Pro Tajdid mengumpulkan tulisan terpilih tentang fenomena tajdid yang melanda dunia Islam.
Apa itu tajdid? Tajdid bagaimana yang kita mahu? Selongkari arkib blog ini untuk jawapannya!

Dengan melanggan blog ini secara e-mel atau RSS, anda akan diberitahu secara automatik apabila ada entri baru di sini.
Anda mempunyai bahan-bahan menarik berkaitan isu tajdid yang mahu dikongsi di sini? Hubungi protajdid [at] gmail [dot] com.
Memaparkan catatan dengan label buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label buku. Papar semua catatan

Penentuan mengenai baik tidaknya Syeikh Muhammad ibn Abdul Wahhab (1703-1792), iaitu mengenai fakta pembasmiannya terhadap "syirik dan bid'ah" dan peranannya sebagai "mujaddid" telah ditulis dengan amanah oleh para ulama Islam berdasarkan metodologi ilmu Islam, antaranya daripada maklumat orang-orang Islam yang hidup sezaman dengannya.

Malangnya, banyak daripada penulisan-penulisan tersebut tidak diketengahkan. Setakat ini, Ustaz Muhammad Fuad Kamaluddin di dalam bukunya Wahabisme Dari Neraca Syara' telah meyenaraikan 101 tajuk di dalam bahasa Arab yang ditulis oleh para ulama Islam mengenai dan berkaitan Ibn Abdul Wahhab dan ajarannya di mana antara penulis-penulis itu hidup sezaman dengan Ibn Abdul Wahhab atau di zaman pertumpahan darah ketika pengikut-pengikut Ibn Abdul Wahhab memerangi umat Islam di Hijaz.

Catatan Ustaz Ziadi Abdullah di dalam bukunya, Pegangan Sejati Ahli Sunnah Wal-jamaah: Satu Keluhuran Dan Kemurnian Pegangan Hidup di dalam bab Faktor-Faktor Syubhah daripada halaman 35 hingga 44 boleh juga dijadikan panduan awal untuk mengesan maklumat-maklumat terawal mengenai Ibn Abdul Wahhab daripada perspektif para ulama tersohor yang hidup sezaman dengannya. Kertas kerja Tuan Haji Zaidi Hasan bertajuk Penjelasan Tentang Kekeliruan Terhadap Kertas Kerja Muhammad Ibn Abdul Wahhab Pro dan Kontra juga memberikan pendedahan yang saksama terhadap fenomena Ibn Abdul Wahhab.

Memang sungguh terkilan rasanya apabila saya menemui hakikat bahawa zaman kemunculan "dakwah" Ibn Abdul Wahhab merupakan zaman di mana Linggi dan Melaka bertempur dengan Belanda (1756-1758) manakala Yamtuan Muda Riau ke 4, Raja Haji (1777-1784) daripada kerajaan Johor-Riau yang merupakan kelangsungan kerajaan Melaka gugur syahid dengan badik di satu tangan dan kitab Dalailul Khayrat di tangannya yang lain di Teluk Ketapang, Melaka.

Riau diserang Belanda yang mulanya ketewasan 6 buah kapal, dengan diikuti pula oleh 17 kapal kecil yang diketuai oleh kapal besar Malakka's Velvaren pimpinan Arnoldus Lemker selama 9 bulan, sehingga Sultan Ibrahim Selangor dan Rembau datang membantu Riau. Kapal Malakka's Velvaren meletup sehingga mengorbankan semua anak kapal menyebabkan Belanda berundur ke Melaka. Tragisnya, Raja Haji bersama-sama Sultan Ibrahim yang membuat serangan offensive kecundang juga setelah penjajah Belanda dibantu dengan tambahan kekuatan kapal-kapal besar Utrecht dan Princess Louisa dari Betawi.

Di dalam kurun ke 18 Masehi hingga ke kurun yang berikutnya, Syeikh Abdul Samad Al-Palembani (c. 1710-1829/1244) yang mendukung tarikat Khalwatiyah dan Sammaniyyah melalui gurunya Syeikh Muhammad Abdul Karim al-Samman (w. 1776), setelah dimaklumkan oleh saudaranya, Syeikh Abdul Qadir Mufti Kedah; bersama-sama dengan Tunku Muhammad Saad dan Dato' Kama Jaya bertempur dengan Siam yang melanggar Kedah di mana berlaku pertempuran di Alor Ganu, Haadyai dan Singgora sehingga Syeikh Abdul Samad sendiri gugur syahid di Singgora manakala Tunku Muhammad Saad dan rakan-rakannya yang lain terpaksa berundur ke Pulau Pinang.

Syeikh Abdul Samad bukan sekadar beribadat dan beratib khusus tetapi telah juga menulis Nasihat al-Muslimiina wa-Tadzkirat al-Mu'minina fi-Fadhaail al-Jihad wa-Karamat al-Mujahidina fi-Sabilillaah pada 1819/20 iaitu ketika meletus peperangan Belanda dengan kerajaan Palembang atau 1829 bahkan telah membuktikan sikapnya yang beramal dengan ilmu dengan penglibatannya di dalam kancah peperangan-perangan menentang pencerobohan Belanda dan Siam.

Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fattani (1769-1847) juga pulang ke Nusantara untuk misi jihad menentang Siam (1832) tetapi terpaksa berundur ke Pulau Duyung Terengganu, dan akhirnya kembali ke Makkah sebagai buruan politik Siam di samping menulis berpuluh-puluh tajuk buku termasuk Furu' ul-Masaail, Bughyatut Tullab, Jawahir al-Saniyyah dan Muniyatul Musalli yang terkenal itu. Dan tragis sekali bahawa telah ada percubaan untuk membongkar kubur Syeikh Daud oleh pengikut-pengikut ajaran Muhammad Abdul Wahhab ketika mereka menguasai Hijaz untuk kali ketiga di awal abad ke 20 Masehi sehingga jenazah Syeikh Daud yang ditakdirkan masih utuh dipindahkan daripada Taif ke Makkah oleh anak saudaranya, Syeikh Ismail Dawud Al-Fattani yang juga dikenali sebgai Nik Mat Kecil, pengarang Matlaul Badrain.

Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari (1710-1812) pula setelah menekuni ilmu di Hijaz, pulang ke Banjar, Kalimantan setelah singgah di Batavia (1773/1186), berkhidmat dengan Kesultanan Banjar Inderagiri Kalimantan dengan membina satu tamaddun Islam yang mantap di bawah naungan Sultan Tamhidullah (1778-1808).

