Oleh Faisal Tehrani
Pertama kali disiarkan di majalah web Saksi.com (sudah tiada) pada bulan Mac 1999
Konsep dan bibit kelahiran nasionalisme secara jujur amat bercampur-baur dan mengelirukan. Untuk menetapkan dan menyalahi Barat semata-mata kerana melancarkan suatu idelogi baru yang memecah-belahkan umat Islam adalah menyesakkan.
Sejarawan Islam mencatat mengenai permulaan elitisme Quraisy dalam dasar pemerintahan Saidina Uthman R.A. Perselisihan Sa'ad bin Abi Waqqash dan 'Abdullah bin Mas'ud, perlantikan Al-Walid bin 'Uqbah bin Abi Mu'ath di Kufah, penawaran tanah-tanah rampasan perang untuk dijual kepada penduduk Hijaz, pemecatan Abu Musa al Asy'ari R.A sebagai gabenor Basrah, pemecatan 'Amr bin 'Ash dari jawatan gabenor Mesir, perlantikan Muawiyah Abu Sufyan sebagai pemerintah tunggal Damsyik dan kontroversi demi kontroversi lalu mengarah kepada pembunuhan Saidina Uthman.
Sekiranya nasionalisme yang dimaksudkan di sini ialah fahaman kesukuan yang sempit; terlalu melebihkan kaum sendiri hingga mengenepikan prinsip keadilan yang diutarakan oleh Islam dan Rasulullah, maka ia telah dahulu terbibit dalam sejarah Islam. Ia mencabang kepada nepotisme dan kronisme.
Kita tidak mahu membicarakan soal ini kerana walau bagaimana kacau sekali pun percaturan politik Khulafa-ar-Rasyidin, mereka tetap sahabat-sahabat Rasulullah dan telah melakukan pengorbanan yang tiada bandingan sedikit pun. Juga tentulah ada hikmahnya, jalur dan atur sejarah sedemikian rupa seperti yang telah direncanai oleh Allah.
Nasionalisme yang akan disoroti ialah gerakan nasionalisme moden dan perkembangannya. Apakah benar ia didalangi barat? Dan reaksi sebenar Islam terhadap nasionalisme?
J.R Thackrah dalam Politics (1987) melihat nasionalisme dari sudut yang menarik dan boleh menimbulkan perdebatan di kalangan kita. Beliau menulis:The concept of nation does not refer to common historical, ethnic, linguistic or religious background alone. It is based on the people's feelings. Do they feel that they belong to the same group and share the same visions of the future? This feeling is nationalism.
Dan beliau menyatakan kedudukan sebenar patriotisme dengan nasionalisme:Patriotism is often contrasted with nationalism in relation to its settlement of attachment, and respect for political institutions and laws, whereas nationalism is an ideology of national superiority, and an attachment to race, language or custom. Patriotism is seen as a beneficial alternative to nationalism, a sentiment which fills the gap between obligations incurred and obedience required, without recourse to the desires for national integrity. Yet although both terms are used loosely they are clearly compatible.
Sedangkan sosiologis Islam tersohor, Ibnu Khaldun telah merenungi perkara ini dengan begitu jauh di dalam Muqaddimah. Ibnu Khaldun menyifatkan silat-ar-rahmi atau pemuliaan ikatan darah sebagai sesuatu yang fitrah.
Ikatan ini membuahkan nu'arah pada kaum keluarga atau zawi al-qurba wa ahlal-arham, maka perasaan yang terbangkit ialah rasa malu atau terancam jika kerabatnya ditimpa keaiban atau serangan. Pertalian yang erat hasil dari pergaulan ini pastinya melahirkan pula apa yang dinamakan sebagai al ittihad wa al-iltiham atau persatuan dan pergaulan.
Jelasnya politik atau ideologi kesukuan ini telah lahir dari dalam diri manusia dan dalam konteks bangsa Arab, telah pun dilaksanakan sejak zaman pra-Islam lagi. Menurut Ibnu Khaldun lagi tujuan assabiyyah (cinta kaum) ialah kuasa (al-mulk). Assabiyyah akan memberi perlindungan, memungkinkan pertahanan bersama, sanggup mengemukakan tuntutan dan desakan serta kegiatan kemasyarakatan.
Harus tidak dilupakan Rasulullah sendiri, dalam erti kata lain, dakwah Islamiyyah, sedikit sebanyak telah mendapat perlindungan dari fahaman suku ini, terutama di era awal Islam. Rujuk peristiwa bagaimana baginda Nabi Muhammad mendapat suaka politik (himayah wal jiwar) dari Mut'am bin Adi, seorang bangsawan Quraisy yang kafir semata-mata oleh rasa kesukuan ini. Atau bagaimana Bani Hashim sedikit sebanyak melindungi nabi Muhammad ketika tercetusnya pemulauan ekonomi ke atas orang-orang Islam di Mekah selama tiga tahun.
Sebenarnya di dalam Islam garis besar memisahkan sesuatu bangsa itu ialah agamanya (la farq bayn 'arabi wa 'ajami illa bi-l-taqwa). Oleh itu krisis antara kaum, dalam sejarah Islam sebetulnya adalah persoalan persaingan etnik bukan nasionalisme. Beberapa pengarang Arab, contohnya Abdul Rahman al Bazzaz (Hadhihi Qaumiyatuna, 1964) yang menulis:True nationalism and the genuine Islam cannot go apart and could never be rivals. On the contrary, they go side by side along for paths.
