Isu salafi sekali lagi menjadi buah mulut sebahagian dari pendakwah sejak kebelakangan ini. Ini mungkin disebabkan perbincangan semula terhadap kesahihan beberapa amalan masyarakat Melayu Islam di Malaysia yang berlaku pada peringkat nasional pada tahun lepas. Mungkin juga disebabkan beberapa pertikaian yang ditimbulkan oleh sebahagian pihak terhadap kaedah, pendekatan dan uslub dakwah Ikhwan yang mula mendapat tempat di dalam hati sebahagian aktivis dakwah dan beberapa gerakan Islam di tanahair. Perbincangan tentang isu salafi ini banyak berkisar di sekitar dua isu ini; amalan masyarakat Melayu Islam yang merupakan khilaf fiqhi dan manhaj dakwah.
Persoalan akidah yang sebenarnya salah satu dari asas isu salafi ini kita dapati tidak begitu ketara dibincangkan di Malaysia. Sebaliknya isu yang ditimbulkan adalah isu tahlil, talqin, bacaan Yasin di malam Jumaat, bacaan Qunut di dalam solat Subuh, penyelewengan Sayyid Qutb, bid'ah usrah, kesalahan-kesalahan di dalam tafsir fi Zilal al-Quran, bid'ah ta'wil nas dan lain-lain isu seumpamanya.Takrif Salafi Yang Kurang Tepat
Banyak pihak mendakwa mereka adalah salafi. Sebahagian kecil sahaja dari kalangan mereka yang memahami apakah yang dimaksudkan dari kalimah salafi tersebut. Manakala bakinya melakukan dakwaan tanpa sandaran ilmu. Dengan berpandukan ilmu yang sedikit itu mereka mula menuduh pihak lain ‘tidak salafi’ atau ‘kurang salafi’ berbanding mereka.
Sebahagian dari mereka mengatakan salafi adalah pengikut madrasah an-nas, iaitu satu methodologi yang diambil oleh sebahagian ulama di dalam melakukan istinbat hukum secara langsung dari zahir nas tanpa banyak melihat kepada maqasid (rahsia dan maslahat hukum di sebalik zahir nas). Dengan itu mereka berpegang kepada zahir nas dari al-Quran atau hadith dan menolak metodologi yang digunakan oleh ulama yang lain. Mereka mengambil jalan mudah dengan mempraktikkan Islam terus dari al-Quran dan Sunnah tanpa merujuk kepada tafsiran dan pendapat ulama-ulama berkenaan tafsiran nas tersebut, satu amalan yang sebenarnya bertentangan dengan praktik pelopor madrasah an-nas itu sendiri.
Sebahagian yang lain mengatakan salafi adalah sesiapa yang mempraktikkan mazhab Imam Ahmad bin Hanbal. Dengan itu mereka memaksakan beberapa pendapat mazhab Hanbali kepada umat Islam di Malaysia yang majoritinya adalah bermazhab Syafie. Hujah mereka kerana fiqh mazhab Hanbali ‘lebih salafi’ dari mazhab-mazhab yang lain.
Sebahagian yang lain pula mengatakan salafi adalah pendekatan dakwah Muhammad bin Abdul Wahab, pelopor gerakan Wahabi di Arab Saudi. Malangnya apa yang mereka fahami dari gerakan Wahabi ini hanyalah sebahagian dari perjuangannya sahaja. Mereka tidak mengkaji keseluruhan gerakan tersebut. Dengan itu mereka menyimpulkan bahawa gerakan Wahabi adalah gerakan membenteras bid'ah yang berlaku di Semenanjung Tanah Arab satu kurun yang lepas. Itulah yang cuba mereka lakukan di Malaysia. Alangkah baiknya jika mereka mengkaji jihad Muhammad bin Abdul Wahab dan usaha-usaha pembaikan sistem khilafah yang dilakukan oleh beliau ketika itu. Moga-moga kajian itu dapat menyingkap hakikat salafi yang sebenarnya kepada mereka dan menjelaskan perbezaan di antara gerakan Muhammad bin Abdul Wahab dengan apa yang disebut sebagai Wahabi pada hari ini.Takrif Salafi Mengikut Manhaj Salafi Kami
Kami meminta maaf kerana menggunakan istilah ‘salafi kami’. Ini bukan dengan tujuan untuk memperkecilkan sebahagian yang mendakwa mereka salafi atau untuk menidakkan ‘salafi’ mereka. Kami juga berusaha seperti mereka untuk menjadi salafi. Jadi penggunaan istilah ini lebih bertujuan untuk menjelaskan beberapa perbezaan di antara kami dan mereka di dalam beberapa isu berkaitan salafi. Istilah ini sudah tentulah lebih baik dan lebih lembut dari istilah sebahagian penulis di dalam blog-blog yang menggunakan istilah ‘salafi lapok’ dan sebagainya.
Mereka yang mengaku salafi sering mengajak kita semua untuk kembali kepada kefahaman al-Quran dan Sunnah yang sebenar dan merujuk segala masalah kepada nasnya. Ini adalah pendekatan yang kami persetujui dan kami juga mengajak semua orang Islam ke arah yang sama; kembali kepada nas.
Dengan itu di dalam mentakrifkan ‘salafi’ kami ingin mengajak mereka dan semua pembaca untuk mengembalikan istilah ini kepada nasnya. Dari manakah datangnya istilah ‘salafi’ ini?
Ia adalah hasil kefahaman yang digabungkan dari beberapa buah hadis. Di antaranya sabda Rasulullah s.a.w.:"Telah terpecah orang-orang Yahudi menjadi tujuh puluh satu golongan dan terpecah orang Nasrani menjadi tujuh puluh dua golongan. Akan terpecah umatku menjadi tujuh puluh tiga golongan. Semuanya dalam neraka, kecuali satu golongan."
Para sahabat bertanya: "Siapakah mereka, wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Mereka adalah orang yang berdiri di atas apa yang aku dan para sahabatku berdiri di atasnya."
(Riwayat Abu Daud)
Satu lagi hadis mutawatir menyempurnakan makna ini:"Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian generasi sesudahnya dan kemudian generasi sesudahnya."
Daripada hadis-hadis tersebut dapatlah kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan salafi adalah satu kelompok yang dikenali di dalam sejarah perundangan Islam sebagai salafussoleh. Mereka adalah kelompok terbaik di dalam sepanjang sejarah Islam. Mereka adalah tiga generasi Islam bermula dari zaman Rasulullah s.a.w. dan berakhir di pemerintahan al-Makmun di zaman Abbasiah. Itu adalah pendapat sebahagian ulama hari ini termasuklah seorang ulama Mesir, Dr. Jum'ah Amin Abdul Aziz.
Apa yang ada pada mereka sehingga mereka digelar golongan salafussoleh?
Mereka adalah generasi manusia yang hidup di tiga generasi pertama Islam. Mereka mempunyai manhaj tertentu di dalam akidah. Dengan manhaj itu mereka menafsirkan alam, kehidupan dan manusia berpandukan sumber Islam yang asli iaitu al-Quran dan Sunnah, jauh dari pengaruh falsafah Yunan dan falsafah-falsafah tamadun lain. Mereka membangunkan sistem ibadah di atas manhaj yang syumul dan umum hasil dari aqidah yang sejahtera dan praktik sunnah yang tepat. Mereka hanya memberikan wala' kepada Allah dan Rasul serta berjuang untuk menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi dengan manhaj dakwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka mempunyai manhaj haraki berpandukan manhaj dakwah Rasulullah s.a.w. yang mampu mengumpulkan seluruh umat di dalam satu kesatuan.
Adakah istilah salafi merujuk kepada zaman atau manhaj?
Jika istilah salafi merujuk kepada zaman, maka ianya sudah berlalu. Tidak ada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa mereka adalah salafi. Bahkan dakwaan bahawa mazhab Hanbali lebih salafi dari yang lainnya juga adalah tidak tepat. Sumbangan setiap pengasas mazhab yang hidup di zaman itu kepada umat adalah sama. Mereka saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Bahkan jika Imam Ahmad bin Hanbal masih hidup sekarang, kami yakin dia juga bersetuju dengan kesalafian imam-imam yang lain.
Jika istilah salafi merujuk kepada manhaj, maka sesiapa yang mengikuti manhaj tiga generasi tersebut di dalam praktik Islam maka merekalah salafi sebenar. Manhaj itu merangkumi tasawwur di dalam akidah, ibadah dan harakah dakwah.
Jadi persoalan seterusnya adalah apakah manhaj yang dipraktikkan oleh generasi itu?Madrasah an-Nas dan Salafi
Sebahagian menghadkan manhaj tersebut kepada manhaj madrasah an-nas sahaja atau kepada mazhab Ahmad bin Hanbal sahaja. Sesiapa yang mengikuti manhaj tersebut maka merekalah salafi. Itu yang menjadi punca sebahagian dari pendakwah Islam hari ini berusaha dengan usaha yang sungguh-sungguh untuk mengembalikan umat Islam kepada manhaj ini dan mengajak umat untuk menolak manhaj selainnya. Dengan erti kata lain mereka mula menolak ta’wil, menolak untuk menafsirkan nas berdasarkan ilal nas, menolak untuk membuat imbangan antara ruh nas dan lafaz, menolak untuk membuat imbangan antara zahir nas dan maqasid, menolak untuk membuat imbangan antara wasilah yang berubah dan hadaf yang thabit daripada nas, tidak meraikan perbezaan di antara lafaz majazi dan lafaz hakiki, tidak mengambil kita perubahan madlul lafaz dengan perubahan zaman dan lain-lain metodologi istinbat hukum dari nas yang digunapakai oleh aliran-aliran lain di dalam fiqh Islami.
Kami tidak bermaksud untuk merumitkan pembaca dengan istilah-istilah usul yang memeningkan. Apa yang ingin kami terangkan di sini adalah madrasah an-nas adalah satu aliran dari pelbagai aliran di dalam fiqh. Apa yang menjadi methodologi madrasah an-nas ini juga tidaklah tepat seperti mana yang mereka fahami. Kalau sekiranya mereka mengikuti aliran madrasah an-nas ini dengan betul, mereka tidak akan menolak aliran-aliran yang lain kerana pelopor madrasah an-nas ini juga tidak pernah menolak methodologi aliran lain.
Dengan itu kami tegaskan di sini bahawa manhaj tiga generasi awal Islam itu tidak hanya terbatas kepada madrasah an-nas sahaja. Sebaliknya ia merangkumi kesemua aliran di dalam fiqh Islami.
Di sini mungkin membantu pembaca untuk memahami aliran-aliran fiqh pada tiga generasi itu dengan membentangkan sedikit ringkasan sejarah aliran-aliran fiqh sehingga membawa ke pembentukan mazhab-mazhab.
Sesudah kewafatan Rasulullah s.a.w., para fuqaha’ di kalangan sahabat r.a. bertebaran di negara-negara Islam. Ibnu Abbas r.a. menetap di Mekah dan mempunyai murid-muridnya yang tersendiri. Abdullah bin Omar r.a. menetap di Madinah dan membentuk madrasahnya dan anak-anak muridnya. Ibnu Mas’ud r.a. tinggal menetap di Kufah dan mempunyai murid-muridnya sendiri. Setiap mereka mempunyai pendekatan yang tersendiri di dalam ijtihad dan istinbat hukum.
Fuqaha’ dua tanah haram, Mekah dan Madinah lebih berpegang kepada nas dan jarang melihat kepada maqasid (rahsia dan maslahat hukum di sebalik zahir nas) berbeza dengan fuqaha’ Iraq yang lebih melihat kepada maqasid. Mungkin disebabkan tidak banyak masalah baru yang timbul di dua tanah haram berbanding Iraq, bumi baru yang dibuka oleh orang Islam dengan majoriti masyarakatnya adalah orang-orang yang baru memeluk Islam, menjadikan mereka mengambil pendekatan sedemikian.
Dari situ muncullah madrasah an-nas yang dipelopori oleh fuqaha’ dua tanah haram dan madrasah ar-ra'yu (satu methodologi yang diambil oleh sebahagian ulama’ di dalam melakukan istinbat hukum tidak secara langsung dari zahir nas tetapi banyak melihat kepada maqasid (rahsia dan maslahat hukum di sebalik zahir nas) yang dipelopori oleh Abdullah bin Mas’ud r.a. di Kufah.
Selepas itu di zaman tabi’ien, muncul beberapa orang fuqaha’. Di antara mereka adalah Said bin al-Musayyib di Madinah, Ato’ bin Rabah di Mekah, al-Nakhaie dan as-Sya’bi di Kufah, Hasan al-Basri di Basrah, Makhul di Syam dan Towus bin Kaisan di Yaman. Setiap mereka dipengaruhi pendekatan fuqaha’ di kalangan sahabat r.a. di tempat masing-masing. Said bin al-Musayyib misalnya lebih cenderung kepada fuqaha’ dua tanah haram. Manakala al-Nakhaie lebih cenderung kepada aliran ijtihad dan istinbat Abdullah bin Mas’ud di Iraq.
Fuqaha’ di zaman tabi’ tabi’ien pula membentuk ranting-ranting aliran fiqh dan mengembangkannya dari keadaannya di zaman tabi’ien. Lahirlah fuqaha’ di negara-negara Islam dalam bentuk yang lebih luas seperti al-Laith bin Saad di Mesir, al-Auza’ie di Syam, Imam Malik dan Ibnu al-Majisyun di Madinah, Ibnu Juraih di Mekah, Abu Hanifah, Sufyan al-Thauri, Ibnu Abi Laili di Kufah, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Syafie.
Di atas perbezaan methodologi seorang imam dengan seorang yang lain, lahirlah mazhab-mazhab Islam di dalam Islam. Ulama’ Islam tidak pernah menghadkan istilah golongan salafussoleh itu kepada Imam Ahmad bin Hanbal atau mana-mana fuqaha’ dari madrasah an-nas sahaja. Sebaliknya semua mereka mengiktiraf kesemua aliran di dalam fiqh tersebut.
Dengan itu adalah amat tidak tepat apabila seseorang melabelkan dirinya salafi hanya kerana dia berpegang dengan madrasah an-nas dan melabelkan orang lain tidak salafi hanya kerana orang itu berpegang dengan madrasah ar-ra’yu. Kedua-dua aliran ini adalah aliran yang diiktiraf di dalam Islam.Pengikut Aliran Madrasah ar-Ra’yu Tidak Salafi?
Sememangnya terdapat satu syubhat yang ditimbulkan kepada aliran madrasah ar-ra’yu ini. Di antaranya adalah syubhat yang dilemparkan kepada Imam Abu Hanifah yang dikatakan hanya meriwayatkan hadis sebanyak 17 hadis sahaja dan Imam Malik yang dikatakan hanya meriwayatkan hadis sebanyak lebih kurang 300 hadis sahaja di dalam Muwatto’. Mereka membandingkannya dengan Imam Ahmad bin Hanbal yang meriwayatkan di dalam Musnad sebanyak 30,000 hadis. Dengan itu mereka mengatakan bahawa aliran madrasah ar-ra’yu tidak salafi kerana terlalu banyak bergantung kepada kajian maqasid dengan menggunakan akal dan tidak bersandar kepada hadis.
Dakwaan kelemahan Imam Abu Hanifah dan imam-imam lain di dalam ilmu hadis bukanlah dakwaan yang tepat. Apa yang mereka katakan adalah riwayat yang diriwayatkan oleh Ibnu Khaldun di dalam Mukadimahnya. Riwayat itu kemudian disangkal sendiri oleh Ibnu Khaldun. Beliau mengatakan:“Imam Abu Hanifah tidak banyak meriwayatkan hadis kerana beliau ketat di dalam syarat riwayat dan tahammul. Beliau juga akan mentadhiefkan hadis apabila ianya bertentangan dengan akal secara qat’ie. Dengan itu beliau tidak banyak meriwayatkan hadis. Bukan kerana beliau sengaja tidak meriwayatkan hadis. Jauh sekali dari beliau melakukan demikian. Di antara bukti bahawa beliau adalah di antara mujtahid agung di dalam ilmu hadis adalah ulama’-ulama’ hadis bersandar kepada mazhabnya.”
Begitu juga jika sekiranya kita menyelusuri susur galur madrasah ar-ra’yu ini kita akan mendapati bahawa ianya lahir dari ulama’-ulama’ hadis juga.
Ketika Abdullah bin Mas’ud r.a. mengasaskan aliran ini di Kufah, menetap di Kufah bersama-sama dengan beliau beberapa orang sahabat r.a. yang lain seperti Saad bin Abi Waqqas r.a., Huzaifah r.a., Ammar r.a., Salman r.a. dan Abu Musa al-Asyari r.a. Bahkan ketika Saidina Ali r.a. berpindah ke Kufah, beliau gembira melihat keadaan Kufah yang dipenuhi oleh fuqaha’. Generasi sahabat seperti mana yang kita ketahui adalah generasi yang menerima hadis secara langsung dari Rasulullah s.a.w.
Generasi selepas itu adalah generasi yang menghimpunkan di antara aliran fuqaha’ Kufah dan aliran madrasah an-nas dari Abdullah bin Abbas r.a. di Mekah. Di antaranya adalah Said bin Jubair.
Daripada generasi inilah Ibrahim bin Yazid al-Nakhie, seorang tabi’ien menuntut ilmu. Beliau adalah seorang ulama’ hadis yang dikatakan oleh al-A’masy, seorang ulama’ hadis: “Setiap hadis yang aku bentangkan kepada Ibrahim aku akan dapati pada beliau sesuatu ilmu.” Al-Nakhie juga pernah berkata: “Tidak akan betul pendapat tanpa hadis dan tidak akan betul hadis tanpa pendapat.”
Anak murid al-Nakhie adalah Hammad. Beliau adalah anak murid yang diiktiraf oleh al-Nakhie sebagai pewaris ilmunya. Beliau pernah ditanya oleh orang ramai: “Kepada siapakah kami akan bertanya selepas Tuan.” Beliau menjawab: “Tanyalah Hammad.”
Imam Abu Hanifah adalah anak murid Hammad. Dengan itu kita simpulkan bahawa ilmu Abu Hanifah adalah ilmu yang diwarisi dari Hammad, dari al-Nakhie dan dari fuqaha’ Kufah dari kalangan sahabat r.a.
Lalu dari manakah terletaknya kekuatan hujah mereka ketika mereka mendakwa bahawa pengikut aliran madrasah ar-ra’yu sebagai tidak salafi?Memerangi Bid’ah dan Salafi
Sebahagian menghadkan manhaj tersebut kepada praktik Islam dalam bentuknya yang asli tanpa sebarang campur aduk. Keaslian tersebut ditafsirkan sebagai praktik Islam sebagaimana yang dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w. tanpa ada sebarang tambahan. Jadi mereka berusaha untuk mematikan sebarang amalan dan praktik umat Islam yang tidak pernah ada pada pandangan mereka di zaman Rasulullah s.a.w.
Kemungkinan ini mempunyai kaitan dengan sejarah hidup Imam Ahmad bin Hanbal yang terpaksa berhadapan dengan bid’ah golongan Muktazilah di zaman Khalifah al-Ma’mun. Golongan Muktazilah mengatakan bahawa al-Quran adalah makhluk dan Imam Ahmad bin Hanbal bermati-matian berusaha melawan bid’ah tersebut sehingga beliau dipenjarakan. Ia juga kemungkinan mempunyai kaitan dengan usaha mematikan bid’ah yang dilancarkan oleh Muhammad bin Abdul Wahab di Semenanjung Tanah Arab.
Daripada kedua-dua mereka, difahami bahawa memerangi bid’ah dan menyucikan Islam dari sebarang campuran adalah salah satu unsur yang penting di dalam manhaj salafi.
Terdapat nas yang jelas di dalam al-Quran dan hadis yang memerintahkan kita menjauhkan diri dari bid’ah dan mempraktikkan Islam dalam bentuknya yang bersih dan tidak bercampur baur. Di antaranya adalah firman Allah:“…oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (An-Nur: 63).
Di antaranya lagi adalah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a.:“Sesiapa yang melakukan amalan baru yang tidak ada dalam agama ini maka ia adalah tertolak.” (Riwayat Muslim)
Bid’ah mula timbul di zaman Saidina Ali r.a. Dengan masalah yang menimpa umat Islam sehingga membawa kepada pembunuhan Saidina Osman r.a., berlakunya peristiwa Unta dan peristiwa Siffin lahirlah golongan Khawarij, Syiah dan Murjiah. Setiap golongan ini membawa bid’ah yang mewakili kumpulan masing-masing. Di akhir zaman Bani Umayyah, muncul Ma’bad al-Jahni dengan fahaman qadariah (segala yang berlaku dengan ketentuan manusia). Ini disambung pula oleh anak murinya, Jahm bin Sofwan yang mencipta bid’ah ta’til (menafikan nama dan sifat bagi Allah). Kemudian datang pula giliran Muktazilah yang membawa lebih banyak bid’ah kepada umat setelah mereka terkesan banyak dengan falsafah Yunan.
Selepas dari itu satu demi satu bid’ah muncul dengan bentuknya yang pelbagai. Sehinggalah pada hari ini, umat Islam mempraktikkan Islam yang sudah bercampur dengan pelbagai bid’ah. Di antaranya percampuran lelaki perempuan dengan batasan yang terlalu longgar, fesyen-fesyen yang mendedahkan aurat, berhukum dengan hukum lain dari syariat Islam dan takrifan semula terhadap jihad dengan satu takrifan yang mengelirukan. Semuanya sudah diterima sebagai budaya dan cara fikir. Ini semua adalah bid’ah.
Kami amat-amat bersetuju jika golongan yang mendakwa mereka salafi ini memerangi bid’ah-bid’ah di atas. Kami menyokong sepenuhnya usaha mereka. Bahkan kami juga sedang berusaha ke arah yang sama seperti mereka.
Apa yang mendukacitakan adalah apabila takrif bid’ah itu diluaskan sehingga dimasukkan sekali di dalam takrif tersebut beberapa amalan seperti sambutan maulid Nabi, bacaan Yasin di malam Jumaat dan lain-lain. Amalan-amalan tersebut tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam kategori bid’ah yang sepatutnya diperangi. Ia mungkin bukan amalan yang afdhal, tetapi khilaf ulama’ di dalam membincangkan amalan-amalan ini masih berterusan sehingga ke hari ini. Lahirnya pandangan yang mengatakan harus dan sebagainya mengajak kita untuk bersikap berlapang dada dan menghimpunkan umat Islam di dalam satu kesatuan bukannya melahirkan pemisahan di antara pengikut pandangan yang pelbagai.
Itu yang kita dapati berlaku di sepanjang sejarah Islam dalam usaha ulama’-ulama’ Islam memerangi bid’ah. Apa yang mereka perangi adalah bid’ah yang sudah disepakati hukum haramnya. Manakala mana-mana amalan yang masih khilaf mereka tidak memeranginya sebaliknya mereka mengambil sikap berlapang dada di dalam masalah itu.
Bid’ah di dalam Islam tidak dikategorikan kepada satu kategori sahaja. Ini adalah pendapat ulama’ salaf sendiri. Di antara mereka adalah Imam Syafie yang membahagikan bid’ah kepada bid’ah hasanah (baik) dan bid’ah saiyi’ah (buruk). Itu juga adalah pendapat Abdullah bin Omar r.a., di antara pelopor madrasah an-nas sebagaimana yang kami ceritakan sebelum ini. Di dalam satu athar yang diriwayatkan oleh Mujahid katanya:“Aku, Zubair dan Urwah memasuki masjid. Abdullah bin Omar r.a. ketika itu berada di tepi bilik Aisyah r.a. dan orang ramai sedang mengerjakan solat Dhuha secara berjemaah. Kami bertanya kepadanya tentang solat mereka lalu beliau r.a. menjawab: “Itu adalah bid’ah yang baik.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Dengan tasawwur inilah kami melihat pemikiran salafi yang sebenarnya. Ramai lagi ulama’ lain yang mengambil pendekatan yang sama di dalam mengkategorkan bid’ah tetapi kami tidak kemukakan pandangan mereka di sini kerana mereka adalah ulama’-ulama’ yang kemungkinan tidak diterima oleh golongan yang mendakwa mereka salafi.Tiada Taqlid: Praktik Islam Secara Langsung Dari Nas Tanpa Rujuk Kepada Fuqaha’
Ini juga kemungkinan adalah salah satu pendekatan yang difahami oleh golongan ini sebagai manhaj salafi yang sebenarnya. Sesiapa yang tidak mengambil pendekatan ini, mereka bukan salafi. Dengan itu mereka berusaha untuk menghapuskan budaya taqlid kepada mazhab tertentu yang menjadi amalan majoriti umat Islam pada hari ini. Mereka melaung-laungkan slogan tidak bermazhab dan mendesak umat untuk mengkaji al-Quran dan hadis secara langsung.