Di zaman itu juga, Sultan Muhammad Fattani (perintah 1776-1786) menerima ancaman daripada General Chakri kerana melindungi pelarian daripada Singgora di mana 15,000 daripada 90,000 umat Islam Pattani melarikan diri ke Kuala Muda, Kedah (1778) dan Sultan Abdullah Mukarram Syah (1778-1789) juga di beri amaran supaya tidak melindungi mana-mana pelarian Islam Pattani. Rama I Tibodi menakluk Pattani pada 1786 diikuti dengan gugur syahidnya Sultan Muhammad dengan diikuti oleh pemberontakan Tengku Lamdin (1789-1791) dan Dato' Pengkalan (1809). Datok Syahbandar di bawah perintah Sultan Mansur Syah I Trengganu (1733-1793) terpakasa meminta bantuan Francis Light di Pulau Pinang untuk melindungi Trengganu daripada gangguan Siam kerana kejamnya Siam dengan penggunaan gajah untuk memijak-mijak umat Islam.

Di benua kecil India, Nawab Bengal Sirajud-Daulah bertempur dengan Robert Clive hingga ke titisan darah terakhir di dalam Battle of Plassey (1757) yang memulakan era baru British di India dan pada 1762, British merampas kepulauan Filipina yang diduduki oleh orang-orang Islam daripada penguasaan kerajaan Sepanyol.

Ketika semua itu berlaku, Muhamad ibn Abdul Wahhab di Semenanjung 'Arab dengan semboyan "membasmi syirik dan bid'ah" telah membuat pakatan dengan 'Amir Muhammad Ibn al-Sa'ud (perintah 1737-1765) pada 1746. Pendukung-pendukung Amir Ibn al-Sa'ud dengan semangat ajaran Ibn Abdul Wahhab menundukkan al-'Uyainah pada 1749 dengan membunuh Qadi 'Uthman Muamar. Syeikh Sulaiman Abdul Wahab, abang kepada Muhamad ibn Abdul Wahhab memimpin ketumbukan kecil di Huraimila untuk menentang tentera Wahhabi, tetapi gagal lalu lari menyelamatkan diri ke Sudair (1750). Amir Abdul Aziz al-Sa'ud (perintah 1765-1803) menguasai Riyadh (1773) dan menyerang Syammar dan Mutair yang dikuasai oleh 'Amir Makkah (1787).

Umat Islam di bawah pimpinan Syarif Ghalib Ibn Mus'id bertempur lagi dengan Ibn Sa'ud ( 1790). Pertempuran-pertempuran berlanjutan sehingga selepas kewafatan Ibn Abdul Wahhab (1792) seperti penaklukan al-Ahsa yang sebelumnya di bawah Uthmaniyyah (1793) dan pertempuran dengan Syarif Nasr ibn Yahya yang diutus Syarif Ghalib ( 1795). Segala peperangan yang berlaku di awal abad ke 19 berikutnya telah menyumbang sama kepada keruntuhan Khilafah Uthmani yang tenat dengan banyak permasalahan seperti peperangan melawan Russia (1768-1774 dan 1787-1792) di mana Crimea dan pantai utara Laut Hitam dirampas oleh Russia di bawah pemerintahan Ratu Catherine, pemberontakan Janissari di Belgrade, persoalan politik di Mesir dan pencerobohan British untuk merampas Dardanalles.

Sehingga kini, ajaran Muhammad ibn Abdul Wahhab giat menghapuskan kesan-kesan sejarah yang tidak ternilai di mana di zaman awal kemunculan mereka, hampir-hampir kubah hijau di atas kubur jasad manusia yang paling suci SAW pun mahu dibinasakan oleh segolongan badui-badui liar.

Memang aneh sekali di zaman kita ini bahawa di antara maklumat yang diguna pakai untuk memuji Ibn 'Abdul Wahhab dikutip daripada penulisan seorang sejarawan non-Muslim, Lothrop Stoddard seperti yang dinukil oleh Dr. Azzam Tamimi (di dalam kertas kerja Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab: From 18th Century Revivalism to 21st Century Activism) dan Dr Mahmud Daud (di dalam buku Tokoh-Tokoh Pemikir Islam Jilid Satu yang diulang nukilannya di dalam kertas kerjanya berjudul Muhammad Abdul Wahhab Pro dan Kontra).

Sebagai perbandingan tamaddun, abad ke-18 Masehi merupakan abad bermulanya Revolusi Industri (1760an) di Britain. Penduduk dunia pada 1750 dianggarkan seramai 731 juta. Perkembangan tamaddun dan peristiwa utama dunia serentak dengan era keaktifan "dakwah" Muhammad ibn Abdul Wahhab di Jazirah Arab adalah antaranya: penubuhan Universiti Berkley (1740); penemuan pig iron oleh Cort di Lancaster (1740); pengklasifikasi penyakit (nosologi) kepada empat bahagian utama: pyrexiae, atau penyakit-penyakit febril; neuroses, atau penyakit-penyakit urat saraf (nervous); cachexiae, iaitu penyakit-penyakit yang yang berpunca daripada tabiat buruk tubuh badan; dan locales, atau penyakit-penyakit tempatan oleh Dr. Cullen (1710-1790); pemisahan obstetrik daripada monopoli para bidan dan permulaannya sebagai salah satu cabang perubatan tersendiri oleh pakar obstetrik, pendidik dan penulis bidang perubatan Dr Hunter (1746); ujikaji mengenai tenaga elektrik daripada halilintar yang nekad serta berani oleh Benjamin Franklin (1746) yang hidup di antara 1706-1790; kejadian gempa bumi dan Tsunami di Lisbon, Portugal (1755), Seven Years War (1756-1763), Jean Jacques Rousseau dengan penerbitan Social Contract nya di negara Perancis (1760); pemodenan dan perluasan Russia oleh Ratu Catherine yang Agung (1762-1796); penciptaan kronometer marin yang membolehkan pelayar-pelayar mengukur longitud di laut oleh horologis Inggeris, Foulby Harrison (1693-1776); insuran nyawa pertama dikeluarkan di Philadelphia (1761); kemunculan teori baru di dalam ilmu kimia dan penemuan peranan oksigen dan perkaitan di antara oksidasi dengan respirasi oleh Antoine Lavoisier (1762); Sir William Blackstone mula menulis Commentaries on the Laws of England yang sangat masyhur itu (1765); pemisahan gas hidrogen untuk pertama kalinya oleh Henry Cavendish (1766), penjelajahan pantai timur Australia oleh James Cook (1768); penyempurnaan enjin stim oleh James Watt (1769), "spinning jenny" ciptaan James Hargreaves dan spinning frame untuk memudahkan penenunan kapas ciptaan Richard Arkwright mula digunakan di kilang-kilang tekstil di utara England (1764-1769); paderi dan saintis British, Joseph Priestley menemui oksigen (1774); Revolusi Kemerdekaan sebuah negara yang hari ini menjadi sebuah kuasa besar (1775-1783); penyempurnaan sebuah buku mengenai industrialisasi baru dan ekonomi, Inquiry into the Wealth of Nations yang memberi kesan besar kepada polisi Kewangan British oleh Adam Smith (1776) ; Common Sense di sempurnakan oleh Robert Paine (1776); ujian belon udara pertama yang menjurus kepada penerokaan tamaddun dimensi ketiga oleh Montgolfier bersaudara di Paris (1783) yang menjadi perintis kepada penggunaan belon udara untuk aerial reconnaissance dalam peperangan oleh orang-orang Perancis, ujikaji-ujikaji oleh Alessandro Volta (1745-1827) dan Luigi Galvani (1737-1798) yang menjurus kepada penemuan bateri elektrik di Italy, Revolusi Perancis (1789-1795); dan penyempurnaan buku The Art of Boxing yang memaparkan rahsia-rahsia kelicikan seorang pejuang Yahudi oleh Daniel Mendoza (1789) dan peristiwa Jewish Emancipation di negara Perancis pada 1791.

Di dalam zaman tersebut juga, Syeikh Syihabuddin al-Haji ibn Abdullah al-Jawi menyempurnakan Syarh 'Aqidat il-Iman pada 1748, Syeikh Muhammad Zain bin al-Faqih Jalaluddin Aceh menyelesaikan Bidayat ul-Hidayah di Makkah pada 1756, Syeikh Abdul Samad Al-Palembani menyempurnakan sebuah buku di dalam ilmu tawhid, Zahrah al-Muriid fi Bayaan Kalimat il-Tawhid pada 1764, Siyar al-Saalikiin pada 1788 manakala Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari menulis Tuhfat ul-Raaghibiin fi Bayaan Haqiiqat Iman il-Mu'munin wa maa Yufsiduhu fi Raiddat il-Murtaddin pada 1774 atas permintaan Sultan, yang sekali gus menyangkal dakwaan Dr. Abdullah Yasin di dalam kertas kerjanya bertajuk Gejala Syirik & Masalah Kepercayaan Umat Islam: Satu Pendedahan dan Pemurnian bahawa "Para pendakwah di Nusantara pada umumnya memberi penekanan kepada persoalan ibadah dan akhlak, bukan mengutamakan persoalan akidah sebagaimana dakwah Rasulullah saw."

Di samping itu semua, terlalu ramai para ulama Islam muktabar yang hidup sezaman dengan Ibnu 'Abdul Wahhab dengan segala sumbangan mereka kepada tamaddun keilmuan Islam di dalam segala bidang seperti Syeikh Muhammad Al-'Abdali (w. 1747), Syeikh Mustafa Al-Bakri (1687-1749), Syeikh al-Madabighi (w. 1756), Syeikh Muhammad Ibn Sulaiman Al-Kurdi (1715-1780), Imam Abdullah Bin Muhammad Bin 'Amir al-Syubrawi (1724–1757), Syeikh Muhammad Salim al-Hifni (1689-1757), Syeikh al-Sayyid Muhammad Al-Balidi (1684-1762) yang merupakan seorang tokoh terkemuka Mazhab Malik dan al-'Asya'irah, Syeikh Muhammad ibn Mustafa ibn Kamaluddin Al-Bakri (1730-1781), Syeikh al-Sayyid Muhammad Murtada Al-Zabidi Al-Husayni (1732-1791), Syeikh Abdullah al-Syarqawi (1737-1812), Syeikh Abdul Rahman bin Muhammad Al-Kuzbairi Al-Shaghir (1771-1846) yang merupakan guru kepada Syeikh Al-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan (1817-1886), Syeikh Muhammad Al-Safarini al-Hanbali (w. 1775), Syeikh Muhammad Al-Munayyar Al-Khalwati (1688-1785) yang merupakan Masyakhat al-Azhar bermazhab Syafi'i yang pertama, Syeikh Ghulam 'Ali Azad Al-Baljarami (1698-1786), Syeikhul Islam Al-Syeikh al-Dardir al-'Adawi (1715-1786), Syeikh Ahmad al-'Arusi (w. 1794), Al-Sayyid Ahmad bin Idris Al-Fasi (1757-1837), Mufti Zabid, Sayyid 'Abdul Rahman ibn Sulayman al-Ahdal (1765-1839) dan Syaykh Ibrahim Al-Bajuri (1785 - 1860).

Yang saya nukilkan ini cuma secebis daripada apa yang para penyelidik yang ikhlas dan tidak bertaklid buta terhadap mana-mana tokoh yang dianggap sebagai "mujaddid" yang saudara-saudara boleh temui dan sudah tentu masih bertimbun maklumat yang ada tetapi belum ditonjolkan. Satu perkara yang cukup menarik ialah bahawa nama Muhammad ibn Abdul Wahhab pun tidak di sebut sebagai di antara ulama mazhab Hanbali tersohor di dalam kitab al-Suhub al-Wabilah yang di karang oleh Ibnu Humaid, seorang mufti mazhab Hanbali.

Jika peminat-peminat Muhammad ibn Abdul Wahhab merasa tersentak, saya juga sedemikian apabila menemui maklumat-maklumat yang saya temui bertaburan seperti yang saya ketengahkan di atas kerana sebagaimana rakan-rakan satu generasi yang terlibat dengan fenomena kebangkitan Islam semenjak akhir 70'an lagi, Muhammad ibn Abdul Wahhab memang saya sinonimkan dengan fenomena tajdid dan islah.

Wallahu A'laam.

---
Oleh Ustaz Ismail Ahmed. Sila hubungi admin blog Pro Tajdid sekiranya anda berminat untuk menghubungi Ustaz Ismail Ahmed untuk bertanya atau melakukan diskusi dengannya berkenaan artikel ini memandangkan artikel ini disumbangkan melalui e-mel.

Unsur-unsur Tajdid Dalam Syariah

Oleh: Syeikh Abdullah Nasih `Ulwan.
Buku: Pengenalan Syariah Islamiyyah, Fiqh dan Sumber-sumbernya.

Syariah lslamiyyah berbeza sama sekali daripada syariah samawi (Ilahi) yang lain dalam hal penerimaannya terhadap pembaharuan serta penyesuaiannya terhadap perkembangan. Hal ini disebabkan oleh kedudukannya sebagai syariah dan agama penutup, memansuhkan agama-agama sebelumnya serta kekal sepanjang masa dan waktu. Sekarang kita cuba menyingkap syariah ini serta rahsia ketahanan dan pemba­haruannya agar diketahui oleh orang yang ingin tahu akan keaslian undang-undang ini serta keagungan Islam.

Ada beberapa unsur pembaharuan yang terpenting dan bahagian-bahagian utama dalam syariah, di antaranya:

1. Al-Quran dan Hadith yang Terpelihara

Telah kita sebutkan wahai ikhwah, dalam tajuk "Ciri-ciri Syariah dan Keistimewaannya" bahawa Al-Qur'an dan As-sunnah dipelihara sepanjang masa oleh Allah s.w.t., se­suai dengan firmanNya:
"Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan Sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya" (Al-Hijr, ayat 9)

Ini bermakna nas-nas yang bersumber daripada Al-Qur'an dan Sunnah terpelihara secara abadi dalam pemeliharaan Allah sehingga Hari Kiamat nanti. Unsur inilah yang tidak dijumpai sama sekali dalam semua agama yang lain.

