Oleh: W. RAHIMAH DRAMAN
Syed Hamid Albar bersama para ulama Pondok Senusantara Ke-2 semasa sesi bergambar di Yayasan Al Jenderami, Sepang.Melihat kepada corak dan gaya hidup seharian orang-orang Islam mutakhir kini, terlintas di minda, apakah masih ada sisa tinggalan warisan nabawi sebenar yang luhur dalam sanubari insani Muslim?
Sunnatullah telah menetapkan bahawa para Rasul tidak meninggalkan warisan dinar dirham (kekayaan material duniawi) pada ummah kemudian, kecuali warisan ilmu agama dengan al-Quran dan al-Sunnah sebagai harta zahir dan batin sehingga Hari Kiamat. Warisan ilmu nabawi inilah yang akan mendidik dan membentuk akidah serta akhlak kehidupan ummah kemudian. Matlamatnya, menjadi hamba yang mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. serta sebagai khalifah bagi memakmurkan bumi.
Nabi Muhammad yang menjadi penutup sekelian anbiya dan umat kemudian diperintahkan menyambung tugas dan tanggungjawab para Nabi serta Rasul sebelumnya bagi menyebar dan menegakkan syiar Islam. Namun kenyataannya, warisan Nabawi ini tidak lagi menjadi landasan dan amalan kehidupan orang-orang Islam era kini. Al-Quran dan al-Sunnah pula sering dijadikan alat bagi meraih kesenangan, pengaruh dan populariti untuk survival kehidupan.
Antara puncanya, amalan menuntut ilmu daripada guru-guru secara bersanad yang dipertahankan oleh institusi sekolah pondok semakin berkurang. Sekolah pondok adalah institusi keilmuan utama dan terawal yang mencorakkan tamadun Melayu-Islam silam Nusantara.
Menyedari hakikat ini, Melayu-Islam Nusantara menggerakkan program mengembalikan warisan nabawi dalam kehidupan Muslim. Ia dibuat melalui Majlis Ijtimak Ulama Pondok Se-Nusantara: Mengembalikan Warisan Nabawi di Nusantara.
Sekali lagi institusi sekolah pondok memainkan peranan. Usaha Yayasan Al-Jenderami dan Madrasah Islamiah Jenderam Hilir, di Kampung Baru Jenderam Hilir, Dengkil Selangor pada 12 hingga 14 April lalu harus diiktiraf dan disokong setiap Muslim. Yayasan Al-Jenderami dan Madrasah Islamiah Jenderam adalah kesinambungan warisan institusi pendidikan pondok ulama silam yang beroperasi selaras dengan pasca era moden sekarang.
Dengan menghimpun ulama-ulama besar seluruh Nusantara - Malaysia, Indonesia, Patani Darul Salam (Thailand), Brunei, Singapura, Kemboja (Kampuchea) dan Filipina serta beberapa ulama jemputan dari Iraq dan Mesir, lebih 1,000 orang yang cintakan Islam membanjiri dan berkampung di Kompleks Yayasan Al-Jenderami. Program tahunan yang memasuki musim kedua itu berlangsung selama tiga hari. Ia diadakan sempena meraikan tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Sebanyak 12 ahli panel terdiri dari ulama dan ilmuwan Nusantara serta Asia Barat hadir untuk mengembangkan ilmu melalui pembentangan dan ceramah pada ijtimak itu.
Harus diketahui, kedatangan dan penerimaan Islam di alam Melayu Nusantara bukan perkara baru. Malah kewujudan bangsa Melayu dikatakan bermula sebelum kelahiran Nabi Isa a.s iaitu melalui Empayar Melayu Langkasuka. Malah kajian sejarah Islam mencatatkan, Nabi Muhammad s.a.w. telah berkenalan dengan pedagang Indonesia (Melayu) sebelum beliau menerima wahyu dan menjadi Rasul lagi.
Jadi, kesedaran, peranan dan tanggungjawab Melayu-Islam melalui Yayasan Al-Jenderami itu selaras dengan kedudukan dan peradaban Melayu sebagai bangsa yang telah mencipta tamaddun sendiri selepas ketamadunan Arab-Islam.
"Ulama sekarang (zaman global kini) tidak mungkin kembali ke era ulama silam. Tatacara telah amat berbeza. Akibatnya ulama sekarang tidak lagi mengingati Rasulullah s.a.w. melalui kata-kata dan amal perbuatannya. Kecuali melalui al-Quran dan al-sunah," kata ulama besar Pesantren Al-Annur Sarang, Indonesia, Kiai Maimon Zubir.
Ini kerana katanya, perkembangan ulama berubah mengikut masa. Di zaman Nabi dan sahabat al-Quran berada di dada (hati), telinga, mulut dan amalan, bukan di kertas (pada tulisan) seperti sekarang.
"Al-Quran di zaman itu (Rasul dan sahabat) dihafal dan diamalkan. Segala kata-kata dan perbuatan nabi menjadi ikutan dan amalan hidup seharian mereka," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat nabawi mengenai Al-Ulama Warasatun Anbia' pada pembukaan Majlis Ijtimak itu.
Perasmian Ijtimak Ulama Pondok Se-Nusantara; Mengembalikan Warisan Nabawi di Nusantara itu dilakukan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Kiai MaimoACn menambah, oleh sebab itu, ulama silam dan pewaris Nabi yang dijadikan teladan mestilah ada fikiran (berilmu dan berfikiran secara bersanad), lemah lembut serta buat perhubungan dengan semua bangsa. Katanya, itulah sifat dan amalan Nabi yang diikuti para sahabat serta ulama salaf dan diteruskan oleh ulama silam.
Natijahnya, ulama pewaris nabi dalam mengembangkan daie mestilah ilmunya yang diterima secara bersanad (dari Rasulullah s.a.w., ahli keluarganya, para sahabat dan ulama salaf), boleh dan mudah difahami serta diterima oleh ummah semasa," ujar ulama yang berusia 80 tahun ini.
Menurut Kiai Maimon, ini kerana agama Islam tegas beliau, konsepnya menuju yang Maha Esa dan relevan sepanjang zaman.
"Tetapi manusia berubah mengikut masa. Ulama pewaris Nabilah yang perlu memain peranan. Jika zaman Nabi Ibrahim a.s. batu sebagai senjata dan zaman Nabi Yusuf a.s. besi jadi senjata hingga zaman Rasul kemudian, tetapi kini era senjata nuklear. Namun kalimah Laailahaillah Muhammadan Rasulullah adalah senjata Muslim paling ampuh. Jangan diinjak-injak (dipijak-pijak atau perlekehkan) Allah (kalimah suci itu) jika tidak mahu dilaknati-Nya." ujar Kiyai Maimon lagi.
Sementara itu, Syed Hamid dalam ucapan perasmiannya menegaskan, ulama yang berilmu, warak, takwa dan cinta pada ummah mestilah turut sama menyelesaikan masalah ummah semasa.
Katanya, pengajian tradisi institusi sekolah pondok telah menyatupadukan seluruh orang Islam Nusantara melalui himpunan kitab-kitab lama (Melayu-Jawi) yang sangat tinggi nilainya.
"Institusi pondok telah mengembalikan institusi nabawi dan ia perlu direalisasikan masa kini. Ini tanggungjawab semua pihak dan ulama pondok yang mahir dalam kitab-kitab lama (kitab kuning) perlu menulis kembali isi kandungannya ke bahasa yang mudah difahami supaya ilmu warisan nabawi ulama silam itu terus berkembang, bercambah dan diamal oleh generasi akan datang," jelasnya.
---
Dipetik dari ruangan Bicara Agama Utusan Malaysia bertarikh 1 Mei 2007.
Label: aktiviti, warisan islam
Artikel ini dipetik daripada buku Simposium Tasawwuf dan Tariqah oleh Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy, halaman 35-38.
---
Bagi memudahkan mendekati ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya bagi mencari ilmu di zaman kebendaan dan ilmiah ini, eloklah lebih dahulu mempelajari ilmu fizik kemudian pelajari ilmu metafizik atau mâ warâ’a al-tabâ‘ah, ilmu falsafah dan ilmu perbezaan antara agama-agama.
Dalam hal ini rasanya eloklah saya ceritakan sedikit hal-hal saya dengan tasawwuf ini. Ayahanda saya adalah seorang tasawwuf dan bertariqah Naqshabandi serta dengan lurus dan wara‘nya. Maka saya dari kecilnya dilatih secara waraknya dan mesti kuat beribadat mengikut-ngikut dia sembahyang berjamaah, membaca Quran dan [Maulid karya] al-Barzanji, ahzab dan zikir. Sebagai orang muda tiadalah saya tahu apa-apa. Saya ikut-ikut itu kerana malu dan segan jua. Saya lakukan dengan berat kerana kawan-kawan lain dapat lepas dan bermain-main saya tidak.
Bila saya lepas belajar ke luar, di Indonesia, dapat saya belajar bahasa Belanda dan guru-guru agama saya pula ulama-ulama kaum muda dan berfaham progresif dalam Islam, maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti al-Manar dan al-Fath.
Saya pelajari ilmu-ilmu usul fiqh, usul al-ahkam, mazahib al-arba'ah (mazhab empat) dan membaca kitab-kitab Bidayah al-Mujtahid, Subul al-Salam, kitab-kitab [Syeikh al-Islam] Ibn Taimiyyah, Ibnu al-Qayyim, al-Shaukani, [Syeikh] ‘Abdul Wahhab al-Wahhabi (yakni [Syeikh] Muhammad Abdul Wahhab), al-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Rida dan akhirnya Tantawi. Saya pun terbalik bertentang dengan ayah saya dalam pendirian. Saya memusuhi jumud kolot.
Pada saya, tasawwuf dan tariqatnya itu suatu ajaran mematikan semangat dan campur-aduk dengan bidaah. Pada saya kitab tasawwuf seperti karangan Imam Ghazali (w.505H/1111M) itu saya pandang seperti madu bercampur racun, kerana saya pandang dari segi bahas fiqh, tafsir dan hadith tidak kuat menurut kaedah rawi dan sebagainya. Ini berlaku di antara 1927 hingga tahun 1940. Pendeknya ilmu tasawwuf saya ketepikan. Nafsu saya tidak mahu langsung kepadanya, apa lagi sebagai seorang wartawan muda pada tahun 1937 saya keluarkan majalah Taman Bahagia lalu tertangkap kerana saya didapati oleh penjajah berpolitik tegas dan berbahaya kepada penjajah dan akan membangkitkan kesedaran rakyat, hinggalah sekarang Malaya jadi Palestin kedua masih kedengaran diperkatakan orang.
Maka saya di India saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu-ilmu kedoktoran homeopati asas Belanda memudahkan saya mempelajari bahasa Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu al-ruhani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran failasuf (Ph.D) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik berat, inti sari dan pati punca perbezaan dan perbalahan. Maka termasuklah membahaskan berkenaan dengan sufi itu termasuk dalam falsafah. Saya pelajari sufi dari bahasa-bahasa Eropah. Terpaksalah balik saya mengenal al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifa'i, al-Rumi, al-Qushairi, Ibnu Ata'illah dan lain-lain serta rujuk kitab-kitab Eropah itu kepada kitab Arab maka barulah saya mencari kitab-kitab Arabnya pula.
Kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke Nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk agama Islam yang hanif (yang lurus) ini terutamanya kesan-kesannya ialah daripada ulama-ulama Syi‘i dan ulama-ulama tasawwuf, sama ada ulama-ulama itu datang secara saudagar atau secara muballigh; bukan masuk melalui ulama-ulama fiqh, Islam masuk di Nusantara kita ini berkembang tidak dengan kekerasan atau paksa tetapi dengan kemahuan hati dan pilihan jua yang dapat mengatasi agama Hindu dan Buddha [se]bagaimana yang diperjuangkan oleh Wali Songo di Jawa dan lain-lain kepulauan maka beransur-ansur nampaklah saya kesenian ilmu tasawwuf.
Hebatlah sungguh perlawanan di dalam diri saya sendiri pertentangan-pertentangan yang saya katakan dahulu itu tasawwuf kolot dan jumud dengan Islam progresif dan saintifik.
Bila kita halusi intisari alam metafizik dan pengertian alam mithal yang diterangkan ulama-ulama tasawwuf dipandang dari bahas ilmiah hari ini nampaklah kita di mana ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya.
---
Sumber artikel dari Malakian.
Balik Malaysia memang seronok. Macam-macam benda boleh di buat, yang utamanya ialah makan, makan dan makan. Memang Malaysia bumi yang baik 'baldatun toyyibah' tetapi bila tengok keadaan masyarakat, tidak tahulah samada aspek 'wa Rabbun ghafur' itu pula ada atau tidak. Gerak hati berkata tiada melihatkan ramai remaja bahkan mereka yang di umur senja pun, terkinja-kinja dengan pelbagai hiburan; realiti TV terutamanya.
Aku balik ke pondok beberapa kali, membaharui hubungan yang bertahun-tahun terputus kerana aku tidak balik ke Malaysia. Geram bila mendengar tok-tok guru disantau orang-orang yang hasad dan dengki. Pemikiran jahiliyyah yang tidak sepadan dengan berkembangnya tamadun ilmu di Malaysia.
Lain dari itu aku ke tanah suci sebentar buat mengerjakan umrah. Sudah lama teringin hendak pergi tetapi dihalang mehnah kehidupan. Kali ini berjaya juga masuk senarai Tabung Haji walaupun permohonan asal cuma berjaya ke senarai menunggu.
Di sanalah, di awal Rejab yang mulia, aku bukan setakat menemui ribuan (kalau tidak jutaan) umat Muhammad yang membanjiri dua tanah haram, bahkan juga seorang ustaz bernama Abdul Manan. Dia sebenarnya mutawwif yang dibayar oleh Tabung Haji untuk jemaah kami. Asal dari Indonesia. Yang seronoknya dia juga anak murid kepada Syeikh Muhammad 'Alawi al-Maliki.
Aku berkesempatan berdua-dua sahaja dengan ustaz Abdul Manan di satu petang di Madinah. Asalnya waktu yang lapang itu hendak aku guna buat ke Pasar Kurma tetapi direncanakan supaya aku dan ustaz Abdul Manan sama-sama ke perkuburan al-Baqi'. Di waktu itulah hubungan kami terus menjadi rapat sampai akhirnya bertukaran hadiah buku dan alamat dengan janji mahu mengekalkan hubungan.
Balik dari al-Baqi', ustaz mengajak aku ke bilik hotelnya sebab dia ingin menunjukkan risalah yang baru dari hiwar ke-3 ulama Sa'udi yang dibuat beberapa bulan yang sudah. Hiwar ini pertama kalinya menjemput seorang tokoh Sunni, dan pertama kalinya juga dalam 20 tahun menjemput Syeikh 'Alawi ke suatu perhimpunan umum. Hal ini disinggung sendiri oleh Syeikh 'Alawi di permulaan risalah tersebut:Setelah saya menerima jemputan ke hiwar ini, saya tidak tahu samada saya patut pergi atau tidak. Sebenarnya saya sudah lupa bagaimana prosedur hiwar ini kerana sudah lama sekali saya meninggalkan atau ditinggalkan daripadanya.
Hiwar yang ke-3 ini bertajuk 'al-Ghulu', transliterasinya ialah 'Extremism'. Menurut Ustaz Abdul Manan, hiwar ini telah berjaya dari banyak segi untuk pihak Syeikh 'Alawi. Pertamanya ia menandakan kemunculan semula tokoh-tokoh Sunni dalam masyarakat Sa'udi, dengan menerima sambutan hangat daripada umat di sana. Keduanya, masyarakat sangat terkesan dengan kebolehan ulama Sunni seperti Syeikh 'Alawi mengupas tajuk tersebut. Ketiganya, ia telah menjadi medan berhujah di antara golongan Sunni di Sa'udi dan golongan yang menentang mereka dan akhirnya ternyata hujah golongan Sunni ternyata hebat dan mantap.
Dalam Hiwar ke-3 itu Syeikh 'Alawi dengan jayanya telah membongkar dan menyangkut-pautkan asbab-asbab kepada terjadinya peristiwa 9/11 dan ke'extremism' golongan tertentu dalam menangani isu terrorist antarabangsa kepada ideologi yang diterimapakai oleh pemerintah Sa'udi dan ulama-ulama mereka. Satu persatu isu-isu ini dikupas. Dalam muqaddimahnya, Syeikh 'Alawi membawa pendengarnya menerokai permasalahan pemikiran ini dengan mengupas isu bid'ahnya melawat maqam Saidina Muhammad ar-Rasul di Madinah, sebagai satu contoh bagaimana keterlampauan pemikiran ini menulari segenap aspek dalam ideologi mereka hinggakan penganutnya menjadi totok terhadap tokoh tertentu dan melanggari prinsip-prinsip ilmu hadis dan al-Qur'an, sekaligus terbabas pula melanggar slogan dan idea puritanism mereka.
Isu bid'ahnya melawat ke maqam Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah isu baru yang wujud hanya di abad ini, bahkan adalah antara agenda yang dibawa oleh kerajaan Sa'ud sejak awal kewujudan mereka lagi, iaitu semenjak ideologi Muhammad Abdul Wahab didokongi mereka. Bagi golongan ini, para jamaah tidak boleh mengatakan yang mereka mahu ke Madinah untuk melawat maqam baginda rasul kerana pekerjaan ini bid'ah. Yang boleh disebut ialah melawat ke masjid an-Nabawi. Pokok pangkal masalah ini adalah kerana mereka menolak hadis yang menyatakan tentang keutamaan melawat ke maqam Nabi s.a.w.
Pokok pangkalnya yang lain ialah kejahilan mereka dalam ilmu hadis. Syeikh 'Alawi menerangkan dalam risalah itu bahawa hadis yang didakwa oleh mereka sebagai dhaif itu memang sebenarnya dhaif kerana ada perawinya yang dikira oleh sesetengah ulama hadis sebagai perawi yang lemah. Bagaimanapun hadis ini telah dikira sahih pula oleh beberapa ulama besar yang lain seperti Imam Ibnu Hajar dan as-Suyuti. Perkiraan sahihnya hadis ini bukan terhenti setakat perkiraan lemah-kuatnya perawi, tetapi mengambil kira juga amalan salafus-sholeh terutamanya dari golongan sahabat Baginda, dan kesepakatan para ulama zaman berzaman dalam hal ini. Hakikatnya isu ini sudah selesai dan haruslah golongan yag tersasul membid'ahkan lawatan ke maqam Nabi s.a.w. kembali ke pangkal jalan.
Tetapi, walaupun isu ini sudah berzaman disingkap dan dijelaskan oleh para ulama Sunni, kedegilan ulama barisan oposisi ini tetap berlanjutan sebagai akibat daripada sikap melampau mereka yang sudah menjadi darah daging, sepertimana sifat bahramiyah yang akhirnya menjadi tabi'at bila berulangkali dikerjakan.
Kalau dalam hal-hal sebegini yang terang dan mudah diapati dalilnya sudah begitu susah untuk ditegur, apatah lagi bila berlaku hal-hal seperti 9/11 yang benar-benar merupakan satu kejadian yang menggugat emosi dan aqal waras mana-mana manusia.
Kepada para jamaah dan bakal jamaah haji atau umrah dari Malaysia, sayugialah aku pesankan supaya berhati-hati dengan dua buah buku yang aku dapati banyak dijual di Makkah dan Madinah, terutamanya di hotel-hotel penginapan para jamaah. Dua buah buku dalam bahasa Melayu ini menceritakan sejarah kedua-dua kota besar ini dan memang merupakan satu usaha baik dalam mengisi kekosongan penerbitan dalam bahasa Melayu untuk karya sejarah Makkah dan Madinah. Kedua-duanya adalah hasil buah tangan seorang penuntut Malaysia Universiti Madinah dan dijual antara 10-20 riyal sebuah. Penulisnya bernama Abdul Basit bin Abdul Rahman.
Aku sendiri membeli kedua-dua buah naskhah ini dan telah berbincang mengenai isinya dengan ustaz Abdul Manan bilamana dalam penelitian aku mendapati buku-buku ini banyak sungguh mengambil sumber dari golongan neo-khawarij ini, lalu tidak hairanlah jika penulisnya turut sama membid'ahkan lawatan ke maqam Nabi s.a.w. Menurut Ustaz Abdul Manan, edisi baru ini sudah banyak di'tawar'kan oleh pengarangnya, kerana edisi asalnya lebih keras lagi membid'ahkan itu dan ini.
Pesanku yang pendek diakhir kalam ini ini sebenarnya bukan berhati-hati kepada buku-buku tersebut tetapi berhati-hatilah kepada kandungannya yang menyeleweng. Bukunya boleh dibaca dan diambil mana yang benar. Tetapi idea-idea al-ghulu yang tersisip disana sini itu cuba-cubalah untuk dihalusi baik-baik dan ditanyakan kepada mereka yang mengetahui. Bagi kita masyarakat awwam ini, elok benar kalau menggunapakai petua orang tua-tua bahawa 'hanya jauhari yang mengenal manikam'. Jangan kita pun turut tersungkur di pintu Baitullah.
---
Ditulis oleh Anak Alam.
Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama






