Pro Tajdid mengumpulkan tulisan terpilih tentang fenomena tajdid yang melanda dunia Islam.
Apa itu tajdid? Tajdid bagaimana yang kita mahu? Selongkari arkib blog ini untuk jawapannya!

Dengan melanggan blog ini secara e-mel atau RSS, anda akan diberitahu secara automatik apabila ada entri baru di sini.
Anda mempunyai bahan-bahan menarik berkaitan isu tajdid yang mahu dikongsi di sini? Hubungi protajdid [at] gmail [dot] com.

Wahabi Itu Ulama Tajdid?

Oleh Alexanderwathern


Soalan oleh Azrin:
Salam. Saya rasa tak sesuailah anda menggunakan istilah Salafi Wahabbi untuk mengambarkan golongan Salafi yang keras. Rasanya elok anda kaji lagi berkenaan Salafi. Kalau anda kaji betul-betul mesti anda akan rasa bersalah menggunakan nama Wahabi kerana ia dinisbahkan kepada seorang ulama tajdid.


Jawapan oleh Alexanderwathern:
Wa'alaikumussalam Azrin.

Saya pula rasa anda tersalah faham dan kekurangan maklumat kerana belum membaca dan mengkaji tulisan-tulisan saya tentang Salafi Wahabi YANG KAMI TOLAK. Salafi Wahabi yang kami tolak ini tidak ada pembahagian seperti wujudnya golongan yang lembut dan yang keras. Tidak ada pembahagian seperti itu. Apabila seseorang itu jelas berfahaman Salafi Wahabi sebagaimana yang kami maksudkan dalam artikel DI SINI, maka golongan itulah yang kami gambarkan.

Diharapkan sangat agar tuan memahami terlebih dahulu SALAFI WAHABI YANG KAMI TOLAK sebelum memberi apa-apa komen. Sudah banyak komen yang membawa lebih mudarat berbanding manfaat kerana penulisnya tidak faham apa yang mereka tidak persetujui tetapi masih mahu menyuarakan teguran.

Sebenarnya Azrin, saya sudah mengkaji tentang Salafi Wahabi YANG KAMI TOLAK itu sudah begitu lama. Malah saya sudah meminta petunjuk dan gerak kepada Allah melalui istikharah tentangnya, juga sudah sekian lama. Saya sudah mengkaji BETUL-BETUL dan tidak pernah berasa bersalah menggunakan nama WAHABI untuk menunjukkan kaum Salafi Wahabi yang kami tolak itu. Malahan saya berasa sangat beruntung kerana dipilih oleh Allah untuk berjuang menolak APA YANG SALAH daripada fahaman Salafi Wahabi ini.

Menurut anda, nama Wahabi itu dinisbahkan kepada seorang ulama tajdid. Buat masa ini saya tidak punya cukup maklumat siapakah tokoh yang anda maksudkan kerana tulisan anda pun pendek sahaja. Jika benar ia dinisbahkan kepada seorang tokoh tajdid, maka ia tidak ada kena mengena dengan Salafi Wahabi yang ditolak kerana istilah SALAFI WAHABI/ WAHABI yang kami guna tidak dinisbahkan kepada SATU INDIVIDU tetapi kepada satu fahaman yang membawa banyak keburukan kepada agama dan umat Islam.

Begitulah jawapan saya buat anda- tamat.


Seterusnya pula saya ingin berkongsi sedikit pengalaman.

Pernah beberapa orang menisbahkan istilah Wahabi itu kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dari Najd. Orang ini jelas bukan tokoh tajdid kerana dia membentuk tentera (bukannya rombongan dakwah) lalu menyerang wilayah Hijaz khususnya Makkah dan Madinah yang berada di bawah kekuasaan daulah Islam. Maksudnya ia memberontak kepada khalifah yang memimpin daulah Islam. Kita tentu sedia maklum apa hukuman ke atas pemberontak. Tenteranya telah membunuh banyak ulama malah keturunan Nabi Muhammad saw. Saki-baki keturunan Nabi ini banyak yang diusir ataupun terusir dari Hijaz.

Ada yang cuba berdalih kononnya wilayah Najd tidak termasuk ke dalam daulah Islamiah tetapi ia wilayah yang bebas. Hal ini maksudnya tentera Najd sudah menyerang sebuah wilayah daulah Islam iaitu Hijaz. Kita juga sedia maklum apa hukuman ke atas mereka yang menyerang negara Islam. Pusing ikut mana pun, mereka ini tetap segerombolan penjenayah dan pengganas.

Fahaman yang dibawa oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab ini dipraktikkan oleh tentera yang membawa fahamannya. Mereka menyerang binaan kubah, batu-bata, kayu-kayu dan sebagainya yang mereka anggap sebagai elemen khurafat dan syirik di Hijaz. Tindakan ini jelas tidak ada tajdidnya malah menunjukkan kejahilan dan kekerasan melampau.

Yang membawa kerosakan paling besar ialah sifat mazmumah yang ada dalam diri manusia, bukannya binaan-binaan dan batu bata. Jika benar akidah umat boleh rosak dengan binaan-binaan itu, orang yang bijak pastinya akan sasarkan jiwa umat yang di dalamnya bersarang sifat-sifat mazmumah. Betulkan akidah ummah dengan tarbiah hati melalui majlis-majlis pengajian, perdebatan, ceramah, muzakarah dan sebagainya.

Apabila sifat mazmumah dalam diri mereka sudah banyak dihakis, dengan sendirinya mereka akan meruntuhkan binaan-binaan itu ataupun mereka tidak pedulikan lagi binaan-binaan itu. Beginilah cara yang bijak lagi berhemah, bukannya dengan menjadikan binaan-binaan itu sebagai sasaran. Mensasarkan batu-bata dan binaan ini akhirnya mendatangkan korban jiwa yang bukan sedikit. Beginikah dakwah tajdid yang bijak?

Tindakan tokoh tajdid- sasarkan hati manusia. Selepas itu dengan sendirinya manusia akan membuat perubahan. Tindakan orang yang pendek akal- serang batu-bata dan binaan untuk mentarbiah jiwa manusia.

Ringkasnya, syeikh dari Najd ini bukanlah tokoh tajdid.

Pada zaman Saidina Umar, tenteranya berjaya mendapatkan kunci Baitul Maqdis. Ketika itu di sekitar Palestin terdapat banyak binaan kuburan para Nabi dan wali terdahulu. Namun Saidina Umar tidak pula menyerang batu-bata dan binaan yang tidak bernyawa itu. Bahkan di tempat pertama Rasulullah menjejakkan kaki di sana dalam Isra’nya, didirikan sebuah masjid sebagai mengambil berkat dan mengenang sejarah. Apa yang dilakukan Saidina Umar ini jelas bertentangan dengan dakwah gusar Muhammad bin Abdul Wahhab.

Begitulah sedikit perkongsian pengalaman, yang mungkin tidak ada kena-mengena dengan teguran anda di atas. Namun kita anggap ia sebagai menambah pengetahuan am saja.

Wallahualam.

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman Utama

 
Setiap tulisan yang ada di sini adalah digalakkan untuk disebarkan. Pro Tajdid direkabentuk oleh Tawel Sensei sambil melayan Radio IKIM.