Pro Tajdid mengumpulkan tulisan terpilih tentang fenomena tajdid yang melanda dunia Islam.
Apa itu tajdid? Tajdid bagaimana yang kita mahu? Selongkari arkib blog ini untuk jawapannya!

Dengan melanggan blog ini secara e-mel atau RSS, anda akan diberitahu secara automatik apabila ada entri baru di sini.
Anda mempunyai bahan-bahan menarik berkaitan isu tajdid yang mahu dikongsi di sini? Hubungi protajdid [at] gmail [dot] com.

Nasionalisme dan Nepotisme Sama?

Oleh Faisal Tehrani
Pertama kali disiarkan di majalah web Saksi.com (sudah tiada) pada bulan Mac 1999



Konsep dan bibit kelahiran nasionalisme secara jujur amat bercampur-baur dan mengelirukan. Untuk menetapkan dan menyalahi Barat semata-mata kerana melancarkan suatu idelogi baru yang memecah-belahkan umat Islam adalah menyesakkan.

Sejarawan Islam mencatat mengenai permulaan elitisme Quraisy dalam dasar pemerintahan Saidina Uthman R.A. Perselisihan Sa'ad bin Abi Waqqash dan 'Abdullah bin Mas'ud, perlantikan Al-Walid bin 'Uqbah bin Abi Mu'ath di Kufah, penawaran tanah-tanah rampasan perang untuk dijual kepada penduduk Hijaz, pemecatan Abu Musa al Asy'ari R.A sebagai gabenor Basrah, pemecatan 'Amr bin 'Ash dari jawatan gabenor Mesir, perlantikan Muawiyah Abu Sufyan sebagai pemerintah tunggal Damsyik dan kontroversi demi kontroversi lalu mengarah kepada pembunuhan Saidina Uthman.

Sekiranya nasionalisme yang dimaksudkan di sini ialah fahaman kesukuan yang sempit; terlalu melebihkan kaum sendiri hingga mengenepikan prinsip keadilan yang diutarakan oleh Islam dan Rasulullah, maka ia telah dahulu terbibit dalam sejarah Islam. Ia mencabang kepada nepotisme dan kronisme.

Kita tidak mahu membicarakan soal ini kerana walau bagaimana kacau sekali pun percaturan politik Khulafa-ar-Rasyidin, mereka tetap sahabat-sahabat Rasulullah dan telah melakukan pengorbanan yang tiada bandingan sedikit pun. Juga tentulah ada hikmahnya, jalur dan atur sejarah sedemikian rupa seperti yang telah direncanai oleh Allah.

Nasionalisme yang akan disoroti ialah gerakan nasionalisme moden dan perkembangannya. Apakah benar ia didalangi barat? Dan reaksi sebenar Islam terhadap nasionalisme?

J.R Thackrah dalam Politics (1987) melihat nasionalisme dari sudut yang menarik dan boleh menimbulkan perdebatan di kalangan kita. Beliau menulis:

The concept of nation does not refer to common historical, ethnic, linguistic or religious background alone. It is based on the people's feelings. Do they feel that they belong to the same group and share the same visions of the future? This feeling is nationalism.

Dan beliau menyatakan kedudukan sebenar patriotisme dengan nasionalisme:
Patriotism is often contrasted with nationalism in relation to its settlement of attachment, and respect for political institutions and laws, whereas nationalism is an ideology of national superiority, and an attachment to race, language or custom. Patriotism is seen as a beneficial alternative to nationalism, a sentiment which fills the gap between obligations incurred and obedience required, without recourse to the desires for national integrity. Yet although both terms are used loosely they are clearly compatible.

Sedangkan sosiologis Islam tersohor, Ibnu Khaldun telah merenungi perkara ini dengan begitu jauh di dalam Muqaddimah. Ibnu Khaldun menyifatkan silat-ar-rahmi atau pemuliaan ikatan darah sebagai sesuatu yang fitrah.

Ikatan ini membuahkan nu'arah pada kaum keluarga atau zawi al-qurba wa ahlal-arham, maka perasaan yang terbangkit ialah rasa malu atau terancam jika kerabatnya ditimpa keaiban atau serangan. Pertalian yang erat hasil dari pergaulan ini pastinya melahirkan pula apa yang dinamakan sebagai al ittihad wa al-iltiham atau persatuan dan pergaulan.

Jelasnya politik atau ideologi kesukuan ini telah lahir dari dalam diri manusia dan dalam konteks bangsa Arab, telah pun dilaksanakan sejak zaman pra-Islam lagi. Menurut Ibnu Khaldun lagi tujuan assabiyyah (cinta kaum) ialah kuasa (al-mulk). Assabiyyah akan memberi perlindungan, memungkinkan pertahanan bersama, sanggup mengemukakan tuntutan dan desakan serta kegiatan kemasyarakatan.

Harus tidak dilupakan Rasulullah sendiri, dalam erti kata lain, dakwah Islamiyyah, sedikit sebanyak telah mendapat perlindungan dari fahaman suku ini, terutama di era awal Islam. Rujuk peristiwa bagaimana baginda Nabi Muhammad mendapat suaka politik (himayah wal jiwar) dari Mut'am bin Adi, seorang bangsawan Quraisy yang kafir semata-mata oleh rasa kesukuan ini. Atau bagaimana Bani Hashim sedikit sebanyak melindungi nabi Muhammad ketika tercetusnya pemulauan ekonomi ke atas orang-orang Islam di Mekah selama tiga tahun.

Sebenarnya di dalam Islam garis besar memisahkan sesuatu bangsa itu ialah agamanya (la farq bayn 'arabi wa 'ajami illa bi-l-taqwa). Oleh itu krisis antara kaum, dalam sejarah Islam sebetulnya adalah persoalan persaingan etnik bukan nasionalisme. Beberapa pengarang Arab, contohnya Abdul Rahman al Bazzaz (Hadhihi Qaumiyatuna, 1964) yang menulis:
True nationalism and the genuine Islam cannot go apart and could never be rivals. On the contrary, they go side by side along for paths.

Kebangsaan yang sebenar dan semangat Islam yang tulen tidak terpisah malah tidak mungkin bersaing. Malah, nasionalisme dan Islam beriringan. Jelasnya Bazzaz meletakkan faktor kuatnya ikatan sejarah bangsa Arab dengan Islam tidak terpisah, oleh itu mencintai Arab adalah serupa sahaja mencintai Islam. Sekurangnya-kurangnya, pandangan beliau tidak segila pandangan Sati' al Husri yang melihat agama dan bangsa atau negara itu berbeza. Pandangan sekular ini al-din li-Allah wa-al-watan li-al-jami' nyata bertentangan sekali dengan hakikat Islam.

Pandangan Bazzaz nyata adalah pandangan yang biasa dipegang oleh orang-orang Melayu rantau ini. Islam itu Melayu, Melayu itu Islam, mencintai Melayu adalah mencintai Islam.

Kita sering memandang jelek kepada nasionalisme ini tanpa menyedari kita berada di bawah lindungan bayang-bayangnya setiap waktu. Nasionalisme yang sederhana sehingga tidak berlaku zalim dan mengenepikan prinsip keadilan adalah nasionalisme yang diterima. Akan tetapi jenis fahaman nasionalisme yang datang dari konspirasi barat ditiup di kalangan umat Islam hingga memecah-belahkan mereka; inilah yang jelasnya nasionalisme kepuakan. Kita akan melihat kedua-duanya selepas ini.

Menurut George Antonius dalam The Arab Awakening (1938), gerakan nasionalisme moden pertama kali di dunia Islam bermula di Beirut pada tahun 1875 secara rahsia. Gerakan kebangsaan ini menular secara perlahan tetapi menusuk kerana beberapa faktor pemudahnya.

Kemerosotan pemerintahan Othmaniyyah

Era Tanzimat-I-khairiah dalam jajahan empayar Islam. Ini adalah era modenisasi dan reformasi untuk memilih dan menerima ide-ide barat yang munasabah tetapi perlaksanaan yang tidak dikawal dan penghayatan Islam yang makin lemah memudahkan segala jenis budaya barat yang tidak tersaring langsung diimport masuk dalam wilayah Islam. Perluasan kuasa barat ke atas negara-negara Islam, paling ketara dan meledakkan ialah bila Perancis melanggar Mesir dalam tahun 1789.

Peranan misionaris Eropah dan Amerika

Mereka menubuhkan Syrian Protestant College (sekarang American University Of Beirut) dan University Of St. Joseph diasaskan pada 1866 dan 1875. Menurut George Antonius, Syrian Protestant Collegue inilah yang bertanggungjawab melahirkan nasionalisme Arab buat pertama kalinya.

Terdapat beberapa faktor sampingan lain yang memudahkan nasionalisme bersarang di rumah orang-orang Islam. Antaranya sentimen anti Turki yang bermula di Lubnan, ide-ide politik kesan dari Revolusi Perancis, kebangkitan semula bahasa Arab melibatkan percetakan akhbar-akhbar Arab, perjalanan orang-orang Arab yang lebih jauh ke dunia barat, dan kepulangan semula penghijrah Arab setelah tinggal lama di Amerika. Namun tidak ada yang lebih besar sumbangannya, melainkan kewujudan kelab-kelab sastera Arab oleh kumpulan-kumpulan pelajar dan siswa di Universiti-universiti yang ditaja oleh misionaris.

Orang-orang Arab Kristian kemudian menuntut autonomi dari pentadbiran Othmaniyyah di Istanbul kerana mereka kurang selesa dengan gaya tradisional Turki. Mereka telah banyak terpengaruh dengan ide-ide barat. Perlahan-lahan intelek Islam turut menyokong tuntutan mereka.

Suatu garis sejarah yang besar perlu dicatat di sini ialah bagaimana belia Turki menubuhkan The Committee Of Union and Progress yang kemudiannya berdepan dengan masalah dengan belia Arab. Pemungkiran janji yang dibuat di Paris Congress Of 1907 mencetuskan kegelisahan dan kekecewaan.

Jam'iyah al 'Arabiyah al-Fatat yang diasaskan di Paris 1909 adalah pertubuhan pertama yang tersusun dan meletakkan rahsia besarnya iaitu untuk memisahkan negara-negara Arab dari pemerintahan Turki. Harus diingat pertubuhan-pertubuhan ini tidak menyatakan matlamat mereka secara terang kerana pada masa yang sama gerakan reformasi Islam lebih bertenaga.

Tokoh-tokoh reformis Islam seperti Jamaluddin el Afghani (1839-1897), Muhammad Abduh (1849-1905) dan Abdul Rahman al Kawakibi (1849-1903) lebih segar kritik dan penentangan mereka terhadap tradisionalisasi kerajaan Othmaniyyah. Gerakan nasionalismme al Fatat tadi menjadi lebih perlahan dan berahsia kerana ide solidariti Afghani dan rakan-rakan tidak menolak nasionalisme. Abduh pula menganggap cinta bangsa dan negara sebagai tanggungjawab agama. Sedang Kawakibi menyatakan memang ada bezanya antara Arab dan bukan Arab dalam komuniti Islam.

Beza reformis Islam ini dan sekular-nasionalis adalah jelas iaitu reformis Islam mempercayai pemulihan agama (tajdid) dari kepercayaan yang lapuk dan khayalan bodoh untuk memungkinkan semula kebangkitan Islam berbanding pandangan Ibrahim al Yaziji dan Nagib Azouri yang mahu memisahkan realiti agama dari tindak-tanduk national itu sendiri.

Ciri-ciri sekularis-nasionalis ini ketika itu ialah, program-program berdasarkan Anglo-Saxon Liberalism. Ini melibatkan pemisahan agama dan negara, pengenalan kepada teknologi moden, peningkatan dalam pendidikan, menggalakkan penglibatan tempatan dalam menyumbang pendapatan peringkat kebangsaan, meluaskan politik, kebebasan sosial dan reformasi prosedur pentadbiran.

Gerakan nasionalisme ini sama bercambahnya dengan gerakan sosialisme ketika itu. Perlahan-lahan gerakan kebangsaan Arab menjadi besar dan kuat menjelang dan sesudah Perang Dunia Kedua. Kejatuhan kerajaan Othmaniyyah secara automatik menyemarakkan lagi gerakan ini dan dalam tempoh yang tidak lama, ia menjangkiti wilayah-wilayah Islam yang lain termasuk rantau ini.

Seperti yang telah disebut sebelum dari ini, nasionalisme secara sederhana, sedar atau tidak semacam telah menjadi pegangan kita secara tabii dan ia diterima dengan memadai oleh kebanyakan tokoh reformis. Akan tetapi apakah ia garis panduan untuk kita mengukuri samada nasionalisme itu dibenarkan atau tidak atau nasionalisme itu melampau atau sederhana?

Rasulullah secara tidak langsung telah memberi isyarat, sesuai pula dengan tindak-tanduk sahabat kemudiannya, sebagai panduan. Bukankah Rasulullah yang menyatakan, kalau Fatimah binti Muhammad mencuri, akan ku potong tangannya. Ini menggambarkan bahawa rasa cinta terhadap kaum kerabat tidak boleh meluputkan keadilan di dalam Islam. Juga Amr bin Ash yang memerintah Mesir, tidak teragak menghukum anak sendiri bila berlaku perselisihan dengan seorang Arab Badwi ketika mereka bermain lumba kuda.

Jelasnya, nasionalisme yang mengarah kepada ketidakadilan atau kezaliman adalah terlarang dan dikira bersalahan dengan Islam kerana Islam hanya menerima prinsip keadilan. Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran seputar cemuhan Allah dan azab ke atas penzalim. Akan tetapi ulama seperti Hassan al Banna, Nawab Safavi, Syed Qutb, Ghazzali dan Maududi menjelaskan Islam tidak memerlukan nasionalisme sebagai formula solidariti kerana sifat Islam itu sendiri sudah jelas memberi kelebihan dalam kesatuan. Hamid Enayat menulis dalam Modern Islamic Political Thought (1982), ulama ini menganggap:
Islam possesses enough ideological and emotional resources to galvanize the masses in the cause of independence. Even patriotism of the vaunted nineteenth century type is discarded from the lexicon of these leaders, because the only homeland they recognize is not the familiar one associated with specific ethnic groups, but the global abode of Islam, though this time called, not by the traditional term dar al-Islam but by the newly-coined al-watan al-Islami.

Awalnya, sebaik sahaja selepas Perang Dunia pertama, ulama Azhar adalah penentang kuat kepada nasionalisme. Antaranya ialah Muhammad Abu 'l- Fadl al-Jizawi, Mufti Mesir Abdul Rahman Qurrah, kemudian Syeikh Muhammad Ghunaimi membantah fahaman iqlimiyyah dan Syeikh Mustafa al-Maraghi, reaktor Azhar yang baru. Tetapi dua tiga tahun sebelum Perang Dunia Kedua, sanggahan-sanggahan ini mulai merosot, barangkali kerana tiga sebab besar:
Revolusi Julai yang menumbangkan sistem monarki di Mesir.

Kebangkitan Jamal Abdul Naser, dan peluasan kuasa Zionis di Timur Tengah

Kekeliruan dengan apa yang dipanggil kini sebagai nepotisme dan kronisme. Konklusinya, konsep nasionalisme ini ada batasnya untuk diterima. Saidina Umar telah mengkhuatirinya awal-awal lagi, dengan menyatakan kebimbangan sekiranya Saidina Osman dilantik sebagai khalifah tentulah beliau akan mengutamakan Bani Umaiyyah hingga tiba satu masa rakyat bangkit membunuhnya.

Duka cita sekali, ketakutan Saidina Umar itu berlaku. Ia menjadi benar-benar jelas ketika pemerintahan Bani Umaiyyah, suku Arab dan non-Arab benar-benar dirangsang nasionalisme hingga Hajjaj Yusuf mengeluarkan perintah, tiada seorang 'Ajam pun boleh mengimami solat umum di Kufah.

Akibatnya golongan 'Ajam, dengan segala macam diskriminasi dan tekanan, menyokong gerakan Abbasiyyin untuk menggulingkan Bani Umaiyyah dengan harapan ketidakadilan ini akan berubah. Sebaliknya keadaan menjadi lebih buruk di mana konsep devide et empera telah dilaksanakan begitu meluas. Malah Ibrahim bin Muhammad bin Ali bin Abdullah bin Abbas, imam gerakan Abbasiyyin mengeluarkan perintah berbunyi:
Jika engkau ragukan kebangsaan Arab seorang anak kecil yang panjangnya lima jengkal, maka bunuhlah dia.

Penjajahan ke atas umat Islam oleh kuasa-kuasa barat dan pemberian kemerdekaan secara berasingan mempercepatkan lagi perkembangan nasionalisme di dunia Islam. Oleh itu Barat tidak boleh dipersalahkan secara total kerana memang sikap kesukuan dan fahaman kebangsaan ini sudah menjadi satu sifat bagi diri manusia itu sendiri.

Umat Islam yang lemah daya tahan, kejahilan umat dan kelesuan ulama penyebab mereka termakan dakyah nasionalisme moden yang disuntik barat dan didalangi oleh individu-individu kelahiran Islam lebih mudah. Nasionalisme tidak boleh disingkir dari diri kita begitu sahaja kerana memang fitrah manusia mencintai kaum dan bangsanya. Cuma nasionalisme akan menjadi sesuatu yang terlarang dan punca kerosakan umat sekiranya ia dibiarkan bermaharajalela hingga keadilan, prinsip yang sangat ditegaskan oleh Islam diketepikan.

Berdasarkan realiti semasa dan situasi masyarakat kita, nasionalisme tidak dapat disangkalkan pernah menjadi faktor pemersatu (unifying force) dalam meninggikan martabat Islam itu sendiri.

Malah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut sendiri pun telah menyatukan sentimen bangsa dan agama untuk menggerakkan jihad menentang kuasa kuffar dan mustakbirin Inggeris di Tanah Melayu di awal kurun ini.

Wahabi Itu Ulama Tajdid?

Oleh Alexanderwathern


Soalan oleh Azrin:
Salam. Saya rasa tak sesuailah anda menggunakan istilah Salafi Wahabbi untuk mengambarkan golongan Salafi yang keras. Rasanya elok anda kaji lagi berkenaan Salafi. Kalau anda kaji betul-betul mesti anda akan rasa bersalah menggunakan nama Wahabi kerana ia dinisbahkan kepada seorang ulama tajdid.


Jawapan oleh Alexanderwathern:
Wa'alaikumussalam Azrin.

Saya pula rasa anda tersalah faham dan kekurangan maklumat kerana belum membaca dan mengkaji tulisan-tulisan saya tentang Salafi Wahabi YANG KAMI TOLAK. Salafi Wahabi yang kami tolak ini tidak ada pembahagian seperti wujudnya golongan yang lembut dan yang keras. Tidak ada pembahagian seperti itu. Apabila seseorang itu jelas berfahaman Salafi Wahabi sebagaimana yang kami maksudkan dalam artikel DI SINI, maka golongan itulah yang kami gambarkan.

Diharapkan sangat agar tuan memahami terlebih dahulu SALAFI WAHABI YANG KAMI TOLAK sebelum memberi apa-apa komen. Sudah banyak komen yang membawa lebih mudarat berbanding manfaat kerana penulisnya tidak faham apa yang mereka tidak persetujui tetapi masih mahu menyuarakan teguran.

Sebenarnya Azrin, saya sudah mengkaji tentang Salafi Wahabi YANG KAMI TOLAK itu sudah begitu lama. Malah saya sudah meminta petunjuk dan gerak kepada Allah melalui istikharah tentangnya, juga sudah sekian lama. Saya sudah mengkaji BETUL-BETUL dan tidak pernah berasa bersalah menggunakan nama WAHABI untuk menunjukkan kaum Salafi Wahabi yang kami tolak itu. Malahan saya berasa sangat beruntung kerana dipilih oleh Allah untuk berjuang menolak APA YANG SALAH daripada fahaman Salafi Wahabi ini.

Menurut anda, nama Wahabi itu dinisbahkan kepada seorang ulama tajdid. Buat masa ini saya tidak punya cukup maklumat siapakah tokoh yang anda maksudkan kerana tulisan anda pun pendek sahaja. Jika benar ia dinisbahkan kepada seorang tokoh tajdid, maka ia tidak ada kena mengena dengan Salafi Wahabi yang ditolak kerana istilah SALAFI WAHABI/ WAHABI yang kami guna tidak dinisbahkan kepada SATU INDIVIDU tetapi kepada satu fahaman yang membawa banyak keburukan kepada agama dan umat Islam.

Begitulah jawapan saya buat anda- tamat.


Seterusnya pula saya ingin berkongsi sedikit pengalaman.

Pernah beberapa orang menisbahkan istilah Wahabi itu kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dari Najd. Orang ini jelas bukan tokoh tajdid kerana dia membentuk tentera (bukannya rombongan dakwah) lalu menyerang wilayah Hijaz khususnya Makkah dan Madinah yang berada di bawah kekuasaan daulah Islam. Maksudnya ia memberontak kepada khalifah yang memimpin daulah Islam. Kita tentu sedia maklum apa hukuman ke atas pemberontak. Tenteranya telah membunuh banyak ulama malah keturunan Nabi Muhammad saw. Saki-baki keturunan Nabi ini banyak yang diusir ataupun terusir dari Hijaz.

Ada yang cuba berdalih kononnya wilayah Najd tidak termasuk ke dalam daulah Islamiah tetapi ia wilayah yang bebas. Hal ini maksudnya tentera Najd sudah menyerang sebuah wilayah daulah Islam iaitu Hijaz. Kita juga sedia maklum apa hukuman ke atas mereka yang menyerang negara Islam. Pusing ikut mana pun, mereka ini tetap segerombolan penjenayah dan pengganas.

Fahaman yang dibawa oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab ini dipraktikkan oleh tentera yang membawa fahamannya. Mereka menyerang binaan kubah, batu-bata, kayu-kayu dan sebagainya yang mereka anggap sebagai elemen khurafat dan syirik di Hijaz. Tindakan ini jelas tidak ada tajdidnya malah menunjukkan kejahilan dan kekerasan melampau.

Yang membawa kerosakan paling besar ialah sifat mazmumah yang ada dalam diri manusia, bukannya binaan-binaan dan batu bata. Jika benar akidah umat boleh rosak dengan binaan-binaan itu, orang yang bijak pastinya akan sasarkan jiwa umat yang di dalamnya bersarang sifat-sifat mazmumah. Betulkan akidah ummah dengan tarbiah hati melalui majlis-majlis pengajian, perdebatan, ceramah, muzakarah dan sebagainya.

Apabila sifat mazmumah dalam diri mereka sudah banyak dihakis, dengan sendirinya mereka akan meruntuhkan binaan-binaan itu ataupun mereka tidak pedulikan lagi binaan-binaan itu. Beginilah cara yang bijak lagi berhemah, bukannya dengan menjadikan binaan-binaan itu sebagai sasaran. Mensasarkan batu-bata dan binaan ini akhirnya mendatangkan korban jiwa yang bukan sedikit. Beginikah dakwah tajdid yang bijak?

Tindakan tokoh tajdid- sasarkan hati manusia. Selepas itu dengan sendirinya manusia akan membuat perubahan. Tindakan orang yang pendek akal- serang batu-bata dan binaan untuk mentarbiah jiwa manusia.

Ringkasnya, syeikh dari Najd ini bukanlah tokoh tajdid.

Pada zaman Saidina Umar, tenteranya berjaya mendapatkan kunci Baitul Maqdis. Ketika itu di sekitar Palestin terdapat banyak binaan kuburan para Nabi dan wali terdahulu. Namun Saidina Umar tidak pula menyerang batu-bata dan binaan yang tidak bernyawa itu. Bahkan di tempat pertama Rasulullah menjejakkan kaki di sana dalam Isra’nya, didirikan sebuah masjid sebagai mengambil berkat dan mengenang sejarah. Apa yang dilakukan Saidina Umar ini jelas bertentangan dengan dakwah gusar Muhammad bin Abdul Wahhab.

Begitulah sedikit perkongsian pengalaman, yang mungkin tidak ada kena-mengena dengan teguran anda di atas. Namun kita anggap ia sebagai menambah pengetahuan am saja.

Wallahualam.

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

 
Setiap tulisan yang ada di sini adalah digalakkan untuk disebarkan. Pro Tajdid direkabentuk oleh Tawel Sensei sambil melayan Radio IKIM.