Affiliasi
Blog ini tidak dan tidak akan mempunyai sebarang affiliasi dengan mana-mana laman, blog dan servis yang ada di internet melainkan jika diberitahu dengan jelas, terang dan nyata.Secara ringkas, setiap pautan yang terdapat di bahagian blogroll laman ini boleh dikelaskan sebagai affiliasi blog Pro Tajdid. Oleh yang demikian, jika anda memasuki laman ini dari mana-mana laman, blog, dan servis yang nampak 'semacam', maka silalah semak sama ada url web tersebut ada atau tidak pada bahagian blogroll.
Jika tiada, maka pihak blog Pro Tajdid menasihatkan supaya mengambil sikap berhati-hati terhadap segala maklumat yang terdapat di sana.
Mengapa Ada Pengumuman Ini?
Beberapa bulan lalu, logo blog ini telah dicuri dan disalahgunakan oleh beberapa pihak tertentu. Logo itu telah diletakkan di sebuah blog, tetapi apabila pengguna mengklik logo tersebut, ia tidak akan membawa ke blog ini. Sebaliknya ia akan membawa anda ke sebuah halaman, yang mana bagi pihak blog Pro Tajdid, laman tersebut tidak mendukung idea tajdid yang patut kita fahami dan amalkan.Namun demikian, masalah ini sudah selesai. Logo tersebut sudah tiada lagi di blog tersebut.
Kemudian baru-baru ini, ada seorang hamba Allah, yang boleh juga dimetaforakan sebagai seekor 'musang berbulu ayam', telah membuat satu akaun di YouTube. Pemilik akaun tersebut telah membuatkan pautan kepada blog ini. Malangnya kandungan video yang terdapat di sana lebih banyak memuatkan unsur-unsur fitnah, di samping banyak menyindir dan memperlekehkan para ulama. Malah video yang dimuatnaik oleh musang berbulu ayam ini juga telah menggunakan logo blog ini dengan sewenang-wenangnya.
Kepada mereka yang termelawat blog ini melalui akaun YouTube tersebut, ingin ditegaskan bahawa blog ini TIDAK MEMPUNYAI sebarang affiliasi dengan akaun tersebut.
Sebagai penutup, sentiasalah berhati-hati dengan 'musang berbulu ayam' di internet ini, yang kerjanya tidak lain hanya menabur fitnah dan melempar batu sembunyi tangan.
Oh ya, tidak semua musang itu jahat. Ada satu musang yang baik, iaitu Musang Api. Sila tajdid komputer anda dengan Musang Api. Mengapa memilih Musang Api?
Pengumuman Lain
Memang menjadi polisi blog ini untuk lambat update. Ini supaya setiap artikel yang diletakkan di sini dapat dibaca dengan penuh tenang dan tidak tergesa-gesa.Jika ada artikel berkaitan tajdid yang ingin dikongsi, sila hantarkan melalui e-mel yang terdapat di sebelah kanan laman ini.
Untuk memudahkan kerja anda, boleh juga melanggan blog ini secara emel atau RSS.
Sekian. Wassalam!
Label: pengumuman
Pengenalan Tentang Tajdid
Tajdid ialah suatu proses pembaharuan dalam umat Islam, yang mengeluarkan umat Islam dari kepincangan kepada kondisi yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Konsep tajdid ini merupakan senjata kekuatan umat Islam sejak zaman berzaman, di mana, setiap kali umat Islam mengalami kemunduran, maka Allah s.w.t. akan melahirkan individu atau golongan dalam umat Islam, yang sanggup menggadaikan hidup mereka demi membaikpulih umat Islam dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam.Sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud:
"Allah s.w.t. akan mengutuskan bagi umat ini (umat Islam), setiap seratus tahun orang yang akan memperbahrui (tajdid) agamanya (agama umat Islam."
(Hadis riwayat Abu Daud, Al-Hakim, Al-Baihaqi, Al-Hasan bin Sufian, Al-Bazzar, At-Tabrani, Abu Nu’aim dan sebagainya).
Realiti Umat Islam: Keperluan kepada Golongan Mujaddid
Suatu fenomena yang amat menggembirakan, apabila timbul ramai golongan yang cuba merealisasikan konsep tajdid ini, khususnya pada zaman ini, di mana umat Islam dirundung seribu satu macam kepincangan, di segenap aspek kehidupan mereka.Dari sudut kerohanian, ramai umat Islam yang tidak menjalinkan hubungan yang baik dengan Allah s.w.t., samada dengan mentaati perintah-Nya mahupun dengan meninggalkan larangan-Nya. Apa yang disuruh, itulah yang ditinggalkan dan apa yang dilarang, maka itulah yang dilakukan (na'uzubillah).
Benih-benih keimanan sudah hilang dari dada mereka. Akar-akar ketaqwaan sudah kian rapuh dimamah seribu satu maksiat dan dosa. Mereka hilang hala tuju, tidak pasti ke mana mahu dituju. Apa yang pasti, bagi mereka, hidup hanya sekali, sekurang-kurangnya itulah peluang untuk berhibur. Keimanan tentang alam selepas kematian, baik alam kubur mahupun alam darain (dua rumah, iaitu syurga dan neraka) telah pudar. Hijab antara mereka dan Tuhan mereka semakin menebal.
Adaupun dari sudut kebendaan, umat Islam turut tersenarai di kalangan negara-negara mundur ataupun membangun. Bahkan, umat Islam seolah-olah perlu menjadikan tamadun Barat sebagai guru dalam kemodenan. Kayu pengukur sesebuah tamadun juga ialah tamadun Barat, sedangkan masyarakat Islam yang sepatutnya menjadi umat manusia yang terbaik, seolah-olah sudah hilang identitinya.
Dari sudut kemasyarakatan pula, umat Islam menghadapi kepincangan yang amat dahsyat. Segala penyakit kemasyarakatan dapat disaksikan dalam umat Islam secara umumnya. Institusi kekeluargaan masyarakat Islam juga kian rapuh, di mana seorang isteri sudah lagi tidak menghormati suaminya dan seorang anak sudah tidak lagi mempedulikan ibu bapanya.
