Kes 1:
Ada seorang pelajar baru memasuki kuliah ilmu, lalu belajarlah ia dua, tiga hadith dari gurunya. Kemudian dia sudah menghafaz sedikit sebanyak ayat al Quran. Gurunya itulah satu-satunya yang dijadikan sumber rujukan. Segala-galanya yang betul datangnya dari gurunya. Pasti tiada salah. Lalu ia mula bermain dengan persoalan hukum. Sebab dirasanya diri sudah cukup ilmu untuk berfatwa. Mana-mana yang tidak berkenan atau bercanggah dengan pendapatnya dia mengatakan itu adalah sesat barat.Sehinggakan habis dihukum ulamak yang muktabar, mujtahid adalah tersilap pandangan mereka. Dengan memberi alasan yang dirasanya paling kukuh - ulamak tidak maksum, berhujjah mestilah mengikut dalil yang paling sahih dan terkuat.
Malangnya - yang betul baginya adalah ulamak yang ia ikut, tetapi ulamak yang lain pasti salah. Pasti salah hadithnya, dan berkemungkinan aqidah ulamak itu terkeluar dari ahlu sunnah wal jama'ah. Manakala dalil yang terkuat baginya - juga sebenarnya adalah dari apa yang ia dapat sendiri dari kitab yang ia baca. Tentunya dalil itu juga dari ulamak yang ia taksubkan.
Bermulalah era baru yang dizikirkan di bibirnya adalah - itu haram, ini bid'ah, engkau sesat!
Kes 2:
Seorang murid, sudah diajar akhlaq oleh gurunya. Tentang adab percakapan, adab menuntut ilmu. Adab berhadapan dengan guru. Entah di mana silapnya, tetap sahaja murid itu lancang mulutnya bila berbual dengan gurunya. Tidak ada perasaan hormat. Bengkeng, bidas, dan sebagainya untuk menunjukkan dirinya yang jahil itu adalah benar.Tahu dan Faham
Zaman ini ada golongan pelajar yang bersemangat belajar ilmu hanya untuk tahu. Tetapi ia lupa - pengeTAHUan yang ia ada hanya sedikit. Akhirnya TAHUnya itu menjadikan ia merasa hebat. Menjadikan dirinya terasa betul. Ia tenggelam dalam TAHU tapi JAHIL akhlaq.TAHU sahaja tidak cukup tanpa kefahaman. Orang yang hanya tahu gula itu manis, tidak sama dengan orang yang sudah merasai kemanisan gula apatah lagi dimana ia perlu digunakan kemanisan gula tersebut. ALlah dan RasulNya mengajar kita agar mempunyai akhlak yang baik sesama manusia, samada dari segi pertuturan, perbuatan, bahkan dalam hati sendiri. Apatah lagi dengan sesama saudara Islam. Bukankah RasuluLLah diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq, bahkan akhlaq RasuluLLah itu sendiri adalah al Quran?
Kita diajar untuk beradab kepada guru-guru, ustaz-ustazah, alim ulama kerana keutamaan mereka.
قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (٩)
Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah az Zumar : 9)
Bahkan di dalam urusan solat jemaah sekalipun, diutamakan adalah orang yang lebih yang mahir bacaannya di dalam al Quran. Telah dicontohkan oleh RasuluLLah di dalam peperangan Uhud, sahabat yang lebih banyak mengambil al Quran didahulukan untuk dimasukkan ke dalam liang kubur.
Dari Jabir r.a :
Sesungguhnya Nabi SallaLLahu 'alaihi wasallam telah menghimpunkan antara dua orang lelaki dari mereka-mereka yang terbunuh di dalam peperangan Uhud iaitu di kubur, kemudian baginda bersabda :"Yang manakah dari keduanya yang lebih banyak mengambil al Quran?". Apabila ditunjukkan kepada salah seorang dari keduanya, baginda mendahulukan (orang yang tersebut) ke dalam liang lahad. (Riwayat Bukhari)
Hakikat Ilmu Yang Kita Ada
ALLahu..ALlah..Adab sebagai pelajar, jika ilmu masih sedikit (hakikatnya ilmu manusia tiada yang banyak melainkan ALLah yang Empunya Ilmu), masih bertatih tahulah berakhlaq. Sedangkan para ulamak yang faqih, berkelana di bumi ALLah untuk mencari ribuan guru, bahkan menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan hingga kini amat menjaga akhlaq sesama guru dan ulama yang lain. Sehinggakan sifat yang tercerna dari diri mereka menjadi ikutan bagi ulama yang takutkan ALLah.
إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ (٢٨)
Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (Surah al Fatir : 28)
Oleh itu wahai pelajar, jika para ulama yang hebat ilmunya itu sendiri amat menjaga tutur katanya, tidak bermudah-mudah berhukum dengan apa yang tidak mereka ketahui. Mengapa kita sendiri yang amat sedikit ilmu tidak belajar untuk merendahkan diri? Adakah akhlaq itu tidak termasuk di dalam halal dan haram di dalam perhubungan sesama manusia? Sudah bolehkah kita berlaku sombong dengan ilmu yang sedikit sedangkan kita lupa ilmu yang kita ada juga boleh ditarik pada bila-bila masa?
Ilmu tanpa akhlaq menunjukkan kita sendiri menghina ilmu yang diberi oleh ALlah.
---
Artikel ditulis oleh Ibnu Nafis.
Seminar ini telah dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia. Berikut adalah video dari seminar tersebut:
Memahami kewajaran dan kepentingan tajdid Imam al-Ghazali
dalam konteks zamannya.
Untuk video-video bagi semua sesi yang lain, klik sini.
---
P.S. Terima kasih kepada Kaki Bangku atas pemberitahuan.
Label: aktiviti, al-ghazali, tokoh tajdid, video
Entri ini adalah sebuah jawapan untuk menjelaskan beberapa perkara berkaitan blog ini. Soalan dari Jihad Wahabi itu pada mulanya dijawab oleh Tuan Alexanderwathern, yang kemudian dihantarkan kepada saya. Saya pula (Admin Protajdid) sekadar mengisi apa-apa yang kosong pada jawapan Tuan Alexanderwathern. Mudah-mudahan dengan penjelasan ini, sebarang kekeliruan yang muncul pada masa kini dan hadapan boleh dielakkan.
Semalam saya (Alexanderwathern) ada menerima satu PM dari Jihad Wahabi. Berikut adalah tulisannya dan jawapan saya.
JIHAD WAHABI:
Saya dapati di blog PROTAJDID banyak artikel yang membela perjuangan Muhammad bin Abdul Wahab seperti artikel "Saya Juga Salafi Seperti Anda" dan beberapa artikel lain lagi yang ditulis oleh mereka yang berfahaman Wahabi.
ALEXANDERWATHERN:
Boleh boleh Tuan Jihad Wahabi. Mana yang saya mampu bantu insyaallah saya suka untuk membantu.
Sebenarnya artikel “Saya Juga Salafi Seperti Anda” itu ada juga saya siarkan dalam blog saya (ataupun dalam blog Tajdid Sebenar, tak berapa ingat yang mana satu). Keseluruhan isi kandungan artikel itu pada hakikatnya menolak fahaman Salafi Wahabi. Cuma memang ada satu bahagian (sikit saja pun) yang menunjukkan penghargaan kepada Muhammad bin Abdul Wahhab dan bahagian itu saya ulas sedikit dengan ulasan berbentuk penolakan.
Saya tahu penulis asal artikel itu dan faham pandangannya terhadap kaum Salafi Wahabi. Jadi, dengan menyiarkan artikel itu bukanlah bukti penyiarnya mendokong fahaman Salafi Wahabi.
Artikel lain saya tidak tahu yang mana satu kerana tuan tidak nyatakan. Dan kalau mengikut konsep Tajdid Segar, kita tidak menolak apa yang baik daripada sesiapa sahaja termasuklah tokoh Wahabi. Yang kita tolak hanyalah apa yang salah dan lemah sahaja daripada mereka.
Mungkin tuan terperasan yang saya juga pernah menerima kritikan di blog Tajdid Segar kerana menyiarkan artikel-artikel Saiful Islam yang cenderung kepada al-Ahkam (sebelum ini, kemudiannya dia agak tidak sebulu dengan Ahkam) dan Salafi Wahabi. Sebenarnya saya pilih artikelnya yang ‘benar’ sahaja, dan saya tetap tidak pernah setuju dengan fahaman Salafi Wahabi yang dicenderungi oleh Saiful Islam.
ADMIN PROTAJDID:
Harus ditekankan terlebih dahulu bahawa ProTajdid adalah sebuah laman yang dijalankan oleh seorang individu sahaja dan tidak mewakili mana-mana badan atau pun organisasi. ProTajdid diinspirasikan daripada pendekatan Tajdid Segar yang pertama kali dikemukakan oleh Tuan Alexanderwathern.
Selain itu, perkara yang paling perlu difahami ialah, ProTajdid bukanlah sebuah blog Anti-Wahhabi. Salah satu objektif utama blog ini adalah untuk menyedarkan masyarakat bahawa usaha tajdid selama ini tidaklah semata-mata dilakukan oleh penyokong Muhammad bin Abdul Wahhab. Dalam konteks di Malaysia hari ini, ia bermaksud bahawa bukan hanya mereka di Al-Ahkam.net (dan sekutunya) sahaja yang melakukan tajdid.