Kami menyetujui usaha mereka untuk meningkatkan kemampuan seseorang sehingga sampai ke peringkat ijtihad dan mampu mengeluarkan fatwa. Tetapi di masa yang sama kami tidak menolak keperluan taqlid kepada majoriti umat Islam pada hari ini.
Ingin kami kongsikan di sini, ijtihad dan fatwa bukanlah kemahiran yang boleh dicapai dalam sehari dua. Ia adalah proses yang panjang dan tidak mudah. Ibnu Solah, seorang ulama’ hadis yang terkenal pernah ditanya adakah Imam al-Juwaini, Imam al-Ghazali, Imam Abu Ishak sampai ke peringkat ijtihad mutlak atau pun tidak? Beliau menjawab:“Mereka tidak sampai ke peringkat ijtihad mutlak. Sebaliknya mereka hanya sampai ke peringkat ijtihad muqayyad di dalam mazhab Syafie. Ijtihad mutlak adalah satu tahap yang dicapai jika seseorang itu mampu mengeluarkan hukum syarak dari dalilnya tanpa taqlid. Ijtihad muqayyad adalah satu tahap yang dicapai jika seseorang itu mahir di dalam mazhab mana-mana imam sehingga dia mampu untuk mengeluarkan hukum terhadap sesuatu yang tidak disebut oleh imam itu setelah dikiaskan dengan hukum yang disebut oleh imam itu berdasarkan kaedah dan usul mazhab imam tersebut.”
Dari kata-kata beliau kita dapat fahami kesukaran untuk menjadi seorang mujtahid. Itu juga adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal ketika beliau berkata:“Tidak seharusnya seseorang itu mengeluarkan fatwa sehinggalah dia memiliki lima perkara: Hendaklah dia mempunyai niat (ikhlas) kerana jika dia tidak berniat, dia tidak akan mendapat petunjuk dan kata-katanya juga tidak akan mendapat petunjuk. Dia hendaklah berilmu, lembut dan tenang. Dia hendaklah mempunyai kekuatan terhadap masalah fatwanya dan mempunyai ilmu terhadap masalah tersebut. Dia hendaklah mempunyai kemampuan jika tidak dia akan diperdaya oleh manusia. Dia hendaklah mengenali manusia.”
Kesukaran berfatwa dan ijtihad inilah sebenarnya yang membenarkan taqlid kepada mana-mana mazhab dipraktikkan di dalam umat hari ini. Bahkan amalan taqlid itu juga sebenarnya dipraktikkan oleh generasi umat sebelum ini.
Al-Amidi di dalam kitab al-Ihkam berkata:“Ada pun ijma’ terhadap masalah ini adalah kerana orang awam di zaman sahabat r.a. dan tabi’ien terus menerus bertanyakan fatwa dari kalangan mujtahid dan mengikut pendapat mereka di dalam permasalahan hukum syara’. Ulama’ di kalangan mereka bersegera menjawab segala pertanyaan tanpa mendatangkan dalil. Ini adalah ijma’ bahawa seorang awam harus bertaqlid kepada seorang mujtahid mutlak.”
Penduduk dua tanah haram mempraktikkan mazhab Abdullah bin Omar r.a. dan anak muridnya untuk satu tempoh yang panjang tanpa dibantah oleh mana-mana ulama’ pada zaman itu. Seterusnya Ato’ bin Robah dan Mujahid memberi fatwa kepada penduduk Mekah untuk satu tempoh yang panjang. Wakil khalifah pada masa itu melaungkan: “Tidak ada seorang pun yang akan berfatwa kepada orang ramai selain dari dua orang imam ini.” Keadaan tersebut berjalan tanpa dibantah oleh mana-mana ulama’ pada zaman itu.
Imam Ibnu al-Qayyim, anak murid Ibnu Taimiyah, seorang ulama’ yang menjadi rujukan golongan ini berkata:“Harus bertaqlid bagi seseorang yang belum sampai ke peringkat ijtihad. Dia hendaklah mengikuti seorang imam, meminta petunjuk darinya dan bertaqlid kepadanya di dalam masalah halal dan haram. Orang seperti ini tidak boleh mengeluarkan fatwa kepada manusia walau pun dia mempunyai banyak kitab hadis.”
Ini adalah pendapat yang tepat. Pendekatan memaksa umat Islam; yang cerdik dan tidak cerdik untuk merujuk terus kepada al-Quran dan hadis adalah satu bebanan yang tidak perlu ditanggung oleh umat. Bagaimana mampu rakyat Malaysia mengeluarkan hukum untuk amalan dirinya sendiri secara langsung dari al-Quran dan hadis sedangkan dia masih lagi tidak mampu untuk membaca al-Quran dengan tajwid yang betul dan membaca hadis dengan baris yang betul?Kesimpulan
Banyak lagi isu berkaitan salafi ini yang boleh dibincangkan. Kami belum lagi menyentuh tentang salafi dan Ikhwan Muslimin. Ia juga merupakan satu topik yang panjang diperdebatkan di Saudi satu ketika dahulu dan baru-baru ini bahangnya sampai ke tanah air kita ini. Ia berkait dengan isu bai’ah, konsep amal jama’ie, fikrah haraki dan isu-isu lain yang terlalu banyak untuk ditulis di sini.
Apa yang dapat kami simpulkan di sini adalah istilah salafi sebenarnya telah disalah gunakan oleh sebahagian pihak. Penyalahgunaan istilah tersebut telah membawa kepada munculnya khilaf fiqhi yang panjang dan budaya salah menyalah di antara satu sama lain. Masing-masing akan mempertahankan kebenaran yang dilihatnya ada pada pihaknya dan tidak ada pada pihak lain.
Alangkah baiknya jika sekiranya kita semua mampu untuk berlapang dada di dalam masalah-masalah furu’ dan melakukan perbincangan ilmiah yang bersih dari sebarang sentimen dan emosi. Penyatuan dan penerimaan methodologi berfikir juga adalah jalan yang perlu kita rentasi bersama untuk mencapai kesatuan pemikiran dan umat. Berikanlah hak kepada semua pihak untuk mempraktikkan apa yang dilihatnya sebagai Islam selagi mana ianya tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Amalkanlah Islam yang syumul dan umum yang mampu menyatukan bukannya Islam yang sempit yang hanya melahirkan kumpulan-kumpulan.
Wallahu al-Musta’an
---
Ditulis oleh Ustaz Muhammad Fauzi dengan dilakukan sedikit pengolahan pada format perenggan bagi memudahkan lagi pembacaan.
Label: cara dakwah, jemaah, khalaf, salaf, wahhabi
Beberapa Pengamatan Awal Tulisan ‘Sejarah Perkembangan Gerakan Tajdid Di Tanah Melayu’ oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Farouk Musa
Dicatat oleh Tawel Sensei di 11:07 PTGKertas yang dirujuk merupakan suatu usaha untuk memaparkan sejarah perkembangan kefahaman agama di tanah air kita, ianya adalah suatu usaha yang diharapkan dapat mendatangkan kebaikan dan meluruskan kefahaman kita tentang perkara yang dibincangkan.
Hanya terdapat beberapa ‘tanda-tanya’ di dalam kertas tersebut yang sekiranya ia dapat dijawab dengan baik oleh Dr. Farouk, maka kertas tersebut akan merupakan suatu sumbangan kepada pemurnian kefahaman sejarah bangsa kita. Dan sekadar usaha tambahan agar nilai kertas tersebut menjadi lebih baik, maka dibawah diperturunkan beberapa pengamatan awal tentang ‘tanda-tanya’ yang dimaksudkan, semoga Allah mentaqdirkan natijah yang sebaiknya serta mendapat respon yang hangat mesra dari penulisnya Dr. Farouk dan kira-kira di sisi Allah ianya sebagai suatu usaha islah yang diberi manafaatnya di Hari Akhirat nanti. Amin.
1- Definisi tajdid.
Dipetik definisi yang dikatakan diberi oleh Syaikh Yusuf al-Qardawi, yakni tajdid “ialah memperbaharui agama dan mengubahnya agar sesuai dengan zaman”.
Secara amnya kita semua bersetuju maksud tajdid itu ialah memperbaharui semula aqidah, amalan dan semangat agama yang mana-mana telah luntur agar segar semula berdasarkan aqidah, amalan dan semangat agama yang ada pada zaman Rasulullah SAW dan salaf as-soleh.
Tetapi ‘mengubahnya agar sesuai dengan zaman’ itu adalah suatu keganjilan walaupun kita memang menerima keanjalan ajaran Islam serta kesesuaiannya sehingga akhir zaman, ini adalah suatu takrifan yang sukar dihadam kerana bagaimana hendak kita fahamkan kedudukannya dengan isyarat-isyarat al-Quran yang jelas yang bermaksud “kamu sekali-kali tidak akan dapati Sunnah Allah (termasuk ketentuan agama-Nya ) berubah (istilah tahwila atau tabdila)”. (al-Fatir:43)
Perubahan pada perkara-perkara teras agama, baik dari segi aqidah, amalan dan semangat adalah suatu proses decadence dan bukannya evolution (pertukaran yang bergerak ke arah penyesuaian dan kesempurnaan). Takrifan ini walaupun datangnya dari seorang ulama yang kita semua hormati, perlulah diletakkan di atas qistas al-mustaqim, agar kita berlaku adil kepada sejarah kita; apa lagi apabila ianya dipetik dari tulisan terjemahan. Semoga ianya didatangkan dengan niat mencari kemurnian faham bukan untuk memenangkan aliran-aliran tertentu.
Apakah kita perlu terikat dengan ketat kepada takrifan seorang ulama yang dihormati, sedangkan nas-nas yang kita fahami tidak selari dengan takrifan tersebut? Sudah tentu Dr. Farouk boleh bersetuju agaknya, sekiranya kita dianjurkan oleh ‘gerakan tajdid’ supaya tidak terikat kepada huraian ulama mazhab, maka sudah tentu perbincangan tentang ‘Sejarah Gerakan Tajdid’ juga perlu kembali kepada ‘primary dan secondary sources’ yang boleh dipertanggung-jawabkan, bukan sekadar bertaqlid kepada penulis-penulis terdahulu. Itu piawaian yang diterima oleh golongan yang masih bermazhab seperti pencatit ini. Mungkin munasabahnya, piawaian Dr.Farouk lebih ketat dan lebih cermat lagi.
2- Dalam perkara 2, 'Sejarah Ringkas Gerakan Tajdid di Tanah Melayu', Dr.Farouk menyebut:“Sejak kehancuran kuasa politik ummat Islam di Laut Mediterranean, tamadun Islam juga turut hancur”
Siapakah selain daripada Dr. Farouk yang seberani beliau untuk mengumumkan bahawa tamadun Islam telah hancur? Apakah Dr. Farouk menghalusi maksud perkataan ‘hancur’ dan juga maksud ‘tamaddun’? Pihak pengkaji dan cendiakawan barat yang membincangkan tamadun-tamadun dunia hari ini masih menyebut tentang ‘Islamic civilization’, umpama dalam tulisan yang Samuel Huntington iaitu The Clash of Civilization. Mungkin penganut Islam telah kehilangan kuasa politik, mungkin umat Islam terkebelakang dari segi kemajuan dan pengetahuan, tetapi ummah ini masih mempunyai tamadun yang hidup.
Tentang pengertian tamaddun, yang dihurai oleh Dr. Naguib al-‘Attas mungkin terlalu klasikal bagi Dr. Farouk, tetapi memadailah huraian Dr. Albert Schweitzer dalam buku masyhurnya Ethics and Civilization yang membezakankan fenomena ‘material progress’ yang berpaksikan kebendaan dengan ‘civilization’ yang berpaksikan kemanusian. Lihatlah juga tulisan Toynbee dalam Civilization on Trial sebagai perbandingan, walaupun Dr. Farouk mahu berijtihad dalam bidang ini sekalipun!
Kemudian Dr. Farouk menterjemahkan ayat 140 Surah Ali-Imran sebagai:Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran).
Terjemahan Dr. Farouk ini adalah terjemahan yang agak ganjil, bahkan ianya lebih merupakan tafsir Dr. Farouk sendiri terhadap ayat ini, yang mungkin sesuai dengan apa yang dia ingin canangkan. Dr. Farouk mungkin dapat berhujjah dengan terjemahannya dari ayat ini, tetapi pengertian ayat ini sendirilah yang menerima akibat dari ijtihad Dr. Farouk itu. Ayat ini dan ayat sebelumnya mungkin lebih adil diterjemah sebagai:Dan jangan kamu merasa lemah (dalam menghadapi serangan orang kafir) dan jangan pula bersedih hati (di atas musibah yang menimpa kamu), padahal kamu adalah orang-orang yang tertinggi kedudukannya) sekiranya kamu adalah orang-orang yang beriman. Jika kamu mendapat luka-luka (kecederaan dalam peperangan Uhud), maka sesungguhnya golongan kafir itupun telah mendapat luka-luka (cedera) yang serupa. Dan demikianlah hari-hari itu Kami pergilirkan (masa menang dan kalah) di antara manusia, supaya Allah mengetahui (secara lahiriah) orang-orang yang beriman (secara ikhlas dan yang tidak) dan supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.
Sudah tentu di dalam ayat ini, hampir semua pihak dapat memahaminya dengan melihat kepada asbabu an-nuzul dan urutan ayat-ayat di sekitarnya. Ianya merakamkan naik-turun dalam perjuangan dan kehidupan, ada masa kalah ada masa menang, ada hari senang ada hari susah, musim kuat dan musim lemah; begitulah kitaran kehidupan. Tetapi yang menentukan kedudukan secara hakikinya ialah ‘ketulusan di dalam iman’ dan ‘sikap sedia untuk berkorban kerana agama’. Ayat ini merupakan ayat kaunseling, ayat yang memberi ketahanan dan ketenangan kepada orang yang beriman ketika menghadapi hari-hari muram. Tidak terbayang secara zahirnya dari ayat ini tentang dua keadaan yang extreme ‘kejayaan atau kehancuran’ yang dimaksudkan oleh Dr. Farouk itu.
Seakan-akan Dr.Farouk mengambarkan keadaan ummat ini hanya dalam dua suasana, berjaya atau hancur, berada di nombor satu atau paling tercorot, tanpa pertimbangan untuk meletakkannya pada suasana lemah, tidak memuaskan, kalah atau seumpamanya. Apakah yang dapat diharapkan pada ummat dan tamaddun ummat yang telah hancur? Tentunya segala usaha ijtihad dan tajdid tidak akan memberi apa-apa kesan, kecualilah kita merubah paradigma itu kepada yang lebih mempunyai variasi, yakni menerima ummat kita berada di dalam keadaan mundur, terkebelakang dan lemah, tetapi belum hancur dan masih mampu dipulihkan sebagaimana yang telah terdapat isyarat-isyaratnya di dalam hadith Rasulullah SAW.
Lagipun agar sukar untuk dihadam oleh pemikiran seorang yang sederhana pendiriannya yang ummat yang disebut Allah sebagai ‘Khairu al-Ummah’ dan ‘Ummatan Wasatan’ yang dijadikan ‘syuhada ‘ala an-nas’ itu telah menemui kehancurannya, sedangkan kitab mereka disebut Allah:Sesungguhnya Kami yang menurunkan az-Zikra (al-Quran), dan sesungguhnya Kami yang menjaganya”.(al-Hijr:9) Ummat ini juga diisyaratkan di dalam hadith-hadith fitnah di akhir zaman yang mereka akan terus berjuang di atas kebenaran. Mereka akan memperolihi ketinggian sekali lagi sehinggalah kepada masa yang ditentukan oleh Allah sebelum berlakunya Qiyamat.
3- Dalam bahagian ke 3, ‘Tokoh-tokoh Generasi awal Gerakan Islam’, Dr. Farouk sekali lagi membuat penyataan yang disesuaikan oleh beliau mengikut lenggok perbahasan yang beliau kehendaki, tanpa sangat memberi tumpuan untuk menentukan apa yang diungkap beliau itu tepat dan benar. Beliau mengatakan :Gerakan tajdid berusaha menentang pencemaran agama Islam oleh pengaruh adat resam serta taqlid buta, serta penentangan terhadap segala bentuk penjajahan baik yang merupakan penjajahan pemikiran mahupun penjajahan tanah air.
Apabila kita berbicara tentang usaha tajdid dan sejarah para mujaddid, kita akan jumpai sebahagian besar ulama beranggapan yang Saiyyidina Umar bin Abdul Aziz RD, khalifah Umayyah itu sebagai mujaddid yang pertama bagi ummat ini, kemudian ramai di kalangan ulama yang beranggapan Imam as-Syafi’e RD sebagai mujaddid kurun kedua bagi ummat ini. Di manakah kita mahu meletak mereka berdua dan juga ulama-ulama lain yang dianggap mujaddid pada kurun mereka masing-masing sekiranya digunakan criteria yang dikemukan oleh Dr.Farouk tersebut?
Di antara tulisan semasa yang membicarakan tokoh-tokoh mujaddid dalam sejarah ummah ini ialah buku 'The Saviour Of Islamic Spirit' oleh Maulana Abu Hassan an-Nadwi, tulisan ini dijadikan rujukan dan tersebar di dalam belbagai bahasa. Sudah tentunya perbincangan buku tersebut lebih berautoriti dari kriteria yang dikemukaan oleh Dr. Farouk, paling kurangnya.
Dr. Farouk meneruskan lenggokkannya dengan mengatakan:Tajdid dan reformasi yang dipelopori oleh Ibnu Taimiyyah (1263-1328M) dan diikuti oleh muridnya Ibnu al Qayyim al Jauziyyah (1292-1350M), kemudian dihidupkan kembali oleh Muhammad Abdul Wahab (1703-1787M)…
Di awal tulisannya, Dr. Farouk telah mendatangkan hadith Rasulullah SAW, yang diterjemah oleh beliau sebagai:Sesungguhnya Allah akan mengutuskan kepada umat pada awal setiap satu kurun, orang yang mentajdidkan bagi umatnya agamanya
Berdasarkan pengertian yang kita fahami dari hadith ini, sudah tentu agak kekok untuk membincangkan tentang usaha tajdid di kalangan ummah ini dengan memulainya dengan seorang tokoh besar kurun ke 8 Hijrah yang disebut oleh Dr.Farouk ‘tajdid dan reformasi yang dipelopori oleh Ibnu Taimiyyah; tanpa melihat kepada tokoh-tokoh yang terlebih awal kerana usaha tajdid adalah usaha yang ‘cyclic’, yang berlaku pada setiap awal kurun. Kemudian digambarkan usaha tajdid di kalangan ummah ini terputus untuk hampir 400 tahun, hanya kemudiannya dihidupkan semula oleh Syaikh Muhammd Ibn Abdul Wahab.
4- Dalam bahagian ke 4, Dr.Farouk membincangkan 'Perjuangan Para Mujaddid di Tanah Melayu'.
Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah kerana terdapat orang yang mempunyai sangka-baik, seperti Dr.Farouk, terhadap ahli ilmu agama di tanahair kita sehingga beranggapan yang mereka ini juga mencapai tahap mujaddid. Semoga sangka baik itu dapat bertepatan dengan keadaan yang sebenar, bukan waham yang terdorong oleh semangat ‘berpasukan’.
Dr.Farouk membuat pengamatan:Di antara seruan utama gerakan tajdid ialah dalam membebaskan pemikiran ummat daripada belenggu taqlid buta. Para mujaddid tersebut telah mengemukakan ide memerdekakan fikiran, membebaskan diri daripada belenggu adat-resam budaya dan masyarakat, kerana selama seseorang itu dibelenggu, selagi itulah akalnya buta dan jumud serta suka bertaqlid. Perjuangan mereka memerdekakan umat adalah penting kerana kemerdekaan politik, ekonomi dan masyarakat, bertitik tolak daripada pemikiran yang bebas.
Sekali lagi apakah benar seruan utama gerakan tajdid yang kita fahami dari isyarat hadith itu ialah membebaskan pemikiran ummat daripada belenggu taqlid buta? Sebelum itu apa yang dimaksudkan dengan ‘taqlid buta’? Apakah beramal ibadat dengan menggunakan huraian suatu mazhab yang tertentu sahaja itu taqlid buta yang harus diperangi, walaupun huraian itu murupakan huraian yang rajih (yang terpilih) di kalangan ulama mazhab tersebut?
Apakah seorang yang menemui nas-nas al-Quran dan hadith, tetapi beramal mengikut faham daripada dalil-dalil yang dikemukakan oleh ulama yang terdahulu, kerana mereka mengetahui terdapat perbezaan di antara nas dan dalil itu juga dianggap taqlid buta? Apakah ulama yang menemui nas tertentu tetapi tidak mengeluarkan pendalilan yang sendiri dari nas tersebut, malah mengikut huraian ulama terdahulu kerana merasakan huraian ulama terdahulu itu lebih tepat dan lebih mencakupi jangkauannya dianggap taqlid buta? Atau adakah orang awam yang tidak terdedah kepada ilmu-ilmu yang perlu secara mencukupi dan bersikap memada dengan huraian ulama mazhabnya dianggap taqlid buta yang harus diperangi?
Ketergantungan kita kepada huraian kefahaman dan analisa ulama terdahulu adalah sesuatu yang hampir-hampir tidak dapat ditanggalkan, sekiranya kita hanya memada dengan nas-nas al-Quran dan hadith untuk beramal , maka untuk menentukan kedudukan sesebuah hadith, sama ada sahihnya sehingga kepada maudu’nya, kita juga terpaksa bergantung kepada huraian ulama yang mengkaji rijal (perawi-perawi hadith); dan kita ‘telan’ apa yang mereka catitkan tentang perawi-perawi di dalam sesuatu sanad hadith itu.
Dan pada hari ini, ramai daripada golongan yang anti taqlid itu bertaqlid kepada huraian Sheikh Nasiruddin Albani di dalam menentukan kedudukan sesuatu hadith, walaupun sebahagian kenyataan Albani telah disanggah oleh ulama hadith yang lain, bahkan Albani sendiri pun mempunyai pandangan-pandangan yang bercanggah tentang satu hadith, atau seorang perawi yang sama di dalam kitab-kitabnya yang berbeza.
Apakah benar apabila seseorang itu tidak bertaqlid kepada mana-mana mazhab feqah, maka dia akan berfikiran merdeka dalam hal-hal lainnya? Adakah seseorang itu apabila dia bertaqlid dengan sesuatu mazhab feqah yang tertentu, maka fikiran dia akan terjajah dalam hal-hal lainnya? Adakah semua adat resam Melayu kita perlu dirungkai, bukankah sudah ada pengaruh Islam yang menyerap dan menjadi darah daging kepada adat-resam Melayu? Bukankah Rasulullah SAW sendiri tidak merombak adat-resam dan kebiasaan masyarakat Arab jahiliah yang tidak bertentangan dengan Islam, malah ianya diraikan dan dijernihkan berdasarkan ajaran Islam sehingga ia menjadi lebih halus dan berseni?
Apakah ianya sentiasa betul yang perjuangan memerdekakan pemikiran umat adalah penting kerana kemerdekaan politik, ekonomi dan kemasyarakatan bertitik tolak daripada pemikiran yang bebas?. Kemerdekaan dituntut oleh orang yang berjiwa patriotic, pejuang kemerdekaan tidak dibatasi atau ditentukan oleh sikap taqlid mazhab atau tidaknya. Kemerdekaan ekonomi adalah bab yang lain daripada ijtihad dan taqlid fiqhi. Sehingga sekarang belum ada kajian dan perangkaan yang menunjukkan bahawa kemerdekaan ekonomi, ataupun pencapaian ekonomi seseorang individu atau kelompak mempunyai hubung-kait dengan sikap terhadap taqlid dan ijtihad fiqhi Malah ada orang yang sangat berjaya pencapaian ekonominya daripada golongan bermazhab, ada dari golongan tidak bermazhab, ada dari golongan ajaran sesat dan ramai daripada golongan orang kafir, begitu jugalah disebaliknya
5- Dr. Farouk menyebut yang gerakan tajdid di tanah air adalah kesanimbungan perjuangan yang diasaskan oleh mujaddid ulung, Sheikh Muhammad Abduh serta muridnya Sayyid Rashid Redha.
Adalah agak keterlaluan untuk diungkapkan yang Sheikh Muhammad Abduh adalah mujaddid ulung. Lebih adil agaknya dikatakan Sheikh Muhammad Abduh adalah seorang ulama terkenal yang mengambil tempat sebagai seorang ulama yang berfahaman modernist dan bukanlah beliau seorang ulama berfahaman salafi. Beliau mengkagumi kemajuan kebendaan dan perkembangan kebebasan pemikiran yang berlaku di barat, sehingga terdapat tulisan-tulisan yang ‘menuduh’ beliau dan mentornya, Syaikh Jamaluddin al-Afghani, seorang tokoh yang masih diselimuti tanda-tanya. Termasuklah persoalan adakah mereka berdua benar-benar ahli lodge freemason? Lihat sebagai contoh buku yang ditulis oleh Dr. Abdul Naim Husnain, ketua jabatan bahasa timur di Universiti Ain Sham dan mantan dekan kuliah Bahasa dan terjemahan di Universiti al-Azhar 'Haqiqatu Jamaluddin al-Afghani'. Buku ini mengandungi salinan-salinan asli surat-menyurat Syaikh Jamaluddin al-Afghani. (diterbitkan oleh Dar al-Wafa, Mansurah, Masir. Cetakan pertama 1986).
Ramai juga cendiakawan Islam yang resah dengan sebahagian tafsir al-Quran yang dilakukan oleh beliau yang dilihat sebagai percubaan untuk menyesuaikan Islam dengan sains moden secara tohoran dan meminggirkan fahaman-fahaman tentang perkara-perkara ghaib. Hal ini berlainan dengan Syaikh Rashid Reda , walaupun merupakan pengikut Syaikh Muhammad Abduh, tetapi beliau menunjukkan kecenderungan salafi yang jelas dan antara lain telah menyusun kitab Majmu‘atu al-Hadithi an-Najdiyyati yang merupakan ta’liq kepada sembilan risalah dengan empat risalah ini daripada tulisan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab.
Dr. Farouk menyebut:Setelah kematian Sayyid Muhammad Rashid Reda, ‘al-Manar’ telah diteruskan oleh Hassan al-Banna. Beliau menjadi penyambung gerakan tajdid…
Kita tidak mengetahui sejauh manakah kebenaran dakwaan yang Imam Hassan al- Banna adalah penerus perjuangan Syaikh Muhammad Abduh dan Syaikh Sayyid Rashid Reda. Agaknya Dr. Farouk telah bertaqlid kepada penulis-penulis sebelum beliau, dan tidak membuat penilaian dengan menyelunsuri tulisan-tulisan Imam Hassan al-Banna itu sendiri. Imam Hassan al-Banna menghuraikan aqidah di dalam Majmu ar-Rasail-nya dengan huraian sebagaimana huraian ulama tradisional, bahkan menolak pegangan yang berdasarkan makna-makna zahir ayat-ayat tentang Sifat Allah, beliau mengambil sifat tafwid (menyerahkan makna dan kaifiat Sifat-Sifat Allah yang dipertikaikan) mengikut huraian Imam Abdul Rahman Ibnu Jauzi di dalam kitabnya yang menolak aliran hasyawiyyah mujassimah ‘Diffu as-Syubhah’.
Imam Hassan al-Banna juga di dalam kitab ‘Usul al-‘asyrin, jelas menggarap masalah taqlid dan ijtihad, khilafiyyah, tawassul dan lain-lain isu yang dipertikaikan dengan selayak dan selari dengan huraian ulama tradisional. Kemudian lihatlah juga di Majmu ar-Rasail-nya, Hadith ath-Thulatha yang sangat jelas mencerminkan pegangan dan perjalanan pemahaman serta dakwah Imam Hassan al-Banna. Kemudian eloklah dirujuk kepada tulisan-tulisan Imam Hassan Hudaibi untuk lebih menjadi jelas intipati perjuangan Ikhwan al-Muslimin.
Tidak hairan golongan salafi, seperi Syaikh Rabi al-Mudkhali, atau laman web seperti Allahuakbar.com yang diselenggara oleh golongan ini serta beberapa lagi tulisan dan laman-laman salafi yang lain telah menghentam Imam Hassan al-Banna dan Ikhwan al-Muslimin keseluruhannya, termasuklah hentaman ke atas Syaikh Said Hawwa, Syaikh Yusuf al-Qardawi, Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan Sayyid Qutb (bahkan mereka yang terpengaruh dengan Sayyid Qutb dinamakan aliran Qutubiyyah yang mereka sesatkan).
6- Adapun tentang Pendita Za’aba, kita semua akui sumbangan beliau yang besar kepada perjuangan bahasa dan bangsa Melayu.
Kita terhutang budi kepada beliau di atas jasa beliau yang cuba menyelaraskan ejaan jawi, yang sehingga kini dirujuk sebagai ejaan jawi Sistem Za’aba. Beliau adalah seorang cendiakawan besar bangsa kita. Kita akui kecenderungan beliau kepada fahaman ‘kaum muda’ dan sukakan pembaharuan serta beliau berkawan dengan A. Hassan Bandung. Bagaimanapun beliau bersikap liberal dan ‘agak longgar’ dalam fahaman dan amalan Islam. Sekiranya kita membaca riwayat hidup Za’ba serta tulisan-tulisan beliau, agaknya amat sukar untuk kita membuat kesimpulan beliau adalah seorang yang berfahaman salaf. Sepatutnya kita bertindak jujur terhadap sejarah dan pegangan seseorang itu, tanpa mengheret soal sebenar kerana mahu ditundukkan mengikut selera kita. (Antara lain saya manafaatkan buku ‘Pendita Za’ba Dalam Kenangan’ tulisan Abdullah Hussain dan Khalid Hussain, Terbitan DBP, 1974)
7- Dr.Farouk dalam tajuk Pembebasan Daripada Khurafat dan Bid’ah telah memetik Sheikh Abu Bakar al-Asya’ari yang menunjukkan haramnya beramal dengan amalan bid’ah dan khurafat. Sudah tentu keharaman kedua perkara ini telah disepakati oleh para ulama dan orang awam yang berpengetahuan secara amnya. Apa yang berbeza di kalangan ulama ialah kefahaman terhadap :i- apakah semua perkara yang Rasulullah SAW tidak perentah itu haram untuk diamalkan?
ii- apakah yang dimaksudkan dengan ‘kullu’[semua] di dalam hadith tentang kesesatan bida’ah? Apakah semua tanpa pengkecualian, atau kesemua dengan ada pengkecualian?
iii- apakah bid’ah yang terlarang itu terkhusus di dalam rubu ibadat sahaja atau kesemuanya?
iv- apakah kedudukan qiyas di dalam penentuan hukum di dalam syara?
v- apakah terdapat perbezaan di antara zahir nas dan pendalilan daripada nas tersebut?
vi- apakah ijtihad dan amalan khalifah ar-Rasyidin yang tiada warid jelas daripada Rasulullah SAW itu boleh dijadikan dalil syara?
Sudah tentu kita boleh mengambil sikap dan pendirian kita terhadap perkara-perkara yang disebut, tetapi kita patut terima memang terdapat kefahaman yang berbeza di kalangan ulama tentang perkara-perkara ini. Agaknya jika ada polemik yang ingin diteruskan pun tentang perkara-perkara ini, penyelesaiannya sukar dicapai sebagaimana ianya tidak mampu diselesaikan oleh ulama-ulama terdahulu daripada kita.
8- Di bawah sub-tajuk Kesedaran Pendidikan, Dr.Farouk bersemangat dalam menegaskan ‘Perjuangan gerakan tajdid di mana sahaja di atas muka bumi ini akan mendokong cita-cita untuk merubah masyarakat setempat’.
Ini adalah cita-cita besar dan slogan yang berani; kerana tidak ramai yang mempunyai kudrat untuk merubah masyarakat. Tetapi setiap Muslim sama ada mujaddid atau tidaknya berkewajiban secara fardu kifayah untuk mengislahkan masyarakatnya sedaya mungkin. Usaha mengislah masyarakat tidak sama dan tidak serupa dengan usaha merubah masyarakat. Merubah adalah kerja-kerja menukarkan sesuatu secara total (semada keseluruhan atau sebahagian) kepada sesuatu yang sama sekali lain dan mungkin pertukaran itu ke arah kebaikan atau keburukan. Ianya biasanya berbentuk revolusi . Pengislahan ialah kerja-kerja mengelokkan, meluruskan, membetulkan apa-apa yang tidak elok, tidak lurus atau tidak betul serta membiarkan elemen-elemen lainnya yang baik untuk berterusan bahkan mungkin ada elemen-elemen sedia ada yang disuburkan lagi. Sebagaimana yang dirakamkan di dalam al-Quran: ‘Tiada yang hamba inginkan kecuali pengislahan sedaya mungkin’. (Hud:88)
Kita hormati cita-cita besar Dr. Farouk dan rakan-rakan beliau, dan didoakan agar Allah membimbing kita semua di dalam memahami tabiat agama kita yang suci ini.
Adapun penekanan kepada kepentingan ilmu, terutama kepada ilmu-ilmu yang berkaitan kemajuan dunia bukanlah merupakan suatu yang khusus kepada kelompok gerakan tajdid sahaja, bahkan tokoh Melayu yang lebih awal dan lebih jelas memberi tekanan kepada penguasaan ilmu ialah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani (m.1908). Syaikh Ahmad menulis perkara ini di dalam kitabnya yang masyhur Hadiqatu al-Azhar, beliau menyarankan agar raja-raja Melayu, pembesar-pembesar serta hartawan agar membuka madrasah bagi pengajian lelaki dan perempuan.
Beliau menulis tentang peri-penting mempelajari bahasa-bahasa selain bahasa sendiri, termasuklah mempelajari Bahasa Inggeris. Beliau menekankan perlu pendokumentasian dan penyelidikan perubatan dan kegunaan pokok-pokok perubatan yang terdapat di Tanah Melayu sebagai yang ditulis di dalam Taiyyibu al-Ehsan. Beliau menekankan peri-pentingnya pembakuan Bahasa Melayu untuk mengelak ianya menjadi rosak, peri-pentingnya pendokumentasi sejarah bangsa dan perlunya dilaksanakan usaha-usaha untuk memajukan bangsa sebagaimana yang diungkap dalam syair yang dikarang indah yang ditujukan kepada Sultan Zainal Abidin II.
Beliau juga menekankan keberkesanan strategi di dalam gerak-kerja siyasah. Syaikh Ahmad bercita-cita untuk melihat negeri-negeri Melayu menjadi ‘bendaharaan ilmu, perladungan kepandaian’ (the treasure of knowledge and the reservoir of technologies). Antara jasanya yang besar ialah beliau merintis jalan bagi kerja-kerja percetakan bagi kitab-kitab Melayu dengan memohon izin daripada Sultan Abdul Hamid Kedua di Istanbul, dan kitab pertama dari usaha besar ini ialah Sabila al-Muhtadin karangan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang dicetak di percetakan milik kerajaan Uthmaniyyah.
Gagasan Syaikh Ahmad itu teruskan oleh murid-muridnya terutamanya di Kelantan, mereka telah membuka pondok-pondok, memulakan Madrasah Muhammadiyyah pada tahun 1918 yang mempunyai tiga aliran; Melayu, Arab dan Inggeris. Kelas Inggeris ini telah mendahului sekolah Inggeris kerajaan, Ismail English School, yang ditubuhkan pada tahun 1936. Mereka memulakan kerja-kerja penerbitan dengan menubuhkan Matbaah al-Miriyyah al-Kelantaniyyah, kemudian cambahlah aktiviti pengeluaran bahan bacaan di Kota Bharu, dan yang paling menonjol ialah Matbaah Majlis Agama Islam. Majlis Agama juga telah mengadakan jabatan penterjemahan yang khusus dipimpin oleh Tuan Guru Haji Omar Sg. Keladi bagi kerja-kerja menterjemah kitab-kitab dari bahasa Arab dan Inggeris. Kemuncak bagi kerja penerbitan ini ialah Majalah Pengasuh yang dikeluarkan pada 1918 dan dipimpin oleh Tok Kenali. Za’ba juga merupakan di antara penyumbang awal bagi isi kandungan majalah ini. Majalah ini telah menjadi gelanggang bagi perbincangan isu agama, pengetahuan, politik dan sosial yang terkedepan pada masa itu.
9- Kemudian Dr. Farouk membicarakan Pembebasan dan Emansipasi Wanita.
Dr. Farouk banyak memanafaat tulisan Dr. Farish Noor tentang peranan Syed Syaikh Al Hadi, yang disifatkan beliau ‘seperti para mujaddid yang lain pada zamannya berjuang untuk mematahkan monopoli golongan agama dan membuka semula pintu ijtihad’. Kemudian beliau menyebut ‘kritikannya [Syed Syaikh Abdul Hadi] pada ulama tradisional yang berkuasa adalah dalam bentuk penulisan yang kritis dan tajam seperti novel Hikayat Faridah Hanum. Di dalam kisah ini, Faridah Hanum digambarkan sebagai wanita yang rasional, progresif dan moden yang mampu melaksanakan kebebasan dan memilih dan menggunakan pemikirannya secara rasional. Faridah Hanum juga memiliki kekuatan memelihara diri dan kehormatannya serta mempunyai kawalan terhadap kehendak batinnya’.
Sudah tentu bagi orang yang pernah membaca Hikayat Faridah Hanum akan bersetuju yang mesej novel ini lebih kepada idea pembebasan wanita secara standard dan nilai barat daripada penonjolan wanita muslimah sebagaimana yang dituntut oleh syara sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Pengaruh gerakan emansipasi wanita secara kebaratan yang berkembang semasa itu di Masir telah mempengaruhi penerbitan novel ini lebih daripada ajakan untuk mentajdidkan agama dengan kembali kepada nilai-nilainya yang semurninya itu , iaitu sebagaimana yang difahami dan dihayati oleh generasi salaf. Bagaimana boleh tergamak kita senaraikan novel ini sederet dengan hasilan-hasilan ulama mujaddid seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Imam Syafi’ie, Imam Ghazali, Imam Sayuti, Imam Ahmad Sirhindi yang dikenali sebagai Mujaddid Alif Thani atau Imam Syah Waliyullah al-Dehlawi?
Dr. Farouk menyambung dengan nada tulisan yang yakin kepada diri sendiri:Sekiranya bukan kerana usaha dan perjuangan gerakan tajdid yang moden lagi progresif ini, niscaya masyarakat Melayu Islam yang berada di bawah kekuasaan golongan ulama tradisional tidak akan berubah sama sekali.
Apalah bezanya keadaan masyarakat Melayu di negeri Perlis yang dibawah kekuasaan (meminjam istilah Dr. Farouk) ulama golongan tajdid berbanding dengan masyarakat Melayu di negeri-negeri lain yang berada di bawah kekuasaan ulama tradisional? Seruan supaya bangsa Melayu memajukan diri dengan mengadakan madrasah yang mengajar belbagai ilmu, serta dibincangkan fadilat ilmu perubatan, fadilat ilmu tawarikh, fadilat mengetahui bahasa selain bahasa sendiri, fadilat ilmu siyasah dan tadbir, fadilat mempelajari sains dan teknologi semasa sebagai sumber kekuatan agama, mengesyorkan supaya berusaha memerentah tanahair sendiri merupakan seruan-seruan yang dibuat oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani. Syaikh Ahmad menyeru agar bangsa kita bergerak ke arah kemajuan ilmu dan kemahiran yang sentiasa berkembang serta mengekalkan kefahaman dan amalan amalan agama yang memang bersifat perennial.
Tidak hairanlah Majalah Pengasuh yang mendukung fahaman agama secara tradisional itu telah dijadikan medan untuk melontar dan memperkembang perbincangan untuk penubuhan universiti di tanah air, mengadakan bank yang berjalan di atas dasar syariat dan reformasi social di dalalm masyarakat pada awalam 1920-an lagi.
Dr. Farouk masih dengan nada yang yakin menyatakan:Merekalah yang telah mengajar bahawa kekuasaan barat tidak dapat dikalahkan dengan jampi serapah dan tangkal azimat. Atas usaha mereka itulah maka Gerakan Melayu Islam mula tersusun dalam bentuk Organisasi dan parti politik yang memperjuangakan kemerdekaan tanahair.
Dr. Farouk tidak menyebut rujukan bagi dakwaan hebatnya ini. Sedangkan sehingga kini yang kita ketahui mungkin antara gerak kerja orang Melayu secara berorganisasi bermula dengan penubuhan Jam’iyyatu al-Fataniyyah’di Makkah pada akhir kurun ke 19, yang kemudian menjadi model kepada penubuhan Jamiyyatu ar-Riyawiyyah di Pulau Riau dan Jamiyyatu al-Asriyyah di Kota Bharu pada awal kurun ke 20. Organisasi awal ini dianggotai oleh ulama-ulama tradisional.
Apakah adil untuk mengambarkan yang ulama tradisional mengajar orang awam yang kekuasaan barat dapat dikalahkan dengan jampi serapah dan tangkal azimat? Siapakah di antara ulama tradisional yang dimaksudkan oleh Dr. Farouk? Seandai yang dimaksudkan adalah seumpama kitab Urwatu al-Wusta karangan Syaikh Abdul Samad al-Falembani yang memuatkan wirid dan bacaan yang dianjurkan untuk diamalkan sebagai persiapan untuk jihad fi sabilillah, maka apakah itu tidak termasuk di dalam anjuran ‘dan apabila kamu bersemuka dengan gerombolan musuh, maka tetapkan pendirian dan berzikirlah kepada Allah dengan banyak semoga kamu akan memperolehi kemenangan’ (al-Anfal:45)
Syaikh Abdul Samad al-Falembani sendiri telah mengetuai pasukan jihad kerajaan Kedah menentang penaklukan Siam sehingga sampai ke kawasan Chenok, di utara Pattani. Di sanalah beliau menemui kesyahidannya dan sehingga kini kubur yang disemadikan kepalanya yang dipenggal itu masih terpelihara di bawah naungan cengal yang besar.
Begitu jugalah dengan sebahagian ulama tradisional yang telah berjuang dengan gigih menentang penjajahan seumpama Syaikh Daud Abdullah al-Fatani dan barisan ulama Pattani, para ulama Acheh bergenerasi, Syaikh Yusuf Taj al-Khalwati al-Makasari dan pengikutnya yang terbuang sehingga ke Ceylon dan Afrika Selatan, Raja Ali Haji yang masyhur dengan keberanian di medan tempur sehingga menmui syahid di Tanjung Ketapang, Syaikh Abdul Rahman Limbong, Terangganu yang dibuang negeri oleh pihak Inggeris ke Makkah. Mereka adalah ahli zikir, mereka adalah ahli kerohanian yang mengamalkan tariqah tertentu, mereka bertaqlid kepada kepada mazhab Imam Syafi’ie dan mereka adalah para mujahid yang berjuang. Perjuangan mereka tidak didesak dan dipengaruhi oleh tulisan-tulisan kaum muda, bahkan kepatuhan mereka kepada ajaran Islam secara tradisional itulah yang telah menjadi ruh kepada perjuangan dan jihad mereka.
Dr.Ibrahim Abu Bakar dari UKM telah membuat beberapa penelitian terhadap tulisan Syed Syaikh Al-Hadi, di antaranya di dalam kertas ‘Pemikiran Politik Muslim Modenis beranggapan dan Fundamentalis –Satu Perbandingan Ringkas’, Dr. Farouk mengambarkan seolah-olah yang Syed Syaikh al-Hadi dan ‘gerakan tajdid-nya yang bertanggung-jawab meniupkan semangat perjuangan kemerdekaan. Dr. Ibrahim mengatakan:
Di samping alasan ekonomi, keselamatan dan kebebasan kepada Muslim berada di bawah pemerentahan Inggeris di Malaya, al-Hadi juga menggunakan beberapa ajaran Islam untuk memberikan justifikasi dan legitimasi kepada sikap dan pandangannya supaya Muslim di Malaya tidak menentang Inggeris dan memikirkan kebaikan yang dibawa oleh pemerentahan Inggeris kepada mereka.
Pertama, ajaran Islam supaya berlaku adil dan menegakkan keadilan. Islam mewajibkan pemerentah berlaku adil menegakkan keadilan. Al-Hadi melihat keadilan dan keamanan dan kebebasan wujud di bawah pemerentahan Inggeris di Malaya. Beliau menyamakan Inggeris dengan tentera Tuhan yang dikirimkan ke Malaya untuk menyelamatkan Muslim di Malaya daripada penindasan dan kezaliman pemerentah yang beragama Islam dan berfahaman feudalisme. Al-Hadi menyatakan Inggeris adalah satu kumpulan tentera daripada Tuhan seluruh alam yang telah memerentah mereka datang untuk membebaskan kita daripada kegelapan, penjara kejahilan, kezaliman dan kejahatan dan daripada kekejaman ketua-ketua kita sendiri (ibrahim 1994:159). Persepsi negative al-Hadi terhadap ketua-ketua Melayu berfahaman feudalisme ini membawa pengertian yang sama dengan penjelasan Shaharuddin Maaruf yang menulis “in the Malay feudal history there were frequent wars among the rival chiefs. Besides causing loss of lives, these wars caused economic distruption and poverty among the subject” (Sharuddin 1984:29)
Kedua, al-Hadi merujuk kepada al-Quran, surah al-Anbiya (21:105) yang mengatakan bumi diwaisnya oleh hamba-hamba-Ku yang salih. Salih dalam fahaman al-Hadi termasuk berlaku adil dan menegakkan keadilan di bumi atau di dunia. Al-Hadi memberi tafsirannya kepada konsep hamba yang salih sebagai mereka yang berupaya dan mampu memerentah dengan baik dan betul, memberikan kemakmuran dan menarik lebih penduduk dengan keadilan dan persamaan dan dengan penyebaran ilmu dan keamanandi daerah pemerentahan mereka sekalipun mereka adalah musyrikun. (ibrahim 1994:159-160)
Ketiga, al-Hadi merujuk kepada Quran, Surah Hud (11:117) yang mengatakan bahawa Tuhan tidak memusnahkan perkampongan dengan zalim sedangkan penduduknya adalah muslihun(orang salih). Tafsiran al-Hadi kepada Quran (11:117) adalah Tuhan tidak akan memusnahkan negeri-negeri kerana kemusyrikan atau kesyirikan penduduknya sedangkan mereka tidak menambah kepada kesyirikan itu kezaliman dan kemusnahan tetapi mereka melakukan kebaikan dan keadilan di kalangan mereka. Kezaliman diberi tafsiran kesyirikan. Semata-mata kesyirikan wujud di kalangan penduduk di sesuatu negeri. Tuhan tidak memusnahkan penduduk di negeri berkenaan selama mereka adalah muslihun (ibrahim 1994;160-161)
Keempat, al-Hadi merujuk kepada Quran, Surah Rum (30:30) yang mengatakan mengenai fitrah Allah yang dijadikan manusia di atas fitrah itu. Fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah kepada manusia ditafsirkan al-Hadi sebagai peraturan Allah kepada manusia di dunia ini. Peraturan itu meliputi sifat semulajadi manusia mahu mencari kelebihan di dunia, dan manusia mesti berusaha dan berjuang untuk kesurvivilan mereka di dunia. Bnagsa-bangsa Eropah termasuk Inggeris telah mengikut fitrah manusia berkenaan, di mana mereka mencari kelebihan dan ketinggian melalui akal yang waras, ilmu yang luas dan kuasa. Mereka mencapai kekayaan, penghormatan dan sedemikian rupa kerana mereka telah mengikut fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah kepada manusia. (Ibrahim 1994:163-164)
Dr. Ibrahim membuat kesimpulan:Mereka [golongan modenis; Syed Ahmad Khan di India. Muhammad Abduh di Masir dan al-Hadi dii Malaya] akhirnya menaja dan menyebarkan politik berbaik dan bekerjasama dengan penjajah Inggeris untuk kemajuan Muslim di dalam bidang pendidikan dan ekonomi dan mereka tidak mahu Muslim menentang pemerentah Inggeris. Ketiga-tiga Muslim modenis berkenaan tidak mengemukakan idea atau wawasan Negara Islam “Islamic State” atau kerjaan Islam “Islamic government” sebagai jalan keluar kepada kelemahan Muslim di bawah penjajahan pemerentahan Inggeris. Mereka mahu Muslim berfikir mengenai kebaikan yang mereka telah perolihi dan akan perolihi daripada penjajahan dan pemerentahan Inggeris di negeri atau Negara mereka. Untuk itu, tiga Muslim modenis berkenaan tidak menggunakan ajaran atau sejarah Islam untuk menentang Inggeris atau menuntut kemerdekaan daripada Inggeris. Malahan mereka menggunakan ajaran Islam dan peristiwa-peristiwa dalam sejarah Islam untuk Muslim berbaik sangka dan bekerjasama dengan pemerentahan Inggeris untuk kebaikan Muslim sendiri. Mereka tidak menjadikan pengaruh dan penguasaan asing iaitu Inggeris sebagai musuh utama dan musuh ketat mereka. Sebaliknya, ketiga-tiga Muslim modenis itu menjadikan penyebab utama kemunduran dan kelemahan umat Islam adalah Muslim tradisionalis, Muslim konservatif, ketua-ketua Muslim yang feudalis dan Muslim yang tidak mengamalkan suruhan-suruhan Islam dalam kehidupan mereka.
Sengaja dipetik tulisan Dr. Ibrahim Abu Bakar dengan cara yang agak detail ini untuk menunjukkan yang agak sulit untuk diterima bahawa semangat penentangan terhadap pihak Inggeris, perjuangan kemerdekaan itu datangnya dari tokoh yang sangat mengkagumi Inggeris itu sendiri, kecuali Dr. Farouk mendatangkan bukti-bukti yang nyata untuk menjelaskan kefahamannya itu. Kita boleh sahaja tidak bersetuju dengan pandangan Dr. Ibrahim sekiranya terdapat petunjuk-petunjuk yang nyata menyalahi pandangan beliau. Itulah semangat tidak bertaqlid yang ingin kita sama-sama suburkan.
Dr. Farouk mengatakan ‘penjajah Inggeris amat berwaspada dengan parti ini ekoran tuduhan oleh Dato’Onn Jaafar yang mengatakan parti itu berdamping rapat dengan kominis. Sikap Dato’Onn itu digambarkan dalam ucapannya: “Bahaya di gunung itu masih ada lagi ditambah pula satu bahaya lagi (Hizb al-Muslimin) supaya orang Melayu terhapus kerana sebenar-benarnya parti Islam itu merah”
Kita tidak perlu bersetuju dengan pendirian Dato’ Onn yang kritikal terhadap Hizb al-Muslimin, tetapi kita mengakui dari segi catitannya yang majlis penubuhan Hizb al-Muslimin telah dihadiri antara lain oleh pemimpin-pemimpin utama Melayu dari Parti Komunis Malaya. Selain daripada kehadiran pemimpin Melayu yang dianggap golongan kiri yang lain di dalam majlis tersebut. Dalam kita menyanjungi langkah penubuhan Hizb al-Muslimin oleh Ustaz Abu Bakar Baqir itu, kita masih sulit untuk menerima bahawa langkah itu merupakan suatu usaha tajdid yang telah diisyaratkan di dalam hadith Rasulullah SAW sebagaimana yang disebut oleh Dr. Farouk sendiri. Kita harapkan usaha yang lebih jernih dan lebih murni daripada yang telah berlaku itu, iaitu langkah yang lebih hampir kepada kemurnian Islam sebagaimana yang difahami dan diamalkan oleh salaf as-soleh daripada ummah ini. Itulah yang kita fahamkan sebagai usaha tajdid dan yang menjayakannya itu adalah adalah mujaddid.
Dr. Farouk menyatakan: ‘Al Ihya al Syarif lahir pada tahun 1934. Ia diusahakan oleh Ustaz Abu Bakar al Bakir Bin Muhammad Said. Penglibatan Al Ihya dalam bidang politik bukan merupakan satu perkara asing. Ini kerana kedudukan Gunung Semanggol berdekatan dengan Pulau Pinang yang pada waktu itu kuat dipengaruhi oleh aliran Kaum Muda’. Hanya terdapat sedikit penjelasan lanjut yang perlu dibuat oleh Dr. Farouk untuk menyakinkan kita yang Ustaz Abu Bakar al Baqir terpengaruh dengan aliran Kaum Muda, ini memandangkan Ustaz Abu Bakar Bakir disenarai Oleh Dato’ Ahmad Badawi sebagai murid awal Syaikh Abdullah Fahim yang belajar di rumah Syaikh Abdullah Fahim seawal tahun 1330H. Syaikh Abdullah Fahim adalah tokoh besar dalam memperjuangkan seruan kemerdekaan untuk tanah airnya. Perkara ini dicatit antara lain oleh Ustaz Ismail Awang di dalam artikel yang dimuatkan di dalam buku Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu Jilid ke 2. Syaikh Abdullah Fahim juga sangat tegas menentang aliran Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah. Syaikh Abdullah membuat catitan:
Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu se-Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadi-qadi, ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekelian mereka bermazhab dengan mazhab al-Imam asy-Syafie ijma’an, tiada seorangpun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafie… (kemudian beliau menyenaraikan kitab-kitab rujukan bagi ulama Melayu).
Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya [dan daripada] segala hukum-hukum di dalamnya , kesemuanya mustanbat [diambil] daripada Quran dan hadith yang [di] halusi dan ditapis oleh ulama ajilla, diamal dengan dia sudah lebih daripada seribu tahun dan diterjemah kepada Bahasa Melayu beratus-ratus tahun [sudah lamanya].
Dr. Farouk menambah rentetan kepada sejarah perjuangan politik Islam di tanah air:Pengharamannya (Hizb al-Muslimin) bukan bermakna perjuangannya telah terkebur. Keadaan ini ternyata dengan kelahiran parti politik yang memperjuangkan Islam selepasnya, iaitu kemunculan Parti Islam se-Malaya (PAS) pada atahun 1951 di Kelab Melayu Bagan, Seberang Perai. Idealogi yang diperjuangkan oleh parti baru itu tidaklah terkubur tapi sebenarnya adalah sambungan kepada perjuangan Islam oleh Hizb al-Muslimin yang telah diharamkan oleh Inggeris.
Sekiranya kita bertanya secara jujur apakah PAS itu benar-benar merupakan sambungan kepada Hizb al-Muslimin di Gunung Semanggul itu? Atau lebih dekat lagi untuk dikatakan cetusan PAS itu ialah daripada bekas beberapa pemimpin sayap ulama di dalam UMNO yang telah keluar parti beserta Dato’ Onn telah bergabung dengan tokoh-tokoh yang mempunyai kecenderungan keagamaan lainnya dalam menubuhkan PAS, iaitu singkatan Persatuan Islam se-Malaya. Penubuhan asalnya bukanlah sebagai sebuah parti politik, bahkan sebagai badan keagamaan, lihatlah risalah yang dinamakan ‘Ketetapan Majlis Muzakarah Ulama SeMalaya’, yang diterbitkan berikutan suatu muzakarah yang diadakan di Kepala Batas pada 4/1/1953 di antara ahli-ahli ilmu dari seluruh Malaya di bawah anjuran PAS.
Risalah ini telah dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang pada tahun 50’an dengan kata-kata aluannya oleh Ustaz Ahmad Fuad bin Hassan, Yang DiPertua PAS yang pertama. Dalam kata-kata nya, Ustaz Ahmad Fuad antara lain menyatakan:
Dan kami mengingatkan hendaklah tuan-tuan memetik akan ilmu-ilmu agama itu daripada tempat yang muktabar iaitu kitab-kitab yang telah termasyhur diterima pakai dan diakui oleh ahli-ahli ilmu yang muktabar.
Awaslah daripada tiru-tiru yang menghendaki supaya tuan-tuan hanya mengambil hukum-hakam agama daripada al-Quran dan hadith dan mencampakkan segala kitab-kitab ulama di belakang tuan-tuan.
Ketahuilah bahawasanya kandungan-kandungan kitab-kitab yang muktabar semada feqah, usul dan tasauf itu semuanya mempunyai sandaran kepada al-Quran atau hadith, dan ulama itu tiada sekali-kali berani mengada-ngadakan perkara agama, tetapi harus pembaca-pembaca bagi kitab ulama itu tiada dapat menyelidiki tempat-tempat sandaran bagi qaul-qaul demikian, maka terus ia mengatakan pula ulama itu tidak bersendikan Quran dan hadith, tatkala itu bukanlah ulama-ulama yang terkenal itu yang tersalah tetapi pembaca-pembaca yang sedikit pengetahuannnya itulah yang salah.
Sementara persoalan-persoalan yang dibincangkan di dalam risalah khusus ini ialah dalil-dalil yang didatangkan bagi amalan seperti bacaan ‘bismillah’, azan pertama pada hari jumaat, sekurang-kurang 40 orang sebagai syarat sah jumaat, melafaz usalli, membaca saiyyidina di dalam tahiyyat, berdiri ketika membaca marhaban, sunnat membaca talqin selepas pengkebumian, hukum bertaqlid dan lain-lain lagi.
Sudah tentu kita dapat fahami yang pendirian PAS sekurang-kurangnya pada tahun 1953 adalah tidak selari dengan perjuangan kaum muda. Bagaimana Dr. Farouk agaknya dapat mengatakan yang PAS itu adalah penerusan kepada ‘usaha tajdid’ Syeikh Syed Hadi?
PAS sebagaimana yang diketahui umum didaftarkan di Pejabat Pertubuhan Pulau Pinang hasil daripada perjumpaan dan persidangan alim ulama pada 24hb November 1951 di Butterworth.. Alangkah eloknya sekiranya kita dapat berlaku adil kepada sejarah dan segala artifaknya tanpa dipengaruhi oleh rasa kepuakan yang melulu.
Sudah tiba masanya kita mengalu-alukan minat terhadap agama dan sejarah ummah serta bangsa yang ada di kalangan professional, sokongan kita itu ialah dengan cara kita memberi sumbangan agar minat itu akan jadi lebih matang dan lebih bermakna melalui perbincangan yang disulami rasa hormat serta kasih-sayang sesama Islam dalam kita mencari kebenaran. Semoga Allah merahmati kita semua dan memberi keberkatan ke atas perkerjaan serta usaha kita. Semoga yang benar dan berfaedah akan kekal di bumi serta yang batil dan karut akan hilang seumpama buih di permukaan. Semoga Allah mentakdirkan kita bersama dengan kebenaran yang membawa kebahagiaan dan menjauhi kebatilan yang mendatangkan penyesalan
Memadailah Allah tempat berserah, tiada daya dan tiada upaya kecuali Daya dan Upaya Allah, serta selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Saiyyidina Muhammad Nabi yang ummi, keluarga baginda yang bersih, para sahabat yang terpilih dan ummat baginda sebaik-baik ummat yang dibangkitkan sebagai saksi ke atas sekelian manusia sehingga Hari Qiyamat.
Alhamdulillah, selesai mencatit pada awal Syawal 1427. Selepas memulainya di penghujung Ramadan yang penuh berkat. Semoga dikira-kira sebagai suatu pertaruhan untuk Hari yang tiada keamanan kecuali yang datang kepada-Nya dengan hati yang sejahtera.
- Abdullah Zaidi Bin Hassan
*** Kertas ‘Sejarah Perkembangan Gerakan Tajdid Di Tanah Melayu’ oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Farouk Musa ini pertama kali di bentang Dewan Sime Darby, KL dan keduanya di UIA pada 7 Oktober 2006.
---
Sumber dari laman web Tradisional Islam
Label: jemaah, pas, politik islam, sejarah tanah melayu, tamadun
Beberapa forum, laman dan blog mendakwa memperjuangkan tajdid dalam agama. Namun apabila kita mengembara ke dalam ruangan mereka, kita akan tertanya-tanya - apa benda yang didakwa tajdid dalam laman ini? Umumnya yang nampak hanyalah dakwah lama yang sudah tidak layak dipanggil tajdid lagi. Sebab itu ada pihak mengatakan, "Ini bukan dakwah tajdid, tapi dakwah takjadi."
Kata-kata ini ada benarnya juga walaupun nampak macam tuannya hendak berkelakar atau menyindir. Ini kerana apa yang diperjuangkan oleh pihak-pihak itu ternyata benda-benda lapok lagi sudah basi. Itu pun dinamakan tajdid? Yang kita tahu, tajdid benda baru. Yang mereka bawa tidak lain dakwah perpecahan umat masakini. Dakwah ini sudah lama berlalu. Ia sudah "out of date" pada zaman ini.
Antara isu yang didakwa sebagai tajdid ialah menghukum berdosa (melalui kata kunci "bidaah") majlis tahlil, sambut Maulidurrasul, dunia kesufian, Sifat 20, takwil dan banyak lagi. Inikah tajdid? Dicetuskan ratusan tahun lalu pun tajdid juga? Nyata mereka ketinggalan zaman. Dakwah tajdid ini kalau manusia sudah terlalu tua usianya. Untuk memudahkan pemahaman, selepas ini saya akan menamakannya "Tajdid Lapok". Tajdid Lapok ini sudah tidak layak disebut tajdid, tapi tak apalah. Kira tajdid jugalah agar golongan yang memperjuangkannya tidak terlalu kecil hati.
Yang hendak kita promosikan sekarang bukan Tajdid Lapok tapi Tadjid Segar dalam agama. Apakah Tajdid Segar? Ia adalah dakwah tajdid yang relevan dengan kurun ini, sedangkan dakwah Tajdid Lapok sepatutnya disimpan dalam muzium sahaja. Ada banyak perkara, tapi sebahagiannya tidak dinyatakan di sini kerana belum sampai masa untuk umat menerimanya. Biar lambat asal selamat.
Kita bentangkan dalam bentuk perbandingan agar pemahaman pembaca di tahap maksima.
TAJDID LAPOK
Apabila terjumpa orang, dia akan melihat apa perbezaan fahaman antara dirinya dengan orang itu terlebih dahulu. Baginya perbezaan ini adalah lebih penting daripada mencari persamaan. Tajdid Lama ini banyak membawa kerosakan dan perpecahan umat. Ia juga disokong oleh musuh-musuh Islam kerana membantu mereka mewujudkan perpecahan umat Islam.
TAJDID SEGAR
Apabila terjumpa orang, dia akan melihat apa persamaan fahaman dirinya dengan orang itu terlebih dahulu. Baginya mencari persamaan adalah lebih penting daripada mencari perbezaan fahaman. Tajdid Segar ini sangat berkesan untuk membawa perpaduan. Ia sangat digeruni oleh musuh-musuh Islam.
TAJDID LAPOK
Umumnya tidak menyokong gerakan-gerakan Islam yang ada seperti jemaah-jemaah sufi, parti-parti politik Islam, Ikhwanul Muslimin, jemaah Tabligh, Hizbut Tahrir, ABIM, JIM, ISMA dan lain-lain. Bagi mereka gerakan-gerakan ini hanya memecah-belahkan umat Islam menjadi 73 golongan sedangkan yang selamat hanyalah satu golongan sahaja iaitu mereka sendiri. Ada juga segelintir yang simpati dengan gerakan-gerakan Islam tapi mereka tetap tidak menjadi aktivisnya. Kalau jadi ahli pun sekadar ada nama sahaja. Nak kata digalakkan menyertai pun tidak, paling kuat kata harus saja. Mereka lebih utamakan perjuangan Tajdid Lapok. Kebanyakannya menghukum berdosa (melalui kata kunci bidaah) malah tidak akan selamat di akhirat ke atas semua gerakan Islam itu. Tajdid jenis ini memang menjadi kesukaan musuh-musuh Islam.
TAJDID SEGAR
Menggalakkan perkembangan jemaah-jemah Islam yang ada. Walaupun berbeza pasukan namun saling hormat-menghormati dan meraikan. Malah dari hari ke hari mereka berusaha mencari keselesaan untuk berjuang bersama. Pandang global, bergerak sebagai satu umat. Tajdid Segar ini amat digeruni musuh.
TAJDID LAPOK
Menghabiskan sebahagian besar masa, tenaga dan harta untuk membincangkan isu-isu khilaf. Seolah-olah itu sajalah perjuangan utama mereka dan itulah agama Islam. Tajdid Lapok ini direstui penuh musuh-musuh Islam. Mereka mahu umat Islam terutamanya golongan ulama sentiasa dalam keadaan bertelingkah. Kalau para ulama sudah berbalah, apa lagi orang awam.
TAJDID SEGAR
Mengutamakan isu-isu utama. Isu khilaf tidak ditinggalkan tetapi bukan menjadi agenda utama. Jika ada keluangan masa dalam memperjuangkan isu-isu utama, barulah dibuka isu-isu khilaf. Ini kerana telah terbukti bahawa isu-isu khilaf telah dibincangkan abad-berabad dan keputusannya, masih juga khilaf. Masa berabad-abad itu berlalu begitu sahaja tetapi keputusannya tetap sama. Ini membazir masa namanya. Kerja membazir ini sangat disukai Iblis dan syaitan. Jadi Tajdid Segar meletakkan perkara-perkara khilaf ke samping. Musuh-musuh Islam memang sakit hati dengan Tajdid Segar ini kerana umat Islam tidak ada masa untuk berbalah tetapi ada banyak masa untuk berhadapan dengan mereka.
TAJDID LAPOK
Biasanya menyebarkan perkara dusta dalam masalah "takwil, tak takwil". Mereka umumkan "Salaf tak takwil, khalaf takwil". Pembahagian ini kalau tidak disertai huraian sebagimana yang akan dinyatakan di bawah nanti, jelas satu pembohongan. Ini seolah-olah menggambarakn seluruh Salaf tak takwil dan seluruh khalaf takwil. Padahal pembahagian sebenarnya begini:
Salaf terbahagi kepada beberapa kelompok, bukannya satu kelompok sahaja sebagaimana pembohongan pembawa Tajdid Lama. Sekurang-kurangnya ada kelompok yang:1. Tidak takwil tapi tidak dijumpai bukti dia menegah takwil;
2. Kadang-kadang takwil dan kadang kadang tidak takwil;
3. Tidak takwil dan dia menegah takwil (yang ini saya perlu kaji lagi);
4. Tidak diketahui pun sama ada dia takwil ataupun tidak, dan sama ada dia menegah takwil ataupun tidak.
Khalaf pula sekurang-kurangnya terbahagi kepada kelompok yang:1. Takwil;
2. Kadang-kadang takwil dan kadang kadang tidak takwil;
3. Tidak takwil dan dia menegah takwil (ini golongan penjuang Tajdid Lama);
4. Tidak takwil tapi tidak menegah takwil;
5. Boleh takwil dan boleh tidak takwil.
Jadi pembohongan yang mengatakan "Salaf tak takwil, khalaf takwil" sepatutnya sudah lama dibakulsampahkan. Mereka mahu umat Islam seboleh-bolehnya percaya bahawa 100% salaf tak takwil. Padahal Imam Ahmad sendiri mentakwil hadis Nabi:
"Hajarul Aswad adalah tangan kanan Allah di muka bumi."
(Al Hakim)
"Hati orang beriman antara dua jari-jemari Ar-Rahman."
(Muslim)
"Aku dapat rasakan nafas Ar-Rahman dari sebelah Yaman."
(Ahmad)
SUMBER: Majmuk Rasail Hasan al-Banna.
Kata al-Banna: Sebagaimana yang anda tahu, masalah yang dibincangkan sedikti sahaja dan membabitkan masalah yang mana SEBAHAGIAN ULAMA SALAF SENDIRI ADA MEMBUAT PENTAKWILAN.
Jelas bagai matahari di tengah hari yang cerah- dakwah "Salaf tak takwil, khalaf takwil" oleh penggerak Tajdid Lapok adalah penipuan terhormat. Kalau mereka jujur, pastinya mereka akan berkata "Salaf ada yang takwil dan tak takwil, khalaf pun begitu juga".
Mengapa dakwah mereka begitu? Mudah saja. Tentulah dengan tujuan untuk menakut-nakutkan umat Islam agar tidak berani takwil kerana kononnya bertentangan dengan Salafussoleh, bertentangan dengan Sunnah dan bertentangan dengan Islam. Maka umat Islam yang jahil dalam hal inipun akan bersama-sama mereka menghentam ulama-ulama khalaf yang takwil.
Musuh-musuh Islam tersenyum lebar. Teruskan… teruskan…. kata mereka sambil bertepuk tangan.
TAJDID SEGAR
Kita sebarkan "Salaf banyak tak takwil tapi ada yang takwil, khalaf banyak yang takwil tapi ada yang tak takwil dan ada yang tak mahu takwil." - sebagai contoh. Ini boleh diperhalusi lagi.
TAJDID LAPOK
Apa saja idea-idea yang bertentangan dengan mereka dengan kadar segera dan seboleh-bolehnya dikaitkan dengan Syiah.
TAJDID SEGAR
Idea-idea yang bertentangan dengan idea kita akan diselidiki sedalam-dalamnya terlebih dhaulu sebelum mengaitkannya dengan Syiah atau mana-mana pihak.
TAJDID LAPOK
Umumnya tidak ada harapan untuk bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati bersama Syiah. Syiah dimusuhi semaksimanya. Umumnya menolak Syiah sepenuhnya hinggakan orang Syiah juga tidak ada hati untuk bekerjasam dengan mereka.
TAJDID SEGAR
Bekerjasama dengan Syiah dalam hal-hal yang disepakati. Umumnya tokoh-tokoh ala Tajdid Segar masih diterima oleh puak Syiah.
TAJDID LAPOK
"Bidaah" adalah satu hukum, seolah-olah hukum dalam Islam ada wajib, sunat, harus, makruh, haram dan bidaah. Keterlangsungan bagi bidaah adalah sama dengan haram atau berdosa. Ini mutlak.
TAJDID SEGAR
"Bidaah" bukan hukum. Hukum ke atas bidaah dijatuhkan mengikut keadaan "bidaah" itu sendiri. Sebab itu dalam kitab-kitab kita ada menemui ayat "bidaah yang makruh", "bidaah lagi makruh", "bidaah yang mungkar", "bidaah yang tidak disunatkan (bidaah yang harus)" dan seumpamanya.
Banyak lagi. Cukuplah setakat ini dahulu. Insyaalah idea saya dalam hal ini tidak pernah kering dengan izin Allah.
Sekarang tugasan anda para pembaca:PERTAMA
Anda pejuang Tajdid Segar ataupun pejuang Tajdid Lapok?
Jawapan: ______________________
KEDUA
Tajdid yang disukai oleh musuh-musuh Islam ialah Tajdid _________
KETIGA
Tajdidi yang relevan untuk kurun ini adalah Tajdid __________
Akhirnya, jangan malu-malu untuk mengakui anda sebagai pejuang atau penyokong Tajdid Segar. Kalau di laman mereka, mereka letakkan cogankata memperjuangkan "tajdid", faham-fahamlah kita bahawa itu adalah Tajdid Lapok. Di laman kita juga kita boleh letakkan cogankata yang sama. Kami juga membawa tajdid. Oleh kerana perkatan "tajdid" mereka membawa maksud "Tajdid Lapok", maka untuk membezakannya kita letakkan saja "Tajdid Segar". Boleh juga "Tajdid Baru", "Tajdid Sebenar", "Tajdid Terkini", "Tajdid Abad Ini", "Tajdid Salaf" dan seumpamanya.
Untuk mereka, saya suka melabel "Tajdid Lapok" saja. Terpulanglah untuk anda melabelnya sebagai "Tajdid Orang Tua", "Tajdid Basi", "Tajdid Wahabi" dan lain-lain.
Diriwayatkan Sufyan ath-Thauri menegur kesalahan khalifah. Ketika dibantah khalifah dijawabnya lebih kurang . "Aku mesti menegur perkara yang salah, kalau tidak… kencingu akan bertukar menjadi darah." Dengan sebab itu dia dihukum bunuh tetapi diselamatkan Allah.
Saya tidak sahkan riwayat ini sebagai sahih, cuma ingin mengambil tamsilan bahwa begitulah sikap saya dalam hal ini.
Wallahulam.
PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT
Alexanderwathern
13 APRIL 2007
---
Ditulis oleh Alexanderwathern.
Label: cara dakwah, jemaah, musuh