Kebangsaan yang sebenar dan semangat Islam yang tulen tidak terpisah malah tidak mungkin bersaing. Malah, nasionalisme dan Islam beriringan. Jelasnya Bazzaz meletakkan faktor kuatnya ikatan sejarah bangsa Arab dengan Islam tidak terpisah, oleh itu mencintai Arab adalah serupa sahaja mencintai Islam. Sekurangnya-kurangnya, pandangan beliau tidak segila pandangan Sati' al Husri yang melihat agama dan bangsa atau negara itu berbeza. Pandangan sekular ini al-din li-Allah wa-al-watan li-al-jami' nyata bertentangan sekali dengan hakikat Islam.
Pandangan Bazzaz nyata adalah pandangan yang biasa dipegang oleh orang-orang Melayu rantau ini. Islam itu Melayu, Melayu itu Islam, mencintai Melayu adalah mencintai Islam.
Kita sering memandang jelek kepada nasionalisme ini tanpa menyedari kita berada di bawah lindungan bayang-bayangnya setiap waktu. Nasionalisme yang sederhana sehingga tidak berlaku zalim dan mengenepikan prinsip keadilan adalah nasionalisme yang diterima. Akan tetapi jenis fahaman nasionalisme yang datang dari konspirasi barat ditiup di kalangan umat Islam hingga memecah-belahkan mereka; inilah yang jelasnya nasionalisme kepuakan. Kita akan melihat kedua-duanya selepas ini.
Menurut George Antonius dalam The Arab Awakening (1938), gerakan nasionalisme moden pertama kali di dunia Islam bermula di Beirut pada tahun 1875 secara rahsia. Gerakan kebangsaan ini menular secara perlahan tetapi menusuk kerana beberapa faktor pemudahnya.Kemerosotan pemerintahan Othmaniyyah
Era Tanzimat-I-khairiah dalam jajahan empayar Islam. Ini adalah era modenisasi dan reformasi untuk memilih dan menerima ide-ide barat yang munasabah tetapi perlaksanaan yang tidak dikawal dan penghayatan Islam yang makin lemah memudahkan segala jenis budaya barat yang tidak tersaring langsung diimport masuk dalam wilayah Islam. Perluasan kuasa barat ke atas negara-negara Islam, paling ketara dan meledakkan ialah bila Perancis melanggar Mesir dalam tahun 1789.Peranan misionaris Eropah dan Amerika
Mereka menubuhkan Syrian Protestant College (sekarang American University Of Beirut) dan University Of St. Joseph diasaskan pada 1866 dan 1875. Menurut George Antonius, Syrian Protestant Collegue inilah yang bertanggungjawab melahirkan nasionalisme Arab buat pertama kalinya.
Terdapat beberapa faktor sampingan lain yang memudahkan nasionalisme bersarang di rumah orang-orang Islam. Antaranya sentimen anti Turki yang bermula di Lubnan, ide-ide politik kesan dari Revolusi Perancis, kebangkitan semula bahasa Arab melibatkan percetakan akhbar-akhbar Arab, perjalanan orang-orang Arab yang lebih jauh ke dunia barat, dan kepulangan semula penghijrah Arab setelah tinggal lama di Amerika. Namun tidak ada yang lebih besar sumbangannya, melainkan kewujudan kelab-kelab sastera Arab oleh kumpulan-kumpulan pelajar dan siswa di Universiti-universiti yang ditaja oleh misionaris.
Orang-orang Arab Kristian kemudian menuntut autonomi dari pentadbiran Othmaniyyah di Istanbul kerana mereka kurang selesa dengan gaya tradisional Turki. Mereka telah banyak terpengaruh dengan ide-ide barat. Perlahan-lahan intelek Islam turut menyokong tuntutan mereka.
Suatu garis sejarah yang besar perlu dicatat di sini ialah bagaimana belia Turki menubuhkan The Committee Of Union and Progress yang kemudiannya berdepan dengan masalah dengan belia Arab. Pemungkiran janji yang dibuat di Paris Congress Of 1907 mencetuskan kegelisahan dan kekecewaan.
Jam'iyah al 'Arabiyah al-Fatat yang diasaskan di Paris 1909 adalah pertubuhan pertama yang tersusun dan meletakkan rahsia besarnya iaitu untuk memisahkan negara-negara Arab dari pemerintahan Turki. Harus diingat pertubuhan-pertubuhan ini tidak menyatakan matlamat mereka secara terang kerana pada masa yang sama gerakan reformasi Islam lebih bertenaga.
Tokoh-tokoh reformis Islam seperti Jamaluddin el Afghani (1839-1897), Muhammad Abduh (1849-1905) dan Abdul Rahman al Kawakibi (1849-1903) lebih segar kritik dan penentangan mereka terhadap tradisionalisasi kerajaan Othmaniyyah. Gerakan nasionalismme al Fatat tadi menjadi lebih perlahan dan berahsia kerana ide solidariti Afghani dan rakan-rakan tidak menolak nasionalisme. Abduh pula menganggap cinta bangsa dan negara sebagai tanggungjawab agama. Sedang Kawakibi menyatakan memang ada bezanya antara Arab dan bukan Arab dalam komuniti Islam.
Beza reformis Islam ini dan sekular-nasionalis adalah jelas iaitu reformis Islam mempercayai pemulihan agama (tajdid) dari kepercayaan yang lapuk dan khayalan bodoh untuk memungkinkan semula kebangkitan Islam berbanding pandangan Ibrahim al Yaziji dan Nagib Azouri yang mahu memisahkan realiti agama dari tindak-tanduk national itu sendiri.
Ciri-ciri sekularis-nasionalis ini ketika itu ialah, program-program berdasarkan Anglo-Saxon Liberalism. Ini melibatkan pemisahan agama dan negara, pengenalan kepada teknologi moden, peningkatan dalam pendidikan, menggalakkan penglibatan tempatan dalam menyumbang pendapatan peringkat kebangsaan, meluaskan politik, kebebasan sosial dan reformasi prosedur pentadbiran.
Gerakan nasionalisme ini sama bercambahnya dengan gerakan sosialisme ketika itu. Perlahan-lahan gerakan kebangsaan Arab menjadi besar dan kuat menjelang dan sesudah Perang Dunia Kedua. Kejatuhan kerajaan Othmaniyyah secara automatik menyemarakkan lagi gerakan ini dan dalam tempoh yang tidak lama, ia menjangkiti wilayah-wilayah Islam yang lain termasuk rantau ini.
Seperti yang telah disebut sebelum dari ini, nasionalisme secara sederhana, sedar atau tidak semacam telah menjadi pegangan kita secara tabii dan ia diterima dengan memadai oleh kebanyakan tokoh reformis. Akan tetapi apakah ia garis panduan untuk kita mengukuri samada nasionalisme itu dibenarkan atau tidak atau nasionalisme itu melampau atau sederhana?
Rasulullah secara tidak langsung telah memberi isyarat, sesuai pula dengan tindak-tanduk sahabat kemudiannya, sebagai panduan. Bukankah Rasulullah yang menyatakan, kalau Fatimah binti Muhammad mencuri, akan ku potong tangannya. Ini menggambarkan bahawa rasa cinta terhadap kaum kerabat tidak boleh meluputkan keadilan di dalam Islam. Juga Amr bin Ash yang memerintah Mesir, tidak teragak menghukum anak sendiri bila berlaku perselisihan dengan seorang Arab Badwi ketika mereka bermain lumba kuda.
Jelasnya, nasionalisme yang mengarah kepada ketidakadilan atau kezaliman adalah terlarang dan dikira bersalahan dengan Islam kerana Islam hanya menerima prinsip keadilan. Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran seputar cemuhan Allah dan azab ke atas penzalim. Akan tetapi ulama seperti Hassan al Banna, Nawab Safavi, Syed Qutb, Ghazzali dan Maududi menjelaskan Islam tidak memerlukan nasionalisme sebagai formula solidariti kerana sifat Islam itu sendiri sudah jelas memberi kelebihan dalam kesatuan. Hamid Enayat menulis dalam Modern Islamic Political Thought (1982), ulama ini menganggap:Islam possesses enough ideological and emotional resources to galvanize the masses in the cause of independence. Even patriotism of the vaunted nineteenth century type is discarded from the lexicon of these leaders, because the only homeland they recognize is not the familiar one associated with specific ethnic groups, but the global abode of Islam, though this time called, not by the traditional term dar al-Islam but by the newly-coined al-watan al-Islami.
Awalnya, sebaik sahaja selepas Perang Dunia pertama, ulama Azhar adalah penentang kuat kepada nasionalisme. Antaranya ialah Muhammad Abu 'l- Fadl al-Jizawi, Mufti Mesir Abdul Rahman Qurrah, kemudian Syeikh Muhammad Ghunaimi membantah fahaman iqlimiyyah dan Syeikh Mustafa al-Maraghi, reaktor Azhar yang baru. Tetapi dua tiga tahun sebelum Perang Dunia Kedua, sanggahan-sanggahan ini mulai merosot, barangkali kerana tiga sebab besar:
Revolusi Julai yang menumbangkan sistem monarki di Mesir.Kebangkitan Jamal Abdul Naser, dan peluasan kuasa Zionis di Timur Tengah
Kekeliruan dengan apa yang dipanggil kini sebagai nepotisme dan kronisme. Konklusinya, konsep nasionalisme ini ada batasnya untuk diterima. Saidina Umar telah mengkhuatirinya awal-awal lagi, dengan menyatakan kebimbangan sekiranya Saidina Osman dilantik sebagai khalifah tentulah beliau akan mengutamakan Bani Umaiyyah hingga tiba satu masa rakyat bangkit membunuhnya.
Duka cita sekali, ketakutan Saidina Umar itu berlaku. Ia menjadi benar-benar jelas ketika pemerintahan Bani Umaiyyah, suku Arab dan non-Arab benar-benar dirangsang nasionalisme hingga Hajjaj Yusuf mengeluarkan perintah, tiada seorang 'Ajam pun boleh mengimami solat umum di Kufah.
Akibatnya golongan 'Ajam, dengan segala macam diskriminasi dan tekanan, menyokong gerakan Abbasiyyin untuk menggulingkan Bani Umaiyyah dengan harapan ketidakadilan ini akan berubah. Sebaliknya keadaan menjadi lebih buruk di mana konsep devide et empera telah dilaksanakan begitu meluas. Malah Ibrahim bin Muhammad bin Ali bin Abdullah bin Abbas, imam gerakan Abbasiyyin mengeluarkan perintah berbunyi:Jika engkau ragukan kebangsaan Arab seorang anak kecil yang panjangnya lima jengkal, maka bunuhlah dia.
Penjajahan ke atas umat Islam oleh kuasa-kuasa barat dan pemberian kemerdekaan secara berasingan mempercepatkan lagi perkembangan nasionalisme di dunia Islam. Oleh itu Barat tidak boleh dipersalahkan secara total kerana memang sikap kesukuan dan fahaman kebangsaan ini sudah menjadi satu sifat bagi diri manusia itu sendiri.
Umat Islam yang lemah daya tahan, kejahilan umat dan kelesuan ulama penyebab mereka termakan dakyah nasionalisme moden yang disuntik barat dan didalangi oleh individu-individu kelahiran Islam lebih mudah. Nasionalisme tidak boleh disingkir dari diri kita begitu sahaja kerana memang fitrah manusia mencintai kaum dan bangsanya. Cuma nasionalisme akan menjadi sesuatu yang terlarang dan punca kerosakan umat sekiranya ia dibiarkan bermaharajalela hingga keadilan, prinsip yang sangat ditegaskan oleh Islam diketepikan.
Berdasarkan realiti semasa dan situasi masyarakat kita, nasionalisme tidak dapat disangkalkan pernah menjadi faktor pemersatu (unifying force) dalam meninggikan martabat Islam itu sendiri.
Malah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut sendiri pun telah menyatukan sentimen bangsa dan agama untuk menggerakkan jihad menentang kuasa kuffar dan mustakbirin Inggeris di Tanah Melayu di awal kurun ini.
Label: barat, dunia arab, ideologi, perpaduan
Oleh Alexanderwathern
Soalan oleh Azrin:
Salam. Saya rasa tak sesuailah anda menggunakan istilah Salafi Wahabbi untuk mengambarkan golongan Salafi yang keras. Rasanya elok anda kaji lagi berkenaan Salafi. Kalau anda kaji betul-betul mesti anda akan rasa bersalah menggunakan nama Wahabi kerana ia dinisbahkan kepada seorang ulama tajdid.
Jawapan oleh Alexanderwathern:
Wa'alaikumussalam Azrin.
Saya pula rasa anda tersalah faham dan kekurangan maklumat kerana belum membaca dan mengkaji tulisan-tulisan saya tentang Salafi Wahabi YANG KAMI TOLAK. Salafi Wahabi yang kami tolak ini tidak ada pembahagian seperti wujudnya golongan yang lembut dan yang keras. Tidak ada pembahagian seperti itu. Apabila seseorang itu jelas berfahaman Salafi Wahabi sebagaimana yang kami maksudkan dalam artikel DI SINI, maka golongan itulah yang kami gambarkan.
Diharapkan sangat agar tuan memahami terlebih dahulu SALAFI WAHABI YANG KAMI TOLAK sebelum memberi apa-apa komen. Sudah banyak komen yang membawa lebih mudarat berbanding manfaat kerana penulisnya tidak faham apa yang mereka tidak persetujui tetapi masih mahu menyuarakan teguran.
Sebenarnya Azrin, saya sudah mengkaji tentang Salafi Wahabi YANG KAMI TOLAK itu sudah begitu lama. Malah saya sudah meminta petunjuk dan gerak kepada Allah melalui istikharah tentangnya, juga sudah sekian lama. Saya sudah mengkaji BETUL-BETUL dan tidak pernah berasa bersalah menggunakan nama WAHABI untuk menunjukkan kaum Salafi Wahabi yang kami tolak itu. Malahan saya berasa sangat beruntung kerana dipilih oleh Allah untuk berjuang menolak APA YANG SALAH daripada fahaman Salafi Wahabi ini.
Menurut anda, nama Wahabi itu dinisbahkan kepada seorang ulama tajdid. Buat masa ini saya tidak punya cukup maklumat siapakah tokoh yang anda maksudkan kerana tulisan anda pun pendek sahaja. Jika benar ia dinisbahkan kepada seorang tokoh tajdid, maka ia tidak ada kena mengena dengan Salafi Wahabi yang ditolak kerana istilah SALAFI WAHABI/ WAHABI yang kami guna tidak dinisbahkan kepada SATU INDIVIDU tetapi kepada satu fahaman yang membawa banyak keburukan kepada agama dan umat Islam.
Begitulah jawapan saya buat anda- tamat.
Seterusnya pula saya ingin berkongsi sedikit pengalaman.
Pernah beberapa orang menisbahkan istilah Wahabi itu kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dari Najd. Orang ini jelas bukan tokoh tajdid kerana dia membentuk tentera (bukannya rombongan dakwah) lalu menyerang wilayah Hijaz khususnya Makkah dan Madinah yang berada di bawah kekuasaan daulah Islam. Maksudnya ia memberontak kepada khalifah yang memimpin daulah Islam. Kita tentu sedia maklum apa hukuman ke atas pemberontak. Tenteranya telah membunuh banyak ulama malah keturunan Nabi Muhammad saw. Saki-baki keturunan Nabi ini banyak yang diusir ataupun terusir dari Hijaz.
Ada yang cuba berdalih kononnya wilayah Najd tidak termasuk ke dalam daulah Islamiah tetapi ia wilayah yang bebas. Hal ini maksudnya tentera Najd sudah menyerang sebuah wilayah daulah Islam iaitu Hijaz. Kita juga sedia maklum apa hukuman ke atas mereka yang menyerang negara Islam. Pusing ikut mana pun, mereka ini tetap segerombolan penjenayah dan pengganas.
Fahaman yang dibawa oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab ini dipraktikkan oleh tentera yang membawa fahamannya. Mereka menyerang binaan kubah, batu-bata, kayu-kayu dan sebagainya yang mereka anggap sebagai elemen khurafat dan syirik di Hijaz. Tindakan ini jelas tidak ada tajdidnya malah menunjukkan kejahilan dan kekerasan melampau.
Yang membawa kerosakan paling besar ialah sifat mazmumah yang ada dalam diri manusia, bukannya binaan-binaan dan batu bata. Jika benar akidah umat boleh rosak dengan binaan-binaan itu, orang yang bijak pastinya akan sasarkan jiwa umat yang di dalamnya bersarang sifat-sifat mazmumah. Betulkan akidah ummah dengan tarbiah hati melalui majlis-majlis pengajian, perdebatan, ceramah, muzakarah dan sebagainya.
Apabila sifat mazmumah dalam diri mereka sudah banyak dihakis, dengan sendirinya mereka akan meruntuhkan binaan-binaan itu ataupun mereka tidak pedulikan lagi binaan-binaan itu. Beginilah cara yang bijak lagi berhemah, bukannya dengan menjadikan binaan-binaan itu sebagai sasaran. Mensasarkan batu-bata dan binaan ini akhirnya mendatangkan korban jiwa yang bukan sedikit. Beginikah dakwah tajdid yang bijak?
Tindakan tokoh tajdid- sasarkan hati manusia. Selepas itu dengan sendirinya manusia akan membuat perubahan. Tindakan orang yang pendek akal- serang batu-bata dan binaan untuk mentarbiah jiwa manusia.
Ringkasnya, syeikh dari Najd ini bukanlah tokoh tajdid.
Pada zaman Saidina Umar, tenteranya berjaya mendapatkan kunci Baitul Maqdis. Ketika itu di sekitar Palestin terdapat banyak binaan kuburan para Nabi dan wali terdahulu. Namun Saidina Umar tidak pula menyerang batu-bata dan binaan yang tidak bernyawa itu. Bahkan di tempat pertama Rasulullah menjejakkan kaki di sana dalam Isra’nya, didirikan sebuah masjid sebagai mengambil berkat dan mengenang sejarah. Apa yang dilakukan Saidina Umar ini jelas bertentangan dengan dakwah gusar Muhammad bin Abdul Wahhab.
Begitulah sedikit perkongsian pengalaman, yang mungkin tidak ada kena-mengena dengan teguran anda di atas. Namun kita anggap ia sebagai menambah pengetahuan am saja.
Wallahualam.
Oleh Raja Ahmad Mukhlis.
Keinginan umat Islam kini untuk kembali kepada Islam merupakan suatu khabar gembira buat kita. Ia sesuatu yang jelas berlaku di setiap tempat walaupun kebanyakan daripada mereka mendapat tentangan yang hebat.
Kebangkitan Islam dapat dilihat dari pelbagai sudut, terutamanya dalam sudut pengurusan negara Islam, harta, penubuhan syarikat-syarikat Islam, pertubuhan-pertubuhan Islam, penerbitan buku-buku yang membincangkan tentang pengharaman sistem riba dan sebagainya, di kebanyakkan tempat (terutamanya di negara-negara Islam).
Suatu khabar gembira yang lebih bernilai ialah, kebangkitan Islam dari sudut ilmiah; iaitu perbincangan mengenai "Seruan untuk kembali kepada sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam". Begitu banyak sekali buku-buku yang diterbitkan mengenai hadith-hadith Rasulullah yang terkenal mahu pun yang tidak terkenal. Kebanyakan daripada buku-buku tersebut, tidak disyarah dan diperjelaskan oleh para ulama fiqh, secara terperinci mengenainya.
Oleh yang demikian hal ini menyebabkan sebahagian pembaca yang tidak mempunyai bekalan ilmu fiqh yang mantap, atau pun yang tidak belajar dari mana-mana ulama terlebih dahulu, akan terkeliru dan seterusnya pemahamannya akan bercanggah dengan maksud sebenar hadith-hadith yang dibacanya itu.
Kemungkinan besar juga si pembaca tersebut akan terdorong untuk mengamalkan seluruh hadith-hadith yang dinilai sebagai sahih oleh segolongan ahli hadith (tanpa menilai adakah ia digunakan atau pun tidak oleh para ulama).
Kemungkinan juga si pembaca yang cetek ilmu tersebut akan berkata kepada dirinya: "Kami beramal dengan hadith ini untuk satu ketika, dan satu ketika yang lain, ditinggalkan hadith ini (tidak beramal dengan hadith tersebut)". Si pembaca yang kurang ilmunya itu tidak bertanya terlebih dahulu kepada ulama-ulama yang khusus dalam bidang syariah yang masih hidup, mahu pun membaca ulasan-ulasan pada buku-buku karangan para ulama muktabar yang telah tiada, mengenai hadith-hadith yang dibacanya seperti Fathul Bari karangan Imam Ibn Hajar al-Asqalani, Syar Sahih Muslim oleh Imam an-Nawawi dan sebagainya.
Dia juga tidak mempelajari tentang ilmu al-Arjah (hadith-hadith yang paling kuat untuk digunakan dalam berhujah pada masalah syariat), tidak mengetahui yang mana hadith yang diriwayatkan terlebih dahulu dan yang mana yang diriwayatkan kemudian, yang mana hadith yang khusus dan yang mana hadith yang diriwayatkan khas untuk keadaaan tertentu; yang mana ilmu-ilmu tersebut amat penting dalam memahami dan mengkaji maksud sebenar sesuatu hadith.
Ada kalanya para pembaca buku-buku hadith yang masih kurang ilmunya, apabila telah jelas sesuatu hadith, dia menyangka bahawa Rasulullah kadang-kadang terlupa apa yang pernah Baginda sabdakan, kemudian menukar perkataan Baginda yang berlainan dengan kata-kata Baginda sebelum itu; walaupun pada hakikatnya Baginda seorang yang ma'shum (tidak berdosa dan melakukan kesalahan). Allah juga pernah berfirman: "Kami akan bacakan (beri wahyu) kepadamu (Hai Muhammad), maka janganlah Kamu melupainya".
Maka para penuntut ilmu yang ingin mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah melalui hadith-hadith Baginda yang diriwayatkan oleh para ulama hadith dalam kitab-kitabnya, perlu juga merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang dikarang oleh ulama-ulama fiqh. Ini kerana di dalamnya terdapat adunan-adunan daripada hadith-hadith Rasulullah dalam bentuk praktikal yang dikenali sebagai ilmu fiqh.
Seperti yang dapat dilihat dari kaca mata sejarah, sebahagian ulama-ulama hadith yang agung di zaman salaf, amat menghormati dan memuliakan para ulama fiqh yang turut mahir dalam bidang hadith; yang Allah pelihara mereka daripada bercanggah dengan hadith Nabi. Bahkan, mereka turut mempelajari makna-makna hadith yang mereka riwayatkan daripada ulama-ulama fiqh yang muktabar.
Abdullah bin Mubarak (seorang ulama hadith dari Khurasan) pernah berkata:Jika Allah tidak membantu saya dengan perantaraan Abu Hanifah dan Sufian (dua ulama' fiqh), nescaya aku sama sahaja seperti orang awam (yang tidak memahami hadith-hadith Nabi (sallallahu 'alaihi wasallam). [1]
Sufian bin 'Uyainah pula pernah berkata:Orang yang pertama membantu saya dalam memahami hadith dan menjadikan saya seorang ahli hadith ialah Imam Abu Hanifah (seorang ulama' fiqh). [2]
Abdullah bin Wahab (seorang ahli hadith juga sahabat Imam Malik) pernah berkata:Saya telah berjumpa dengan 360 orang ulama; (bagi saya) tanpa Imam Malik dan Imam Laith (ulama-ulama fiqh), nescaya saya akan sesat dalam ilmu. [3]
Beliau juga diriwayatkan pernah berkata:Kami mengikuti empat orang ini dalam ilmu, dua di Mesir dan dua orang lagi di Madinah. Imam al-Laith bin Sa'ad dan Amr bin al-Harith di Mesir, dan dua orang lagi di Madinah ialah Imam Malik dan al-Majishun. Jika tidak kerana mereka, nescaya kami akan sesat.
Imam al-Kauthari berkata di dalam kitab al-Intiqa' karangan Ibn Abdil Bar, telah berkata Abdullah bin Wahab (dari sanad Ibn 'Asakir):Jika tiada Imam Malik bin Anas dan Imam al-Laith Sa'ad, nescaya saya akan binasa. Dahulu saya menyangka setiap yang datang dari Rasulullah (iaitu as-sunnah dan al-hadith), perlu diamalkan.
Maksud kesesatan dalam perkataan beliau ialah: percanggahan dengan maksud hadith Nabi. Kemudian Imam al-Kauthari mengulas:Kesesatan yang dimaksudkan seperti mana berlaku pada kebanyakan manusia yang jauh dari ilmu fiqh dan tidak dapat membezakan tentang hadith yang diamalkan dan selainnya. [4]
al-Qodhi 'Iyadh pula meriwayatkan bahawa Ibn Wahab juga pernah berkata:"Andai Allah tidak menyelamatkan saya dari kesesatan melalui Imam Malik dan al-Laith, nescaya saya akan sesat."
Beliau ditanya: "Mengapa begitu?"
Beliau menjawab: "Saya telah menghafal banyak hadith-hadith Nabi, sehingga timbul pelbagai persoalan. Kemudian saya pergi ke Imam Malik dan al-Laith untuk bertanya mengenainya. Maka mereka berkata kepada saya: Hadith ini kamu amalkan dan ambil ia sebagai hujah dan hadith yang ini pula kamu tinggalkan (tidak perlu menggunakannya)". [5]
Sufian bin 'Uyainah pernah berkata:Hadith itu menyesatkan kecuali kepada al-Fuqoha' (ulama Fiqh). Kadang-kala suatu hadith itu tidak boleh dipegang secara zahir sahaja, malah ada ta'wilannya. Kadang-kala, sesuatu hadith itu pula ada maksud yang tersembunyi. Ada juga hadith yang perlu ditinggalkan dengan sebab-sebab tertentu, yang mana, semua itu hanya diketahui oleh orang yang mahir dan berilmu luas khususnya dalam fiqh (kefahaman). [6]
Ibn Rusyd pernah ditanya tentang kata-kata: "Hadith itu menyesatkan kecuali bagi ahli Fiqh". Beliau ditanya lagi: "Bukankah seorang ahli Fiqh itu juga perlu tahu mengenai hadith terlebih dahulu?"
Beliau menjawab: Kata-kata itu bukanlah dari Rasulullah, ia merupakan kata-kata Ibn 'Uyainah dan ahli-ahli fiqh yang lain. Maksud kata-kata itu tepat, kerana kadang-kala sesuatu hadith itu diriwayatkan dalam sesuatu keadaaan yang khusus, tetapi maknanya umum, begitu juga sebaliknya. Ada juga hadith yang nasikh dan hadith yang mansukh (tidak digunakan lagi).
Kadang-kala pula ada hadith yang secara zahirnya seolah-olah menyerupakan Allah dengan makhluk (tasybih). Ada juga hadith yang maksudnya hanya diketahui oleh para ahli fiqh sahaja. Barang siapa yang hanya mengumpul hadith tetapi tidak memahaminya, maka dia tidak dapat membezakan di antara hadith-hadith yang membawa maksud umum dan khusus.
Oleh kerana itu ahli fiqh bukanlah orang yang sekadar mengetahui tentang hadith-hadith Nabi sahaja, bahkan memahaminya secara mendalam. Jika seseorang itu tidak mampu memahami secara mendalam dalam masalah hadith mahu pun fiqh, maka dia bukanlah seorang ahli fiqh (faqih), walaupun dia mengumpul banyak hadith-hadith Nabi.
Inilah sebenarnya maksud kata-kata Sufian bin 'Uyainah. [7]
Abdullah bin Mubarak pernah berkata mengenai fiqh Imam Abu Hanifah:Jangan kamu katakan fiqh ini (mazhab Imam Abu Hanifah) merupakan pendapat beliau, tetapi katakanlah, ia (mazhab Abu Hanifah) merupakan tafsiran bagi hadith Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. [8]
Sebahagian orang hanya membaca matan-matan hadith Nabi sahaja, tanpa menghiraukan ulasan-ulasan para ahli fiqh yang bergiat secara khusus dalam mengkaji hadith-hadith tersebut. Mereka berfatwa dan mengemukakan hadith-hadith yang diragui kesahihannya di sisi imam-imam terdahulu yang alim, dalam masalah hukum dan percakapan mereka.
Kadang-kala mereka turut menolak ulasan-ulasan para ulama yang alim, mengenai kedudukan sesebuah hadith Nabi dan bersangka-buruk pula kepada mereka. Ada di kalangan mereka pula, yang melemparkan tohmahan ke atas para ulama muktabar tersebut serta pengikut-pengikut mereka dan mengatakan bahawa mereka (iaitu ulama-ulama terdahulu dan para pengikutnya) jahil tentang hadith Nabi. Alangkah buruknya tohmahan mereka itu!
Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata (seperti yang diriwayatkan oleh anaknya Soleh):Seseorang yang ingin memberi fatwa perlulah terlebih dahulu memahami keseluruhan al-Qur'an, mengetahui sanad-sanad hadith Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan mengetahui sunnah-sunnah. [9]
Abdullah bin Ahmad bin Hanbal berkata:Saya pernah bertanya kepada ayah saya (Ahmad bin Hanbal), tentang seorang pemuda yang memiliki banyak kitab-kitab mengenai hadith Nabi dan himpunan kata-kata para sahabat dan para tabi'in, tetapi tidak mengetahui tentang kedudukan sesuatu hadith tersebut sama ada sahih atau sebaliknya, adakah dia boleh beramal sesuka hatinya?
Atau pun adakah dia layak memilih hadith mana yang dia mahu gunakan, dan memberi fatwa atau beramal dengannya?
Imam Ahmad bin Hanbal menjawab: "Tidak! Sehinggalah dia bertanya kepada ulama mengenai hadith mana yang boleh digunakan. Kemudian barulah dia boleh beramal dengannya (hadith yang disahkan kesahihannya oleh ulama yang ditanya mengenainya)." [10]
Imam as-Syafi'e pernah menegaskan:Seseorang tidak boleh memberi fatwa dalam agama Allah kecuali dia mengetahui keseluruhan al-Qur'an dan ilmu-ilmunya seperti nasikh dan mansukh, ayat muhkam dan mutasyabih, ta'wil dan tanzil, ayat makkiyah atau madaniyyah.
Dia juga perlu mengetahui tentang hadith-hadith Nabi berserta ilmu-ilmunya ('ulumul hadith) seperti nasikh dan mansukh, dan lain-lain.
Setelah itu dia juga perlu menguasai bahasa Arab, sya'ir-sya'ir Arab, dan sastera-sasteranya (kerana al-Qur'an dan hadith adalah di dalam bahasa Arab dan mengandungi elemen sastera).
Setelah itu dia juga perlu mengetahui perbezaan bahasa Arab di kalangan setiap ahli masyarakat Arab. Jika dia sudah menguasai keseluruhan perkara-perkara tersebut, barulah dia layak memberi fatwa mengenai halal dan haram. Jika tidak, dia tidak layak berfatwa. [11]
Khalaf bin Umar telah berkata: Saya mendengar Malik bin Anas berkata: "Saya tidak pernah duduk untuk memberi fatwa sehinggalah saya bertanya terlebih dahulu kepada orang yang lebih alim dari saya tentang kelayakan saya untuk berfatwa.
Saya pernah bertanya terlebih dahulu kepada Rabi'ah dan Yahya bin Sa'id, sedangkan mereka menyuruh saya untuk berfatwa. Maka, saya menegaskan: "Wahai Aba Adullah, adakah tidak mengapa untuk saya berfatwa sedangkan kamu ada di sini?"
Beliau menjawab: "Saya tidak layak berfatwa. Tidak layak bagi seseorang itu, menganggap dirinya layak untuk sesuatu perkara, sehinggalah dia bertanya kepada seseorang yang lebih mengetahui darinya." [12]
Maka jelaslah dengan berdasarkan kepada kata-kata para ulama salaf yang dinukilkan oleh Sheikh Habib al-Kairanawi ini, ia mampu menolak pendapat sesetengah golongan yang mewajibkan setiap orang untuk melakukan ijtihad. Kemungkinan, mereka tersalah faham terhadap perkataan-perkataan sesetengah ulama dalam hasil karangan mereka, padahal kefahaman yang salah itu adalah amat bercanggah dengan kefahaman jumhur ulama.
Kemudian golongan tersebut memperjuangkan kefahaman yang salah ini, dan mengajak seluruh umat Islam mengikuti pendapat tersebut (walaupun pada hakikatnya ia amat bercanggah dengan kefahaman yang sebenar). Akhirnya terjadilah kekacauan dan pertelingkahan di kalangan umat Islam disebabkan oleh perjuangan terhadap fahaman yang salah ini (yang mewajibkan setiap orang berijtihad). Na'uzubillah min zalik.
Salah faham ini sebenarnya membawa kepada perpecahan di kalangan para penuntut ilmu dan akhirnya membawa kepada permusuhan dan saling menjauhi antara satu sama lain. Hal ini akan menyebabkan terputusnya tali persaudaraan yang Allah perintahkan ke atas kita untuk menjaganya dengan baik.
Kita perlu mempelajari ilmu dari ahlinya yang muktabar, bukan sekadar membaca buku-buku ilmiah tanpa dibimbing oleh seorang guru yang alim. Ini kerana barang siapa yang tiada guru yang membimbingnya dalam mendalami samudera ilmu Islam dalam kitab-kitab, maka syaitanlah yang akan menjadi pembimbingnya. Bahkan para ulama muktabar turut menyeru agar ilmu agama dipelajari oleh kaedah isnad, di mana kefahaman tentang Islam diambil dari para ulama yang jelas sanad ilmunya bersambung kepada Rasulullah.
Nas-nas di dalam al-Quran dan as-Sunnah bagaikan bahan mentah bagi syariat Islam. Ia perlulah diadun dengan acuan ilmu-ilmu Islam yang lain seperti ilmu asbabun nuzul, asbabul wurud, ilmu rijal, ulumul Quran, ulumul hadith, usul Fiqh dan sebagainya.
Sheikhuna as-Syarif, al-Habib Yusuf al-Hasani pernah menyebut bahawa:Sesiapa yang tidak menguasai ilmu-ilmu tersebut, namun cuba mengamalkan hadith-hadith yang dibacanya tanpa bimbingan guru-guru yang alim, maka dia bagaikan mengambil daging mentah dari peti sejuk dan memakannya begitu sahaja. Bukankah ia memudaratkan diri sendiri?
Jika kita di kalangan orang awam (bukan ahli ilmu), maka bertanyalah kepada orang yang lebih alim dan janganlah berijtihad sendiri terhadap nas-nas. Allah telah berfirman:
Maksudnya: Bertanyalah kepada yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui (akan sesuatu perkara).
Wallahu'alam.Nota Kaki
[1] Kitab "Tibyiidh As-Shohafiyyah" m/s 16
[2] Kitab "Jawahir Al-Mudhiyah" jilid 1 m/s 31
[3] Ibn Hibban, muqoddimah Kitab "Al-Majruhin"
[4] Ktab "Al-Intiqa' fi Fadhail Al-A'immah Ath-Thalathah Al-Fuqoha'" m/s 27-28
[5] Kitab "Tartib Al-Madarik" jilid 2 m/s 427
[6] Imam ibn Abi Zaid Al-Qairawani, "Al-Jami'" m/s 118
[7] Abu 'Abbas Al-Wansyarishi "Al-Mi'yar Al-Mu'rab" jilid 12 m/s 314
[8] Kitab "Manaqib Al-Muaffaq Al-Makki" m/s 234
[9] Ibn Al-Qayyim Al-Jauziyyah, "I'lamul Muaqi'iin", jilid 2 m/s 252
[10] Al-Faqih Shiekh Habib Ahmad Al-Kairanawi m/s 5, dipetik dari "I'lamul Muaqi'iin"
[11] Ibid m/s 6 dipetik dari kitab "Al-Faqih wal Mutafaqqih" karangan Al-Khatib Al-Baghdadi.
[12] Ibid m/s 6, dipetik dari kitab "Tazyiin Al-Mamalik" karangan Imam As-Suyuti m/s 7-8
---
Nota dari Admin: Beberapa ejaan, format dan struktur ayat sebenar bagi artikel ini telah diubah bagi memudahkan lagi pembacaan. Namun ia tidaklah mempengaruhi maksudnya yang sebenar. Harap maklum.
Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama




