. (al-Anbiya’: 107)

Sambutan ini pula masih relevan lebih-lebih lagi dalam keadaan masyarakat Islam umumnya sudah agak jauh daripada cara hidup Islam yang betul. Maka, sambutan Maulidur Rasul yang diisi dengan pelbagai program seperti ceramah, forum dan diskusi bertujuan mendekatkan atau menarik umat Islam kembali kepada cara hidup beragama.

Hal ini sangat penting kerana ia adalah kesempurnaan hidup kita. Tanpa agama kita tidak ada pedoman dan mudah hanyut dalam lembah kemaksiatan.



Saban tahun kita menyambut Maulidur Rasul. Bagaimana nak mengukur keberkesanan dan cinta kita kepada Nabi Muhammad S.A.W?

MD. HASHIM: Agak sukar kita nak mengukur keberkesanan sambutan ini walaupun selepas sekian lama diadakan.

Kalau dapat dibuat kajian oleh pihak yang berkenaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terutama di kalangan generasi muda. Jika dengan mengikuti perarakan ini nampaknya mereka lebih mendekatkan diri dengan agama, itu boleh dikira sebagai salah satu keberkesanan sambutan Maulidur Rasul.

Sejauh mana kita kasihkan rasul, ini perlu kepada kita mempelajari dan menghayati Islam. Cinta kita kepada Rasulullah tidak hanya cukup dengan berselawat 100 atau 200 kali sehari.

Sebaliknya hendaklah kita mempraktikkan segala ajaran Islam dan sunah baginda dalam kehidupan seharian.



Bagaimanakah cintanya Rasulullah kepada umatnya?

MD. HASHIM: Semua nabi memang sayangkan umat. Mereka tidak jemu-jemu menyampaikan risalah dakwah walaupun menghadapi tentangan dan halangan. Inilah yang berlaku sejak zaman Nabi Adam sehinggalah Nabi Muhammad S.A.W.

Cuma istimewanya Nabi Muhammad disebabkan kasih baginda kepada umatnya, baginda berdoa supaya Allah menangguhkan segala pembalasan kepada umatnya di akhirat.

Kalau nabi-nabi yang lain apabila sudah sekelian lama berdakwah dan masih ada golongan yang terlalu degil maka mereka berdoa supaya Allah membinasakan golongan atau puak yang degil ini. Contohnya umat Nabi Nuh dan Nabi Lut yang dibinasakan Allah sama ada dengan ribut taufan dan banjir atau halilintar kerana ingkar menurut agama Allah.

Waima, sewaktu hendak wafat pun Rasulullah masih menyebut “Umatku, umatku, umatku.” Sebab itu, jarang kita nampak Allah balas kejahatan manusia secara terang-terangan dengan kolektif. Kalau adapun, barangkali tsunami itu pun sekali dalam tempoh berapa ratus tahun.



Dalam sebuah hadis ada disebut bahawa umat pada akhir zaman akan dapat pahala berganda apabila mengikut sunah Rasulullah kerana mereka tidak pernah bertemu baginda S.A.W. Soalnya, bagaimana boleh kita mencapai tahap ini?

MD. HASHIM: Memang benar malah ada satu lagi hadis yang bermaksud, “Siapa yang berpegang teguh dengan sunahku ketika rosaknya umatku, dia akan diberi pahala oleh Allah sama dengan 100 orang mati syahid”.

Ganjaran besar ini diberi kerana umat kini lebih hebat. Tanpa melihat atau hidup bersama Rasulullah, mereka dapat mengamalkan segala sunah baginda.

Kita tidak hairan jika orang yang pernah hidup bersama Nabi memang berpegang dan mengamalkan segala sunah baginda. Tetapi untuk seorang yang tidak pernah bersama atau melihat mukjizat baginda selain al-Quran mengamalkan segala sunah, itu menunjukkan orang tersebut mempunyai tahap keimanan yang tinggi.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang. Orang tuduh kita macam-macam jika kita mahu kembali mengamalkan Islam sepenuhnya. Hendak menyelamatkan diri daripada rasuah pun kini sukar. Orang kata kita jumud, kolot, ekstrem dan sebagainya.

Bagaimanapun, ada yang mampu bertahan daripada terlibat dengan rasuah. Mereka berpegang kepada prinsip biar sedikit tetapi berkat dan ia lebih baik daripada banyak tetapi tidak halal.



Ada yang mengatakan bahawa sukar untuk kita mengamalkan sunah Rasulullah kerana jarak kewafatan baginda dengan kita amat jauh. Benarkah dakwaan begini?

MD. HASHIM: Dakwaan sedemikian tidak berasas. Islam adalah agama yang kekal sehingga kiamat. Ia tidak akan mengalami perubahan atau tamat seperti agama yang dibawa oleh Nabi sebelum Rasulullah.

Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah yang bermaksud:
Telah aku tinggalkan kepadaMu dua perkara yang mana selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitulah kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Yang perlu dilakukan ialah mempelajari dan mendalami Islam untuk mengamalkannya dalam seluruh kehidupan. Islam itu adalah cara hidup maka ia wajar dipraktikkan bukan sahaja dalam beribadat tetapi dalam bermuamalat, bersosial, berpolitik dan sebagainya.

Kita kena ingat dalam keadaan apa sekalipun, kita diikat oleh soal halal haram agama. Bukan hanya di Mekah kita perlu patuh kepada Allah, malah di mana-mana pun kita perlu patuh sebab Allah yang kita sembah itu sama walau di mana kita berada.



Rasulullah ada bersabda, “Ulama itu pewaris nabi”. Ulama bagaimanakah yang dimaksudkan pewaris nabi ini?

MD. HASHIM: Saya ingin memetik kata-kata Imam al-Ghazali dalam hal ini. Beliau membahagikan ulama kepada dua iaitu ulama akhirat dan ulama dunia.

Ulama akhirat ialah mereka yang mendalami agama, alim dan beramal dengan apa yang dipelajarinya serta menyampaikan ilmu itu dengan amanah. Mereka tidak bimbang dicela atau dikutuk dalam menyampaikan kebenaran. Ini bertepatan dengan firman Allah, ...Mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela... (al-Maaidah; 54)

Ulama dunia pula ialah golongan berilmu tetapi tidak jujur dalam menyampaikan ilmu Islam. Mereka tidak amanah dalam menyampaikan kebenaran atau kebatilan. Kalau kepentingan mereka tidak terjejas, maka dia akan sampaikan ilmu itu. Sebaliknya jika kepentingan atau periuk nasinya terjejas, maka dia akan mendiamkan diri.

Hari ini bilangan ulama akhirat ini tidak begitu ramai. Sebagai contoh ulama akhirat ialah Imam Abu Hanifah yang rela dipenjara dan disebat semata-mata kerana tidak mahu mengikut telunjuk pemerintah mengatakan al-Quran itu adalah makhluk.
---

Artikel asal adalah dari Utusan Malaysia.

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

 
Setiap tulisan yang ada di sini adalah digalakkan untuk disebarkan. Pro Tajdid direkabentuk oleh Tawel Sensei sambil melayan Radio IKIM.