Pro Tajdid mengumpulkan tulisan terpilih tentang fenomena tajdid yang melanda dunia Islam.
Apa itu tajdid? Tajdid bagaimana yang kita mahu? Selongkari arkib blog ini untuk jawapannya!

Dengan melanggan blog ini secara e-mel atau RSS, anda akan diberitahu secara automatik apabila ada entri baru di sini.
Anda mempunyai bahan-bahan menarik berkaitan isu tajdid yang mahu dikongsi di sini? Hubungi protajdid [at] gmail [dot] com.

Oleh Raja Ahmad Mukhlis.


Keinginan umat Islam kini untuk kembali kepada Islam merupakan suatu khabar gembira buat kita. Ia sesuatu yang jelas berlaku di setiap tempat walaupun kebanyakan daripada mereka mendapat tentangan yang hebat.

Kebangkitan Islam dapat dilihat dari pelbagai sudut, terutamanya dalam sudut pengurusan negara Islam, harta, penubuhan syarikat-syarikat Islam, pertubuhan-pertubuhan Islam, penerbitan buku-buku yang membincangkan tentang pengharaman sistem riba dan sebagainya, di kebanyakkan tempat (terutamanya di negara-negara Islam).

Suatu khabar gembira yang lebih bernilai ialah, kebangkitan Islam dari sudut ilmiah; iaitu perbincangan mengenai "Seruan untuk kembali kepada sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam". Begitu banyak sekali buku-buku yang diterbitkan mengenai hadith-hadith Rasulullah yang terkenal mahu pun yang tidak terkenal. Kebanyakan daripada buku-buku tersebut, tidak disyarah dan diperjelaskan oleh para ulama fiqh, secara terperinci mengenainya.

Oleh yang demikian hal ini menyebabkan sebahagian pembaca yang tidak mempunyai bekalan ilmu fiqh yang mantap, atau pun yang tidak belajar dari mana-mana ulama terlebih dahulu, akan terkeliru dan seterusnya pemahamannya akan bercanggah dengan maksud sebenar hadith-hadith yang dibacanya itu.

Kemungkinan besar juga si pembaca tersebut akan terdorong untuk mengamalkan seluruh hadith-hadith yang dinilai sebagai sahih oleh segolongan ahli hadith (tanpa menilai adakah ia digunakan atau pun tidak oleh para ulama).

Kemungkinan juga si pembaca yang cetek ilmu tersebut akan berkata kepada dirinya: "Kami beramal dengan hadith ini untuk satu ketika, dan satu ketika yang lain, ditinggalkan hadith ini (tidak beramal dengan hadith tersebut)". Si pembaca yang kurang ilmunya itu tidak bertanya terlebih dahulu kepada ulama-ulama yang khusus dalam bidang syariah yang masih hidup, mahu pun membaca ulasan-ulasan pada buku-buku karangan para ulama muktabar yang telah tiada, mengenai hadith-hadith yang dibacanya seperti Fathul Bari karangan Imam Ibn Hajar al-Asqalani, Syar Sahih Muslim oleh Imam an-Nawawi dan sebagainya.

Dia juga tidak mempelajari tentang ilmu al-Arjah (hadith-hadith yang paling kuat untuk digunakan dalam berhujah pada masalah syariat), tidak mengetahui yang mana hadith yang diriwayatkan terlebih dahulu dan yang mana yang diriwayatkan kemudian, yang mana hadith yang khusus dan yang mana hadith yang diriwayatkan khas untuk keadaaan tertentu; yang mana ilmu-ilmu tersebut amat penting dalam memahami dan mengkaji maksud sebenar sesuatu hadith.

Ada kalanya para pembaca buku-buku hadith yang masih kurang ilmunya, apabila telah jelas sesuatu hadith, dia menyangka bahawa Rasulullah kadang-kadang terlupa apa yang pernah Baginda sabdakan, kemudian menukar perkataan Baginda yang berlainan dengan kata-kata Baginda sebelum itu; walaupun pada hakikatnya Baginda seorang yang ma'shum (tidak berdosa dan melakukan kesalahan). Allah juga pernah berfirman: "Kami akan bacakan (beri wahyu) kepadamu (Hai Muhammad), maka janganlah Kamu melupainya".

Maka para penuntut ilmu yang ingin mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah melalui hadith-hadith Baginda yang diriwayatkan oleh para ulama hadith dalam kitab-kitabnya, perlu juga merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang dikarang oleh ulama-ulama fiqh. Ini kerana di dalamnya terdapat adunan-adunan daripada hadith-hadith Rasulullah dalam bentuk praktikal yang dikenali sebagai ilmu fiqh.

Seperti yang dapat dilihat dari kaca mata sejarah, sebahagian ulama-ulama hadith yang agung di zaman salaf, amat menghormati dan memuliakan para ulama fiqh yang turut mahir dalam bidang hadith; yang Allah pelihara mereka daripada bercanggah dengan hadith Nabi. Bahkan, mereka turut mempelajari makna-makna hadith yang mereka riwayatkan daripada ulama-ulama fiqh yang muktabar.

Abdullah bin Mubarak (seorang ulama hadith dari Khurasan) pernah berkata:

Jika Allah tidak membantu saya dengan perantaraan Abu Hanifah dan Sufian (dua ulama' fiqh), nescaya aku sama sahaja seperti orang awam (yang tidak memahami hadith-hadith Nabi (sallallahu 'alaihi wasallam). [1]

Sufian bin 'Uyainah pula pernah berkata:
Orang yang pertama membantu saya dalam memahami hadith dan menjadikan saya seorang ahli hadith ialah Imam Abu Hanifah (seorang ulama' fiqh). [2]

Abdullah bin Wahab (seorang ahli hadith juga sahabat Imam Malik) pernah berkata:
Saya telah berjumpa dengan 360 orang ulama; (bagi saya) tanpa Imam Malik dan Imam Laith (ulama-ulama fiqh), nescaya saya akan sesat dalam ilmu. [3]

Beliau juga diriwayatkan pernah berkata:
Kami mengikuti empat orang ini dalam ilmu, dua di Mesir dan dua orang lagi di Madinah. Imam al-Laith bin Sa'ad dan Amr bin al-Harith di Mesir, dan dua orang lagi di Madinah ialah Imam Malik dan al-Majishun. Jika tidak kerana mereka, nescaya kami akan sesat.

Imam al-Kauthari berkata di dalam kitab al-Intiqa' karangan Ibn Abdil Bar, telah berkata Abdullah bin Wahab (dari sanad Ibn 'Asakir):
Jika tiada Imam Malik bin Anas dan Imam al-Laith Sa'ad, nescaya saya akan binasa. Dahulu saya menyangka setiap yang datang dari Rasulullah (iaitu as-sunnah dan al-hadith), perlu diamalkan.

Maksud kesesatan dalam perkataan beliau ialah: percanggahan dengan maksud hadith Nabi. Kemudian Imam al-Kauthari mengulas:
Kesesatan yang dimaksudkan seperti mana berlaku pada kebanyakan manusia yang jauh dari ilmu fiqh dan tidak dapat membezakan tentang hadith yang diamalkan dan selainnya. [4]

al-Qodhi 'Iyadh pula meriwayatkan bahawa Ibn Wahab juga pernah berkata:
"Andai Allah tidak menyelamatkan saya dari kesesatan melalui Imam Malik dan al-Laith, nescaya saya akan sesat."

Beliau ditanya: "Mengapa begitu?"

Beliau menjawab: "Saya telah menghafal banyak hadith-hadith Nabi, sehingga timbul pelbagai persoalan. Kemudian saya pergi ke Imam Malik dan al-Laith untuk bertanya mengenainya. Maka mereka berkata kepada saya: Hadith ini kamu amalkan dan ambil ia sebagai hujah dan hadith yang ini pula kamu tinggalkan (tidak perlu menggunakannya)". [5]

Sufian bin 'Uyainah pernah berkata:
Hadith itu menyesatkan kecuali kepada al-Fuqoha' (ulama Fiqh). Kadang-kala suatu hadith itu tidak boleh dipegang secara zahir sahaja, malah ada ta'wilannya. Kadang-kala, sesuatu hadith itu pula ada maksud yang tersembunyi. Ada juga hadith yang perlu ditinggalkan dengan sebab-sebab tertentu, yang mana, semua itu hanya diketahui oleh orang yang mahir dan berilmu luas khususnya dalam fiqh (kefahaman). [6]

Ibn Rusyd pernah ditanya tentang kata-kata: "Hadith itu menyesatkan kecuali bagi ahli Fiqh". Beliau ditanya lagi: "Bukankah seorang ahli Fiqh itu juga perlu tahu mengenai hadith terlebih dahulu?"

Beliau menjawab:
Kata-kata itu bukanlah dari Rasulullah, ia merupakan kata-kata Ibn 'Uyainah dan ahli-ahli fiqh yang lain. Maksud kata-kata itu tepat, kerana kadang-kala sesuatu hadith itu diriwayatkan dalam sesuatu keadaaan yang khusus, tetapi maknanya umum, begitu juga sebaliknya. Ada juga hadith yang nasikh dan hadith yang mansukh (tidak digunakan lagi).

Kadang-kala pula ada hadith yang secara zahirnya seolah-olah menyerupakan Allah dengan makhluk (tasybih). Ada juga hadith yang maksudnya hanya diketahui oleh para ahli fiqh sahaja. Barang siapa yang hanya mengumpul hadith tetapi tidak memahaminya, maka dia tidak dapat membezakan di antara hadith-hadith yang membawa maksud umum dan khusus.

Oleh kerana itu ahli fiqh bukanlah orang yang sekadar mengetahui tentang hadith-hadith Nabi sahaja, bahkan memahaminya secara mendalam. Jika seseorang itu tidak mampu memahami secara mendalam dalam masalah hadith mahu pun fiqh, maka dia bukanlah seorang ahli fiqh (faqih), walaupun dia mengumpul banyak hadith-hadith Nabi.

Inilah sebenarnya maksud kata-kata Sufian bin 'Uyainah. [7]

Abdullah bin Mubarak pernah berkata mengenai fiqh Imam Abu Hanifah:
Jangan kamu katakan fiqh ini (mazhab Imam Abu Hanifah) merupakan pendapat beliau, tetapi katakanlah, ia (mazhab Abu Hanifah) merupakan tafsiran bagi hadith Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. [8]

Sebahagian orang hanya membaca matan-matan hadith Nabi sahaja, tanpa menghiraukan ulasan-ulasan para ahli fiqh yang bergiat secara khusus dalam mengkaji hadith-hadith tersebut. Mereka berfatwa dan mengemukakan hadith-hadith yang diragui kesahihannya di sisi imam-imam terdahulu yang alim, dalam masalah hukum dan percakapan mereka.

Kadang-kala mereka turut menolak ulasan-ulasan para ulama yang alim, mengenai kedudukan sesebuah hadith Nabi dan bersangka-buruk pula kepada mereka. Ada di kalangan mereka pula, yang melemparkan tohmahan ke atas para ulama muktabar tersebut serta pengikut-pengikut mereka dan mengatakan bahawa mereka (iaitu ulama-ulama terdahulu dan para pengikutnya) jahil tentang hadith Nabi. Alangkah buruknya tohmahan mereka itu!

Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata (seperti yang diriwayatkan oleh anaknya Soleh):
Seseorang yang ingin memberi fatwa perlulah terlebih dahulu memahami keseluruhan al-Qur'an, mengetahui sanad-sanad hadith Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan mengetahui sunnah-sunnah. [9]

Abdullah bin Ahmad bin Hanbal berkata:
Saya pernah bertanya kepada ayah saya (Ahmad bin Hanbal), tentang seorang pemuda yang memiliki banyak kitab-kitab mengenai hadith Nabi dan himpunan kata-kata para sahabat dan para tabi'in, tetapi tidak mengetahui tentang kedudukan sesuatu hadith tersebut sama ada sahih atau sebaliknya, adakah dia boleh beramal sesuka hatinya?

Atau pun adakah dia layak memilih hadith mana yang dia mahu gunakan, dan memberi fatwa atau beramal dengannya?

Imam Ahmad bin Hanbal menjawab: "Tidak! Sehinggalah dia bertanya kepada ulama mengenai hadith mana yang boleh digunakan. Kemudian barulah dia boleh beramal dengannya (hadith yang disahkan kesahihannya oleh ulama yang ditanya mengenainya)." [10]

Imam as-Syafi'e pernah menegaskan:
Seseorang tidak boleh memberi fatwa dalam agama Allah kecuali dia mengetahui keseluruhan al-Qur'an dan ilmu-ilmunya seperti nasikh dan mansukh, ayat muhkam dan mutasyabih, ta'wil dan tanzil, ayat makkiyah atau madaniyyah.

Dia juga perlu mengetahui tentang hadith-hadith Nabi berserta ilmu-ilmunya ('ulumul hadith) seperti nasikh dan mansukh, dan lain-lain.

Setelah itu dia juga perlu menguasai bahasa Arab, sya'ir-sya'ir Arab, dan sastera-sasteranya (kerana al-Qur'an dan hadith adalah di dalam bahasa Arab dan mengandungi elemen sastera).

Setelah itu dia juga perlu mengetahui perbezaan bahasa Arab di kalangan setiap ahli masyarakat Arab. Jika dia sudah menguasai keseluruhan perkara-perkara tersebut, barulah dia layak memberi fatwa mengenai halal dan haram. Jika tidak, dia tidak layak berfatwa. [11]

Khalaf bin Umar telah berkata:
Saya mendengar Malik bin Anas berkata: "Saya tidak pernah duduk untuk memberi fatwa sehinggalah saya bertanya terlebih dahulu kepada orang yang lebih alim dari saya tentang kelayakan saya untuk berfatwa.

Saya pernah bertanya terlebih dahulu kepada Rabi'ah dan Yahya bin Sa'id, sedangkan mereka menyuruh saya untuk berfatwa. Maka, saya menegaskan: "Wahai Aba Adullah, adakah tidak mengapa untuk saya berfatwa sedangkan kamu ada di sini?"

Beliau menjawab: "Saya tidak layak berfatwa. Tidak layak bagi seseorang itu, menganggap dirinya layak untuk sesuatu perkara, sehinggalah dia bertanya kepada seseorang yang lebih mengetahui darinya." [12]

Maka jelaslah dengan berdasarkan kepada kata-kata para ulama salaf yang dinukilkan oleh Sheikh Habib al-Kairanawi ini, ia mampu menolak pendapat sesetengah golongan yang mewajibkan setiap orang untuk melakukan ijtihad. Kemungkinan, mereka tersalah faham terhadap perkataan-perkataan sesetengah ulama dalam hasil karangan mereka, padahal kefahaman yang salah itu adalah amat bercanggah dengan kefahaman jumhur ulama.

Kemudian golongan tersebut memperjuangkan kefahaman yang salah ini, dan mengajak seluruh umat Islam mengikuti pendapat tersebut (walaupun pada hakikatnya ia amat bercanggah dengan kefahaman yang sebenar). Akhirnya terjadilah kekacauan dan pertelingkahan di kalangan umat Islam disebabkan oleh perjuangan terhadap fahaman yang salah ini (yang mewajibkan setiap orang berijtihad). Na'uzubillah min zalik.

Salah faham ini sebenarnya membawa kepada perpecahan di kalangan para penuntut ilmu dan akhirnya membawa kepada permusuhan dan saling menjauhi antara satu sama lain. Hal ini akan menyebabkan terputusnya tali persaudaraan yang Allah perintahkan ke atas kita untuk menjaganya dengan baik.

Kita perlu mempelajari ilmu dari ahlinya yang muktabar, bukan sekadar membaca buku-buku ilmiah tanpa dibimbing oleh seorang guru yang alim. Ini kerana barang siapa yang tiada guru yang membimbingnya dalam mendalami samudera ilmu Islam dalam kitab-kitab, maka syaitanlah yang akan menjadi pembimbingnya. Bahkan para ulama muktabar turut menyeru agar ilmu agama dipelajari oleh kaedah isnad, di mana kefahaman tentang Islam diambil dari para ulama yang jelas sanad ilmunya bersambung kepada Rasulullah.

Nas-nas di dalam al-Quran dan as-Sunnah bagaikan bahan mentah bagi syariat Islam. Ia perlulah diadun dengan acuan ilmu-ilmu Islam yang lain seperti ilmu asbabun nuzul, asbabul wurud, ilmu rijal, ulumul Quran, ulumul hadith, usul Fiqh dan sebagainya.

Sheikhuna as-Syarif, al-Habib Yusuf al-Hasani pernah menyebut bahawa:
Sesiapa yang tidak menguasai ilmu-ilmu tersebut, namun cuba mengamalkan hadith-hadith yang dibacanya tanpa bimbingan guru-guru yang alim, maka dia bagaikan mengambil daging mentah dari peti sejuk dan memakannya begitu sahaja. Bukankah ia memudaratkan diri sendiri?

Jika kita di kalangan orang awam (bukan ahli ilmu), maka bertanyalah kepada orang yang lebih alim dan janganlah berijtihad sendiri terhadap nas-nas. Allah telah berfirman:

فسئلوا أهل الذكر ان كنتم لا تعلمون

Maksudnya: Bertanyalah kepada yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui (akan sesuatu perkara).


Wallahu'alam.

Nota Kaki

[1] Kitab "Tibyiidh As-Shohafiyyah" m/s 16

[2] Kitab "Jawahir Al-Mudhiyah" jilid 1 m/s 31

[3] Ibn Hibban, muqoddimah Kitab "Al-Majruhin"

[4] Ktab "Al-Intiqa' fi Fadhail Al-A'immah Ath-Thalathah Al-Fuqoha'" m/s 27-28

[5] Kitab "Tartib Al-Madarik" jilid 2 m/s 427

[6] Imam ibn Abi Zaid Al-Qairawani, "Al-Jami'" m/s 118

[7] Abu 'Abbas Al-Wansyarishi "Al-Mi'yar Al-Mu'rab" jilid 12 m/s 314

[8] Kitab "Manaqib Al-Muaffaq Al-Makki" m/s 234

[9] Ibn Al-Qayyim Al-Jauziyyah, "I'lamul Muaqi'iin", jilid 2 m/s 252

[10] Al-Faqih Shiekh Habib Ahmad Al-Kairanawi m/s 5, dipetik dari "I'lamul Muaqi'iin"

[11] Ibid m/s 6 dipetik dari kitab "Al-Faqih wal Mutafaqqih" karangan Al-Khatib Al-Baghdadi.

[12] Ibid m/s 6, dipetik dari kitab "Tazyiin Al-Mamalik" karangan Imam As-Suyuti m/s 7-8


---
Nota dari Admin: Beberapa ejaan, format dan struktur ayat sebenar bagi artikel ini telah diubah bagi memudahkan lagi pembacaan. Namun ia tidaklah mempengaruhi maksudnya yang sebenar. Harap maklum.

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

 
Setiap tulisan yang ada di sini adalah digalakkan untuk disebarkan. Pro Tajdid direkabentuk oleh Tawel Sensei sambil melayan Radio IKIM.