Dari sudut ekonomi, ketenteraan dan ilmu pengetahuan pula, umat Islam tidak ketinggalan dalam menjadi umat yang ketinggalan, jauh di belakang negara-negara Barat. Bertolak dari itu juga, umat Islam semakin ditindas saban hari dalam segenap aspek. Pelbagai serangan dilancarkan ke atas umat Islam, samada serangan berbentuk ketenteraan, serangan ekonomi mahupun serangan pemikiran.
Realiti ini mengetuk pintu-pintu hati mereka yang perihatin tentang Islam dan umatnya. Ada di kalangan umat Islam yang turut terpanggil untuk melakukan perubahan dalam mengembalikan kedaulatan Islam dan umatnya. Ramai di kalangan mereka yang menyeru kepada proses reformasi umat Islam dalam konteks tajdid.
Bertolak dari itu, timbullah pelbagai gerakan-gerakan tajdid dalam masyarakat Islam, yang membawa wadah pembaharuan dalam umat Islam. Gerakan-gerakan tersebut mula menyusun langkah dalam agenda pengstrukturan semula umat Islam. Pelbagai pendekatan dilakukan dalam mendaulatkan Islam semula, dalam masyarakat Islam, kerana kunci kebangkitan umat Islam ialah pada Al-Qur'an dan As-Sunnah. Umat Islam tidak akan mampu untuk menjadi umat yang terbaik, sehinggalah mereka berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah dan mengamalkannya dalam segenap aspek kehidupan mereka.
Apa yang kita lihat melalui fenomena munculnya pelbagai gerakan Islam ini, seolah-olah ianya merupakan suatu perkembangan yang positif dalam mengembalikan semula kedaulatan Islam. Namun, dari sudut yang berbeza, kita dapati juga, ada segelintir golongan yang turut menyertai gelombang tajdid umat Islam tersebut, namun tidak memahami terlebih dahulu prinsip-prinsip tajdid itu sendiri.
Di Sebalik Nama Tajdid
Kita terlebih dahulu amat menyokong gelombang tajdid dan reformasi dalam masyarakat ini, dan semoga Allah menjadikan kita termasuk dalam golongan yang membawa panji-panji Islam dan terlibat dalam gelombang tajdid dan islah tersebut.Namun, nasihat itu memberi manfaat kepada umat Islam (insya Allah). Apa yang ingin diperkatakan di sini ialah, tentang sikap dan tindakan segelintir golongan yang mengaku sebagai pendokong tajdid, namun bertindak dalam bentuk yang berlawanan dengan apa yang didokongi tersebut.
Fokus penulis ialah tentang segelintir manusia yang gagal mengenalpasti punca kelemahan umat Islam, lantaran itu, secara tidak langsung membuka pintu-pintu baru dalam menambah kerosakan umat Islam.
Atas nama tajdid, golongan tersebut membawa isu-isu remeh seperti perkara-perkara khilafiyah, ke tengah-tengah masyarakat awam Islam, seterusnya membawa kepada gejala perpecahan dan saling menyalahkan antara satu sama lain.
Golongan ini cuba membela pendapat-pendapat ulama' dan ketua mereka, lantas menyerang dan menjatuhkan mazhab-mazhab para ulama' yang bercanggah dengan mereka. Fenomena ini merupakan suatu realiti yang berlaku dalam masyarakat Islam.
Golongan tersebut wujud dalam pelbagai nama yang berbeza, tetapi manhaj mereka tetap sama, walaupun ada di kalangan mereka cuba menafikan perkaitan mereka dengan yang lain.
Kemunculan Wahhabi
Secara umumnya, golongan tersebut dikenali sebagai golongan Wahhabi. Mereka merupakan golongan yang terpengaruh dengan gerakan dakwah dan pemikiran seorang penda'i Islam, Muhammad bin Abdul Wahab. Slogan perjuangan mereka ialah untuk menyucikan Tauhid umat Islam yang sudah tercemar dengan pelbagai pencemaran, termasuklah daripada ajaran-ajaran tarikat dan kesufian.Pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap golongan sufi secara umumnya, walaupun kita tidak menafikan bahawa, ada sebahagian dari mereka (golongan sufi) yang sesat. Tetapi, "pukul sama rata" dalam menuduh golongan sufi secara keseluruhannya adalah sesat merupakan suatu jenayah ilmiah dan suatu fitnah yang besar.
Golongan ini tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan mereka juga menyerang dan menyalahkan pendapat-pendapat dan mazhab-mazhab fiqh yang tidak bersesuaian dan tidak menepati mazhab dan pendapat mereka dalam masalah fiqhiyah. Bukan setakat itu sahaja, bahkan ada di kalangan mereka juga yang turut membid'ahkan golongan-golongan yang tidak sehaluan dengan mereka, samada dalam masalah fiqh, aqidah mahupun akhlak.
Dalam perkembangan yang sama, ada di kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan gelaran Wahhabi, lantas menukarkan nama gerakan dan mazhab mereka sebagai Salafi, yang bermaksud, golongan yang mengajak kepada manhaj Salaf yang hidup dalam 3 kurun yang pertama dalam sejarah Islam.
Baik Salaf mahupun Wahhabi, manhaj dan kaedah dakwah mereka sama. Mereka bermati-matian menyerang golongan sufi secara keseluruhan dan menyerang pendapat-pendapat dan ijtihad para ulama' yang bercanggah dengan ijtihad guru dan ketua mereka, seperti Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab dan Sheikh ibnu Taimiyah.
Ta'asub mazhab mereka terlalu menebal, walaupun mereka mengaku tidak bermazhab dan menolak tradisi bermazhab dalam umat Islam. Bagi golongan ini, kebenaran adalah bersama mereka dan selain dari mereka adalah sesat dan bid'ah. Bahkan, lebih kritikal daripada itu, mereka terlalu mudah mengkafirkan umat Islam yang tidak sehaluan dengan mereka khususnya golongan sufi.
