Pro Tajdid mengumpulkan tulisan terpilih tentang fenomena tajdid yang melanda dunia Islam.
Apa itu tajdid? Tajdid bagaimana yang kita mahu? Selongkari arkib blog ini untuk jawapannya!

Dengan melanggan blog ini secara e-mel atau RSS, anda akan diberitahu secara automatik apabila ada entri baru di sini.
Anda mempunyai bahan-bahan menarik berkaitan isu tajdid yang mahu dikongsi di sini? Hubungi protajdid [at] gmail [dot] com.

Pengajian Pondok Perlu Kontemporari

Oleh: W. RAHIMAH DRAMAN

Syed Hamid Albar bersama para ulama Pondok Senusantara Ke-2 semasa sesi bergambar di Yayasan Al Jenderami, Sepang.


Melihat kepada corak dan gaya hidup seharian orang-orang Islam mutakhir kini, terlintas di minda, apakah masih ada sisa tinggalan warisan nabawi sebenar yang luhur dalam sanubari insani Muslim?

Sunnatullah telah menetapkan bahawa para Rasul tidak meninggalkan warisan dinar dirham (kekayaan material duniawi) pada ummah kemudian, kecuali warisan ilmu agama dengan al-Quran dan al-Sunnah sebagai harta zahir dan batin sehingga Hari Kiamat. Warisan ilmu nabawi inilah yang akan mendidik dan membentuk akidah serta akhlak kehidupan ummah kemudian. Matlamatnya, menjadi hamba yang mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. serta sebagai khalifah bagi memakmurkan bumi.

Nabi Muhammad yang menjadi penutup sekelian anbiya dan umat kemudian diperintahkan menyambung tugas dan tanggungjawab para Nabi serta Rasul sebelumnya bagi menyebar dan menegakkan syiar Islam. Namun kenyataannya, warisan Nabawi ini tidak lagi menjadi landasan dan amalan kehidupan orang-orang Islam era kini. Al-Quran dan al-Sunnah pula sering dijadikan alat bagi meraih kesenangan, pengaruh dan populariti untuk survival kehidupan.

Antara puncanya, amalan menuntut ilmu daripada guru-guru secara bersanad yang dipertahankan oleh institusi sekolah pondok semakin berkurang. Sekolah pondok adalah institusi keilmuan utama dan terawal yang mencorakkan tamadun Melayu-Islam silam Nusantara.

Menyedari hakikat ini, Melayu-Islam Nusantara menggerakkan program mengembalikan warisan nabawi dalam kehidupan Muslim. Ia dibuat melalui Majlis Ijtimak Ulama Pondok Se-Nusantara: Mengembalikan Warisan Nabawi di Nusantara.

Sekali lagi institusi sekolah pondok memainkan peranan. Usaha Yayasan Al-Jenderami dan Madrasah Islamiah Jenderam Hilir, di Kampung Baru Jenderam Hilir, Dengkil Selangor pada 12 hingga 14 April lalu harus diiktiraf dan disokong setiap Muslim. Yayasan Al-Jenderami dan Madrasah Islamiah Jenderam adalah kesinambungan warisan institusi pendidikan pondok ulama silam yang beroperasi selaras dengan pasca era moden sekarang.

Dengan menghimpun ulama-ulama besar seluruh Nusantara - Malaysia, Indonesia, Patani Darul Salam (Thailand), Brunei, Singapura, Kemboja (Kampuchea) dan Filipina serta beberapa ulama jemputan dari Iraq dan Mesir, lebih 1,000 orang yang cintakan Islam membanjiri dan berkampung di Kompleks Yayasan Al-Jenderami. Program tahunan yang memasuki musim kedua itu berlangsung selama tiga hari. Ia diadakan sempena meraikan tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Sebanyak 12 ahli panel terdiri dari ulama dan ilmuwan Nusantara serta Asia Barat hadir untuk mengembangkan ilmu melalui pembentangan dan ceramah pada ijtimak itu.

Harus diketahui, kedatangan dan penerimaan Islam di alam Melayu Nusantara bukan perkara baru. Malah kewujudan bangsa Melayu dikatakan bermula sebelum kelahiran Nabi Isa a.s iaitu melalui Empayar Melayu Langkasuka. Malah kajian sejarah Islam mencatatkan, Nabi Muhammad s.a.w. telah berkenalan dengan pedagang Indonesia (Melayu) sebelum beliau menerima wahyu dan menjadi Rasul lagi.

Jadi, kesedaran, peranan dan tanggungjawab Melayu-Islam melalui Yayasan Al-Jenderami itu selaras dengan kedudukan dan peradaban Melayu sebagai bangsa yang telah mencipta tamaddun sendiri selepas ketamadunan Arab-Islam.

"Ulama sekarang (zaman global kini) tidak mungkin kembali ke era ulama silam. Tatacara telah amat berbeza. Akibatnya ulama sekarang tidak lagi mengingati Rasulullah s.a.w. melalui kata-kata dan amal perbuatannya. Kecuali melalui al-Quran dan al-sunah," kata ulama besar Pesantren Al-Annur Sarang, Indonesia, Kiai Maimon Zubir.

Ini kerana katanya, perkembangan ulama berubah mengikut masa. Di zaman Nabi dan sahabat al-Quran berada di dada (hati), telinga, mulut dan amalan, bukan di kertas (pada tulisan) seperti sekarang.

"Al-Quran di zaman itu (Rasul dan sahabat) dihafal dan diamalkan. Segala kata-kata dan perbuatan nabi menjadi ikutan dan amalan hidup seharian mereka," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat nabawi mengenai Al-Ulama Warasatun Anbia' pada pembukaan Majlis Ijtimak itu.

Perasmian Ijtimak Ulama Pondok Se-Nusantara; Mengembalikan Warisan Nabawi di Nusantara itu dilakukan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Kiai MaimoACn menambah, oleh sebab itu, ulama silam dan pewaris Nabi yang dijadikan teladan mestilah ada fikiran (berilmu dan berfikiran secara bersanad), lemah lembut serta buat perhubungan dengan semua bangsa. Katanya, itulah sifat dan amalan Nabi yang diikuti para sahabat serta ulama salaf dan diteruskan oleh ulama silam.

Natijahnya, ulama pewaris nabi dalam mengembangkan daie mestilah ilmunya yang diterima secara bersanad (dari Rasulullah s.a.w., ahli keluarganya, para sahabat dan ulama salaf), boleh dan mudah difahami serta diterima oleh ummah semasa," ujar ulama yang berusia 80 tahun ini.

Menurut Kiai Maimon, ini kerana agama Islam tegas beliau, konsepnya menuju yang Maha Esa dan relevan sepanjang zaman.

"Tetapi manusia berubah mengikut masa. Ulama pewaris Nabilah yang perlu memain peranan. Jika zaman Nabi Ibrahim a.s. batu sebagai senjata dan zaman Nabi Yusuf a.s. besi jadi senjata hingga zaman Rasul kemudian, tetapi kini era senjata nuklear. Namun kalimah Laailahaillah Muhammadan Rasulullah adalah senjata Muslim paling ampuh. Jangan diinjak-injak (dipijak-pijak atau perlekehkan) Allah (kalimah suci itu) jika tidak mahu dilaknati-Nya." ujar Kiyai Maimon lagi.

Sementara itu, Syed Hamid dalam ucapan perasmiannya menegaskan, ulama yang berilmu, warak, takwa dan cinta pada ummah mestilah turut sama menyelesaikan masalah ummah semasa.

Katanya, pengajian tradisi institusi sekolah pondok telah menyatupadukan seluruh orang Islam Nusantara melalui himpunan kitab-kitab lama (Melayu-Jawi) yang sangat tinggi nilainya.

"Institusi pondok telah mengembalikan institusi nabawi dan ia perlu direalisasikan masa kini. Ini tanggungjawab semua pihak dan ulama pondok yang mahir dalam kitab-kitab lama (kitab kuning) perlu menulis kembali isi kandungannya ke bahasa yang mudah difahami supaya ilmu warisan nabawi ulama silam itu terus berkembang, bercambah dan diamal oleh generasi akan datang," jelasnya.
---

Dipetik dari ruangan Bicara Agama Utusan Malaysia bertarikh 1 Mei 2007.

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

 
Setiap tulisan yang ada di sini adalah digalakkan untuk disebarkan. Pro Tajdid direkabentuk oleh Tawel Sensei sambil melayan Radio IKIM.