Membaca artikel tulisan Ustaz Zamihan di dalam Utusan yang bertarikh 12 Februari lalu [1], pemikiran ini melayang mengingati kepada satu tulisan ilmiyyah berkenaan hadis "tuntutlah ilmu, walau ke negeri Cina", sebagai 'ulasan balik' dari kenyataan Mufti Perlis Muda di TV 1 bersama Johan Jaafar yang lalu.
Tulisan beliau kali ini juga tidak kurang menariknya, iaitu beliau membincangkan berkenaan "fahaman At-Tabdi’ yang telah mengancam Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah". Membaca tulisan tersebut, diri ini tidak berminat untuk mengulas, kerana memikirkan secara rasional, kebenaran sememangnya wujud di sebalik tulisan tersebut.
Walau bagaimanapun, melayari laman web Al-Ahkam dan melihat ruangan forum dalam membincangkan artikel Ustaz Zamihan tersebut, aku mula merasakan betapa dendamnya "geng-geng al-ahkam" kepada Ustaz Zamihan, sehinggakan ada satu tulisan di dalam forum tersebut menggunakan kalimah pekak badak untuk ditujukan kepada Ustaz Zamihan.
Mungkin aku adalah orang baru dalam dunia alam maya, tetapi dalam jangka masa yang terlalu singkat ini, aku dapat merasakan "geng-geng Al-Ahkam" merupakan antara pengikut kuat Mufti Perlis Muda. Ditambahi pula mereka mendakwa mereka adalah golongan "tajdid" yang sudah diketahui di peringkat universiti, tetapi tidak diketahui di peringkat nasional.
Alasan dakwah mereka adalah, mereka mendakwa mereka adalah golongan yang dikatakan sebagai Salafi, iaitu kelompok manusia yang mengikut golongan Salaf as-soleh. Aku mula terfikir, mengapa mudah mendakwa bahawa mereka adalah "mujaddid" sedangkan sesuatu gelaran itu tidak boleh diberikan kepada diri sendiri.
Imam as-Syafii yang dikenali kealimannya tidak pernah mendakwa dirinya sebagai al-Imam, tetapi disebabkan kealimannya yang telah dinilai oleh ulama-ulama mu’tabar, menyebabkan beliau digelar sebagai al-Imam.
Imam al-Bukhari telah mengarang kitabnya yang masyhur bernama Sahih al-Bukhari atau nama penuhnya al-Jami’ as-Sahih al-Musnad min Hadith Rasulillah SAW wa Sunanihi Wa Ayyamihi. Kitab tersebut diisytiharkan kesahihannya sehingga diiktiraf sebagai kitab kedua tersahih selepas Al-Quran. Kesahihan kitab tersebut, bukanlah dari dakwaan Imam al-Bukhari sendiri, tetapi telah diiktiraf oleh Imam yang hebat juga, iaitu Imam Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Mu’in dan beberapa ulama muktabar di zaman tersebut. Ini diakui oleh Abu Jaafar Al-‘Aqili [2].
Kalau seseorang itu dilihat sebagai alim, tetapi tidak pernah diisytihar kealimannya oleh orang alim juga, maka hakikatnya orang itu bukan orang alim. Kealiman seseorang itu perlu dinilai dan diisytihar oleh orang alim juga, maka barulah orang itu dikatakan sebagai orang alim.
Maka begitu jugalah "mujadid"; siapakah yang mengisytiharkan bahawa gerakan mereka ini sebagai gerakan "Tajdid"?
Orang-orang Arab terdahulu ada berkata:إنما يعرف ذا الفضل من الناس ذووه
Jangan Jadi Mutasallif
Mutasallif adalah kalimah yang dimasyhurkan oleh seorang ulama besar dari Negara Mesir yang bernama As-Syaikh Zaki Ibrahim didalam bukunya yang bertajuk ‘Usmah An-Nabi [4].
Mutasallif adalah "isim Fail" yang memberi maksud "orang yang berpura-pura salafi", seperti kalimah صائم yang mengandungi makna "orang yang puasa", tetapi متصوم mengandungi makna "orang yang berpura-pura puasa".
Rata-rata golongan yang mendakwa mereka sebagai Salafi, apabila dilihat kepada amalan dan penghujahan dalil, difahami bahawa mereka bukanlah Salafi, tetapi mereka adalah Mutasallif. Ini kerana jika diperhatikan dari sudut penghujahan dalil, banyak hujah-hujah mereka tidak berpijak kepada penghujahan yang tepat.
Mereka sekadar beristidlal dari beberapa nas dan dalil, tanpa mempunyai syarat-syarat mustanbit (orang yang layak mengeluarkan hukum).
Semasa belajar di Mesir, aku tinggal bersama rakan-rakan dari Indonesia yang mendakwa mereka sebagai Salafi. Setelah berkawan dengan mereka beberapa ketika, didapati mereka mudah mengeluarkan hukum dengan semata-mata membaca beberapa ayat al-Quran dan beberapa hadith, sedangkan mereka sendiri mempunyai kelemahan di dalam memahami Bahasa Arab dari sudut nahu dan sorofnya.
Pembidaahan secara membabi buta tanpa melihat kepada perkara yang dibidaahkan merupakan amalan Mutasallif, bukan Salafi.
Ini kerana di dalam pengajian Fiqh, mengetahui sesuatu yang hendak dihukumkan itu perlu diketahui terlebih dahulu sebelum dijatuhkan hukum.
Kaedah fiqh:الحكم على شيء فرع عن تصوره
Seorang Tuan Guru yang buta; tidak pernah menonton TV semenjak dilahirkan; ditanya berkenaan hukum menonton TV. Memandangkan sesuatu hukum yang dijatuhkan perlu mengetahui terlebih dahulu benda yang hendak dihukumkan, dia telah meminta dari mustafti (orang yang bertanya) agar mendatangkan TV kepadanya.
Ketika TV berada di depannya, dia meraba-raba TV tersebut, dan dia tidak boleh menjatuhkan hukuman.
Apabila dipasangkan TV tersebut, terbunyi bacaan Al-Quran, maka guru tersebut terus mengatakan bahawa hukum menonton TV adalah sunat.
Melihat kepada fatwa Tuan Guru Buta tersebut bahawa hukum menonton TV adalah sunat adalah hukum yang tidak berapa tepat. Ini kerana, menonton TV itu sendiri mempunyai berbagai-bagai kategori. Menonton AF tidak sama hukumnya menonton Al-Kuliyyah. Menonton Malaysia Idol tidak sama hukum menonton Forum Perdana Ehwal Islam (walaupun hukumnya sudah hampir sama sebab ahli panel perempuan sudah bertabarruj) dan sebagainya.
Mengharamkan amalan bidaah yang dilihat oleh ulama sebagai bidaah di bawah kategori amalan khilafiyyah juga bukan dari amalan Salafi, tetapi ianya adalah amalan Mutasallif.
Ini kerana, sikap sebegini seakan-akan telah menafikan kaedah Fiqh yang menyatakan:أن الإجتهاد لا ينقض بالإجتهاد
Maksudnya: Sesungguhnya sesuatu Ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan Ijtihad (yang lain) [6].
Imam As-Sayuti menyatakan di dalam kitabnya Al-Asybah Wa an-Nazair bahawa sepertimana yang dinukilkan oleh Ibnu As-Sibagh, kaedah ini telah diijmakkan oleh para sahabat. Sesungguhnya Abu Bakar (As-Siddiq) pernah berhukum dalam sesuatu masalah. Hukuman tersebut telah menyalahinya oleh Omar bin Al-Khattab [7].Salafi Adalah Marhalah Masa, Bukan Mazhab Islam
Kelahiran kalimah salafi bukanlah satu perkara yang pelik. Ini kerana kalimah tersebut merujuk kepada istinbat dari sabda Rasulullah SAW:خير الناس قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم يأتي قوم تسبق أيمانهم شهادتهم وشهادتهم أيمانهم
Maksudnya: Sebaik-baik manusia adalah pada zamanku. Kemudian orang-orang berikutnya, kemudian orang-orang berikutnya, kemudian orang-orang berikutnya, kemudian datang satu kaum yang didahului sumpah mereka daripada penyaksian mereka, penyaksian mereka adalah sumpah mereka [8].
Hadith ini menerangkan kelebihan golongan yang terdahulu. Kelebihan mereka adalah kerana mereka mempunyai kehampiran masa dengan Baginda SAW.
Ekoran mereka merupakan golongan yang terawal, mereka memahami maksud Nabi SAW dengan sebenar-benar pemahaman, tanpa perlunya mewujudkan kaedah pemahaman atau turuq al-Istinbat dari al-Quran dan al-Hadith.
Setelah kewafatan Nabi SAW, perkembangan Islam telah berjaya memaut hati manusia yang menganut pelbagai agama. Maka Islam sudah dianuti oleh bekas-bekas penganut agama seperti Nasrani, Yahudi, Hindu dan sebagainya.
Dengan perkembangan baik ini, golongan-golongan baru dengan Islam mula membandingkan agama ini dengan agama-agama anutan mereka terdahulu sehinggakan lahirlah perdebatan di kalangan mereka yang sebahagian besarnya melibatkan sahabat-sahabat baginda SAW sendiri.
Tidak dinafikan juga, ada sebahagian dari penganut-penganut baru Islam ini, walaupun sudah memeluk Islam, tetapi mereka masih cenderung kepada ajaran-ajaran lama mereka. Sehinggakan ajaran yang mereka cenderungkan itu dilabelkan sebagai Islam juga [9].
Ekoran dari keadaan sebegini, menyebabkan lahirnya kaedah-kaedah pemahaman atau turuq al-istinbat yang betul bagi memahami kehendak nas dengan sebenar. Maka dengan demikian, lahirlah mazhab-mazhab di dalam Islam untuk memahami maksud sebenar yang dikehendaki oleh nas-nas syarak.
Memahami dari ulasan ini, Salafi bukanlah satu mazhab Islam, tetapi Salafi adalah satu marhalah masa yang mana di sana terdapat mazhab-mazhab Islam yang telah menyediakan turuq al-Istinbat bagi menjadikannya sebagai alat untuk generasi akan datang dalam memahami nas-nas syariat.
Dengan demikian, mendakwa diri ini sebagai "Salafi" adalah salah, tetapi ungkapan yang paling tepat adalah ittiba’ salaf.
Mendakwa diri ini sebagai bermazhab Salafi adalah satu kemungkaran dan jenayah di dalam syariat Islam yang dikategorikan oleh Dr Said Ramadhan Al-Buti sebagai BIDAAH yang tidak diredhai oleh Allah [10].Penutup
Ulasan ringkas ini bukanlah untuk meremeh-remehkan dakwaan dari pihak tertentu, tetapi ulasan ini sekadar untuk memberi gambaran sebenar di sebalik dakwaan tersebut.
Tulisan ini juga, bukan membela tulisan Ustaz Zamihan dan meremehkan golongan yang menyanggahinya, ataupun sebaliknya, tetapi tulisan ini adalah untuk mencari titik pertemuan di sebalik perselisihan antara kedua-dua kelompok.
Mudah-mudahan kita tidak berada di bawah kategori manusia yang dikatakan sebagai "Syok sendiri" dengan dakwaan kita.
Yang paling utama di sisi kita adalah: Marilah kita melawan penjajah yang telah menjajah sistem kehidupan, pemikiran dan ilmu kita!
---NOTA KAKI
[1] Utusan Malaysia, Isnin 12 Febuari 2007 , MEGA. m/s 21.
[2] Ilmu Mustolah Hadth (Qurrotu; Aien Bt Fatah Yasin) : m/s 189.
[3] Hidayah An-Nahw : m/s 43 & At-Taqrir wa At-Tahbir : 6/291 & Syarh Ibnu ‘Aqil : 1/55 & Lubab Al-Adab : 1/52.
[4] ‘Usmah An-Nabi : m/s 97.
[5] Hasyiyah Al-Bujairimi : 1/97.
[6] Majmuk Al-Fatawa (Imam Ibnu Thaimiyyah) : 12/22 & Al-Asybah Wa An-Nazair : 1/101.
[7] Al-Asybah Wa An-Nazair : 1/101
[8] Musnad Al-harith (zawaid Al-Haithami) : 2/940 : hadis no : 1036.
[9] As-Salafiyyah marhalah zamaniyyah mubarakah la mazhab islami : m/s 32.
[10] As-Salafiyyah Marhalah Zamaniyyah Mubarakah la Mazhab Islami : m/s 276.
---
Artikel ini ditulis oleh al-Bakistani. Diletakkan di sini dengan terdapat sedikit pengubahsuaian format dan ejaan pada artikel asalnya.
Pengaruh Fiqh Shafi’i dalam Pemikiran Masyarakat Melayu di Malaysia
Dicatat oleh Tawel Sensei di 7:40 PGOleh Prof. Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady,
Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Prof. Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady adalah Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat (http://www.wadah.org.my) dan Mantan Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kertas ini dibincangkan dalam program seminar Taadib Islam anjuran ABIM dan PKPIM.
---
Abstrak
Ahli sejarah ada berpendapat bahawa kedatangan Islam ke Malaysia antara abad ke 13 M dan 14 M. Tetapi mengikut kesan-kesan sejarah yang ditemui di Pahang, Kedah dan matawang di Kelantan menunjukkan kedatangan Islam tarikhnya lebih awal dari itu. Jika mengambil pendapat majoriti sejarah yang menyatakan kedatangan Islam antara abad 13 M dan 14 M, ternyata pendakwah yang datang itu telah dipengaruhi oleh mazhab tertentu, kerana sejak dari abad ke 10 M, setelah perkembangan ijtihad terhenti maka Negara-negara Islam telah pun dipengaruhi oleh mazhab empat terutamanya dalam fiqh iaitu mazhab Maliki, Hanafi, Shafi'i dan Hanbali.Justeru, kemungkinan besar pendakwah yang datang ke Malaysia itu telah dipengaruhi oleh mazhab Shafi'i kerana mereka dikatakan datangnya dari Hadhramaut Yaman atau Gujerat, India yang terpengaruh dengan mazhab Shafi'i. Hasil dari pendakwah-pendakwah ini menjadikan Malaysia menerima Islam berasaskan mazhab Shafi'i dalam fiqhnya sama ada dalam ibadat, muamalat, munakahat dan jenayah yang dapat dikesan dalam kanun negeri-negeri Melayu dan teks-teks pengajian fiqhnya serta amalan masyarakat. Mazhab Shafi'i telah menerima gugatan dalam sejarah melalui 3 gelombang bermula dari kes perdebatan masalah jilatan anjing pada tahun 30-an, timbulnya masalah-masalah khilafiyyah yang menggugat parti Islam Setanah Melayu dalam tahun lima puluhan. Gelombang ketiga timbulnya perdebatan masalah khilafiyyah di masa kini. Ia ditimbulkan oleh kaum muda ketika itu, dan kemudiannya oleh sebahagian pelajar-pelajar keluaran Universiti Madinah, atau yang terpengaruh dengan pemikiran Wahabi, tetapi kesannya tidak mengubah pegangan masyarakat Melayu dari berpegang kepada mazhab Shafi'i di peringkat pemerintah dan peringkat awam.
Persoalan khilafiyyah ini timbul kembali pada masa kini seperti bacaan 'ussolli' dalam solat dan talqin jenazah dan sebagainya yang merupakan ulangan peristiwa yang berlaku sebelum ini yang secara umumnya tidak menjejaskan pegangan mazhab Shafi'i, terutamanya dalam solat, perkahwinan dan amalan-amalan sunat. Cuma ada kelonggaran dalam penerimaan pendapat mazhab lain dalam muamalat di masa kebelakangan ini kerana keperluan pasaran yang banyak mentarjihkan pendapat Hanafi dan kecenderungan sebahagian generasi muda mengikut tafsiran mazhab lain dalam beberapa amalan ibadat dan kerohanian, tetapi ia tidak mengubah pegangan rasmi pemerintah dan masyarakat terhadap mazhab Shafi'i secara umumnya.
Kedatangan Islam ke Malaysia
Penentuan tarikh kedatangan Islam ke Malaysia belum mendapat kata sepakat di kalangan ahli sejarah, cuma secara umumnya mereka menerima bahawa kedatangan Islam ke sebelah sini di antara abad ke 13M dan 14M.[2] Walau bagaimanapun, penemuan-penemuan baru pada batu-batu bersurat yang dijumpai di Pahang [3], Kedah [4] dan mata wang emas di Kelantan [5] ada menunjukkan bahawa kedatangan Islam ke Malaysia adalah tarikhnya lebih awal dari apa yang telah ditentukan sebelumnya.Pendakwah-pendakwah yang menyebarkan Islam di Malaysia itu adalah datangnya dari luar. Ahli sejarah tidak ada kata sepakat tentang dari mana asalnya pendakwah-pendakwah yang mula datang ke Malaysia. Dalam masalah ini ada dua pendapat yang diberikan; satu pendapat mengatakan pendakwah-pendakwah itu dari Negara Arab [6], pendapat ini diterima sebelum tahun 1885, ada pun selepas tahun 1885, timbul pula pendapat kedua yang mengatakan bahawa pendakwah-pendakwah itu datangnya dari India [7] dan bukannya dari Negara Arab.
Dalam kenyataan di atas, menampakkan perbezaan pandangan tentang asal datangnya pendakwah-pendakwah itu. Tapi, apa yang agak menarik dalam penyelesaian masalah ini ialah apa yang dijelaskan oleh Sayed Naquib al-Attas, di mana beliau memandang bahawa pendakwah-pendakwah itu sebenarnya datang dari satu tempat, iaitu Timur Tengah dan bukannya dari India, cuma mereka itu sebelum sampai ke Nusantara ini kemungkinan melalui India dan juga jalan-jalan lain.
Bagi memperkuatkan pendapat ini beliau mengemukakan alasannya iaitu antara lain kefahaman agama yang dibawa oleh pendakwah-pendakwah itu adalah bersifat Timur Tengah dan bukan India, lagi pula kandungan dan cara penghuraian akidah, pelbagai mazhab ilmu Tasawwuf, peribentuk tulisan jawi serta corak beberapa huruf-hurufnya, nama gelaran bagi hari-hari mingguan, cara melafazkan al-Qur'an dan beberapa perkara penting lainnya menyatakan ciri-ciri tegas bangsa Arab dan bukannya India sebagai pembawa dan penyebar asli agama Islam di kepulauan Melayu-Indonesia.[8]
Apa pun tarikh penentuan kedatangan Islam ke Malaysia pada abad ke 13 M atau 14 M, ternyata jelas dalam peringkat masa tersebut. Negara-negara Islam telah dipengaruhi oleh mazhab tertentu dari mazhab yang empat. Perkembangan ini sebenarnya berlaku sejak dari abad 4H/10M lagi di mana pada abad ini telah diterima bahawa pintu ijtihad telah tidak terbuka lagi dan setiap Muslim dikehendaki mengikut salah satu dari mazhab yang empat iaitu Maliki, Hanafi, Shafi'i dan Hanbali. Maka, dengan perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa pendakwah-pendakwah yang datang ke Malaysia itu telah dipengaruhi oleh mazhab tertentu di mana mereka itu berada.
Dilihat kepada catitan yang diberikan oleh ahli sejarah bahawa pendakwah-pendakwah yang datang itu adalah bermazhab Shafi'i; sama ada mereka itu datangnya dari Semenanjung Tanah Arab [9] atau yang datangnya dari India.[10] Oleh yang demikian, ini menunjukkan bahawa kawasan Hadhramaut di Semenanjung Tanah Arab, dan Gujerat di India pada waktu kedatangan Islam ke Malaysia adalah dipengaruhi oleh Mazhab Shafi'i.
Memandang kepada pendakwah-pendakwah itu menganuti mazhab Shafi'i, maka dalam mereka menyampaikan dakwahnya dalam bidang hukum adalah terikat dengan tafsiran mazhab yang mereka anuti, dan natijah dari itu maka masyarakat Malaysia yang menerima Islam dari mereka itu telah terpengaruh dengan mazhab Shafi'i sebagaimana pegangan pendakwah-pendakwah itu sendiri, dan mereka menjadi fanatik dengan mazhab itu sebab mereka tidak pernah didedah dengan tafsiran mazhab yang lain. Jelasnya, mereka mengenal Islam melalui tafsiran mazhab Shafi'i dalam fiqhnya.[11]
Pengaruh Mazhab Shafi'i
Mazhab Shafi'i adalah mengambil peranan utama dalam perkembangan pemikiran fiqh kepada masyarakat di Malaysia. Mazhab ini memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat dengan dikembangkan melalui dua saluran; pendidikan dan perundangan. Dalam pentafsiran fiqh, hanya mazhab Shafi'i disebarkan dan diperkenalkan.i) Pendidikan
Dalam pendidikan tradisional Islam di Malaysia, sama ada pendidikan pondok, masjid dan surau atau sekolah agama sesudah itu, didapati mata pelajaran fiqah adalah dianggap sangat penting dan diajar di institusi-institusi tersebut. Buku-buku teks yang digunakan keseluruhan kandunganya beraliran mazhab Shafi'i; sama ada buku-buku itu dari Bahasa Melayu Klasik dalam tulisan jawi atau buku-buku Bahasa Arab.
Buku-buku teks yang ditulis dalam bahasa Melayu Klasik Jawi yang digunakan adalah kebanyakannya dari tulisan ulama-ulama' Pattani dan Indonesia.[12]
Antara buku-buku teks itu ialah karangan Sheikh Dawud b. Sheikh Abdullah al-Fatani; Kitab Hidayat al-Muta'alim, Munat al-Musalli dan Kitab Furu' al-Masa'il; karangan Muhammad b. Ismail Dawud Fatani, Kitab al-Bahr al-Wafi wa al-Nahr al-Safi dan Matla' al Badrain; karangan Muhammad Arshad b. Abdullah al-Banjari, kitab Sabil al-Muhtadin Li Al-Tafaquh fi Amr al-Din dan karangan Sheikh Nur al-Din Muhammad Jailani b. 'Ali al-Raniri, kitab Sirat al-Mustaqim.
Selain itu, kitab-kitab fiqh dalam mazhab Shafi'i yang ditulis dalam bahasa Arab juga digunakan sebagai buku teks. Antaranya ialah karangan Abu Shuja', al-Ghayah; karangan Nawawi, Minhaj al-Talibin, karangan Zain al-Din al-Malibari Fath al-Mu'in, karangan Qalyubi wa 'Umairah, al-Mahalli; karangan Sayyid al-Bakri 'I'anat al-Talibin dan karangan Zakaria al-Ansari "Fath al-Wahab bi Sharh Minhaj al-Tullab".
Memandangkan kepada asas keilmuan yang diajar di pondok, di surau, di masjid dan sekolah-sekolah agama berasaskan kitab-kitab di atas, maka sudah cukup untuk melihat sejauh mana kesan dan mendalamnya pengaruh mazhab Shafi'i dalam masyarakat Malaysia di peringkat awam, atasan dan peringkat ulamanya. Apabila mereka hanya didedahkan kepada satu aliran pemikiran sahaja sudah sewajarnya timbul sikap fanatik kepada mazhab tersebut.
Sikap berpegang kepada mazhab Shafi'i berlaku adalah natijah dari proses penyampaian ilmu demikian. Sebahagian besar dari kitab-kitab di atas masih lagi digunakan sebagai buku teks dalam pengajian fiqh di Malaysia sehingga masa kini terutamanya di masjid-masjid, sekolah-sekolah pondok dan pengajian halaqah di peringkat masyarakat awam dan institusi kehakiman.
ii) Perundangan
Kesan Islam dan aliran mazhab Shafi'i ini bukan sahaja mempengaruhi masyarakat umum malah ia juga mempengaruhi sistem keadilan negara kerana sebelum kedatangan penjajah, undang-undang Islam diamalkan di negeri-negeri Melayu. Sejak dari abad kelima belas apabila undang-undang Melaka iaitu Kanun Melaka dan Kanun Laut Melaka digunapakai di negeri Melaka. Kanun ini digubal lebih kurang pada tahun 1444 mengikut kenyataan Richard Winstedt.[13] Demikian juga undang-undang Pahang iaitu Kanun Pahang yang digunapakai pada masa pemerintahan Abdul Ghafur di abad keenam belas. Kedua-dua undang-undang ini mengandungi pelbagai bidang perundangan, keluarga, jenayah, muamalat, antarabangsa, prosedur, keterangan dan sebagainya. Undnag-undang ini adalah beraliran Mazhab Shafi'i.[14]
Contoh Undang-undang Pahang:
"Bab peri hukuman apabila seseorang akil baligh membunuh seorang orang Islam disahajanya dibunuhya itu, laki-laki atau perempuan, kecil atau besar maka yang membunuh itu dibunuh. Bermula tiada harus Islam dibunuh oleh (membunuh) kafir. Bermula tiada harus merdeka dibunuh oleh membunuh hamba orang."[15]
"Peri hukuman segala orang yang murtad. Apabila seseorang Islam murtad disuruh taubat 3 kali, jika tiada ia mahu taubat dibunuhnya, hukumannya jangan dimandikan dan jangan ditanamkan pada kubur Islam."[16]
Pada masa penjajahan British, Undang-undang Islam diiktiraf sebagai undang-undang negeri berdasarkan kes Ramah lwn Laton. Dalam Enakmen Negeri Selangor 1952, iaitu Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 1952 terdapat peruntukan-peruntukan yang jelas tentang keterikatan undang-undang dengan Mazhab Shafi'i, terutamanya dalam bahagian kesalahan-kesalahan.[17] Selain itu, terdapat juga kes yang pernah diputuskan oleh mahkamah yang tidak membenarkan perkahwinan perempuan yang bermazhab Shafi'i dengan lelaki yang bermazhab Hanafi kecuali apabila si perempuan mengubah mazhabnya kepada Hanafi.[18]
Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, semua Enakmen pentadbiran agama Islam negeri-negeri menyatakan tentang terikatnya dengan mazhab Shafi'i dalam pengeluaran fatwa, dan tafsiran hukum serta amalannya kecuali jika dengan pendapat Mazhab Shafi'i itu membawa kepada keburukan masyarakat, maka mazhab empat yang lain dapat diterimapakai. Selepas undang-undang pentadbiran agama Islam dipinda dan diperlengkapkan untuk digunapakai di negeri-negeri, maka peruntukan yang mengikat dengan mazhab Shafi'i masih dikekalkan.[19] Kecuali Negeri Perlis yang tidak mengikut peruntukan ini kerana ia berpegang dengan sumber yang asas iaitu Qur'an dan Sunnah.[20]
Selain itu, mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri yang diselaraskan masih ada peruntukan mengikat Mazhab Shafi'i sebagai asas pengeluaran fatwa dan tafsiran hukum.[21]
Dengan adanya peruntukan ini, maka segala perkara yang berkaitan dengan hukum sama ada fatwa atau keputusan mahkamah mestilah merujuk kepada buku-buku yang bermazhab Shafi'i, sama ada buku-buku dalam bahasa Melayu atau Arab. Antara kitab-kitab Arab, kitab Minhaj al-Talibin, Mughni al-Muhtaj, Nihayat al-Muhtaj, 'Ianat al-Talibin dan lain-lain. Kitab-kitab Jawi pula seperti Sabil al-Muhtadin, furu'al-Masail, Ahkam Syariah Johor, Majallah Ahkam Johor, Kifayat al-Muhtadin, Matla' al-Badrain dan sebagainya.[22]
Selain itu, Enakmen-enakmen Negeri-negeri yang berkaitan dengan hukum-hukum seperti hukum kekeluargaan, pusaka, wasiat dan jenayah termasuk juga prosedur dan keterangan dalam bidang kekeluargaan, harta dan jenayah yang berasaskan Mazhab Shafi'i.
Gugatan kepada Aliran Mazhab Shafi'i
Gugatan yang berlaku ke atas Mazhab Shafi'i melalui 3 gelombang;Gelombang pertama berlaku pada tahun 20-an dan 30-an pada masa itu gerakan kaum muda cuba mengemukakan idea-idea baru yang berbeza dengan pegangan sedia ada dalam masyarakat Melayu yang berpegang kepada Mazhab Shafi'i. Perkara yang ditimbulkan oleh golongan kaum muda ini menyentuh tentang peranan akal dalam memahami hukum, persoalan-persoalan hukum ikhtilaf dan tentang bid'ah. Gelombang pertama berlakunya gugatan terhadap aliran mazhab Shafi'i ialah pada awal abad ke-20 di mana beberapa orang pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Arab Saudi, Mesir dan India telah terpengaruh dengan pemikiran gerakan Islah di sana.
Hijaz ketika itu dipengaruhi oleh pemikiran Muhammad Abdul Wahab yang mendokong idea Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah yang kedua-duanya beraliran Mazhab Hanbali dalam fiqh.[23] Manakala gerakan Islah di Mesir pula dipelopori oleh Muhd Abduh dan Rashid Rida yang beraliran Mazhab Hanafi.[24]
Gerakan Islah ini cuba menimbulkan kembali idea ijtihad untuk menyelesai keperluan hukum supaya kembali kepada sumber asal al-Qur'an dan Sunnah. Dengan seruan kepada ijtihad menolak taqlid yang diamalkan dalam masyarakat.[25]
Sungguhpun tokoh-tokoh ini menyeru kepada ijtihad, tetapi dalam amalan di negara-negara mereka bergerak masih tidak terkeluar dari metod fiqh yang mereka warisi di Hijaz ketika Muhammad Abdul Wahab menguasai Hijaz, Mazhab Hanbali diterimapakai di sana di peringkat pemerintah dan awam sehingga ke hari ini.[26] Demikian juga keadaan di Mesir yang telah dipengaruhi metod Hanafi dalam amalan fiqhnya. Abduh dilantik sebagai Mufti Mesir dari 1899-1905 sebagai sumber rujukan fatwa yang majoriti bermazhab Hanafi.[27] Ini bererti segala masalah yang timbul jika terdapat peruntukan dalam undang-undang yang digubal, maka itu yang akan diterimapakai. Jika tidak, mereka akan berijtihad untuk mendapat penyelesaian masalah baru melalui mazhab lain dan bukannya mereka mencairkan mazhab yang sedia ada.[28]
Aliran pemikiran Islah telah dapat mempengaruhi beberapa orang pelajar antaranya Sheikh Muhd Tahir bin Jalaluddin al-Azhari yang berkesempatan belajar di Mekah dan Qahirah yang terpengaruh dengan pemikiran Muhd Abduh dan Rashid Ridha.[29] Manakala pelajar-pelajar yang belajar di Mekah dan di India ada yang terpengaruh dengan ajaran Sheikh Waliyullah al-Dahlawi yang dibawa oleh Maulana Ubaidullah al-Sindhi seperti Haji Nik Abdullah, Haji Nik Mahmud Haji Wan Musa, Hj. Abdul Rahman Haji Nik Mahmud yang beraliran Islah.[30]
Pemikiran Islah ini juga dapat mempengaruhi golongan yang berpendidikan bukan agama, yang membaca bahan-bahan aliran demikian dari Majalah Islamic Review yang diterbitkan oleh Kamaluddin Khaja di Waking England [31] dan sumber-sumber lain.
Antara mereka yang terpengaruh dengan pemikirannya ialah Za'aba [32], Kamaluddin berasal dari India dan bermazhab Hanafi terpengaruh dengan gerakan yang lahir di Lahore.[33] Kemudian beliau berpindah ke England menjadikan pusat kegiatannya di sana.
Mereka yang terpengaruh dengan gerakan Islah di Saudi dan Mesir serta India telah menyebar idea mereka kemudiannya di Malaysia. Sheikh Tahir yang bergerak di kawasan utara Pantai Barat Malaysia telah dapat mempengaruhi Sayyid Sheikh Ahmad al-Hadi, Haji Abbas Mohd Taha dan Sheikh Mohd Salim al-Kalili [34], manakala aliran pemikiran Sheikh Waliyullah al-Dahlawi pula tersebar di Kelantan dan Terengganu yang dibawa oleh Nik Abdullah, Hj. Nik Mahmud dan Nik Abdul Rahman.[35]
Selain itu, di negeri Perlis pula terdapat kecenderungan menolak Mazhab Shafi'i dan taqlid seolah-olah dipengaruhi oleh pendapat Ibn Taimiyyah (m.1283), dan pihak berkuasa agama di Perlis merujuk kepada autoriti yang beraliran demikian seperti karya Syaukani Nail al-Awtar.[36] Kecenderungan tidak terikat kepada mazhab ini dapat dilihat dalam peruntukan Enakmen Pentadbiran Majlis Agama Negeri Perlis yang memperuntukkan bahawa Undang-undang Islam di Negeri Perlis berasaskan al-Qur'an dan Sunnah serta tidak mengikatnya dengan sebarang Mazhab Fiqh. Sebenarnya aliran ini adalah daripada pengaruh kitab-kitab yang ditulis oleh Hasan Bandung dari Indonesia yang dibawa oleh beberapa orang yang berpengaruh ketika itu di Perlis seperti Wan Ahmad Wan Daud, Hj. Ahmad b. Hj. Muhammad dan Sheikh Ahmad bin Mohd Hashim. Aliran ini timbul dalam lingkungan tahun 20-an (1924-1925) dan pada tahun 1959 dimasukkan dalam Undang-undang Pentadbiran Majlis Agama Negeri Perlis.[37]
Gelombang kedua berlaku antara tahun empat puluhan dan enam puluhan. Gelombang kedua ini adalah sebagai menyambung usaha yang berlaku sebelumnya. Penumpuan kebangkitan pada waktu ini lebih banyak menumpukan kepada persoalan-persoalan khilafiyyah yang lebih khusus sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat awam terutamanya dalam Parti Islam Setanah Melayu ketika itu yang merasa tertekan dengan keadaan yang berlaku. Timbulnya isu-isu khilafiyyah yang membawa perpecahan di kalangan masyarakat ini menyebabkan satu ijtima' diadakan untuk membuat satu keputusan dalam isu-isu yang dibangkitkan.
Akhirnya mereka sepakat memutuskan bahawa persetujuan dicapai terhadap pendirian ulama-ulama beraliran Mazhab Shafi'i dalam isu-isu yang dibangkitkan. Antara isu-isu yang dibangkitkan adalah seperti menyebut 'usolli' dalam solat, talqin kematian, tahlil arwah dan sebagainya. Ahmad Fuad selaku Yang dipertua PAS ketika itu terpaksa melakukan ijtima' khusus untuk mendapat kata sepakat dalam memilih masalah khilafiyyah untuk diamalkan di negara ini.[38]
Persoalan khilafiyat ini juga timbul perbincangannya di Kelantan dan Terengganu. Bagi membendung pemikiran aliran baru dalam isu-isu khilafiyat ini, maka Jawatankuasa Ulama' Majlis Ulama' Kelantan telah mengeluarkan sebuah buku yang bertajuk Kitab al-Qawl al-Mufid Li ifadat al-Mustafid, karangan Hj Muhammad bin Idris. Salah seorang anggota Jawatankuasa Ulama Majlis.
Gelombang ketiga pula berlaku dari tahun 70-an sehingga kini yang dipelopori oleh golongan muda yang terdedah kepada pengajian di Saudi dan di Indonesia. Gelombang yang berlaku ini seolah-olah sebagai menyambung pemikiran dan pendekatan golongan kaum muda sebelumnya. Mereka mempertikai beberapa amalan yang ada dalam masyarakat yang diambil daripada ulama'-ulama' beraliran Mazhab Shafi'i. Satu gerakan yang berpusat di Kuala Pilah ada membuat pengisytiharan yang dikeluarkan pada 22hb Julai 1966 dalam memorandum pertubuhannya berbunyi:
Ahli Sunnah tidak bertaqlid kepada sesuatu mazhab masyhur atau tidak masyhur, tetapi ia boleh melakukan ittiba' atau mengikut sesuatu pendapat Ulama setelah diketahui keterangannya dengan jelas daripada Qur'an dan Hadith sahih. Bahawa ahli Sunnah tidak bersandar kepada sebarang mazhab yang ada dalam negeri ini melainkan kembali kepada Allah dan Rasul-Nya, jadi salahlah orang yang memperkatakan isu Mazhab Shafi'i itu benar atau semua isi Mazhab Hanafi itu benar dan lain-lainnya.
Sebenarnya kita mesti akui bahawa tiap-tiap Mazhab itu ada salahnya dan imam-imam itu manusia seeprti kita yang juga berbuat kesalahan dengan sengaja atau tidak sengaja dan bukan seperti Nabi-Nabi yang ma'sum daripada kesalahan yang disengaja dan yang tidak disengaja dalam urusan hukum-hukum agama yang 'ubudiyyah dan keduniaan.[39]
Kenyataan di atas menunjukkan bahawa golongan ini tidak mengikat diri dengan mana-mana mazhab yang muktabar yang diiktiraf di dunia Islam dan mazhab Shafi'i di negara ini. Mereka beranggapan mereka mempunyai kelayakan yang cukup untuk berijtihad mutlak, seperti imam-imam yang muktabar, kerana ulama' itu adalah manuisa dan mereka juga manusia tidak ada bezanya.
Sedangkan bagi orang-orang yang mengkaji ilmu mengetahui bahawa ulama'-ulama' besar yang muktabar itu yang mengamal ijtihad adalah lengkap dari sudut ilmu asas syariah dan ilmu alatnya. Dibandingkan kita di masa kini, walaupun manusia, ilmu asas syariahnya amat terbatas dan begitu juga ilmu alatnya seperti bahasa Arab, jadi bagaimana ingin menjadi mujtahid mutlak?
Berijtihad tanpa asas ilmu yang lengkap dari sudut ilmu utama syariah dan ilmu pelengkap dalam Bahasa Arab serta tidak terikat dengan kaedah Usul al-Fiqh boleh membawa kepada penyelewengan dan kesesatan dari kebenaran. Hal ini dapat dilihat bibit-bibitnya pada masa kebelakangan ini dengan kemunculan kelompok liberal yang tidak mahu terikat dengan kaedah epistemologi Islam dan kaedah usulnya dalam memahami Qur'an dan Sunnah yang akhirnya membawa kepada kecelaruan tafsiran terhadap sumber-sumber dan ajaran-ajaran Islam.
Pendekatan Gerakan Da'wah Kaum Muda
Pendekatan kaum muda ini dalam menyampaikan seruan mereka tidak menghargai sumbangan ulama' beraliran Mazhab Shafi'i malah sumbangan mereka dari sudut ilmu dan pembangunan masyarakat diperkecilkan dan diperlekehkan. Mereka juga tidak menghargai adab dan budaya setempat dalam menyampaikan seruan mereka. Berdasarkan pemerhatian yang telah dibuat, golongan ini hakikatnya telah melanggar adab-adab berdakwah kerana kecenderungan mereka menggunakan bahasa-bahasa yang kasar dan menghina.Mereka juga tergamak mencabar autoriti-autoriti agama dan perundangan syariah yang diterimapakai dalam masyarakat dan negara yang berpegang kepada mazhab Shafi'i. Ini kerana mereka menganggap ulama' beraliran mazhab Shafi'i membawa ilmu yang menjadikan umat Islam tidak tepat memahami Islam dan tidak ada usaha ijtihad dalam ilmu yang mereka lakukan, tetapi hanya mengikut mazhab membabi buta sahaja atau disebut juga taqlid buta.
Konsep ijtihad yang dibawa oleh golongan kaum muda ini nampaknya telah tersasar kerana tidak mengenengahkan persoalan-persoalan besar untuk kepentingan umat sedangkan inilah yang sepatutnya dilakukan. Berkemungkinan hal ini disebabkan kekurangan persiapan dari sudut keilmuan dan kurangnya pengalaman membawa ijtihadnya kepada persoalan-persoalan khilafiyyah yang sememangnya tidak pernah dapat diselesaikan oleh ulama'-ulama' muktabar sejak dahulu kerana tabiat persoalan itu diterima untuk berbeza pendapat oleh ulama'-ulama' muktabar.
Asas Aliran Pemikiran Tidak Bermazhab
Golongan pembaharu ini dikenali dengan kaum muda. Mereka ini secara jelasnya adalah golongan yang dipengaruhi oleh gerakan Islah di Mesir, Arab Saudi atau India. Lantaran itu aliran pemikiran dan pergerakannya adalah sebahagian besarnya sama dari segi penekanannya dengan apa yang berlaku di Timur Tengah dan India, iaitu kembali kepada al-Qur'an dan al-Sunnah, mengamalkan ijtihad dan meninggalkan taqlid dalam menyelesaikan masalah hukum.[40]Dalam seruan mereka kepada masyarakat tentang idea Islah, didapati penekanan-penekanan tertentu yang ditimbulkan dalam masyarakat. Masalah kefahaman agama, masalah pendidikan, dan masalah kesedaran politik dan ekonomi orang Melayu.[41] Tapi penekanan banyak yang ditumpukan dalam seruan mereka ialah masalah kefahaman agama.[42] Seruan Islah ini disalurkan melalui majalah-majalah yang mereka terbitkan seperti Al-Imam (1906-1908), Al-Ikhwan (1926-1931), Saudara (1928-1941) dan majalah-majalah agama lain yang dikeluarkan pada waktu itu seperti Pengasuh dan seumpamanya. Selain itu, melalui penulisan-penulisan buku dan risalah-risalah dan melalui institusi-institusi pendidikan.
Masalah Kefahaman Agama
i) Peranan AkalDalam memahami agama golongan ini cuba menimbulkan peranan akal. Tulisan-tulisan yang mereka terbitkan menganjur supaya mengguna akal dan kebebasan berfikir sehinggakan mereka menganggap amalan agama yang tidak berasaskan kepada kefahaman akal adalah sia-sia belaka. Sayyid Sheikh al-Hadi ada menjelaskan:
"...oleh itu hendaklah tiap-tiap manusia menggunakan akal di dalam tiap-tiap amalan agama ini terlebih dahulu daripada yang lainnya kerana tiap-tiap amalan yang tidak diterima oleh akal itu sia-sia sahaja."[43]
Ekoran dari kebebasan untuk berfikir telah melahirkan kecenderungan menghapus taqlid dan mengamalkan ijtihad. Mengamalkan ijtihad dengan sendirinya menolak taqlid dan dengan itu membawa kepada tidak mengikat diri dengan mazhab tertentu, dan jelas dari tulisan Abu Bakar al-Ashari menyatakan bahawa Islam tidak semestinya terbatas dalam lingkungan empat mazhab kerana tidak ada di sana asas yang menentukannya.
Oleh yang demikian beliau menganjurkan supaya dibuat penilaian semula pandangan mazhab-mazhab dan membuat penilaian untuk memilih pendapat yang paling tepat dengan nas dan yang paling sesuai dengan kehendak massa. Beliau juga berpendapat bahawa perbezaan mazhab menimbulkan kekacauan dan perpecahan di kalangan umat Islam, menyulitkan perlaksanaan Islam sebagai satu undang-undang dan menimbulkan kekeliruan kepada orang-orang bukan Islam tentang hakikat Islam yang sebenarnya.[44]
ii) Masalah Hukum Furu'
Bertitik-tolak daripada galakan mengguna akal dan kebebasan berfikir, mereka menolak taqlid. Mereka juga berpandangan bahawa ada di antara ajaran-ajaran Islam yang diamalkan dalam masyarakat Islam dianggap telah diselubungi oleh bida'ah dan khurafat yang diciptakan yang mesti dihapuskan.
Mereka juga meneliti dan menilai perkara-perkara yang diamalkan dalam masyarakat berasaskan kepada nas al-Qur'an dan hadith Rasulullah SAW. Jika amalan-amalan itu tidak didapati sumbernya dari dua asas itu mereka anggap sebagai amalan bida'ah yang diciptakan.
Bida'ah yang dimaksudkan itu ialah apa yang disebutkan oleh Izzuddin Ibn Abdul Salam iaitu perbuatan yang tidak ada pada masa Rasulullah SAW. Bida'ah itu ada dua iaitu bida'ah lughawiyyah dan bida'ah shar'iyyah. Maka bida'ah shar'iyyah itu ialah dalam perkara akidah dan ibadat dan bida'ah dalam perkara shar'iyyah itu adalah hukumnya sesat sebagaimana maksud hadith Rasulullah SAW:
"Tiap-tiap perkara bida'ah adalah sesat, dan tiap-tiap perkara sesat akan membawa ke neraka."[45]
Berasaskan pemikiran demikian maka amalan-amalan berikut hukumnya bida'ah mengikut penilaian mereka:
1. Menentukan bilangan minima jamaah sembahyang Jumaat seramai 40 orang.[46]
2. Melakukan sembahyang Zuhur selepas sembahyang fardu Jumaat sebagai Ihtiyat.[47]
3. Azan pertama pada hari Jumaat.[48]
4. Ingatan muadhin dengan "Ya ma'shara al-Muslimin" sebelum khatib berkhutbah.[49]
5. Melafazkan 'usolli' sebelum takbirat al-Ihram.[50]
6. Mengucap perkataan 'Sayyidina' dalam selawat atas Nabi SAW.[51]
7. Berdiri ketika membaca marhaban atau selawat.[52]
8. Sembahyang sunat qabliyyah Jumaat.[53]
9. Membaca talkin ke atas mayat sesudah selesai ditanam.[54]
10. Tidur di dalam liang lahad oleh si alim sebelum mayat dikebumikan untuk mendapat berkat.[55]
11. Kenduri dan tahlil kematian.[56]
12. Menunggu di atas kubur kerana kematian.[57]
13. Kenduri mengingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.[58]
14. Membuat bubur ashura pada hari sepuluh bulan Muharram.[59]
15. Sembahyang tarawih 20 rakaat.[60]
16. Berdoa selepas sembahyang.[61]
17. Menggunakan bedok menandakan masuk waktu solat dan memanggil umat Islam untuk bersolat.[62]
18. Membaca qunut sembahyang subuh.[63]
19. Mengadakan fidyah sembahyang dan puasa.[64]
20. Sembahyang Tasbih.[65]
Selain itu terdapat juga beberapa amalan masyarakat yang diikuti mengikut tafsiran imam Shafi'i atau Shafi'iyyah yang dianggapnya tidak tepat dengan kehendak nas pada pandangan mereka. Kita tidak perlu terikat dengan amalan-amalan tafsiran itu seperti berikut:
1. Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan membatalkan wudhu'. Namun, bagi mereka tidak membatalkan wudhu.[66]
2. Ma'mum membaca Fatihah dalam solat untuk sah solatnya sekalipun dia berimam. Bagi mereka tidak perlu membaca.[67]
3. Membasuh siku harus dimulakan dari atas atau bawah. Bagi mereka membasuh siku mesti dimulai dari tangan.[68]
4. Membaca Fatihah dimulai dengan Bismillah, bagi mereka dimulai dengan al-Hamdulillah.[69]
5. Membina masjid dari wang kutipan zakat.[70] Mereka berpendapat ini adalah bertentangan dengan nas.
6. Menjual harta wakaf di suatu tempat untuk dipindahkan tempat lain.[71] Mereka berpandangan ini adalah bertentangan dengan nas.
7. Menyamak bekas jilatan anjing.[72] Bagi mereka tidak wajib disamak.
Mereka juga cuba berijtihad tentang masalah-masalah baru untuk menentukan hukumnya. Antaranya ialah faedah simpanan bank dan koperasi tidak dianggap riba.[73]
Konflik Kaum Muda dan Kaum Tua
Masalah yang ditimbulkan oleh golongan pembaharu ini dalam masalah agama sebagaimana yang dijelaskan di atas menimbulkan kegelisahan dan tidak disenangi di kalangan ulama'-ulama' yang berpegang dengan mazhab Shafi'i.Ekoran dari pendedahan tentang konsep ijtihad dan masalah-masalah khilafiyyat, menimbulkan ketegangan di antara golongan ini dengan para ulama'. Maka lahirlah perdebatan-perdebatan hangat secara terbuka di majlis-majlis umum,[74] dalam majalah-majalah, di dada akhbar, sehinga timbul tuduh menuduh di antara satu sama lain.[75] Kesan ketegangan ini dalam beberapa peringkat bukan sahaja dirasai oleh mereka yang terlibat malah oleh masyarakat awam yang turut terpengaruh dengan ajaran para ulama' itu.[76]
Dengan lahirnya fenomena baru ini dalam pemikiran agama khususnya dalam fiqh membuatkan perkembangan dan kestabilan pemikiran mazhab Shafi'i dalam sejarah perkembangannya di Malaysia tergugat. Tapi, ternyata jelas kekuatan dan keutuhannya dapat dipertahankan, kerana kealiman para ulamanya dalam bidang ilmu serta kesungguhan mereka dalam penyebaran ilmu melalui institusi-institusi pendidikan yang mereka asaskan dan juga melalui penulisan buku-buku yang bermutu yang dapat dijadikan panduan kepada para penuntut ilmu.
Lantaran kegigihan para ulama' itu bekerja didapati kesannya jelas dalam masyarakat dan kekal berterusan diamalkan mazhab Shafi'i sama ada di kalangan masyarakat awam serta pemerintah.
Manakala golongan pembaharu ini didapati kegiatannya terbatas dan penulisannya adalah lebih bersifat provokasi dan kurang sekali karya-karya yang mendalam dan bermutu jika dibandingkan dengan apa yang telah dihasilkan oleh ulama'-ulama' tradisional.
Walau bagaimanapun, idea-idea positif yang dibawa oleh kaum pembaharu ini tidak kita nafikan terutamanya dalam melahirkan kesedaran politik dan kefahaman Islam terhadap masalah-masalah yang perlu disedari untuk kepentingan umat Islam.
Sungguhpun pertelagahan itu berlaku dalam masalah furu' agama, tetapi dalam masalah besar tentang kepentingan umat Islam mereka bersatu kemudiannya, sehingga mereka menjadi satu "force" yang mencorakkan gerakan politik di negara ini untuk mengembalikan identiti Islam itu ke pangkuan masyarakatnya.
Kesan daripada perkembangan ini, maka didapati beberapa buah karya khilaf telah muncul dalam persuratan Melayu sebagai berikut:
1. Kitab Penebas Bida'ah Kepala Batas oleh Sheikh Tahir Jalaluddin
2. Ketetapan Muzakarah Ulama' Malaya 1953.
3. Masalah Jilatan Anjing dalam Empat Mazhab oleh Sheikh Taha.
4. Kitab al-Qawl al-Mufid li ifadat al-Mustafid oleh Hj Muhd bin Idris.
Sumbangan Ulama Tradisional kepada Ilmu dan Pembangunan Masyarakat
Sumbangan ulama tradisional dalam memartabatkan ajaran Islam dalam masyarakat adalah besar dan meliputi sumbangan kepada golongan pemerintah dan masyarakat umum. Sungguhpun ulama' tradisional mengambil Mazhab Shafi'i sebagai asas dalam tafsiran hukum dan fatwa bukanlah bermakna mereka tidak berijtihad, tetapi ijtihad mereka masih berada dalam kerangka mazhab dan menggunakan kaedah Usul al-fiqh.Barangkali ijtihad mereka yang sangat menyumbang kepada perkembangan perundangan negara pada peringkat awal ialah pengkanunan undang-undang Islam untuk keperluan pelaksanaan pemerintah dimulai dengan Kanun Melaka pada 1444, kemudian diikuti dengan negeri-negeri lain seperti Pahang, Kedah dan lain-lain. Demikian juga ijtihad mereka dalam memilih amalan-amalan kerohanian untuk mengukuh hubungan masyarakat dan sosial seperti zikir-zikir kematian dan talqin, upacara-upacara keagamaan seperti mengingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, tahun baru Islam, hari Asyura dan lain-lain.
Selain itu mereka mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi. Hal ini dapat dilihat dalam usaha mereka mengembangkan bahasa Melayu dengan huruf Arab dalam bidang penyampaian ilmu dan pentadbiran negara, di samping penekanan mereka terhadap bahasa Arab dalam penyebaran ilmu. Mereka juga amat menghormati budaya bangsa dalam berpakaian dan berda'wah . Mereka tidak membawa balik budaya Arab dalam berpakaian, tetapi melahirkan bentuk pakaian Islam yang bercorak budaya Melayu, seperti baju Melayu misalnya dan tidak membawa purdah untuk wanita. Mereka tidak menyekat wanita dari terlibat dalam kegiatan masyarakat sama ada untuk kepentingan duniawi seperti dalam ekonomi, pertanian dan perusahaan, begitu juga dalam sosial seperti gotong-royong dalam majlis kenduri, perayaan-perayaan keagamaan dan menyelesaikan keperluan masyarakat. Mereka juga tidak disekat daripada terlibat dalam kegiatan keilmuan dan kegiatan kerohanian seperti menghadiri majlis-majlis agama dan solat berjama'ah di masjid.
Mereka diberi kebebasan bergerak dalam masyarakat selama tidak terdedah kepada bahaya dan dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Tidak sebagaimana wanita dalam masyarakat Islam di negara-negara lain.
Sumbangan ulama' tradisional dalam pembentukan budaya dalam masyarakat juga tidak dapat dinafikan. Budaya dalam majlis perkahwinan umpamanya, aspek agama turut diterapkan dan juga budaya seperti hiburan selawat dan paluan rebana diperkenalkan, majlis persandingan diadakan sebagai satu bentuk pengisytiharan perkahwinan dan persediaan jamuan makan serta buah tangan untuk tetamu. Demikian juga dalam pertukangan, perubatan, perbomohan dan perbidanan, ilmu mempertahankan diri, budaya berkhatan anak serta majlis khatam al-Qur'an.
Dalam bidang keilmuan,mereka menulis kitab dalam pelbagai bidang ilmu seperti fiqh, akidah, akhlak, perubatan, pertukangan, perusahaan dan lain-lain. Penulisan mereka juga mansasarkan pelbagai peringkat sama ada untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa. Hasil penulisan mereka dalam bidang agama adalah lebih menonjol sama ada mereka menghasilkan karya asli atau menterjemahkan buku-buku rujukan muktabar yang diterbitkan di Timur Tengah.
Karya-karya penting seperti Tafsir Baidawi, Ihya' Ulum al-Din yang diberi judul Siyar al-Salikin, Bidayah al-Hidayah dengan tajuk Hidayah al-Salikin karya Abdul Samad al-Falanbangi, demikian juga kitab-kitab lain seperti Matlaat Badrain, furu' al-Masail oleh Sheikh Dawud dan lain-lain. Manakala karya dalam bahasa Arab pula didapati Tafsir al-Qur'an dan Maraqiy al-Ubudiyyah ulasan Bidayat al-Hidayah karya Sheikh al-Nawawi al-Jawi.
Dalam perundangan, mereka turut memberi sumbangan dalam bentuk susunan Kanun untuk pentadbiran keadilan pemerintah yang berbeza dengan penulisan buku-buku fiqh. Ulama' tradisional mengambil mazhab Shafi'i sebagai asas tafsiran hukum untuk kegunaan pemerintah dan masyarakat awam. Melalui pendekatan ini, memudahkan masyarakat memahami Islam dan memudahkan pemerintah melaksanakan Islam di peringkat negara. Dalam amalan keagamaan juga dari sudut fiqh umumnya berasaskan mazhab Shafi'i dan dalam kerohanian dan tasawwuf diambil pemikiran al-Ghazali dan al-Nawawi.
Hasil daripada usaha ulama tradisional yang menggunakan pendekatan dakwah mendampingi pemerintah dan rakyat telah memberi kesan yang sangat besar terhadap Islam dan pembangunan umat. Islam dapat bertapak dalam pemerintahan, bahasa Melayu dan budaya Melayu dapat menjadi alat pemersatu. Begitu juga tafsiran Islam yang seragam dalam bidang hukum di peringkat pemerintah dan rakyat dapat mengukuhkan perpaduan umat dan memudahkan pemerintah melaksanakannya. Umat Melayu bersatu menjadi umat yang kuat, menjadi tonggak kepada kedaulatan negara dan Islam dijadikan agama negara serta turut menjadi salah satu daripada ciri-ciri orang Melayu.
Pendekatan penyebaran ilmu yang diasaskan oleh ulama' tradisional diwarisi oleh ulama'-ulama' kemudian yang terdidik di Al-Azhar dan Mekah dengan meneruskan pegangan amalan hidup keagamaan kepada mazhab Shafi'i dan menggunakan ijtihad dalam perkara-perkara yang diperlukan oleh masyarakat berasaskan kerangka mazhab mu'tabar dan kaedah usul al-fiqh.
Justeru yang diambil perhatian dalam perkara-perkara baru yang memerlukan ijtihad. Sesuatu yang telah sebati dalam kehidupan masyarakat berasaskan mazhab Shafi'i dalam ibadat dan keluarga tidak perlu kepada ijtihad baru, kecuali jika ada keperluan seperti ijtihad tentang harta sepencarian dan bayaran zakat dengan mata wang. Bidang-bidang lain yang memerlukan ijtihad maka ia diteruskan dengan mengambil kira pandangan mazhab Shafi'i. Sekiranya pendapat mazhab Shafi'i tidak sesuai maka mazhab lain diterimapakai.
Hal ini banyak terjadi dalam muamalat yang mengambil beberapa jenis akad dari mazhab selain Shafi'i seperti al-Istisna' menurut pandangan Hanafi dan al-Tawarruq dari pandangan Hanbali. Begitu juga dalam proses mengkanunkan undang-undang syariah dalam Enakmen. Pendekatan ini membawa kepada perubahan pemikiran masyarakat dalam bidang hukum berlaku secara evolusi, teratur dan licin, serta tidak menggugat struktur besar pembinaan hukum dalam masyarakat. Dengan demikian ia dapat memenuhi keperluan "mengekalkan yang lama yang bermanfaat dan membawa yang baru yang lebih baik."
Kesimpulan
Gerakan aliran tidak bermazhab (اﻟﻼﻤﺬﻫﺑﯿﺔ) telah bertapak di Malaysia hampir satu abad. Dalam jangka masa yang begitu lama, tidak nampak satu sumbangan yang besar dari sudut keilmuan dan pembangunan masyarakat dibandingkan dengan sumbangan yang diberikan oleh ulama' yang beraliran mazhab. Apa yang dapat dilihat, aliran tidak bermazhab ini nampaknya belum dapat diterima dalam arus perdana masyarakat Malaysia sama ada di peringkat pemerintah dan rakyat. Hal ini berkemungkinan disebabkan tidak adanya hasil karya ilmu yang berwibawa dan muktabar mahupun ulama' muktabar mengikuti aliran ini kecuali yang serpihan seperti al-Albani.Aliran ini juga tidak berlaku dalam pengalaman negara Islam selepas penerimaan mazhab tertentu dalam amalan masyarakat. Kenyataan yang jelas dapat dilihat di Arab Saudi masih bermazhab Hanbali, Turki, Mesir dan Pakistan bermazhab Hanafi, negeri-negeri Afrika seperti Libya, Tunisia dan Moroko adalah bermazhab Maliki. Aliran tidak bermazhab ini sebenarnya tidak mempunyai asas autoriti yang kuat dari sudut keilmuan dan tidak cukup wibawa ulamanya, dibanding dengan ulama' beraliran mazhab dan karya mereka.
Dalam perkembangan semasa, dengan berpegang kepada mazhab tertentu dalam tafsiran hukum dan amalan seperti yang diamalkan di Malaysia, hakikatnya tidaklah menghalang kemajuan masyarakat. Berpegang dengan satu mazhab dalam perkara hukum yang berkaitan dengan ibadat dan kekeluargaan dapat mengukuhkan asas pembinaan masyarakat dan menguatkan perpaduan umat, manakala dalam bidang-bidang yang memerlukan ijtihad seperti muamalat dan sebagainya, kita memberi ruang dengan mengamalkan ijtihad supaya masyarakat hidup terarah kepada satu matlamat yang jelas.
Kita tidak mahu pengalaman kecelaruan pemikiran mazhab yang berlaku di Timur Tengah dan Indonesia seperti yang kita saksikan menjadi penyebab terjejasnya perpaduan dan kebahagiaan hidup masyarakat Islam, dibawa ke Malaysia untuk dijadikan panduan dalam membangun manusia. Ulama' tradisional kita dengan kekuatan ilmu dan komitmen dakwah telah dapat menyatukan umat Nusantara dengan mazhab Shafi'i, dari Filipina di Selatan sehingga ke Kemboja di Utara, janganlah pula kita mengecewakan usaha ulama' tradisional yang tinggi nilainya membangun ilmu dan umatnya dengan penuh padu ini dipertikaikan dan dipecah-pecahkan oleh aliran tanpa mazhab yang tidak berasaskan ilmu dan pengalaman ilmuan yang muktabar.
NOTA KAKI
[1] Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Hukum Islam Semasa V, "Menilai Realiti, Penghayatan dan Prospek Fiqh Syafie di Malaysia" anjuran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 22-23hb Ogos 2007.[2] Untuk mengetahui lebih lanjut tentang teori kedatangan Islam ke Malaysia, lihat Cesar Adib Majul, Muslims in the Philippines, Quezon City, Philippines, 1973; Sayed Naquib al-Attas, Preliminary statement on a general theory of the Islamization of the Malay, Indonesia Archipelago, Kuala Lumpur, 1969 dan S.Q Fatimi, Islam comes to Malaysia, Singappore, 1963.
[3] Batu nisan yang dijumpai di Pekan Pahang menunjukkan tarikh di atasnya 14 Rabi'al-Awal, tahun 419H.Lihat Mukhtar Shafie, "Batu Nisan kurun ke 5H/10M di Pekan Pahang dalam Tamadun Islam di Malaysia, (Kuala Lumpur, 1980) hal. 15.
[4] Batu nisan yang dijumpai di Tanjung Inggeris, Kedah menunjukkan tarikh di atasnya 291H/903M. Lihat Mastika, bil. 10, 1965, hal. 34. Selain itu ada maklumat lain yang menunjukkan bahawa saudagar-saudagar Arab Islam yang berada di Canton sewaktu berlaku kekacauan di Cina, lari membawa diri dan berlindung di Kulah (Kedah) dan Pantai Barat Tanah Melayu. Peristiwa ini berlaku dalam masa pemerintahan Maharaja Hi Tsung (265-76H/878-89M). Lihat Sayed Naquib al-Attas. Op.cit.hal. 11.
[5] Wang emas yang dijumpai di Kelantan ada mencatatkan tarikh di atasnya 577H/1161M. Lihat Saad Shukri Hj. Muda, "Detik-detik Sejarah Kelantan, (Kota Bharu, 1971)". Hal. 28.
[6] Crawford, Sir John's History of Indian Arshipelago, (Edinburgh, 1820), vol. 11, hal. 28.
[7] Harison, Berian, South East Asia, A Short History, (London, 1957), hal. 43.
[8] Lihat Sayed Naquib al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, (Kuala Lumpur, 1972) hal. 34.
[9] Crawford, op.cit, hal.259-260.
[10] S.Q. Fatimi. Op.cit. hal.6.
[11] Lihat M.M. Mackeen, Contemporary Islamic Legal Organisation in Malaya. (Monograph series No.12, Yale University, 1969). Hal. 50.
[12] Untuk melihat sebahagian dari kitab-kitab jawi klasik yang didapati di Malaysia, lihat Mohd. Nor bin Ngah, "Some writings of the traditional Malay Muslim scholars found in a Malaysia," dalam Tamadun Islam di Malaysia, hal. 9-12.
[13] Richard Winstedt. The date of Malacca Codes dlm Journal Malayan Branch. Vol. 29. 1956, hlm.33.
[14] J.E. Kemple & R.O. Winstedt. A Malay Legal Digest, Journal Malayan Branch, Vol.21Pt. 1.1948. hlm.1
[15] Ibid.
[16] Ibid.
[17] Lihat Hooker. The personal law of Malaysia. Kuala Lumpur. 1976. hlm. 19.
[18] Ibid.
[19] Lihat peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri sebelum pindaan dan penyelarasan dibuat dalam Enakmen-enakmen tersebut.
[20] EPAP
[21] Lihat Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.
[22] Lihat AzizanAbdul Razak. The administration of Muslim law in Malaysia. Hlm. 118. Thesis M.Phil. University Kent.
[23] Muhd.Amin. 1979. Zua'ama' al-Islah, fi al-'Asr al-Hadith. Qahirah. Hlm. 20-21.
[24] Lihat C.C. Adams,.1932. Islam & Modernisme. New York. Hlm. 79-80
[25] Ahmad Amin. Op.cit. hlm. 14, 25
[26] Hafiz Wahbah. 1935. Jazirat al-Arab fi al-Qur'an al-Ishrin, Qahirah. Hlm.319-321.
[27] Mengikut Undang-undang Mesir no. 25, 1920. Rujukan utama pendapat arjah Mazhab Hanafi, manakala Undang-undang No. 25, tahun 1924 dibenarkan masalah-masalah tertentu boleh dirujuk kepada Mazhab empat yang lain. Lihat Shahatah al-Husaini,. 1969.al-Ahwal al-Shakhsiyyah, Qahirah. Hlm. 15.
[28] C.C. Adam. Op.cit. hlm.80
[29] William R. Roof. 1967. The origin of Malay Nationalis. New Haven & London. Hlm. 60.
[30] Lihat Nik Abdul Aziz. 1980. Sepintas lalu tentang Tariqah Shah Waliyullah al-Dahlawi & pengalirannya ke Tanah Melayu dalam Pendidikan di Malaysia dahulu & sekarang. Kuala Lumpur. Hlm. 81.
[31] Lihat Adnan Hj. Mohd Awang, Za'aba dan ajaran Khawaja Kamaluddin dalam pendidikan Islam dahulu dan sekarang. Hlm. 81.
[32] Ibid. hlm 70.
[33] Ibid. 71-78
[34] Lihat W.R.Roof. op.cit.hlm 61-63
[35] Lihat Nik Abdul Aziz.op.cit.68-69
[36] M.M.Mackeen.1969.Contemporary Islamic Legal Organisation in Malaya (Monograph Series, No.12, Yale University. Hlm.50)
[37] Lihat Mohd bin Harun. "Satu Kajian Konsep Ahli Sunnah wal Jama'ah dan Pelaksanaannya dalam Majlis Ugama Islam Perlis" hal. 91. Tesis di Jabatan Syariah Fakulti Islam UKM 1975/76.
[38] Lihat ketetapan Muzakarah Ulama' Semalaya anjuran PAS pada tahun 1953.
[39] Lihat memorandum yang dikeluarkan oleh HAshim Ab Ghani, Ketua saksi Syari'iyyah Madrasah Ittiba' al-Sunnah Kuala Pilah. 22 September 1966.
[40] Lihat Za'aba, the Malays and Religion dalam Tamadun Islam di Malaysia, hal.100-110
[41] Lihat al-Imam, 1 (julai 1906)
[42] W.R. Roff. Op.cit. hal 57.
[43] Al-Hadi, Ugama Islam dan akal. hal. 25.
[44] Sidek Fadzil. Op.cit. hal. 430-435. Abu Bakar al-Ashari, Kemerdekaan berfikir dalam Islam, (P.Pinang, 1954) hal. 59-60.
[45] Tahir Jalaluddin, Risalah Penebus Bidaah Kepala Batas, hal. 20.
[46] Ibid. Hal. 7.
[47] Ibid. Hal. 15.
[48] Ibid. Hal. 20.
[49] Ibid. hal. 21.
[50] Ibid. hal. 29.
[51] Ibid. hal. 30.
[52] Ibid.
[53] Ibid. hal. 22
[54] Ibid. hal. 32.
[55] Lihat tesis latihan Ilmiah Jabatan Shariah 1975/76 yang disediakan oleh Zainal bin Sulaiman bertajuk 'Pengaruh Kaum Tua dan Kaum Muda serta implikasinya terhadap masyarakat Melayu Kelantan, hal. 32.
[56] Mohd. Idris. 1953. al-Qawl al-Mufid li ifadat al-Mustafid. Kota Bharu. Hal. 36.
[57] Ibid. Hal. 33.
[58] Ibid. Hal. 22.
[59] Ibid. Hal.3.
[60] Pengalaman penulis.
[61] Lihat tesis latihan Ilmiah jabatan Syariah 1975/78 oleh Muhammad bin Harun Berjudul,satu kajian konsep ahli Sunnah Wal Jamaah dan pelaksanannya dalam Majlis Ugama Islam Perlis. Hal. 133.
[62] Lihat Mohd. Sarim Hj. Mustajab. Op.cit. hal. 155
[63] Pengalaman penulis.
[64] Pengalaman penulis.
[65] Pengalaman penulis
[66] Pengalaman penulis.
[67] Mohd. Bin Haron. Op.cit . hal.129.
[68] Ibid. 199.
[69] .Ibid. 138.
[70] Nik Abdul Aziz. Op.cit. hal. 120.
[71] Ibid. Hal. 122.
[72] Ibid. Hal. 128.
[73] W.R. Roof. Op.cit. hal. 78.
[74] .Pernah berlaku di Kelantan perdebatan terbuka di Istana Sri Cemerlang dalam tahun 1937 di antara Kaum Muda dengan Kaum Tua tentang hokum jilatan anjing. Lihat Nik Abdul Aziz, Perbahasan tentang Jilatan Anjing: Satu perhatian. Lihat Jebat, bil. 9. 1979/80.
[75] Kenyataan ini dapat dilihat dalam tulisan-tulisan yang dikeluarkan oleh kedua pihak; dalam majalah-majalah dan akhbar-akhbar tempatan; antara lain lihat sikap Za'aba tentang kritikannya ke atas ulama' tradisional dalam mempertahankan peribadi dan ajaran Khamaja Kamaluddin. Lihat Adnan Haji Mohd Awang. Op.cit. hal. 70.
---
Artikel dihantar oleh Saudara Kaki Bangku. Terima kasih!
Label: fiqh, kertas kerja, mazhab, sejarah tanah melayu, wahhabi
Oleh: Syeikh Abdullah Nasih `Ulwan.
Buku: Pengenalan Syariah Islamiyyah, Fiqh dan Sumber-sumbernya.
Syariah lslamiyyah berbeza sama sekali daripada syariah samawi (Ilahi) yang lain dalam hal penerimaannya terhadap pembaharuan serta penyesuaiannya terhadap perkembangan. Hal ini disebabkan oleh kedudukannya sebagai syariah dan agama penutup, memansuhkan agama-agama sebelumnya serta kekal sepanjang masa dan waktu. Sekarang kita cuba menyingkap syariah ini serta rahsia ketahanan dan pembaharuannya agar diketahui oleh orang yang ingin tahu akan keaslian undang-undang ini serta keagungan Islam.
Ada beberapa unsur pembaharuan yang terpenting dan bahagian-bahagian utama dalam syariah, di antaranya:1. Al-Quran dan Hadith yang Terpelihara
Telah kita sebutkan wahai ikhwah, dalam tajuk "Ciri-ciri Syariah dan Keistimewaannya" bahawa Al-Qur'an dan As-sunnah dipelihara sepanjang masa oleh Allah s.w.t., sesuai dengan firmanNya:"Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan Sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya" (Al-Hijr, ayat 9)
Ini bermakna nas-nas yang bersumber daripada Al-Qur'an dan Sunnah terpelihara secara abadi dalam pemeliharaan Allah sehingga Hari Kiamat nanti. Unsur inilah yang tidak dijumpai sama sekali dalam semua agama yang lain.2. Dinamik (Tatawwur) dan Tetap (Thabat)
Di antara ciri-ciri Syariah yang keutamaannya yang menonjol ialah antara yang tetap dan berkembang: antara yang (umum) dan terperinci: antara lama dan baru. Hal ini terjadi agar dia boleh memenuhi tuntutan-tuntutan zaman serta berjalan seimbang dengan peradaban moden.
Supaya gambarannya lebih jelas lagi dan permasalahan (qadhiyah) dinamik dan tetap ini lebih terang bagi kita, ada baiknya kita bahagikan hukum-hukum syariah kepada tiga bahagian:
1. Adapun masalah-masalah perundangan yang tetap dan tidak menerima pembaharuan serta perkembangan, ialah masalah-masalah yang nasnya putus (qat'iyy) dan hukum-hukumnya terperinci. Nas-nas serta hukum-hukum ini sama sekali bukan merupakan lapangan untuk berijtihad seperti masalah aqidah, rukun-rukun Iman, hukum ibadat, masalah hudud, haramnya zina, riba, arak, judi, membunuh jiwa, kesaksian palsu, derhaka kepada dua orang tua, memutuskan silaturrahim, ketentuan pembatasan bahagian-bahagian dalam harta warisan, penjelasan tentang idah bagi perceraian dan kematian, haramnya mendedah aurat, pergaulan bebas (antara lelaki dan perempuan) dan tabarruj (bersolek) serta nas-nas lain yang qat'iyy serta hukum-hukum yang tafsil (terperinci).
Nas-nas ini merupakan medan yang diharamkan (untuk berijtihad) dan hukum-hukum yang tetap tidak boleh berijtihad serta tidak tunduk kepada perkembangan masa. Setiap orang yang berusaha menggantinya atau berijtihad untuk mengembangkannya bererti dia menghancurkan syariah, memerangi Allah dan RasulNya serta ingin melepas ikatan Islam daripada dirinya.
Berdasarkan hal ini para Ulama Usul (Usul Fiqh) menyatakan:
" لاَ مَجَالَ لِلإِجْتِهَادِ فِي مَوْرِدِ النَّصِّى "
"Tidak ada Ijtihad pada perkara-perkara yang ada Nas"
Perlu difahami bahawa Allah mensyariatkan jenis hukum yang tetap ini bukanlah satu aib bagi Syariah, kerana ia memelihara kemaslahatan individu dan masyarakat pada setiap masa dan tempat. Oleh kerana itulah, ia sama sekali tidak boleh berkembang. PenciptaNya Yang Maha Mengetahui dan Bijaksana, Dialah yang lebih tahu tentang apa-apa yang boleh mendatangkan maslahat bagi hambaNya dan (mengelakkan) kebinasaan (mafsadat) daripada mereka. Firman Allah:"Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui" (Al-Baqarah, ayat 232)
2. Adapun masalah-masalah perundangan yang boleh menerima pembaharuan: ialah prinsip dan kaedah-kaedah yang berhubung erat dengan aspek Muamalat kewangan, perkara pengadilan, sistem ekonomi, pentadbiran, serta perlembagaan. Bentuk Muamalat dan permasalah-permasalah ini selalu berubah sesuai dengan maslahat manusia serta memerlukan ijtihad pada setiap masa dan tempat. Di bawah ini kita sebutkan beberapa contoh, antara lain:
- Konsep Al-Qur'an mengenai perkara-perkara pengadilan menentukan dengan jelas suatu "Kaedah Keadilan", berdasarkan firman Allah:"Dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil" (Surah An-Nisa', ayat 58)
Kaedah keadilan yang ditetapkan oleh ayat suci tersebut merupakan kaedah umum (kulliyah) yang bersifat tetap dan tidak berubah dan tidak akan bertukar selama-lamanya. Ia wajib ditegakkan pada setiap dan tempat. Adapun kerana (wasilah) perlaksanaan keadah ini diserahkan mengikut perubahan zaman dan kehidupan yang sentiasa berubah.
Perlaksanaan kaedah keadilan dalam satu mahkamah saja, atau mahkamah yang berbilang dengan memisahkan kekuasaan perundangan (judiciary) daripada kekuasaan eksekutif (Executive power) ini semuanya diserahkan kepada "ahlul halli wal-'aqdi" (pakar-pakar) dan pengalaman manusia. Jadi matlamat syariah yang pertama ialah menegakkan prinsip keadilan. Sedangkan cara dan bentuk perlaksanaan keadilan itu sendiri diserahkan kepada "ahlul halli wal-'aqdi" sama ada dilaksanakan melalui suatu susunan tertentu atau rangka tertentu menurut cadangan mereka yang pakar dalam bidang ini, selama mahkamah tetap menegakkan kaedah keadilan yang mewujudkan keperluan persamaan untuk orang ramai.
- Dalam perkara-perkara muamalat, Al-Qur'an menentukan dengan jelas kaedah 'memenuhi perjanjian ('aqad)' sesuai dengan firman Allah:"Hai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad-aqad itu" (Al-Maidah, ayat 1)
Kaedah "memenuhi perjanjian" yang disebut oleh ayat tersebut adalah kaedah umum yang sifatnya tetap, tidak berubah dan tidak boleh diganti, bahkan wajib diamalkan pada setiap masa dan tempat. Akan tetapi para fuqaha' berijtihad mengenai apa yang dimaksudkan dengan 'aqad pada ayat tersebut, apakah hanya terbatas pada 'aqad-'aqad yang diakui oleh syarak dengan istilah tertentu seperti 'aqad jual beli, memberi hadiah, menyewa, dan perkahwinan atau ia juga mencakupi 'aqad-'aqad lain yang diciptakan oleh manusia akhir-akhir ini seperti akad perindustrian, kontrak dan jaminan sosial.
Kebanyakan ahli fiqh berpendapat bahawa lafaz "aqad" dalam ayat tersebut adalah umum, mencakupi semua `aqad yang disebutkan oleh syarak dengan istilah dan yang muncul kebelakangan ini kecuali `aqad yang menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal. Berdasarkan bahawa lafaz dalam ayat tersebut adalah umum dan mencakupi semua 'aqad muncullah dalam fiqh Islam 'aqad-'aqad baru yang banyak sekali sepanjang zaman. Para fuqaha' menamakannya dengan nama-nama khusus seperti 'aqad dua sewaan, 'aqad memonopoli harta-harta wakaf, dan perlu dijelaskan[1] kedua istilah 'aqad terakhir ini:
Hal ini merupakan istinbatt yang, ijtihadi (mengeluarkan hukum dengan berijtihad) pada aqad-aqad yang baru muncul sebagaimana ditunjukkan oleh ayat.
Adapun mengenai wasilah (cara) perlaksanaan kaedah 'memenuhi perjanjian' itu, maka Islam menyerahkannya kepada zaman yang berkembang dan kehidupan yang terus berubah. Jadi perlaksanaan kaedah ini serta penyusunan, pendaftaran, pengesahan dan jaminan bagi hak-hak pemiliknya semua diserahkan oleh Islam kepada "ahlul halli wal-'aqdi" bahkan juga diserahkan kepada pengalaman manusia yang paling baik.
Jadi, matlamat syariah yang pertama adalah perlaksanaan prinsip "memenuhi perjanjian", sedangkan cara dan kaedah perlaksanaannya diserahkan kepada ahlinya sama ada pendaftaran akad tersebut pada satu lembar atau dua, tiap-tiap satu dipelihara oleh orang yang beraqad, ataukah pendaftaran itu disaksikan dan dicatat oleh seorang pendaftar yang dipercayai dan seterusnya.
Perlaksanaan kaedah Syura melalui Majlis Penasihat yang terdiri daripada orang-orang yang terpilih daripada kalangan bijak pandai dan mereka yang mempunyai pengkhususan atau melalui Majlis Perwakilan yang dipilih oleh rakyat, atau dengan memilih majlis-majlis kabinet daripada tenaga ahli yang berpengalaman atau majlis tempatan untuk setiap kawasan dan bandar. Semua aturan ini diserahkan kepada pengalaman manusia yang paling baik.
- Al-Qur'an Al-Karim menyebut secara jelas mengenai prinsip syura dalam perkara-perkara perlembagaan. Firman Allah:"...sedang urusan mereka (diputuskan) dengan Syura" (Asy-Syura, ayat 38)
Kaedah Syura yang disebut oleh ayat tersebut merupakan kaedah yang umum dan tetap, tidak mengalami perubahan dan pertukaran serta wajib diamalkan pada setiap ruang dan waktu. Akan tetapi cara dan kaedah penerapannya diserahkan kepada tuntutan kepada tuntutan zaman itu.
Jadi, matlamat Syariah yang pertama adalah untuk menegakkan kaedah Syura'. Me-genai sistem perlaksanannya, ia boleh mengambil kaedah tertentu atau bentuk majlis yang dipilih, diserahkan kepada kebijaksanaan 'ahlul halli walaqdi' selama negara-negara dan pemimpin-pemimpin mereka serta lembaga-lembaga kerajaannya menegakkan kaedah syura.
Perkara ini boleh dibandingkan dengan contoh berikut:
- Prinsip (mabda') kekuatan pada firman Allah:"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi..." (Al-Anfal, ayat 60)
- Prinsip pengurusan hutang piutang: Firman Allah:"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang untuk waktu yang ditentukan, maka hendaklah kamu menuliskannya. ..." (Al-Baqarah, ayat 282)
Begitu juga prinsip-prinsip dan kaedah lain yang telah dinaskan oleh Syariat Islam.
3. Adapun masalah-masalah perundangan yang tunduk kepada perkembangan iaitu kes-kes baru yang tidak dijumpai nas yang tegas dalam Al-Qur'an atau Sunnah, maka perkara-perkara seperti ini tunduk kepada ijtihad semasa yang ditetapkan oleh para Ulama' yang berkelayakan, mempunyai sifat warak dan takwa, cerdas serta berpandangan luas dan mampu berijtihad. Mereka mengeluarkan hukum yang boleh mencapai sudut kemaslahatan sesuai dengan perkembangan budaya serta kemajuan ilmu pengetahuan seperti keterangan hukum Islam mengenai jaminan pesaraan bagi pegawai dan pekerja buruh, wang jasa, gaji tunjangan keluarga dan jaminan sosial. Masalah-masalah ini dan yang seumpamanya memerlukan ahli-ahli fiqh yang terpilih untuk memutuskan hukum Islam mengenainya atas dasar maslahat dan perkembangan, jiwa (roh) syariah serta tujuan-tujuan umumnya syariat dengan syarat ia tidak bertentangan dengan nas-nas yang sarih (tegas) atau tidak keluar daripada kaedah-kaedah umum serta tidak melampaui batas yang telah ditentukan baginya.
Oleh kerana itulah, Ulama' Usul Fiqh mengatakan:
" لاَ يُنْكَرُ تَغَيُّرُ اْلأَحْكَامِ بِتَغَيُّرِ اْلأَزْمَانِ "
"Tidak diingkari perubahan hukum dengan sebab perubahan zaman"
Demikianlah pandangan-pandangan khusus mengenai perkembangan dan ketetapan dalam prinsip-prinsip Syariah dan dengan makna ini bererti ia menghimpunkan antara yang lama dan moden, antara asas-asas yang tetap dan dinamik. lni juga bererti bahawa Shariah boleh menyahut tuntutan zaman yang terus berkembang dan mengikuti kebudayaan manusia yang berkembang sehingga Allah mewarisi bumi ini dan segala isinya.3. Syumul (Menyeluruh dalam Sistem-Sistem Syariah)
Telah disebutkan, wahai pembaca yang mulia pada permulaan pembahasan ini bahawa ciri-ciri asas dan kelebihan besar syariah adalah syumul (keseluruhan). Orang yang meneliti sistem-sistem dan memperhatikan prinsip-prinsipnya akan mendapati bahawa Islam yang agung inii mencakupi berbagai sistem dan hukum pada tiap-tiap segi pembentukan (takwin), pembinaan (bina') serta pembaikan (islah) dan pada tiap-tiap aspek masyarakat dan kehidupan. Telah kita bentangkan dengan panjang lebar mengenai kesyumulan (keseluruhan) syariah serta prinsip-prinsip umumnya bermula daripada pembaikan individu, kemudian pembaikan masyarakat, pembaikan negara, sehingga proses pembaikan manusia secara keseluruhan.
Di antara perkara-perkara yang menunjukkan kesyumulan syariah ialah bahawa negara Islam pada masa Rasulullah s.a.w. dan Khulafa Ar-Rasyidin adalah merupakan contoh praktikal yang tinggi bagi perlaksanaan prinsip-prinsip Islam yang syumul dalam berbagai aspek kehidupan. Bahkan selama kedua-dua zaman ini, telah tertegak suatu negara yang paling tinggi yang pernah dikenali manusia.
Malah telah tampil melalui sistem-sistem Islam suatu kehidupan Islami yang mutamayyiz (berbeza), yang akan terus menjadi pelita penerang sepanjang masa serta merupakan minhaj yang benar bagi para mujadid untuk selamanya dan untuk manusia keseluruhannya.
Perlaksanaan Islam terus berlangsung beberapa abad lamanya sepanjang peredaran sejarah sehingga terhapusnya Khilafah Islamiyyah pada masa Bani `Uthman. Perlaksanaan amali yang panjang ini tetap akan menjadi rujukan asasi bagi para mujadid pada setiap masa dan tempat yang mengambil daripada sumber asalnya segala yang selaras dengan waqi' (kenyataan) dan seimbang dengan putaran roda kebudayaan dan kehidupan.4. Keharmonian Antara Syariah dan Kenyataan Hidup
Di antara unsur-unsur Syariah serta ketinggian prinsipnya ialah keharmoniannya dengan kenyataan dan kesesuaiannya dengan kehidupan.
Adalah suatu hal yang mustahil pada akal dan syarak terjadinya suatu pertentangan antara hukum-hukum Islam dengan maslahat manusia atau terjadinya pertembungan antara nas syariat dengan kenyataan hidup kerana Allah S.W.T. yang Maha Tinggi hikmahNya, ketika memansuhkan syariat-syariat samawi lain dengan syariat Islam, datanglah Syariah yang baru yang menyesuaikan antara kepentingan individu dengan kepentingan jemaah untuk mewujudkan kebajikan dan kebahagiaan bagi insan secara keseluruhan serta menjamin kepimpinan umat dan keselamatan dunia sehingga Hari Kiamat.
Di antara yang menunjukkan keharmonian syariah dengan kenyataan hidup ialah bahawa kebanyakan hukum dan teori-teori yang dibawa oleh syariat Islam semenjak empat betas kurun lamanya yang ketika itu merupakan bahan tuduhan dan keraguan daripada musuh-musuh Islam, akhirnya manusia terpaksa merujuk kepadanya dalam rangka mencapai keadilan, menjamin kemaslahatan serta menghilangkan mudarat dan kezaliman daripada individu dan masyarakat. Di bawah ini kita bentangkan beberapa contoh:a) Konsep perceraian yang secara terpaksa diakui oleh negara-negara Barat keseluruhannya. Yang paling terakhir ialah pengakuan negara-negara katolik yang fanatik seperti ltali. Telah berlangsung di Den Haag pada tahun 1968 persidangan Hukum Antarabangsa ke-11. Di antara perbahasannya: Membuat perjanjian (treaty) pengakuan sistem thalaq dan pemisahan di sisi perlembagaan di peringkat antarabangsa, iaitu merujuk kepada hukum Islam [2].
b) Konsep Riba yang dianggap selama ini merupakan kemestian bagi roda kehidupan ekonomi sehingga muncul daripada kalangan ahli ekonomi Barat sendiri yang menentang idea riba pada dasarnya atas nama ilmu ekonomi sendiri, bukan atas nama agama dan keimanan. Di antara nama-nama yang paling masyhur disebutkan dalam hal ini ialah seorang ahli ekonomi Britain yang termasyhur Keynes, yang menetapkan bahawa masyarakat tidak akan mencapai keadilan yang sempurna melainkan dengan menghapuskan `rate of interest'. Demikian juga Dr Shacht yang berbangsa Jerman mengatakan: "Melalui proses matematik, jelaslah bahawa semua harta tertumpu kepada segolongan kecil pengusaha riba..." [3].
Di antara bahan rujukan yang baik dalam masalah ini adalah tulisan-tulisan Dr. Isa Abduh, Dr. Ahmad An-Najjar, Kitab Iqtisaduna karangan Syeikh Muhammad Baqir al-Sadar, dan pembahasan-pembahasan ekonomi yang ditulis Oleh Al-`Allamah Abul A'la Al-Maududi.
c) Milik peribadi yang dianggap oleh kapitalisme pada permulaannya bersifat mutlak tanpa ada ikatan apapun. Teori ini menyebabkan kekacauan yang hebat yang dialami oleh masyarakat kapitalis sehingga mereka terpaksa menarik balik teori yang salah ini dengan membatasi hak milik dengan ikatan positif yang boleh membawa maslahat umum. Demikian juga komunisme yang mengetengahkan teori ekonominya untuk menghapuskan milik peribadi. Hal ini juga bertentangan dengan naluri yang dicipta oleh Allah pada manusia iaitu naluri keinginan untuk memiliki. Hal ini mengakibatkan terjadinya kegoncangan yang hebat sekali bagi insan komunis dan sosialis. Begitu juga kegoncangan yang terjadi pada hasilnya, sehingga terpaksa membolehkan individu untuk memiliki, akan tetapi dalam ruang yang terbatas dan sempit sekali.
Semoga kita lihat penghapusan prinsip-prinsip tersebut dalam sistem-sistem moden sekarang ini dan manusia mengambil Islam sebagai satu-satunya alternatif dalam kehidupan.
Hukum Islam dalam sistem 'milik' ialah membolehkan setiap manusia memiliki apa yang diinginkannya dalam batas-batas yang diterangkan oleh Syariah dan ukuran dasar yang dipakai dalam hal ini ialah 'halal dan haram', bukan maslahat peribadi sebagaimana dalam sistem kapitalis. Begitu juga Islam tidak mengabaikan naluri ingin memiliki yang menjadi fitrah manusia, bahkan Islam berusaha untuk menumbuhkannya serta memberikan kepuasan melalui usaha yang dibolehkan, berlainan dengan sistem komunis dan sosialis.
d) Gejala persaingan kaum wanita yang bekerja untuk menyaingi kaum lelaki dalam hidang pekerjaan.
Pendakwa-pendakwa kemajuan beranggapan bahavva di antara hak-hak besar yang diperoleh oleh wanita pada zaman moden ini ialah menyaingi pekerjaan kaum lelaki. Akan tetapi kesedaran yang timbul dari sana sini menguatkan bahawa wanita ketika dia ditempatkan di kilang-kilang dan tempat-tempat kerja dipojokkan di lorong dan jalan kesesatan, maka jatuhlah darjat kemanusiaannya, hilang kewanitaan dan kehormatannya. Di sinilah baru terlihat hakikat itu pahit dan kecelakaan yang amat menyedihkan.
Bagaimana boleh tergambar oleh kita wanita di Barat atau di Timur menjadi tukang sapu kotoran-kotoran jalan, tukang lap sepatu, pembawa barang-barang dan beg dan pembantu di tandas-tandas? Bagaimana tergambar oleh kita kedudukan wanita di bengkel dan kilang. Di antara mereka ada yang bernifas, sebahagian ada yang menyusukan, ada pula yang haid dan yang hamil sedangkan perasaan mereka kusut dan pakaian mereka kotor? Bagaimana terbayang oleh kita peluh mereka yang mengalir, otot kejang, wajah berkerut, suara yang serak, kulit yang kering, jari-jari mereka membengkak, kaki mereka kejang ditambah lagi dengan pekerjaan wanita bercampur dengan kehadiran lelaki sehingga mengundang ke arah kerosakan akhlak.
Berdasarkan gambaran-gambaran yang menyedihkan ini serta kenyataan yang memilukan hati, maka timbullah kesedaran-kesedaran yang menyeru wanita agar kembali ke tempatnya semula serta tugasnya yang thabi`i (natural) dengan meninggalkan pekerjaan lelaki.
Seorang penulis wanita, Anna Rose dalam sebuah makalahnya yang disebarkan oleh akhbar Eastern Mail yang berbahasa Inggeris, menyatakan:Pekerjaan wanita kita di rumah-rumah sebagai pembantu adalah jauh lebih baik dan lebih ringan daripada pekerjaan mereka di kilang-kilang yang boleh membuat mereka berlumuran dengan kotoran-kotoran sehingga menghilangkan keindahan hidupnya sepanjang masa. Kalaulah boleh biar negeri kita ini menjadi seperti negeri orang Islam, di mana maruah dan kehormatan, wanita terpelihara. Sesungguhnya menjadi aib bagi negeri Inggeris yang menjadikan wanitanya sebagai contoh kehinaan akibat banyaknya bercampur dengan lelaki. Kenapa kita tidak berusaha menciptakan pekerjaan yang sesuai dengan fitrah wanita yang tabi'i seperti tinggal di rumah dan menyerahkan pekerjaan lelaki untuk lelaki demi keselamatan kehormatannya...
Seorang artis Amerika bernama Barbara Streisand mengatakan dalam sebuah artikelnya dalam akhbar:Sesungguhnya aku telah mulai meyakini bahawa telah banyak perkara yang berakhir. Selama ini aku mementingkan kehidupanku sebagai artis secara berlebihan. Aku telah lupa akan kehidupanku sebagai wanita dan sebagai manusia, sehingga sekarang aku merasa irihati dengan wanita yang mempunyai waktu yang cukup untuk hidup mesra dengan suami dan anak-anaknya...Pada hakikatnya kejayaan dan populariti tidak bererti kalau kehidupan keluarga tidak dinikmati, di mana wanita merasakan dirinya sebagai wanita.
Di antara yang dinyatakan oleh artis Marylin Monroe di dalam sepucuk surat yang ditulisnya sebelum dia membunuh diri:Sesungguhnya aku merasa sengsara hidup sebagai wanita di bumi ini. Aku tidak mampu menjadi seorang ibu. Sebenarnya aku ini adalah wanita yang mengutamakan rumah dan kehidupan keluarga yang mulia dan suci. Sesungguhnya kehidupan keluarga ini adalah menjadi lambang kebahagiaan wanita. Orang-orang telah menganiayaku. Sesungguhnya pekerjaan sebagai artis menjadikan wanita sebagai benda yang murah dan tidak bernilai, walaupun dia mencapai ketinggian serta kemasyhuran yang palsu.
Inilah yang ditulis, diakui dan yang diingkari oleh beberapa wanita di dalam masyarakat yang membolehkan wanita bercampur, bersolek dan melakukan pekerjaan lelaki. Menentang gejala ini bermakna merujuk kepada hukum Islam yang memerintahkan agar wanita melakukan pekerjaan yang sesuai dengan kewanitaannya dan peranan yang tabi'i yang diciptakan untuk itu, iaitu menunaikan hak-hak suami-isteri, mengurus rumah, mendidik anak, membuat kerja yang khusus untuk wanita; sebagaimana dia melarang wanita daripada tabarruj (bersolek) dan pergaulan bebas serta berjalan di jalan kehancuran dan kegelinciran.
Daripada contoh penerangan di atas, jelaslah bahawa syariah Islam sangat cocok sekali dan amat sesuai dengan kemaslahatan manusia dan kenyataan hidup pada setiap masa dan tempat. Hal ini adalah kerana syariah Islam bersumber daripada Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui, Yang Maha Suci daripada kekurangan dan keterbatasan yang bersifat dengan ilmu yang lengkap serta kesempurnaan yang mutlak. Firman Allah:"Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui; dan Dia Maha Halus dan Maha Mengetahui?" (Al-Mulk, ayat 14)
Zaman akan membukakan tabir rahsia keberkekalan syariah, hukum-hukumnya yang rasional serta keagungan prinsip-prinsip hari demi hari. Pada ketika itu manusia akan memakai hukum Islam secara sukarela dan senang. Mereka akan menerima agama Allah dengan taat dan patuh. Siapakah yang mempunyai hukum yang lebih balk daripada hukum Allah bagi kaum yang yakin. Benarlah Firman Allah dam Al-Qur'an:"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda Kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Qur'an itu adalah benar, dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?" (Fussilat, ayat 53)
Alangkah baiknya ucapan ahli falsafah Inggeris, Bernard Shaw, ketika dia menyaksikan kebesaran Islam serta kemampuannya untuk berkembang dan berkekalan:"Sesungguhnya agama Muhammad s.a.w. menempati tempat penghargaan yang tinggi, kerana ia mengandungi daya hidup yang hebat, dan ia adalah agama yang memiliki kemampuan mencerna jenjang kehidupan yang berbeza-beza. Saya berpendapat bahawa seharusnya Muhammad s.a.w. layak digelar `Penyelamat Kemanusiaan', dan lelaki seperti dia apabila memimpin dunia moden, pasti akan berjaya dalam menyelesaikan masalah-masalahnya..."
5. Meletakkan Prinsip-Prinsip Bagi Memelihara Maslahat (Kepentingan) Manusia
Telah kita bentangkan pada pembahasan ciri-ciri Syariah dan Keistimewaannya, bahawa di antara ciri syariah ialah "Kemudahan dan Menghapuskan Kesusahan" serta "Memelihara Maslahat Manusia."
Kita telah membicarakan dengan panjang lebar kedua ciri yang besar ini serta pengaruh keduanya untuk mencapai maslahah bagi manusia dan menolak keburukan daripada mereka. Maka syariah tetaplah merupakan kenyataan dalam penerapannya, logik dalam ajaran-ajarannya, bersambungan dan mengatasi semua sistem dan undang-undang manusia yang ada. Tetapi apakah hukum-hukum terpenting yang diletakkan oleh Islam untuk menghilangkan kesusahan daripada manusia serta memelihara maslahat mereka?
Sebagaimana yang telah kita sebutkan juga bahawa tujuan umum dari perundangan Islam ialah memelihara maslahah manusia dengan menjamin perkara-perkara yang dharuriyat, memenuhi keperluan hajjiyat serta melengkapi perkara-kara tahsinat (pelengkap), mereka dan telah kita katakan bahawa:Pemeliharaan perkara yang bersifat tahsini atau pelengkap tidak boleh menggendalakan hal-hal yang bersifat hajjiyat, begitu juga penggunaan hal-hal yang bersifat hajjiyat dan tahsini tidak boleh membuat perkara yang daruri menjadi tergendala.
Berdasarkan ini maka hukum-hukum syarak yang disyariatkan untuk memelihara perkara yang dharuri adalah hukum-hukum yang paling penting dan lebih berhak untuk dijaga seperti memelihara agama, jiwa, akal, kehormatan dan harta. Kemudian diikuti oleh hukum-hukum yang disyariatkan untuk memenuhi keperluan (hajjiyat) seperti bolehnya berbuka pada bulan Ramadan bagi orang yang sakit atau musafir, boleh memendekkan sembahyang semasa perjalanan dan boleh bertayammum bagi yang tidak mendapat air. Kemudian berikutnya adalah hukum-hukum yang disyariatkan sebagai pelengkap (tahsini) dan keelokkan seperti membersihkan badan, pakaian dan tempat, menutup aurat dan bersuci dari kencing. Hukum yang terakhir ini dianggap sebagai penyempurna hagi hukum-hukum dharuriyat. Oleh kerana itu dibolehkan membuka aurat bila diperlukan untuk pengubatan atau pembedahan, kerana menutup aurat adalah tahsini, sedangkan pengubatan adalah hajjiy. Hajjiy didahulukan atas tahsini. Dibolehkan memakan najis dalam keadaan dharurat, kerana memelihara daripada najis adalah tahsini, sedang menghindari kecelakaan daripada jiwa adalah dharuri. Perkara dharuri didahulukan daripada yang tahsini.
Pemeliharaan hal yang bersifat hajjiy atau keperluan tidak boleh mengendalakan yang dharuri. Oleh kerana itu wajib dikerjakan amalan-amalan yang wajib bagi orang yang tidak memerlukan keringanan (rukhsah), sekalipun kadangkala mereka merasa susah untuk melaksanakan tugas itu. Ini adalah kerana sikap taklif (tugas) tidak sunyi daripada kesulitan dan keberatan. Kalaulah dibolehkan mukallaf tidak mengalami kesulitan apapun, nescaya tergendala kebanyakan hukum-hukum dharuri seperti ibadat, hukuman (uqubat) dan lain-lain keberatan ini ditanggung dalam rangka menjaga perkara dharuriyat yang asasi iaitu memelihara agama, jiwa, akal, kehormatan dan harta.
Jadi, hukum dharuriyat wajib dipelihara dan tidak boleh mengendalakannya melainkan apabila dalam melaksanakannya menyebabkan tergendalanya hukum dharuri lain yang lebih penting daripadanya.
Contohnya, jihad adalah wajib untuk memelihara agama walaupun menuntut pengorbanan jiwa, kerana melindungi agama adalah lebih penting daripada memelihara jiwa (diri). Begitu juga dibolehkan meminum khamar bila diancam dengan pembunuhan atau terpaksa kerana dahaga yang boleh membawa kepada kematian kerana memelihara jiwa adalah lebih penting daripada memelihara akal.
Berdasarkan kaedah "bahawa tujuan umum daripada tasyri' (perundangan) adalah mewujudkan maslahah manusia dengan menjamin dharuriyat, hajjiyat dan tahsinat", maka diletakkan prinsip-prinsip syarak yang khusus untuk mengangkat mudarat serta menghilangkan kesusahan. Telah kita sebutkan tadi pada awal perbahasan, beberapa cabang dari prinsip-prinsip ini dan saya rasa tidak perlu diulangi lagi setelah dibicarakan secara luas.
Demikianlah beberapa unsur pembaharuan yang terpenting dalam syariat Islam:
Firman Allah:"Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?" (Al-Ma'idah, ayat 50)
------
NOTA KAKI
[1] Kami kutip penjelasan ini dari kitab Al-Fiqhi Al-'am oleh 'Allamah Syeikh Mushthafa Az-Zarqa', muka 617, daripada pecahan nombor: (295).
[2] Lihat 'sejauhmana keperluan kepada ensaiklopedia fiqh', oleh Dr. Jamaluddin 'Athiyya, hal: 145.
[3] Rujuk kepada 'Fi Zilalil Qur'an' jilid 1 ayat: 275 dari surah Al-Baqarah
---
Lihat sumber asal artikel dari blog SwordofDeen.