Wujudkah Wahhabi di Malaysia?
Setelah kita fahami sedikit sebanyak tentang golongan tersebut, dapatlah kita fahami bahawa, mereka sebenarnya membawa kepada gelaja perpecahan dan kemelut umat Islam yang lebih besar, atas nama tajdid.Hendaklah kita fahami bahawa, golongan tersebut cuba menebarkan pengaruh mereka ke serata dunia. Kalau di Mesir ini, mereka bergelar sebagai Ansor Sunnah. Golongan tersebut telah membawa pelbagai kemelut dan perpecahan dalam umat Islam di Mesir sehingga memaksa para ulama' Al-Azhar menjawab segala pertuduhan mereka terhadap umat Islam secara umumnya, dan golongan sufi khususnya.
Kita tidak mahu aliran Wahhabi ini menyelinap masuk ke dalam negara Malaysia yang dicintai, agar kesatuan masyarakat Islam di Malaysia dapat dipertahankan. Walaupun tidak ada golongan atau individu di Malaysia yang mengaku sebagai Wahhabi, tetapi ingatlah bahawa, Wahhabi itu bukan pada nama, tetapi pada fikrah dan kaedah golongan tersebut.
Kalau kita perhatikan di Malaysia, tiada golongan yang jelas Wahhabinya, namun ada individu atau segelintir golongan yang mendokong fikrah dan wadah perjuangan mereka (golongan Wahhabi).
Ada yang berselindung di dalam universiti-universiti awam, ada yang berselindung dalam medan penulisan, ada yang berselindung dalam dunia internet, ada yang berselindung di sebalik nama PROTAZ, bahkan ada juga yang berselindung di dalam jamaah-jamaah haraki di Malaysia. Apa yang pasti, fikrah mereka sama dengan fikrah dan agenda para Wahhabi.
Untuk mengenalpasti golongan "Neo-Wahhabi" di Malaysia, ada beberapa ciri antaranya:
Mereka sering mengarang tulisan-tulisan dan buku-buku dalam usaha menyebarkan pendapat-pendapat baru dalam fiqh Islam, seterusnya menghimpunkan dalil-dalil untuk menolak dan mengingkari pendapat-pendapat fiqhiyah yang diamalkan oleh para mufti masyarakat awam dan di Malaysia, sejak dahulu lagi (mazhab Syafi'e), seperti menolak bacaan Qunut setelah solat Subuh dan sebagainya.
Ada juga yang cenderung untuk menyerang golongan-golongan sufi, dan menyesatkan keseluruhan golongan sufi tanpa membezakan antara golongan sufi yang sesat ataupun yang benar. Bahkan, ada juga yang sampai menolak istilah tasauf itu sendiri.
Ada juga di kalangan mereka yang menimbulkan kecelaruan di tengah-tengah masyarakat awam Malaysia dengan mengetengahkan persoalan-persoalan khilafiyah (diperselisihkan ulama' mengenainya), seperti masalah tawassul dan sebagainya.
Kita tidak nafikan juga, ada di kalangan mereka yang sering mengadakan pelbagai seminar tentang manhaj dakwah Salafi samada dalam masyarakat awam mahupun dalam masyarakat intelektual, bagi bertujuan untuk menerapkan fikrah-fikrah yang memecahbelahkan umat Islam.
Dari ciri-ciri tersebut, kita bukanlah ingin membuat kesimpulan bahawa, setiap yang melakukan perkara-perkara tersebut adalah termasuk dalam golongan Wahhabi, tetapi kita ingin menyatakkan bahawa, kemungkinan, mereka yang melakukan perkara tersebut, sekurang-kurangnya, sudah terpengaruh dengan gagasan pemikiran Wahhabi (dan boleh jadi juga tidak).
Mengapa Wahhabi atau Neo-Wahhabi Perlu Ditolak?
Kita dapati bahawa, fikrah Wahhabi boleh memecahbelahkan masyarakat kerana mereka menutup ruang perbezaan pendapat di kalangan umat Islam. Mereka terlalu mengagung-agungkan pendapat mereka sehingga berani menyalahkan atau membid'ahkan pendapat dan ijtihad yang bercanggah dengan pegangan mereka. Ini boleh membawa kepada sebuah masyarakat yang saling salah-menyalahkan dan akhirnya membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam.Golongan ini juga cuba menerapkan perbincangan-perbincangan yang bercanggah dan pertentangan dengan praktis dana amalan masyarakat Islam awam khususnya di Malaysia, yang mana, muftilah yang menjadi tempat rujukan agama bagi masyarakat awam. Budaya mengetengahkan kelainan pendapat dalam agama dalam masyarakat Islam, serta menolak pendapat, ijtihad, mazhab dan amalan masyarakat awam di Malaysia yang diambil daripada para mufti mereka, merupakan suatu usaha yang bakal membawa kepada perpecahan dan kekeliruan.
Bahkan, fikrah Wahhabi juga bukanlah suatu fikrah yang menyeru kepada tajdid, tetapi ianya menyeru kepada tajmid (menjumudkan), kerana ia menolak sebarang pembaharuan yang diada-adakan walaupun ianya demi kemaslahatan umat Islam dan tidak bercanggah dengan nash-nash dari Al-Qur'an dan As-Sunnah, hasil dari salah faham mereka terhadap hadis Rasulullah s.a.w. tentang bid'ah.
Mereka juga menolak konsep pembahagian bid'ah kepada bid'ah hasanah dan bid'ah dholalah, yang menjadi pegangan kebanyakkan para ulama' Islam. Lantaran itu, mereka bersikap keras dalam masalah yang diperselisihkan para ulama' mengenainya, seolah-olah mereka sahaja yang memahami nash-nash Islam, sedangkan yang bertentangan dengan mereka tidak memahaminya, walaupun pada hakikatnya, golongan yang bercanggah dengan mereka (Wahhabi) lebih kuat hujahnya berbanding mereka.
Kita tidak menolak Wahhabi kerana dendam kesumat, bak kata Dr. Asri, tetapi kita menolak Wahhabi kerana ianya membawa kepada perpecahan dan i'jabul mar'i bi ra'yihi (taasub seseorang dengan pendapat sendiri).