Selain itu, blog ini juga cuba memberikan kesedaran tentang mengapa dan bagaimana untuk kita semua selaku umat Islam sama-sama menyumbang dalam sebuah usaha tajdid yang lebih penting, dan tidak terlalu menumpukan kepada isu-isu tajdid yang lapok.
Oleh itu, prinsip blog ProTajdid sepertimana yang diulas oleh Alexanderwathern tadi ialah: "Kita tidak menolak apa yang baik daripada sesiapa sahaja termasuklah tokoh Wahabi. Yang kita tolak hanyalah apa yang salah dan lemah sahaja daripada mereka."
Mengambil apa yang betul dari mana-mana tokoh Wahabi sepatutnya tidak dipandang dalam konteks yang sempit. Bukankah ini sekurang-kurangnya dapat mencari sedikit titik persamaan di antara satu sama lain? Lalu dengan cara yang sama, adakah Sheikh Hamza Yusuf menjadi seorang penyokong ajaran Kristian apabila beliau sesekali membincangkan pendekatan berhikmah oleh Martin Luther King Jr?
Jangan terlalu fanatik dalam menentang kebatilan Wahabi sehingga melupakan kepentingan hidup bertoleransi antara satu sama lain.
JIHAD WAHABI:
Dan saya juga dapati blogroll link ke jihadwahabi sudah dipadamkan oleh pemilik blog pro tajdid tersebut.
ALEXANDERWATHERN:
Saya baru lihat sebentar tadi, memang tidak ada link ke Jihad Wahabi. Sebenarnya sebelum ini pun saya tidak perasan sama ada pernah dilinkkan ataupun tidak. Berdasarkan kata-kata tuan, blog tuan memang pernah dilinkkan sebelum ini.
Ada beberapa kemungkinan. Boleh jadi pemilik blog itu terlepas pandang, terpadam ataupun mungkin juga ada elemen-elemen tertentu yang dia kurang senang dalam blog Jihad Wahabi lalu memadamkan link tersebut.
ADMIN PROTAJDID:
Dahulu pautan itu memang ada, tetapi kini sudah dibuang. Ini memandangkan polisi peribadi saya sendiri yang tidak mempercayai mana-mana blog bersifat anonymous, yang menyentuh isu yang kontroversi dan sensitif seperti Wahhabi, lebih-lebih lagi apabila ia diulas dan dibincangkan dalam cara yang boleh bikin panas.
Saya mementingkan kredibiliti dan accountability sesebuah blog.
JIHAD WAHABI:
Beberapa kali juga ada komen-komen yang menyuruh saya "mentajdidkan" blog saya kerana radd individu (saya tak tahu siapa). Kesimpulan bagi perkara diatas. Saya mula menyedari kecelaruan pemikiran PROTAJDID kerana menyiarkan artikel yang membela wahabi. Link kepada blog saya juga dipadamkan. Maka dengan ini, dengan rendah hati, saya juga memadamkan link kepada pro tadid dan tidak lagi memaparkan link tersebut di blog saya.
ALEXANDERWATHERN:
Rupa-rupanya ada yang komen blog tuan supaya ditajdidkan. Maksudnya ada teman yang sayangkan tuan le tu. : ) Kalau dia tak sayang, tentu dia buat tak tahu saja, ye tak? : ) Apakah komen itu tuan syaki ada kaitan dengan blog Pro-Tajdid ataupun pengendalinya?
Dari segi pembelaan kepada Wahabi...
Setakat pemahaman saya yang dhaif ini, cara blog tersebut berbeza dengan blog-blog lain. Tuannya meletakkan artikel-artikel yang dirasakan ada manfaat kepada kemajuan umat dan agama Islam hari ini dan masa depan, tanpa tuannya mengulas apa-apa. Dia lebih suka kita pembacanya sendiri berfikir dan menjana idea.
Jadi, berdasarkan caranya yang tersendiri itu, saya secara peribadi tidak melihat dia meletakkan sesuatu tulisan yang menyokong fahaman Salafi Wahabi itu untuk memberi kelebihan kepada kaum Salafi Wahabi. Begitulah menurut pandangan saya. Mungkin pandangan orang lain berbeza.
Sebab itu kalau kita perhatikan, blog Pro-Tajdid lambat-lambat sekali update. Pengendalinya mahu kita menjana fikiran untuk memahami isi-isi penting dalam setiap artikel pilihannya.
Tidak saya nafikan, cara persembahan blog itu yang unik boleh jadi akan membuatkan segelintir daripada pembacanya agak keliru. Tapi dalam hal ini saya rasa ia tidak menjadi masalah pun dengan syarat kita mendahulukan ‘sangka baik’ berbanding ‘sangka kurang baik’.
Keputusan pengendali Pro-Tajdid dan Tuan Jihad Wahabi untuk memadamkan mana-mana link adalah hak masing-masing. Pada saya, saya menghormatilah keputusan mana-mana tuan rumah. Kita tidak dapat memaksa mana-mana tuan rumah untuk linkkan blog kita.
Namun begitu, jika benar pengendali Pro-Tajdid memadamkan link ke blog tuan, pasti dia ada sebab berbuat demikian. Wallahualam.
ADMIN PROTAJDID:
Tentang komen yang meminta dilakukan tajdid ke atas blog Jihad Wahhabi, saya tidak tahu apa-apa tentangnya. Saya juga tidak memaksa mana-mana individu untuk membuat pautan ke blog ini. Ia atas kerelaan sendiri. Semua pautan yang ada di blogroll itu juga saya buat atas kemahuan sendiri, tanpa ada mana-mana pihak yang memintanya.
Tentang isu membela Wahhabi pula, saya tidak tahu bagaimana boleh muncul isu berkenaan. Saya sendiri menentang kebatilan Wahhabi itu. Kalau tidak percaya, sila google kata kunci Wahhabi di blog saya.
Sekali lagi saya tekankan bahawa ProTajdid bukan blog anti-Wahhabi dan insyaAllah blog ini tidak celaru pemikirannya. Harus ditekankan juga bahawa blog ini dalam masa yang sama, cuba untuk mendedahkan beberapa kesilapan dalam pendekatan dakwah mereka, kerana ia boleh membantutkan usaha tajdid itu sendiri.
JIHAD WAHABI:
Persoalan yang timbul,
- Siapakah pemilik blog tersebut?
- Sejauh manakah dia bertasamuh kepada Wahabi?
ALEXANDERWATHERN:
Buat masa ini tidak manis kalau saya menyatakan identiti pengendali Pro-Tajdid tanpa persetujuannya. Beginilah. Saya akan cuba tanya kepadanya. Jika dia tidak keberatan, saya akan beritahu tuan. Jika dia keberatan, saya hormati pendiriannya. Jika dia berdiam tanpa sebarang makluman, saya pun akan diamkan saja.
Kesimpulannya, semua atas persetujuannyalah.
Setakat yang saya kenal beliau melalui penulisan dan kerja-kerja internetnya, dia memang tidak bersetuju dengan fahaman Salafi Wahabi, malah punya kecenderungan terhadap tasauf. “Akhlak (fikiran, perkataan dan perbuatan) adalah bunga diri.” Saya suka menjaga ‘bunga diri’ ini. Dan saya lihat pengendali Pro-Tajdid juga menitik beratkan hal tersebut dalam setiap persembahannya.
Dalam blognya ada satu ruangan khusus yang mengumpulkan semua tulisan di blognya yang menolak fahaman Salafi Wahabi.
Akhirnya, buat masa ini sedemikianlah jawapan yang mampu saya berikan kepada tuan. Jika ada lagi, insyaallah akan saya ajukan, bergantung kepada persetujuan pengendali Pro-Tajdid.
‘BERSAMA MENGEKANG VIRUS PEROSAK BERNAMA SALAFI WAHABI’
Sekian, wassalam.
DAH TAMAT.
Jadi... begitulah kesudahan perbualan kami. Jadi Tuan Tawel berhak buat apa-apa keputusan dan saya akan hormati keputusan itu.
Wassalam.
* Semoga Jihad Wahabi 'faham' tentang 'bunga diri' yang saya cuba sentuh. : )
ADMIN PROTAJDID
1 - Siapakah pemilik blog tersebut?
Seperti yang diberitahu tadi, ia dimiliki oleh Tawel Sensei. Saya tidak berselindung di sebalik anonymous.
2 - Sejauh manakah dia bertasamuh kepada Wahabi?
Saya akan bertasamuh dengan semua pihak yang berbeza pendapat dengan saya tanpa menggadaikan prinsip dan maruah yang saya pegang. Dalam masa yang sama, saya juga akan sentiasa mencari sebuah titik persamaan di antara satu sama lain, bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar berlaku dalam masyarakat.
Begitulah dimaklumkan kepada tuan hamba semua. Wassalam.
Label: pengumuman
Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama
Langgan:
Catatan (Atom)




