Pengaruh Fiqh Shafi’i dalam Pemikiran Masyarakat Melayu di Malaysia
Dicatat oleh Tawel Sensei di 7:40 PGOleh Prof. Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady,
Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Prof. Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady adalah Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat (http://www.wadah.org.my) dan Mantan Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kertas ini dibincangkan dalam program seminar Taadib Islam anjuran ABIM dan PKPIM.
---
Abstrak
Ahli sejarah ada berpendapat bahawa kedatangan Islam ke Malaysia antara abad ke 13 M dan 14 M. Tetapi mengikut kesan-kesan sejarah yang ditemui di Pahang, Kedah dan matawang di Kelantan menunjukkan kedatangan Islam tarikhnya lebih awal dari itu. Jika mengambil pendapat majoriti sejarah yang menyatakan kedatangan Islam antara abad 13 M dan 14 M, ternyata pendakwah yang datang itu telah dipengaruhi oleh mazhab tertentu, kerana sejak dari abad ke 10 M, setelah perkembangan ijtihad terhenti maka Negara-negara Islam telah pun dipengaruhi oleh mazhab empat terutamanya dalam fiqh iaitu mazhab Maliki, Hanafi, Shafi'i dan Hanbali.Justeru, kemungkinan besar pendakwah yang datang ke Malaysia itu telah dipengaruhi oleh mazhab Shafi'i kerana mereka dikatakan datangnya dari Hadhramaut Yaman atau Gujerat, India yang terpengaruh dengan mazhab Shafi'i. Hasil dari pendakwah-pendakwah ini menjadikan Malaysia menerima Islam berasaskan mazhab Shafi'i dalam fiqhnya sama ada dalam ibadat, muamalat, munakahat dan jenayah yang dapat dikesan dalam kanun negeri-negeri Melayu dan teks-teks pengajian fiqhnya serta amalan masyarakat. Mazhab Shafi'i telah menerima gugatan dalam sejarah melalui 3 gelombang bermula dari kes perdebatan masalah jilatan anjing pada tahun 30-an, timbulnya masalah-masalah khilafiyyah yang menggugat parti Islam Setanah Melayu dalam tahun lima puluhan. Gelombang ketiga timbulnya perdebatan masalah khilafiyyah di masa kini. Ia ditimbulkan oleh kaum muda ketika itu, dan kemudiannya oleh sebahagian pelajar-pelajar keluaran Universiti Madinah, atau yang terpengaruh dengan pemikiran Wahabi, tetapi kesannya tidak mengubah pegangan masyarakat Melayu dari berpegang kepada mazhab Shafi'i di peringkat pemerintah dan peringkat awam.
Persoalan khilafiyyah ini timbul kembali pada masa kini seperti bacaan 'ussolli' dalam solat dan talqin jenazah dan sebagainya yang merupakan ulangan peristiwa yang berlaku sebelum ini yang secara umumnya tidak menjejaskan pegangan mazhab Shafi'i, terutamanya dalam solat, perkahwinan dan amalan-amalan sunat. Cuma ada kelonggaran dalam penerimaan pendapat mazhab lain dalam muamalat di masa kebelakangan ini kerana keperluan pasaran yang banyak mentarjihkan pendapat Hanafi dan kecenderungan sebahagian generasi muda mengikut tafsiran mazhab lain dalam beberapa amalan ibadat dan kerohanian, tetapi ia tidak mengubah pegangan rasmi pemerintah dan masyarakat terhadap mazhab Shafi'i secara umumnya.
Kedatangan Islam ke Malaysia
Penentuan tarikh kedatangan Islam ke Malaysia belum mendapat kata sepakat di kalangan ahli sejarah, cuma secara umumnya mereka menerima bahawa kedatangan Islam ke sebelah sini di antara abad ke 13M dan 14M.[2] Walau bagaimanapun, penemuan-penemuan baru pada batu-batu bersurat yang dijumpai di Pahang [3], Kedah [4] dan mata wang emas di Kelantan [5] ada menunjukkan bahawa kedatangan Islam ke Malaysia adalah tarikhnya lebih awal dari apa yang telah ditentukan sebelumnya.Pendakwah-pendakwah yang menyebarkan Islam di Malaysia itu adalah datangnya dari luar. Ahli sejarah tidak ada kata sepakat tentang dari mana asalnya pendakwah-pendakwah yang mula datang ke Malaysia. Dalam masalah ini ada dua pendapat yang diberikan; satu pendapat mengatakan pendakwah-pendakwah itu dari Negara Arab [6], pendapat ini diterima sebelum tahun 1885, ada pun selepas tahun 1885, timbul pula pendapat kedua yang mengatakan bahawa pendakwah-pendakwah itu datangnya dari India [7] dan bukannya dari Negara Arab.
Dalam kenyataan di atas, menampakkan perbezaan pandangan tentang asal datangnya pendakwah-pendakwah itu. Tapi, apa yang agak menarik dalam penyelesaian masalah ini ialah apa yang dijelaskan oleh Sayed Naquib al-Attas, di mana beliau memandang bahawa pendakwah-pendakwah itu sebenarnya datang dari satu tempat, iaitu Timur Tengah dan bukannya dari India, cuma mereka itu sebelum sampai ke Nusantara ini kemungkinan melalui India dan juga jalan-jalan lain.
Bagi memperkuatkan pendapat ini beliau mengemukakan alasannya iaitu antara lain kefahaman agama yang dibawa oleh pendakwah-pendakwah itu adalah bersifat Timur Tengah dan bukan India, lagi pula kandungan dan cara penghuraian akidah, pelbagai mazhab ilmu Tasawwuf, peribentuk tulisan jawi serta corak beberapa huruf-hurufnya, nama gelaran bagi hari-hari mingguan, cara melafazkan al-Qur'an dan beberapa perkara penting lainnya menyatakan ciri-ciri tegas bangsa Arab dan bukannya India sebagai pembawa dan penyebar asli agama Islam di kepulauan Melayu-Indonesia.[8]
Apa pun tarikh penentuan kedatangan Islam ke Malaysia pada abad ke 13 M atau 14 M, ternyata jelas dalam peringkat masa tersebut. Negara-negara Islam telah dipengaruhi oleh mazhab tertentu dari mazhab yang empat. Perkembangan ini sebenarnya berlaku sejak dari abad 4H/10M lagi di mana pada abad ini telah diterima bahawa pintu ijtihad telah tidak terbuka lagi dan setiap Muslim dikehendaki mengikut salah satu dari mazhab yang empat iaitu Maliki, Hanafi, Shafi'i dan Hanbali. Maka, dengan perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa pendakwah-pendakwah yang datang ke Malaysia itu telah dipengaruhi oleh mazhab tertentu di mana mereka itu berada.
Dilihat kepada catitan yang diberikan oleh ahli sejarah bahawa pendakwah-pendakwah yang datang itu adalah bermazhab Shafi'i; sama ada mereka itu datangnya dari Semenanjung Tanah Arab [9] atau yang datangnya dari India.[10] Oleh yang demikian, ini menunjukkan bahawa kawasan Hadhramaut di Semenanjung Tanah Arab, dan Gujerat di India pada waktu kedatangan Islam ke Malaysia adalah dipengaruhi oleh Mazhab Shafi'i.
Memandang kepada pendakwah-pendakwah itu menganuti mazhab Shafi'i, maka dalam mereka menyampaikan dakwahnya dalam bidang hukum adalah terikat dengan tafsiran mazhab yang mereka anuti, dan natijah dari itu maka masyarakat Malaysia yang menerima Islam dari mereka itu telah terpengaruh dengan mazhab Shafi'i sebagaimana pegangan pendakwah-pendakwah itu sendiri, dan mereka menjadi fanatik dengan mazhab itu sebab mereka tidak pernah didedah dengan tafsiran mazhab yang lain. Jelasnya, mereka mengenal Islam melalui tafsiran mazhab Shafi'i dalam fiqhnya.[11]
Pengaruh Mazhab Shafi'i
Mazhab Shafi'i adalah mengambil peranan utama dalam perkembangan pemikiran fiqh kepada masyarakat di Malaysia. Mazhab ini memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat dengan dikembangkan melalui dua saluran; pendidikan dan perundangan. Dalam pentafsiran fiqh, hanya mazhab Shafi'i disebarkan dan diperkenalkan.i) Pendidikan
Dalam pendidikan tradisional Islam di Malaysia, sama ada pendidikan pondok, masjid dan surau atau sekolah agama sesudah itu, didapati mata pelajaran fiqah adalah dianggap sangat penting dan diajar di institusi-institusi tersebut. Buku-buku teks yang digunakan keseluruhan kandunganya beraliran mazhab Shafi'i; sama ada buku-buku itu dari Bahasa Melayu Klasik dalam tulisan jawi atau buku-buku Bahasa Arab.
Buku-buku teks yang ditulis dalam bahasa Melayu Klasik Jawi yang digunakan adalah kebanyakannya dari tulisan ulama-ulama' Pattani dan Indonesia.[12]
Antara buku-buku teks itu ialah karangan Sheikh Dawud b. Sheikh Abdullah al-Fatani; Kitab Hidayat al-Muta'alim, Munat al-Musalli dan Kitab Furu' al-Masa'il; karangan Muhammad b. Ismail Dawud Fatani, Kitab al-Bahr al-Wafi wa al-Nahr al-Safi dan Matla' al Badrain; karangan Muhammad Arshad b. Abdullah al-Banjari, kitab Sabil al-Muhtadin Li Al-Tafaquh fi Amr al-Din dan karangan Sheikh Nur al-Din Muhammad Jailani b. 'Ali al-Raniri, kitab Sirat al-Mustaqim.
Selain itu, kitab-kitab fiqh dalam mazhab Shafi'i yang ditulis dalam bahasa Arab juga digunakan sebagai buku teks. Antaranya ialah karangan Abu Shuja', al-Ghayah; karangan Nawawi, Minhaj al-Talibin, karangan Zain al-Din al-Malibari Fath al-Mu'in, karangan Qalyubi wa 'Umairah, al-Mahalli; karangan Sayyid al-Bakri 'I'anat al-Talibin dan karangan Zakaria al-Ansari "Fath al-Wahab bi Sharh Minhaj al-Tullab".
Memandangkan kepada asas keilmuan yang diajar di pondok, di surau, di masjid dan sekolah-sekolah agama berasaskan kitab-kitab di atas, maka sudah cukup untuk melihat sejauh mana kesan dan mendalamnya pengaruh mazhab Shafi'i dalam masyarakat Malaysia di peringkat awam, atasan dan peringkat ulamanya. Apabila mereka hanya didedahkan kepada satu aliran pemikiran sahaja sudah sewajarnya timbul sikap fanatik kepada mazhab tersebut.
Sikap berpegang kepada mazhab Shafi'i berlaku adalah natijah dari proses penyampaian ilmu demikian. Sebahagian besar dari kitab-kitab di atas masih lagi digunakan sebagai buku teks dalam pengajian fiqh di Malaysia sehingga masa kini terutamanya di masjid-masjid, sekolah-sekolah pondok dan pengajian halaqah di peringkat masyarakat awam dan institusi kehakiman.
ii) Perundangan
Kesan Islam dan aliran mazhab Shafi'i ini bukan sahaja mempengaruhi masyarakat umum malah ia juga mempengaruhi sistem keadilan negara kerana sebelum kedatangan penjajah, undang-undang Islam diamalkan di negeri-negeri Melayu. Sejak dari abad kelima belas apabila undang-undang Melaka iaitu Kanun Melaka dan Kanun Laut Melaka digunapakai di negeri Melaka. Kanun ini digubal lebih kurang pada tahun 1444 mengikut kenyataan Richard Winstedt.[13] Demikian juga undang-undang Pahang iaitu Kanun Pahang yang digunapakai pada masa pemerintahan Abdul Ghafur di abad keenam belas. Kedua-dua undang-undang ini mengandungi pelbagai bidang perundangan, keluarga, jenayah, muamalat, antarabangsa, prosedur, keterangan dan sebagainya. Undnag-undang ini adalah beraliran Mazhab Shafi'i.[14]
Contoh Undang-undang Pahang:
"Bab peri hukuman apabila seseorang akil baligh membunuh seorang orang Islam disahajanya dibunuhya itu, laki-laki atau perempuan, kecil atau besar maka yang membunuh itu dibunuh. Bermula tiada harus Islam dibunuh oleh (membunuh) kafir. Bermula tiada harus merdeka dibunuh oleh membunuh hamba orang."[15]
"Peri hukuman segala orang yang murtad. Apabila seseorang Islam murtad disuruh taubat 3 kali, jika tiada ia mahu taubat dibunuhnya, hukumannya jangan dimandikan dan jangan ditanamkan pada kubur Islam."[16]
Pada masa penjajahan British, Undang-undang Islam diiktiraf sebagai undang-undang negeri berdasarkan kes Ramah lwn Laton. Dalam Enakmen Negeri Selangor 1952, iaitu Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 1952 terdapat peruntukan-peruntukan yang jelas tentang keterikatan undang-undang dengan Mazhab Shafi'i, terutamanya dalam bahagian kesalahan-kesalahan.[17] Selain itu, terdapat juga kes yang pernah diputuskan oleh mahkamah yang tidak membenarkan perkahwinan perempuan yang bermazhab Shafi'i dengan lelaki yang bermazhab Hanafi kecuali apabila si perempuan mengubah mazhabnya kepada Hanafi.[18]
Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, semua Enakmen pentadbiran agama Islam negeri-negeri menyatakan tentang terikatnya dengan mazhab Shafi'i dalam pengeluaran fatwa, dan tafsiran hukum serta amalannya kecuali jika dengan pendapat Mazhab Shafi'i itu membawa kepada keburukan masyarakat, maka mazhab empat yang lain dapat diterimapakai. Selepas undang-undang pentadbiran agama Islam dipinda dan diperlengkapkan untuk digunapakai di negeri-negeri, maka peruntukan yang mengikat dengan mazhab Shafi'i masih dikekalkan.[19] Kecuali Negeri Perlis yang tidak mengikut peruntukan ini kerana ia berpegang dengan sumber yang asas iaitu Qur'an dan Sunnah.[20]
Selain itu, mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri yang diselaraskan masih ada peruntukan mengikat Mazhab Shafi'i sebagai asas pengeluaran fatwa dan tafsiran hukum.[21]
Dengan adanya peruntukan ini, maka segala perkara yang berkaitan dengan hukum sama ada fatwa atau keputusan mahkamah mestilah merujuk kepada buku-buku yang bermazhab Shafi'i, sama ada buku-buku dalam bahasa Melayu atau Arab. Antara kitab-kitab Arab, kitab Minhaj al-Talibin, Mughni al-Muhtaj, Nihayat al-Muhtaj, 'Ianat al-Talibin dan lain-lain. Kitab-kitab Jawi pula seperti Sabil al-Muhtadin, furu'al-Masail, Ahkam Syariah Johor, Majallah Ahkam Johor, Kifayat al-Muhtadin, Matla' al-Badrain dan sebagainya.[22]
Selain itu, Enakmen-enakmen Negeri-negeri yang berkaitan dengan hukum-hukum seperti hukum kekeluargaan, pusaka, wasiat dan jenayah termasuk juga prosedur dan keterangan dalam bidang kekeluargaan, harta dan jenayah yang berasaskan Mazhab Shafi'i.
Gugatan kepada Aliran Mazhab Shafi'i
Gugatan yang berlaku ke atas Mazhab Shafi'i melalui 3 gelombang;Gelombang pertama berlaku pada tahun 20-an dan 30-an pada masa itu gerakan kaum muda cuba mengemukakan idea-idea baru yang berbeza dengan pegangan sedia ada dalam masyarakat Melayu yang berpegang kepada Mazhab Shafi'i. Perkara yang ditimbulkan oleh golongan kaum muda ini menyentuh tentang peranan akal dalam memahami hukum, persoalan-persoalan hukum ikhtilaf dan tentang bid'ah. Gelombang pertama berlakunya gugatan terhadap aliran mazhab Shafi'i ialah pada awal abad ke-20 di mana beberapa orang pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Arab Saudi, Mesir dan India telah terpengaruh dengan pemikiran gerakan Islah di sana.
Hijaz ketika itu dipengaruhi oleh pemikiran Muhammad Abdul Wahab yang mendokong idea Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah yang kedua-duanya beraliran Mazhab Hanbali dalam fiqh.[23] Manakala gerakan Islah di Mesir pula dipelopori oleh Muhd Abduh dan Rashid Rida yang beraliran Mazhab Hanafi.[24]
Gerakan Islah ini cuba menimbulkan kembali idea ijtihad untuk menyelesai keperluan hukum supaya kembali kepada sumber asal al-Qur'an dan Sunnah. Dengan seruan kepada ijtihad menolak taqlid yang diamalkan dalam masyarakat.[25]
Sungguhpun tokoh-tokoh ini menyeru kepada ijtihad, tetapi dalam amalan di negara-negara mereka bergerak masih tidak terkeluar dari metod fiqh yang mereka warisi di Hijaz ketika Muhammad Abdul Wahab menguasai Hijaz, Mazhab Hanbali diterimapakai di sana di peringkat pemerintah dan awam sehingga ke hari ini.[26] Demikian juga keadaan di Mesir yang telah dipengaruhi metod Hanafi dalam amalan fiqhnya. Abduh dilantik sebagai Mufti Mesir dari 1899-1905 sebagai sumber rujukan fatwa yang majoriti bermazhab Hanafi.[27] Ini bererti segala masalah yang timbul jika terdapat peruntukan dalam undang-undang yang digubal, maka itu yang akan diterimapakai. Jika tidak, mereka akan berijtihad untuk mendapat penyelesaian masalah baru melalui mazhab lain dan bukannya mereka mencairkan mazhab yang sedia ada.[28]
Aliran pemikiran Islah telah dapat mempengaruhi beberapa orang pelajar antaranya Sheikh Muhd Tahir bin Jalaluddin al-Azhari yang berkesempatan belajar di Mekah dan Qahirah yang terpengaruh dengan pemikiran Muhd Abduh dan Rashid Ridha.[29] Manakala pelajar-pelajar yang belajar di Mekah dan di India ada yang terpengaruh dengan ajaran Sheikh Waliyullah al-Dahlawi yang dibawa oleh Maulana Ubaidullah al-Sindhi seperti Haji Nik Abdullah, Haji Nik Mahmud Haji Wan Musa, Hj. Abdul Rahman Haji Nik Mahmud yang beraliran Islah.[30]
Pemikiran Islah ini juga dapat mempengaruhi golongan yang berpendidikan bukan agama, yang membaca bahan-bahan aliran demikian dari Majalah Islamic Review yang diterbitkan oleh Kamaluddin Khaja di Waking England [31] dan sumber-sumber lain.
Antara mereka yang terpengaruh dengan pemikirannya ialah Za'aba [32], Kamaluddin berasal dari India dan bermazhab Hanafi terpengaruh dengan gerakan yang lahir di Lahore.[33] Kemudian beliau berpindah ke England menjadikan pusat kegiatannya di sana.
Mereka yang terpengaruh dengan gerakan Islah di Saudi dan Mesir serta India telah menyebar idea mereka kemudiannya di Malaysia. Sheikh Tahir yang bergerak di kawasan utara Pantai Barat Malaysia telah dapat mempengaruhi Sayyid Sheikh Ahmad al-Hadi, Haji Abbas Mohd Taha dan Sheikh Mohd Salim al-Kalili [34], manakala aliran pemikiran Sheikh Waliyullah al-Dahlawi pula tersebar di Kelantan dan Terengganu yang dibawa oleh Nik Abdullah, Hj. Nik Mahmud dan Nik Abdul Rahman.[35]
Selain itu, di negeri Perlis pula terdapat kecenderungan menolak Mazhab Shafi'i dan taqlid seolah-olah dipengaruhi oleh pendapat Ibn Taimiyyah (m.1283), dan pihak berkuasa agama di Perlis merujuk kepada autoriti yang beraliran demikian seperti karya Syaukani Nail al-Awtar.[36] Kecenderungan tidak terikat kepada mazhab ini dapat dilihat dalam peruntukan Enakmen Pentadbiran Majlis Agama Negeri Perlis yang memperuntukkan bahawa Undang-undang Islam di Negeri Perlis berasaskan al-Qur'an dan Sunnah serta tidak mengikatnya dengan sebarang Mazhab Fiqh. Sebenarnya aliran ini adalah daripada pengaruh kitab-kitab yang ditulis oleh Hasan Bandung dari Indonesia yang dibawa oleh beberapa orang yang berpengaruh ketika itu di Perlis seperti Wan Ahmad Wan Daud, Hj. Ahmad b. Hj. Muhammad dan Sheikh Ahmad bin Mohd Hashim. Aliran ini timbul dalam lingkungan tahun 20-an (1924-1925) dan pada tahun 1959 dimasukkan dalam Undang-undang Pentadbiran Majlis Agama Negeri Perlis.[37]
Gelombang kedua berlaku antara tahun empat puluhan dan enam puluhan. Gelombang kedua ini adalah sebagai menyambung usaha yang berlaku sebelumnya. Penumpuan kebangkitan pada waktu ini lebih banyak menumpukan kepada persoalan-persoalan khilafiyyah yang lebih khusus sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat awam terutamanya dalam Parti Islam Setanah Melayu ketika itu yang merasa tertekan dengan keadaan yang berlaku. Timbulnya isu-isu khilafiyyah yang membawa perpecahan di kalangan masyarakat ini menyebabkan satu ijtima' diadakan untuk membuat satu keputusan dalam isu-isu yang dibangkitkan.
Akhirnya mereka sepakat memutuskan bahawa persetujuan dicapai terhadap pendirian ulama-ulama beraliran Mazhab Shafi'i dalam isu-isu yang dibangkitkan. Antara isu-isu yang dibangkitkan adalah seperti menyebut 'usolli' dalam solat, talqin kematian, tahlil arwah dan sebagainya. Ahmad Fuad selaku Yang dipertua PAS ketika itu terpaksa melakukan ijtima' khusus untuk mendapat kata sepakat dalam memilih masalah khilafiyyah untuk diamalkan di negara ini.[38]
Persoalan khilafiyat ini juga timbul perbincangannya di Kelantan dan Terengganu. Bagi membendung pemikiran aliran baru dalam isu-isu khilafiyat ini, maka Jawatankuasa Ulama' Majlis Ulama' Kelantan telah mengeluarkan sebuah buku yang bertajuk Kitab al-Qawl al-Mufid Li ifadat al-Mustafid, karangan Hj Muhammad bin Idris. Salah seorang anggota Jawatankuasa Ulama Majlis.
Gelombang ketiga pula berlaku dari tahun 70-an sehingga kini yang dipelopori oleh golongan muda yang terdedah kepada pengajian di Saudi dan di Indonesia. Gelombang yang berlaku ini seolah-olah sebagai menyambung pemikiran dan pendekatan golongan kaum muda sebelumnya. Mereka mempertikai beberapa amalan yang ada dalam masyarakat yang diambil daripada ulama'-ulama' beraliran Mazhab Shafi'i. Satu gerakan yang berpusat di Kuala Pilah ada membuat pengisytiharan yang dikeluarkan pada 22hb Julai 1966 dalam memorandum pertubuhannya berbunyi:
Ahli Sunnah tidak bertaqlid kepada sesuatu mazhab masyhur atau tidak masyhur, tetapi ia boleh melakukan ittiba' atau mengikut sesuatu pendapat Ulama setelah diketahui keterangannya dengan jelas daripada Qur'an dan Hadith sahih. Bahawa ahli Sunnah tidak bersandar kepada sebarang mazhab yang ada dalam negeri ini melainkan kembali kepada Allah dan Rasul-Nya, jadi salahlah orang yang memperkatakan isu Mazhab Shafi'i itu benar atau semua isi Mazhab Hanafi itu benar dan lain-lainnya.
Sebenarnya kita mesti akui bahawa tiap-tiap Mazhab itu ada salahnya dan imam-imam itu manusia seeprti kita yang juga berbuat kesalahan dengan sengaja atau tidak sengaja dan bukan seperti Nabi-Nabi yang ma'sum daripada kesalahan yang disengaja dan yang tidak disengaja dalam urusan hukum-hukum agama yang 'ubudiyyah dan keduniaan.[39]
Kenyataan di atas menunjukkan bahawa golongan ini tidak mengikat diri dengan mana-mana mazhab yang muktabar yang diiktiraf di dunia Islam dan mazhab Shafi'i di negara ini. Mereka beranggapan mereka mempunyai kelayakan yang cukup untuk berijtihad mutlak, seperti imam-imam yang muktabar, kerana ulama' itu adalah manuisa dan mereka juga manusia tidak ada bezanya.
Sedangkan bagi orang-orang yang mengkaji ilmu mengetahui bahawa ulama'-ulama' besar yang muktabar itu yang mengamal ijtihad adalah lengkap dari sudut ilmu asas syariah dan ilmu alatnya. Dibandingkan kita di masa kini, walaupun manusia, ilmu asas syariahnya amat terbatas dan begitu juga ilmu alatnya seperti bahasa Arab, jadi bagaimana ingin menjadi mujtahid mutlak?
Berijtihad tanpa asas ilmu yang lengkap dari sudut ilmu utama syariah dan ilmu pelengkap dalam Bahasa Arab serta tidak terikat dengan kaedah Usul al-Fiqh boleh membawa kepada penyelewengan dan kesesatan dari kebenaran. Hal ini dapat dilihat bibit-bibitnya pada masa kebelakangan ini dengan kemunculan kelompok liberal yang tidak mahu terikat dengan kaedah epistemologi Islam dan kaedah usulnya dalam memahami Qur'an dan Sunnah yang akhirnya membawa kepada kecelaruan tafsiran terhadap sumber-sumber dan ajaran-ajaran Islam.
Pendekatan Gerakan Da'wah Kaum Muda
Pendekatan kaum muda ini dalam menyampaikan seruan mereka tidak menghargai sumbangan ulama' beraliran Mazhab Shafi'i malah sumbangan mereka dari sudut ilmu dan pembangunan masyarakat diperkecilkan dan diperlekehkan. Mereka juga tidak menghargai adab dan budaya setempat dalam menyampaikan seruan mereka. Berdasarkan pemerhatian yang telah dibuat, golongan ini hakikatnya telah melanggar adab-adab berdakwah kerana kecenderungan mereka menggunakan bahasa-bahasa yang kasar dan menghina.Mereka juga tergamak mencabar autoriti-autoriti agama dan perundangan syariah yang diterimapakai dalam masyarakat dan negara yang berpegang kepada mazhab Shafi'i. Ini kerana mereka menganggap ulama' beraliran mazhab Shafi'i membawa ilmu yang menjadikan umat Islam tidak tepat memahami Islam dan tidak ada usaha ijtihad dalam ilmu yang mereka lakukan, tetapi hanya mengikut mazhab membabi buta sahaja atau disebut juga taqlid buta.
Konsep ijtihad yang dibawa oleh golongan kaum muda ini nampaknya telah tersasar kerana tidak mengenengahkan persoalan-persoalan besar untuk kepentingan umat sedangkan inilah yang sepatutnya dilakukan. Berkemungkinan hal ini disebabkan kekurangan persiapan dari sudut keilmuan dan kurangnya pengalaman membawa ijtihadnya kepada persoalan-persoalan khilafiyyah yang sememangnya tidak pernah dapat diselesaikan oleh ulama'-ulama' muktabar sejak dahulu kerana tabiat persoalan itu diterima untuk berbeza pendapat oleh ulama'-ulama' muktabar.
Asas Aliran Pemikiran Tidak Bermazhab
Golongan pembaharu ini dikenali dengan kaum muda. Mereka ini secara jelasnya adalah golongan yang dipengaruhi oleh gerakan Islah di Mesir, Arab Saudi atau India. Lantaran itu aliran pemikiran dan pergerakannya adalah sebahagian besarnya sama dari segi penekanannya dengan apa yang berlaku di Timur Tengah dan India, iaitu kembali kepada al-Qur'an dan al-Sunnah, mengamalkan ijtihad dan meninggalkan taqlid dalam menyelesaikan masalah hukum.[40]Dalam seruan mereka kepada masyarakat tentang idea Islah, didapati penekanan-penekanan tertentu yang ditimbulkan dalam masyarakat. Masalah kefahaman agama, masalah pendidikan, dan masalah kesedaran politik dan ekonomi orang Melayu.[41] Tapi penekanan banyak yang ditumpukan dalam seruan mereka ialah masalah kefahaman agama.[42] Seruan Islah ini disalurkan melalui majalah-majalah yang mereka terbitkan seperti Al-Imam (1906-1908), Al-Ikhwan (1926-1931), Saudara (1928-1941) dan majalah-majalah agama lain yang dikeluarkan pada waktu itu seperti Pengasuh dan seumpamanya. Selain itu, melalui penulisan-penulisan buku dan risalah-risalah dan melalui institusi-institusi pendidikan.
Masalah Kefahaman Agama
i) Peranan AkalDalam memahami agama golongan ini cuba menimbulkan peranan akal. Tulisan-tulisan yang mereka terbitkan menganjur supaya mengguna akal dan kebebasan berfikir sehinggakan mereka menganggap amalan agama yang tidak berasaskan kepada kefahaman akal adalah sia-sia belaka. Sayyid Sheikh al-Hadi ada menjelaskan:
"...oleh itu hendaklah tiap-tiap manusia menggunakan akal di dalam tiap-tiap amalan agama ini terlebih dahulu daripada yang lainnya kerana tiap-tiap amalan yang tidak diterima oleh akal itu sia-sia sahaja."[43]
Ekoran dari kebebasan untuk berfikir telah melahirkan kecenderungan menghapus taqlid dan mengamalkan ijtihad. Mengamalkan ijtihad dengan sendirinya menolak taqlid dan dengan itu membawa kepada tidak mengikat diri dengan mazhab tertentu, dan jelas dari tulisan Abu Bakar al-Ashari menyatakan bahawa Islam tidak semestinya terbatas dalam lingkungan empat mazhab kerana tidak ada di sana asas yang menentukannya.
Oleh yang demikian beliau menganjurkan supaya dibuat penilaian semula pandangan mazhab-mazhab dan membuat penilaian untuk memilih pendapat yang paling tepat dengan nas dan yang paling sesuai dengan kehendak massa. Beliau juga berpendapat bahawa perbezaan mazhab menimbulkan kekacauan dan perpecahan di kalangan umat Islam, menyulitkan perlaksanaan Islam sebagai satu undang-undang dan menimbulkan kekeliruan kepada orang-orang bukan Islam tentang hakikat Islam yang sebenarnya.[44]
ii) Masalah Hukum Furu'
Bertitik-tolak daripada galakan mengguna akal dan kebebasan berfikir, mereka menolak taqlid. Mereka juga berpandangan bahawa ada di antara ajaran-ajaran Islam yang diamalkan dalam masyarakat Islam dianggap telah diselubungi oleh bida'ah dan khurafat yang diciptakan yang mesti dihapuskan.
Mereka juga meneliti dan menilai perkara-perkara yang diamalkan dalam masyarakat berasaskan kepada nas al-Qur'an dan hadith Rasulullah SAW. Jika amalan-amalan itu tidak didapati sumbernya dari dua asas itu mereka anggap sebagai amalan bida'ah yang diciptakan.
Bida'ah yang dimaksudkan itu ialah apa yang disebutkan oleh Izzuddin Ibn Abdul Salam iaitu perbuatan yang tidak ada pada masa Rasulullah SAW. Bida'ah itu ada dua iaitu bida'ah lughawiyyah dan bida'ah shar'iyyah. Maka bida'ah shar'iyyah itu ialah dalam perkara akidah dan ibadat dan bida'ah dalam perkara shar'iyyah itu adalah hukumnya sesat sebagaimana maksud hadith Rasulullah SAW:
"Tiap-tiap perkara bida'ah adalah sesat, dan tiap-tiap perkara sesat akan membawa ke neraka."[45]
Berasaskan pemikiran demikian maka amalan-amalan berikut hukumnya bida'ah mengikut penilaian mereka:
1. Menentukan bilangan minima jamaah sembahyang Jumaat seramai 40 orang.[46]
2. Melakukan sembahyang Zuhur selepas sembahyang fardu Jumaat sebagai Ihtiyat.[47]
3. Azan pertama pada hari Jumaat.[48]
4. Ingatan muadhin dengan "Ya ma'shara al-Muslimin" sebelum khatib berkhutbah.[49]
5. Melafazkan 'usolli' sebelum takbirat al-Ihram.[50]
6. Mengucap perkataan 'Sayyidina' dalam selawat atas Nabi SAW.[51]
7. Berdiri ketika membaca marhaban atau selawat.[52]
8. Sembahyang sunat qabliyyah Jumaat.[53]
9. Membaca talkin ke atas mayat sesudah selesai ditanam.[54]
10. Tidur di dalam liang lahad oleh si alim sebelum mayat dikebumikan untuk mendapat berkat.[55]
11. Kenduri dan tahlil kematian.[56]
12. Menunggu di atas kubur kerana kematian.[57]
13. Kenduri mengingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.[58]
14. Membuat bubur ashura pada hari sepuluh bulan Muharram.[59]
15. Sembahyang tarawih 20 rakaat.[60]
16. Berdoa selepas sembahyang.[61]
17. Menggunakan bedok menandakan masuk waktu solat dan memanggil umat Islam untuk bersolat.[62]
18. Membaca qunut sembahyang subuh.[63]
19. Mengadakan fidyah sembahyang dan puasa.[64]
20. Sembahyang Tasbih.[65]
Selain itu terdapat juga beberapa amalan masyarakat yang diikuti mengikut tafsiran imam Shafi'i atau Shafi'iyyah yang dianggapnya tidak tepat dengan kehendak nas pada pandangan mereka. Kita tidak perlu terikat dengan amalan-amalan tafsiran itu seperti berikut:
1. Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan membatalkan wudhu'. Namun, bagi mereka tidak membatalkan wudhu.[66]
2. Ma'mum membaca Fatihah dalam solat untuk sah solatnya sekalipun dia berimam. Bagi mereka tidak perlu membaca.[67]
3. Membasuh siku harus dimulakan dari atas atau bawah. Bagi mereka membasuh siku mesti dimulai dari tangan.[68]
4. Membaca Fatihah dimulai dengan Bismillah, bagi mereka dimulai dengan al-Hamdulillah.[69]
5. Membina masjid dari wang kutipan zakat.[70] Mereka berpendapat ini adalah bertentangan dengan nas.
6. Menjual harta wakaf di suatu tempat untuk dipindahkan tempat lain.[71] Mereka berpandangan ini adalah bertentangan dengan nas.
7. Menyamak bekas jilatan anjing.[72] Bagi mereka tidak wajib disamak.
Mereka juga cuba berijtihad tentang masalah-masalah baru untuk menentukan hukumnya. Antaranya ialah faedah simpanan bank dan koperasi tidak dianggap riba.[73]
Konflik Kaum Muda dan Kaum Tua
Masalah yang ditimbulkan oleh golongan pembaharu ini dalam masalah agama sebagaimana yang dijelaskan di atas menimbulkan kegelisahan dan tidak disenangi di kalangan ulama'-ulama' yang berpegang dengan mazhab Shafi'i.Ekoran dari pendedahan tentang konsep ijtihad dan masalah-masalah khilafiyyat, menimbulkan ketegangan di antara golongan ini dengan para ulama'. Maka lahirlah perdebatan-perdebatan hangat secara terbuka di majlis-majlis umum,[74] dalam majalah-majalah, di dada akhbar, sehinga timbul tuduh menuduh di antara satu sama lain.[75] Kesan ketegangan ini dalam beberapa peringkat bukan sahaja dirasai oleh mereka yang terlibat malah oleh masyarakat awam yang turut terpengaruh dengan ajaran para ulama' itu.[76]
Dengan lahirnya fenomena baru ini dalam pemikiran agama khususnya dalam fiqh membuatkan perkembangan dan kestabilan pemikiran mazhab Shafi'i dalam sejarah perkembangannya di Malaysia tergugat. Tapi, ternyata jelas kekuatan dan keutuhannya dapat dipertahankan, kerana kealiman para ulamanya dalam bidang ilmu serta kesungguhan mereka dalam penyebaran ilmu melalui institusi-institusi pendidikan yang mereka asaskan dan juga melalui penulisan buku-buku yang bermutu yang dapat dijadikan panduan kepada para penuntut ilmu.
Lantaran kegigihan para ulama' itu bekerja didapati kesannya jelas dalam masyarakat dan kekal berterusan diamalkan mazhab Shafi'i sama ada di kalangan masyarakat awam serta pemerintah.
Manakala golongan pembaharu ini didapati kegiatannya terbatas dan penulisannya adalah lebih bersifat provokasi dan kurang sekali karya-karya yang mendalam dan bermutu jika dibandingkan dengan apa yang telah dihasilkan oleh ulama'-ulama' tradisional.
Walau bagaimanapun, idea-idea positif yang dibawa oleh kaum pembaharu ini tidak kita nafikan terutamanya dalam melahirkan kesedaran politik dan kefahaman Islam terhadap masalah-masalah yang perlu disedari untuk kepentingan umat Islam.
Sungguhpun pertelagahan itu berlaku dalam masalah furu' agama, tetapi dalam masalah besar tentang kepentingan umat Islam mereka bersatu kemudiannya, sehingga mereka menjadi satu "force" yang mencorakkan gerakan politik di negara ini untuk mengembalikan identiti Islam itu ke pangkuan masyarakatnya.
Kesan daripada perkembangan ini, maka didapati beberapa buah karya khilaf telah muncul dalam persuratan Melayu sebagai berikut:
1. Kitab Penebas Bida'ah Kepala Batas oleh Sheikh Tahir Jalaluddin
2. Ketetapan Muzakarah Ulama' Malaya 1953.
3. Masalah Jilatan Anjing dalam Empat Mazhab oleh Sheikh Taha.
4. Kitab al-Qawl al-Mufid li ifadat al-Mustafid oleh Hj Muhd bin Idris.
Sumbangan Ulama Tradisional kepada Ilmu dan Pembangunan Masyarakat
Sumbangan ulama tradisional dalam memartabatkan ajaran Islam dalam masyarakat adalah besar dan meliputi sumbangan kepada golongan pemerintah dan masyarakat umum. Sungguhpun ulama' tradisional mengambil Mazhab Shafi'i sebagai asas dalam tafsiran hukum dan fatwa bukanlah bermakna mereka tidak berijtihad, tetapi ijtihad mereka masih berada dalam kerangka mazhab dan menggunakan kaedah Usul al-fiqh.Barangkali ijtihad mereka yang sangat menyumbang kepada perkembangan perundangan negara pada peringkat awal ialah pengkanunan undang-undang Islam untuk keperluan pelaksanaan pemerintah dimulai dengan Kanun Melaka pada 1444, kemudian diikuti dengan negeri-negeri lain seperti Pahang, Kedah dan lain-lain. Demikian juga ijtihad mereka dalam memilih amalan-amalan kerohanian untuk mengukuh hubungan masyarakat dan sosial seperti zikir-zikir kematian dan talqin, upacara-upacara keagamaan seperti mengingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, tahun baru Islam, hari Asyura dan lain-lain.
Selain itu mereka mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi. Hal ini dapat dilihat dalam usaha mereka mengembangkan bahasa Melayu dengan huruf Arab dalam bidang penyampaian ilmu dan pentadbiran negara, di samping penekanan mereka terhadap bahasa Arab dalam penyebaran ilmu. Mereka juga amat menghormati budaya bangsa dalam berpakaian dan berda'wah . Mereka tidak membawa balik budaya Arab dalam berpakaian, tetapi melahirkan bentuk pakaian Islam yang bercorak budaya Melayu, seperti baju Melayu misalnya dan tidak membawa purdah untuk wanita. Mereka tidak menyekat wanita dari terlibat dalam kegiatan masyarakat sama ada untuk kepentingan duniawi seperti dalam ekonomi, pertanian dan perusahaan, begitu juga dalam sosial seperti gotong-royong dalam majlis kenduri, perayaan-perayaan keagamaan dan menyelesaikan keperluan masyarakat. Mereka juga tidak disekat daripada terlibat dalam kegiatan keilmuan dan kegiatan kerohanian seperti menghadiri majlis-majlis agama dan solat berjama'ah di masjid.
Mereka diberi kebebasan bergerak dalam masyarakat selama tidak terdedah kepada bahaya dan dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Tidak sebagaimana wanita dalam masyarakat Islam di negara-negara lain.
Sumbangan ulama' tradisional dalam pembentukan budaya dalam masyarakat juga tidak dapat dinafikan. Budaya dalam majlis perkahwinan umpamanya, aspek agama turut diterapkan dan juga budaya seperti hiburan selawat dan paluan rebana diperkenalkan, majlis persandingan diadakan sebagai satu bentuk pengisytiharan perkahwinan dan persediaan jamuan makan serta buah tangan untuk tetamu. Demikian juga dalam pertukangan, perubatan, perbomohan dan perbidanan, ilmu mempertahankan diri, budaya berkhatan anak serta majlis khatam al-Qur'an.
Dalam bidang keilmuan,mereka menulis kitab dalam pelbagai bidang ilmu seperti fiqh, akidah, akhlak, perubatan, pertukangan, perusahaan dan lain-lain. Penulisan mereka juga mansasarkan pelbagai peringkat sama ada untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa. Hasil penulisan mereka dalam bidang agama adalah lebih menonjol sama ada mereka menghasilkan karya asli atau menterjemahkan buku-buku rujukan muktabar yang diterbitkan di Timur Tengah.
Karya-karya penting seperti Tafsir Baidawi, Ihya' Ulum al-Din yang diberi judul Siyar al-Salikin, Bidayah al-Hidayah dengan tajuk Hidayah al-Salikin karya Abdul Samad al-Falanbangi, demikian juga kitab-kitab lain seperti Matlaat Badrain, furu' al-Masail oleh Sheikh Dawud dan lain-lain. Manakala karya dalam bahasa Arab pula didapati Tafsir al-Qur'an dan Maraqiy al-Ubudiyyah ulasan Bidayat al-Hidayah karya Sheikh al-Nawawi al-Jawi.
Dalam perundangan, mereka turut memberi sumbangan dalam bentuk susunan Kanun untuk pentadbiran keadilan pemerintah yang berbeza dengan penulisan buku-buku fiqh. Ulama' tradisional mengambil mazhab Shafi'i sebagai asas tafsiran hukum untuk kegunaan pemerintah dan masyarakat awam. Melalui pendekatan ini, memudahkan masyarakat memahami Islam dan memudahkan pemerintah melaksanakan Islam di peringkat negara. Dalam amalan keagamaan juga dari sudut fiqh umumnya berasaskan mazhab Shafi'i dan dalam kerohanian dan tasawwuf diambil pemikiran al-Ghazali dan al-Nawawi.
Hasil daripada usaha ulama tradisional yang menggunakan pendekatan dakwah mendampingi pemerintah dan rakyat telah memberi kesan yang sangat besar terhadap Islam dan pembangunan umat. Islam dapat bertapak dalam pemerintahan, bahasa Melayu dan budaya Melayu dapat menjadi alat pemersatu. Begitu juga tafsiran Islam yang seragam dalam bidang hukum di peringkat pemerintah dan rakyat dapat mengukuhkan perpaduan umat dan memudahkan pemerintah melaksanakannya. Umat Melayu bersatu menjadi umat yang kuat, menjadi tonggak kepada kedaulatan negara dan Islam dijadikan agama negara serta turut menjadi salah satu daripada ciri-ciri orang Melayu.
Pendekatan penyebaran ilmu yang diasaskan oleh ulama' tradisional diwarisi oleh ulama'-ulama' kemudian yang terdidik di Al-Azhar dan Mekah dengan meneruskan pegangan amalan hidup keagamaan kepada mazhab Shafi'i dan menggunakan ijtihad dalam perkara-perkara yang diperlukan oleh masyarakat berasaskan kerangka mazhab mu'tabar dan kaedah usul al-fiqh.
Justeru yang diambil perhatian dalam perkara-perkara baru yang memerlukan ijtihad. Sesuatu yang telah sebati dalam kehidupan masyarakat berasaskan mazhab Shafi'i dalam ibadat dan keluarga tidak perlu kepada ijtihad baru, kecuali jika ada keperluan seperti ijtihad tentang harta sepencarian dan bayaran zakat dengan mata wang. Bidang-bidang lain yang memerlukan ijtihad maka ia diteruskan dengan mengambil kira pandangan mazhab Shafi'i. Sekiranya pendapat mazhab Shafi'i tidak sesuai maka mazhab lain diterimapakai.
Hal ini banyak terjadi dalam muamalat yang mengambil beberapa jenis akad dari mazhab selain Shafi'i seperti al-Istisna' menurut pandangan Hanafi dan al-Tawarruq dari pandangan Hanbali. Begitu juga dalam proses mengkanunkan undang-undang syariah dalam Enakmen. Pendekatan ini membawa kepada perubahan pemikiran masyarakat dalam bidang hukum berlaku secara evolusi, teratur dan licin, serta tidak menggugat struktur besar pembinaan hukum dalam masyarakat. Dengan demikian ia dapat memenuhi keperluan "mengekalkan yang lama yang bermanfaat dan membawa yang baru yang lebih baik."
Kesimpulan
Gerakan aliran tidak bermazhab (اﻟﻼﻤﺬﻫﺑﯿﺔ) telah bertapak di Malaysia hampir satu abad. Dalam jangka masa yang begitu lama, tidak nampak satu sumbangan yang besar dari sudut keilmuan dan pembangunan masyarakat dibandingkan dengan sumbangan yang diberikan oleh ulama' yang beraliran mazhab. Apa yang dapat dilihat, aliran tidak bermazhab ini nampaknya belum dapat diterima dalam arus perdana masyarakat Malaysia sama ada di peringkat pemerintah dan rakyat. Hal ini berkemungkinan disebabkan tidak adanya hasil karya ilmu yang berwibawa dan muktabar mahupun ulama' muktabar mengikuti aliran ini kecuali yang serpihan seperti al-Albani.Aliran ini juga tidak berlaku dalam pengalaman negara Islam selepas penerimaan mazhab tertentu dalam amalan masyarakat. Kenyataan yang jelas dapat dilihat di Arab Saudi masih bermazhab Hanbali, Turki, Mesir dan Pakistan bermazhab Hanafi, negeri-negeri Afrika seperti Libya, Tunisia dan Moroko adalah bermazhab Maliki. Aliran tidak bermazhab ini sebenarnya tidak mempunyai asas autoriti yang kuat dari sudut keilmuan dan tidak cukup wibawa ulamanya, dibanding dengan ulama' beraliran mazhab dan karya mereka.
Dalam perkembangan semasa, dengan berpegang kepada mazhab tertentu dalam tafsiran hukum dan amalan seperti yang diamalkan di Malaysia, hakikatnya tidaklah menghalang kemajuan masyarakat. Berpegang dengan satu mazhab dalam perkara hukum yang berkaitan dengan ibadat dan kekeluargaan dapat mengukuhkan asas pembinaan masyarakat dan menguatkan perpaduan umat, manakala dalam bidang-bidang yang memerlukan ijtihad seperti muamalat dan sebagainya, kita memberi ruang dengan mengamalkan ijtihad supaya masyarakat hidup terarah kepada satu matlamat yang jelas.
Kita tidak mahu pengalaman kecelaruan pemikiran mazhab yang berlaku di Timur Tengah dan Indonesia seperti yang kita saksikan menjadi penyebab terjejasnya perpaduan dan kebahagiaan hidup masyarakat Islam, dibawa ke Malaysia untuk dijadikan panduan dalam membangun manusia. Ulama' tradisional kita dengan kekuatan ilmu dan komitmen dakwah telah dapat menyatukan umat Nusantara dengan mazhab Shafi'i, dari Filipina di Selatan sehingga ke Kemboja di Utara, janganlah pula kita mengecewakan usaha ulama' tradisional yang tinggi nilainya membangun ilmu dan umatnya dengan penuh padu ini dipertikaikan dan dipecah-pecahkan oleh aliran tanpa mazhab yang tidak berasaskan ilmu dan pengalaman ilmuan yang muktabar.
NOTA KAKI
[1] Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Hukum Islam Semasa V, "Menilai Realiti, Penghayatan dan Prospek Fiqh Syafie di Malaysia" anjuran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 22-23hb Ogos 2007.[2] Untuk mengetahui lebih lanjut tentang teori kedatangan Islam ke Malaysia, lihat Cesar Adib Majul, Muslims in the Philippines, Quezon City, Philippines, 1973; Sayed Naquib al-Attas, Preliminary statement on a general theory of the Islamization of the Malay, Indonesia Archipelago, Kuala Lumpur, 1969 dan S.Q Fatimi, Islam comes to Malaysia, Singappore, 1963.
[3] Batu nisan yang dijumpai di Pekan Pahang menunjukkan tarikh di atasnya 14 Rabi'al-Awal, tahun 419H.Lihat Mukhtar Shafie, "Batu Nisan kurun ke 5H/10M di Pekan Pahang dalam Tamadun Islam di Malaysia, (Kuala Lumpur, 1980) hal. 15.
[4] Batu nisan yang dijumpai di Tanjung Inggeris, Kedah menunjukkan tarikh di atasnya 291H/903M. Lihat Mastika, bil. 10, 1965, hal. 34. Selain itu ada maklumat lain yang menunjukkan bahawa saudagar-saudagar Arab Islam yang berada di Canton sewaktu berlaku kekacauan di Cina, lari membawa diri dan berlindung di Kulah (Kedah) dan Pantai Barat Tanah Melayu. Peristiwa ini berlaku dalam masa pemerintahan Maharaja Hi Tsung (265-76H/878-89M). Lihat Sayed Naquib al-Attas. Op.cit.hal. 11.
[5] Wang emas yang dijumpai di Kelantan ada mencatatkan tarikh di atasnya 577H/1161M. Lihat Saad Shukri Hj. Muda, "Detik-detik Sejarah Kelantan, (Kota Bharu, 1971)". Hal. 28.
[6] Crawford, Sir John's History of Indian Arshipelago, (Edinburgh, 1820), vol. 11, hal. 28.
[7] Harison, Berian, South East Asia, A Short History, (London, 1957), hal. 43.
[8] Lihat Sayed Naquib al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, (Kuala Lumpur, 1972) hal. 34.
[9] Crawford, op.cit, hal.259-260.
[10] S.Q. Fatimi. Op.cit. hal.6.
[11] Lihat M.M. Mackeen, Contemporary Islamic Legal Organisation in Malaya. (Monograph series No.12, Yale University, 1969). Hal. 50.
[12] Untuk melihat sebahagian dari kitab-kitab jawi klasik yang didapati di Malaysia, lihat Mohd. Nor bin Ngah, "Some writings of the traditional Malay Muslim scholars found in a Malaysia," dalam Tamadun Islam di Malaysia, hal. 9-12.
[13] Richard Winstedt. The date of Malacca Codes dlm Journal Malayan Branch. Vol. 29. 1956, hlm.33.
[14] J.E. Kemple & R.O. Winstedt. A Malay Legal Digest, Journal Malayan Branch, Vol.21Pt. 1.1948. hlm.1
[15] Ibid.
[16] Ibid.
[17] Lihat Hooker. The personal law of Malaysia. Kuala Lumpur. 1976. hlm. 19.
[18] Ibid.
[19] Lihat peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri sebelum pindaan dan penyelarasan dibuat dalam Enakmen-enakmen tersebut.
[20] EPAP
[21] Lihat Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.
[22] Lihat AzizanAbdul Razak. The administration of Muslim law in Malaysia. Hlm. 118. Thesis M.Phil. University Kent.
[23] Muhd.Amin. 1979. Zua'ama' al-Islah, fi al-'Asr al-Hadith. Qahirah. Hlm. 20-21.
[24] Lihat C.C. Adams,.1932. Islam & Modernisme. New York. Hlm. 79-80
[25] Ahmad Amin. Op.cit. hlm. 14, 25
[26] Hafiz Wahbah. 1935. Jazirat al-Arab fi al-Qur'an al-Ishrin, Qahirah. Hlm.319-321.
[27] Mengikut Undang-undang Mesir no. 25, 1920. Rujukan utama pendapat arjah Mazhab Hanafi, manakala Undang-undang No. 25, tahun 1924 dibenarkan masalah-masalah tertentu boleh dirujuk kepada Mazhab empat yang lain. Lihat Shahatah al-Husaini,. 1969.al-Ahwal al-Shakhsiyyah, Qahirah. Hlm. 15.
[28] C.C. Adam. Op.cit. hlm.80
[29] William R. Roof. 1967. The origin of Malay Nationalis. New Haven & London. Hlm. 60.
[30] Lihat Nik Abdul Aziz. 1980. Sepintas lalu tentang Tariqah Shah Waliyullah al-Dahlawi & pengalirannya ke Tanah Melayu dalam Pendidikan di Malaysia dahulu & sekarang. Kuala Lumpur. Hlm. 81.
[31] Lihat Adnan Hj. Mohd Awang, Za'aba dan ajaran Khawaja Kamaluddin dalam pendidikan Islam dahulu dan sekarang. Hlm. 81.
[32] Ibid. hlm 70.
[33] Ibid. 71-78
[34] Lihat W.R.Roof. op.cit.hlm 61-63
[35] Lihat Nik Abdul Aziz.op.cit.68-69
[36] M.M.Mackeen.1969.Contemporary Islamic Legal Organisation in Malaya (Monograph Series, No.12, Yale University. Hlm.50)
[37] Lihat Mohd bin Harun. "Satu Kajian Konsep Ahli Sunnah wal Jama'ah dan Pelaksanaannya dalam Majlis Ugama Islam Perlis" hal. 91. Tesis di Jabatan Syariah Fakulti Islam UKM 1975/76.
[38] Lihat ketetapan Muzakarah Ulama' Semalaya anjuran PAS pada tahun 1953.
[39] Lihat memorandum yang dikeluarkan oleh HAshim Ab Ghani, Ketua saksi Syari'iyyah Madrasah Ittiba' al-Sunnah Kuala Pilah. 22 September 1966.
[40] Lihat Za'aba, the Malays and Religion dalam Tamadun Islam di Malaysia, hal.100-110
[41] Lihat al-Imam, 1 (julai 1906)
[42] W.R. Roff. Op.cit. hal 57.
[43] Al-Hadi, Ugama Islam dan akal. hal. 25.
[44] Sidek Fadzil. Op.cit. hal. 430-435. Abu Bakar al-Ashari, Kemerdekaan berfikir dalam Islam, (P.Pinang, 1954) hal. 59-60.
[45] Tahir Jalaluddin, Risalah Penebus Bidaah Kepala Batas, hal. 20.
[46] Ibid. Hal. 7.
[47] Ibid. Hal. 15.
[48] Ibid. Hal. 20.
[49] Ibid. hal. 21.
[50] Ibid. hal. 29.
[51] Ibid. hal. 30.
[52] Ibid.
[53] Ibid. hal. 22
[54] Ibid. hal. 32.
[55] Lihat tesis latihan Ilmiah Jabatan Shariah 1975/76 yang disediakan oleh Zainal bin Sulaiman bertajuk 'Pengaruh Kaum Tua dan Kaum Muda serta implikasinya terhadap masyarakat Melayu Kelantan, hal. 32.
[56] Mohd. Idris. 1953. al-Qawl al-Mufid li ifadat al-Mustafid. Kota Bharu. Hal. 36.
[57] Ibid. Hal. 33.
[58] Ibid. Hal. 22.
[59] Ibid. Hal.3.
[60] Pengalaman penulis.
[61] Lihat tesis latihan Ilmiah jabatan Syariah 1975/78 oleh Muhammad bin Harun Berjudul,satu kajian konsep ahli Sunnah Wal Jamaah dan pelaksanannya dalam Majlis Ugama Islam Perlis. Hal. 133.
[62] Lihat Mohd. Sarim Hj. Mustajab. Op.cit. hal. 155
[63] Pengalaman penulis.
[64] Pengalaman penulis.
[65] Pengalaman penulis
[66] Pengalaman penulis.
[67] Mohd. Bin Haron. Op.cit . hal.129.
[68] Ibid. 199.
[69] .Ibid. 138.
[70] Nik Abdul Aziz. Op.cit. hal. 120.
[71] Ibid. Hal. 122.
[72] Ibid. Hal. 128.
[73] W.R. Roof. Op.cit. hal. 78.
[74] .Pernah berlaku di Kelantan perdebatan terbuka di Istana Sri Cemerlang dalam tahun 1937 di antara Kaum Muda dengan Kaum Tua tentang hokum jilatan anjing. Lihat Nik Abdul Aziz, Perbahasan tentang Jilatan Anjing: Satu perhatian. Lihat Jebat, bil. 9. 1979/80.
[75] Kenyataan ini dapat dilihat dalam tulisan-tulisan yang dikeluarkan oleh kedua pihak; dalam majalah-majalah dan akhbar-akhbar tempatan; antara lain lihat sikap Za'aba tentang kritikannya ke atas ulama' tradisional dalam mempertahankan peribadi dan ajaran Khamaja Kamaluddin. Lihat Adnan Haji Mohd Awang. Op.cit. hal. 70.
---
Artikel dihantar oleh Saudara Kaki Bangku. Terima kasih!
Label: fiqh, kertas kerja, mazhab, sejarah tanah melayu, wahhabi
Oleh: Ustaz Haji Nasrudin Bin Haji Hassan At Tantawi
---
Manhaj Pemikiranku
Apabila saya menegur dan mengkritik bukan saja saya mesti bersedia untuk menerima respon balas (dalam bentuk penghujjahan positif atau negatif) dari pihak yang dikritik, tetapi juga saya mestilah jujur dan benar dalam teguran dan kritikan yang dilontarkan. Malah saya jua mesti terikat dengan etika mengkritik sekalipun berhadapan dengan kemungkinan hujjah balas yang tidak beretika dan berdisiplin.Ianya tidaklah bermakna hanya saya yang benar. Berkemungkinan besar saya salah dan silap dalam mengemukakan pandangan dan setiap kali saya berbeza pendapat dengan pihak lain, apa yang saya harapkan agar Allah menunjuk jalan-Nya yang benar. Inilah prinsip yang akan terus saya 'genggam' bersama sedikit nikmat ilmu anugerah Ilahi.
Tidak senang sebenarnya untuk mengkritik, justeru kritikan adalah melahirkan rasa tidak setuju terhadap pihak lain yang berkemungkinan boleh mengguris perasaannya dan mungkin juga boleh mengendurkan tali persahabatan yang telah lama terjalin.
Namun begitu, selamanya saya tidak boleh berdiam diri terhadap suatu yang saya tidak bersetuju dengannya. Terutama dalam perkara yang melibatkan penyelewengan fakta, kekeliruan maklumat, tuduhan tanpa bukti, fitnah tanpa asas dan keangkuhan yang berpanjangan.
Lantaran itu, sebagaimana saya mesti tabah, terbuka dan berhati–hati dalam menatah kalimah bernada kritikan, saya juga sangat mengharapkan pihak lain (yang dikritik) tidak cepat melatah, berjiwa besar, jujur dalam menilai dan apa yang paling penting ialah, tidak menganggap kritikan itu sebagai satu peluru yang membunuh nilai persahabatan dan juga nilai keintelektualan atau kesarjanaan.
Saya percaya jika yang dikritik itu bertaraf sarjana, sebagaimana ia tidak mudah tewas hujjah begitulah seharusnya ia tidak mudah terpengaruh dengan elemen–elemen yang mengheretnya ke medan pergaduhan atau perbalahan yang menimbulkan rasa benci di hati dan kecewa di jiwa.
Sebaliknya ia mestilah sangat menghormati kritikan dan pandangan pihak lain biarpun ia menganggap kritikan itu hanyalah hujah picisan atau pandangan yang dangkal (sebab kita boleh tidak menerimanya), justeru menghormati pandangan dan kritikan pihak lain adalah suatu sikap terpuji dan selayaknya itulah penampilan seorang sarjana.
الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنة
أولئك الذين هدا هم الله و أولئك هم أولوا الألباب
أولئك الذين هدا هم الله و أولئك هم أولوا الألباب
"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna." (Surah az-Zumar, Ayat 18)
Sikap tidak menghormati hujjah dan kritikan pihak lain hanya mempamerkan keangkuhan dan keegoan diri yang mungkin 'teruja' dengan pencapaian ilmunya atau anugerah kesarjanaannya.
Soalnya, apakah hujjah dari pihak kita sahaja menepati ciri-ciri ilmiyyah sedang hujjah dari pihak lain dinilai picisan biar pun sarat dengan hujjah dan dalil?
Saya suka membawa pendekatan para sarjana agung dalam sejarah peradaban Islam. Ternyata mereka sangat tinggi disiplin dalam menangani khilaf dalam apa jua isu, terutama dalam isu–isu yang tidak menjejaskan aqidah.
Ilmu dan tawadhu' (merendah diri) menjadi asas disiplin tersebut disamping mereka mengetengahkan adab–adab ikhtilaf yang cukup wibawa dan berkualiti.
Lihat sahaja bagaimana imam–imam mazhab mengendalikan khilaf di kalangan mereka. Biar pun mereka menafikan sekeras–kerasnya hujjah pihak lain, tidak sedikit pun mencalarkan penghormatannya terhadap orang yang mereka kritik apatah lagi meremehkan hujjah pihak lain.
Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata terhadap imam As-Syafii;
كانَ أفْقَهُ النَّاسُ فِىْ كِتابِ اللهِ وَ سُنَّةِ رَسُوْلِهِ
"Beliau (Imam As-Syafii) adalah manusia yang paling faqih (paling faham) tentang Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya."
Lihat: Tarikh at-Tasyri’ al-Islami. Halaman 312, karangan As-Subki, As-Sais dan Al-Barbari, di ta’liq oleh Dr ‘Alauddin Za’tari.
Imam Ahmad bin Hanbal juga ada menyebut;
ما عرفتُ ناسِخَ اْلحَدِيْثِ مِنْ مَنْسُوْخِهِ حَتَّى جَالَسْتُ الشَّافِعِى
"Aku tidak mengetahui nasikh hadis daripada mansukhnya melainkan aku duduk bersama As-Syafii".
Lihat: Tarikh at-Tasyri’ al-Islami. Halaman 312, karangan As-Subki, As-Sais dan Al-Barbari, di ta’liq oleh Dr ‘Alauddin Za’tari.
Mereka berkhilaf di atas pentas ilmu yang dihiasi dengan keikhlasan dan ketaqwaan bukan semangat menegakkan benang basah dan bersikap prejudis terhadap pihak lain. Wajarnya disiplin mereka dalam menangani medan perbahasan dan penghujjahan ini diterima pakai dalam setiap pertikaian antara kita dewasa kini.
Saya akur, bahawa khilaf tidak mungkin boleh dihapuskan. Terlalu banyak punca dan sebab yang menghela ke arah khilaf. Perbedaan latar belakang menuntut ilmu sudah cukup meletakkan para ilmuan ini berkhilaf antara mereka. Tahap pencapaian ilmu, perbedaan manhaj dan method, jurang usia, perbedaan zuruf (suasana) , perbedaan kefahaman dan (maslahah) kepentingan turut menjadi penyumbang penting berlakunya khilaf.
Kita tidak perlu sempit dada dan sesak nafas dengan fenomena ini. Ianya sihat malah terlalu sihat andainya para ilmuan Islam ini dapat menanganinya dengan disiplin khilaf yang tinggi dan baik.
Mentajdid Gerakan Tajdid
Kecelaruan social, kekacauan minda, kekeliruan maklumat dan kesamaran ilmu meletakkan ummah dalam resah mendepani cabaran zaman. Menyaksi pula pertikaian dan perdebatan para ilmuan mereka, bagaikan tidak membawa tuah. Ummah kekal dirundung malang.Realiti ini membuktikan betapa ummah memerlukan gerakan tajdid dan islah ke arah membuka ruang dan peluang kepada mereka membina kembali kegemilangan dan kecemerlangan sebagaimana yang penah dicapai oleh ummat terdahulu. Ummat ini tidak hebat sekadar kita berbangga dengan sejarah dan pencapaian silam tanpa kita mencipta sejarah hebat untuk dibangga oleh generasi akan datang .
Menggerakkan usaha tajdid bukanlah membawa agama baru tetapi membawa ummah yang sekian lama jauh dari penghayatan agama agar kembali memartabatkan hidup berasaskan agama melalui sumbernya yang asal.
Usaha tajdid tidak juga memperkenalkan istilah-istilah baru tetapi memahamkan ummah terhadap istilah dan falsafah agama yang suci berteraskan manhaj an-Nabawiyyah.
Usaha tajdid tidak diasaskan di atas manhaj yang suka berpolemik dalam isu-isu khilafiah dan meresahkan ummah sebaliknya menggerakkan usaha untuk menenangkan ummah seraya membimbing mereka dengan ilmu yang benar dan membuka lebih banyak ruang persepakatan.
Usaha tajdid jua mesti terbit dari dhomir yang tinggi kecintaannya terhadap syariat dan tulus keikhlasannya terhadap ummah.
Usaha tajdid memerlukan kepimpinan ummah yang berani dan mampu (layak) berijtihad berasaskan ilmu yang benar dan tasawwur amal Islami yang jelas.
Usaha tajdid meletakkan para mujaddidnya di atas perjuangan yang hak dan tegas mempertahankannya.
Usaha tajdid juga menampilkan mujaddid yang berani menentang perkara mungkar dan bathil sekalipun terpaksa mengorbankan segala kepentingan hidupnya.
Manhaj Perjuanganku
Sepanjang saya melibatkan diri dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS), bersama pengalaman gerak kerjanya mendepani segala cabaran dan isu ummah menjadikan saya sangat sayang terhadap perjuangan Islam yang suci ini.Walaupun PAS adalah sebuah parti politik, pada saya ia adalah sebuah gerakan Islam yang melaksanakan tanggungjawab ke arah mendaulatkan syariah Ilahi di atas tanahair ini. Justeru itu, hingga saat ini saya tidak pernah merasakan saya orang politik.
Sebaliknya saya hanya seorang anggota sebuah gerakan Islam yang menjalankan tugas untuk mendaulatkan syariat Allah, memartabatkan ummah, berdakwah memahamkan masyarakat dan gerakkerja politik adalah sebahagian dari tugas yang wajib saya laksanakan.
Dasar perjuangan PAS sangat jelas, segalanya untuk Islam. Saya antara yang diamanahkan untuk memimpin dan mentarbiyyah anggota parti, bukan saja bertanggungjawab ke atasnya tetapi sangat masak terhadap perjalanan parti ini.
Modul dan manhaj yang digunakan adalah untuk melahirkan anggota atau jundi yang ikhlas berjuang dan faham tanggungjawab serta amanah melaksanakan tugas sebagai pejuang Islam atau ansarullah.
Saya sangat pasti akan ketulenan sumber dan keaslian maraji’ (tempat dan bahan rujuk) perjuangan yang saya dokong ini bahawa ia bersih dari segala penyimpangan aqidah dan penyelewengan fikrah yang membawanya keluar dari manhaj ahli sunnah wal jamaah.
Saya tidak dapat nafikan, dalam jumlah keanggotaan yang mencecah setengah juta ahli, tentu sahaja ada anggota parti yang "kebal tarbiyyah" dan "tidak makan saman", namun mereka masih menjalani proses pengambilan skima tarbiyyah secara berperingkat. Biarpun tidak secara rasmi, tetapi ia akan banyak mempelajari selok-belok perjuangan melalui keistiqamahannya bersama perjuangan ini.
PAS sangat tegas terhadap sebarang penyelewengan dan penyimpangan yang merosakkan prinsip perjuangan Islam dokongannya. Pemimpin atau ahli parti yang terlibat akan dikenakan tindakan melalui proses tata-tertib dan disiplin parti.
Lantaran itu, bukti dan saksi sangat diperlukan dalam apa jua tuduhan dan prasangka bahawa PAS dan anggotanya menyeleweng dari perjuangan Islam dan manhaj ahli sunnah wal jamaah.
Sebagai contoh, tuduhan PAS atau anggotanya adalah Khawarij, Syiah, konservatif dan seumpamanya mesti dilampirkan bukti dan saksi. Melemparkan tuduhan dan memasang prasangka tanpa asas bukti dan saksi adalah suatu yang sangat mengecewakan dan pasti mengguris perasaan saya.
Apalagi menuduh PAS akan menubuhkan negara Special Branch. Secara prinsipnya saya melihat tuduhan itu sangat tidak benar dan tidak pula mempunyai asas kecuali dilihat sebagai "melepas geram" terhadap PAS.
Persoalannya, apakah wajar rasa tidak senang umum terhadap individu dalam parti lalu menjustifikasikan parti?
Boleh menuduh, tetapi disiplinnya menuntut bukti dan saksi.
Nasihat Buat Rakan Seperjuanganku
Pun begitu, nasihat saya buat rakan–rakan seperjuangan jua mereka yang memimpin saya dalam parti ini agar konsisten dengan amal Islami bersama akhlak murni yang menjadi asas keperibadian seorang pejuang.Kita pejuang bukan pemberontak. Kita pendakwah bukan penghukum. Responsif terhadap isu ummah tetapi tidak melatah terhadap provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab.
Hulurkan tangan membimbing biarpun lidah tegas menentang dan menegur kedholiman. Yang hak dikata hak dan yang bathil dikata bathil.
Sampaikan salam perjuangan dan persahabatan kita buat madu’u serta bukalah pintu engagement kita buat semua. Namun pintu harus ditutup buat pengkhianat yang mengkhianati perjuangan suci ini.
Tegurlah saya andai saya silap, bimbinglah saya andai saya tersasar dan bantulah saya andai saya benar.
Apa yang saya cari, ialah damai buat ummat ini.
Label: hujah, khilaf, politik islam
Sila ambil perhatian bahawa:
- Kertas kerja ini asalnya dalam Bahasa Indonesia. Maka ia telah dilakukan sedikit perubahan dari segi istilah, tatabahasa dan struktur ayatnya untuk memudahkan pembacaan dan pemahaman penutur Bahasa Malaysia.
- Nota kaki kertas kerja ini ada 25 semuanya. Namun tidak diketahui mengapa sumber asal kertas kerja ini hanya memiliki 13 sahaja.
- Sebarang kekeliruan bolehlah dirujuk kepada kertas kerja yang asal, yang mana nampaknya ia juga bukanlah betul-betul yang asal. Saya masih mencari-cari sumber asal kertas kerja tersebut.
Oleh: Hamid Ja'far al-Qadri [1]
Seorang ahli falsafah Yunani bernama Harqls yang hidup sebelum Masihi pernah berkata:
Kita tidak akan mandi sebanyak dua kali di dalam sebuah sungai, melainkan hanya dengan air baru yang mengalir di sekitar kita.
Kata-kata inilah yang menjadi permulaan timbulnya sebuah aliran dalam falsafah yang di antara ajarannya adalah fahaman evolusi, yang dalam bahasa Arabnya disebut Shairurah. Evolusi adalah satu kenyataan yang tidak boleh diingkari oleh pemikiran manusia. Semua yang ada di dunia ini pasti mengalami evolusi. Hari ini tidak mungkin sama dengan hari kelmarin. Manusia sekarang tentu berbeza dengan manusia satu abad yang lalu. Begitulah seterusnya, alam dan manusia sentiasa mengalami perubahan dan pembaharuan. Hal inilah yang disebutkan oleh al-Quran dalam Surah ar-Rum, ayat 54 dan Surah al-Hadid, ayat 20. [2]
Oleh kerana itu manusia sentiasa dituntut melakukan perubahan pada hal yang lebih baik dalam mengikuti proses evolusi alam dan hidup. Perubahan inilah yang disebut tajdid. Dan hal ini berlaku dalam segala sendi kehidupan manusia; baik dalam ekonomi, sosial, politik dan pemikiran keagamaan. Jika tidak, maka manusia akan dimakan oleh sistem yang dia berada di dalamnya.
Namun tajdid bagaimana yang harus dilakukan terutama dalam masalah pemikiran keagamaan yang sedang kita bincangkan ini? Di sini kami akan cuba mengkaji pembaharuan pemikiran keagamaan dalam sejarah peradaban manusia, kerana menurut kami hal ini adalah akar permasalahan utama dalam sejarah pembaharuan.
Selayang Pandang Sejarah Peradaban
Kalau kita membincangkan tentang masalah peradaban secara terperinci tentu kita akan memerlukan berjilid-jilid buah buku. Di sini kami hanya menyentuh sepintas lalu tentang sejarah peradaban mulai dari abad ke-6 hingga ke-7 Masihi.Ini kerana puncak dari kehancuran dan kemusnahan nilai-nilai kemanusiaan terjadi pada abad-abad ini. Manusia yang hidup di masa itu benar-benar berada dalam kekalutan. Mereka lalai pada Sang Pencipta dan bahkan pada dirinya sendiri. Kemampuan untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk telah tiada. Para tokoh agama enggan mengikuti aktiviti kehidupan, mereka lari dari kenyataan dan hidup dalam angan-angan serta bersendirian. Lantas ini menyebabkan para pemerintah dan kaki tangannya melakukan kezaliman kepada manusia.
Agama-agama besar hanya menjadi sebuah simbol dan permainan yang kehilangan fungsinya, sehingga pati dan hakikatnya menjadi hilang. Agama Nasrani misalnya, yang waktu itu merupakan agama majoriti dunia, hanya memiliki peranan yang sangat kecil dan terbatas dalam membangunkan peradaban dunia. Bahkan para pendeta dan tokoh-tokoh gereja sendiri telah mempermainkan kemurnian ajaran Nasrani itu sendiri. Ini seperti yang dilakukan oleh Bulis dan Qiestentein.
Elemen kurafat falsafah Yunani, atiesme bangsa Rom dan falsafah Plato telah mempengaruhi dan mewarnai ajaran-ajaran agama ini. Campur tangan para penghuni gereja dalam manhaj ajaran Kristian ini telah diakui sendiri oleh pakar-pakar Eropah sendiri, seperti yang disampaikan oleh Sale's tranlition tentang kenyataan kaum Nasrani yang menyembah tokoh-tokoh gereja dan Strot mail yang mengakui bahawa ajaran Nasrani saat ini bukan ajaran Nabi Isa. [3] (Penterjemah: Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan dengan Sale's tranlition dan Strot mail yang terdapat dalam kertas kerja itu)
Sedangkan agama Yahudi yang pemeluknya tersebar di pelbagai penjuru dunia seperti di Eropah, Asia dan Afrika, adalah umat yang paling kaya dalam ilmu pengetahuan dan material. Cuma politik dan peradabannya sahaja yang tidak berpengaruh kepada bangsa-bangsa lain. Bahkan sebaliknya bangsa Yahudi menjadi bangsa yang cuba dijauhi oleh bangsa-bangsa lain. Orang-orang Yahudi menjadi sasaran ancaman dan kekerasan anak cucu Adam waktu itu. Hal ini kerana bangsa Yahudi merasakan bahawa mereka adalah umat terbaik dan menganggap bangsa lain sebagai jijik. Kefanatikan kepada bangsanya sendiri telah menjadikan watak dan perangai Yahudi menjadi sombong, munafik dan menghalalkan segala cara. [4]
Kehidupan manusia berputar di pelbagai sendi kehidupan, baik dalam aspek sosial, budaya, ekonomi dan politik. Dan hal ini hampir terjadi di seluruh dunia. Abul Hasan an-Nadwi dalam bukunya Madhahasira al-'alam bi Inhitat al-Muslimin telah menggambarkan secara terperinci tentang keadaan dunia di masa itu. Mungkin umat yang paling berbudaya waktu itu adalah bangsa Arab. Oleh sebab itulah bangsa Arab menjadi bangsa yang paling sesuai untuk menerima kedatangan seorang Utusan. Cuma sifat-sifat keji dan kebodohan masih berleluasa di kalangan masyarakat Arab.
Cahaya Terang
Dalam keadaan yang kacau-bilau, di samping pengakuan para pakar dan ahli falsafah akan ketidakmampuan mereka untuk mencipta sebuah sistem yang mampu membangunkan peradaban dunia, maka dengan kasih sayang-Nya Allah telah mengutuskan seorang Utusan termulia, untuk membuka era baru dalam sejarah peradaban dunia. Dengan berbekalkan manhaj yang diterima dari Allah, Nabi Muhammad sallahu alayhi wassalam mampu membawa dunia pada tahap yang sempurna. Jati diri manusia sebagai khalifah Allah benar-benar tercapai, dan nilai-nilai kemanusiaan kembali tertanam setelah sekian lama menghilang.Bermula dari jazirah Arab, anak Abdullah ini menyebarkan cahaya kebahagiaan ke seluruh penjuru dunia dengan suatu agama yang bernama Islam. Pelbagai kemajuan telah dicapai oleh anak cucu Adam setelah kedatangannya, baik dalam aspek kerohaniaan (baca: keagamaan), sosial, politik dan ekonomi.
Nampaknya tidak perlu saya sampaikan di sini tentang latar belakang kejayaan Rasulullah ini. Namun rahsia dari semua ini adalah kerana manhaj Rasulullah itu berasal dari manhaj Rabbani yang tertera di dalam al-Quran dan Sunnah.
Tidak adil rasanya kalau hanya umat Islam sahaja yang mengakui akan kejayaan Rasulullah ini. Dr Amir Skib Arsalan dalam bukunya Hadir 'Alamil Islamiy telah mengungkapkan pengakuan para orientalis dan pakar dari Barat tentang kekaguman mereka kepada Rasulullah yang telah mampu membawa dunia kepada era baru. Mereka sangat kagum kepada bentuk dan ajaran Rasulullah disebabkan beberapa hal.
Di antaranya adalah bagaimana cepatnya bangsa Arab bangkit untuk memperkasakan peradabannya setelah kedatangan Rasulullah. Menurut mereka, bangsa Arab (baca: Islam) mencapai kemajuan dalam jangka masa 80 tahun sahaja, sedangkan bangsa Rom melakukannya dalam masa 800 tahun. Sebahagian lagi mengatakan bahawa bangsa Arab mampu menguasai separuh dunia hanya dalam jangka waktu setengah abad sahaja.
Seorang orientalis yang bernama Grousset berkata:
Muhammad di saat membawa risalahnya adalah seorang pemuda yang budiman, mengajak bangsa Arab yang sedang menyembah berhala untuk menyembah Allah semata-mata. Dia mahu mencipta sistem pemerintahan demokrasi yang bersatu, yang mana sebelum ini bangsa Arab adalah bangsa yang saling bermusuhan. Sebelum kedatangannya, bangsa Arab adalah bangsa yang keras dan liar. Namun setelah itu bangsa Arab berubah menjadi satu bangsa yang beradab dan lemah lembut.
Glodzher yang merupakan seorang lagi orientalis Barat berkata:
Muhammad telah menetapkan nilai dan ajaran yang membawa manusia menuju ajaran dan nilai-nilai yang dikehendaki Ilahi. Muhammad membawa ajaran ini dengan jujur dan amanah. [5]
Maka sejak saat itulah umat Islam semakin maju dan berkembang dari masa ke semasa. Berbagai-bagai kemajuan telah dicapai dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan teknologi, sehingga bangsa Arab menjadi kiblat kepada bangsa-bangsa lain dalam sejarah peradaban dunia.
Kebangkitan dalam sains dan teknologi yang bermula sejak Dinasti Umaiyyah, yang kemudian ia menuju ke zaman puncaknya di zaman Dinasti Abbasiyyah, tidak perlu kami sebutkan secara terperinci di sini. Ini kerana ia memerlukan kepada perbincangan yang lain. Yang jelas di masa keemasan itu, umat Islam telah mampu memberi manfaat ke seluruh penjuru dunia.
Bahkan bangsa Eropah sendiri mula mengambil ilmu daripada bangsa Arab sejak satu abad sebelum mereka mampu mencapai kemajuan dalam bidang ilmu pengetahuan. Sekolah-sekolah dan universiti Islam yang tersebar di berbagai buah kota seperti di Basrah, Kuffah, Baghdad, Kaherah dan Cordoba telah dikunjungi oleh para pelajar dan mahasiswa dari berbagai belahan bumi termasuk dari Eropah dan sekitarnya.
Bahkan di Cordoba tidak sedikit dari sekolah-sekolah umat Islam yang dihuni oleh siswa yang beragama Nasrani dan dari Sepanyol sendiri. Inilah bagaimana falsafah Arab mula menerobos dunia Eropah. Falsafah Ibnu Rusyd mula dipelajari di universiti-universiti Perancis, universiti Oxford dan maktab perguruan tinggi yang berada di Itali. [6]
Pada tahun 656 Hijrah, umat Islam telah mengalami musibah besar, iaitu apabila masuknya tentera Tartar ke dalam Baghdad yang menjadi pusat pentadbiran Islam waktu itu. Tentera Tartar telah memporak-perandakan kota Baghdad sehinggalah pada tahun 677 H, umat Islam masih lagi tidak memiliki seorang pemimpin yang mampu mengangkat kembali seorang khalifah. [7]
Menurut Dr Ihsan Taufik, penyebab utama dari kekalahan umat ini adalah disebabkan tersebarnya rasa fanatik mazhab di kalangan masyarakat Baghdad. Waktu itu di Baghdad terdapat tiga mazhab yang sering bertentangan di antara satu sama lainnya, iaitu mazhab Shafii, mazhab Hanbali dan mazhab Syiah. Ketiga-tiga kelompok ini terus berselisih hingga sampai tahap mengkafirkan satu sama lain. [8]
Zaman Kemunduran
Sejak jatuhnya Baghdad disebabkan serangan tentara Tartar ini, kepimpinan umat Islam mulai terpecah. Di sebahagian daerah sehingga ada yang menuntut kemerdekaan daripada kepimpinan Khilafah Islamiah. Sejak saat itulah kekuatan umat Islam mulai rapuh.Meski pun setelah itu lahir seorang pahlawan besar Islam yang bernama Salahuddin al-Ayubi yang telah menyatukan kembali kekuatan umat Islam, namun para pemimpin yang datang sesudah beliau tidak mampu mencontohi kepimpinan pahlawan besar ini. Di samping itu pula Barat mula melebarkan sayapnya dan umat Islam sendiri semakin terlena dalam angan-angan duniawi.
Maka sejak saat itu umat Islam mulai lemah. Menurut Habib Abu Bakar al-Masyhur, zaman ini disebut Zaman Ghutsa' (Penterjemah: Ghutsa' bermaksud buih). Pada zaman inilah berbagai musibah dan fitnah meracuni pemikiran dan akidah umat Islam. Ada pun penyebab utama dari bermacam-macam fitnah ini yang telah disimpulkan oleh Habib Abu Bakar dapat diringkaskan seperti berikut:
- Terpengaruh dengan peradaban Barat dan cenderung mengikuti tuntutan Syahwat;
- Cendiakawan dan ilmuwan Islam lebih suka mengadakan perbincangan dengan orang-orang Eropah dan terkesima dengan kebebasan ala Barat;
- Orang-orang Yahudi mulai menguasai politik global sampai pada batasan penetapan feto (qarar). Mereka melakukan propaganda melalui organisasi-organisasi dunia untuk menghancurkan kebudayaan;
- Timbulnya rasa fanatik kebangsaan seperti yang dihembuskan oleh orang-orang Yahudi, seperti gerakan Ataturk dan sebagainya;
- Banyaknya pejabat-pejabat kerajaan yang terpengaruh dengan gerakan sekularisme yang dihembuskan oleh Barat, di samping kebangkitan Eropah baru. [9]
Perubahan Peradaban Barat Di Abad Pertengahan [10]
Di saat kekuatan umat Islam menjadi lemah dalam berbagai bidang ini, bangsa Eropah pula mula mengalami kemajuan. Petikan berikut ini adalah sekilas dari sebab-musabab perubahan dan pembaharuan yang dicapai oleh bangsa Eropah sebagaimana yang ditulis oleh teman kami, Ismail Alatas dalam salah satu makalahnya:Yang harus kita telaah dengan kritis adalah faktor-faktor yang menyebabkan pemikiran Eropah dapat sampai ke zaman moden ini. Dengan berakhirnya abad pertengahan, Eropah menyaksikan lahirnya generasi baru yang mula mengajukan pemikiran-pemikiran segar, setelah trauma yang berkepanjangan.
Generasi ini dihiasi oleh para penjelajah, ilmuwan, pemikir serta sasterawan yang siap membedah dunia baru dan maju ke tempat yang belum pernah dilalui. Mereka mula melihat institusi gereja, yang selama ini mendiktasikan segala sesuatu di Eropah, dengan suatu penglihatan yang baru. Bagi mereka, gereja turut sama bertanggung-jawab ke atas kerosakan yang terjadi di Eropah selama ini.
Oleh kerana itulah generasi baru ini, mula mencari-cari cara beragama yang baru. Mereka tidak berniat untuk menghancurkan agama, namun mereka menganggap bahawa ada cara beragama yang lain, selain yang dikhutbahkan oleh para paderi. Pemikiran generasi yang baru ini, lebih dilandasi oleh karakter ilmiah dan pragmatis yang sebelumnya tidak diketahui oleh bangsa Eropah. Sepanjang abad pertengahan, pemikiran rakyat Eropah hanya dilandasi oleh fahaman konservatif pihak gereja. Dengan landasan pragmatis yang baru inilah, Eropah mula menyaksikan kebangkitan sistem kapitalis di tengah-tengah masyarakat yang mula mengubah pandangannya dari masa lalu menuju masa hadapan. Dengan sendirinya, bahasa yang digunakan oleh masyarakat pun turut berubah.
Penulis Karen Armstrong mengatakan bahawa pada dekad 1660, kata 'probable' mula berubah maksudnya. Dahulu, perkataan ini bermaksud "disokong oleh autoriti". Namun seiringan dengan berubahnya benua Eropah, makna kata ini berganti menjadi, "sepertinya, menurut semua bukti yang ada" [11]. Jelaslah di era yang baru ini, autoriti, khususnya autoriti keagamaan sudah tidak dianggap sebagai sesuatu yang penting lagi.
Dengan berlangsungnya proses menuju kemodenan ini, benua Eropah menyaksikan 2 perubahan fundamental dalam sistem kemasyarakatannya. Perubahan yang pertama adalah perubahan sosial. Proses modenisasi yang didukung oleh aktiviti para kapitalis, telah dengan sendirinya membuka peluang-peluang kerja yang baru. Contohnya apabila Johann Guttenberg mencipta mesin cetak, perusahaan-perusahaan percetakan pun mulai tumbuh. Hasil dari munculnya sistem perusahaan baru adalah bertambahnya peluang pekerjaan kepada masyarakat [12].
Namun, kerana tahap kekompleksan pekerjaan baru adalah cukup tinggi, maka rakyat memerlukan tahap pendidikan yang lebih tinggi juga. Oleh kerana itulah, beberapa kerajaan di Eropah telah membangunkan sekolah-sekolah bagi rakyat jelata, yang mana ia berjaya mengurangkan jumlah golongan buta huruf, yang belum pernah tercapai sebelumnya [13].
Dari sini jelaslah bahawa sistem pendidikan di Eropah mula memasuki babak baru iaitu babak Utilitarianisme. Pendidikan yang dahulunya dirangka untuk para pencinta ilmu pengetahuan, sekarang telah mengalami perubahan karekteristik. Demi kelancaran gerakan modenisasi, maka pendidikan dirancang supaya menghasilkan pekerja-pekerja yang mahir bagi meningkatkan lagi produktiviti. Sistem pendidikan yang menghasilkan para profesional inilah, yang selanjutnya menjadi ciri khas sistem pendidikan Barat.
Generasi baru yang berpendidikan ini selanjutnya menjadi penggerak modenisasi. Hasil dari pendidikan yang mereka terima inilah, yang menjadikan mereka mula berfikir lebih jauh tentang kehidupan mereka. Oleh kerana itu, sistem pemerintahan yang baru harus difikirkan bagi memenuhi keperluan golongan terdidik tersebut. Dari sinilah proses evolusi tata negara mulai berkembang sehingga menghasilkan sistem demokrasi Barat yang mana suara rakyat menjadi penentu hala tuju tertinggi di sesebuah negara [14].
Proses modenisasi yang ditandai dengan meningkatnya sistem kapitalisme ini juga memerlukan banyak tenaga kerja. Atas dasar inilah, golongan yang dahulunya ditindas di Eropah, seperti bangsa Yahudi, harus mula digunakan demi memastikan proses modenisasi berjalan. Untuk itu diperlukan sebuah prinsip yang dapat menarik bangsa Yahudi di Eropah ke dalam proses modenisasi ini. Dengan demikian, lahirlah prinsip 'Hak Asasi Manusia' yang percaya akan kesama-rataan setiap manusia.
Dengan cara inilah bangsa Yahudi dapat turut menjayakan gerakan modenisasi. Hasil dari sistem demokrasi dan hak asasi manusia adalah keinginan setiap individu untuk dapat hidup merdeka dari semua jenis kekangan, baik kekangan agama [15] dalam bentuk autoriti gereja mahu pun kekangan monarki dalam bentuk autoriti kerajaan yang mutlak [16].
Perubahan yang kedua adalah perubahan agama. Perubahan agama ini terjadi sebagai kesan langsung dari perubahan sosial yang telah diutarakan di atas. Dengan berubahnya karekter masyarakat, aktiviti keagamaan pun harus berubah. Rakyat yang telah terdidik tidak ingin lagi diperbodoh-bodohkan oleh pendeta yang dahulunya memegang kuasa mutlak tradisi intelektual. Oleh sebab itu gereja pun harus mengubah dirinya supaya lebih efisien.
Inilah, para pembaca yang budiman, sebuah lumrah yang terjadi kerana setiap tradisi bermula dengan berdasarkan konteks yang ada pada saat tradisi tersebut bermula. Dengan berubahnya konteks yang ada, tradisi yang menyandarkan dirinya pada konteks tersebut pun dengan sendirinya hancur berkeping-keping [17]. Inilah yang terjadi pada gereja.
Tradisi-tradisi keagamaan yang ada telah dibangunkan di atas kebodohan rakyat, di mana gereja memonopoli sistem pendidikan dan kesarjanaan. Namun setelah kebodohan hilang dari tubuh rakyat, maka monopoli intelektualisme gereja pun terhenti dan dengan sendirinya rakyat mula mempersoalkan tradisi-tradisi gereja yang tidak sesuai dengan pemikiran mereka.
Tentangan terhebat yang dialami gereja pada masa ini adalah apabila datangnya seorang tokoh reformis yang berasal dari Jerman, Martin Luther. Luther menyatakan bahawa setiap individu harus memiliki kebebasan untuk membaca dan menafsirkan kitab suci sebagaimana yang mereka mahu, tanpa harus dipengaruhi oleh pihak gereja. Tentu sahaja Luther hanya dapat mengatakan sedemikian kerana hasil dari perubahan sosial yang telah berlaku. Hak untuk membaca kitab suci tidak akan dapat wujud tanpa adanya tahap cerdik membaca yang tinggi di kalangan para penganut agama.
Dengan meningkatnya tahap cerdik membaca akibat sistem pendidikan yang baru ini, maka Luther dapat mengatakan betapa pentingnya bagi setiap penganut Kristian untuk membaca kitab suci mereka. Kebebasan untuk menafsir kitab suci juga merupakan hasil langsung dari perubahan sosial yang terjadi. Seperti telah dijelaskan di atas, perubahan sosial telah memperkenalkan rakyat kepada konsep demokrasi dan hak asasi manusia, yang pada akhirnya menghasilkan hasrat untuk bebas dari segala rantai yang mengikat. Salah satu perkara yang wujud dari hasrat ini adalah hak kebebasan untuk menafsirkan kitab suci mengikut pandangan para pemeluknya sendiri.
Lebih jauh lagi, Martin Luther berpendapat bahawa Tuhan telah mengundurkan diri dari dunia, sehingga apa yang tinggal di dunia ini hanyalah kejelekan semata. Oleh kerana kejelekan dunia yang berlawanan dengan kebaikan/keindahan Tuhan, maka Luther mengatakan bahawa gereja harus berjalan sendiri dan terpisah dari negara. Dan inilah, para pembaca yang budiman, titik awal permulaan gerakan sekularisme di Eropah yang dimulakan oleh goresan pena Martin Luther [18].
Setelah melihat perubahan sosial dan agama, marilah kita melihat perkembangan yang terjadi dalam dunia ilmu pengetahuan. Perubahan besar ilmu pengetahuan yang terjadi ketika Nicolaus Copernicus mengemukakan hipotesis heliocentrik yang menyerang doktrin gereja yang didasari oleh teori Ptolemy. Hipotesis ini kemudian dibuktikan secara matematik oleh ahli fizik German yang bernama Johannes Kepler.
Bagi melengkapi Copernicus dan Kepler, seorang ahli astronomi yang berasal dari Pisa pula yang bernama Galileo Galilei telah menguji teori tersebut dengan memerhatikan susunan planet-planet melalui teleskop yang telah disempurnakan olehnya. Walaupun ketiga-tiga ilmuwan di atas adalah orang-orang agama yang tidak ingin melawan gereja, namun teori heliocentrik telah berjaya menggoncang pemikiran intelektual di Eropah [19]. Sejak itu, masyarakat berfikir bahawa kepercayaan terhadap persepsi sudah tidak dapat dipercayai lagi. Tampaknya setelah saat itu, persepsi sudah menjadi bukan satu-satunya cara untuk manusia mengetahui kebenaran.
Kesan dari penemuan sains tiga ilmuwan di atas adalah lahirnya generasi baru yang sangat skeptikal terhadap persepsi. Salah satu dari mereka adalah seorang ilmuwan masyhur bernama Sir Isaac Newton dari England yang berjaya menghasilkan sebuah penemuan baru dari penemuan-penemuan saintis sebelumnya dengan menggunakan kaedah eksperimen dan deduksi. Sejak saat itulah, kedua-dua kaedah ilmiah tersebut menjadi penggerak kemajuan intelektual Barat.
Walaupun Newton adalah seorang yang cenderung beragama, namun beliau mengatakan bahawa betapa perlunya usaha untuk membersihkan ajaran Nasrani daripada mitos dan tahyul. Newton berpendapat bahawa Tuhan dapat difahami secara logik dan dengan demikian agama harus juga berdasarkan logik. Pemikiran ini disimpulkan oleh Newton setelah merumuskan teori graviti yang menurutnya bertanggung-jawab ke atas susun atur cakerawala ini. Dengan adanya tarikan graviti inilah, planet-planet yang ada tidak berlanggaran. Oleh sebab itu menurut Newton, ini tidak terjadi dengan sendirinya, namun tentunya berlaku kerana mengikut perintah Tuhan. Dari cara berfikir inilah, Newton akhirnya menyimpulkan bahawa Tuhan dapat dicapai melalui logik ilmiah [20].
Kaedah ilmiah yang digagaskan oleh Newton, iaitu eksperimen dan deduksi telah memberikan pengaruh yang sangat besar terhadap generasi selanjutnya. Inilah saat-saat di mana Eropah menyaksikan kelahiran beberapa pemikir besar: Francis Bacon, David Hume, Rene Descartes, John Locke dan Immanuel Kant. Francis Bacon dengan tegas menolak metafizik ala Aristoteles yang berdasarkan kepada pemikiran spekulatif. Dalam bukunya Advancement of Learning, Bacon mengatakan bahawa hanya indera kitalah yang dapat dipercayai dalam usaha mengetahui kebenaran [21].
Bacon telah mengasaskan sebuah fahaman yang terkenal dengan nama empirisme. Baginya pengetahuan empirik dapat membawa kita menuju kepada pemahaman hukum alam yang pada akhirnya mampu meningkatkan lagi kawalan manusia terhadap alam. Tentunya, kesedaran seperti ini sangat dipengaruhi oleh semangat utilitarianisme dan kapitalisme yang menganggap ilmu sebagai alat untuk mengawal alam semesta demi kepentingan manusia, bahkan mungkin hanya segelintir manusia. David Hume, seorang ahli falsafah dari Scotland telah meneruskan pemikiran Bacon dan malah telah pergi lebih jauh lagi dengan menyerang konsep-konsep pemikiran metafizik sebagai kata-kata kosong belaka kerana ia tidak dapat dicerna oleh pancaindera kita [22]. Dari pemikiran kedua orang ilmuwan inilah, gerakan empirisme mula membahana di benua Eropah.
Dengan demikian, perkembangan, seperti yang berlaku di Barat hanyalah satu lumrah jika ia terjadi kepada peradaban yang mana sistem pemikiran serta nilai-nilainya didasarkan kepada elemen-elemen falsafah dan budaya, serta dibantu oleh perkembangan ilmu pengetahuan yang terus berkembang dan menjadi subjek dari roda sejarah.
Sikap Umat Islam dan Gerakan Tajdid Pasca Kebangkitan Barat
Melihat kemajuan yang dicapai oleh bangsa Eropah, sebahagian umat Islam mulai sedar dari kelalaiannya dalam bidang ilmu pengetahuan. Maka bermulalah gerakan tajdid yang dimulakan dari para sarjana dan ilmuan Islam untuk boleh bangkit menyaingi kemajuan bangsa Eropah. Cumanya kemajuan Barat masih sangat berpengaruh, dan sikap umat Islam dalam hal ini pula masih berada di antara pro dan kontra.Dalam hal ini pengusung gerakan tajdid secara global terbahagi menjadi tiga kelompok.
Pertama adalah kelompok yang beranggapan bahawa kemajuan umat Islam boleh dicapai dengan membuang jauh-jauh budaya dan falsafah yang datang selain dari Islam. Kelompok ini cenderung ke arah radikal dan tidak boleh menyesuaikan diri dengan perubahan. Dari kelompok inilah selalunya timbul gerakan Islam haraki seperti Taliban dan sebagainya.
Kelompok kedua adalah kelompok yang cuba untuk berkompromi di antara kebudayaan Islam dan kebudayaan Barat. Gerakan ini dipelopori oleh Muhammad Abduh dan kelompoknya, Rifaah Tahtawi misalnya yang telah mengajak untuk mempelajari dasar-dasar kemajuan Barat dengan menepis ajaran falsafahnya yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah. Sedangkan al-Maududi dan Sayyid Qutub pula mengajak untuk berguru kepada Barat dalam ilmu-ilmu kebendaan.
Sedangkan kelompok ketiga yang pada hakikatnya berasal dari kelompok kedua, adalah gerakan tajdid yang menjadikan Barat sebagai kiblat utamanya. Dari kelompok inilah muncul gerakan anti-turats (Penterjemah: anti-tradisi). Tokoh utama kelompok ini di abad pertengahan adalah Taha Husain dan gerakan tanwir hingga saat ini, dan hari ini tokoh utamanya adalah al-Jabiri, Muhammad Arkoun, Hasan Hanafi dan yang lainnya.
Sebuah Neraca
Setelah kita perhatikan dari ketiga-tiga kelompok ini, ternyata para pengusung gerakan tajdid ini masih tidak lepas daripada pengaruh Barat, termasuklah kelompok pertama juga yang secara zahirnya adalah anti dan memusuhi Barat. Namun pada hakikatnya sikap mereka lahir dari emosi yang telah dipengaruhi Barat. Dalam erti kata lain, seandainya Barat tidak mencapai kemajuan tentu mereka tidak akan bergerak dengan simbol tajdid dan sebagainya. Bukti dari sikap emosi ini adalah mereka tidak menerima hal-hal yang datang dari Barat meskipun ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.Sedangkan dua kelompok berikutnya adalah kelompok yang berusaha menggabungkan dua hal yang mustahil terjadi dengan mengkompromikan dua peradaban yang berseberangan yang mana Islam bangkit kerana ajaran agamanya dan Barat pula bangkit kerana meninggalkan agamanya.
Lantas tajdid bagaimana yang sesuai untuk waktu ini? Di sini ada Muhammad Iqbal seorang ahli falsafah dan sasterawan Muslim terkenal yang menawarkan sebuah konsep tajdid kontemporari dengan kembali pada prinsip dan mabadi' agama Islam. Namun bukan bererti beliau meninggalkan peradaban dan falsafah Barat dengan emosi atau atas dasar fanatik. Sebaliknya beliau menganjurkan untuk tidak mengekor kepada Barat kerana dalam Islam itu sendiri telah terdapat petunjuk Ilahi yang merangkumi segala sendi kehidupan.
Menurutnya, umat Islam di saat ini harus kembali pada pada dua perkara. Yang pertama adalah al-Quran. Ketika beliau menghadiahkan kitab suci kepada salah seorang penguasa, beliau berkata: "Al-Quran adalah sandaran kebenaran. Di dalamnya terdapat ruh dan kehidupan. Permulaannya membawa kepada kejayaan dan dengannya Ali membuka pintu Khaibar". Dalam syairnya beliau menulis, "Kitab ini adalah kitab abadi, hikmahnya tenggelam di zaman Azali dan terus beraksi hingga dalam keabdian. Al-Quran telah membongkar rahsia tercitanya kehidupan dan menguatkan si lemah yang mulai tergelincir dengan kata-kata yang kukuh." [23]
Yang kedua menurut Iqbal adalah sejarah perjalanan hidup baginda Nabi Muhammad saw. Beliau berpendapat bahawa cinta dan menjadikan Rasulullah sebagai tauladan adalah perkara yang dapat membawa suatu perubahan dan pembaharuan. Dengan bangga Iqbal yang hidup dan kaya dengan pendidikan Barat ini berkata "Kemajuan ilmu pengetahuan Barat tidak membuatkan aku terkesima dan buta kerana aku telah memakai celak Madinah." [24]
Sedangkan roda kepada dua dasar itu adalah ijtihad, sebagaimana yang beliau ungkapkan dalam ceramahnya Reconstruction of Religious Thought in Islam (Tajdid al-fikr al-Dini fil Islam).
Senada dengan Iqbal adalah Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buthi melalui bukunya al-Din wa al-Falsafah yang menawarkan sebuah konsep pintar dalam melakukan pembaharuan sesuai dengan proses evolusi. Beliau berkata,
"Saya telah lama memerhatikan musibah dan permasalahan yang menimpa umat Islam. Namun setelah aku teliti secara saksama ternyata akar dari permasalahan itu adalah Diya'u Dzat (kehilangan jati diri)."
Umat Islam boleh terlepas dari kemunduran dan boleh juga untuk melakukan pembaharuan apabila jati dirinya telah ditemukan. Hawiyah yang telah tiada dari jiwa umat Islam ini yang menyebabkan mereka tidak mampu membangunkan kembali peradabannya. Yang dimaksudkan dengan dzat di sini adalah pemikiran, akidah dan suluk. Jika ketiga-tiganya tercapai maka kejayaan yang kita dambakan akan tercapai juga [25].
Kesimpulan
Proses evolusi yang terjadi di muka bumi ini menuntut manusia untuk sentiasa melakukan pembaharuan dalam segala hal. Bukankah dalam dunia Islam kita mempunyai pijakan kukuh yang berasal dari manhaj Ilahi? Dengannya, umat Islam mampu membangun dengan sebuah peradaban pada bila-bila masa, kerana proses evolusi dan dasar-dasar agama ini berasal dari satu Pencipta iaitu Allah.Dari realiti inilah saya kira pertanyaan panitia yang pertama dan yang kedua telah terjawab. Kita percaya bahawa Imam Shafii dan Imam al-Ghazali adalah mujaddid di zamannya. Namun apakah keduanya melakukan pembaharuan dengan merubah pemikiran keagamaan secara total? Jawapannya tentu tidak. Dan masalah ini telah dijelaskan dengan panjang lebar oleh para ulama.
Setelah kita mengkaji proses evolusi manusia melalui peradabannya tadi, maka bentuk tajdid yang sangat relevan untuk saat ini adalah mengembalikan jati diri dan hawiyah umat ini yang telah sekian lama menghilang.
Tajdid adalah sebuah fitrah alam yang tidak boleh lepas dari kehidupan ini. Akan tetapi tajdid terbaik adalah tajdid yang telah digariskan oleh Allah. Di sinilah saya mengajak tajdid keagamaan dengan konsep di atas dalam tiga rukun agama iaitu Islam, Iman dan Ihsan.
Wallahu muwaffiq.
NOTA KAKI
[1] Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam diskusi ilmiah Tajdid Dalam Perspektif Islam yang diadakan oleh FOMIL (Forum Komunikasi Mahasiswa Indonesia Universitas al-Ahgaff), Tarim, 1 Ogos 2006. Penulis adalah alumni PPS, saat ini mengikuti program tahassus fiqih wa usulihi di Darul Mustafa Tarim, Hadramaut.[2] Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi, Hadhihi Musykilatuhum, Hal 44-45.
[3] Lihat Abul Hasan al-Nadwi, Madha hasiral 'alam bin hitatil muslimin, Hal 48 dan Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi, Hadhihi Musykilatuhum, hal 19.
[4] ibid
[5] Dr Amir Skib Arsalan, Hadir 'Alamil Islamiy,1/24
[6] ibid 1/139
[7] Habib Abu Bakar al-Masyhur, Attalid wa Tarid, Hal 155-156
[8] Dr Ihsan Taufik, al-Tsabit wa al-Mutaghayyar fil Quran, Hal 15.
[9] Habib Abu Bakar al-Masyhur, Attalid wa Tarid, Hal 168
[10] Diambil dari makalah Ismail Alatas yang berjudul Mengapa Umat Islam Mundur? Sebuah Fefleksi Histories.
[11] Karen Armstrong, The Battle for God: Fundamentalism in Judaism, Christianity and Islam (London: HarperCollins, 2001) p. 63.
[12] Stephan Fssel, Guttenberg and the Impact of Printing (Aldershot: Ashgate, 2003).
[13] R. A. Houston, Literacy in Early Modern Europe: Culture and Education, 1500-1800 (Harlow: Longman, 2001).
Label: fanatik mazhab, rasulullah, sirah, tamadun
Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama
Langgan:
Catatan (Atom)