Kita tidak menolak Wahhabi kerana gurunya ialah Muhammad bin Abdul Wahab. Kita akui, ada di kalangan ulama' yang memujinya, walaupun ramai juga di kalangan ulama' yang menolaknya. Kita tidak menolak Wahhabi kerana mereka cuba membersihkan masyarakat Islam dari kepincangan. Masalahnya, perjuangan Wahhabi itu sendiri, hasil dari salah faham mereka terhadap prinsip-prinsip Islam dan realiti umat Islam.
Wahhabi menyeru umat Islam supaya kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, sedangkan Al-Qur'an dan As-Sunnah itu sendiri terdapa banyak kefahaman mengenai isi-isinya. Sedangkan dalam bidang Al-Qur'an sendiri, kitab-kitab tafsir yang menafsirkan ayat-ayatnya amat banyak. Begitu juga kitab-kitab hadis, di mana Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim juga disyarah oleh para ulama'. Ini menunjukkan bahawa, nash-nash Al-Qur'an dan As-Sunnah juga ditafsirkan dan disyarah dalam pelbagai pendapat dan tafsiran. Ini menunjukkan juga bahawa, para ulama' turut berselisihan dalam memahami nash-nash Al-Qur'an dan As-Sunnah.
Namun, apa yang diseru oleh Wahhabi ialah, kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, tetapi menurut kefahaman siapa? Kebanyakkan umat Islam sebelum kewujudan para Wahhabi juga telah berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah dalam bidang fiqh, aqidah mahupun tasauf. Buktinya, para ulama' sebelum kehadiran Wahhabi juga menjadikan seluruh hidup mereka untuk berkhidmat kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah samada melalui kitab-kitab mereka mahupun dalam majlis ilmu mereka. Mereka saban hari menyeru umat Islam di zaman mereka berpegang kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah di samping menjelaskan kefahaman-kefahaman Al-Qur'an dan As-Sunnah kepada masyarakat.
Kemunculan Wahhabi yang mengajak kepada "berpegang kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah" merupakan suatu ajakan yang kosong kerana umat Islam sebelum kedatangan Wahhabi juga telah berpegang kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, walaupun ada yang terpesong (tetapi majoritnya masih lagi menggunakan Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai rujukan).
Jika begitu, umat Islam yang setelah sekian lama berpandukan Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai panduan mereka dalam hukum dan sebagainya, sebelum kedatangan Wahhabi, mengapakah para Wahhabi tiba-tiba muncul menyeru kepada perkara yang sudah dilakukan oleh majoriti umat Islam (iaitu berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah)?
Kita boleh menyimpulkan beberapa andaian dari kemunculan Wahhabi yang menyeru supaya kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah sedangkan umat Islam sudahpun menggunakan Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai sumber hukum, adalah seperti berikut:
Pertama:
Kemunculan gerakan Wahhabi yang menyeru kepada "berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah, kerana mereka memerhatikan segelintir daripada umat Islam tidak berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah.
Hal ini menyebabkan mereka membawa gerakan-gerakan secara besar-besaran dalam menyeru umat Islam seluruhnya kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah. Apa yang kita lihat, seruan Wahhabi ini sepatutnya bersifat juz'i (cabang) kerana bukan semua umat Islam tidak berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah. Hanya segelintir daripada mereka sahaja yang tidak berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah seperti golongan fasiq, golongan sufi yang sesat, golongan falsafah yang menyeleweng dan sebagainya.
Tetapi, mengapa mereka yang sepatutnya melakukan gerakan yang bersifat juz'i (cabang), tiba-tiba membesarkan skop gerakan mereka sehingga memperjuangkan mazhab-mazhab imam mereka, lantas menolak mazhab-mazhab yang bercanggah dengan mazhab imam mereka?
Apa yang jelas bagi mereka takkala mereka melakukan sedemikian ialah, mereka menganggap hanya mazhab mereka sahaja yang sesuai dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah dan menepati kehendak dan kefahaman nash-nash yang ada, sedangkan mazhab-mazhab yang lain tidak benar. Ini membawa kepada usaha menyerang ijtihad-ijtihad yang tidak sehaluan dengan mereka, dalam usaha memertabatkan mazhab mereka.
Ini merupakan satu jenayah yang amat besar dalam umat Islam. Mereka cuba menutup pintu khilafiyah dan membawa kepada perpecahan umat Islam, kerana mereka lantaran itu, menyalahkan dan membid'ahkan mereka yang tidak sesuai dengan pendapat mereka (Wahhabi).
Kedua:
Kemungkinan juga, Wahhabi mucul dengan slogan "kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah", kerana tidak faham dengan apa itu Al-Qur'an dan As-Sunnah dan fahaman sempit mereka tentang Al-Qur'an dan As-Sunnah itu sendiri.
Hakikatnya, mereka bukanlah menyeru kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, tetapi mereka menyeru kepada kefahaman mereka terhadap Al-Qur'an dan As-Sunnah. Mereka mahu seluruh umat Islam memahami nash-nash sesuai dengan kefahaman mereka! Ini merupakan suatu agenda yang amat bahaya dan merosakkan institusi ijtihad umat Islam. Ini kerana, kebanyakkan daripada nash-nash dari Al-Qur'an dan As-Sunnah bersifat Dzonniyah Ad-Dhilalah (tidak jelas petunjuknya). Maka, dari situlah Allah s.w.t. membuka ruang berijtihad kepada para ulama' untuk menggali hukum sekadar kefahaman mereka, sesuai dengan ilmu dan akal yang mereka miliki.
Hal ini membawa kepada perbezaan pendapat di kalangan para ulama' dalam memahami sesuatu dalil tersebut. Berdasarkan pada perbezaan fahaman inilah, timbulnnya perbezaan hukum tentang suatu masalah, sesuai dengan ijtihad para ulama'.
Apa yang (nampaknya) menjadi agenda golongan Wahhabi bukanlah mengajak umat Islam kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah (yang begitu luas pemahamannya), tetapi mereka menyeru umat Islam supaya berpegang dengan kefahaman mereka ataupun kefahaman imam mereka dari Al-Qur'an dan As-Sunnah, dan meninggalkan pendapat-pendapat, kefahaman-kefahaman dan mazhab-mazhab yang bertentangan dengan mazhab dan kefahaman mereka.
Buktinya, kita dapat lihat sendiri tentang pelbagai isu yang cuba ditimbulkan, contohnya seperti isu tawassul, dan sebagainya, yang merupakan isu khilafiyah yang diperselisihkan ulama' mengenainya. Mereka (dalam bab tawassul) menghentam dan menyalahkan golongan yang bertawassul dengan orang yang telah mati, sehingga ada yang menuduh golongan yang bertawassul adalah golongan yang syirik, sedangkan golongan yang membenarkannya mempunyai dalil dari Al-Qur'an dan As-Sunnah juga (bahkan lebih kuat dari dalil Wahhabi yang menolaknya).
Pelbagai lagi contoh yang dapat kita lihat dalam karangan-karangan mereka, di mana mereka menghentam golongan yang bercanggah dengan pegangan mereka, bahkan para ulama' sekalipun tidak terlepas dari hentaman mereka.
Kalaulah mereka menyeru kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, sepatutnya mereka mengajak golongan tidak berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah kepada kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, bukan mengajak orang kepada kesempitan dalam menggali hukum dari Al-Qur'an dan As-Sunnah.
Mereka yang hanya berpegang kepada pendapat mereka dan menghentam pendapat golongan lain dalam masalah khilafiyah sehingga ada yang sanggup mengkafirkan dan membid'ahkan mereka (golongan yang tidak sehaluan dengan pendapat Wahhabi), tidaklah melainkan menyeru umat Islam kepada taasub kepada sesuatu mazhab.
Kalaulah benar mereka ingin menyeru umat Islam kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, maka fahamilah dahulu bahawa terdapat banyak nash-nash dari Al-Qur'an dan As-Sunnah bersifat dhonniyah ad-dilalah yang menjadi tempat perselisihan para ulama' dalam memahaminya dan menggali hukum daripadanya. Kalaulah seruan mereka kepda Al-Qur'an dan As-Sunnah, mereka tidak sepatutnya memperbesarkan persoalan-persoalan khilafiyah dan tidak perlu menghentam pendapat-pendapat yang tidak selari dengan mereka, selagimana pendapat-pendapat yang lain juga ada sandarannya dari Al-Qur'an, As-Sunnah, Ijmak dan Qiyas.
Sikap menyerang dan saling menyalahkan antara satu sama lain merupakan sikap yang boleh membawa kepada perpecahan dalam umat Islam. Ia bukanlah konsep tajdid tetapi tidak lain melainkan ianya merupakan suatu usaha tafsid memusnahkan umat Islam.
Adakah ini Islam yang Rasulullah s.a.w. bawa? Adakah ini yang dikatakan rahmat buat sekalian alam?
Golongan Wahhabi sudah tersasar jauh dari prinsip-prinsip kelapangan Islam di mana mereka bukanlah suatu golongan yang memperbaiki umat Islam atau mengajak umat Islam kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, tetapi mereka memecahbelahkan umat Islam dengan sikap kejumudan mereka dalam masalah khilafiyah dan mengajak umat Islam kepada "kefahaman mereka" terhadap Al-Qur'an dan As-Sunnah.
Jadi, demikianlah sedikit sebanyak penjelasan, tentang persoalan "mengapa kita perlu menolak Wahhabi"?
Kita amat meraikan gerakan tajdid dalam umat Islam, tetapi kita perlulah bezakan yang mana itu tajdid dan yang mana yang dikatakan sebagai tafsid? Ini kerana, ada golongan (seperti Wahhabi) yang berselindung di sebalik nama tajdid padahal agenda mereka hanyalah ingin memecahbelahkan umat Islam, samada secara sengaja atau tidak.
Garis perbezaan antara gerakan tajdid dan gerakan tafsid ialah, sejauhmana mereka merealisasikan tajdid dengan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah yang betul. Gerakan tajdid yang sejati adalah mereka yang meraikan keterbukaan dan perselisihan dalam lapangan ijtihad fiqhiyah di samping memahami konsep kesatuan Islam dari perselisihan tersebut iaitu:
"Kita bersikap tegas terhadap perkara yang disepakati oleh para ulama' dan kita bersikap terbuka dan memaafkan (berlapang dada) dalam perkara yang diperselisihkan oleh para ulama' mengenainya".
Imam Hasan Al-Banna (yang dahulunya seorang sufi Tarikat As-Syazuliah Al-Husofiyah) suatu ketika dahulu berjaya memahami konsep tersebut lantaran itu berjaya menbentuk jamaah yang berkesan dalam usaha tajdid ini. Namun, golongan Wahhabi yang gagal memahami konsep ini, membawa kepada perpecahan dalam masyarakat hasil dari sikap saling salah-menyalahkan dalam masalah cabang dan khilafiyah.
Semoga Allah s.w.t. membantu kita dalam memperjuangkan Islam dan membersihkan umat Islam dari kepincangan yang berlaku.
Wallahu a'lam.
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Ghani Al-Kabir
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
Al-Azhar, Mesir
Penentuan mengenai baik tidaknya Syeikh Muhammad ibn Abdul Wahhab (1703-1792), iaitu mengenai fakta pembasmiannya terhadap "syirik dan bid'ah" dan peranannya sebagai "mujaddid" telah ditulis dengan amanah oleh para ulama Islam berdasarkan metodologi ilmu Islam, antaranya daripada maklumat orang-orang Islam yang hidup sezaman dengannya.
Malangnya, banyak daripada penulisan-penulisan tersebut tidak diketengahkan. Setakat ini, Ustaz Muhammad Fuad Kamaluddin di dalam bukunya Wahabisme Dari Neraca Syara' telah meyenaraikan 101 tajuk di dalam bahasa Arab yang ditulis oleh para ulama Islam mengenai dan berkaitan Ibn Abdul Wahhab dan ajarannya di mana antara penulis-penulis itu hidup sezaman dengan Ibn Abdul Wahhab atau di zaman pertumpahan darah ketika pengikut-pengikut Ibn Abdul Wahhab memerangi umat Islam di Hijaz.
Catatan Ustaz Ziadi Abdullah di dalam bukunya, Pegangan Sejati Ahli Sunnah Wal-jamaah: Satu Keluhuran Dan Kemurnian Pegangan Hidup di dalam bab Faktor-Faktor Syubhah daripada halaman 35 hingga 44 boleh juga dijadikan panduan awal untuk mengesan maklumat-maklumat terawal mengenai Ibn Abdul Wahhab daripada perspektif para ulama tersohor yang hidup sezaman dengannya. Kertas kerja Tuan Haji Zaidi Hasan bertajuk Penjelasan Tentang Kekeliruan Terhadap Kertas Kerja Muhammad Ibn Abdul Wahhab Pro dan Kontra juga memberikan pendedahan yang saksama terhadap fenomena Ibn Abdul Wahhab.
Memang sungguh terkilan rasanya apabila saya menemui hakikat bahawa zaman kemunculan "dakwah" Ibn Abdul Wahhab merupakan zaman di mana Linggi dan Melaka bertempur dengan Belanda (1756-1758) manakala Yamtuan Muda Riau ke 4, Raja Haji (1777-1784) daripada kerajaan Johor-Riau yang merupakan kelangsungan kerajaan Melaka gugur syahid dengan badik di satu tangan dan kitab Dalailul Khayrat di tangannya yang lain di Teluk Ketapang, Melaka.
Riau diserang Belanda yang mulanya ketewasan 6 buah kapal, dengan diikuti pula oleh 17 kapal kecil yang diketuai oleh kapal besar Malakka's Velvaren pimpinan Arnoldus Lemker selama 9 bulan, sehingga Sultan Ibrahim Selangor dan Rembau datang membantu Riau. Kapal Malakka's Velvaren meletup sehingga mengorbankan semua anak kapal menyebabkan Belanda berundur ke Melaka. Tragisnya, Raja Haji bersama-sama Sultan Ibrahim yang membuat serangan offensive kecundang juga setelah penjajah Belanda dibantu dengan tambahan kekuatan kapal-kapal besar Utrecht dan Princess Louisa dari Betawi.
Di dalam kurun ke 18 Masehi hingga ke kurun yang berikutnya, Syeikh Abdul Samad Al-Palembani (c. 1710-1829/1244) yang mendukung tarikat Khalwatiyah dan Sammaniyyah melalui gurunya Syeikh Muhammad Abdul Karim al-Samman (w. 1776), setelah dimaklumkan oleh saudaranya, Syeikh Abdul Qadir Mufti Kedah; bersama-sama dengan Tunku Muhammad Saad dan Dato' Kama Jaya bertempur dengan Siam yang melanggar Kedah di mana berlaku pertempuran di Alor Ganu, Haadyai dan Singgora sehingga Syeikh Abdul Samad sendiri gugur syahid di Singgora manakala Tunku Muhammad Saad dan rakan-rakannya yang lain terpaksa berundur ke Pulau Pinang.
Syeikh Abdul Samad bukan sekadar beribadat dan beratib khusus tetapi telah juga menulis Nasihat al-Muslimiina wa-Tadzkirat al-Mu'minina fi-Fadhaail al-Jihad wa-Karamat al-Mujahidina fi-Sabilillaah pada 1819/20 iaitu ketika meletus peperangan Belanda dengan kerajaan Palembang atau 1829 bahkan telah membuktikan sikapnya yang beramal dengan ilmu dengan penglibatannya di dalam kancah peperangan-perangan menentang pencerobohan Belanda dan Siam.
Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fattani (1769-1847) juga pulang ke Nusantara untuk misi jihad menentang Siam (1832) tetapi terpaksa berundur ke Pulau Duyung Terengganu, dan akhirnya kembali ke Makkah sebagai buruan politik Siam di samping menulis berpuluh-puluh tajuk buku termasuk Furu' ul-Masaail, Bughyatut Tullab, Jawahir al-Saniyyah dan Muniyatul Musalli yang terkenal itu. Dan tragis sekali bahawa telah ada percubaan untuk membongkar kubur Syeikh Daud oleh pengikut-pengikut ajaran Muhammad Abdul Wahhab ketika mereka menguasai Hijaz untuk kali ketiga di awal abad ke 20 Masehi sehingga jenazah Syeikh Daud yang ditakdirkan masih utuh dipindahkan daripada Taif ke Makkah oleh anak saudaranya, Syeikh Ismail Dawud Al-Fattani yang juga dikenali sebgai Nik Mat Kecil, pengarang Matlaul Badrain.
Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari (1710-1812) pula setelah menekuni ilmu di Hijaz, pulang ke Banjar, Kalimantan setelah singgah di Batavia (1773/1186), berkhidmat dengan Kesultanan Banjar Inderagiri Kalimantan dengan membina satu tamaddun Islam yang mantap di bawah naungan Sultan Tamhidullah (1778-1808).
Di zaman itu juga, Sultan Muhammad Fattani (perintah 1776-1786) menerima ancaman daripada General Chakri kerana melindungi pelarian daripada Singgora di mana 15,000 daripada 90,000 umat Islam Pattani melarikan diri ke Kuala Muda, Kedah (1778) dan Sultan Abdullah Mukarram Syah (1778-1789) juga di beri amaran supaya tidak melindungi mana-mana pelarian Islam Pattani. Rama I Tibodi menakluk Pattani pada 1786 diikuti dengan gugur syahidnya Sultan Muhammad dengan diikuti oleh pemberontakan Tengku Lamdin (1789-1791) dan Dato' Pengkalan (1809). Datok Syahbandar di bawah perintah Sultan Mansur Syah I Trengganu (1733-1793) terpakasa meminta bantuan Francis Light di Pulau Pinang untuk melindungi Trengganu daripada gangguan Siam kerana kejamnya Siam dengan penggunaan gajah untuk memijak-mijak umat Islam.
Di benua kecil India, Nawab Bengal Sirajud-Daulah bertempur dengan Robert Clive hingga ke titisan darah terakhir di dalam Battle of Plassey (1757) yang memulakan era baru British di India dan pada 1762, British merampas kepulauan Filipina yang diduduki oleh orang-orang Islam daripada penguasaan kerajaan Sepanyol.
Ketika semua itu berlaku, Muhamad ibn Abdul Wahhab di Semenanjung 'Arab dengan semboyan "membasmi syirik dan bid'ah" telah membuat pakatan dengan 'Amir Muhammad Ibn al-Sa'ud (perintah 1737-1765) pada 1746. Pendukung-pendukung Amir Ibn al-Sa'ud dengan semangat ajaran Ibn Abdul Wahhab menundukkan al-'Uyainah pada 1749 dengan membunuh Qadi 'Uthman Muamar. Syeikh Sulaiman Abdul Wahab, abang kepada Muhamad ibn Abdul Wahhab memimpin ketumbukan kecil di Huraimila untuk menentang tentera Wahhabi, tetapi gagal lalu lari menyelamatkan diri ke Sudair (1750). Amir Abdul Aziz al-Sa'ud (perintah 1765-1803) menguasai Riyadh (1773) dan menyerang Syammar dan Mutair yang dikuasai oleh 'Amir Makkah (1787).
Umat Islam di bawah pimpinan Syarif Ghalib Ibn Mus'id bertempur lagi dengan Ibn Sa'ud ( 1790). Pertempuran-pertempuran berlanjutan sehingga selepas kewafatan Ibn Abdul Wahhab (1792) seperti penaklukan al-Ahsa yang sebelumnya di bawah Uthmaniyyah (1793) dan pertempuran dengan Syarif Nasr ibn Yahya yang diutus Syarif Ghalib ( 1795). Segala peperangan yang berlaku di awal abad ke 19 berikutnya telah menyumbang sama kepada keruntuhan Khilafah Uthmani yang tenat dengan banyak permasalahan seperti peperangan melawan Russia (1768-1774 dan 1787-1792) di mana Crimea dan pantai utara Laut Hitam dirampas oleh Russia di bawah pemerintahan Ratu Catherine, pemberontakan Janissari di Belgrade, persoalan politik di Mesir dan pencerobohan British untuk merampas Dardanalles.
Sehingga kini, ajaran Muhammad ibn Abdul Wahhab giat menghapuskan kesan-kesan sejarah yang tidak ternilai di mana di zaman awal kemunculan mereka, hampir-hampir kubah hijau di atas kubur jasad manusia yang paling suci SAW pun mahu dibinasakan oleh segolongan badui-badui liar.
Memang aneh sekali di zaman kita ini bahawa di antara maklumat yang diguna pakai untuk memuji Ibn 'Abdul Wahhab dikutip daripada penulisan seorang sejarawan non-Muslim, Lothrop Stoddard seperti yang dinukil oleh Dr. Azzam Tamimi (di dalam kertas kerja Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab: From 18th Century Revivalism to 21st Century Activism) dan Dr Mahmud Daud (di dalam buku Tokoh-Tokoh Pemikir Islam Jilid Satu yang diulang nukilannya di dalam kertas kerjanya berjudul Muhammad Abdul Wahhab Pro dan Kontra).
Sebagai perbandingan tamaddun, abad ke-18 Masehi merupakan abad bermulanya Revolusi Industri (1760an) di Britain. Penduduk dunia pada 1750 dianggarkan seramai 731 juta. Perkembangan tamaddun dan peristiwa utama dunia serentak dengan era keaktifan "dakwah" Muhammad ibn Abdul Wahhab di Jazirah Arab adalah antaranya: penubuhan Universiti Berkley (1740); penemuan pig iron oleh Cort di Lancaster (1740); pengklasifikasi penyakit (nosologi) kepada empat bahagian utama: pyrexiae, atau penyakit-penyakit febril; neuroses, atau penyakit-penyakit urat saraf (nervous); cachexiae, iaitu penyakit-penyakit yang yang berpunca daripada tabiat buruk tubuh badan; dan locales, atau penyakit-penyakit tempatan oleh Dr. Cullen (1710-1790); pemisahan obstetrik daripada monopoli para bidan dan permulaannya sebagai salah satu cabang perubatan tersendiri oleh pakar obstetrik, pendidik dan penulis bidang perubatan Dr Hunter (1746); ujikaji mengenai tenaga elektrik daripada halilintar yang nekad serta berani oleh Benjamin Franklin (1746) yang hidup di antara 1706-1790; kejadian gempa bumi dan Tsunami di Lisbon, Portugal (1755), Seven Years War (1756-1763), Jean Jacques Rousseau dengan penerbitan Social Contract nya di negara Perancis (1760); pemodenan dan perluasan Russia oleh Ratu Catherine yang Agung (1762-1796); penciptaan kronometer marin yang membolehkan pelayar-pelayar mengukur longitud di laut oleh horologis Inggeris, Foulby Harrison (1693-1776); insuran nyawa pertama dikeluarkan di Philadelphia (1761); kemunculan teori baru di dalam ilmu kimia dan penemuan peranan oksigen dan perkaitan di antara oksidasi dengan respirasi oleh Antoine Lavoisier (1762); Sir William Blackstone mula menulis Commentaries on the Laws of England yang sangat masyhur itu (1765); pemisahan gas hidrogen untuk pertama kalinya oleh Henry Cavendish (1766), penjelajahan pantai timur Australia oleh James Cook (1768); penyempurnaan enjin stim oleh James Watt (1769), "spinning jenny" ciptaan James Hargreaves dan spinning frame untuk memudahkan penenunan kapas ciptaan Richard Arkwright mula digunakan di kilang-kilang tekstil di utara England (1764-1769); paderi dan saintis British, Joseph Priestley menemui oksigen (1774); Revolusi Kemerdekaan sebuah negara yang hari ini menjadi sebuah kuasa besar (1775-1783); penyempurnaan sebuah buku mengenai industrialisasi baru dan ekonomi, Inquiry into the Wealth of Nations yang memberi kesan besar kepada polisi Kewangan British oleh Adam Smith (1776) ; Common Sense di sempurnakan oleh Robert Paine (1776); ujian belon udara pertama yang menjurus kepada penerokaan tamaddun dimensi ketiga oleh Montgolfier bersaudara di Paris (1783) yang menjadi perintis kepada penggunaan belon udara untuk aerial reconnaissance dalam peperangan oleh orang-orang Perancis, ujikaji-ujikaji oleh Alessandro Volta (1745-1827) dan Luigi Galvani (1737-1798) yang menjurus kepada penemuan bateri elektrik di Italy, Revolusi Perancis (1789-1795); dan penyempurnaan buku The Art of Boxing yang memaparkan rahsia-rahsia kelicikan seorang pejuang Yahudi oleh Daniel Mendoza (1789) dan peristiwa Jewish Emancipation di negara Perancis pada 1791.
Di dalam zaman tersebut juga, Syeikh Syihabuddin al-Haji ibn Abdullah al-Jawi menyempurnakan Syarh 'Aqidat il-Iman pada 1748, Syeikh Muhammad Zain bin al-Faqih Jalaluddin Aceh menyelesaikan Bidayat ul-Hidayah di Makkah pada 1756, Syeikh Abdul Samad Al-Palembani menyempurnakan sebuah buku di dalam ilmu tawhid, Zahrah al-Muriid fi Bayaan Kalimat il-Tawhid pada 1764, Siyar al-Saalikiin pada 1788 manakala Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari menulis Tuhfat ul-Raaghibiin fi Bayaan Haqiiqat Iman il-Mu'munin wa maa Yufsiduhu fi Raiddat il-Murtaddin pada 1774 atas permintaan Sultan, yang sekali gus menyangkal dakwaan Dr. Abdullah Yasin di dalam kertas kerjanya bertajuk Gejala Syirik & Masalah Kepercayaan Umat Islam: Satu Pendedahan dan Pemurnian bahawa "Para pendakwah di Nusantara pada umumnya memberi penekanan kepada persoalan ibadah dan akhlak, bukan mengutamakan persoalan akidah sebagaimana dakwah Rasulullah saw."
Di samping itu semua, terlalu ramai para ulama Islam muktabar yang hidup sezaman dengan Ibnu 'Abdul Wahhab dengan segala sumbangan mereka kepada tamaddun keilmuan Islam di dalam segala bidang seperti Syeikh Muhammad Al-'Abdali (w. 1747), Syeikh Mustafa Al-Bakri (1687-1749), Syeikh al-Madabighi (w. 1756), Syeikh Muhammad Ibn Sulaiman Al-Kurdi (1715-1780), Imam Abdullah Bin Muhammad Bin 'Amir al-Syubrawi (1724–1757), Syeikh Muhammad Salim al-Hifni (1689-1757), Syeikh al-Sayyid Muhammad Al-Balidi (1684-1762) yang merupakan seorang tokoh terkemuka Mazhab Malik dan al-'Asya'irah, Syeikh Muhammad ibn Mustafa ibn Kamaluddin Al-Bakri (1730-1781), Syeikh al-Sayyid Muhammad Murtada Al-Zabidi Al-Husayni (1732-1791), Syeikh Abdullah al-Syarqawi (1737-1812), Syeikh Abdul Rahman bin Muhammad Al-Kuzbairi Al-Shaghir (1771-1846) yang merupakan guru kepada Syeikh Al-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan (1817-1886), Syeikh Muhammad Al-Safarini al-Hanbali (w. 1775), Syeikh Muhammad Al-Munayyar Al-Khalwati (1688-1785) yang merupakan Masyakhat al-Azhar bermazhab Syafi'i yang pertama, Syeikh Ghulam 'Ali Azad Al-Baljarami (1698-1786), Syeikhul Islam Al-Syeikh al-Dardir al-'Adawi (1715-1786), Syeikh Ahmad al-'Arusi (w. 1794), Al-Sayyid Ahmad bin Idris Al-Fasi (1757-1837), Mufti Zabid, Sayyid 'Abdul Rahman ibn Sulayman al-Ahdal (1765-1839) dan Syaykh Ibrahim Al-Bajuri (1785 - 1860).
Yang saya nukilkan ini cuma secebis daripada apa yang para penyelidik yang ikhlas dan tidak bertaklid buta terhadap mana-mana tokoh yang dianggap sebagai "mujaddid" yang saudara-saudara boleh temui dan sudah tentu masih bertimbun maklumat yang ada tetapi belum ditonjolkan. Satu perkara yang cukup menarik ialah bahawa nama Muhammad ibn Abdul Wahhab pun tidak di sebut sebagai di antara ulama mazhab Hanbali tersohor di dalam kitab al-Suhub al-Wabilah yang di karang oleh Ibnu Humaid, seorang mufti mazhab Hanbali.
Jika peminat-peminat Muhammad ibn Abdul Wahhab merasa tersentak, saya juga sedemikian apabila menemui maklumat-maklumat yang saya temui bertaburan seperti yang saya ketengahkan di atas kerana sebagaimana rakan-rakan satu generasi yang terlibat dengan fenomena kebangkitan Islam semenjak akhir 70'an lagi, Muhammad ibn Abdul Wahhab memang saya sinonimkan dengan fenomena tajdid dan islah.
Wallahu A'laam.
---
Oleh Ustaz Ismail Ahmed. Sila hubungi admin blog Pro Tajdid sekiranya anda berminat untuk menghubungi Ustaz Ismail Ahmed untuk bertanya atau melakukan diskusi dengannya berkenaan artikel ini memandangkan artikel ini disumbangkan melalui e-mel.
Label: buku, tokoh tajdid, wahhabi
Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama