Pro Tajdid mengumpulkan tulisan terpilih tentang fenomena tajdid yang melanda dunia Islam.
Apa itu tajdid? Tajdid bagaimana yang kita mahu? Selongkari arkib blog ini untuk jawapannya!

Dengan melanggan blog ini secara e-mel atau RSS, anda akan diberitahu secara automatik apabila ada entri baru di sini.
Anda mempunyai bahan-bahan menarik berkaitan isu tajdid yang mahu dikongsi di sini? Hubungi protajdid [at] gmail [dot] com.

Mat Saleh 'Alim

Pertama kali bersua muka dengan Sidi Abdal Hakim Murad (SAHM) di luar Walton Theatre, Trinity College, aku terpaksa mendongak sedikit. Tinggi juga orangnya. Wajahnya kelihatan serius. Mungkin kerana kepenatan kerana dibawa (dipaksa) berjalan-jalan sekitar kota Dublin oleh Umar dan kawan-kawan. Namun, dia tersenyum bila aku menghulurkan tangan. Cepat-cepat aku mengucup tangannya.Dia agak tergamam sedikit dan cepat-cepat menarik tangannya kembali. Mungkin dia berasa segan dihormati dengan sedemikian rupa.

Berdasarkan tahap keilmuannya dan jasa-jasanya terhadap perkembangan Islam di dunia Eropah, tidak keterlaluan jika dia dihormati sebegitu. SAHM merupakan antara orang 'alim yang begitu disegani bukan sekadar di UK atau di Eropah, malahan turut dikenali di kalangan para masyaikh di negara-negara Timur Tengah. Di dunia ini, antara universiti yang paling tua dan berprestij ialah al-Azhar, Oxford dan Cambridge. Keistimewaan SAHM ialah beliau pernah menuntut di ketiga-tiga universiti tersebut!

Beliau merupakan pengasas dan penggerak IHSAN, satu organisasi yang berperanan mengumpulkan kesemua hadith-hadith dan manuskrip-manuskrip hadith di seluruh dunia. Visi dan misi IHSAN yang diilhamkan bersama oleh SAHM dan beberapa ilmuan hadith lain sebenarnya sangat besar. IHSAN merupakan platform untuk pengumpulan semua hadith yang terdapat pada kitab-kitab hadith di atas muka bumi ini. Hadith-hadith yang dikumpulkan akan disalin dalam versi digital, diindeks dan dicatat secara rapi jalan periwayatan, pengijazahan, status dan sebagainya. Cita-cita SAHM ialah untuk melengkapkan satu ensiklopedia hadith yang boleh dimanfaatkan oleh generasi Islam yang akan datang. Melalui database hadith ini, rujukan terhadap hadith termasuk status dan sumbernya dapat disemak dalam sekelip mata.

Khabarnya beberapa kitab-kitab hadith yang muktabar telah siap dalam edisi digital termasuk Sunan Sittah, Sunan Baihaqi, Musnad Ahmad bin Hanbal, Musnad Humaydi, Sunan Daruqutni, Sunan Darimi, Shamail Tirmidzi dan Tuhfah al-Ashraf al-Mizzi. Ratusan ilmuan hadith dari pelbagai institusi pengajian tinggi Islam terlibat secara langsung dengan usaha murni ini. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberkati usaha ulama-ulama ini yang sedang berusaha melindungi sumber agama Islam yang kedua terpenting ini daripada pencemaran dan kekaburan. Ameen ya Rabb!!

Pertemuan dengan SAHM kali ini sangat istimewa. Sebelum lecture beliau bermula, beliau mengambil kesempatan untuk bertemu dengan pimpinan dan aktivis Islam di Dublin. Walaupun aku bukanlah pemimpin mana-mana organisasi Islam di Ireland, Bro Umar dari FOSIS bersungguh-sungguh mengundangku ke sesi tersebut. Mungkin sebagai membalas jasa aku yang memberikan tutorial bahasa Arab di rumah Ashraf tempoh hari!

SAHM pada muqaddimahnya menyentuh tentang mentaliti pendakwah-pendakwah Islam sepanjang zaman. Beliau memberikan contoh binaan-binaan masjid yang dibina ketika zaman permulaan dakwah Islam. Masjid-masjid di Jawa, China, Balkan bahkan di Melaka mempunyai identiti yang unik. Mengapa? Kerana semua masjid-masjid berkenaan seperti Masjid Demak dan Masjid Agung Xi'An di China mempunyai identiti tempatan. Masjid Demak misalnya sarat dengan seni binaan Jawa zaman Majapahit.

Di Xi'An pula, masjidnya tidak ubah seperti pagoda! Masjid-masjid yang dibina ini tidak punya kubah-kubah bulat mahupun menara yang tinggi-tinggi seperti di mana-mana negara Arab. Apa yang cuba disampaikan oleh SAHM ialah pendakwah-pendakwah Islam pada zaman dahulu sebenarnya sangat memahami pemikiran, budaya, adat dan identiti penduduk tempatan. Kedatangan mereka bukanlah untuk mengubah identiti masyarakat setempat secara radikal. Di Jawa misalnya, kebudayaan mereka masih tebal dengan animisme dan kepercayaan Hindu. Islah dan dakwah mahupun tajdid bukanlah proses yang radikal ataupun tergesa-gesa.

Bahkan pendakwah-pendakwah dahulu seperti Wali Songo di kepulauan Jawa begitu memahami uslub dakwah yang diwarisi daripada Rasulullah SAW yang sensitif dengan kefahaman masyarakat setempat. Di kalangan Wali Songo misalnya, mereka sendiri menggunakan nama baru bila berhadapan dengan masyarakat, meskipun nama asal mereka rata-ratanya dalam bahasa Arab. Sunan Ampel misalnya bernama Raden Rahmat. Penggunaan nama Jawa beliau adalah untuk menunjukkan kebersamaan beliau dengan masyarakat setempat, satu methodologi yang cukup berkesan dalam lapangan dakwah. Masjid Demak yang dibina oleh Wali Songo ini misalnya mempunyai senibina Jawa yang sama dengan senibina tempatan pada zaman tersebut.

Secara tidak langsung, method dakwah yang digunakan oleh Wali Songo ini mendekatkan hati penduduk tempatan dengan mereka.Adat-adat mereka yang tidak bercanggah dengan Islam tidak pernah disentuh. Malahan jika ada yang baik ia akan diteruskan tanpa halangan. Contoh terdekat ialah wayang kulit yang asalnya mempunyai boneka-boneka menyerupai manusia. Kisah-kisah yang diceritakan oleh tukang-tukang karut biasanya berkisar tentang epik Ramayana dan Mahabrata Hindu. Wayang kulit meruapakan salah satu sumber hiburan masyarakat ketika itu.

Oleh itu, adalah tidak bijak jika Wali Songo mengambil pendekatan untuk membid'ahkan, mensyirikkan ataupun melabelkan budaya sebegini dengan label yang keras-keras sehingga menjauhkan manusia daripada Islam. Sebaliknya, para pendakwah ini mengubah bentuk persembahan wayang kulit.Karektor dalam wayang kulit 'dicacatkan' sedikit supaya tidak menyerupai manusia sempurna dan plot penceritaannya digubah supaya tidak lagi berkiblatkan kandungan kitab-kitab epik Hindu. Ini antara kebijaksaan dakwah yang seharusnya dicontohi.

SAHM turut membandingkan sikap dan approach dakwah sebegini dengan sesetengah pendakwah yang ada sekarang. Menurut beliau, ramai pendakwah terutama di dunia Barat ini kurang memahami aspirasi dan kebudayaan penduduk setempat. Lebih malang lagi terdapat segolongan daripada mereka yang mempunyai kefahaman yang kabur tentang konsep bid'ah dan sebagainya. Hasilnya, mereka terlalu cepat menghukum amalan-amalan tertentu masyarakat yang sebenarnya boleh diterima dalam Islam. Tidak kurang juga golongan yang mendakwa mereka sebagai pendokong Sunnah dan pembawa aspirasi Golongan Salaf-as-Soleh. Tetapi berbahasa Inggeris pun masih gagal meskipun sudah tinggal bertahun-tahun di sini.

Apa yang terbentuk ialah satu komuniti yang tidak pernah melakukan reach out terhadap non-Muslim yang berpotensi untuk menerima Islam. Orang Islam yang berhijrah ke UK, kekal dengan kefahaman dan budaya mereka lantas membina tembok besar daripada masyarakat setempat. Tiada usaha dakwah dan tiada kesungguhan untuk menyampaikan mesej Islam.Yang tinggal cumalah pandangan hina dan negatif mereka terhadap non-Muslim di UK atau Ireland.

Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. Komuniti Islam tidak kira samada yang menetap atau bermukim di benua ini untuk bekerja ataupun belajar punya tanggungjawab untuk menyampaikan risalah suci sekadar kemampuan mereka. Mengambil posisi dalam politik bukanlah agenda utama umat Islam di Eropah buat masa sekarang.Umat Islam di sini lebih memerlukan usaha dakwah dan pendidikan yang sistematik dari sumber-sumber yang sahih. Bukan daripada golongan pelampau ataupun liberal.

Dalam masa yang sama SAHM menyatakan kekesalan terhadap reaksi umat Islam yang keterlaluan terhadap sesuatu isu. Contohnya dalam isu karikatur Denmark dan kenyataan Pope mengenai Islam. Tunjuk perasaan atau demonstrasi menurut beliau, bukanlah cara yang paling baik kerana masyarakat bukan Islam di sini tidak begitu ambil pusing tentang mana-mana demonstrasi. Pendidikan dan peningkatan kefahaman Islam adalah satu-satunya cara untuk mengubah persepsi masyarakat bukan Islam terhadap agama kita.

Beberapa jam bersama beliau bagaikan beberapa minit. Aneh sekali, seorang yang dilahirkan Muslim seperti aku kini belajar dengan seorang British yang dahulunya beragama Kristian. Belajar tentang Islam dan dakwah. Yang lebih aneh, belajar tentang kebudayaan dan sejarah Nusantara daripada seorang mat saleh seperti Sidi Abdal Hakim Murad!
---

Ditulis oleh Shafiq Ayman dan terdapat versi yang diubahsuai sedikit dari sumber asal.

Haul Imam al-Haddad

7 Dzul Qaedah merupakan haul Imam al-Haddad. Imam al-Haddad ulama dan waliyUllah yang terkenal keturunan baitun nubuwwah, Bani Zahra 'min aali 'Ali, Saadah Ba 'Alawi. Dilahirkan di Kota Tarim al-Ghanna pada 5 Shafar al-Khair 1044H. Aku telah menulis serba sedikit mengenai riwayat hidup Imam yang mulia ini dalam posting yang lalu. Kali ini aku hanya ingin menegaskan bahawa Imam al-Haddad yang terkenal sebagai seorang yang berilmu tinggi lagi arif billah, tetap berpegang dengan mazhab Syafi`i dan beri'tiqad dengan i'tiqad Imam Abu Hasan al-'Asy'ari.

Mufti Hadhramaut, Habib 'Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin 'Umar al-Masyhur Ba 'Alawi dalam "Ghaayatu Talkhish al-muraad min fatawa Ibni Ziyaad" menyatakan bahawa Imam a-Haddad adalah mujaddid kurun ke-11H. Elok juga, jika aku nukilkan kalam Mufti Hadhramaut ini untuk tatapan kalian. Pada halaman 293 - 294 di pinggir "Bughyatul Mustarsyidin", beliau menyatakan:

[Masalah] Hadits "Bahawasanya Allah akan membangkitkan buat umat ini pada awal setiap 100 tahun orang yang akan memperbaharui (mentajdidkan) agama umat ini (yakni yang akan memperbaharui pegangan dan keyakinan umat terhadap agama mereka)," dikeluarkan hadits ini oleh Imam Abu Dawud dan Imam al-Hakim dan selain kedua mereka. Dan dalam lafaz lain dinyatakan "Pada setiap 100 tahun seorang lelaki daripada ahli baitku," sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ahmad. Berkata Imam as-Sayuthi, hadits ini adalah masyhur dengan diriwayatkan oleh para hafiz yang muktabar.

Maka mujaddid bagi:

  1. Kurun pertama: Sayyidina 'Umar bin 'Abdul 'Aziz;
  2. Kurun ke-2: Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i;
  3. Kurun ke-3: Ibnu Suraij atau al-Asy'ari;
  4. Kurun ke-4: ash-Sha'luki atau Abu Hamid al-Isfaraini atau Qadhi Abu Bakar al-Baaqilani;
  5. Kurun ke-5: Imam al-Ghazali tanpa ada khilaf;
  6. Kurun ke-6: al-Fakhrur Razi atau ar-Rifaa`i;
  7. Kurun ke-7: Ibnu Daqiiqil 'Eid;
  8. Kurun ke-8: al-Bulqini dan Zainuddin al-'Iraqi atau Ibnu Bintil Mailaq;
  9. Kurun ke-9: Syaikh Zakaria al-Anshari sebagaimana dinyatakan oleh guru kami ath-Thanbadaawi dan adalah Imam asy-Sayuthi telah menisbahkan tajdid kepada dirinya (yakni menyatakan dirinya sebagai mujaddid), dan tiada syak bahawa Syaikh Zakaria lebih memberi manfaat (buat umat) dan lebih masyhur, maka dialah mujaddid ke-9 ini, insya-Allah;
  10. Kurun ke-10: yang aku jumpa daripada keterangan para masyaikh bahawa mujaddid kurun ini ialah Syaikh Ahmad bin Hajar al-Haitami atau Imam Muhammad ar-Ramli, dan dirajihkan oleh sebahagian ulama bahawa mujaddidnya ialah Imam Muhammad ar-Ramli kerana Imam Ibnu Hajar meninggal sebelum berlalu kurun (yakni Imam Ibnu Hajar meninggal di akhir kurun dan tidak bertemu dengan awal kurun yang baru);
  11. Kurun ke-11: Sayyidinal Quthub 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad 'Alawi;
  12. Kurun ke-12: al-Quthub Ahmad bin 'Umar BinSumaith Alawi.

Dan ini kurun ke-13, kami berharap daripada Allah s.w.t. agar mentajdidkan umat ini dengan seseorang daripada kalangan khawaashul muqarrabinNya.

Ikhwah tengoklah senarai ulama yang mujaddid di atas. Semua mereka melakukan tajdid dan kebanyakan mereka masih tetap berpegang dengan mazhab, bahkan menjadi ulama besar dalam mazhab.

Lihat Imam al-Asy'ari, Imam ash-Sha'luki, Imam Baaqilani, Hujjatul Islam al-Ghazali, Imam Fakhrur Razi dan lain-lain, semuanya masih berpegang dengan mazhab dan mengajar dan mengarang menurut mazhab tertentu. Jadi tajdid bukanlah bererti memusuhi mazhab atau anti-mazhab atau menyeru agar semua orang, termasuk kalangan awam untuk melakukan ijtihad dan menolak taqlid.

Tajdid bukan bererti semua umat, termasuklah para petani dan nelayan, tokey kedai, tokey kain, tokey togey dan sebagainya, kena berijtihad. Seruan agar semua umat berijtihad, tanpa melihat tahap keilmuan mereka, adalah seruan yang menyeru kepada fitnah dan bukanlah tajdid, tapi seruan untuk menjahanamkan kemurnian Islam, apa tidaknya jika orang yang buta kayu pun disuruh berijtihad dan diharamkan bertaqlid, bukankah ini satu fitnah? Kalimah ittiba` yang direka seolah-olah berbeza dengan taqlid, adalah seperti perbezaan yang mereka berikan kepada kalimah "rabb" dan "ilah".

Janganlah terperdaya dengan permainan kalimah oleh puak-puak anti-mazhab dan anti-taqlid ini yang berselindung atas slogan kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah. Tanyakan kepada mereka 124,000 sahabi adakah semua mereka itu mujtahid ?

Berbalik kepada Imam al-Haddad, di sini aku nukilkan kalam beliau berhubung persoalan "di manakah Allah?" Dalam "an-Nashooih ad-Diniyyah wal washooyaa al-Imaaniyyah", halaman 433, Imam al-Haddad menyatakan:-
Dan bahawasanya Dia (yakni Allah s.w.t.) suci dari masa dan tempat, suci dari menyerupai segala ciptaan, tidaklah Dia diliputi oleh segala arah (jihat), dan tidaklah Dia bersifat dengan segala sifat yang baharu. Dia beristiwa` atas arasyNya sebagaimana yang difirmankanNya dengan makna yang dikehendakinya, istiwa` yang layak dengan kemuliaan keagunganNya dan ketinggian kemuliaanNya dan kebesaranNya (ini merupakan tafwidh mutlak Imam al-Haddad terhadap firman tersebut kepada Allah, dengan menyerahkan bulat-bulat pengertian makna hakikinya kepada Allah, tanpa membicarakannya lebih daripada itu. Dan perhatikan bahawa hal ini dinyatakan oleh Imam al-Haddad selepas dia mensuci atau mentanzihkan Allah daripada bertempat).

Manakala dalam risalahnya "al-'Aqiidah as-Sadiidah al-muwaafaqah bil kitaab was sunnah al-hamiidah", halaman 14 - 15 di atas "al-Minhatul Fariidah syarhu 'Aqiidah al-Haddad as-Sadiidah" karangan murid Buya al-Maliki, Kiyai 'Ali Badriy Masyhuri al-Baasuruwaani, Imam al-Haddad menulis:-
Allah bersih daripada penyerupaan dan penyamaan, daripada sekutu dan pembantu, dari masa dan tempat, daripada sahabat dan anak, dari batasan atau had. Dialah Allah Ahadush Shomad, yang tidak beranak dan tidak diperanak, dan tiada ada sesuatupun yang setara denganNya...

Jadi jelas menurut Imam al-Haddad sebagaimana juga para ulama kita yang lain bahawa Allah wujud tanpa bertempat. Maka sesiapa yang menyatakan bahawa wujud Allah itu dengan menduduki sesuatu tempat, maka bukanlah itu i'tiqad Ahlus Sunnah wal Jama`ah sebagaimana difahami oleh para ulama kita. Marilah kita menghadiahkan al-Fatihah kepada Imam al-Haddad dan mudah-mudahan Allah mengalirkan sebanyak-banyak keberkatan kepada kita sekalian. Untuk keterangan lanjut berhubung i'tiqad Imam al-Haddad silalah ikhwah rujuk posting yang lalu, antaranya:-

* http://bahrusshofa.blogspot.com/2005/12/itiqad-imam-al-haddad.html
* http://bahrusshofa.blogspot.com/2005/12/itiqad-imam-al-haddad-2.html


Ditulis oleh Abu Muhammad.

Dakwah Tajdid Sebenar

Beberapa forum, laman dan blog mendakwa memperjuangkan tajdid dalam agama. Namun apabila kita mengembara ke dalam ruangan mereka, kita akan tertanya-tanya - apa benda yang didakwa tajdid dalam laman ini? Umumnya yang nampak hanyalah dakwah lama yang sudah tidak layak dipanggil tajdid lagi. Sebab itu ada pihak mengatakan, "Ini bukan dakwah tajdid, tapi dakwah takjadi."

Kata-kata ini ada benarnya juga walaupun nampak macam tuannya hendak berkelakar atau menyindir. Ini kerana apa yang diperjuangkan oleh pihak-pihak itu ternyata benda-benda lapok lagi sudah basi. Itu pun dinamakan tajdid? Yang kita tahu, tajdid benda baru. Yang mereka bawa tidak lain dakwah perpecahan umat masakini. Dakwah ini sudah lama berlalu. Ia sudah "out of date" pada zaman ini.

Antara isu yang didakwa sebagai tajdid ialah menghukum berdosa (melalui kata kunci "bidaah") majlis tahlil, sambut Maulidurrasul, dunia kesufian, Sifat 20, takwil dan banyak lagi. Inikah tajdid? Dicetuskan ratusan tahun lalu pun tajdid juga? Nyata mereka ketinggalan zaman. Dakwah tajdid ini kalau manusia sudah terlalu tua usianya. Untuk memudahkan pemahaman, selepas ini saya akan menamakannya "Tajdid Lapok". Tajdid Lapok ini sudah tidak layak disebut tajdid, tapi tak apalah. Kira tajdid jugalah agar golongan yang memperjuangkannya tidak terlalu kecil hati.

Yang hendak kita promosikan sekarang bukan Tajdid Lapok tapi Tadjid Segar dalam agama. Apakah Tajdid Segar? Ia adalah dakwah tajdid yang relevan dengan kurun ini, sedangkan dakwah Tajdid Lapok sepatutnya disimpan dalam muzium sahaja. Ada banyak perkara, tapi sebahagiannya tidak dinyatakan di sini kerana belum sampai masa untuk umat menerimanya. Biar lambat asal selamat.

Kita bentangkan dalam bentuk perbandingan agar pemahaman pembaca di tahap maksima.


TAJDID LAPOK
Apabila terjumpa orang, dia akan melihat apa perbezaan fahaman antara dirinya dengan orang itu terlebih dahulu. Baginya perbezaan ini adalah lebih penting daripada mencari persamaan. Tajdid Lama ini banyak membawa kerosakan dan perpecahan umat. Ia juga disokong oleh musuh-musuh Islam kerana membantu mereka mewujudkan perpecahan umat Islam.

TAJDID SEGAR
Apabila terjumpa orang, dia akan melihat apa persamaan fahaman dirinya dengan orang itu terlebih dahulu. Baginya mencari persamaan adalah lebih penting daripada mencari perbezaan fahaman. Tajdid Segar ini sangat berkesan untuk membawa perpaduan. Ia sangat digeruni oleh musuh-musuh Islam.


TAJDID LAPOK
Umumnya tidak menyokong gerakan-gerakan Islam yang ada seperti jemaah-jemaah sufi, parti-parti politik Islam, Ikhwanul Muslimin, jemaah Tabligh, Hizbut Tahrir, ABIM, JIM, ISMA dan lain-lain. Bagi mereka gerakan-gerakan ini hanya memecah-belahkan umat Islam menjadi 73 golongan sedangkan yang selamat hanyalah satu golongan sahaja iaitu mereka sendiri. Ada juga segelintir yang simpati dengan gerakan-gerakan Islam tapi mereka tetap tidak menjadi aktivisnya. Kalau jadi ahli pun sekadar ada nama sahaja. Nak kata digalakkan menyertai pun tidak, paling kuat kata harus saja. Mereka lebih utamakan perjuangan Tajdid Lapok. Kebanyakannya menghukum berdosa (melalui kata kunci bidaah) malah tidak akan selamat di akhirat ke atas semua gerakan Islam itu. Tajdid jenis ini memang menjadi kesukaan musuh-musuh Islam.

TAJDID SEGAR
Menggalakkan perkembangan jemaah-jemah Islam yang ada. Walaupun berbeza pasukan namun saling hormat-menghormati dan meraikan. Malah dari hari ke hari mereka berusaha mencari keselesaan untuk berjuang bersama. Pandang global, bergerak sebagai satu umat. Tajdid Segar ini amat digeruni musuh.


TAJDID LAPOK
Menghabiskan sebahagian besar masa, tenaga dan harta untuk membincangkan isu-isu khilaf. Seolah-olah itu sajalah perjuangan utama mereka dan itulah agama Islam. Tajdid Lapok ini direstui penuh musuh-musuh Islam. Mereka mahu umat Islam terutamanya golongan ulama sentiasa dalam keadaan bertelingkah. Kalau para ulama sudah berbalah, apa lagi orang awam.

TAJDID SEGAR
Mengutamakan isu-isu utama. Isu khilaf tidak ditinggalkan tetapi bukan menjadi agenda utama. Jika ada keluangan masa dalam memperjuangkan isu-isu utama, barulah dibuka isu-isu khilaf. Ini kerana telah terbukti bahawa isu-isu khilaf telah dibincangkan abad-berabad dan keputusannya, masih juga khilaf. Masa berabad-abad itu berlalu begitu sahaja tetapi keputusannya tetap sama. Ini membazir masa namanya. Kerja membazir ini sangat disukai Iblis dan syaitan. Jadi Tajdid Segar meletakkan perkara-perkara khilaf ke samping. Musuh-musuh Islam memang sakit hati dengan Tajdid Segar ini kerana umat Islam tidak ada masa untuk berbalah tetapi ada banyak masa untuk berhadapan dengan mereka.


TAJDID LAPOK
Biasanya menyebarkan perkara dusta dalam masalah "takwil, tak takwil". Mereka umumkan "Salaf tak takwil, khalaf takwil". Pembahagian ini kalau tidak disertai huraian sebagimana yang akan dinyatakan di bawah nanti, jelas satu pembohongan. Ini seolah-olah menggambarakn seluruh Salaf tak takwil dan seluruh khalaf takwil. Padahal pembahagian sebenarnya begini:

Salaf terbahagi kepada beberapa kelompok, bukannya satu kelompok sahaja sebagaimana pembohongan pembawa Tajdid Lama. Sekurang-kurangnya ada kelompok yang:

1. Tidak takwil tapi tidak dijumpai bukti dia menegah takwil;
2. Kadang-kadang takwil dan kadang kadang tidak takwil;
3. Tidak takwil dan dia menegah takwil (yang ini saya perlu kaji lagi);
4. Tidak diketahui pun sama ada dia takwil ataupun tidak, dan sama ada dia menegah takwil ataupun tidak.

Khalaf pula sekurang-kurangnya terbahagi kepada kelompok yang:
1. Takwil;
2. Kadang-kadang takwil dan kadang kadang tidak takwil;
3. Tidak takwil dan dia menegah takwil (ini golongan penjuang Tajdid Lama);
4. Tidak takwil tapi tidak menegah takwil;
5. Boleh takwil dan boleh tidak takwil.

Jadi pembohongan yang mengatakan "Salaf tak takwil, khalaf takwil" sepatutnya sudah lama dibakulsampahkan. Mereka mahu umat Islam seboleh-bolehnya percaya bahawa 100% salaf tak takwil. Padahal Imam Ahmad sendiri mentakwil hadis Nabi:

"Hajarul Aswad adalah tangan kanan Allah di muka bumi."
(Al Hakim)

"Hati orang beriman antara dua jari-jemari Ar-Rahman."
(Muslim)

"Aku dapat rasakan nafas Ar-Rahman dari sebelah Yaman."
(Ahmad)

SUMBER: Majmuk Rasail Hasan al-Banna.


Kata al-Banna:
Sebagaimana yang anda tahu, masalah yang dibincangkan sedikti sahaja dan membabitkan masalah yang mana SEBAHAGIAN ULAMA SALAF SENDIRI ADA MEMBUAT PENTAKWILAN.

Jelas bagai matahari di tengah hari yang cerah- dakwah "Salaf tak takwil, khalaf takwil" oleh penggerak Tajdid Lapok adalah penipuan terhormat. Kalau mereka jujur, pastinya mereka akan berkata "Salaf ada yang takwil dan tak takwil, khalaf pun begitu juga".

Mengapa dakwah mereka begitu? Mudah saja. Tentulah dengan tujuan untuk menakut-nakutkan umat Islam agar tidak berani takwil kerana kononnya bertentangan dengan Salafussoleh, bertentangan dengan Sunnah dan bertentangan dengan Islam. Maka umat Islam yang jahil dalam hal inipun akan bersama-sama mereka menghentam ulama-ulama khalaf yang takwil.

Musuh-musuh Islam tersenyum lebar. Teruskan… teruskan…. kata mereka sambil bertepuk tangan.

TAJDID SEGAR
Kita sebarkan "Salaf banyak tak takwil tapi ada yang takwil, khalaf banyak yang takwil tapi ada yang tak takwil dan ada yang tak mahu takwil." - sebagai contoh. Ini boleh diperhalusi lagi.


TAJDID LAPOK
Apa saja idea-idea yang bertentangan dengan mereka dengan kadar segera dan seboleh-bolehnya dikaitkan dengan Syiah.

TAJDID SEGAR
Idea-idea yang bertentangan dengan idea kita akan diselidiki sedalam-dalamnya terlebih dhaulu sebelum mengaitkannya dengan Syiah atau mana-mana pihak.


TAJDID LAPOK
Umumnya tidak ada harapan untuk bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati bersama Syiah. Syiah dimusuhi semaksimanya. Umumnya menolak Syiah sepenuhnya hinggakan orang Syiah juga tidak ada hati untuk bekerjasam dengan mereka.

TAJDID SEGAR
Bekerjasama dengan Syiah dalam hal-hal yang disepakati. Umumnya tokoh-tokoh ala Tajdid Segar masih diterima oleh puak Syiah.


TAJDID LAPOK
"Bidaah" adalah satu hukum, seolah-olah hukum dalam Islam ada wajib, sunat, harus, makruh, haram dan bidaah. Keterlangsungan bagi bidaah adalah sama dengan haram atau berdosa. Ini mutlak.

TAJDID SEGAR
"Bidaah" bukan hukum. Hukum ke atas bidaah dijatuhkan mengikut keadaan "bidaah" itu sendiri. Sebab itu dalam kitab-kitab kita ada menemui ayat "bidaah yang makruh", "bidaah lagi makruh", "bidaah yang mungkar", "bidaah yang tidak disunatkan (bidaah yang harus)" dan seumpamanya.

Banyak lagi. Cukuplah setakat ini dahulu. Insyaalah idea saya dalam hal ini tidak pernah kering dengan izin Allah.

Sekarang tugasan anda para pembaca:
PERTAMA
Anda pejuang Tajdid Segar ataupun pejuang Tajdid Lapok?

Jawapan: ______________________

KEDUA
Tajdid yang disukai oleh musuh-musuh Islam ialah Tajdid _________

KETIGA
Tajdidi yang relevan untuk kurun ini adalah Tajdid __________

Akhirnya, jangan malu-malu untuk mengakui anda sebagai pejuang atau penyokong Tajdid Segar. Kalau di laman mereka, mereka letakkan cogankata memperjuangkan "tajdid", faham-fahamlah kita bahawa itu adalah Tajdid Lapok. Di laman kita juga kita boleh letakkan cogankata yang sama. Kami juga membawa tajdid. Oleh kerana perkatan "tajdid" mereka membawa maksud "Tajdid Lapok", maka untuk membezakannya kita letakkan saja "Tajdid Segar". Boleh juga "Tajdid Baru", "Tajdid Sebenar", "Tajdid Terkini", "Tajdid Abad Ini", "Tajdid Salaf" dan seumpamanya.

Untuk mereka, saya suka melabel "Tajdid Lapok" saja. Terpulanglah untuk anda melabelnya sebagai "Tajdid Orang Tua", "Tajdid Basi", "Tajdid Wahabi" dan lain-lain.

Diriwayatkan Sufyan ath-Thauri menegur kesalahan khalifah. Ketika dibantah khalifah dijawabnya lebih kurang . "Aku mesti menegur perkara yang salah, kalau tidak… kencingu akan bertukar menjadi darah." Dengan sebab itu dia dihukum bunuh tetapi diselamatkan Allah.
Saya tidak sahkan riwayat ini sebagai sahih, cuma ingin mengambil tamsilan bahwa begitulah sikap saya dalam hal ini.

Wallahulam.

PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT
Alexanderwathern
13 APRIL 2007
---
Ditulis oleh Alexanderwathern.

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

 
Setiap tulisan yang ada di sini adalah digalakkan untuk disebarkan. Pro Tajdid direkabentuk oleh Tawel Sensei sambil melayan Radio IKIM.