2. Dinamik (Tatawwur) dan Tetap (Thabat)

Di antara ciri-ciri Syariah yang keutamaannya yang menonjol ialah antara yang tetap dan berkembang: antara yang (umum) dan terperinci: antara lama dan baru. Hal ini terjadi agar dia boleh memenuhi tuntutan-tuntutan zaman serta berjalan seimbang dengan peradaban moden.

Supaya gambarannya lebih jelas lagi dan permasalahan (qadhiyah) dinamik dan tetap ini lebih terang bagi kita, ada baiknya kita bahagikan hukum-hukum syariah kepada tiga bahagian:
  1. Masalah-masalah perundangan yang bersifat tetap, ti­dak menerima pembaharuan dan perkembangan
  2. Masalah-masalah perundangan yang boleh menerima pembaharuan.
  3. Masalah-masalah perundangan yang tunduk kepada perkembangan

1. Adapun masalah-masalah perundangan yang tetap dan tidak menerima pembaharuan serta perkembangan, ialah masalah-masalah yang nasnya putus (qat'iyy) dan hukum-hukumnya terperinci. Nas-nas serta hukum-hukum ini sama sekali bukan merupakan lapangan untuk berijtihad seperti masalah aqidah, rukun-rukun Iman, hukum ibadat, masalah hudud, haramnya zina, riba, arak, judi, membunuh jiwa, ke­saksian palsu, derhaka kepada dua orang tua, memutuskan silaturrahim, ketentuan pembatasan bahagian-bahagian da­lam harta warisan, penjelasan tentang idah bagi perceraian dan kematian, haramnya mendedah aurat, pergaulan bebas (antara lelaki dan perempuan) dan tabarruj (bersolek) serta nas-nas lain yang qat'iyy serta hukum-hukum yang tafsil (ter­perinci).

Nas-nas ini merupakan medan yang diharamkan (untuk berijtihad) dan hukum-hukum yang tetap tidak boleh berij­tihad serta tidak tunduk kepada perkembangan masa. Setiap orang yang berusaha menggantinya atau berijtihad untuk mengembangkannya bererti dia menghancurkan syariah, memerangi Allah dan RasulNya serta ingin melepas ikatan Islam daripada dirinya.

Berdasarkan hal ini para Ulama Usul (Usul Fiqh) menyatakan:

" لاَ مَجَالَ لِلإِجْتِهَادِ فِي مَوْرِدِ النَّصِّى "

"Tidak ada Ij­tihad pada perkara-perkara yang ada Nas"


Perlu difahami bahawa Allah mensyariatkan jenis hukum yang tetap ini bukanlah satu aib bagi Syariah, kerana ia memelihara kemaslahatan individu dan masyarakat pada setiap masa dan tempat. Oleh kerana itulah, ia sama sekali tidak boleh berkembang. PenciptaNya Yang Maha Menge­tahui dan Bijaksana, Dialah yang lebih tahu tentang apa-apa yang boleh mendatangkan maslahat bagi hambaNya dan (mengelakkan) kebinasaan (mafsadat) daripada mereka. Fir­man Allah:
"Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui" (Al-Baqarah, ayat 232)

2. Adapun masalah-masalah perundangan yang boleh me­nerima pembaharuan: ialah prinsip dan kaedah-kaedah yang berhubung erat dengan aspek Muamalat kewangan, perkara pengadilan, sistem ekonomi, pentadbiran, serta perlemba­gaan. Bentuk Muamalat dan permasalah-permasalah ini se­lalu berubah sesuai dengan maslahat manusia serta memerlu­kan ijtihad pada setiap masa dan tempat. Di bawah ini kita sebutkan beberapa contoh, antara lain:


- Konsep Al-Qur'an mengenai perkara-perkara pengadilan menentukan dengan jelas suatu "Kaedah Keadilan", ber­dasarkan firman Allah:
"Dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil" (Surah An-Nisa', ayat 58)

Kaedah keadilan yang ditetapkan oleh ayat suci tersebut merupakan kaedah umum (kulliyah) yang bersifat tetap dan ti­dak berubah dan tidak akan bertukar selama-lamanya. Ia wajib ditegakkan pada setiap dan tempat. Adapun ke­rana (wasilah) perlaksanaan keadah ini diserahkan mengikut perubahan zaman dan kehidupan yang sentiasa berubah.

Perlaksanaan kaedah keadilan dalam satu mahkamah saja, atau mahkamah yang berbilang dengan memisahkan kekuasaan perundangan (judiciary) daripada kekuasaan eksekutif (Executive power) ini semuanya diserahkan kepada "ahlul halli wal-'aqdi" (pakar-pakar) dan pengalaman manusia. Jadi matlamat syariah yang pertama ialah menegakkan prinsip keadilan. Sedangkan cara dan bentuk perlaksanaan keadilan itu sendiri diserahkan kepada "ahlul halli wal-'aqdi" sama ada dilaksanakan melalui suatu susunan tertentu atau rangka tertentu menurut cadangan mereka yang pakar dalam bidang ini, selama mahkamah tetap menegakkan kaedah keadilan yang mewujudkan keperluan persamaan untuk orang ramai.


- Dalam perkara-perkara muamalat, Al-Qur'an menentukan dengan jelas kaedah 'memenuhi perjanjian ('aqad)' sesuai dengan firman Allah:
"Hai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad-aqad itu" (Al-Maidah, ayat 1)

Kaedah "memenuhi perjanjian" yang disebut oleh ayat tersebut adalah kaedah umum yang sifatnya tetap, tidak ber­ubah dan tidak boleh diganti, bahkan wajib diamalkan pada setiap masa dan tempat. Akan tetapi para fuqaha' berijtihad mengenai apa yang dimaksudkan dengan 'aqad pada ayat tersebut, apakah hanya terbatas pada 'aqad-'aqad yang di­akui oleh syarak dengan istilah tertentu seperti 'aqad jual beli, memberi hadiah, menyewa, dan perkahwinan atau ia juga mencakupi 'aqad-'aqad lain yang diciptakan oleh manu­sia akhir-akhir ini seperti akad perindustrian, kontrak dan jaminan sosial.

Kebanyakan ahli fiqh berpendapat bahawa lafaz "aqad" dalam ayat tersebut adalah umum, mencakupi se­mua `aqad yang disebutkan oleh syarak dengan istilah dan yang muncul kebelakangan ini kecuali `aqad yang menghalal­kan yang haram atau mengharamkan yang halal. Berdasarkan bahawa lafaz dalam ayat tersebut adalah umum dan mencakupi semua 'aqad muncullah dalam fiqh Islam 'aqad-'aqad baru yang banyak sekali sepanjang zaman. Para fuqaha' menamakannya dengan nama-nama khusus seperti 'aqad dua sewaan, 'aqad memonopoli harta-harta wakaf, dan perlu dijelaskan[1] kedua istilah 'aqad terakhir ini:

  • Aqad Dua Sewaan ialah bahawa penyewa (musyrif) barang wakaf sepakat dengan seseorang untuk menyerahkan sejum­lah wang yang cukup untuk membangunkan tanah wakaf yang tergendala dari pembangunannya, dengan perjanjian bahawa si pemberi wang berhak duduk selamanya atas tanah tersebut, dengan upah tahunan yang rendah.
  • Aqad Monopoli (tahkir) adalah kesepakatan untuk mem­berikan tanah wakaf yang kosong kepada seseorang dengan ganti sejumlah wang yang hampir sama dengan nilai tanah itu dengan nama "sewa yang didahulukan" agar dia berhak duduk atas tanah tersebut selamanya dan bertasarruf pada tanah itu dengan membina atau menanami dan lain-lain se­bagaimana tasarruf pemilik tanah dan juga membayar upah (sewa) tahunan yang rendah.

Hal ini merupakan istinbatt yang, ijtihadi (mengeluarkan hukum dengan berijtihad) pada aqad-aqad yang baru muncul sebagaimana ditunjukkan oleh ayat.

Adapun mengenai wasilah (cara) perlaksanaan kaedah 'memenuhi perjanjian' itu, maka Islam menyerahkannya kepada zaman yang berkembang dan kehidupan yang terus berubah. Jadi perlaksanaan kaedah ini serta penyusunan, pendaftaran, pengesahan dan jaminan bagi hak-hak pemiliknya semua diserahkan oleh Islam kepada "ahlul halli wal-'aqdi" bahkan juga diserahkan kepada pengalaman manusia yang paling baik.

Jadi, matlamat syariah yang pertama adalah perlaksanaan prinsip "memenuhi perjanjian", sedangkan cara dan kaedah perlaksanaannya diserahkan kepada ahlinya sama ada pendaftaran akad tersebut pada satu lembar atau dua, tiap-tiap satu dipelihara oleh orang yang beraqad, ataukah pendaftaran itu disaksikan dan dicatat oleh seorang pendaftar yang dipercayai dan seterusnya.

Perlaksanaan kaedah Syura melalui Majlis Penasihat yang terdiri daripada orang-orang yang terpilih daripada kalangan bijak pandai dan mereka yang mempunyai pengkhususan atau melalui Majlis Perwakilan yang dipilih oleh rakyat, atau dengan memilih majlis-majlis kabinet daripada tenaga ahli yang berpengalaman atau majlis tempatan untuk setiap kawasan dan bandar. Semua aturan ini diserahkan ke­pada pengalaman manusia yang paling baik.


- Al-Qur'an Al-Karim menyebut secara jelas mengenai prin­sip syura dalam perkara-perkara perlembagaan. Firman Allah:
"...sedang urusan mereka (diputuskan) dengan Syura" (Asy-Syura, ayat 38)

Kaedah Syura yang disebut oleh ayat tersebut merupa­kan kaedah yang umum dan tetap, tidak mengalami per­ubahan dan pertukaran serta wajib diamalkan pada setiap ruang dan waktu. Akan tetapi cara dan kaedah penerapannya diserahkan kepada tuntutan kepada tuntutan zaman itu.

Jadi, matlamat Syariah yang pertama adalah untuk menegakkan kaedah Syura'. Me-genai sistem perlaksanannya, ia boleh mengambil kaedah tertentu atau bentuk majlis yang dipilih, diserahkan kepada kebijaksanaan 'ahlul halli wal­aqdi' selama negara-negara dan pemimpin-pemimpin mereka serta lembaga-lembaga kerajaannya menegakkan kaedah syura.


Perkara ini boleh dibandingkan dengan contoh berikut:

- Prinsip (mabda') kekuatan pada firman Allah:
"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi..." (Al-Anfal, ayat 60)

- Prinsip pengurusan hutang piutang: Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang untuk waktu yang ditentukan, maka hendaklah kamu menuliskannya. ..." (Al-Baqarah, ayat 282)

Begitu juga prinsip-prinsip dan kaedah lain yang telah dinaskan oleh Syariat Islam.


3. Adapun masalah-masalah perundangan yang tunduk kepada perkembangan iaitu kes-kes baru yang tidak dijumpai nas yang tegas dalam Al-Qur'an atau Sunnah, maka perkara-perkara seperti ini tunduk kepada ijtihad semasa yang ditetapkan oleh para Ulama' yang berkelayakan, mempunyai sifat warak dan takwa, cerdas serta berpandangan luas dan mampu berijtihad. Mereka mengeluarkan hukum yang boleh mencapai sudut kemaslahatan sesuai dengan perkembangan budaya serta kemajuan ilmu pengetahuan seperti keterangan hukum Islam mengenai jaminan pesaraan bagi pegawai dan pekerja buruh, wang jasa, gaji tunjangan keluarga dan jaminan sosial. Masalah-masalah ini dan yang seumpamanya memerlukan ahli-ahli fiqh yang terpilih untuk memutuskan hukum Islam mengenainya atas dasar maslahat dan perkembangan, jiwa (roh) syariah serta tujuan-tujuan umumnya sya­riat dengan syarat ia tidak bertentangan dengan nas-nas yang sarih (tegas) atau tidak keluar daripada kaedah-kaedah umum serta tidak melampaui batas yang telah ditentukan baginya.


Oleh kerana itulah, Ulama' Usul Fiqh mengatakan:

" لاَ يُنْكَرُ تَغَيُّرُ اْلأَحْكَامِ بِتَغَيُّرِ اْلأَزْمَانِ "

"Tidak diingkari perubahan hukum dengan sebab perubahan zaman"


Demikianlah pandangan-pandangan khusus mengenai perkembangan dan ketetapan dalam prinsip-prinsip Syariah dan dengan makna ini bererti ia menghimpunkan antara yang lama dan moden, antara asas-asas yang tetap dan dinamik. lni juga bererti bahawa Shariah boleh menyahut tuntutan zaman yang terus berkembang dan mengikuti kebudayaan manusia yang berkembang sehingga Allah mewarisi bumi ini dan segala isinya.

3. Syumul (Menyeluruh dalam Sistem-Sistem Syariah)

Telah disebutkan, wahai pembaca yang mulia pada per­mulaan pembahasan ini bahawa ciri-ciri asas dan kelebihan besar syariah adalah syumul (keseluruhan). Orang yang meneliti sistem-sistem dan memperhatikan prinsip-prinsipnya akan mendapati bahawa Islam yang agung inii mencakupi berbagai sistem dan hukum pada tiap-tiap segi pembentukan (takwin), pembinaan (bina') serta pembaikan (islah) dan pada tiap-tiap aspek masyarakat dan kehidupan. Telah kita bentangkan dengan panjang lebar mengenai kesyumulan (ke­seluruhan) syariah serta prinsip-prinsip umumnya bermula daripada pembaikan individu, kemudian pembaikan masya­rakat, pembaikan negara, sehingga proses pembaikan manu­sia secara keseluruhan.

Di antara perkara-perkara yang menunjukkan kesyu­mulan syariah ialah bahawa negara Islam pada masa Rasulul­lah s.a.w. dan Khulafa Ar-Rasyidin adalah merupakan con­toh praktikal yang tinggi bagi perlaksanaan prinsip-prinsip Islam yang syumul dalam berbagai aspek kehidupan. Bahkan selama kedua-dua zaman ini, telah tertegak suatu negara yang paling tinggi yang pernah dikenali manusia.

Malah telah tampil melalui sistem-sistem Islam suatu ke­hidupan Islami yang mutamayyiz (berbeza), yang akan terus menjadi pelita penerang sepanjang masa serta merupakan minhaj yang benar bagi para mujadid untuk selamanya dan untuk manusia keseluruhannya.

Perlaksanaan Islam terus berlangsung beberapa abad lamanya sepanjang peredaran sejarah sehingga terhapusnya Khilafah Islamiyyah pada masa Bani `Uthman. Perlaksanaan amali yang panjang ini tetap akan menjadi rujukan asasi bagi para mujadid pada setiap masa dan tempat yang mengambil daripada sumber asalnya segala yang selaras dengan waqi' (kenyataan) dan seimbang dengan putaran roda kebudayaan dan kehidupan.

4. Keharmonian Antara Syariah dan Kenyataan Hidup

Di antara unsur-unsur Syariah serta ketinggian prinsip­nya ialah keharmoniannya dengan kenyataan dan kesesuai­annya dengan kehidupan.

Adalah suatu hal yang mustahil pada akal dan syarak terjadinya suatu pertentangan antara hukum-hukum Islam dengan maslahat manusia atau terjadinya pertembungan antara nas syariat dengan kenyataan hidup kerana Allah S.W.T. yang Maha Tinggi hikmahNya, ketika memansuh­kan syariat-syariat samawi lain dengan syariat Islam, datang­lah Syariah yang baru yang menyesuaikan antara kepen­tingan individu dengan kepentingan jemaah untuk mewujud­kan kebajikan dan kebahagiaan bagi insan secara keselu­ruhan serta menjamin kepimpinan umat dan keselamatan dunia sehingga Hari Kiamat.

Di antara yang menunjukkan keharmonian syariah de­ngan kenyataan hidup ialah bahawa kebanyakan hukum dan teori-teori yang dibawa oleh syariat Islam semenjak empat betas kurun lamanya yang ketika itu merupakan bahan tuduhan dan keraguan daripada musuh-musuh Islam, akhir­nya manusia terpaksa merujuk kepadanya dalam rangka mencapai keadilan, menjamin kemaslahatan serta menghi­langkan mudarat dan kezaliman daripada individu dan ma­syarakat. Di bawah ini kita bentangkan beberapa contoh:
a) Konsep perceraian yang secara terpaksa diakui oleh ne­gara-negara Barat keseluruhannya. Yang paling terakhir ialah pengakuan negara-negara katolik yang fanatik se­perti ltali. Telah berlangsung di Den Haag pada tahun 1968 persidangan Hukum Antarabangsa ke-11. Di antara perbahasannya: Membuat perjanjian (treaty) pengakuan sistem thalaq dan pemisahan di sisi perlembagaan di pe­ringkat antarabangsa, iaitu merujuk kepada hukum Islam [2].

b) Konsep Riba yang dianggap selama ini merupakan ke­mestian bagi roda kehidupan ekonomi sehingga muncul daripada kalangan ahli ekonomi Barat sendiri yang me­nentang idea riba pada dasarnya atas nama ilmu eko­nomi sendiri, bukan atas nama agama dan keimanan. Di antara nama-nama yang paling masyhur disebutkan da­lam hal ini ialah seorang ahli ekonomi Britain yang ter­masyhur Keynes, yang menetapkan bahawa masyarakat tidak akan mencapai keadilan yang sempurna melainkan dengan menghapuskan `rate of interest'. Demikian juga Dr Shacht yang berbangsa Jerman mengatakan: "Melalui proses matematik, jelaslah bahawa semua harta ter­tumpu kepada segolongan kecil pengusaha riba..." [3].

Di antara bahan rujukan yang baik dalam masalah ini adalah tulisan-tulisan Dr. Isa Abduh, Dr. Ahmad An-Najjar, Kitab Iqtisaduna karangan Syeikh Muhammad Baqir al-Sadar, dan pembahasan-pembahasan ekonomi yang ditulis Oleh Al-`Allamah Abul A'la Al-Maududi.

c) Milik peribadi yang dianggap oleh kapitalisme pada per­mulaannya bersifat mutlak tanpa ada ikatan apapun. Teori ini menyebabkan kekacauan yang hebat yang di­alami oleh masyarakat kapitalis sehingga mereka ter­paksa menarik balik teori yang salah ini dengan mem­batasi hak milik dengan ikatan positif yang boleh mem­bawa maslahat umum. Demikian juga komunisme yang mengetengahkan teori ekonominya untuk menghapus­kan milik peribadi. Hal ini juga bertentangan dengan naluri yang dicipta oleh Allah pada manusia iaitu naluri keinginan untuk memiliki. Hal ini mengakibatkan ter­jadinya kegoncangan yang hebat sekali bagi insan komunis dan sosialis. Begitu juga kegoncangan yang ter­jadi pada hasilnya, sehingga terpaksa membolehkan in­dividu untuk memiliki, akan tetapi dalam ruang yang ter­batas dan sempit sekali.

Semoga kita lihat penghapusan prinsip-prinsip tersebut dalam sistem-sistem moden sekarang ini dan manusia meng­ambil Islam sebagai satu-satunya alternatif dalam kehidupan.

Hukum Islam dalam sistem 'milik' ialah membolehkan setiap manusia memiliki apa yang diinginkannya dalam batas-batas yang diterangkan oleh Syariah dan ukuran dasar yang dipakai dalam hal ini ialah 'halal dan haram', bukan maslahat peribadi sebagaimana dalam sistem kapitalis. Begitu juga Islam tidak mengabaikan naluri ingin memiliki yang menjadi fitrah manusia, bahkan Islam berusaha untuk me­numbuhkannya serta memberikan kepuasan melalui usaha yang dibolehkan, berlainan dengan sistem komunis dan so­sialis.

d) Gejala persaingan kaum wanita yang bekerja untuk me­nyaingi kaum lelaki dalam hidang pekerjaan.

Pendakwa-pendakwa kemajuan beranggapan baha­vva di antara hak-hak besar yang diperoleh oleh wanita pada zaman moden ini ialah menyaingi pekerjaan kaum lelaki. Akan tetapi kesedaran yang timbul dari sana sini menguatkan bahawa wanita ketika dia ditempatkan di kilang-kilang dan tempat-tempat kerja dipojokkan di lorong dan jalan kesesatan, maka jatuhlah darjat kema­nusiaannya, hilang kewanitaan dan kehormatannya. Di sinilah baru terlihat hakikat itu pahit dan kecelakaan yang amat menyedihkan.

Bagaimana boleh tergambar oleh kita wanita di Barat atau di Timur menjadi tukang sapu kotoran-ko­toran jalan, tukang lap sepatu, pembawa barang-barang dan beg dan pembantu di tandas-tandas? Bagaimana ter­gambar oleh kita kedudukan wanita di bengkel dan kilang. Di antara mereka ada yang bernifas, sebahagian ada yang menyusukan, ada pula yang haid dan yang hamil sedangkan perasaan mereka kusut dan pakaian mereka kotor? Bagaimana terbayang oleh kita peluh me­reka yang mengalir, otot kejang, wajah berkerut, suara yang serak, kulit yang kering, jari-jari mereka membeng­kak, kaki mereka kejang ditambah lagi dengan peker­jaan wanita bercampur dengan kehadiran lelaki sehingga mengundang ke arah kerosakan akhlak.

Berdasarkan gambaran-gambaran yang menyedih­kan ini serta kenyataan yang memilukan hati, maka tim­bullah kesedaran-kesedaran yang menyeru wanita agar kembali ke tempatnya semula serta tugasnya yang thabi`i (natural) dengan meninggalkan pekerjaan lelaki.

Seorang penulis wanita, Anna Rose dalam sebuah makalahnya yang disebarkan oleh akhbar Eastern Mail yang berbahasa Inggeris, menyatakan:
Pekerjaan wanita kita di rumah-rumah sebagai pembantu adalah jauh lebih baik dan lebih ringan dari­pada pekerjaan mereka di kilang-kilang yang boleh membuat mereka berlumuran dengan kotoran-kotoran sehingga menghilangkan keindahan hidupnya sepanjang masa. Kalaulah boleh biar negeri kita ini menjadi seperti negeri orang Islam, di mana maruah dan kehormatan, wanita terpelihara. Sesungguhnya menjadi aib bagi ne­geri Inggeris yang menjadikan wanitanya sebagai contoh kehinaan akibat banyaknya bercampur dengan lelaki. Kenapa kita tidak berusaha menciptakan pekerjaan yang sesuai dengan fitrah wanita yang tabi'i seperti tinggal di rumah dan menyerahkan pekerjaan lelaki untuk lelaki demi keselamatan kehormatannya...

Seorang artis Amerika bernama Barbara Streisand mengatakan dalam sebuah artikelnya dalam akhbar:
Sesungguhnya aku telah mulai meyakini bahawa telah banyak perkara yang berakhir. Selama ini aku me­mentingkan kehidupanku sebagai artis secara berlebihan. Aku telah lupa akan kehidupanku sebagai wanita dan sebagai manusia, sehingga sekarang aku merasa iri­hati dengan wanita yang mempunyai waktu yang cukup untuk hidup mesra dengan suami dan anak-anaknya...Pada hakikatnya kejayaan dan populariti tidak bererti kalau kehidupan keluarga tidak dinikmati, di mana wanita merasakan dirinya sebagai wanita.

Di antara yang dinyatakan oleh artis Marylin Mon­roe di dalam sepucuk surat yang ditulisnya sebelum dia membunuh diri:
Sesungguhnya aku merasa sengsara hidup sebagai wanita di bumi ini. Aku tidak mampu menjadi seorang ibu. Sebenarnya aku ini adalah wanita yang mengutamakan rumah dan kehidupan keluarga yang mulia dan suci. Sesungguhnya kehidupan keluarga ini adalah menjadi lambang kebahagiaan wanita. Orang-orang telah menganiayaku. Sesungguhnya pekerjaan sebagai artis menjadikan wanita sebagai benda yang murah dan tidak bernilai, walaupun dia mencapai ketinggian serta kemasyhuran yang palsu.

Inilah yang ditulis, diakui dan yang diingkari oleh beberapa wanita di dalam masyarakat yang memboleh­kan wanita bercampur, bersolek dan melakukan pekerjaan lelaki. Menentang gejala ini bermakna merujuk ke­pada hukum Islam yang memerintahkan agar wanita me­lakukan pekerjaan yang sesuai dengan kewanitaannya dan peranan yang tabi'i yang diciptakan untuk itu, iaitu menunaikan hak-hak suami-isteri, mengurus rumah, mendidik anak, membuat kerja yang khusus untuk wa­nita; sebagaimana dia melarang wanita daripada tabarruj (bersolek) dan pergaulan bebas serta berjalan di jalan ke­hancuran dan kegelinciran.

Daripada contoh penerangan di atas, jelaslah ba­hawa syariah Islam sangat cocok sekali dan amat sesuai dengan kemaslahatan manusia dan kenyataan hidup pada se­tiap masa dan tempat. Hal ini adalah kerana syariah Islam bersumber daripada Yang Maha Bijaksana dan Maha Me­ngetahui, Yang Maha Suci daripada kekurangan dan keter­batasan yang bersifat dengan ilmu yang lengkap serta kesem­purnaan yang mutlak. Firman Allah:
"Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui; dan Dia Maha Halus dan Maha Mengetahui?" (Al-Mulk, ayat 14)

Zaman akan membukakan tabir rahsia keberkekalan syariah, hukum-hukumnya yang rasional serta keagungan prinsip-prinsip hari demi hari. Pada ketika itu manusia akan memakai hukum Islam secara sukarela dan senang. Mereka akan menerima agama Allah dengan taat dan patuh. Siapa­kah yang mempunyai hukum yang lebih balk daripada hukum Allah bagi kaum yang yakin. Benarlah Firman Allah dam Al-Qur'an:
"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda Kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Qur'an itu adalah benar, dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?" (Fussilat, ayat 53)

Alangkah baiknya ucapan ahli falsafah Inggeris, Bernard Shaw, ketika dia menyaksikan kebesaran Islam serta ke­mampuannya untuk berkembang dan berkekalan:
"Sesungguhnya agama Muhammad s.a.w. menempati tempat penghargaan yang tinggi, kerana ia mengandungi daya hidup yang hebat, dan ia adalah agama yang memiliki kemampuan mencerna jenjang kehidupan yang berbeza-­beza. Saya berpendapat bahawa seharusnya Muhammad s.a.w. layak digelar `Penyelamat Kemanusiaan', dan lelaki seperti dia apabila memimpin dunia moden, pasti akan berjaya dalam menyelesaikan masalah-masalahnya..."


5. Meletakkan Prinsip-Prinsip Bagi Memelihara Maslahat (Kepentingan) Manusia

Telah kita bentangkan pada pembahasan ciri-ciri Sya­riah dan Keistimewaannya, bahawa di antara ciri syariah ia­lah "Kemudahan dan Menghapuskan Kesusahan" serta "Memelihara Maslahat Manusia."

Kita telah membicarakan dengan panjang lebar kedua ciri yang besar ini serta pengaruh keduanya untuk mencapai maslahah bagi manusia dan menolak keburukan daripada mereka. Maka syariah tetaplah merupakan kenyataan dalam penerapannya, logik dalam ajaran-ajarannya, bersambungan dan mengatasi semua sistem dan undang-undang manusia yang ada. Tetapi apakah hukum-hukum terpenting yang di­letakkan oleh Islam untuk menghilangkan kesusahan dari­pada manusia serta memelihara maslahat mereka?

Sebagaimana yang telah kita sebutkan juga bahawa tujuan umum dari perundangan Islam ialah memelihara mas­lahah manusia dengan menjamin perkara-perkara yang dha­ruriyat, memenuhi keperluan hajjiyat serta melengkapi perkara-kara tahsinat (pelengkap), mereka dan telah kita kata­kan bahawa:
Pemeliharaan perkara yang bersifat tahsini atau pelengkap tidak boleh menggendalakan hal-hal yang bersifat hajjiyat, begitu juga penggunaan hal-hal yang ber­sifat hajjiyat dan tahsini tidak boleh membuat perkara yang daruri menjadi tergendala.

Berdasarkan ini maka hukum-hukum syarak yang disyariatkan untuk memelihara perkara yang dharuri adalah hukum-hukum yang paling penting dan lebih berhak untuk dijaga seperti memelihara agama, jiwa, akal, kehormatan dan harta. Kemudian diikuti oleh hukum-hukum yang disyar­iatkan untuk memenuhi keperluan (hajjiyat) seperti boleh­nya berbuka pada bulan Ramadan bagi orang yang sakit atau musafir, boleh memendekkan sembahyang semasa perjalanan dan boleh bertayammum bagi yang tidak mendapat air. Kemudian berikutnya adalah hukum-hukum yang di­syariatkan sebagai pelengkap (tahsini) dan keelokkan seperti membersihkan badan, pakaian dan tempat, menutup aurat dan bersuci dari kencing. Hukum yang terakhir ini dianggap sebagai penyempurna hagi hukum-hukum dharuriyat. Oleh kerana itu dibolehkan membuka aurat bila diperlukan untuk pengubatan atau pembedahan, kerana menutup aurat adalah tahsini, sedangkan pengubatan adalah hajjiy. Hajjiy di­dahulukan atas tahsini. Dibolehkan memakan najis dalam keadaan dharurat, kerana memelihara daripada najis adalah tahsini, sedang menghindari kecelakaan daripada jiwa adalah dharuri. Perkara dharuri didahulukan daripada yang tahsini.

Pemeliharaan hal yang bersifat hajjiy atau keperluan tidak boleh mengendalakan yang dharuri. Oleh kerana itu wajib dikerjakan amalan-amalan yang wajib bagi orang yang tidak memerlukan keringanan (rukhsah), sekalipun kadang­kala mereka merasa susah untuk melaksanakan tugas itu. Ini adalah kerana sikap taklif (tugas) tidak sunyi daripada kesu­litan dan keberatan. Kalaulah dibolehkan mukallaf tidak mengalami kesulitan apapun, nescaya tergendala ke­banyakan hukum-hukum dharuri seperti ibadat, hukuman (uqubat) dan lain-lain keberatan ini ditanggung dalam rang­ka menjaga perkara dharuriyat yang asasi iaitu memelihara agama, jiwa, akal, kehormatan dan harta.

Jadi, hukum dharuriyat wajib dipelihara dan tidak boleh mengendalakannya melainkan apabila dalam melaksana­kannya menyebabkan tergendalanya hukum dharuri lain yang lebih penting daripadanya.

Contohnya, jihad adalah wajib untuk memelihara agama walaupun menuntut pengorbanan jiwa, kerana melin­dungi agama adalah lebih penting daripada memelihara jiwa (diri). Begitu juga dibolehkan meminum khamar bila di­ancam dengan pembunuhan atau terpaksa kerana dahaga yang boleh membawa kepada kematian kerana memelihara jiwa adalah lebih penting daripada memelihara akal.

Berdasarkan kaedah "bahawa tujuan umum daripada tasyri' (perundangan) adalah mewujudkan maslahah manu­sia dengan menjamin dharuriyat, hajjiyat dan tahsinat", maka diletakkan prinsip-prinsip syarak yang khusus untuk mengangkat mudarat serta menghilangkan kesusahan. Telah kita sebutkan tadi pada awal perbahasan, beberapa cabang dari prinsip-prinsip ini dan saya rasa tidak perlu diulangi lagi setelah dibicarakan secara luas.

Demikianlah beberapa unsur pembaharuan yang terpen­ting dalam syariat Islam:
  • Dengan pemeliharaan Allah s.w.t. terhadap dua sumber, Al-Qur'an dan Sunnah, maka terjamin keberkekalan dan keaslian nas-nasnya.
  • Pada ciri dinamik dan tetapnya prinsip-prinsip syariah membuatnya dan menerima pembaharuan sepanjang masa.
  • Pada ciri syumul sistemnya, memungkinkan ahli fiqh dan undang-undang untuk menjadikannya sebagai dasar da­lam mengejar keagungan dan kepimpinan.
  • Keharmonian prinsipnya dengan waqi' kehidupan dapat mendorong manusia percaya dan beriman kepadanya.
  • Pemeliharaannya terhadap kemaslahatan manusia me­nyingkapkan rahsia kekalan dan keabadiannya bagi orang yang mencari kebenaran.

Firman Allah:
"Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?" (Al-Ma'idah, ayat 50)

------
NOTA KAKI

[1] Kami kutip penjelasan ini dari kitab Al-Fiqhi Al-'am oleh 'Allamah Syeikh Mushthafa Az-Zarqa', muka 617, daripada pecahan nombor: (295).

[2] Lihat 'sejauhmana keperluan kepada ensaiklopedia fiqh', oleh Dr. Jamaluddin 'Athiyya, hal: 145.

[3] Rujuk kepada 'Fi Zilalil Qur'an' jilid 1 ayat: 275 dari surah Al-Baqarah
---

Lihat sumber asal artikel dari blog SwordofDeen.

Catatan Lama Laman utama

 
Setiap tulisan yang ada di sini adalah digalakkan untuk disebarkan. Pro Tajdid direkabentuk oleh Tawel Sensei sambil melayan Radio IKIM.