Oleh: Md. Asham B. Ahmad (Fellow Institut Kefahaman Islam Malaysia)
Latarbelakang
Makalah saya, "Awasi Pelampau Hadis" (disiarkan oleh Berita Harian 11 September 2007 dengan tajuk, Usaha Ilmuwan Islam Patut Dihargai) yang mengandungi teguran-teguran terhadap golongan yang saya gelar "Pelampau Hadith", telah mendapat maklumbalas oleh Mohamad Abdul Kadir bin Sahak dari Institut al-Qayyim dalam makalahnya yang berjudul "Kekeliruan dan Buruk Sangka Penyebab Salah Sangka"(http://al-ahkam.net/modules.php?op=modload&name=article&sid=44375).Makalah ini adalah jawapan saya kepada penulis berkenaan yang saya rujuk dengan panggilan Bin Sahak.
Memang benar permusuhan pihak-pihak tertentu dari kalangan fuqaha' dan muhaddithun terhadap ilmu tasawwuf dan ahli-ahlinya bukanlah perkara baru. Bin Sahak, dalam makalahnya, menyatakan pendiriannya tanpa ragu-ragu bahawa:
"...tasawwuf dan tokoh-tokohnya sememangnya telah banyak mencetuskan perkara-perkara pelik dalam agama yang jauh dari petunjuk al-Qur'an dan al-Sunnah, seperti kepercayaan wahdatul wujud..."
Disebabkan sedikit simpati yang saya tunjukkan khususnya kepada ilmu tasawwuf dan tokoh-tokohnya itu saya telah dianggap keliru dan berburuk sangka (terhadap ahli hadith). Pada bacaan Bin Sahak, saya menganggap tokoh-tokoh seperti al-Ghazali, Ibn Arabi, al-Jili dan aliran pemikiran yang diwakili mereka sebagai "kudus" dari sebarang kritik.
Dalam makalah saya yang terdahulu saya cuba menganjurkan sikap berhati-hati dan berbaik sangka agar tidak menghukum secara jahil ahli-ahli ilmu dan tradisi yang mereka wakili. Justeru, saya tumpukan teguran kepada yang melampau, dengan harapan mereka kembali ke landasan yang saksama.
Bin Sahak, merujuk kepada kenyataannya di atas, nampaknya tidak berupaya untuk mengambil sikap sedemikian. Beliau tanpa teragak-agak menjatuhkan hukuman terhadap seluruh disiplin ilmu tasawwuf dan ahli-ahlinya. Tiada dibuat perbezaan antara golongan yang menyeleweng dengan golongan yang berada di atas landasan yang benar. Semua itu dilakukan dengan alasan tidak ada sebarang tokoh ataupun aliran yang maksum. Ujar beliau:
"...apalah yang hendak dikalutkan apabila ada mana-mana ulama' yang dikritik? Ulama juga manusia biasa, kadang-kadang mereka benar dan kadang-kadang mereka tersilap."
Prinsip: Kritik Berbeza Dari Fitnah
Saya merasakan Bin Sahak tidak senang dengan istilah "pelampau" yang saya gunakan itu. Mungkin beliau perlukan penjelasan lanjut kenapa istilah itu saya gunakan. Apabila seseorang itu disifatkan sebagai "pelampau" ertinya ada "batas" yang telah dilampaui. Batas yang saya maksudkan dalam perbahasan ini ialah satu garis halus yang memisahkan antara "mengkritik" dengan "memfitnah". Mengkritik (dalam ertikata naqd) dengan asas-asas ilmiah yang kukuh adalah teras tradisi keilmuwan Islam.Sebaliknya, menghukum membuta-tuli adalah tanda kejahilan dan kerosakan akhlak; ia mesti dibanteras kerana bisa mendatangkan fitnah. Tujuan kritik pada hakikatnya adalah bagi membezakan yang benar dari yang palsu kerana kegagalan membezakan antara keduanyalah punca berlakunya fitnah. Dalam kata lain, kritik sepatutnya membendung fitnah, bukan menyebarkannya.
Demi membendung fitnahlah para muhaddithin menuntut supaya para periwayat hadith mengemukakan sumber pengambilannya yakni apa yang dikenali dalam disiplin ilmu hadith sebagai sanad ataupun isnad. Menurut Ibn Sirin (w. 110H), sanad terhadap sesuatu hadith asalnya tidaklah dititik-beratkan sangat sehinggalah berlakunya fitnah, merujuk kepada peristiwa pembunuhan Uthman yang membawa kepada perang saudara dan perpecahan di kalangan umat Islam.
Semenjak itu sesiapa sahaja yang ingin meriwayatkan hadith mesti mengemukakan sumber pengambilannya, yakni sanad. Tujuannya bagi membendung fitnah agar tidak berleluasa kerana amat besar mudaratnya kepada perpaduan Kaum Muslimin. Kata beliau (Ibn Sirin) lagi:
"Kalaulah tidak kerana isnad, sesiapapun boleh berkata apa-apa sahaja yang dia ingin kata!" (lawla al-isnad laqala man sha'a ma sha'a).
Sanad atau isnad adalah sandaran sesuatu kata-kata atau dakwaan. Sama ada kata-kata atau dakwaan itu diterima atau tidak bergantung, antaranya, kepada "siapa" yang mengatakannya. Dalam ilmu hadith, sanad yang tidak terputus sehingga kepada Rasulullah adalah salah satu syarat utama penerimaan sesuatu hadith. Syarat lain ialah berkenaan sifat kebolehpercayaan orang-orang yang disebutkan namanya dalam rantaian sanad berkenaan: yakni, adakah periwayatan mereka boleh dipercayai. Dalam soal ini Ibn Hajar (w. 638H), umpamanya, telah membahagikan para periwayat hadith kepada 12 martabat, yang sekaligus menentukan martabat hadith yang mereka riwayatkan.
Semua itu dikaji, dihalusi, dan ditentukan syarat-syaratnya bagi memastikan pembohong, pelupa, dan orang-orang yang diragui akal-budinya tidak diterima periwayatannya. Semua itu dilakukan dengan penuh susah payah bagi memastikan Rasulullah tidak didustai: yakni tidak dinisbahkan kepada baginda sebarang kata-kata atau dakwaan yang bukan darinya.
Tetapi bagaimana pula perbuatan menisbahkan pembohongan terhadap orang-orang lain selain dari Rasulullah? Contohnya menisbahkan kata-kata yang mengandungi pendustaan, penyelewengan fakta, dan fitnah terhadap orang atau golongan tertentu sehingga mereka dianggap sesat dan dikafirkan oleh orang lain?
Dari segi prinsipnya perbuatan sedemikian, sama ada dilakukan terhadap Rasulullah ataupun terhadap orang lain adalah tetap pembohongan. Yang membezakan satu pembohongan dari yang lain ialah sebesar mana kemudaratan yang timbul darinya. Pembohongan yang mendatangkan fitnah terhadap agama dan masyarakat Islam tentulah mendatangkan mudarat yang amat besar, oleh itu ia mesti diperangi sehabis-habisnya.
Bagaimana dengan tuduhan sesat yang sering dilemparkan terhadap ilmu tasawwuf dan ahli-ahlinya? Apakah alasan untuk kita tidak menuntut orang-orang yang menjatuhkan hukuman itu dikenakan syarat yang sama, yakni sanad, sedangkan sudah terlalu banyak fitnah yang timbul dalam masyarakat akibat tuduhan-tuduhan itu? Mengulang kembali kata-kata Ibn Sirin: "Kalaulah tidak kerana isnad, sesiapapun boleh berkata apa-apa sahaja yang dia ingin kata!".
Adakah kerana para ahli tasawwuf itu manusia biasa yang tidak maksum seperti Rasulullah maka apa sahaja kata-kata boleh kita nisbahkan kepada mereka? Merujuk sekali lagi kepada kata-kata Ibn Sirin sebagai prinsip umum, kesimpulan yang tidak boleh dinafikan ialah sebarang dakwaan mesti disertakan dengan bukti yang sahih sebelum diterima, termasuklah, sebagai contoh, dakwaan bahawa ilmu Tasawwuf dan ahli-ahlinya telah lari dari petunjuk al-Qur'an dan Sunnah seperti yang didakwa oleh Bin Sahak. Tanpa bukti ia adalah fitnah.
Pendustaan boleh berlaku bukan hanya kerana kecacatan pada jalan periwayatan tetapi juga kerana ketiadaan keahlian di pihak perawi itu untuk menilai benar-salah apa yang diriwayatkannya, maka timbul kemungkinan dia telah meriwayatkan kebatilan atau fitnah secara tidak disedari.
Berdasarkan prinsip di atas saya menafikan tuduhan Bin Sahak bahawa saya menganggap individu atau aliran tertentu tidak boleh dikritik, atau menggunakan kata-katanya sendiri: "kudus dari dikritik". Saya hanya menuntut si pengkritik berlaku adil terhadap diri sendiri sebagai pengkritik, pihak yang dikritik, dan persoalan yang menjadi bahan kritikannya supaya tidak menimbulkan fitnah yang lebih besar.
Mengadili Si Pengkritik
Oleh kerana Bin Sahak begitu galak memperjuangkan "haknya" untuk mengkritik mungkin elok kiranya kita menganalisa kelayakan beliau sebagai pengkritik. Perhatikan apa yang beliau katakan dalam dua perenggan berikut, dan bandingkannya dengan apa yang beliau lakukan sebagai pengkritik:"Yang sepatutnya bahkan wajib kita gusarkan ialah apabila ada sebahagian umat Islam yang menganggap kesilapan yang kadang-kadang dilakukan oleh segelintir ulama itu sebagai agama, mereka ambil untuk diamalkan dan diyakini. Dalam keadaan tidak ada orang agama yang berani menegurnya. Lalu ada sebahagian perkara yang bukan agama, tetapi dianggap agama oleh sebahagian orang awam.
Untuk mengelakkan salah tanggap ini berlaku, seruan mengembalikan umat kepada sumber asal perlu dilakukan. Umat perlu disedarkan bahawa urusan agama perlu dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Tidak ada sumber lain yang dijamin ketulenannya melainkan al-Quran dan al-Sunnah. Perkara yang tidak pasti dan palsu mesti dijauhkan."
Bin Sahak percaya bahawa "tasawwuf dan tokoh-tokohnya sememangnya telah banyak mencetuskan perkara-perkara pelik dalam agama yang jauh dari petunjuk al-Qur'an dan al-Sunnah, seperti kepercayaan wahdatul wujud". Asas kepada kepercayaannya ini ialah apa yang beliau sifatkan sebagai kecaman para ulama muktabar terhadap tasawwuf. Beliau telah menukilkan contoh apa yang didakwanya kata-kata Imam Shafi'e bagi menyokong dakwaannya.
Bin Sahak, walaubagaimanapun, tidak pula mempertimbangkan kemungkinan bahawa al-Shafi'e tersilap dalam soal ini! Ataupun kemungkinan yang lebih besar dan lebih munasabah ialah orang yang mula-mula memetik kata-kata itu yang tidak memahami maksud sebenar al-Shafi'e! Dan kata-kata yang mengandungi kesilapan itu dipetik dari satu generasi ke generasi yang lain sehinggalah tiba giliran Bin Sahak.
Apa yang nyata Bin Sahak telah mengingkari prinsipnya sendiri. Dialah yang sebenarnya telah mengambil kata-kata manusia sebagai agama; dia tidak pun merujuk kepada al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih bagi membuktikan tuduhannya kepada ilmu tasawwuf dan tokoh-tokohnya. Ini adalah suatu kemunafikan. Bin Sahak patut mencermin dirinya, dan dengan menggunakan kayu ukur tokoh-tokoh 'Ilm al-Rijal yang muktabar, mencari suatu gelaran yang sesuai untuk dirinya sendiri.
Berlaku Adil Pada Pihak Yang Dikritik
Berikutnya kita lihat pula pihak yang sering menjadi sasaran kritikan. Seringkali tokoh-tokoh ilmu Tasawwuf khususnya Syaikh Muhyiddin Ibn Arabi dikafirkan kerana dikaitkan dengan faham Wahdatul Wujud yang kononnya sesat. Akan tetapi apabila ditanya apa yang sesatnya dengan Wahdatul Wujud, mereka yang berkenaan tidak mampu menjelaskannya, apatah lagi mengaitkannya secara pasti sebagai ajaran Ibn Arabi.Kesudahannya, apabila diusul-periksa, dakwaan itu sebenarnya disandarkan atas perkhabaran semata-mata: yakni, Ibn Arabi sesat kerana si polan dan si polan berkata demikian. Itu tidak boleh diterima kerana perkhabaran itu sendiri mesti dibuktikan kebenarannya. Jika tidak, ia adalah fitnah!
Menurut senarai yang dibuat okeh Professor Uthman Yahya, pengkaji Ibn Arabi yang terkenal, terdapat 161 syarah terhadap karya penting Ibn Arabi, Fusus al-Hikam, 34 karya yang mempertahankannya (difa'), dan 33 fatwa yang menyokongnya.
Angka-angka ini membuktikan bahawa Ibn Arabi bukanlah manusia biasa. Ia menunjukkan betapa ramai orang yang tinggi akal dan budinya mengakui ketokohannya, memanfaatkan ilmunya, dan menulis tentang ajarannya. Justeru, wajarkah hanya dengan beberapa baris ayat dia dihukum sesat kerana kononnya dia tidak tahu membezakan wujud Tuhan dengan wujud alam?
Salahkah meletakkan Ibn Arabi pada darjatnya yang tersendiri mengatasi manusia-manusia yang lain?
Al-Qur'an menegaskan bahawa hatta orang-orang yang beriman dan yang dikurniakan ilmu sekalipun diletakkan oleh Allah pada susunan darjat dan martabat yang berbeza. Demikian juga para mala'ikat, para penghuni syurga dan neraka. Makhluk yang pertama menafikan hakikat ini, kerana didorong oleh perasaan hasad dan takbur, ialah Iblis. Perangai si Iblis ini diwarisi oleh pengikut-pengikutnya dari kalangan manusia. Maka apabila Muhammad diutuskan kepada mereka mereka berkata: "Apalah lebihnya Rasul ini? Diapun (manusia biasa) makan-minum dan berjalan di pasar-pasar!"
Menginsafi hakikat ini para muhaddithun telah mengasaskan suatu disiplin yang dinamakan ‘Ilm al-Rijal. Prinsip ilmu ini ialah bahawa "manusia tidak sama". Jika tidak kenapa sebahagiannya diterima kesaksian dan sebahagian lain ditolak? Manakala di kalangan yang diterima dan ditolak kesaksiannya pula terdapat darjat yang berbagai!
Kembali Kepada al-Qur'an dan Sunnah: Bagaimana?
Saya boleh bersetuju dan menerima perbandingan yang diberikan oleh Bin Sahak bahawa ulama hadith ibarat pengumpul "bahan mentah". "Bahan mentah" dalam keadaannya yang asal tidak memberi manfaat bahkan dalam keadaan tertentu mungkin mendatangkan mudarat pula. Bahan mentah mesti diproses oleh ahli-ahlinya untuk dimanfaatkan hasilnya. Salah satu proses yang mesti dilalui ialah proses klasifikasi. Tidak memadai sekiranya hadith-hadith yang begitu banyak hanya diklasifikasikan mengikut bab-bab ilmu fekah kerana bukan semua hadith-hadith itu bersifat amali. Banyak hadith yang menjadi pertikaian sesetengah pihak itu menyentuh persoalan metafizika dan bukan untuk diamalkan.Yang menjadi masalah ialah apabila pemikiran pengumpul hadith itu pun masih pada tahap "bahan mentah", yakni jumud dan tidak berkembang. Mereka ini adalah orang-orang yang dungu, yang tidak tahu tempat sebenar mereka, lantas mereka telah menzalimi diri sendiri dan orang-orang lain. Mereka inilah golongan pelampau yang kita maksudkan.
Dengan berslogankan kata-kata hum rijal wa nahnu rijal (mereka pun manusia biasa seperti kita) mereka menyerang para ulama' yang mu'tabar, menimbulkan keraguan di jiwa masyarakat awam yang keliru terhadap kewibawaan mereka dan disiplin-disiplin ilmu yang mereka wakili.
Apa yang mereka hidangkan kepada umat Islam hari ini sebagai ganti ialah "bahan mentah". Seluruh disiplin ilmu Islam-Ilmu Kalam, Fiqh, dan Tasawwuf - ditohmah mengandungi unsur-unsur asing yang menyesatkan. Umat Islam disuruh meninggalkan ajaran para imam mereka kerana itu adalah perbuatan taqlid sedangkan taqlid pada hakikatnya berasaskan kepada pengiktirafan terhadap pihak yang diikuti. Kita hanya bertaqlid kepada orang-orang yang "thiqah", bukan pada sembarangan orang. Oleh itu ia (yakni taqlid) bukanlah berasaskan kejahilan, sebaliknya pengenalan dan pengiktirafan terhadap orang-orang yang mempunyai kelayakan. Inilah yang dikatakan "adab".
Sepatutnya jelas kini betapa dangkal dan palsunya seruan "kembali kepada al-Qur'an dan Sunnah" yang sering dilaung-laungkan golongan (termasuk Bin Sahak) yang menyangka dirinya pendokong "manhaj salaf" itu. Seruan yang benar pada dasarnya tetapi digunakan bagi menutup pendustaan dan kebebalan diri sendiri. Benar kita mesti berpegang kepada al-Qur'an dan Sunnah Nabi; tetapi "bagaimana caranya"?
Bagi menjelaskan "caranya" inilah maka muncul berbagai disiplin ilmu yang tidak pernah ada pada zaman Rasulullah. "Cara" atau "jalan" yang digariskan oleh para ahlinya yang berwibawa itulah yang kemudiannya membentuk mazhab-mazhab atau aliran pemikiran, sama ada dalam bidang akidah, perundangan, mahupun kerohanian. Mereka inilah yang sebenarnya telah bersusah-payah menunjukkan jalan kepada umat Islam selama ini "bagaimana" caranya memahami dan mengamalkan al-Qur'an dan Sunnah dalam segenap bidang kehidupan. Mereka tidak melaungkan slogan-slogan kosong tetapi memimpin umat dengan usaha gigih melalui jalan yang benar; justeru mereka digelar imam (pemimpin) oleh para pengikut yang tahu menghargai jasa mereka.
Jawapan balas serba ringkas yang saya kemukakan ini bukanlah menunjukkan bahawa Bin Sahak dan apa yang beliau tulis itu mempunyai sebarang harga yang berbaloi dengan masa dan keutamaan saya. Jawapan ini ditulis tanpa niat mengubah fikiran beliau atau puak-puak yang sependirian dengannya. Ia untuk tatapan masyarakat umum yang mahu berfikir, mahu memahami, dan mahu melepaskan diri dari fitnah yang disebarkan oleh golongan pelampau ini. Tiada apa lagi yang ingin saya perkatakan tentang perkara ini selepas ini.
---
Artikel ini diambil dari laman web IKIM dan diletakkan disini dengan terdapat sedikit pengubahsuaian pada format persembahannya.
Membaca artikel tulisan Ustaz Zamihan di dalam Utusan yang bertarikh 12 Februari lalu [1], pemikiran ini melayang mengingati kepada satu tulisan ilmiyyah berkenaan hadis "tuntutlah ilmu, walau ke negeri Cina", sebagai 'ulasan balik' dari kenyataan Mufti Perlis Muda di TV 1 bersama Johan Jaafar yang lalu.
Tulisan beliau kali ini juga tidak kurang menariknya, iaitu beliau membincangkan berkenaan "fahaman At-Tabdi’ yang telah mengancam Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah". Membaca tulisan tersebut, diri ini tidak berminat untuk mengulas, kerana memikirkan secara rasional, kebenaran sememangnya wujud di sebalik tulisan tersebut.
Walau bagaimanapun, melayari laman web Al-Ahkam dan melihat ruangan forum dalam membincangkan artikel Ustaz Zamihan tersebut, aku mula merasakan betapa dendamnya "geng-geng al-ahkam" kepada Ustaz Zamihan, sehinggakan ada satu tulisan di dalam forum tersebut menggunakan kalimah pekak badak untuk ditujukan kepada Ustaz Zamihan.
Mungkin aku adalah orang baru dalam dunia alam maya, tetapi dalam jangka masa yang terlalu singkat ini, aku dapat merasakan "geng-geng Al-Ahkam" merupakan antara pengikut kuat Mufti Perlis Muda. Ditambahi pula mereka mendakwa mereka adalah golongan "tajdid" yang sudah diketahui di peringkat universiti, tetapi tidak diketahui di peringkat nasional.
Alasan dakwah mereka adalah, mereka mendakwa mereka adalah golongan yang dikatakan sebagai Salafi, iaitu kelompok manusia yang mengikut golongan Salaf as-soleh. Aku mula terfikir, mengapa mudah mendakwa bahawa mereka adalah "mujaddid" sedangkan sesuatu gelaran itu tidak boleh diberikan kepada diri sendiri.
Imam as-Syafii yang dikenali kealimannya tidak pernah mendakwa dirinya sebagai al-Imam, tetapi disebabkan kealimannya yang telah dinilai oleh ulama-ulama mu’tabar, menyebabkan beliau digelar sebagai al-Imam.
Imam al-Bukhari telah mengarang kitabnya yang masyhur bernama Sahih al-Bukhari atau nama penuhnya al-Jami’ as-Sahih al-Musnad min Hadith Rasulillah SAW wa Sunanihi Wa Ayyamihi. Kitab tersebut diisytiharkan kesahihannya sehingga diiktiraf sebagai kitab kedua tersahih selepas Al-Quran. Kesahihan kitab tersebut, bukanlah dari dakwaan Imam al-Bukhari sendiri, tetapi telah diiktiraf oleh Imam yang hebat juga, iaitu Imam Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Mu’in dan beberapa ulama muktabar di zaman tersebut. Ini diakui oleh Abu Jaafar Al-‘Aqili [2].
Kalau seseorang itu dilihat sebagai alim, tetapi tidak pernah diisytihar kealimannya oleh orang alim juga, maka hakikatnya orang itu bukan orang alim. Kealiman seseorang itu perlu dinilai dan diisytihar oleh orang alim juga, maka barulah orang itu dikatakan sebagai orang alim.
Maka begitu jugalah "mujadid"; siapakah yang mengisytiharkan bahawa gerakan mereka ini sebagai gerakan "Tajdid"?
Orang-orang Arab terdahulu ada berkata:إنما يعرف ذا الفضل من الناس ذووه
Jangan Jadi Mutasallif
Mutasallif adalah kalimah yang dimasyhurkan oleh seorang ulama besar dari Negara Mesir yang bernama As-Syaikh Zaki Ibrahim didalam bukunya yang bertajuk ‘Usmah An-Nabi [4].
Mutasallif adalah "isim Fail" yang memberi maksud "orang yang berpura-pura salafi", seperti kalimah صائم yang mengandungi makna "orang yang puasa", tetapi متصوم mengandungi makna "orang yang berpura-pura puasa".
Rata-rata golongan yang mendakwa mereka sebagai Salafi, apabila dilihat kepada amalan dan penghujahan dalil, difahami bahawa mereka bukanlah Salafi, tetapi mereka adalah Mutasallif. Ini kerana jika diperhatikan dari sudut penghujahan dalil, banyak hujah-hujah mereka tidak berpijak kepada penghujahan yang tepat.
Mereka sekadar beristidlal dari beberapa nas dan dalil, tanpa mempunyai syarat-syarat mustanbit (orang yang layak mengeluarkan hukum).
Semasa belajar di Mesir, aku tinggal bersama rakan-rakan dari Indonesia yang mendakwa mereka sebagai Salafi. Setelah berkawan dengan mereka beberapa ketika, didapati mereka mudah mengeluarkan hukum dengan semata-mata membaca beberapa ayat al-Quran dan beberapa hadith, sedangkan mereka sendiri mempunyai kelemahan di dalam memahami Bahasa Arab dari sudut nahu dan sorofnya.
Pembidaahan secara membabi buta tanpa melihat kepada perkara yang dibidaahkan merupakan amalan Mutasallif, bukan Salafi.
Ini kerana di dalam pengajian Fiqh, mengetahui sesuatu yang hendak dihukumkan itu perlu diketahui terlebih dahulu sebelum dijatuhkan hukum.
Kaedah fiqh:الحكم على شيء فرع عن تصوره
Seorang Tuan Guru yang buta; tidak pernah menonton TV semenjak dilahirkan; ditanya berkenaan hukum menonton TV. Memandangkan sesuatu hukum yang dijatuhkan perlu mengetahui terlebih dahulu benda yang hendak dihukumkan, dia telah meminta dari mustafti (orang yang bertanya) agar mendatangkan TV kepadanya.
Ketika TV berada di depannya, dia meraba-raba TV tersebut, dan dia tidak boleh menjatuhkan hukuman.
Apabila dipasangkan TV tersebut, terbunyi bacaan Al-Quran, maka guru tersebut terus mengatakan bahawa hukum menonton TV adalah sunat.
Melihat kepada fatwa Tuan Guru Buta tersebut bahawa hukum menonton TV adalah sunat adalah hukum yang tidak berapa tepat. Ini kerana, menonton TV itu sendiri mempunyai berbagai-bagai kategori. Menonton AF tidak sama hukumnya menonton Al-Kuliyyah. Menonton Malaysia Idol tidak sama hukum menonton Forum Perdana Ehwal Islam (walaupun hukumnya sudah hampir sama sebab ahli panel perempuan sudah bertabarruj) dan sebagainya.
Mengharamkan amalan bidaah yang dilihat oleh ulama sebagai bidaah di bawah kategori amalan khilafiyyah juga bukan dari amalan Salafi, tetapi ianya adalah amalan Mutasallif.
Ini kerana, sikap sebegini seakan-akan telah menafikan kaedah Fiqh yang menyatakan:أن الإجتهاد لا ينقض بالإجتهاد
Maksudnya: Sesungguhnya sesuatu Ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan Ijtihad (yang lain) [6].
Imam As-Sayuti menyatakan di dalam kitabnya Al-Asybah Wa an-Nazair bahawa sepertimana yang dinukilkan oleh Ibnu As-Sibagh, kaedah ini telah diijmakkan oleh para sahabat. Sesungguhnya Abu Bakar (As-Siddiq) pernah berhukum dalam sesuatu masalah. Hukuman tersebut telah menyalahinya oleh Omar bin Al-Khattab [7].Salafi Adalah Marhalah Masa, Bukan Mazhab Islam
Kelahiran kalimah salafi bukanlah satu perkara yang pelik. Ini kerana kalimah tersebut merujuk kepada istinbat dari sabda Rasulullah SAW:خير الناس قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم يأتي قوم تسبق أيمانهم شهادتهم وشهادتهم أيمانهم
Maksudnya: Sebaik-baik manusia adalah pada zamanku. Kemudian orang-orang berikutnya, kemudian orang-orang berikutnya, kemudian orang-orang berikutnya, kemudian datang satu kaum yang didahului sumpah mereka daripada penyaksian mereka, penyaksian mereka adalah sumpah mereka [8].
Hadith ini menerangkan kelebihan golongan yang terdahulu. Kelebihan mereka adalah kerana mereka mempunyai kehampiran masa dengan Baginda SAW.
Ekoran mereka merupakan golongan yang terawal, mereka memahami maksud Nabi SAW dengan sebenar-benar pemahaman, tanpa perlunya mewujudkan kaedah pemahaman atau turuq al-Istinbat dari al-Quran dan al-Hadith.
Setelah kewafatan Nabi SAW, perkembangan Islam telah berjaya memaut hati manusia yang menganut pelbagai agama. Maka Islam sudah dianuti oleh bekas-bekas penganut agama seperti Nasrani, Yahudi, Hindu dan sebagainya.
Dengan perkembangan baik ini, golongan-golongan baru dengan Islam mula membandingkan agama ini dengan agama-agama anutan mereka terdahulu sehinggakan lahirlah perdebatan di kalangan mereka yang sebahagian besarnya melibatkan sahabat-sahabat baginda SAW sendiri.
Tidak dinafikan juga, ada sebahagian dari penganut-penganut baru Islam ini, walaupun sudah memeluk Islam, tetapi mereka masih cenderung kepada ajaran-ajaran lama mereka. Sehinggakan ajaran yang mereka cenderungkan itu dilabelkan sebagai Islam juga [9].
Ekoran dari keadaan sebegini, menyebabkan lahirnya kaedah-kaedah pemahaman atau turuq al-istinbat yang betul bagi memahami kehendak nas dengan sebenar. Maka dengan demikian, lahirlah mazhab-mazhab di dalam Islam untuk memahami maksud sebenar yang dikehendaki oleh nas-nas syarak.
Memahami dari ulasan ini, Salafi bukanlah satu mazhab Islam, tetapi Salafi adalah satu marhalah masa yang mana di sana terdapat mazhab-mazhab Islam yang telah menyediakan turuq al-Istinbat bagi menjadikannya sebagai alat untuk generasi akan datang dalam memahami nas-nas syariat.
Dengan demikian, mendakwa diri ini sebagai "Salafi" adalah salah, tetapi ungkapan yang paling tepat adalah ittiba’ salaf.
Mendakwa diri ini sebagai bermazhab Salafi adalah satu kemungkaran dan jenayah di dalam syariat Islam yang dikategorikan oleh Dr Said Ramadhan Al-Buti sebagai BIDAAH yang tidak diredhai oleh Allah [10].Penutup
Ulasan ringkas ini bukanlah untuk meremeh-remehkan dakwaan dari pihak tertentu, tetapi ulasan ini sekadar untuk memberi gambaran sebenar di sebalik dakwaan tersebut.
Tulisan ini juga, bukan membela tulisan Ustaz Zamihan dan meremehkan golongan yang menyanggahinya, ataupun sebaliknya, tetapi tulisan ini adalah untuk mencari titik pertemuan di sebalik perselisihan antara kedua-dua kelompok.
Mudah-mudahan kita tidak berada di bawah kategori manusia yang dikatakan sebagai "Syok sendiri" dengan dakwaan kita.
Yang paling utama di sisi kita adalah: Marilah kita melawan penjajah yang telah menjajah sistem kehidupan, pemikiran dan ilmu kita!
---NOTA KAKI
[1] Utusan Malaysia, Isnin 12 Febuari 2007 , MEGA. m/s 21.
[2] Ilmu Mustolah Hadth (Qurrotu; Aien Bt Fatah Yasin) : m/s 189.
[3] Hidayah An-Nahw : m/s 43 & At-Taqrir wa At-Tahbir : 6/291 & Syarh Ibnu ‘Aqil : 1/55 & Lubab Al-Adab : 1/52.
[4] ‘Usmah An-Nabi : m/s 97.
[5] Hasyiyah Al-Bujairimi : 1/97.
[6] Majmuk Al-Fatawa (Imam Ibnu Thaimiyyah) : 12/22 & Al-Asybah Wa An-Nazair : 1/101.
[7] Al-Asybah Wa An-Nazair : 1/101
[8] Musnad Al-harith (zawaid Al-Haithami) : 2/940 : hadis no : 1036.
[9] As-Salafiyyah marhalah zamaniyyah mubarakah la mazhab islami : m/s 32.
[10] As-Salafiyyah Marhalah Zamaniyyah Mubarakah la Mazhab Islami : m/s 276.
---
Artikel ini ditulis oleh al-Bakistani. Diletakkan di sini dengan terdapat sedikit pengubahsuaian format dan ejaan pada artikel asalnya.
Ini adalah sekadar petikan daripada ucapan dasar yang disampaikan oleh Mohd Dzul Khairi Mohd Noor, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), pada sidang muktamar kali ke-18 yang diadakan pada 25-26 Julai 2008.
---
Era tahun 90-an menyaksikan zaman kejatuhan gerakan mahasiswa Islam sesudah ia mencapai zaman kegemilangannya pada tahun 80-an. Entah di mana silapnya, gerakan mahasiswa Islam hari ini seperti kehilangan arah. Tiada pemikiran terbuka, tidak kritikal, tahap keupayaan intelektual yang rendah, sangat dogmatik dan cenderung untuk menolak idea-idea lain yang dilihat bertentangan dengan pandangannya atau pandangan bapak-bapaknya yang terdahulu.
Adakah kerana kemalasan untuk membaca dan menelaah bahan-bahan bacaan baru masakini, menyebabkan pengartikulasian hujah juga lemah dan tidak meyakinkan serta mudah pula dibidas. Ini menyebabkan isu-isu yang cuba dibawa oleh mahasiswa Islam tidak berupaya untuk mempengaruhi mahasiswa-mahasiswa yang lain. Kelemahan di dalam pengartikulasian isu adalah kesan dari kurang membaca dan kurang diskusi dan justeru itu analisa yang dihasilkan oleh mahasiswa Islam tentulah cetek dan tidak mendalam (sharp).
Bahkan, kebanyakan mahasiswa Islam lebih cenderung mengangkat isu-isu moral dan isu-isu 'kulit' seperti isu konsert, isu percampuran lelaki perempuan, isu aurat, isu tubuh perempuan, isu tudung, isu muzik, isu gaya hidup dan yang lainnya sebagai isu utama. Sedangkan isu-isu 'isi' yang lebih mustahak seperti isu keadilan, isu kebajikan mahasiswa, isu rakyat, isu demokrasi, isu pendidikan, isu hak asasi dan isu-isu yang melibatkan semua mahasiswa dari pelbagai kaum, agama dan budaya sering gagal diartikulasikan dengan baik oleh mahasiswa Islam.
Teman-teman seperjuanganku dunia akhirat,
Realitinya, gerakan mahasiswa Islam hari ini gagal untuk pergi lebih jauh dari perjuangan 'politik simbol' dan yang bersifat 'kulit' ini berbanding falsafah atau isi Islam itu sendiri di dalam kerangka perjuangannya. Kerana itu perjuangan persatuan-persatuan mahasiswa Islam (PMI) cenderung menjadi 'eksklusif' dan hanya merangkumi mahasiswa Melayu-Islam sahaja sedangkan realiti di dalam kampus universiti (dan juga negara Malaysia) terdapat pelbagai kelompok lain seperti Cina, India, Iban, Kadazan, Serani, Orang Asli dan sebagainya yang juga merupakan kelompok yang harus dirangkumkan di dalam gagasan perjuangan PMI yang lebih bersifat 'inklusif'.
Kita harus ingat selalu, orang Islam di negara ini hanya 54% daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia! Kegagalan untuk aktivis mahasiswa Islam mengemukakan pemikiran dan gagasan-gagasan perjuangan yang sesuai dengan konteks masyarakat Malaysia yang plural, kelemahan mengartikulasi isu-isu isi dengan baik dan kecenderungan untuk membawa isu-isu moral dan kulit serta obsesi berlebih-lebihan terhadap ritual dan simbol agama adalah antara faktor-faktor kenapa kelompok mahasiswa gerakan Islam ini semakin terpinggir dan menjauh dari masyarakat mahasiswa yang lain.
Kejatuhan kelompok mahasiswa Islam ini tidak akan berhenti, malah semakin lama ia akan semakin jatuh dan tidak akan naik-naik lagi kecuali beberapa perubahan radikal berlaku di tahap pemikiran dan gagasannya.
Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama




